Semalam,
imtihan [peperiksaan] akhir semester kedua berakhir. Semalam juga, 43 orang sahabat seperjuangan menuntut ilmu di Dataran Syuhada' bermusafir untuk menjadi tetamu Allah ke Madinah dan Mekkah, mengerjakan umrah.
Dua peristiwa ini menyebabkan saya termenung. Tidur saya tidak nyenyak. Kejadian-kejadian yang berkaitan dengan peristiwa itu bermain-main di benak kepala saya. Serabut dan meminta-minta untuk diselesaikan dengan kadar yang segera.
Sesetengah sahabat dan teman-teman saya bergembira bagai nak rak, merdeka dari belenggu imtihan katanya. Dengan berakhirnya imtihan, berakhirlah juga tempoh 'baik', soleh dan tempoh belajar mereka. Bebas. Tiada lagi identiti seorang pelajar Syariah pada pakaian, tingkah laku, malah sikap mereka seolah mereka bukan lagi hamba Tuhan Yang Esa.
Teringat juga kisah perbualan saya dengan seorang pak cik arab di dalam Masjidil Haram, pertengahan 2008 sewaktu mengerjakan Umrah kali pertama. Pakcik yang kaya, lagi berharta, namun memencilkan diri dari dunia semata-mata mengharapkan berkat dan pahala di Tanah Haram. Tidak menghiraukan dunia luar, tidak pedulikan masalah umat, hanya semata-mata beribadat dan berkhulwah di perut Haram Mekkah. Sempitnya ibadat pada penafsiran minda dan akal beliau berbanding dengan luasnya kudrat yang beliau miliki.
Saya bingkas menjenguk buku-buku yang boleh dibelek dan dibaca. Membaca untuk menambah cahaya minda. Bersedia dengan persoalan yang bakal ditimbulkan oleh ummat. Soalan yang tak pernah ada ramalan mahupun jawapan yang mampu untuk saya tiru dan
copy and paste.
Sejak musim panas tiba, saya jarang melelapkan mata pada waktu malam. Bayangkan waktu Isya' bermula pukul 9.30 malam dan diikuti dengan azan yang menjadi tanda masuknya waktu subuh pada pukul 3.45 pagi. Malam yang pendek. Mata yang telah biasa dengan berjaga malam itu cukup galak untuk diajak menilik kitab-kitab kecil yang tersusun rapi di rak.
Saya membelek-belek buku yang baru dihantar setelah hampir dua bulan dipinjam oleh seorang kawan yang sama minat dan hobi dengan saya. Digabungkan pula dengan buku yang ditulis oleh penulis yang sama, Falsafah Tarbiah Islamiah oleh Dr Abd Majid Irsan Kailani, yang berbahasa arab juga buku Muhammad Al-Ghazali, Warisan Pemikiran Islam : Menurut Syarak dan Akal.
PENJARA HARAMAIN
Kisah pakcik 50-an yang saya temui di Masjidil Haram 2 tahun yang lalu itu saya imbas semula. Mengurungkan diri tanpa mengetahui mahupun mengambil berat hal ehwal dunia, bahkan hanya mengharapkan berkat dari Tanah Haram itu untuk menggapai syurga. Kedai jubah kepunyaan beliau berhampiran Masjid Kucing itu diuruskan untuk meraih kekayaan dunia. Ceteknya pemikiran beliau. Dangkalnya minda sebegitu. Beliau bukannya dari kalangan miskin yang merempat, bahkan hartawan yang mengaku mempunyai rumah tumpangan di sekitar Ajyad.
Saya cuba bertanya tentang beberapa isu besar yang mungkin 'ma'lum bil darurah', untuk menguji serta menyelidik latarbelakang pakcik pertengahan umur ini. Tak tahu. Semuanya tak tahu melainkan kisah 11 September. Serangan di Palestine juga tidak dipeduli.
Lebih mengejutkan saya, apabila beliau mengaku sebagai bekas pegawai tentera Aqsa berketurunan Tanah Suci Al-Quds yang berhijrah ke Mekkah selepas perang pada 1940-an. Kacang lupakan kulit. Meninggalkan matlamat hidup untuk berjihad dijalan Allah, berhijrah mencari damai [baca : melarikan diri] ke Mekkah.
PENJARA HUFFAZ
Dari kisah itu, saya teringat juga kampus saya yang kejauhan di Malaysia. Segelintir teman-teman sepengajian yang mengelakkan diri dari cakna dengan isu umat Islam dan tugas 'amar makruf nahi munkar' atas alasan bimbang hilang dan lupa hafalan Al-Quran. Perangai dan wabak ini semakin menggila apabila tibanya musim peperiksaan. Masjid yang dikeliling tasik indah itu akan dipenuhi dengan 'ahli sufi' yang bermunajat memohon najah dalam ujian yan bakal menjelma. Setelah tempoh imtihan dan peperiksaan berlalu, masjid itu kian menyepi. Exam Oriented sedang rakus menyembelih fitrah manusia yang dicipta dengan rasa semulajadi untuk berdakwah.
Lebih buruk, usaha segelintir teman-teman saya yang berusaha untuk memberi nafas dan roh sensitiviti dakwah kepada mereka yang tempang ini ditentang pula oleh segelintir pensyarah. 'Pencabul hamalatul quran' adalah istilah yang pernah dilabelkan kepada kami.
Pastinya pengasas Darul Quran dan pengasas Program Persijilan Darul Quran-UIAM kecewa mendengar berita ini. Saya yakin, bukan sistem sebegini [Exam Oriented] yang mereka idamkan. Bukan produk huffaz begini [memenjarakan diri dari umat] yang mereka ingin lahirkan. Saya pernah bersama kalam Prof. Dr. Sidek Baba yang menegaskan tujuan penubuhan program Persijilan adalah untuk melahirkan huffaz yang profesional, proresif dan praktif. Bukannya pasif!
MENYELAK MASALAH UMMAT
Di kampung-kampung dan taman perumahan pula, saya bertemu dengan golongan yang cukup suka mendengar dan menghadiri majlis ilmu. Awalnya saya tumpang gembira. Namun, apabila mengkaji, saya menjenguk sisi gelap dan mendalami fanomena ini, kegembiraan saya terbunuh serta merta. Menghadiri majlis ilmu yang sepatutnya menjadi wasilah untuk menambah maklumat, ilmu dan keyakinan untuk beramal berubah menjadi tujuan dan matlamat untuk mendapat pahala dan berkat dalam majlis ilmu. Mereka lupa akan amaran Rasulullah kepada mereka yang tahu, tapi tidak beramal. Ingatlah bahawa si alim yang tak beramal akan terlebih dahulu ke neraka berbanding si jahil.
Di perkampungan lain pula saya berkecimpung dengan golongan yang cukup menyayangi majlis zikir. Saya cuba berasimilasi dengan mereka untuk meneliti, mengkaji dan belajar sesuatu yang baru sebagai bekalan hidup. Ternyata akhirnya saya terpaksa menutup mata pada segelintir mereka yang menjadikan wasilah zikir untuk 'mengingati' Allah sebagai matlamat akhir untuk mengejar Syurga. Natijahnya mereka keluar dari majlis zikir itu dengan riak dan bangga, bagaikan diri sudah terjamin sebagai ahli syurga. Rakan-rakan dan teman-teman lain yang tidak turut serta bersama mereka dianggap pendosa yang bakal menjadi bahan api di neraka.
Saya merangkak pula ke pusat pengajian ilmu agama. Berteleku menadah mutiara yang dicurahkan. Namun, akhirnya saya sedari bahawa permata bersinar itu bukanlah mutiara hakiki, tapi kaca yang membawa luka. Ilmu yang diberi bukanlah untuk menjadi alim, bahkan sebagai peluru dan bom jangka untuk berhujjah dengan mereka yang berlainan madrasah malah manhaj. Ultra taasub kepada mazhab dan manhaj tertentu yang mengundang balah dan pecah.
Teringat saya akan kisah saya dimarahi oleh seorang guru apabila saya membaca sebuah buku terjemahan dari kitab karangan Syeikhul Islam Taqiyuddin Abdul Halim Al-Harrani yang bertajuk Ubudiyyah.
Di situ juga saya pernah terperangkap dalam proses membetulkan gerak solat dan makhraj sebutan huruf di dalam solat selama bertahun-tahun. Namun akhirnya, saya keluar dari solat dengan jiwa tuan yang angkuh lagi bongkak serta gersang dari kesan rohani yang menundukkan jiwa. Sedangkan para sahabat dan Rasulullah mengajar erti solat pada jiwa hamba yang tunduk dan patuh. Memandang ibadat pada hanya yang ritual dan material.
Di tempat lain pula, saya melihat kawan-kawan yang terperangkap dengan sistem peperiksaan lantas mengejar kejayaan pointer dalam peperiksaan. Usaha dan keringat hanya ditumpahkan kerana pointer dan markah. Andai yang diinginkan tidak kedapatan, adab, akhlaq dan iman bagaikan tercabut dari badan. Carutan dan celaan kepada guru yang mengajar pastinya menjadi zikir harian, malah didakwah pula kepada yang masih ada jiwa ilmu yang berintegrasikan amalan.
Akhirnya, saya menyelak sejarah mencari pedoman dan pola peristiwa dan kejadian untuk disimpulkan sebagai sebuah pemahaman. Mendiagnosis masalah untuk menyuluh jalan keluar.
Sejarah Abbasiyyah mungkin paling tepat untuk dikaji dan diteliti. Perkembangan mazhab pada awal 400H di Dimasyq yang pada awalnya menjadi berkat akhirnya menjadi karat yang yang menghancurkan umat.
Segalanya bermula dari minda yang tempang, sikap dan adab yang telah ditelanjangkan dari badan pendokong mazhab. Perdebatan dan diskusi diarahkan untuk meraih sokongan dan memperluaskan pengaruh mazhab. Bukan lagi untuk memecah ruyung mencari idea dan ijtihad baru yang segar bagi mendepani masalah semasa yang dihadapi. Madrasah Nizdamiah pastinya masih mengingati peristiwa-peristiwa yang berlaku dipundak belakangnya. Berapa ramai nyawa yang terbunuh, jiwa yang terkorban lantaran taasub yang keterlaluan. Apabila ditanya kenapa mereka berbunuhan dan bertelagah lalu berpecah?
Mereka pastinya menjawa, "Hal ini adalah kerana untuk mempertahankan Allah dan agama Allah."
Mereka lupa amaran dan pesanan serta syarat Allah kepada para khadam agama yang ingin mendokong agama agar mereka tidak berpecah. Rujuk Surah Al-Kahfi : 20.
Salah seorang guru di Madrasah tersebut tampil untuk memperbaiki keadaan, namun akhirnya menjadi mangsa tohmahan liar. Imam Al-Ghazali tabah menerima penghinaan ini. Beliau yang berusaha untuk memberi nafas baru dalam dunia Islam itu akhirnya menerima bayaran cercaan dari dulu dan masih berlangsung sehingga ke hari ini. Moga ianya tidak kekal untuk selamanya.
Imam al-Ghazali meletakkan garis panduan baru kepada proses pemikiran dan pengajian. Pemikiran yang skeptikal dan sekular dari faham Islam dengan gambaran sebenar yang besar diperangi habis-habisan. Proses pengajian yang sebelum ini berorientasikan jawatan dan pangkat di jabatan kerajaan serta nama di sisi pemerintah juga diperangi.
Penyatupaduan dan integrasi ilmu secara global dipraktikkan oleh Imam Al-Ghazali dalam manhaj yang beliau gagaskan. Pada pendapat beliau, semua ilmu berkait dengan agama, cuma ia terbahagi kepada ilmu Syariat yang dibawa oleh Nabi dan ilmu akal hasil kaji dan teliti. Memisah-misahkan ilmu yang 'berpahala' dan ilmu yang 'tak berpahala' menjadikan umat lesu dan lemah. Peranan pusat pengajian pada zaman Al-Ghazali hanya sekadar untuk mencetak pegawai-pegawai yang menghafal kod-kod serta perlembagaan teras negara. Tidak lebih dari burung kakak tua yang berfatwa dengan apa yang pernah didengarinya, tanpa ada jiwa faham terhadap apa yang difatwakan.
Pada Al-Ghazali, daya intelektual mereka hanya pada menterjemah karya-karya Yunani dan mensyarah kitab-kitab imam mazhab. Tidak ada lagi ijtihad dan pandangan serta idea baru yang terbit dari para cendikiawan zaman itu. Tidak juga aktif untuk memberi respon yang tepat kepada cabaran yang timbul pada zaman tersebut. Penaklukan senyap tentera Salib dipandang ringan. Penguasaan teknologi di dunia barat juga tidak dianggap cabaran. Muslim hanya terbelenggu dengan masalah khilafiah dan tergila-gila dengan wasilah yang dianggap matlmat. Akhirnya, Abbasiyyah tersungkur. Jutaan ummat menggelupur disembelih. Kitab-kitab dan khazanah ilmu dihanyutkan di Furat.
Dalam subjek Pengenalan Fiqh Islam, saya mengenali zaman itu dengan zaman Syarah dan Hasyiah yang kemudiannya diikuti dengan zaman Taqlid dan Tawaqquf. Zaman Tawaqquf itu menjadi permulaan runtuhnya pemerintahan Khilafah Abbasiyyah yang masyhur dengan gelaran kiblat ilmu dunia.
PENJARA WASILAH
Dewasa ini, jumlah umat Islam tidak kurang dari seperlima penghuni bumi. Namun andai ingin dicari sepuluh orang yang menepati ciri-ciri muslim sejati, pastinya kita akan pulang dengan perasaan kecewa. Namun, andai ingin dicari Yahudi dan Nasrani hakiki, anda akan menjumpai mereka di seantero dunia.
Kenapa ia berlaku?
Seringkasnya, masalah bermula apabila muslim silap menilai dan menentukan yang mana wasilah dan yang mana pula matlamat. Proses penentuan ini pula dipengaruhi oleh proses dan gaya pemikiran seseorang. Rosaknya cara berfikir, akan merosakkan cara melihat dan menilai yang akhirnya akan merosakkan seluruh kehidupan.
Mereka yang tersesat dalam membezakan wasilah dan matlamat akan menyibukkan diri dengan perkara yang tidak berfaedah. Bahkan kesibukan itu dianggap perjuangaan hakiki lagi abadi. Dengan itu, golongan ini akan meninggalkan batu besar [perkara penting] dan aulawiyyat dalam kehidupan. Sibuk berbalah dalam perkara furu'i dengan melupakan perkara yang usuli menjadi contoh yang baik. Rosaknya individu dalam masyrakat memberi petanda awal akan rosaknya umat.
Tanpa menafikan kebaikan menghafal Al-Quran, saya mengkritik penghafal yang menjadikan hafalan sebagai tujuan dan matlamat.
Hafal Al-Quran adalah wasilah. Manakala faham dan dakwah serta sampaikan isinya secara praktikal adalah matlamat. Menjadikan hafal sebagai matlamat menjadikan kita beranggapan bahawa tugas kita telah diselesaikan dengan hanya menamatkan hafalan 30 juz Al-Quran. Merasa mulia dan ujub dengan
title Al-Hafiz yang disandang. Sedangkan Al-Hafiz [jaga diri] pada diri tak tertunai, apatah lagi untuk dinobatkan sebagai Al-Hafiz kepada ummat [penjaga umat]. Saya telah mendiagnosis tentang HUFFAZ sejak 2007 dengan mempersoalkan
KENAPA HAFAL QURAN?
Menghadiri kuliah, kelas pengajian dan talaqqi hanyalah wasilah, sedangkan ilmu, maklumat, kefahaman seterusnya praktikalnya menjadi matlamat. Menganggap keputusan peperiksaan yang menjadi penunjuk aras kepada tahap ilmu sebagai matlamat akhir proses pengajian akan menjadikan para pelajar memencilkan diri dari dunia luar. Terkurung dalam penjara peperiksaan. Pada mereka, markah dan pointer adalah segalanya. Perjuangan hidup dan mati untuk markah dan pointer.
Teringat pesanan Dr. Mustafa Abu Zaid dalam kelas terakhir subjek Ilmu Hadith, " Anak-anakku, hubungan aku dan kalian adalah hubungan ayah dan anak, hubungan murabbi dan muridnya. Kalau seandainya kalian menganggap hubungan aku dan kalian adalah hubungan markah dan peperiksaan, aku haramkan kamu mendaftarkan diri untuk bersamaku dalam kuliah pada semester akan datang".
|
Dr. Mustafa Abu Zaid di Muktamar PAS, PUTIK |
Berzikir dan menjalani tarekat adalah wasilah untuk menjadi tawadhuk, tunduk patuh serta mengikat hati pada Allah. Andai ada yang menjadikan zikir sebagai matlamat, maka dia akan merasakan bahawa orang yang tidak berzikir dan bertarekat bersama mereka cukup hina dalam dosa dan nista, sedang dialah pendosa terbesar kerana merampas pakaian Allah. Sombong dan Takabbur.
Peranan dan maqasid [tujuan] ibadah dan pendidikan Islam adalah untuk membentuk manusia rabbani. Mengenepikan maqasid dan mendahulukan wasilah adalah ketempangan yang mengundang celaka. Sejarah Abbasiyyah yang saya sebutkan secara ringkas adalah buktinya.
Terbukti dengan yakin bahawa, tujuan dan maqasid menjadi hilang tanpa sedar apabila kita terlampau menumpukan kepada wasilah. Penumpuan yang tidak seimbang kepada wasilah pula akan melahirkan minda yang kecut dan sempit. Pemikiran sempit akan merencatkan idea yang segar lantas menyebabkan kita menjadi ta'asub dan defensif kepada idea-idea yang tertentu dan sedia ada. Ta'asub dan defensif akhirnya akan membawa kepada perpecahan umat. Perpecahan akan membawa bala dan azab Allah, kerana perpecahan adalah musuh utama kepada perutusan Nabi dan Rasul yang diberi tugas untuk menyatukan umat di bawah kalimah tauhid.
Tugas kita sebagai hamba adalah untuk beribadat kepada Allah dengan cara yang paling optimum. Antara ibadat dan tugas wajib adalah dakwah, amar makruf dan nahi munkar. Tugas yang kalau ditinggalkan akan menjadi faktor terbesar harga kemanusiaan hilang nilainya di sisi Allah, yang akhirnya akan memanggil bala dan balasan azab yang berat. Demikianlah yang telah berlaku ke atas Bani Israel.
Anda meninggalkan matlamat penciptaan anda dengan alasan untuk menekuni wasilah....? Lalu hanyut dalam menekuni wasilah dan akhirnya meninggalkan matlamat...? Mengakulah, andalah penyebab rosaknya umat, penyebab lemah dan lembabnya umat. Berubahlah pada diri anda. Saya sedang mengubah diri saya dan saya juga sedang mengajak anda bersama. Ayuh, kembalikan generasi Salahuddin untuk menjulang Islam. Kitalah pelakonnya.
HASANHUSAINI,
Darul Muttaqin, Mu'tah, Jordan