Tuesday, December 30, 2008

Warna tema tu BUKAN sedondon, ya. Sila ambil perhatian.

Dah jadi macam trend pengantin masa kini, mesti ada warna tema sedondon dari bunga telur, sampai la kepada warna cadar bilik tidur pengantin. Kalau boleh, semuanya nak guna warna yang sama.

Maaf cakap lah.

Warna sedondon kelihatan agak melampau lah.

Kalau dah pilih hijau sebagai tema, baju warna hijau, pelamin hijau, kanopi hijau, langsir hijau, cadar hijau, bunga telur hijau, beg hadiah hijau, habis ke cat rumah pun nak warna hijau! Kalau boleh, telur rebus tu pun nak diwarnakan jadi hijau. Dah jadi macam telur biawak pulak. Boleh jadi buta warna semua tetamu yang datang bertandang nanti.

Wahai bakal pengantin sekalian, sungguhpun kamu itu pencinta alam semulajadi, sangat sukakan warna hijau, tapi TOLONG LAH! Kasihanilah mata-mata orang yang memandang. Pedih retina ni tau! Berpinar-pinar jadik nya nak bezakan yang mana pengantin, yang mana pelamin.

Nak kata aku ni pakar warna, tak jugak. Nak kata doktor pakar mata, lagi lah mustahil. Aku sendiri pakai 4 mata. Tapi, mungkin ada secebis ilmu dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama. Agar kesilapan yang sama tak dilakukan berulang kali oleh kamu semua.

Itulah ruginya Malaysia takde channel E! Takde rancangan Wedding Do and Dont's yang boleh dirujuk sebagai panduan. Kalau nak pilih warna tema, boleh. Bukan tak boleh. Tapi, berpada-padalah.

Walau apapun warna tema pilihan kamu, cuba wujudkan sedikit kontras. Terutamanya, yang boleh bezakan pengantin dan pelamin. Sebab kamu, si pengantin lah subjek utamanya. Yang orang keliling kampung sibuk susah-payah keluar rumah hari tu, sebab nak tengok kamu lah. Jadi, kenapa kamu susahkan lagi diorang dengan memaksa bermain permainan Cari Benda (Pengantin) Tersembunyi.


Jom! Cari Benda (Budak) Tersembunyi. (Kredit : Makbudak Mumbles)


Pilihan terbaik, pilih warna natural macam putih, krim atau coklat cair untuk latar warna pelamin. Warna-warna pastel pun ok jugak. Baru lah Mak Kiah kampung sebelah senang nak nampak kamu dalam baju pengantin warna hijau dari jarak 5 kilometer. Gunakan warna tema se-minimal mungkin kat pelamin. Contohnya, untuk bunga pahar kanan kiri je yang guna warna hijau sebab nak bagi selari dengan warna baju pengantin. Takpun, kipas tangan je ke. Takpe. Asalkan tak melebih-lebih.

Lagi satu, dah jadi macam trend jugak, bakal pengantin suka had kan pada dua warna je. Kalau dah pilih hijau, korang padankan dengan ungu je. Hijau. Ungu. Dah. Semua barang kahwin, nak hadkan kat dua warna tu je la. Macam la dua warna tu je yang ada kat dunia ni. Padahal, berderet lagi yang boleh dipilih kat spektrum warna. Warna pelangi pun ada tujuh.

Tak salah nak pilih 2-3 warna tema. Asalkan kamu pandai nak mix and match. Jangan main hentam mix and match sudah. Ada pulak nanti yang rasa nak nampak daring, suka hati pilih warna sama macam warna lampu isyarat. Nak daring pun, tengok tempat dik. Ada jugak kang orang ingat diorang salah majlis, sebab terasa macam kat rumah Sammy Vellu pulak, tengah sambut Deepavali.

Nak pilih warna pun, ada pantang-larang nya. Ada jiran aku, penggemar gaya gothic, pilih warna hitam dan putih sebagai tema. Memang nampak macam edgy dan lain dari yang lain, tapi warna hitam-putih untuk tema keseluruhan majlis, agak suram lah. Macam berkabung pun ada. Tetamu pun macam muram je. Bukan ke setiap warna tu mempengaruhi mood kita. Sebab tu orang Cina tak bagi tetamu datang majlis kahwin pakai baju warna hitam. Apatah lagi sang pengantin. Takde ong kata mareka.


Pengantin gothic. Google je nih.


Ini pulak kegemaran ramai pengantin perempuan. Warna merah jambu. Sebab perempuan akan rasa sangat ayu, jelita dan manis bila memakai warna ini. Itu memang betul. Tapi, membiarkan suami kamu kelihatan jambu dan kaku memakai baju pengantin warna tu, lebih-lebih lagi warna merah jambu stok macam Pink Panther; ia membuatkan kamu kelihatan sangat tidak berhati perut. Nak-nak pulak suami tu berkulit hitam manis si tampuk manggis. Kesian dia. Sangat terseksa. Sanggup dilihat janggal hanya untuk kamu kelihatan ayu.

Sangat tak adil, kan?

Ini kan hari kamu berdua. Patutnya, dua-dua kena bahagia. Sama-sama cantik dan tampan di hari itu. Jadi, sila lah keluarkan pilihan warna merah jambu dari senarai pilihan kamu KECUALI si dia memang betul-betul jambu dan suka memakai warna merah jambu.


Mak aih. Terangnya pink dia!


Lagi satu, punya nak ikutkan warna tema, semua yang datang pakai baju warna yang sama dengan pengantin. Hilang pulak seri pengantin tu. Tak menyerlah. Dah semua nampak macam sama je. Beza kat mahkota je. Itupun kalau dia pakai mahkota. Pengantin zaman sekarang suka pakai sanggul bunga.

Aku tau. Nak pilih warna tema untuk perkahwinan bukan mudah. Aku dulu pun macam nak gila, orang asyik tanya warna tema. Dah tinggal sebulan lagi nak kahwin pun, aku takde warna tema. Aku beli barang semua ikut suka. Akhirnya aku kata, tema warna-warni di Aidilfitri. Sebab aku kahwin betul-betul masa raya puasa.

Pokok pangkalnya, terpulang lah kat citarasa masing-masing.

Kalau boleh, buatlah pilihan warna tema yang tak lapuk ditelan zaman.

Bukan apa.

Takut menyesal di kemudian hari.

Tips Hadiah Untuk Pengantin


Salin-dan-tampal dari sana.

***

Cehhh.

Tajuk dah macam artikel kat dalam majalah Pengantin bulan ke-berapa entah yang ada muka Maya Karin cantik tak ingat kahwin laki omputih sebagai cover depan.

Tercetus idea daripada entri minah yang juga cantik ini.

Juga daripada longgokan hadiah yang kami dapat semasa resepsi di Johor dan Terengganu tempoh hari. Terima kasih semua kerana sudi memberi. Kami terima dengan hati berbunga-bunga bak kata pepatah 'kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan'. Masih tak hilang lagi rupanya sindrom Karam Sigh Walya aku nih.

Bila sebut hari minggu, hari untuk suka ria, makan pizza, basuh kereta, hari untuk keluarga dan sebagainya. Tak lupa juga kenduri-kendara. Tapi aku duduk rumah seorang diri, tak mandi pagi tapi dah gosok gigi, tengok semua rancangan TV sambil makan makaroni. Tak lupa juga coklat sapu kat beberapa keping roti.

Suami?

Keluar rumah carik sesuap nasi. err.. 2-3 suap nasi.

Hasil penelitian, hadiah cawan dan gelas aneka corak 6 biji dah jadi sangat stereotaip dewasa ini. Sampaikan belum bukak sampul hadiah pun dah boleh teka dari segi rupa bentuk saiz kotak dari luar. Bukan aku kata, hadiah cawan tak bagus. Tak menawan. Tak menarik hati. Tidak memikat. Sebab barang tuh jugak lah pilihan utama aku untuk hadiahkan kat pengantin.

Sehinggalah aku sendiri menjadi pengantinnya. Maka, aku boleh lah cadangkan beberapa pilihan hadiah selain cawan dan gelas aneka corak 6 biji tadi. Jangan risau. Masih dalam lingkungan bajet harga yang lebih kurang sama. Apa yang penting, pilihan hadiah ini tak berapa stereotaip dan lebih praktikal.

Kenapa?

Sebab dia bukan cawan dan gelas aneka corak 6 biji lah.

Berikut adalah senarai pilihan yang ada. Aku senaraikan ikut tahap keperluan dan kepentingan kepada pengantin untuk memulakan kehidupan baru selepas berkahwin nanti. Lebih-lebih lagi buat bakal pengantin yang akan 'bermula dari sifar' macam aku. Pembukak botol kicap pun takde.

1. Lesung batu.
Lagi bagus kalau siap ada cili, bawang dan belacan sekali.

(Penting untuk tumbuk sambal belacan nanti. Baru lepas kawen, banyak pakai duit, tak mampu beli lauk, makan sambal belacan lah tiap hari.)

2. Sudu dan garfu.
Kalau beli satu set siap dengan sudu kecik dan pisau makan tuh, mahal sikit la. Beli jer yang ada jual dalam peket-peket tuh dalam 2-3 peket. Lepas tuh, ikat dengan reben besar ikut warna yang disukai. Kreatif dan ada kelas gitu. Trust me.

(Mula-mula dulu, aku pakai sudu garfu plastik jenama Giant.)

3. Pisau dapur.
Satu set pisau siap dengan holder paling murah boleh dapat dalam harga RM 19.90. Nak bagi siap dengan papan pemotong tuh pun lagi bagus.

(Pisau sangat penting. Mana la tau, nak jadikan ikan siakap masak 3 rasa sebagai 'air tangan' pertama untuk perut suami.)

4. Pemutar skru.
Atau lebih dikenali sebagai screwdriver. Nak bagi sebatang, segan la. Macam kedekut haji bakhil pulak. Ada satu set kat Ikea, harganya RM 15.90 sahaja.

(Nak buat apa? Penting wooo. Beli kipas angin berdiri kat Tesco, perlu ada screwdriver nak pasang sendiri.)

5. Set pinggan mangkuk.
Alternatif untuk cawan dan gelas aneka corak 6 biji. Tak payah beli satu set pun takpe. Beli jer pinggan atau mangkuk melamine corak yang berkenan di hati dalam 3-4 biji. Pastuh, bungkus sendiri dalam kotak biskut ke apa. Jimat dan praktikal.

(Walaupun harga untuk microwave and dishwasher safe set agak mahal, dalam RM 50 dan ke atas, tapi sangat berbaloi untuk pengantin yang baru nak memulakan hidup berkeluarga dengan hanya 2 buah pinggan macam kami.)

6. Voucher.
Ada macam-macam pilihan voucher membeli-belah yang boleh dijadikan sebagai hadiah perkahwinan. Contohnya, voucher Ikea yang boleh dibeli dalam pelbagai harga berpatutan.

(Kita bagi pengantin buat pilihan hadiah sendiri. Bukan ke lagi bermakna tuh?)

7. Cadar.
Nak bagi satu set siap comforter pun okay. Itupun kalau ada bajet lebih dan nak hadiah nampak macam gah dan menonjol di antara yang lain-lain.

(Takkan laa selamanya pengantin nak pakai cadar satin berenda-renda corak awan larat bagai tuh tiap hari, kan? 100% cotton bedsheet is the best!)

8. Kuali.
Tak pun periuk jenama kuda belang tuh pun ok. Tak lebih RM 50 pun. Kalau jenis yang non-stick, mahal sikit. Tapi, kalau nak hadiahkan untuk saudara-mara atau kawan baik, apa salah nya belanja lebih sikit, kan..

(Sekurang-kurang nya, dapat jugak pengantin goreng telur mata kerbau pakai kuali tuh nanti. Mana tau kot-kot dah habis idea tak tau nak masak apa untuk laki dia.)

9. Sexy lingerie / night dress.
Sesuai untuk dihadiahkan kepada kawan atau saudara yang sangat rapat dengan kita. Yang dah biasa makan megi, tidur sebantal, joget lambak, lepak mamak, layan ngumpat, tampal poster Brad Pitt dan kongsi rahsia bersama. Maka, ia tidak akan menimbulkan sebarang salah faham dan sebagainya. Malahan, akan mengundang gelak tawa dan rasa terharu yang tak terhingga.

(Satin night dress jenama Scarlet kat Jusco masa sale hujung tahun nih hanya RM 29.90. Cepat! Sementara stok masih ada.)

10. Duit.
Tak kisah laa pengantin ke tak. Siapa yang tak suka dapat duit, kan?




Walau apa pun hadiah yang jadi pilihan kita untuk pengantin.

Tak kira murah atau mahal.

Percayalah. Hadiah yang paling bermakna untuk pengantin adalah kesudian kita untuk turut sama hadir, memeriahkan suasana, mendoakan kebahagiaan dan meraikan satu hari paling bersejarah yang mungkin berlaku hanya sekali dalam seumur hidup mereka. Ia sangat-sangat dihargai dan akan dikenang sepanjang hayat.

PER : Sebab ramai pengantin terjelepuk masuk blog satu lagi. Maka tercetuslah idea ini.


Dengan segala hormatnya, perkara di atas dirujuk.

Selain tu, berikut adalah sebab-sebab lain kenapa blog ini wujud :


1. Aku tengah menganggur. Jadik surirumahtangga sepenuh masa. Tak berapa suka memasak dan masih belum menimang anak. Jadi, aku pun ambil keputusan nak jadik penternak.
Membukak ladang ternakan blog.

2. Aku percayakan institusi perkahwinan dengan sepenuh hati. Aku sangat dedikasi menguruskan segala urusan perkahwinan aku sendiri. Jadi, aku rasa macam bermurah hati nak kongsi pengalaman dan pendapat peribadi pasal perkahwinan dengan orang lain.

3. Aku sangat suka menulis. Sejak Darjah 6 lagi, aku dah suka tulis diari. Menulis adalah cara aku ekspresi diri. Dengan menternak lebih banyak blog, maka lebih banyak lah hasil ternakan karangan dapat aku hasilkan. Lebih banyak ekspresi, takkan timbul rasa nak bunuh diri bila tertekan nanti.

4. Rasa macam tak best pulak nak cerita pasal kahwin kat blog peribadi. Sebab ia dibaca oleh semua peringkat status. Bujang, berkahwin, remaja, tua, muda dan macam-macam lagi. Kang orang kata syok sendiri. Macam lah aku sorang je yang kahwin kat dunia ni.

5. Sebab aku bosan. Kalau bosan, aku banyak makan. Mak mertua langung tak berkenan.


Mari sama-sama berkongsi pengalaman.


Pengalaman itu bukan duit.


Jangan kedekut.