Monday, August 11, 2008

Bulan Syaaban

Sabda Nabi s.a.w :
Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu ( Al-Hadis)

Sesiapa berpuasa sehari sebelum bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga.Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub dan Nabi Daud. Jika dia sempurnakan puasanya seluruh bulan Syaaban, dimudahkan Allah atasnya sakratulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripada kegelapan di dalam kubur dilepaskan daripada huru-hara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya pada hari kiamat dan diwajibkan Allah syurga baginya.( Al-Hadis )

Sesiapa berpuasa pada awal hari Khamis pada bulan Syaaban dan akhir Khamis daripada Syaaban, dimasukkan dia ke dalam syurga.
( Al-Hadis dari kitab Al-Barokah )

Berkata Siti Aishah s.a.w bulan yang lebih dikasihi oleh Rasulullah s.a.w ialah bulan Syaaban.
Sabda Nabi s.a.w : Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifarahkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan menyucikan dosa (jasmani & rohani).

Sabda Nabi s.a.w : Bahawa puasa Syaaban kerana membesarkan Ramadhan. Sesiapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Syaaban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, diberikan rezeki baginya; antara lain sabdanya lagi : Bahawa Allah Taala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

Sabda Rasulullah s.a.w. : Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban.

Oleh itu saya menyeru agar semua muslimin / muslimah bersegera dalam membuat amal kebaikan ini disamping menyambut ketibaan Ramadhan yang bakal menjelma tidak berapa lama lagi semoga dosa-dosa kita dikifarahkan oleh Allah S.W.T. Insya Allah...

Duhai Hati, Jangan Kau Terkorban dengan Dunia

Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih dan rapuh, sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti. Namun tidak tersedarkah hati itu adalah ujian dari Tuhannya? Kepayahan itu sesungguhnya adalah bentuk tarbiyahNya kepada hati. Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya? Terlebih banyak mengaduh dari bertahmid rasanya.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3 "
"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." -Surah Yusuf ayat 12
Tak tersedarkah hati segala yang diberinya itu adalah nikmat; kebahagiaan adalah nikmat, sakit adalah nikmat, perit itu lebih nikmat, jika hati ingin menerima. Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhanmu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang dialami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216
Nah, Tuhannya sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang ditempuh. Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah, wahai hati, itulah lumrah. Tidak tersedarkah hati bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Tuhannya beri, Tuhannya pinjamkan. Cara apa dan bagaimana hati gunakan semua pinjaman tersebut? Setiap langkah dan kudrat digunakan untuk ke jalan kebaikankah? Setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sajakah? Kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadahkah? Tuhannya berhak mutlak ke atas hati. Kenapa hati masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan? Tepuk dahi, tanya minda semula. Layakkah hati-hati ini dengan Syurga milik Allah SWT?
"Hai Kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)
Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia...Sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...