KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis dan mendakwa ia tidak dibuat secara menyeluruh bagi mengetahui punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.
Sebaliknya, menurut sumber rapat keluarga Ahmad Sarbani ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya mempersoalkan hasil siasatan polis kerana ia tidak dibuat secara menyeluruh selain didakwa cuba “menyembunyikan” sesuatu daripada diketahui umum.
“Keluarga mempersoalkan kenapa hasil siasatan tidak begitu menyeluruh, macam nak sorokkan sesuatu... bila sudah jadi macam ini, cuba pula nak sorokkan sesuatu.
“Kami sekeluarga tertanya-tanya adakah cerita ini akan habis begini sahaja, kami memang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan dan kami tetap nak tahu apa yang terjadi, kami nak tahu kisah sebenar,” katanya.
Kata sumber itu, keluarga Ahmad Sarbani sedia maklum punca kematian Allahyarham adalah jatuh dari paras tinggi tetapi apa yang dipersoalkan adalah bagaimana beliau boleh jatuh sehingga membawa kepada kematian bapa lima anak itu.
“Kami sekeluarga tetap mempersoalkannya, siasatan macam tak begitu menyeluruh... kami memang tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi atas sebab apa dia jatuh? Sebab apa dia mati, sebab apa yang saya tahu kebiasaannya kalau jatuh dari tingkat tiga dia mungkin hanya akan patah-patah sahaja tapi ini sampai mati (meninggal dunia) pula.
“Sebab itu kami nak tahu apa yang terjadi, sebab apa dia jatuh? Adakah benar dia jatuh dari tingkat tiga dengan sindiri atau ditolak dari atas?
“Kami nak tahu semuanya, kami memang tidak puas hati dan kami nak tahu cerita yang sebenarnya,” tambah sumber itu.
Ditanya mengenai kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kelalaian sekali gus membersihkan dakwaan kononnya Ahmad Sarbaini membunuh diri sebagaimana yang dikatakan sebelum ini, sumber itu berkata, ia akan dibincangkan bersama keluarga terdekat.
“Kami akan bincangkan dulu perkara ini, nanti akan dimaklumkan kemudian,” jawabnya ringkas.
Semalam polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM.
Justeru Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata, beliau menyerahkan kes tersebut kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.
“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.
“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.
Katanya, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.
Jelas Zulkifli, punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.
Minggu lalu, keluarga Ahmad Sarbani memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.
Ahmad Sarbani ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.
Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.
Kematian Ahmad Sarbani merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.
-tvsnews-
Read more...