Ketua Pemuda dan AJK Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segambut menjemput semua warga Pemuda Segambut, Ketua Cawangan, Ketua Wanita dan Puteri Bahagian dan Cawangan menyertai majlis kami bersempena sambutan Aidil Adha seperti berikut:
Tarikh : 26 November 2009, 9 malam
Lokasi : Dewan UMNO Segambut Dalam
Aktiviti : Program Bakar Lemang 1 Malaysia
PPUBS berhasrat mengadakan jualan lemang dengan tema
"1 Lemang = 1RM = 1 Malaysia"
Semua warga UMNO Segambut yang tidak pulang ke kampung halaman di jemput hadir dan membeli 'lemang' yang termurah di Malaysia (sepatutnya di catat dalam Malaysia Book Record). Program ini dijangka akan turut disertai oleh wakil pemuda parti komponen Barisan Nasional Segambut. Aturcara seperti berikut:
7.00 mlm - solat maghrib dan bacaan Yassin di Madrasatul Awalliah
8.30mlm - solat Isyak
9.00 mlm - demo bakar lemang di dewan UMNO Segambut Dalam
9.15 mlm - jamuan makan malam
nota: Ahli Pemuda diminta memakai baju melayu putih
Tarikh : 29 November 2009, 8 pagi
Lokasi : Surau Sri Hartamas
Aktiviti : Ibadah Korban
Sekali lagi, tahun ini PPUBS menganjurkan ibadah korban yang akan dianjurkan bersama Persatuan Pemandu Teksi WP serta ahli kariah Surau Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Semua warga UMNO Segambut dijemput hadir bagi mengeratkan silaturrahim sesama kita dengan bergotong-royong bagi melaksanakan program ini. Aturcara seperti berikut:
7.30pg - sarapan pagi di Surau Hartamas (sebelah Petronas)
- taklimat oleh Sdr Mohd Faizal Zulkarnain
8.15pg - Ibadah Korban dimulakan oleh Tn Hj Ahm Baidzawi
- kerja-kerja melapah dan persiapan memasak
1.00ptg- solat Zuhur diikuti jamuan makan tengahari
Adalah menjadi harapan kami agar semua warga UMNO Segambut sudi melapangkan masa dan menghadiri 2 program yang kami anjurkan ini.
Bagi pihak Ketua Pemuda dan AJK PPUBS, kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha dan hati-hati memandu kepada mereka yang pulang ke kampung halaman.
Sekian, salam hormat
Penolong Setiausaha
Pergerakan Pemuda UMNO Bhgn Segambut
Tuesday, November 24, 2009
Aktiviti PPUBS sempena Aidil Adha
Posted by [pi.es.you] at 7:03 PM
Monday, November 23, 2009
Tahniah Sdr Mahadhir Sulaiman
BERITA PPUBS
22 November - Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segambut hari ini mengucapkan setinggi penghargaan tahniah kepada Sdr Mahadhir Bin Sulaiman selaku Ketua Pemuda yang dianugerahkan pingat Bintang Cemerlang Melaka oleh TYT Yang Dipertua Negeri Melaka hari ini.
Mahadhir dalam satu kenyataannya di sini berkata, "Terima kasih kepada semua yang telah banyak menabur komitmen dan harapan saya semoga pengiktirafan juga diberikan kepada setiap warga Pemuda Segambut" jelas beliau menerusi kenyataan ringkas di laman facebook.
Selain Mahadhir, antara ahli UMNO Bahagian Segambut yang turut sama dianugerahkan pingat kebesaran adalah Bahtiar Adnan (J.P), Huzry Fionawatty (B.C.M), Ahmad Bakari (P.J.K.) dan Norisah Yasir (B.K.T.)
Psu Pemuda Segambut
info-ppubs.blogspot.com
Posted by [pi.es.you] at 1:54 AM
Friday, November 13, 2009
Kursus Bela Nusa di Ulu Sepri
UMNO Bahagian Segambut 4 peringkat akan menyertai kursus Bela Nusa anjuran Biro Tatanegara pada 13-16 November 2009 di Kem Ulu Sepri, Rembau, Negeri Sembilan. Kepada para peserta diminta hadir seawal jam 7.30 malam di Masjid Firdaus kerana bas konvoi dijangka akan bertolak pada jam 8.00 malam.
Sehubungan dengan itu, semua para peserta diingatkan untuk membawa semua kelengkapan peribadi termasuk ubat-ubatan yang difikirkan perlu.
Pemuda Segambut setakat ini menghantar seramai 31 peserta dan diharap tidak ada perubahan di saat-saat akhir. Ketua Pemuda Segambut, Sdr Mahadhir Sulaiman menyeru semua para peserta untuk turut sama menyertai konvoi dengan menaiki bas yang disediakan.
Harap maklum
Posted by [pi.es.you] at 3:40 PM
Teks Ucapan Sdr Mahadhir Sulaiman pada Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Sdr Mahadhir Sulaiman telah diberi penghormatan untuk mewakili pemuda Wilayah Persekutan untuk membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda pada Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tahun 2009 di PWTC pada 14hb Oktober 2009. Berikut adalah teks ucapannya.
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Terima kasih saya ucapkan kepada
Yang berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap
Yang Dikasihi, YB Sdr Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Yang dihormati, YB Dato’ Razali Bin Ibrahim
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Yang dimuliakan, wakil Majlis Tertinggi UMNO,
YB Dato’ Seri Ismail Sabri Bin Yaakob
Y. Bhg. Dato’ Dr Awang Adek Bin Hussin
Y. Bhg. Dato’ Hj Abdul Azeez Bin Abdul Rahim
Salam hormat kami kepada barisan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Tidak dilupakan sdr Syahrin Jamaluddin selaku exco angkat PPUBS.
Salam perjuangan kepada Ketua-Ketua Pemuda Negeri, Ketua-Ketua Pemuda Bahagian
Seterusnya, para perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah sekalian.
1. Pertamanya marilah kita mengaturkan rasa syukur ke hadrat Allah Swt kerana memberi kita kesihatan yang baik hari ini untuk kita berhimpun melaksanakan agenda parti di samping mengeratkan serta memperteguhkan ukhwah sesama kita.
2. Sesungguhnya setiap butir bicara kita pada hari ini adalah berunsurkan kepada kolektif dengan mengamalkan prinsip musyawarah sebagaimana firman Allah Swt dalam Surah Al-Imran, ayat 159
“… dan hendaklah kamu bermusyawarah dengan mereka dalam sesuatu perkara dan setelah membuat keputusan dengan penuh keazaman, maka bertawakkallah kepada Allah ke atas keputusan itu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”
3. Menerusi perbahasan ini, pastinya pelbagai pandangan, pendapat, sokongan, bahkan ada jua yang akan membangkang. Inilah sebenarnya sifat dan naluri anak muda. Harapan kami, biarpun perbezaan pendapat itu agak ketara, namun pastinya membawa maksud yang baik untuk UMNO. Saya ingin memetik ungkapan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar di Kongres Melayu Tanah Melayu pada tahun 1946 iaitu:-
“sungguhpun ada di antara kita yang berlainan fikiran dan faham serta berlainan taraf dan kedudukan… tetapi tujuan dan maksud kita hanya satu jua, iaitu kita hendak meninggikan dan memelihara maruah kesopanan bangsa kita, kita berkehendak supaya tanah air dan bangsa kita terselamat dan kuat, dan kita hanya kuat jika kita bersatu-padu”
4. Saudara perwakilan yang dikasihi sekalian,
Selaku wakil kepada Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, izinkan saya memanfaatkan kesempatan ini untuk turut sama berbahas tentang fenomena yang sedang dihadapi berhubung kekhuatiran kita terhadap anak-anak muda bandar yang terdiri dari pelbagai latar belakang yang seakan menjauhkan diri dengan politik dan perjuangan orang Melayu.
5. Perkara ini kami bangkitkan pada perhimpunan kerana kami sedar bahawa Pemuda Wilayah sering menjadi panduan kepada rakan-rakan di negeri lain. Ragam anak muda di Bandar jauh lebih hebat sebenarnya. Sebab itu, strategi Pemuda Wilayah dalam mendekati golongan muda Bandar harus setapak ke hadapan agar menjadi panduan dan contoh kepada rakan-rakan pemuda negeri.
6. Sdr sekalian, malam tadi kita diperdengarkan 4 rukun UMNO oleh YAB Timbalan Presiden iaitu wahdatul fikr atau kesatuan minda, wahdatul qalb / kesatuan hati, wahdatul amal / kesatuan amal dan wahdatul hadaf / kesatuan matlamat. Pemuda Wilayah berpendapat inilah antara pelengkap kepada transformasi UMNO.
Hanya dengan kesatuan minda yang dihayati dengan kesatuan hati lantas bergerak dengan kesatuan amal maka kita akan menuju kesatuan matlamat.
6. YAB Timb Presiden malam tadi juga mengungkap pujangga Raden Ngabehi Ronggo Warsito, sasterawan dari Jawa, iaitu ‘Hidup Di Zaman Edan’ (Zaman Gila). Ronggo dikenang sebagai sasterawan yang boleh meramal hari rohnya dicabut dari tubuh. Zaman Edan adalah karya teragung Ronggo Warsito yang merujuk kepada tanah jawa dilanda pelbagai wabak kegilaan dan pelbagai macam tragedi dan malapetaka. Benarlah kata Ronggo pada bait akhir puisi tersebut.. "seuntung apa pun orang yang lupa daratan.. lebih baik yang menjaga kasadaran"
7. Justeru, Pemuda Wilayah hari ini ingin menarik perhatian perwakilan tentang formula dan pendekatan yang akan dilaksanakan oleh Pemuda Wilayah Persekutuan bagi penggal 2008-2011 sebagai usaha bersepadu untuk menarik kembali minat dan sokongan anak muda terhadap UMNO dan memastikan PRU ke-13, Barisan Nasional akan kembali mendominasi kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan sekaligus menguburkan keangkuhan pembangkang.
8. YB Ketua Pemuda dan para perwakilan sekalian,
Pemuda Wilayah amat menyedari akan fenomena yang sedang dihadapi ini. Golongan muda di Wilayah Persekutuan amat sesuai dikategorikan sebagai simbol kepada ketamadunan masa hadapan sesebuah Negara. Mereka ini hidup berlingkaran kepada ‘urban civilization’ yang mencakupi gaya hidup, minat, citarasa, kepelbagaian latar belakang akademik.
9. Golongan remaja di bandar ini sebenarnya adalah ikon, gaya serta perintis yang mampu mengeksplorasi remaja luar bandar dari segi budaya, pakaian, hiburan dan juga gaya hidup. Justeru, Pemuda Wilayah sentiasa sedar bahawa tanggungjawab kami amat berat untuk membendung penularan unsur-unsur negatif dari terus membelenggu UMNO memandangkan inilah generasi yang akan meneruskan perjuangan kita pada hari ini.
10. Golongan muda, belia atau remaja di bandar hari ini, atau dalam bahasa Pilihanraya iaitu saluran 4, 5 & 6 ini terdiri dari pelbagai latar belakang samada dari segi akademik, kerjaya, gaya hidup sosial. Amat sukar mendekati golongan ini andainya kita tidak terlebih dahulu menyelami naluri mereka.
11. Pemuda Wilayah mengenalpasti, antara faktor yang menjauhkan golongan ini dari melibatkan diri dengan politik adalah seperti berikut:
i) Pertama, golongan pengundi muda hari ini, berdasarkan pemerhatian kami, sebilangan besar yang berumur 30 tahun ke bawah tidak berminat dengan politik. Malah 30% dikalangan pemuda UMNO sendiri belum mendaftar sebagai pengundi utk pilihanraya. Itu yang bersama kita. Peratusan bagi mereka yang tidak berparti mungkin mencecah 60-70% masih enggan mengundi .
ii) Kedua, golongan pengundi muda melihat politik tidak ada ketelusan atau ‘transparency’. Hujah ini didokong dengan fakta yang disebarkan menerusi laman web pro pembangkang sehingga mempengaruhi dan meracuni pendirian mereka. Malah kegagalan Pemuda UMNO untuk memberi penerangan secara sistematik dan efektif menyebabkan golongan ini terus meminggirkan dan membuat andaian sendiri terhadap hal ehwal semasa di dalam juga diluar Negara.
iii) Ketiga, golongan ini juga melihat UMNO sebagai organisasi elit, kemewahan, pemimpin yang sukar didekati. Pada mereka, pemimpin sepatutnya mempunyai perwatakan yang merendah diri sekaligus menutup jurang untuk didekati.
Namun, Sebagai mana yang disarankan oleh YAB Presiden pada sesi Taklimat Presiden petang semalam bahawa pemimpin di setiap peringkat harus ikhlas dan tawadduk ketika berurusan dengan rakyat.
iv) Keempat, golongan pengundi muda juga merasakan politik itu adalah krisis kepimpinan. Pada mereka, melibatkan diri dalam kancah politik menjebakkan mereka kepada konflik dan mereka lebih cenderung kepada kehidupan yang kondusif dan bebas.
v) Kelima, kita jangan lupa kepada keluhan Pemuda UMNO sendiri, tatkala kita tewas dalam PRK, maka pengundi muda serta ahli pemuda diletakkan sebagai beban kekalahan, sebaliknya tatkala kita menang PRK di Bagan Pinang baru-baru ini, kita mahu pengiktirafan diberikan kepada jentera Pemuda UMNO kerana mereka inilah yang bersinsing lengan, berpeluh, tak makan kerana nak memenangkan calun parti.
12. Sidang perwakilan sekalian,
Masalah yang kami utarakan ini sebenarnya pernah dibincang secara umum samada menerusi media, wacana ilmu, forum dan sebagainya. Namun, Pemuda Wilayah sekali lagi membangkitkan isu dan polemik ini agar diambil perhatian yang lebih serius dan kami juga mahu di akhir ucapan penangguhan, saf kepimpinan memberi komitmen yang jelas terhadap fenomena yang menyelubungi generasi muda hari ini.
13. Seperti yang terlebih awal dimaklumkan, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan harus sentiasa berada selangkah di hadapan dalam mendekati pengundi muda kerana perkembangan sosial selalunya bermula di bandar2 besar. Hakikatnya, di peringkat perdana sekalipun pernah dibincangkan perkara ini secara meluas. Rasionalnya adalah kesedaran bahawa Barisan Nasional sedang diancam konflik pengundi muda mula menjauhkan diri. Maka, pelbagai formula digariskan antaranya konsep KBSMM iaitu Kenduri, Bersalin, Sakit, Mati dan Masjid.
14. Golongan muda hari ini pintar, walau lepasan SPM sekalipun, mereka mampu berfikir dengan rasional sekalipun mereka tidak mengetahui apa itu politik, apa itu perlembagaan, malah percayalah bahawa masih ramai yang tidak mengetahui ASAS kewujudan Barisan Nasional mahupun definisi pembangkang.
15. Namun, jika disentuh soal periuk nasi mereka, sara hidup mereka, bebanan kewangan yang dihadapi anak-anak muda lepasan SPM ini, maka mereka mudah saja terpengaruh dengan strategi halus yang digunakan pembangkang. Sebagai contoh, pada pilihanraya ke-12 yang lalu, Anwar Ibrahim mengumpan golongan ini dengan kempen menurunkan harga petrol untuk mengurangkan beban rakyat bagi menambah keselesaan kehidupan kepada rakyat terbanyak.
16. Justeru, selain konsep KBSMM, YB Ketua Pemuda sendiri telah menyatakan formula Pemuda UMNO Malaysia untuk mengembalikan sokongan pengundi muda dengan Rukun Pemuda. Tidak cukup dengan itu, sejumlah 28 portfolio telah diwujudkan di kalangan Exco yang antaranya disebut biro, unit dan sekretariat. Pemuda Wilayah amat bersetuju dan memberi sokongan padu untuk menggerakkan misi tersebut.
17. Sidang perwakilan yang dirahmati Allah sekalian,
Rakyat hari ini sebenarnya tidak pernah membenci UMNO, sebaliknya yang ditegur, yang ditentang adalah pemimpin-pemimpin UMNO. Pucuk pimpinan harus memahami hakikat bahawa rakyat ingin melihat pemimpin-pemimpin baru diberi tempat dalam UMNO.
18. Saya ingin menarik perhatian perwakilan untuk merenung sejenak akan sejarah penubuhan Parti Keadilan Rakyat. Parti itu ditubuhkan kononnya dengan matlamat untuk memperjuangkan keadilan untuk rakyat. Sedarkah kita semua bahawa perintis kepada tertubuhnya parti tersebut adalah anak-anak muda. Mereka masuk bertanding pilihanraya dengan menamakan sebilangan besar anak-anak muda sebagai calun.
19. Justeru dengan mengambil kira permasalahan yang Pemuda Wilayah utarakan sebentar tadi, maka kami mencadangkan kepada kepimpinan beberapa formula sebagai penambahbaikan untuk menawan kembali kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan:
i) Pertama UMNO harus memanfaatkan IT sepenuhnya. Hari ini, saya amat yakin sebilangan besar di perwakilan telah menghadapi sindrom ‘facebook’. Kalau pembangkang mempelopori blog tetapi di kalangan UMNO adalah facebook.
Justeru, pemuda wilayah mencadangkan agar satu portal yang berciri dan mirip kepada facebook diwujudkan sebagai platform untuk membina satu pengkalan data yang mampu menarik bukan sahaja ahli-ahli pemuda UMNO malah membuka ruang generasi muda untuk menyertai komuniti tersebut kerana portal yang begitu interaktif.
ii) Kedua, Pemuda Wilayah mengucapkan setinggi penghargaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana memberi tempat kepada Naib Ketua Pemuda kita selaku Timbalan Menteri di Kementerian Belia & Sukan. Oleh yang demikian, kita mendesak Kerajaan agar memberi peruntukan yang lebih besar kepada Kementerian Belia & Sukan agar program mendekati golongan muda secara makro dan mikro yang lebih komprehensif dapat dilaksanakan.
iii) Ketiga, kepentingan budaya ilmu dan mengkaji dikalangan pemuda harus dipertingkatkan dengan bahan2 bacaan ilmiah bagi mengembang dan mematang cara berfikir secara lebih kritis dikalangan pemuda UMNO agar selari dengan kehendak bakal pengundi baru dalam PRU 13.
iv) Keempat, formula yang penting, dengan mengambil kira tuntutan dan hasrat rakyat yang mengimpikan perubahan secara total ini, Pemuda Wilayah mendesak kepimpinan agar membuka ruang dan laluan kepada anak-anak muda untuk dipilih sebagai calun Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13.
20. Kekanda Dato’ Pengerusi Tetap dan perwakilan sekalian,
Akhir sekali, kepada YB Ketua Pemuda, YB Naib Ketua Pemuda dan barisan Exco, Pemuda Wilayah ingin berkongsi falsafah melayu lama buat pedoman dalam berbakti kepada rakyat:-
Hidup matinya kerana rakyat, Hatinya bersih ibadatnya kuat
Ilmunya tinggi akalnya sihat, Terhadap janji ia taat
Kepada sumpah ia terikat, Bekerja rajin ringan dan berat
Memikul beban hatinya bulat,
Memimpin negeri banyaklah berkat
Memimpin umat beroleh rahmat
21. Akhir kata, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutan, melahirkan harapan agar di bawah kepimpinan YB Sdr Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Pemuda UMNO akan dilihat lebih berani dan vokal dalam membawa permasalahan rakyat, insaf dan perihatin terhadap bebanan rakyat serta tidak goyang dalam menghadapi tekanan dan asakan pembangkang.
22. Pemuda Wilayah juga mengharapkan watak-watak anak muda yang berani ini tidak akan dipandang serong gerak langkahnya. ANGGAPLAH PEMUDA SEBAGAI HARAPAN BUKANNYA ANCAMAN. Sebagaimana pesanan Almarhum Tunku Abdul Rahman, pada persidangan pemuda pada tahun 1952;
“UMNO bergantung kepada pemuda dalam serba perkara. Sekiranya Pemuda kuat maka kuatlah UMNO, dan sebaliknya jika Pemuda lemah maka lemahlah UMNO”
Sekian, Wasallam.
Posted by [pi.es.you] at 3:33 PM