Followers

Tuesday, December 30, 2008

Pertemuan Penulis-penulis Buku Prima






'Saya yang terselit'









Pn. Sarah, Ramlah Rashid, Kamsiah,

Dyza Ainun antara yang saya kenal.




Monday, December 29, 2008

Belenggu Sengsara

Saya merenung wajah di depan saya dengan perasaan sebak. Wanita itu mengesat penjuru kedua matanya dengan belakang tangan.
"Sampai macam tu sekali, kak?" Soal saya. Dia mengangguk.
"Ya..malah ada yang datang dengan bingung, tidak fokus. Hilang semangat untuk hidup."Sambung wanita itu lagi. Saya terdiam sambil menjeling sepupu di sebelah saya. "Zalimnya seorang lelaki yang bergelar suami itu.." Kata-kata itu terluncur dari bibir saya, tanpa saya duga.
"Itu sedikit, ada yang luka parah dipukul dengan tali pinggang, dihentak dengan piring."
"Cukup kak..ngeri saya mendengarnya." Wanita itu terhenti kemudian memegang tangan saya.
"Saya tak rela jika diperlakukan macam tu.." Ungkap saya perlahan. Sepupu saya menepuk lembut bahu saya.
"Kalau berhadapan dan dengar sendiri daripada mangsa, awak sendiri akan melihat betapa sengsaranya mereka. ." bisik sepupu saya perlahan. Wanita itu memandang saya sambil mengangguk mengiyakan kata-kata sepupu saya itu.
"Sepanjang saya bersama ibu-ibu tunggal, macam-macam rintihan yang boleh saya dengar. Ada yang patah-patah dikerjakan suami. Sepak terajang dan macam-macam."
"Suami jenis apa tu kak?"Soal saya seperti budak-budak.
"Tapi tak semua macam tu. Hanya sejumlah kecil" Ujar sepupu di sebelah saya bila melihat teduh di wajah saya.
"Sekalipun kecil jumlahnya kak, tapi dia memberi kesan yang besar masyarakat."Luah saya degnan nada geram.
"Tulislah tentang penderaan, penderitaan dan tidak bertanggunjawabnya lelaki." Ujar wanita itu lagi. Saya terkedu, sengsara yang pernah dilalui, menjadikan orang hilang kepercayaan terhadap orang lain. Saya memandang ke wajah mereka kemudian dengan perlahan saya menggeleng-eleng kepala.
"Saya tak boleh tulis kak."
"Kenapa?"
"Dah banyak orang tulis tentang tu..." bisik saya perlahan. Saya tak nafikan paparan kezaliman mengundang simpati dan menarik minat khalayak, lebih-lebih bila digarap dengan baik. Saya memejam mata sesaat, mengenang watak-watak lelaki yang saya paparkan dalam Rindu Berbisik dan Hanya Sebatas Ini. Watak lelaki yang baik-baik. Mungkin saya dikelilingi orang yang baik-baik. Bisik saya dengan penuh rasa syukur. Kepada wanita-wanita yang ditakdirkan melalui jalan dalam hidup demikian, saya doakan agar anda tabah dalam mengharungi liku2 hidup. Bebaskan diri dari belenggu kesengsaraan.

Saturday, December 27, 2008

Kecilnya saya.....

Salam bahagia..
Baru seminggu saya meninggalkan K.Lumpur, dua hari lepas saya kembali lagi ke sana. Sekalipun keletihan perjalanan masih dirasakan, namun jemputan sesi pertemuan penulis-penulis Buku PRIMA tetap saya penuhi. Apalagi sebagai penulis baru, jemputan itu merupakan satu penghormatan pada saya. Terima kasih Buku PRIMA.

Sepanjang perjalanan dari penginapan ke Seksyen 15, Shah Alam, perasaan saya resah. Keresahan semakin terasa bila perjalanan tersekat-sekat. Di mana silapnya, saya sendiri tidak mengerti. Lebih meresahkan lagi bila kami terpaksa berpusing beberapa sebelum tiba ke lokasi. Tepat jam 3.45 petang tiba, program dah berlangsung. Saya bersama Dyza Ainun melangkah masuk dengan perasaan serba salah. Salah melangkah ke sudut paling hujung. Ia bermakna saya dapat melihat semua orang-orang di sebelah menyebelah saya.

Sepanjang sesi pertemuan itu, tidak sepatahpun kata-kata lahir dari bibir saya. Sekalipun dalam benak saya terhimpun hasrat untuk disuarakan. Penghargaan, pengharapan dan perasaan saya saat itu. Saya hanya menelan segala ungkapan dan kata-kata dari Pn. Sarah. Pada saya kata-kata itu adalah harapan dan kepercayaan pihak penerbit kepada kami dan dalam masa yang sama ia adalah peluang yang tidak harus kami pandang ringan.

Nama-nama besar seperti Ramlah Rashid turut ada di hadapan saya. Saya memerhati setiap wajah yang ada termasuk Siti Rosmizah penulis Andai Itu Takdirnya. Saya merasa sangat kecil di sisi mereka. Saya berbisik sendiri, kelewatan saya ada hikmah. Saya tidak perlu memperkenalkan diri, karya saya yang telah diterbitkan dan sejauh mana pencapaian saya. Hanya satu karya. Apa yang nak dibanggakan. Getus hati saya. Saya memeluk kemas manuskrip di tangan saya yang saya bawa bersama. Sebaik sahaja sesi selesai, saya terus keluar dengan menjingjing beg berisi manuskrip DHR. Manuskrip yang sepatut sampai ke tangan penerbit beberapa bulan yang lalu. Manuskrip saya serahkan dengan penuh harapan, agar ia mendapat tempat di hati editor dan seterusnya di hati masyarakat. Paling penting ia mampu mendidik masyarakat.

Di sini saya mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua krue Buku Prima istimewanya Pn. Sarah, En. Mohd Ali, Su, Aishah dan semua yang terlibat dalam menjayakan sesi pertemuan tersebut. Saya doakan agar Buku PRIMA semakin maju dn berkembang.

Kepada rakan-rakan penulis, saya ingin sekali berbual bicara pada peluang keemasan itu. tapi sayangnya, kata-kata saya hanya tersekat di kerongkong. Saya sangat berharap karya-karya kita mendapat sambutan pembaca. Kepada Kak Ila, Nek Cun dan beberapa yang lain sempat bergambar dengan saya. Terima kasih...saya akan abadikan dalam ingatan. Gambar-gambar tidak sempat saya sertakan kali ini, insya-ALLAH pada kesempatan akan datang.

Sunday, December 14, 2008

MENGHARGAI DAMAI

Salam damai buat pembaca,
Malam itu malam yang damai. Tidak ada hujan. Saya menikmati malam itu di dataran Putrajaya. Dengan berbekalkan sehelai tikar saya melabuh duduk memerhati pengunjung dengan berbagai gelagat. Berlari. Berdiri. Bermain. Berborak. Tidak menghirau siapa di hadapan, siapa di sebelah dan siapa di sekeliling. Mereka dengan dunia mereka, seakan melepas sejuta dendam pada kesibukan pada siangnya. Seakan malam itu adalah malam terindah milik mereka. Saya seakan ingin menjadi sebahagian daripada mereka. Lantas tanpa menghirau orang lain, saya berbisik, aku ingin menjadi seorang aku. Aku ingin sendiri dalam keriuhan ini. Saya merebahkan badan berbantalkan lengan mengadap langit yang terbentang luas. Melihat bulan berwajah bulat, menikmati dingin angin yang mengelus kulit. Ah! alangkah nikmat hidup di bumi yang damai ini. Bumi tercinta. Saya mengharapkan kedamaian, keindahan ini kekal dan mampu dinikmati oleh generasi kita di masa akan datang. Malam itu saya meninggalkan dataran dengan dengan satu impian. Saya ingin setiap orang menghargai nikmat damai di bumi bertuah ini.

Tuesday, December 9, 2008

Bila penyudahnya tersangkut

Assalamualaikum, dah berapa lama saya tidak menulis di blog. Kering idea sekalipun bumi basah, suasana lembab. Lantas saya ke blog rakan-rakan yang sudi bermaustautin di anjung saya. Terima kasih Serunai Fakir, Khar..membuka blog sdr, buat saya membuka mata. Sesungguhnya banyak lagi ruang-ruang untuk orang seperti saya belajar. Blog Serunai Fakir (SF) banyak menyuntik keinginan saya untuk meneroka lebih jauh ke bidang penulisan. Ya..mungkin satu hari saya akan beralih arah, mencuba menulis novel-novel triller, seram tidak sebagaimana sekarang. Aduh! untuk menyudahkan novel cinta yang banyak bermain dengan perasaan sering membuat prosesnya terhenti-henti. Saya tidak mampu menulis dalam keadaan perasaan saya kaku. Kini novel yang sedang dipersiapkan berada pada klimax yang akan saya tamatkan bila-bila masa sahaja..tapi bila penyudahnya tersangkut..saya terpaksa berhenti rehat dahulu untuk mengumpul segala kekuatan agar penyudahnya menjadi kuat..dan sudah tentu orang-orang yang berpengalaman dan hebat spt Serunai Fakir, fatin nabila, hezma, Bikash dan beberapa teman yang lain akan menjadi penyutik semangat saya.

Aduh! saya ingin terlepas dari sangkut sebelum hujung dec 2008. Itu janji saya pada penerbit. Terima kasih kepada Suraya editor saya yang memahami.

Thursday, December 4, 2008

Titik-titik hujan
menimpa lagi di birai jendela
adalah tangis alam.

Wednesday, December 3, 2008

HUJAN OH HUJAN

Aduh! hujan..mencurah dan mencurah. Sejuk mencengkam. Saat begitu, saya akan duduk di tepi tingkap cermin, memerhati butir hujan. Indah dan penuh seni. Saya akan perhatikan kala butir-butir itu yang melurut jatuh. Indah dan mengasyikkan. Saya seperti ingin menghitung butir-butir itu......hujan pada saya melambang tangisan, lalu saya sering memaknainya sebagai tangisan alam. Lalu setiap musim ujan yang datang, adalah musim-musim sendu buat saya...