Followers

Tuesday, July 29, 2008

MIMPI YANG SEMPURNA

Malam yang resah
aku terjaga
lantas mencapai sebatang pena
melakar wajah dari mimpi
dan mengukir kata-kata.

Pagi yang damai
aku kembali membukanya
kulihat adalah kamu
dan sebaris ayat yang sempurna.
”Aku Cinta Kamu”.

Indah Hairani

Monday, July 28, 2008

RINDU YANG TERTANGGUH

( Epilog sebuah pertemuan )

Saat pertemuan itu
kami seakan terlupa
telah dua dekad
melewati perpisahan
bila saling menyapa

”Awak masih seperti dahulu”

sedangkan hakikatnya
kami dibutai perasaan.

Terlakar di mata
adalah wajah-wajah
pada remaja yang dilewati
lantas airmata menitis.

Waktu yang sesingkat itu
saling diisikan dengan rindu-rindu
yang tertangguh
sehingga terlupa
kami tidak layak lagi untuk bemimpi
namun tetap meluahkannya
sehingga kehilangan kata-kata.

Lalu membiarkan
pandangan saling berbicara...

Kami seakan ingin
menahan matahari dan bulan
tetapi ia seperti berlari.

Saat perpisahan itu datang lagi
dan tidak pasti perpisahan
dua dekad akan datang
masih ada sisa rindu

Lalu setiap kepingan derita
lewat perpisahan kedua
kami kunyah dan kami telan
seterusnya berusaha untuk menikmatinya
sebagai sesuatu yang paling indah
sedangkan kami mengerti
kami membohongi hati kami.

Indah Hairani

Sunday, July 27, 2008

CATATAN BUAT YANG DIAM

Dentuman di langit
menerjunkan hujan-hujan api
membakar bumi Lubnan
merebah kubah-kubah batu
darah merah, daging bersepai
melekat di dada jalan
Taibe, Adaissen, Kyfer Killa...
hamis menerobos
memuntahkan segala benci dan cuak
anak peribumi

Seorang zainab terduduk di katil
dengan sebelah tangan terikat di dada
melemparkan pandangan polos
pada dinding hospital
Najem Tyre

Dan kisah usra bersama dua anak
adalah sebahagian kecil trauma
bakal melukis catatan ngeri
sepanjang hayat

Pada yang diam
dan masih menyembunyikan tangan
"Jenis apakah kalian!!"

Indah Hairani
Bukit Losong

Berita Minggu 13.08.06

Wednesday, July 23, 2008

Siapa Idham..dan RINDU BERBISIK

Assalamualaikum dan salam pagi..

Saya baru saja menjengah blog saya si esasterawan dan membaca respon dari Sue_Prima. Sebelum itu saya ingin ungkapkan rasa terima kasih saya kepada Sue kerana sudi singgah di blog yang tak seberapa itu..bercakap tentang RINDU BERBISIK dan harapan sue agar direviewkan sedikit...langsung saya kembali menghayati catatan saya, SIAPA IDHAM dalam blog tersebut.

RINDU BERBISIK telah lama bermukim dan bermastautin di dada saya. Kelahirannya merupakan satu proses penghijrahan dalam bentuk penulisan. Hasilnya maka lahirlah RINDU BERBISIK. Watak-wataknya adalah orang-orang di sekeliling saya..di sini saya bawa kembali tulisan "siapa Idham" ini untuk tatapan pembaca budiman, kerana Idham adalah watak yang saya hidupkan dalam RINDU BERBISIK.

Kepada Sue,insyallah RINDU BERBISIK akan menjadi miliknya. Ikhlas dari saya.

Saya merenung Rindu Berbisik di atas meja di hadapan saya. Saya memejamkan mata sejenak. Wajar ke selama ini saya mewar-warkan pada rakan dan sahabat terdekat, bacalah Rindu Berbisik! Dapatkan Rindu Berbisik! Saya akan puas bila teman-teman cakap, bagusnya Ndah! tersentuh hati saya menghayatinya. Namun ada juga yang diam membisu. Teringat saya dengan kata-kata Wikunilla.

"Tulislah sesuatu yang akan dikenang oleh generasi dan masyarakat sampai bila-bila. Kita harus jujur dalam berkarya." Saya terpanggil untuk kembali menghayati karya sendiri sebagai orang lain bukan sebagai seorang penulis.

Saya mula menilai, RB adalah sebuah kisah yang menyayatkan. Idham..Adam...saya mula menyoal. Untuk apa saya mencincang hati pembaca. Saya menzalimi Idham dengan mewatakkannya sebagai lelaki yang tabah dan sarat dengan pengorbanan. Sanggup buat apa saja demi orang yang dicintai, sekalipun diri sendiri terluka dan terhiris.
Saya ingat pada seorang pembaca, Azihani menemui saya dengan RB di tangan.

"Boleh saya tanya Ndah?"

"Sdri. membacanya?" tanya saya. Pandangan saya tertancap pada RB.

"Ya...maafkan saya. Pengawalannya agak hambar. Tapi dipertengahannya, saya tak nak berhenti." Katanya entah jujur atau sekadar ingin melihat reaksi saya terhadap kata-katanya. Saya senyum. Saya tahu, bukan beliau sahaja yang menyuarakan sedemikian.

"Siapa Idham?" Dia menyoal saya tiba-tiba. Hati saya terdetak. Kenapa Idham? Bukan Iskandar? atau Adam?

"Kenapa?"

"Saya sangat suka watak Idham, sehingga saya tak sanggup nak biarkan RB tamat dengan keadaan Idham begitu." Saya teruja mendengarnya. Azihani orang pertama yang menghayati watak Idham sedang sebelum ini ratanya menjadikan Adam sebagai watak yang paling disukai dalam RB. Wah! bisik hati saya, ini sudah cukup memberangsangkan.

"Sayapun suka Idham" tiba-tiba kata-kata itu terungkap dari bibir saya.

"Ya saya dapat rasakannya"

"Kenapa?"

"Sebab saya merasa Ndah terlalu dekat dengan watak tu." Azihani mengerling saya.

"Saya seharusnya dekat dengan semua watak-watak yang saya garapkan." Azihani mengangguk.

"Apapun tahniah untuk Rindu berbisik. Sampaikan salam saya pada Idham" Katanya. Saya ketawa.

"Erm...untuk projek terdekat ni, Ndah hantar proposal. ADAM dah ok, cuma kembangkan. tiga lagi proposal tu, Ndah emailkan saya. Jika menepati format kita, Ndah boleh proceed je." Pegawai DBP itu memandang saya dengan wajah serius.

Tiga proposal untuk 2 novel kanak, 1 novel remaja akan cuba saya ketengahkan. Sewaktu berpisah selepas diskusi pemurnian karya berlangsung, Azihani membisikan pada saya sekali.

"Siapa Idham?"
Apa yang telah saya lakukan? Lantas saya membelek kembali surat dari penilai.

"Kekuatan Rindu Bebisik adalah pada falsafah dan latar yang mampu mengembalikan ingatan pembaca yang pernah melewatinya"

Saya tersenyum. Ingatan pada kata-kata teman saya, Wikunilla kembali menusuk hati.

Salam bahagia kepada semua pembaca yang sudi berkongsi dengan saya.

PADA SYURUK YANG BENING

Syuruk yang bening
ada pilu menyerkup dada
pada khabar sendu benua saudara
melihat wajah-wajah
Fatimah dan Maryam
terduduk di atas permaidani
bernatar jingga
berona merah pekat
dari kelaring darah bonda
di sisi sebotol air dan
sebatang gula-gula dikongsi bersama

Derita mereka dapat kubaca
belum lagi melihat
Muhammad dan Ibrahim
menyelongkar sisa-sisa derita
ayahanda yang tertimbus
di bawah kubah batu
dan jeriji yang hampir rata

Pada lensa kamera
terkulum senyum pahit
dan jelingan tajam
aku seakan terdengar jerit
dari gerak bibir yang masih menggigil
"Sembuhkan hati kami yang rabak
cantumkan bumi kami yang retak"

Pada syuruk yang bening
hatiku berkocak kembali.

Indah Hairani
Bukit Losong
Berita Minggu 1.10.2006

Monday, July 21, 2008

Hanya Sebatas Ini dan Sue

”Kak Indah saya akan emelkan cover HSI. Harap Kak Indah setuju”

Sms yang saya terima dari editor, yang hanya mesra saya panggil Su sahaja. Seorang yang lembut dan bersopan memberi gambaran serta mewakili sifat dan attitude seluruh warga kerja penerbitan itu. saya gembira dengan layanan baik dan saya teruja bila membaca sms. Saya menunggu kehadiran HSI selama beberapa bulan dan saya garap dengan penuh perasaan. Saya masih ingat sewaktu Su menghubungi saya dan meminta apa yang mencetuskan idea untuk melahirkan HSI ini. Saya memejam mata sesaat. Mengenang kembali bagaimana minda saya berulang-alik ke Indonesia dan Malaysia serta menemui insan yang terlibat secara langsung dalam menghasilkan HSI ini. Saya masih ingat ungkapannyaa.

” Alangkan beruntungnya kalau saya seperti Ndah, mampu melahirkan segalanya seterusnya berkongsi dengan orang lain segala suka duka itu.” saya tersenyum.

”Setiap orang miliki cara tersendiri dalam menyuarakan perasaan. Ada orang melalui puisi, ada juga melalui lirik lagu pun ada juga melalui musik. Cara apa sekalipun, perkongsian itu adalah perlu” Jawab saya.

Saya tidak perlu tahu samada sahabat saya setuju atau tidak dengan pendapat saya. Dua hari selepasnya, saya menerima emel dari sahabat saya itu, dengan ringkas dia menulis.

”Ndah tulislah apa yang Ndah ingin tuliskan, yang penting Ndah jujur dalam menulis.” Termenung saya sejenak.

”Insya Allah, doain saya.” Ungkap saya dalam bahasa negara jiran. Nada Sms menyentap ingatan saya. Sahabat saya terus hilang dari ingatan.

”Kak Indah, emelkan pencetus idea ya.”
Saya menghela nafas.

”Ya sayang, nanti Kak Ndah emelkan.” Jawab saya ringkas. Lantas saya mula mengetuk-ngetuk keyboard.


” Hanya Sebatas Ini saya lahirkan dengan penuh perasaan, mengadunkan peristiwa tangis, derita, suka dan duka insan-insan yang pernah hadir dalam hidup saya. Saya ingin membawa setiap pembaca untuk berada dalam Hanya Sebatas Ini dan meneroka perasaan Dani Ramdani dan Nur Qaseh. Perkongsian ini sangat bermakna buat saya.”

Salam hormat dari saya.

Indah Hairani

”Ok..kak Ndah, Su dah baca emel. Bagus. Terima kasih”

Baru sebentar saya terima emel cover HSI. Saya sangat teruja melihatnya. Kreatif dan sangat bagus. Alhamdulillah, hanya ungkapan itu yang terluah. Selebihnya terima kasih kepada Editor, pereka, sudah pada semua yang terlibat dalam penerbitan HSI yang bakal keluar di pasaran tak lama lagi. Layanan pihak penerbit, membuat penulis kecil seperti saya rasa sangat dihargai. Terima kasih Su.

Salam bahagia.
Indah Hairani.

Tuesday, July 15, 2008

Indahview


Anuar Zain - Perpisahan

Ku mengerti perpisahan ini
Bukan kerana kau membenci
Tapi kasih yang pernah kuberi
Tiada lagi bersama

Seringkala aku terlihatkan mu
Impian nan indahBersulam bahagia
Ku harungi hari demi hari
Bersama wajah tak mungkin akan kembali
Tapi hati masih tak terima
Ditinggalkan sengsara

(Korus)
Keraguan ini bukanlah padamu
Perasaan hati masih rindu
Kekalutan ini hanyalah untukku
Tercari-cari bayanganmu
Tak sanggup aku kehilangan
Kehilanganmu

Kasih tercari-cari

Keraguan ini bukanlah padamu
Masih tercari-cari bayanganmu
Tak sanggup aku kehilanganmu

_________ *** __________
Saat saya menghayati Perpisahan, perasaan saya sangat tersentuh dengan lirik dan iramanya. Saya seakan hanyut dibawa arus perasaan. Betapa sengsaranya sebuah perpisahan, apa lagi perpisahan membawa pergi bersama perasaan yang tertangguh yang tidak sempat diungkapkan.

Kepada yang pernah melalui kegetiran dari perpisahan, ia sebenarnya hanyalah dugaan yang sangat kecil dari Allah untuk hamba-hamba yang dipilihnya.

Wednesday, July 9, 2008

Rindu

Saat mentari melamar rembulan
rindu bertamu
kitapun resah mencari mimpi
malam menjadi kian sarat
merangkak
lalu kitapun belajar memaknainya.

Indah Hairani
BUKAN ARENA SENGKETA


Hampir kering tinta pena
dan jenuh melakar warna damai
merentas samudra
melangkah tanah rata
menuruni lembah
mendaki bukit
meredah rimba
menyusup di celah bata

Ketika mata terbuka
ada mulut-mulut terkatup
langkahpun mulai goyah
kita biarkan
debu-debu berterbangan
angin kering berserakan
mimpi-mimpi yang berkecai..
hati-hati yang terhempas.

Kini
mari kita isikan tinta
kembali lakarkan sejuta warna damai
pada setiap warga
pada segenap pelusuk
tanah ini bukan arena sengketa.

Indah Hairani
Bukit Losong

Jas! Tetap berlegar di ingatan saya

Kelmarin sewaktu saya menerawang website, saya terjumpa sebuah nama yang sangat-sangat tidak asing dalam benak saya berbelas-belas tahun yang lalu. Insan yang sering seiring ke kuliah, membelek kertas tracing yang besar-besar dan kadang-kadang duduk di hadapan saya merenung saya saat saya leka melakar-lakar dan menyudahkan projek. Sekalipun dia junior dan dari jurusan yang berbeza, tetapi ia bukan penghalang kepada hubungan akrab kami. Saya merasa senang dengan dengan semua itu.

Perpisahan terjadi bila semester akhir berakhir. Saya masih ingat sewaktu saya menghantarnya di Pudu Raya, saya masih belum mampu memaknai kesedihan. Pada saya perpisahan itu normal dan pada saya ia tidak berakhir selagi kami mampu berhubungan melalui telefon ( tempoh itu tidak ada email...) sepanjang menunggu waktu untuk dia meninggalkan terminal, tidak ada apa yang kami luahkan..( sekalipun kami bukan lagi di awal remaja ..)

"Emi.., Jas ke sana kejap" Ungkapnya tiba-tiba. Saya hanya mengangguk sambil memerhati lagak orang-orang yang lalu lalang di depan saya. Hampir sepuluh minit dia muncul sambil tanganya memegang sebuah akhbar lantas melabuh duduk di sebelah saya. Pun masih tidak bercakap tentang perpisahan dan apa yang bakal kami lalui selepas itu. Ia seakan-akan memberi gambaran, ia tidak memberi kesan apa-apapun. Sesekali saya menjeling ke wajahnya. Berkulit hitam manis, berambut pendek dengan sepasang mata yang jernih. Sangat menenangkan perasaan.

"Erm! kenapa pandang Jas macam tu?" Soalnya tiba-tiba. Saya, waktu itu hanya tersenyum. Tak ada jawapan pada soalannya. Pada saya, jawapannya ada dalam kepalanya. Betapa jauhnya beza antara lelaki dan perempuan dalam memaknai perasaan.

"Nanti, Jas akan tulis surat." Ujarnya tiba-tiba. Saya hanya mengangguk.

"Emi,selepas ni nak buat apa?" Soalnya lagi bila saya tidak memberi sebarang respon pada soalannya.

"Buat apa lagi? Balik kampunglah!"Dia ketawa mendengar jawapan saya.

Sewaktu pengumuman ketibaan bas ke Johor Bharu, dia bangkit. Sayapun iku bangkit sambil memberi perhatian pada penumpang-penumpang yang mula berarak untuk menaik bas yang sama.

"Emi.." Saya menoleh ke arahnya. Dia tiba tiba mengeluarkan sekuntum ros putih lantas menghulurkan kepada saya.

"Ini untuk Emi." Katanya sambil tersenyum. Saya mencapainya. Saat itu saya tidak pernah belajar memaknai erti sekuntum ros putih. Saya hanya memasukkan ros itu ke dalam poket tanpa memikirkan apa-apa selain dari rasa terharu setelah sekian lama belajar di bawah satu bumbung. Sepulangnya, saya masukkan kuntuman itu di dalam dairi. Sempat saya saksikan ia terlerai sehelai demi sehelai. Lantas, bunga ros dan dia berlalu meninggalkan saya menjadi kenangan.

Beberapa tahun selepas itu, saya terbaca tentang makna-makna warna-warna ros. Antara yang terambil oleh saya, adalah tentang ros putih. Ros Putih memberi maksud Perpisahan. Betul ke? Kalau betul bermakna, saya yang silap membuat andaian. Lelaki lebih tahu dari perempuan. Baru saya sedar, perpisahan itu yang ingin disampaikannya pada saya saat akhir pertemuan kami. Tidak hairanlah selepas itu saya tidak menerima sabarang surat darinya sebagaimana yang dijanjikan pada saya. Ah! Jahilnya saya.

Namun takdir. Hanya Tuhan yang tahu dan mengerti atas segala apa yang ditentukan. Semalam, saya langsung tidak menjangka akan menerima email darinya. Lebih memeranjatkan lagi, kedua-dua no telefon saya menerima beberapa panggilan yang tidak berjawab dari nombor asing dan sms inbox di kedua-dua nombor tel saya.

"Salam, nape x jwb saya punya call? Tq! emel sy- Jasni" Saya seperti inginberteriak. Ya Allah. Dunia ini terlalu sempit dan masa bukan jarak dan penyudahnya. Saya terus menghubunginya.

"I miss all those memories..hope we can meet again and continue those sweet memories..can we?" Saya tersenyum. Mms saya terima wajah terkininya. Hati saya tersentuh dan terharu. Totally berubah. Hanya bibir dan sepasang matanya yang tidak berubah. Ada sesuatu yang membuat saya mengucap syukur. Ungkapan Alhamdulillahpun meniti di bibir dan mengalir di hati saya. Lambang kesolehannya terpahat di wajahnya. Ingatan saya berlari pada wajahnya yang masih melekat di dinding ingatan saya.

Malamnya saya menyelongkar album usang yang masih tersimpan rapi. Dua keping saya keluarkan darinya.

"Aik! nak buat apa dengan album2 lama tu?"

"Nak hantar pada empunya diri"Sayang saya tersenyum mendengar jawapan dari saya.

"Tak sangka berbelas tahun terpisah, tiba-tiba muncul." ujar saya.

"Semua tu kerja Tuhan..siapa tahu." Dalam hati saya mengiyakan.

Hari ini dan sebentar lagi saya akan emelkan dua foto wajahnya yang kini menjadi milik saya untuk tatapannya. Biar dia melihat dirinya pada musim lampau yang pernah dia lalui. Saya yakin dia akan berterima kasih kerana saya masih menyimpan untuknya.



Salam bahagia untuk JASNI.

Sunday, July 6, 2008

Orang hebat, jiwapun hebat

Sewaktu menerima panggilan dari Perpustakaan Negara dan Dawama, saya tertanya-tanya..erm saya agak terkejut, lantas saya menghubungi pihak Dawama. Apabila diberitahu saya dan Faisal Tehrani antara yang dijemput dan terpilih, saya benar-benar rasa teruja, apa tidaknya novel-novel Faisal Tehrani antara yang menjadi koleksi pribadi saya. Saya bersama penulis Buku Prima, Dyza Ainun dan Fatin Nabila, penulis Alaf antara rakan penulis yang sudi bersama saya pada tarikh yang ditetapkan.


Saya menghubungi novelis terkenal PTS, En. Abdul Latip, saya gembira mendapat tahu yang beliau juga turut berada di PWTC, namun lebih awal sehari dari saya. Itu bermakna saya mungkin tidak berpeluang menemui beliau. Apapun saya tetap berdoa peluang tersebut ada buat saya. Alhamdulillah kami berjumpa secara kebetulan. Terima kasih tuan di atas peluang yang diberi untuk berujar sepatah dua dengan beliau.

Jam 9.00 pagi sewaktu saya bersarapan, saya diberitahu oleh Fatin, pihak penerbit menghubungi saya untuk confirm kedatangan saya di lokasi. Tepat jam 11.00 pagi saya tiba. Wah! rupa-rupanya saya dan Faisal Tehrani ditempatkan berdekatan dengan meja penulis PTS, Ain Maisarah. Penulis cantik manis yang telah berjaya menulis buku-buku remaja. Tidak hairanlah meja beliau dikerumuni oleh remaja dan pelajar sekolah.

Lebih kurang jam 12.00 tghari, Faisal Tehrani tiba. Pertama kali berhadapan dengan orang hebat. Orangnya sangat sederhana. Tidak sombong dan bersedia menjawab sebarang pertanyaansaya. Kecilnya saya di sisi beliau. Terima kasih Sdr. Faisal. Mudahan akan ada waktu kita bertemu lagi.

Pemergian saya ke sana semakin bererti dengan kehadiran beberapa lagi orang hebat dalam dunia kepenulisan tanahair. Sudah tentulah D. A. Samad Said, En. Shamsuddin penulis buku yang sangat hebat dewasa ini, dan yang juga bererti adalah peluang menemui insan kecil yang hebat. Adik Adi. Pertemuan dengan insan-insan yang hebat itu membuat saya tersenyum setiap kali melihat foto-foto bersama beliau.