Assalamualaikum..
2013 hampir
melabuhkan tirainya. Apabila tabir disingkap menjelmalah tahun 2014.
2013 akan
kita tinggalkan bersama azam-azam lama yang mungkin telah tercapai, mahu
diteruskan pencapaiannya ataupun berkubur sekadar azam yang bertukar angan.
2013. Banyak
kontroversi dan fenomena besar yang
melanda negara kita yang tercinta. Suka yang sama- sama kita kecapi. Ada juga
duka yang sama-sama kita ratapi.
ERA PASCA-PILIHANRAYA
Peristiwa
paling besar bagi aku adalah Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan
pertempuran sengit di bidang siasah dan politik.
Kehidupan
era pasca –pilihanraya nyata seperti edisi-edisi sudah hanya indah khabar dari
rupa.
Kita sebagai
rakyat menjadi pemerhati dan penilai berapa banyak janji yang sudah dilaksana
dan berapa banyak pula yang dimungkiri tanpa rasa bersalah.
Aku rindu
suasana sebelum PRU. Semuanya kedengaran manis dan indah. Mimpi bersinar, angan
membunga, impian menggunung.
Aneh,
kitaran janji-tipu-janji-tipu menjadi makanan rutin rakyat. Ada yang sedar dan
ramai juga yang terkebil-kebil keliru.
Dua- dua
pihak masih tak terlepas daripada fenomena “terpaksa memungkiri janji”. Pihak
yang menang menjadi kerajaan mahupun yang kalah terpaksa menjadi pembangkang.
Rentetan kenaikan
harga barang dan kos sara hidup di hujung baki tahun 2013 ternyata menyesakkan
rongga dada rakyat marhaen yang terpaksa bernafas lelah di celah-celah sempit kehidupan
di bawah payung sistem kapitalisme ini.
Kapitalisme
menyebabkan kita menjadi hamba materialistik. Hamba kepada wang.
Cukai naik
dan subsidi dikurangkan. Syukurlah sekurang-kurangnya rasionalisasi subsidi
gula (baca: harga gula naik) telah mengurangkan kes-kes diabetes secara
mendadak.
Alternatif
kenaikan petrol, sudah ramai yang mula beralih kepada kenderaan dan jet
peribadi yang tak menggunakan RON 95, 97 ataupun diesel. Diorang gunakan
kerosin. Atau minyak sawit perah sendiri.
Tol naik?
Guna sahaja laluan untuk motosikal. Atau jalan denai celah hutan belantara yang
bebas tol.
Tarif elektrik
meningkat? Kita negara iklim khatulistiwa. Disimbah cahaya matahari sepanjang
tahun. Tenaga solar penyelesaian terbaik. Biar TNB bangkrap. Padan muka.
Menteri?
Persetankan mereka yang tak pernah merasa mengeluarkan duit sendiri membeli
keperluan asas. Tak pernah berasa gelisah mahu mencatu segala perbelanjaan
harian. Hanya mahu mencuba derita rakyat secara bermusim. Itu pun hanya
bermuka-muka.
Yang menteri
tahu hanya menggunakan otak bebal mereka mengeluarkan kata-kata dan kenyataan
bodoh yang mengguris hati rakyat yang telah sedia terluka. Darah luka lama
masih mengalir, ditebuk pula luka yang baru.
Dan mereka
terus berdekah-dekah ketawa di atas kerusi empuk amanah yang telah hitam legam
dengan pengkhianatan dan korupsi.
Kroni?
Mereka berada pada kelas tersendiri. Kasta mereka lebih tinggi berbanding
rakyat biasa. Mereka lebih mulia dari kita semua. Heh.
HIMPUNAN GULING
KERAJAAN
Penghujung
era 2013 kita dikejutkan desas desus kencang bertiup di media tentang sebuah
perhimpunan yang dikatakan mahu menggulingkan kerajaan!
Dengar saja
sudah cukup menggerunkan. Aku dah membayangkan sekumpulan besar manusia berarak
dengan ganas membawa senjata berbahaya bersama sekelompok batalion tentera yang
berpaling tadah.
Bergerak
menuju ke pusat pentadbiran dan menyerang segala apa yang menghalang kemaraan
mereka. Pertempuran sengit tercetus. Nyawa melayang.
Err, mungkin
aku terlampau banyak menonton cerita perang.
Dan
sejujurnya bila dengar nama “Himpunan Guling Kerajaan” sudah mampu membuat
orang guling-guling ketawa. Lucu. TURUN tiba-tiba menjadi GULING.
Hebat
sungguh sentimen meniupkan api keresahan dan kebimbangan yang dimainkan oleh
media. Aku hampir hampir percaya 2%.
Aku masih
belum menjumpai ayat-ayat hasutan daripada pihak penganjur supaya menggunakan
kekerasan dan keganasan menuntut kerajaan sedia ada melepaskan takhta
pemerintahan yang sekian lama selesa dipegang.
Kalau ada
pun hasutan ianya datang daripada individu dan bloggers yang boleh dipersoalkan
kredibilitinya. Malang, akhbar,TV dan media utama menjadi pencedok menyebarkan
berita yang belum tentu sahih. Media nyata selevel majalah tabloid gosip
murahan penyebar fitnah.
Sehina
Majalah Mangga dan rancangan Melodi.
Ini dunia akhir zaman. Zaman fitnah. Zaman di mana fitnah berleluasa dan digunapakai sebagai fakta.
Senjata
paling canggih yang diseru supaya dibawa pun mungkin hanya garam dan air
mineral. Takkan hanya dengan itu sahaja mampu menggulingkan sebuah kerajaan
yang cukup hebat dari segi ketenteraan dan persenjataan?
Hantar saja
sebuah Scorpene sudah cukup menghapuskan sekelompok manusia itu. Eh silap.
Scorpene bukan alat ketenteraan. Ianya artifak lagenda zaman berzaman.
Atau mungkin
aku silap. Maklumat aku belum cukup. Korang nilaikan sendiri. Ataupun kita
tunggu dan lihat.
Yang pasti
aku tak sertai himpunan sama ada guling kerajaan mahupun guling akhlak.
HIMPUNAN GULING
AKHLAK
Sambutan
Ambang Tahun Baru kalau masih diteruskan tradisinya seperti tahun-tahun lepas
nyata jauh lebih berbahaya daripada “Himpunan Berguling-guling Bersama
Kerajaan”.
Himpunan
muda mudi menyambut tahun baru dengan program maksiat lebih berbahaya kepada
akhlak dan akidah. Ianya HIMPUNAN GULING AKHLAK. Mungkin lebih dahsyat GULING
AKIDAH. Amalan agama apakah yang menggalakkan umatnya berhibur secara melampau
untuk menyambut ketibaan awal Masihi? Belum cukup sambutan 1 Muharram? Itupun kalau
teringat nak sambut.
Pujalah
artis yang kamu suka itu. Agungkanlah hedonisme yang telah menjadi raja itu.
Sembahlah nafsu yang hampir menobatkan dirinya sebagai Tuhan itu.
Mungkin jika
korang bernasib baik, korang akan dihimpunkan bersama artis-artis yang korang
cinta itu. Bila? Apabila semua manusia berhimpun dalam satu himpunan mega yang
paling besar di akhirat kelak.
HIMPUNAN
GULINGKAN KEBATILAN.
HIMPUNAN
GULINGKAN PENDERHAKA.
HIMPUNAN
GULINGKAN MANUSIA KUFUR.
HIMPUNAN DI
PADANG MAHSYAR.
#Maaf
artikel terlalu panjang. Mungkin tiada yang sanggup membaca. Sekadar luahan
pendapat peribadi. Mungkin hanya pendapat aku sorang. Mungkin tak sehaluan
dengan korang.
SELAMAT
TAHUN BARU 2014.
Penat
menaip. Mahu guling-guling atas tilam sebentar.