Oleh Efindi Badarudin, Isma Ismail dan Erywan Norshal
KUALA LUMPUR: Enam kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dikatakan menerima ancaman bom daripada seorang lelaki yang mendakwa bapa kepada bekas pelatih yang dirogol sebelum membunuh diri, 17 April tahun lalu.
Dua daripada kem terbabit iaitu di Pasir Mas dan Kuala Krai, Kelantan, sudah membuat laporan polis masing-masing awal bulan ini dan minggu lalu selepas menerima ancaman bom itu melalui faksimili.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada kedua-dua kem PLKN itu.
Menurutnya, ancaman bom itu bagaimanapun tidak memaklumkan lokasi kem PLKN yang akan diletupkan.
“Kita masih menyiasat perkara ini dan keadaan di semua kem PLKN terkawal serta selamat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa yang anak mereka sedang mengikuti latihan di kem PLKN agar tidak bimbang kerana keadaan adalah terkawal.
Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berikutan berlakunya ugutan jenayah.
“Apa yang saya dimaklumkan pihak terbabit sudah menghantar faksimili ancaman bom itu ke ibu pejabat PLKN,” katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Halim Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima ancaman bom daripada individu tidak dikenali kira-kira dua minggu lalu.
Menurutnya, sebaik menerima ugutan itu, pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada 10 April lalu.
“Kita mengikut prosedur dan peraturan ditetapkan untuk membuat laporan polis sekiranya menerima sebarang ugutan atau ancaman,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Abdul Halim berkata, PLKN kini menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
“Saya tidak dapat mendedahkan kandungan faksimili ini kerana sudah membuat laporan polis dan bimbang akan mengganggu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, JLKN juga mengambil langkah awal dengan menghantar surat pekeliling kepada semua kem di seluruh negara mengenai ancaman bom berkenaan.
“Ini sebagai langkah berjaga-jaga. Walaupun tidak semua kem menerima ancaman, kita perlu mengikut prosedur memaklumkan kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, sumber mengatakan dua kem PLKN di Kelantan dipercayai membuat laporan polis itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam ancaman bertulis melalui faksimili itu, individu berkenaan mendakwa dirinya bapa kepada seorang bekas pelatih PLKN di Selangor, tahun lalu.
Dia mendakwa anaknya dirogol dan didera di kem itu sehingga mengalami tekanan perasaan sebelum membunuh diri dengan menelan ubat secara berlebihan di rumah mereka, 17 April tahun lalu.
Berikutan itu, sebagai menyambut ulang tahun kematian pertama anaknya itu, lelaki berkenaan mengancam mengebom enam kem PLKN di seluruh negara dengan menggunakan alat kawalan jauh yang diseludup ke kem terbabit.
Dia mendakwa sudah tidak tahan lagi menanggung derita dan mahu menuntut bela kematian anaknya itu.
Dalam tinjauan Harian Metro ke sebuah kem PLKN di Kelantan yang membuat laporan polis, semalam, mendapati pelatih kem berkenaan menjalankan aktiviti seperti biasa.
Tetapi wartawan tidak dibenarkan masuk dan hanya bercakap dengan komander melalui pintu pagar.
Beliau turut enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan ancaman itu tetapi tidak menafikan membuat laporan polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan