Oleh Ilham harapan
Dalam Kitab Fathul Bari pada juzuk 7 pada bab ke-8 dalam Kitab bada'a al-Khalq pada mensyarahkan hadith bil. 3245 (pada matan akhir pada hadith tersebut), Imam Ibnu Hajar berkata setelah memetik kalam penafsiran daripada Jabir, maka Ibnu Hajar berkata: "maka, jadilah helaan nafas mereka (ahli syurga) tasbih (pujian kepada Allah). Sebabnya hati-hati mereka telah disinari dengan makrifat (mengenali) Allah dan dipenuhi hati mereka dengan kecintaan kepada-Nya. Dan siapa yang menyukai sesuatu, nescaya dia akan banyak menyebutnya.
(Sila rujuk Kitab Fathul Bari M/S 3846 jilid 8 cetakan Maktabah 'Asriah)
Hari ini seperti hari-hari biasa aku berseorang dari rumah menuju ke Asrama Pelajar Johor. Kebetulan tiada rakan serumah yang mahu ikut sama. Berjalan aku bersendirian. Hari ini cuaca seperti biasa, sama sahaja dan tidak berubah seperti semalam. Aku berjalan sambil menikmati hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa. Sedang aku berjalan, fikiran aku mula berkira-kira dan hati mula bermonolog.
'Tahun ini merupakan tahun terakhir pengajianku dan harap-harapnya begitulah.'
Diam tak diam aku kini berada di tahun akhir. Masa berlalu seperti unta yang berjalan mendaki ke puncak Jabal Musa. Perlahan sahaja unta berjalan. Tahu-tahu dah sampai ke puncaknya. Begitulah perumpaan yang cuba aku bikin. Entah betul entah tidak. Hari-hari aku menghitung dan melalui detik waktu, rasa macam lambat dan perlahan masa ketika aku melaluinya. Tetapi, diam tak diam dah nak habis study.
Dulu, semasa aku di sekolah menengah, aku sering membayangkan Ardul Kinanah ini. Aku sering bertanya kepada guru-guruku lepasan bumi Anbiya ini. Macam-macam perkara yang aku dengar yang terus menarik minat aku untuk menuntut di sini. Hari-hari teringat dan terbayang permukaan bumi Kiananah yang masih dalam fantasi khayalanku pada masa itu. Begitu juga ketika aku di Maahad Johor. Perkara yang sama aku lalui. Aku sering dan selalu terfikir tentang pengajianku di Universiti al-Azhar kelak. Bagaimana agaknya. Tapi itu perkara lama yang telah pun lama berlalu. Telah pun menjadi memorial abadi dalam muzium sejarah hidupku.
Bila sebut sekolah menengah, aku teringat semula beberapa kisah suka duka bersama rakan-rakan. Antara kisah yang ingin aku kongsi di sini bagaimana seorang rakan sebilik aku yang sedang mabuk cinta. Bagaimana kehidupannya ketika itu, bangun tidur ingat si dia, makan ingat si dia, minum ingat si dia, belajar ingat si dia, baca kitab terbayang muka dia. Dipendekkan cerita, semuanya si dia. Tapi, bagi aku mungkin ini lumrah orang bercinta. Biasalah tu. Tapi itu zaman dahulu kala. Semuanya dah berlalu.
Semasa aku di sini, suatu ketika aku terbaca sebuah artikel berkisar tentang wanita sufi Rabiatul Adawiyah. Rabi'atul-Adawiyyah sentiasa menangis kerana Allah. Orang bertanya kepadanya sebab beliau menangis. Rabi'atul-Adawiyyah menjawab, "aku takut berpisah walau sedetik pun dengan Tuhan dan tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafas terakhir - jauhkan dia dariKu kerana dia tidak layak berada di majlisKu."
Begitulah beberapa kronologi dan rentetan peristiwa yang ingin aku kongsi bersama. Cuma berdasarkan cerita dan peristiwa yang aku bawakan, ingin aku nyatakan sebagaimana tajuk penulisan aku kali ini:
"من أحب شيئا أكثر من ذكره"
maksudnya: Barangsiapa yang mencintai sesuatu nescaya dia akan banyak mengingatinya (dengan selalu menyebutnya dll).
Untuk akhirnya; sesampai aku di perkarangan Asrama Pelajar Johor, aku mula berfikir. Apakah yang selalu aku ingat. Siapakah yang sering aku sebut namanya. Marilah sama-sama kita fikirkan.
Sebagai konklusinya, bahawasanya diri kita sekiranya kita mencintai dunia, nescaya dunialah yang paling banyak kita sebut dalam kehidupan kita seharian. Sekiranya Allah yang kita cintai, nescaya kalimah Allah akan sentiasa bermain di tubir bibir kita. Tetapi, berapa banyakkah kita mengingati Allah dalam kehidupan seharian kita?
Wallahu Aa'lam
p/s (nampaknya aku pun sama, kurang mengingati Allah).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan