Oleh : Halaqah IPG
SATU PANDANGAN UMUM
Fenomena kini di setiap bumi IPG di seluruh Negara , sibuk membicarakan berkenaan pilihanraya kampus. Hal ini secara jelas bertujuan memilih pemimpin pelajar yang benar-benar berkualiti bagi menerajui kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP). JPP berfungsi sebagai mata ,telinga pelajar dalam menjaga kebajikan mereka sepanjang menuntut ilmu di bumi IPG.Hal ini bermakna pemimpin yang dipilih mempunyai tanggungjawab yang berat dan mereka benar-benar perlu berkarisma dalam memberikan perkhidmatan terbaik terhadap masyarakat kampus.
Kepemimpinan adalah suatu seni. Untuk itu pemimpin perlu mengenal watak orang-orang yang dipimpinnya. Dari situlah dia dapat memainkan seni kepemimpinan dengan mengadakan pendekatan-pendekatan tertentu secara individu dan secara kelompok; mengetahui bahawa sikap manusia itu berpunca daripada kepentingan diri. Maka apabila pemimpin pandai memainkan seninya, menyentuh kepentingan orang-orang yang dipimpinnya, dia akan mendapat reaksi yang baik.
Dalam hal kepemimpinan, Islam membawakan contoh kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Itulah yang sebenarnya kepemimpinan Islam; pada diri Nabi s.a.w. terdapat contoh teladan yang baik dalam segala hal kehidupan manusia.
PENDEKATAN KEPIMPINAN
Nabi Muhammad s.a.w. menggunakan pendekatan individu dan pendekatan kelompok dalam memimpin. Dia selalu menyamakan dirinya dengan orang lain. Jika o0rang lain susah, dia juga susah seperti mereka. Apabila bertemu dengan kelompok dia menonjolkan kegembiraan: setiap kelompok yang ditemunya digembirakan terlebih dahulu. Kemudian barulah diikuti dengan catatan nasihat atau permintaan. Dia mengadakan variasi bila menghadapi kelompok yang berlainan: pelajar, ulamak, orang-orang miskin, orang-orang kaya, wanita, kanak-kanak dan sebagainya. Perbicaraan dibawa ke arah mereka. Dengan demikian terasa bahawa kehadiran mereka diperlukan.
Berdasarkan contoh itu, pemimpin perlu mengetahui keadaan agar dia boleh menjadi pemecah masalah. Pemimpin tidak boleh sekali-kali mematahkan semangat tetapi harus selalu menggembirakan.
Walaupun orang yang dipimpin itu melakukan kesalahan, pemimpin perlu menggunakan kebijaksanaan agar dia tidak kecewa tetapi sebaliknya timbul keinginan untuk berbuat yang lebih baik lagi.
Dalam keadaan yang lain pula, pemimpin perlu menitikberatkan pengabdian. Dia harus suka memberi dan kurang suka menerima. Ini memerlukan keikhlasan. Dengan melihat sifat baik yang seperti ini berterusan, banyak orang yang akan mengakuinya. Prestasinya meningkat. Dia dipercayai. Kewibawaannya akan bertambah. Dari sini dia lebih mudah menjalankan kepemimpinannya. Orang akan senang mengikutnya. Dalam masa yang sama harus diingat bahawa mengajak ke arah kebaikan itu lebih berkesan dengan perbuatan. Pemimpin sebagai orang yang paling menonjol selalu diperhatikan. Perbuatannya meninggalkan kesan yang mendalam di kalangan orang yang dipimpinnya.
Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. adalah dengan melakukan sesuatu lebih baik daripada orang lain. Dia menyuruh orang lain sembahyang lima kali sehari, sedangkan dia sendiri berbuat lebih daripada itu. Dia menyuruh orang lain berpuasa sebulan dalam setahun, sedangkan dia saban hari berpuasa. Keberhasilan kepemimpinan Nabi Muhammad s.a.w. terletak pada sekurang-kurangnya empat perkara:
- Memimpin dengan berbuat, tidak cuma bercakap. Dia tidak hanya memerintah orang lain berbuat sesuatu, tetapi dia sendiri melaksanakannya.
- Memegang prinsip keadilan. Kepentingan orang-orang yang dipimpin adalah yang utama. Nabi Muhammad s.a.w. mampu menjadi kaya tetapi dia tidak ingin kepada kekayaan; dia lebih suka sama dengan orang-orang yang dipimpinannya.
- Penggunaan pendekatan yang tepat: cara inividu dan cara kelompok.
- Ketiadaan benteng pemisah: tidak ada sekatan antaranya dengan orang ramai. Suasanan kekeluargaan dan persaudaraan lebih diutamakan. Perhubungan tidak terlalu formal.
Begitu jugalah kepada seorang pemimpin Islam: sekurang-kurangnya empat perkara itu patut ada pada dirinya. Dalam pada itu harus pula diingat tentang prinsip umum Islam: apabila melaksanakan kepemimpinan ini, keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi perlu dipelihara. Jika satu dipentingkan manakala yang satu lagi dibiarkan runtuh, kehancuran akan terjadi. Islam bukanlah terletak pada ciri-ciri Islam semata-mata. Untuk apa ciri kalau pada pelaksanaannya tidak mencerminkan keislaman.
Orang-orang Barat menganggap Nabi Muhammad s.a.w. berhasil dalam kepemimpinannya kerana prinsipnya mencakupi keduniaan; terdapat perseimbangan dan pengaturan yang baik antara material dan spritual.
Dua ajaran dari Barat tidak sedemikian. Karl Marx berpegang bahawa kesejahteraan itu bergantung kepada pemenuhan keperluan perut. Sigmund Freud pula mengatakan kesejahteraan bergantung kepada pemuasan nafsu, terutamanya nafsu seks. Pegangan-pegangan ini berbeza dengan ajaran Islam. Dalam Islam kebahagiaan adalah hasil daripada mengikuti ajaran Allah dan Rasulnya. Kebahagiaan adalah sesungguhnya spritual, dan material merupakan keperluan. Kedua-duanya mempunyai hubungan yang rapat. Bagaimana akan bahagia kalau keperluan tidak dipenuhi? Dan seperti yang nyata sekarang, jika cuma keperluan material sahaja yang dipenuhi, sedangkan keperluan spiritualnya terbiar, kebahagiaan tidak diperolehi.
KESIMPULAN
Justeru, tidak syak lagi,pilihanraya kampus (PRK) sepatutnya menjadi medium yang sesuai untuk melatih guru pelatih menghayati sifat kepimpinan Rasulullah. Tempoh masa berkempen seharusnya digunakan sepenuhnya oleh calon-calon untuk berkempen bagi menerangkan manifesto dan gagasan mereka sebenarnya sesuai dengan lunas keadilan Islam. Maka seharusnya pengundi jangan hanya menilai calon-calon yang bertanding melalui poster hitam putih dan sedikit manifesto berbentuk tulisan yang dilampirkan bersama.nilailah mereka melalui peribadi, pergaulan serta penghayatan yang sebenar kepada nilai-nilai Islam.
Hal ini supaya pemimpin yang dilantik dapat menjalankan amanah dengan telus serta mampu menggerakkan organisasi seoring dengan kehendak semasa tanpa sedikit pun lari dari landasan Islam. Kiranya criteria pemilihan ini dipandang enteng, ditakuti pemimpin yang dipilih nanti hanya menjadi ‘pemimpin kangkung’ yang hanya timbul dan menampakkan muka hanya semasa musim pilihanraya.Walhal sebelum ini mereka tidak dikenali langsung sebagai mereka yang aktif dan layak digelar sebagai pemimpin.