Adakah penyair-penyair telah mabuk segala?
Mereka memuja-muja
ayat-ayat dusta, menyalin isi kitab-kitab syair jahiliyah zaman Firaun, lalu
menukang syair-syair dusta dan palsu yang ternyata sia-sia dunia dan akhirat.
Sebahagiannya
kerana kejahilan, sebahagiannya kerana keangkuhan.
Wahai
penyair, bolehkah membancuh sudi dan noda dalam satu bejana?
Kalian ingin
mewarnakan langit dengan warna hijau, bolehkah?
(Kononnya
mereka adalah para intelektual, cendekiawan, ulama dan pejuang).
Mereka membina
mahligai indah dan memakai kain yang jatuh menyeret ke bumi, hadir di
majlis-majlis kotor dan maksiat, menerima kalungan anugerah dari para penguasa
zalim.
Kata kalian,
“ini syair agung; untaian kata-kata dusta dan sendiri tidak bisa memahaminya.”
Bukankah itu
juga kata pujangga jahiliyah?
Ini syairnya:
Rupanya cantik
– tak boleh dinikmati; lahirnya indah – tak boleh dihayati; bentuknya elok –
tak boleh digenggam
Apa gunanya
apa ertinya apa maksudnya?
Isinya mabuk
lagi memabukkan, sesat lagi menyesatkan, juga sulit lagi tak bererti, sehingga
mereka lalu mabuk dan sesat bergelandangan di lembah-lembah gelap dan tandus
kering, memuja-muja roh jahiliyah, lalu jatuh tergeletak di tepi-tepi tong
sampah pasar Ukkaz ibaratnya.
Sesungguhnya
di bawah sana, lihatlah... kemiskinan, kejahilan, kepalsuan, penjajahan dan
penindasan menjadi raja dan memperbudakkan seluruh umat manusia, tetapi mereka
masih bisu , menulikan telinga dan membutakan mata.
Adakah mata
hati mereka telah buta pada cahaya kebenaran?
Sesungguhnya
syair yang paling indah inilah: “ketahuilah, setiap sesuatu selain Allah adalah
bathil.”
Itulah ungkapan
Lubaid.
Tidakkah mereka
sedari bahawa mereka menipu dan menderita & tidakkah mereka mahu merenung
diri dan berasa malu?
Petikan daripada
buku kumpulan sajak CANDU, 2001.