Friday, 15 April 2011

PEMBANGKANG YANG MEROSAKKAN?



MELIHAT situasi hari ini di seluruh dunia, telah terjadilah apa yang dperingatkan oleh nabi Muhammad saw bahawa akan berleluasa fitnah pada akhir zaman.
            Fitnah yang digambarkan baginda  seperti api yang menggejolak, seperti ombak di lautan. Kekeliruan, perang, pembunuhan, perpecahan, pemberontakan, pertikaian, kekacauan, kafir-mengkafir dan sebagainya bermaharajalela. Tidak perlu dijelaskan satu-persatu lagi kerana telah banyaknya fitnah yang muncul, tanda dekatnya dengan hari penghabisan.
            Kita, umat Islam, terus kebingungan untuk membaca dan memahami semua fitnah-fitnah ini. Kebenaran telah susah untuk dikenali kerana munculnya ramai manusia yang menyebarkan pelbagai onar, yang menyuburkan ketidakstabilan dalam masyarakat.
            Bagaimanakah kita harus menghadapi fitnah-fitnah ini?
            Tulisan ini ingin mengulas mengenai kaedah pembangkang menghadapi kerajaan yang zalim. Krisis kepemimpinan telah menghasilkan fitnah yang besar. Misalnya selepas kewafatan baginda. Dikatakan pintu fitnah itu terbuka selepas terbunuhnya Utsman bin Affan. Bagaimanakah kaedahnya?
Tiadakah contoh di dalam sejarah para sahabat nabi untuk kita teladani?
            Apakah wajib melawan, membangkang atau memberontak kepada pemerintah yang zalim?
            Marilah kita membuat perenungan dan penilaian.
Kita bermula dengan premis ini: Kerajaan Barisan Nasional adalah zalim (walaupun ini bukan kebenaran yang sahih. Ini satu andaian untuk memenuhi tuduhan pembangkang). Akan tetapi, wajarkah tindakan pembangkang melawan kerajaan seperti yang berlaku hari ini?
Apakah tidak kelihatan tindakan pakatan pembangkang lebih banyak merosakkan dari memperbetulkan keadaan? Mereka ingin mengubah keadaan, bukan memperbaiki keadaan. Tindakan mereka seperti tikus membaiki labu. Mereka telah menimbulkan benih-benih fitnah yang lebih besar dan lebih bahaya berbanding kezaliman pemerintah. Mereka telah mengadaikan prinsip dan ketenteraman awam untuk mencapai cita-cita menjatuhkan kerajaan. Walaupun bukan dengan mengangkat senjata, sistem demokrasi yang dipilih mereka telah menghuru-harakan pemikiran dan suasana masyarakat dalam negara.
            Atas nama agama, keadilan, suara rakyat dan sebagainya, mereka telah menggunakan semua cara untuk melemahkan kerajaan. Sebaliknya kerajaan akan lebih menguatkan cengkamannya kerana mereka menguasai semuanya dari segi dana kewangan, logistik, jentera, media dan sebagainya.
Bolehkah maki hamun, mendedahkan aib, menyebarkan berita yang tak pasti (fitnah) dihalalkan untuk memperbaiki keadaan? Bukankah cara ini akan menghasilkan tindakbalas yang lebih ganas dan lebih zalim oleh golongan penguasa dalam mempertahankan kerajaan? Satu celaan pembangkang akan dibalas sepuluh celaan kerajaan. Siapakah yang akan hancur dalam pertembungan ini?
            Pakatan pembangkang mendakwa mereka berjuang demi kepentingan masyarakat. Benarkah manifesto mereka ini secara praktiknya? Tidak, malah ia sebaliknya. Banyak contoh yang boleh dikemukakan berkenaan kerosakan dilakukan pembangkang ini. Berapa banyak pembaziran duit rakyat telah berlaku setiap kali pilihanraya? Di manakah dana yang besar ini didapatkan? Sama ada di pihak kerajaan atau di kalangan pakatan pembangkang. Kerajaan mungkin mendapatkannya dengan cara yang salah seperti rasuah. Dana pakatan pembangkang boleh saja dikhuatiri dari sumber-sumber luar yang boleh mengancam kedaulatan negara jika mereka berkuasa.
            Dalam keadaan berpecah-belah ini, masing-masing ingin meraih undi, dan keadaan ini telah memberikan peluang kepada segelintir manusia opportunis, luar atau dalam negara, mengutip hasil. Pelampau kaum akan menekan kerajaan dengan pelbagai permintaan yang akan menaikkan kemarahan kaum lain. Kerajaan juga terpaksa tunduk dalam sesetengah perkara seperti isu novel, isu perkauman, perlaksanaan undang-undang ke atas pesalah dan sebagainya, untuk mendapatkan undi.
            Misalnya dalam isu Bible (al-Kitab) dalam Bahasa Melayu, penggunaan nama Allah,  telah menunjukkan lemahnya orang Islam di dalam pakatan pembangkang.
            Perpecahan adalah malapetaka kepada umat. Pembangkang yang berjuang atas nama agama ini sudah hilang pedoman. Kadang-kadang kelihatan seolah-olah pembangkang berharap pemerintah melakukan kesilapan untuk dijadikan isu.
            Dalam bentuk agresif, mereka menganjurkan rapat umum dan demonstrasi. Tunjuk perasaan yang diadakan ini adakah menepati cara Islam? Mereka mendakwa tunjuk perasaan ini adalah secara aman. Tetapi jika dibiarkan ia akan menimbulkan fitnah. Apabila berlaku kekacauan dalam tunjuk perasaan ini, mereka menyatakan tali-barut pemerintah yang melakukannya. Jika benar pemerintah yang melakukannya, adakah pakatan pembangkang tidak bersalah? Merekalah yang telah mendedahkan masyarakat kepada fitnah dan kekacauan.
            Semakin kuat asakan pembangkang, percayalah, semakin kuat cengkaman pemerintah. Pertembungan ini akan hanya memudaratkan masyarakat.
Jika ada kes yang melibatkan kecuaian segelintir pihak berkuasa, mereka mencanangkan seolah-olah seluruh anggota pihak berkuasa tersebut yang bersalah. Tujuan mereka adalah melemahkan kerajaan, tanpa memikirkan kesan ke atas kestabilan negara di mata dunia.
Mereka menimbulkan kekacauan. Pihak berkuasa akan terpaksa menangani kes-kes yang melibatkan pembangkang. Tidakkah pembangkang sedari ini memberi peluang kepada penjenayah sama ada kolar putih atau biru, untuk menjadi aktif dan mengambil kesempatan? Kerajaan yang takut kalah ini akan menggunakan polis untuk mengekal kekuasaan sehingga tugas asas polis untuk menjaga keselamatan dalam negeri terabai. Apabila jenayah meningkat, kerajaan akan dipersalahkan. Bangkangan ini akan berterusan tanpa memikirkan kepentingan masyarakat.
            Pembangkang yang memecah-belahkan masyarakat ini telah memberi peluang kepada pihak luar untuk menguasai negara melalui beberapa cara. Kerajaan mungkin mengupah firma-firma asing untuk memulihkan sokongan dan membentuk persepsi baik di kalangan rakyat. Dan pembangkang mungkin juga meminta desakan antarabangsa untuk campurtangan dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan mereka. Kedaulatan negara akan tergugat di sini.
            Kerajaan zalim yang takut kehilangan kuasa ini akan lebih bertambah ganas dan jahat. Lihatlah contoh di Libya sekarang ini. Adakah kita percaya Muammar Gaddafi akan menyerah kalah begitu saja? Gaddafi akan tumbang bersama kehancuran rakyat dan negaranya. Dia takkan tunduk.
            Di manakah kebijaksanaan kita?
            Kita membangkang untuk kebaikan masyarakat, tetapi yang kita dapat hanyalah kerosakan yang lebih besar, fitnah yang bergejolak.
Mari kita renungi lagi hadith nabi dan pendapat ulama-ulama di bawah perihal pembangkang. Mungkin ada kebenarannya untuk diambil iktibar.
            Pengacau, pemberontak atau pembangkang ini berbeza pendapat, tetapi pedang-pedang mereka bersatu untuk melawan. Seperti kata Abu Qilabah, “Walaupun pendapat mereka berbeza, namun mereka bersatu dalam keraguan dan kedustaan. Sesungguhnya mereka berbeza pendapat, tetapi pedangnya bersatu, sehingga aku tidak melihat tempat mereka kembali melainkan neraka.”
Perhatikan  pakatan pembangkang di Malaysia. Adakah mereka sepakat dan berkongsi ideologi yang sama? Yang pasti mereka hanya sepakat dalam menjatuhkan kerajaan. Bolehkah kita mempertaruhkan masa depan rakyat dengan pakatan yang berbeza ideologi ini sekiranya mereka berkuasa?
            Imam Ahmad misalnya telah dipenjara, tetapi tidak memberontak ke atas penguasa. “Aku berpendapat untuk tetap mentaati khalifah, baik ketika susah mahupun ketika senang, dalam kondisi semangat mahupun terpaksa, bahkan ketika khalifah lebih mementingkan dirinya sendiri sekalipun. Namun yang membuatku sedih adalah aku tidak diizinkan mengikuti solat berjemaah, menghadiri solat jumaat dan berdakwah kepada kaum muslimin.”
            Beliau lebih mahu bersama masyarakat untuk berdakwah, menerangi hati masyarakat dengan agama, bukannya menentang penguasa yang menzaliminya.
            Ibnu Taimiyah berkata: “Ramai orang yang memberontak kepada penguasa, namun keburukan yang mereka dapatkan adalah lebih besar dari kebaikan yang diharapkan muncul darinya. Contohnya pemberontakan di Madinah kepada Yazid, Ibnul Asy’ats di Iraq kepada Abdul Malik; Ibnul Muhallab di Khurasan yang memberontak kepada puteranya; pemberontakan di Madinah dan Basrah kepada al-Mansur.
            Riwayat Muslim: “Akan ada selepasku pemimpin-pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak menjalankan sunnahku. Di tengah-tengah mereka akan berdiri beberapa orang lelaki yang hati mereka seperti hati syaitan yang berada pada tubuh manusia. Hudzaifah bertanya, wahai rasulullah, apa yang harus aku perbuat jika menjumpai hal itu. Baginda menjawab, tetap patuh dan taat kepada pemimpin sekalipun punggungmu dipukul dan hartamu dirampas, kamu harus tetap patuh, dan taatlah.”
            Dalam kita menyertai pakatan pembangkang ini, kita lupa ia mempercepatkan lagi tersebarnya fitnah di mukabumi ini dan memburukkan lagi masyarakat. Ingatkan juga perihal puak Khawarij yang pada malamnya membaca ayat-ayat suci, dan pada siangnya melakukan fitnah dan kerosakan dalam masyarakat.
            Dari ‘Amr bin Yazid, dia berkata: “Ketika al-Hassan didatangi oleh sekelompok orang pada masa pemerintahan Yazid bin al-Muhallab, aku mendengar dia memerintahkan mereka tetap berada di dalam rumah masing-masing, dan mengunci semua pintu. Setelah itu dia berkata, ‘demi Allah swt seandainya manusia diberi cubaan dari penguasa, lalu mereka bersabar, nescaya dalam waktu singkat Allah swt akan mengangkat cubaan tersebut. Namun kerana berlindung kepada pedang, maka mereka pun diserahkan kepadanya. Demi Allah, mereka tak sedikitpun menghasilkan hari yang lebih baik’. Kemudian dia membaca ayat:
            “...dan telah sempurnalah perkataan rabbmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka. Dan kami hancurkan apa yang telah dibuat Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka.” (Al-A’raaf:137)
Untuk mengubah kerajaan dan negara bukanlah dengan membangkang. Dikhuatiri dengan melawan dan membangkang, hasil yang kita perolehi adalah lebih teruk dari kerosakan-kerosakan yang diperbuat oleh pemerintah yang zalim.
           
 #tersiar dalam Akhbar SIASAH 15-22 April 2011          

Sunday, 10 April 2011

UPAH DALAM MENEGAKKAN DINDING YANG HAMPIR ROBOH


DALAM  tulisan saya di siasah 01-07 April 2011, Belajar dari Pengajaran Khidir kepada Musa as, ada bab yang tertinggal untuk dibahaskan atau diterangkan. Iaitu perihal upah. Atau simbol kepada upah.
                Khidir tidak mengambil upah atas pertolongannya membaiki dinding yang hampir roboh tersebut.
                Kaitannya begini. Walaupun kita berusaha untuk mempertahankan kerajaan yang didakwa zalim itu, janganlah kita bersekongkol atau mengambil faedah dari tertegaknya kerajaan yang zalim tersebut.
                Dalih kita untuk mempertahankan kerajaan yang zalim tersebut, seperti yang diterangkan dalam tulisan itu, adalah untuk mengelak dari musibah atau malapetaka yang lebih besar dari kezaliman kerajaan.
                Tetapi janganlah mengambil upah/ganjaran/faedah/keuntungan dari kerajaan yang zalim itu.
                Maksudnya janganlah kita mempertahankan kerajaan yang zalim itu kerana kita ada kepentingan-kepentingan peribadi yang berbau duniawi dengan tertegaknya kebatilan itu. Atau juga jika kerajaan tersebut tumbang, kita mendapat kerugian.
     Wallahhua’lam bisawab.

DINDING

Kepada kau yang sedang berjuang, aku ada analogi
Tiada kata-kata indah akan aku tulis
Biar aku pilih itjihadku sendiri
Beraraklah kau ke jalanraya.
Bakarlah kau negeri subur ini
Hancurkanlah kau kota Kuala Lumpur ini
Hanya kerana dinding itu memenjarakanmu
Itulah jihadmu.

Tidakkah kau renungi surah al-kahfi ayat 60-82?
Perjalanan Musa as mencari ilmu
Dan kisah Khidir menegakkan dinding yang hampir roboh
Di sebuah negeri yang menzalimi mereka,
Yang membiarkan mereka kelaparan.

Kau akan tertimbus di bawah runtuhan dinding itu seperti yang terjadi di Mesir,
Tunisia, Libya, Bahrain, Yaman

Siapakah yang akan menguasai telaga-telaga emas hitam itu nanti?

Kau tak sebijaksana Musa as
Apatah lagi setajam mata hati Khidir
Yang dapat melihat di sebalik dinding itu
Tersimpan warisan harta seorang hamba soleh
Untuk anak-anaknya.

Yakinlah Allah maha berkuasa
Akan meruntuhkan dinding itu pada masa ditetapkanNya.


#Mingguan Malaysia 10 April 2011

Saturday, 2 April 2011

BELAJAR DARI PENGAJARAN KHIDIR KEPADA NABI MUSA as (Siasah edisi 01-07 April 2011)

APAKAH pengajaran yang boleh didapati dari pergolakan yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara sekarang? Kerajaan Tunisia di bawah Ben Ali, dan Mesir  di bawah Hosni Mubarak, sudah dijatuhkan. Manakala Libya, Bahrain, Arab Saudi, Yemen, Jordan, dan Djibouti dalam fasa penentangan rakyat yang berterusan sehingga saat tulisan ini terhasil. Trend penentangan rakyat ke atas pemerintah ini diramal akan mendominasi negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara tersebut, sementara Iraq dan Afghanisan masih lagi dalam kacau-bilau politik yang tiada tanda-tanda ke arah yang lebih baik.
                Kita akui masyarakat negara-negara tersebut berdepan dengan premis pemerintahan yang korup dan menzalimi rakyat sejak sekian lama. Natijahnya mereka telah bangkit menentang pemerintahan tersebut dengan cara rusuhan dan demonstrasi setiap hari.
Tetapi, pada akhirnya apakah hasilnya setelah kerajaan yang didakwa rejim zalim itu digulingkan?
Tanpa menafikan sisi gelap pemerintah negara tersebut, soalan yang patut ditanyakan, apakah hasil sebenar setelah berkuburnya pemerintahan yang didakwa zalim tersebut? Masalah sebenar dan asal di negara-negara tersebut adakah selesai setelah kerajaan lama itu ditumbangkan? Malah huru-hara seperti yang berlaku di sana sekarang, adalah jawapannya. Ia lebih musibah dari keadaan asal. Ia akan memakan masa yang lama dan korban yang besar, untuk menjadi terkawal. Suasana anarki ini takkan pulih dalam kadar masa yang segera. Siapakah yang mendapat laba dan keuntungan dari krisis tersebut?  Dan ternyata rakyat yang mendapat kerugian.
                Sekali imbas pemberontakan rakyat negara tersebut kelihatan berhasil. Jika dihalusi, ia tiada hasil yang positif. Inilah dilemanya.
                Kita di Malaysia turut bersorak-sorai meraikan kejayaan rakyat negara-negara tersebut menjatuhkan  pemerintahan yang korup.  Sehingga ada segelintir rakyat Malaysia mengadakan demonstrasi aman sebagai tanda sokongan. Tetapi adakah di antara mereka ini sekarang memikirkan apa yang sedang dialami rakyat negara tersebut pada hari ini dan pada hari-hari esoknya?
                Adakah dalam keadaan bersorak dan bergembira tersebut kita juga mengulangi kisah Pak Kaduk? Satu kisah klasik dalam alam sastera Melayu yang melambangkan ikon kebodohan manusia dalam bentuk jenaka.
                Tidakkah kita mahu renungi dan berfikir?
Al-Quran adalah sebuah kitab suci yang kaya dengan kisah-kisah untuk dijadikan rujukan dan perbandingan.  Kisah-kisah di dalam al-Quran juga bukan sekadar cerita. Ia bukan sastera hasil akal dan khayalan manusia. Ia adalah wahyu Allah swt. Misalnya kisah nabi Musa as dan makhluk Allah bernama Khidir dalam surah al-Kahfi ayat 60-82. Kisah ini adalah sangat relevan direnungi dan diambil iktibar untuk melihat kebenaran yang berlaku di negara-negara tersebut sekarang. Kisah nabi Musa as yang berasa dirinya manusia paling bijak pada masanya dan ditegur kerana itu. Hakikat sebenarnya ada lagi manusia biasa yang lebih bijaksana darinya.
                Tulisan ini ingin menyorot kisah tersebut untuk direnungkan dan diambil pengajaran.  Dalam surah ini terselit cerita Musa as yang mahu berguru dengan Khidir. Dalam perjalanan mengutip ilmu tersebut ada tiga perbuatan Khidir yang menimbulkan kemarahan dan dipersoalkan nabi Musa as. Pertama, Khidir yang merosakkan perahu. Kedua perihal Khidir yang membunuh seorang kanak-kanak kecil.
Apa yang ingin diulas dalam tulisan ini adalah kisah ketiga, iaitu kisah mereka di sebuah negeri yang menzalimi mereka berdua. Sebagai tetamu, mereka tidak diberi makanan. Tetapi pada malamnya Khidir telah membaiki dinding yang hampir runtuh di negeri tersebut, malahan tanpa upah. Perbuatan Khidir ini telah ditegur oleh Musa as sebagai tidak wajar kerana menolong penduduk negeri yang zalim.
                Apakah hujah Khidir? Kita semua telah tahu kisah selanjutnya, iaitu  tujuan Khidir membaiki dinding yang hampir roboh tersebut adalah untuk melindungi harta dua orang anak yatim yang ditinggalkan oleh bapanya yang soleh. Hal ini tidak nampak pada mata lahir Musa as.
                Pada mata kasar, tentulah tidak wajar perbuatan Khidir tersebut. Tetapi Khidir diberi mata hati atau akal yang tajam oleh Allah swt.
                Kita di Malaysia melihat apa yang berlaku di negara-negara kacau-bilau tadi dari kacamata Musa as. Mahukah kita cuba melihat dari kacamata Khidir?
                Apakah tanda-tanda atau simbol dalam kisah tersebut? Negeri yang penduduknya zalim, dinding yang hampir roboh, anak yatim dan harta pusaka oleh ayah yang soleh. Mari kita renungkan tanda-tanda ini.
Kita mungkin peka pada kezaliman. Tetapi kezaliman tidak boleh membutakan mata hati kita dari melihat hasil yang kita perolehi setelah runtuhnya kezaliman yang kita musuhi itu.
                Mungkinkah dinding dalam kisah ini boleh dikiaskan kepada sebuah kerajaan yang zalim? Kata hukama, berada di bawah pemerintahan yang zalim adalah lebih baik dari anarki. Ini ada benarnya jika kita melihat apa yang sedang dan akan berlaku di negara-negara tadi. Kerajaan yang menguatkuasakan undang-undang adalah benteng/dinding yang kukuh kepada rakyat. Tidak kira sama ada kerajaan tersebut zalim atau tidak, undang-undang adalah benteng yang mengikat masyarakat dari bertukar anarki. Jika undang-undang sudah tiada, hancurlah masyarakat. Semua orang akan menjadi musuh kepada orang yang lain dalam suasana anarki. Maknanya kerajaan zalim yang dijatuhkan dengan cara yang juga kejam akan menghasilkan suasana yang tidak stabil dan mendedahkan negara kepada musuh dan bahaya yang pelbagai. Contohnya terbentang di hadapan mata.
Keamanan adalah harta awam yang paling bernilai untuk dipertahankan, suatu warisan dari generasi terdahulu untuk diwariskan kepada generasi akan datang. Di sini jelas simbol harta pusaka dalam kisah Khidir tadi ada relevannya.
Dalam konteks Malaysia hari ini, apakah dinding tersebut untuk dikaitkan dengan kisah ini?
 Kita akui Akta keselamatan dalam Negeri atau ISA adalah suatu akta yang zalim pada zahirnya. Alasannya ia menahan seseorang itu tanpa bicara. Tentulah ia zalim bagi manusia yang berakal dan bertamadun. Tetapi apakah yang dipertahankan oleh dinding ISA itu? Itulah yang perlu difikirkan sebelum menentang membabi-buta.  Seperti juga akta media cetak, akhbar dan sebagainya. Kebebasan adalah perkataan yang indah dan romantis, terutamanya bagi pejuang-pejuang muda yang tidak matang. Tetapi  kebebasan fikiran individu adalah musuh sebenar masyarakat awam. Kebebasan fikiran akan menyebabkan kebebasan fizikal yang tanpa kendali yang pada akhirnya akan membawa kepada suasana kacau-bilau.
 Jika semua dinding-dinding ini runtuh, apakah yang akan berlaku?
                Jika dihalusi dan disemak rekod, undang-undang ISA ini jarang sekali digunakan. Tetapi mengapakah puak anti-ISA ini berusaha untuk menghapuskannya, seolah-olah sebahagian rakyat Malaysia telah dikurung dalam penjara kerana akta ini? Cuba fikir sejenak, adakah mereka menentangnya atas perkara yang akan mereka lakukan jika ISA dihapuskan. Mereka menentangnya bukan atas dasar apa yang telah mereka lakukan. Tetapi, sekali lagi ditegaskan, atas tujuan untuk melakukan sesuatu yang selama ini dibentengi oleh ISA. Apakah tujuan-tujuan tersebut? Bagi yang mahu berfikir mereka akan mendapat jawapannya.
                Rakyat Malaysia seharusnya sedar yang mereka masih lemah, seperti anak yatim dalam kisah tadi. Dalam keadaan dunia yang penuh krisis hari ini, dengan musuh luar dan dalam ingin mengambil kesempatan, kita tidak ubah seperti anak yatim. Kestabilan dan keamanan harus dikekalkan untuk melindungi mereka yang lemah. Ini adalah keutamaan. Apakah yang akan mengekalkan kestabilan dan keamanan itu? Seperti daging khinzir, dalam keadaan darurat, tidak haram bagi orang Islam memakannya dengan syarat-syarat tertentu.
                Tulisan ini bukanlah mengajak manusia membunuh bayi atau merosakkan perahu. Kita adalah manusia biasa yang tidak tajam mata hatinya untuk melihat yang tersirat seperti Khidir. Kita bukanlah Khidir manusia istimewa yang dianugerahkan penglihatan yang tajam. Kita sebagai manusia biasa, ambillah al-Quran dan sunnah-sunnah nabi sebagai pedoman dan iktibar.
                Berbalik kepada Timur Tengah dan Afrika Utara tadi, kita harus akui ia bukanlah kebangkitan seperti dituntut ajaran agama. Contoh mudah, nabi Muhammad saw menegah tentera-tenteranya dalam setiap peperangan agar jangan memusnahkan pokok-pokok buahan seperti tamar, jangan racuni air telaga dan jangan rosakkan harta awam. Tetapi di sana banyak bangunan, kenderaan dan sebagainya telah musnah. Boleh disimpulkan pemberontakan tersebut hanya tindakbalas hukum rimba. Kesusahan hidup, tekanan ekonomi, pengangguran, kelaparan dan sebagainya menjadikan rakyat mereka seperti harimau yang dilukai. Penentangan ini hasil naluri haiwan, bukan penentangan akal budi yang berpandu kepada agama. Ini juga harus diambil pengajaran.
                Asbabun nuzul, atau sebab-musabab, ayat ini diturunkan adalah untuk mematahkan hujah orang Yahudi bahawa bangsa mereka lebih bijak, mempunyai lebih ramai nabi, banyak kitab dan lebih mengetahui. Musa as yang berbangsa Yahudi telah ditunjukkan oleh manusia biasa yang bukan Yahudi. Sekiranya hal ini direnungkan, banyak hal saling berkait yang boleh dipersoalkan. Apakah kebangkitan-kebangkitan rakyat di negara-negara tersebut didalangi Yahudi dan Zionis untuk menghuru-harakan dunia atau lebih tepatnya menghancurkan negara Islam?
                Tulisan ini bukan untuk menghalalkan sesuatu yang zalim. Zalim tetaplah zalim. Tulisan ini untuk menguak fikiran kita melihat dari sisi yang lain.
                Akhirnya, saya percaya dan berharap, rakyat Malaysia yang bijaksana ini, tidak akan terbakar oleh hasutan dari individu-individu yang hanya ingin mencapai kepentingan-kepentingan peribadi mereka, yang boleh menghancurkan masa depan negara tercinta ini, atas nama kebebasan, suara rakyat atau apa-apa  perkataan yang berbunyi indah. Rakyat yang beremosi akan mudah terhasut dengan kata-kata berapi, tetapi rakyat yang berakal akan menilai dengan cermat dan tidak akan mudah dipergunakan.
Wallahhua’lam bisawab.

KELDAI-KELDAI YANG MEMIKUL KITAB DI PUNDAKNYA (versi asal tulisan ulama parti jangan hanya pikul kitab yang tersiar di Malaysiakini.com, 11 mac 2011)

ISLAM adalah agama yang syumul; suatu cara hidup yang lengkap.
Pada akhir zaman umat Islam dikatakan akan berpecah kepada 73 jalan/firqah. Hanya satu jalan yang lurus dan diredhai. Di dalam islam ada politik. Tapi apakah politik dimaksudkan dalam islam? Inilah yang menjadi perbalahan yang mengelirukan sejak zaman-berzaman. Walhal Islam itu sendiri sudah sempurna, tiada cacat-cela.
Dunia pada lebih 1000 tahun dulu tak sama seperti hari ini. Apakah yang boleh dikiaskan dengan politik nabi untuk menangani dunia hari ini? Mudah untuk kita katakan di dalam al-Quran dan hadith-hadith nabi Muhammad saw terdapat pengajaran berkenaan politik ini. Tetapi apakah sebenarnya politik islam?
Jika nabi Muhammad saw  masih ada bersama kita lagi, apakah pilihan baginda?
 Di Malaysia ada Parti Islam Se-Malaysia, PAS. Parti yang keanggotaannya untuk orang islam, tidak kira bangsa, diterajui oleh ulama-ulama seperti didakwa pengikut mereka.
Pada zaman jahiliyah juga wujud parti-parti politik seperti ada kini. Tetapi dalam bentuk yang lain, iaitu suku-suku kaum. Suku kaum yang tebal semangat perkaumannya, assabiyah. Nabi tidak menyertai  suku-suku itu walaupun ditawarkan jawatan  pemimpin.  Sebaliknyanya nabilah yang menyatukan kaum-kaum  ini dengan ikatan  Islam. Bagaimanakah nabi melakukannya? Jelas nabi tidak mementingkan kekuasaan. Walhal jika baginda menerima tawaran itu, baginda akan berkuasa. Tetapi apakah yang didahulukan baginda?
Apa yang kita ketahui, matlamat suci tidak akan menghalalkan cara yang kotor. Tujuan yang baik tidak boleh menggunakan kaedah yang sesat. Merompak untuk dibahagikan kepada rakyat miskin, haram hukumnya. Malah sebaliknya juga tidak boleh diterima agama. Politikus yang mendakwa dirinya ulama tidak mungkin menjadi seperti nabi. Tetapi meniru tindakan nabi adalah yang seharusnya. Kerana nabi adalah suri teladan terbesar.
Tidakkah ulama-ulama ini berfikir? Kuasa-kuasa besar dunia hari ini tidak lagi menggunakan kaedah pemaksaan atau kekerasan, misalnya perang, untuk menakluki dunia. Mereka berdakwah melalui filem, pakaian, hiburan, makanan, sukan dan lain-lain lagi yang berteraskan nafsu, yang kemudian menjadi budaya global. Mereka tidak perlu lagi menguasai sesebuah negara, cukuplah dengan menguasai minda rakyat sesebuah negara itu melalui propaganda dan perang saraf atau dakwah.
Adakah Islam itu terbina dengan kuasa? Pada mata kasar, kuasalah yang menguatkan Islam. Kekuasaan bagaimanakah yang menguatkan Islam? Adakah kekuasaan yang didapatkan dengan merasuah masyarakat melalui tawaran-tawaran keduniaan? Gaji yang lebih tinggi, misalnya. Atau cuti lebih panjang untuk golongan pekerja. Atau menghapuskan saman kesalahan trafik. Semua tawaran popular ini akan memusnahkan masyarakat pada akhirnya.
Dakwah,  tarbiah dan tablighlah yang menghidupkan Islam. Satu-satunya cara. Itulah politik sebenar dalam Islam. Itulah politik nabi. Kepada yang menakwil bahawa semua orang Islam sudah tahu berkenaan Islam dan tak perlu didakwah lagi, marilah kita renungkan seketika. Islam bukan sekadar kalimah syahadah, solat, puasa, haji dan zakat untuk diulangajar. Kita harus akui kita sekarang berada pada zaman jahiliah moden dengan segala maksiat berleluasa. Tidakkah di sini perlunya dakwah? Seperti digariskan dalam surah al-‘asr. Bukannya politik kepartian. Bukankah nabi Muhammad saw diutuskan untuk membaiki kerosakan akhlak masyarakat Arab pada masa itu?
Politik kepartian hanya boleh hidup dan menang jika dasar-dasarnya memuaskan kehendak dan nafsu pengundi. Politikus kepartian tidak akan dapat membentuk masyarakat untuk menuruti ajaran  yang dimahukannya. Dan ternyata kehendak-kehendak masyarakat adalah  berbau keduniaan semata-mata. Parti yang mendakwa Islam itu akan terpaksa mengalah dengan kehendak masyarakat. Misalnya dulu PAS tegas dalam soal hiburan dan konsert. Tetapi untuk memenuhi kehendak dan nafsu masyarakat , mereka terpaksa menceburi diri dengan unsur-unsur yang suatu masa dulu dikecam mereka sebagai maksiat.
Di dalam mencemuh pihak lawan, ulama-ulama parti politik beginilah tidak menyedari sifat riak atau ujub itu seperti seekor semut hitam di atas batu hitam pada malam yang hitam. Mereka mendakwa Islam itu sempurna. Tetapi mengapa mereka mencemarkan Islam? Jika parti politik mereka {yang mereka dakwa islam} itu baik, mengapa mereka mencela parti lawan sebagai khianat. Ini tidak ubah seperti penjual buah anggur di pasar ukkaz pada zaman jahiliah yang mencela buah saingan mereka adalah masam. Jika buah mereka elok dan manis, kenapa perlu mencela buah penjual lain. Di sinilah kejahilan politik mereka.
Parti politik bukanlah cara nabi saw seperti yang difahami ulama-ulama yang menyertai parti politik. Jika parti politik itu cara Islam, terimalah jika pemimpin yang dipilih adalah perasuah, kerana suara teramai adalah pemenang. Masyarakat yang baik akan memilih pemimpin yang baik. Begitu sebaliknya. Dan hari ini tiada siapa yang ingin mengubah masyarakat ke arah kebaikan. Ulama-ulama ini hanya ingin mengubah negara, sedangkan mereka lupa negara itu terdiri dari individu-individu. Ulama-ulama parti ini hanya lebih berminat untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan negara untuk melaksanakan hukum hudud misalnya.  Menutup kedai arak nampak sangat islamik. Itu betul. Tapi yang sebenarnya Islam adalah kedai arak ditutup kerana tiada pelanggan. Bagaimana untuk meniadakan pelanggan? Mustahil. Nabi saw pun hanya dapat mengislamkan ¾ bahagian dunia. Setidak-tidaknya mengurangkan pelanggan, walaupun tujuan kita adalah menghapuskan arak di kalangan orang Islam. Bagaimanakah nabi saw melakukannya? Tiada yang lain, selain dakwah. Bukan dengan pemaksaan seperti menutup kedai arak.
Memang ulama-ulama parti ini ada menyebarkan ayat-ayat dakwah dalam ceramah mereka. Tetapi tujuan ayat-ayat itu untuk memenangi undi. Bukan bertujuan merebut hati masyarakat supaya menjadi berakhlak, misalnya. Banyak ayat-ayat dipetik untuk membenarkan puak mereka. Islam telah dipolitikkan. Parti ini hanya mengumpul penyokong, tapi tidak membina individu Islam yang sebenar. Mereka tiada pengikut tulen, tetapi terpengaruh dengan label Islam. Jika mereka mempunyai pengikut, mengikut dasar Islam yang dibawa mereka, tentulah ada beza antara rakyat di negeri bawah pemerintahan mereka dengan negeri yang lain.
Cuba kita renung sejenak. Bolehkah parti yang menentang rasuah ini, pada musim pilihanraya juga telah mengagihkan habuan kepada bakal pengundi? Misalnya gula, kain pelekat dan sebagainya. Ini adalah rahsia umum. Mereka mendakwa lawan mereka juga membahagikan wang untuk bakal pengundi. Sama ada sebutir gula, atau sejuta duit, semua itu terhisab sebagai rasuah. Bezanya mereka tiada dana yang besar untuk membahagikan wang yang banyak. Jika mereka telah berjaya memurnikan pegangan penyokong mereka, mengapa mereka perlu mengagihkan habuan tersebut? Sedangkan ulama-ulama ini telah mengajar penyokong mereka bahawa Islam adalah berjuang tanpa mengharapkan balasan dunia.
Ulama-ulama yang berhasrat mengambilalih negara ini tidak mengambil iktibar dari kitab-kitab yang dipelajari mereka. Saya tidak menuduh mereka ini berpura-pura. Mereka ini sebahagiannya mempunyai cita-cita murni membentuk sebuah masyarakat Islam seperti di Madinah. Tetapi mereka telah sesat jalan dalam  mencapai, tidak mengambil iktibar dari perjalanan sirah nabi. Untuk mengamalkan kewajipan agama, kita tidak perlukan negara Islam. Tetapi negara Islam perlukan umat Islam yang mengamalkan akhlak Islam yang tulen. Apalah gunanya sebuah rumah yang bersih, tetapi penghuninya pengotor? Akhirnya sampah-sarap akan memenuhi rumah tersebut. Ringkasnya penghuni itu sendiri perlu dibersihkan terlebih dahulu.
Soalnya, apakah sumbangan mereka dalam membentuk cara hidup dan akhlak Islam?
Ulama-ulama sebegini akan terbelit dengan hujah-hujah untuk membenarkan puak mereka semata-mata. Kita ambil contoh mudah. Isu seorang pembesar yang ditawarkan pakej umrah ke mekah. Kenapa dia ditawarkan pakej itu? Layakkah dia menerimanya? Apa tujuan dia ditawarkan? Atas dasar apa? Siapakah penawarnya? Tidakkah ia dikhuatiri ada unsur-unsur rasuah? Banyak soalan perlu ditanya dan dijawab. Tetapi kerana taksub dengan kebenaran yang diyakini berada di pihak mereka, tiada jawapan yang diberi. Maka bersuaralah puak-puak mereka menyatakan pembesar parti lawan juga menerima tawaran yang berbau rasuah. Dengan angkuh mereka menyatakan, lawan mereka lagi dahsyat kerana menerima pakej ke tempat-tempat maksiat, bukan ke tempat suci. Lagi hujah mereka, kafir Quraisy moden telah menghalang pembesar tadi ke mekah sepertimana terjadi kepada baginda nabi suatu masa dahulu.
Tidakkah di sini berbelit-belit, seperti pemikiran  dan cara berhujah puak sophist di Athen suatu masa dulu? Kenapa isu ini tidak dijawab dan dirujuk dengan sirah perjalanan nabi? Inilah politik ulama dalam parti. Jika lawan mereka berbuat salah, mereka merujuk al-Quran dan sunnah nabi untuk menjatuhkan hukum. Jika mereka melakukan kesalahan yang sama, mereka mengelak dari menjawab dengan menuduh pihak lawan juga melakukan kesalahan yang sama.
Tindak-tanduk mereka  ini melemparkan mereka ke lembah assabiyah. Sifat-sifat ini menjadikan parti politik yang mereka dakwa Islam itu juga assabiyah. Apakah assabiyah? Secara umumnya assabiyah adalah sifat perkauman yang hanya mengenal kaum dan puak sendiri.  Assabiyah tidak mengenal siapa betul siapa salah. Sama ada puak mereka betul atau tidak, puak mereka mesti dipertahankan. Puak lawan harus ditentang walaupun kebenaran berada di pihak lawan.
Lihatlah senario hari ini. Semua tindakan yang dibuat oleh lawan mereka dikritik dan dikatakan tidak betul. Adalah tidak logik semua tindakan lawan mereka itu salah dan tidak ada yang betulnya. Semua ini terjadi kerana mereka hanya mengejar kemenangan dalam politik. Inilah assabiyah moden yang tanpa sedar telah menyembah masyarakat pengundi sebagai tuhan.
Tidakkah mereka merenungi kisah-kisah di dalam al-Quran untuk pengajaran? Misalnya kisah perjalanan nabi Musa as dengan Khidir. Mengapakah Khidir menegakkan dinding rumah yang hampir roboh di sebuah negeri yang menzalimi tetamunya?
Seperti yang kita maklumi, nabi mengajar dan menghidupkan agama. Nabi tidak mengutamakan negara. Nabi mengutamakan individu-individu yang membentuk masyarakat itu. Lupakah mereka pada janji allah swt bahawa Allah swt akan membantu urusan dunia kita jika kita membantu menegakkan agama Allah swt?
Diulangi lagi, politik dalam Islam bukanlah politik seperti yang ditafsirkan oleh ulama-ulama parti hari ini. Politik nabi adalah dakwah, tabligh, tarbiah dalam memenangi hati manusia demi mencapai keredhaan Allah swt. Politik yang diamalkan ulama-ulama parti hari ini adalah mengikut tafsiran barat, iaitu parti politik untuk memenangi negara. Sedangkan kuasa-kuasa besar dunia hari ini telah mengambil cara Islam, iaitu dakwah, untuk memenangi umat manusia di seluruh dunia. Mereka melakukannya melalui pelbagai cara hidup seperti pakaian, hiburan, ekonomi, makanan, sukan dan sebagainya. Mereka tidak lagi perlu menakluk sesebuah negara seperti yang sedang diusahakan manusia-manusia yang digelar ulama ini. Dengan cara dakwah, tujuan mereka telah tercapai untuk memesongkan manusia.
Seeloknya ulama-ulama ini mengambil iktibar surah al-‘asr yang bermaksud; demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran. Jelas di sini, selepas beriman dan beramal soleh, dakwah mengambil peranan, iaitu menyebarkan kebenaran. Dan usaha ini mesti dilakukan dengan penuh kesabaran.
Bagi saya, warganegara biasa ini, jika perubahan politik di Malaysia berlaku pada pilihanraya akan datang, tiada apa yang berubah ke arah yang lebih baik. Yang berubah hanya siapa pula yang akan dituduh perasuah, penipu, dan sebagainya. Begitu sebaliknya. Kerana pemimpin yang akan naik adalah kalangan masyarakat yang sama. Pemimpin yang zalim adalah bayangan masyarakat yang zalim di bawahnya. Dan keadaan ini akan dipersalahkan kepada pemerintah yang terdahulu. Untuk kembali kepada keadaan asal, adalah sulit. Kerana dalam perang politik ini, oasis dan wadi-wadi subur yang tumbuh pokok tamar telah terbakar dan diracuni airnya.
Memilih kekuasaan negara terlebih dahulu tanpa mengubah akhlak masyarakat, adalah seperti membina bangunan dengan bata-bata yang rapuh.
Kepada semua, marilah kita menguatkan agama. Dengan menghayati dan menghidupkan amalan-amalan agama, semua yang kita dakwa rasuah, kezaliman dan semua kebatilan akan menyingkir. Siang dan malam tidak mungkin bersatu. Tulisan ini diharap tidak selesai di sini. Seperti anjuran nabi, “pendapat saya mungkin salah, dan pendapat kamu mungkin juga betul.” Marilah kita berbincang. Bukan mengajak berdebat di hadapan awam untuk mendapatkan kemenangan dan sokongan undi.
Akhirnya, musuh sebenar orang Islam bukanlah orang Islam. Dalam konteks Malaysia, musuh sebenar PAS bukanlah UMNO. Musuh sebenar manusia adalah kejahilan, seperti kata syaidina Ali kw, khalifah keempat. Di sinilah peranan ulama yang sebenarnya seperti yang diwariskan nabi.
Janganlah kita menjadi keldai  yang membawa kitab-kitab di atas pundaknya. Keldai-keldai yang mudah ditunggangi.