Saturday, 6 August 2011

KEBENARAN DAN KEMENANGAN


APAKAH kebenaran? Apakah kebenaran tidak boleh dicapai?
            Manusia adalah bebas berfikir dalam mencari dan menemui kebenaran yang mahu diyakini dan diikutinya.
            Dalam pencarian ini akan berlaku debat dan pertikaian.    
Dalam perdebatan, akan berlaku pertembungan pendapat. Bagaimanakah kita akan mempertemukan dua (atau lebih) aliran pendapat tersebut?
Jika setiap manusia menganggap kebenaran itu adalah seperti citarasa individu, dunia ini akan berkecamuk dan akan penuh dengan pertentangan demi pertentangan yang merosakkan.
            Misalnya, manusia biasanya akan berkata itu pendapat masing-masing jika seseorang mengeluarkan suatu pendapat. Apakah natijahnya?
            Kebenaran telah disamakan dengan citarasa individu seperti selera makan, warna kesukaan atau kereta impian. Walhal kebenaran adalah hakiki dan mutlak.
            Setiap kali saya selesai bercakap atau menulis sesuatu idea, saya akan tanyakan pandangan kawan-kawan berkenaan idea tersebut. Maksudnya, betulkah idea saya itu dan jika salah, apakah yang betul.
            Malangnya saya akan diberi komen sebegini: apa yang ditulis itu adalah betul bagi kamu, kerana itu pandangan kamu. Orang lain ada pandangan yang lain.
            Orang akan menganggap idea saya itu hanyalah pendapat saya, dan tidak penting sama ada ia betul atau tidak.
            Maka idea saya itu hanyalah jadi seumpama sejenis kek. Sama ada ia sedap atau tidak, bergantung pada selera orang yang menikmatinya. Kita tidak boleh memaksa seseorang itu suka atau tidak dengan sepotong kek itu. Kerana ia adalah pilihan peribadi. Apakah kebenaran itu semurah itu?
            Tiada orang berminat lagi mencari kebenaran di dalam satu-satu perkara. Manusia telah membiarkan kebenaran itu jadi tidak penting. Akal manusia tiba-tiba menafikan pentingnya kebenaran untuk diketahui.
            Maka apakah kebenaran?
Kebenaran bukanlah dari akal fikiran manusia. Akal hanyalah alat atau kuda tunggangan untuk menuju kebenaran. Akal tidak dapat mencipta kebenaran.
            Secara logik akalpun, sesuatu yang lahir dari akal bukanlah kebenaran. Jika kebenaran itu dari akal, setiap manusia berakal akan mencipta kebenaran masing-masing. Jika semua kebenaran ciptaan manusia ini adalah kebenaran, mengapakah kebenaran-kebenaran ini saling bertentangan dan mencetuskan pertelagahan dan mengorbankan nyawa?
Jika ia adalah kebenaran, tentulah tiada lagi pertentangan. Malah jika kebenaran itu dalam jumlah yang banyak, kebenaran itu adalah palsu. Kebenaran adalah satu. Bukan dua atau tiga. Jika begitu, bagaimanakah mencari kebenaran dalam jutaan kebenaran ini?  Tak mungkin.
            Kebenaran itu ternyata bukan dari akal manusia. Kebenaran itu ada pada  sesuatu yang bukan bersifat manusia. Manusia dipengaruhi nafsu. Manusia adalah lemah. Manusia adalah jahil. Kebenaran akal manusia akan berlaku tidak adil kepada manusia yang lain. Kebenaran yang tidak adil kepada manusia yang lain adalah bukan kebenaran. Kebenaran adalah adil kepada semua manusia, walaupun manusia berlaku tidak adil kepada kebenaran.
            Tuhanlah kebenaran. Kebenaran yang diwahyukan Tuhan dan terkumpul dalam kitab suci serta disampaikan pesuruh-Nya. Kebenaran ini adalah benar. Kerana manusia adalah lemah dan saling bertelagah untuk mencari kebenaran.
            Malangnya dalam mencapai kebenaran manusia telah mempergunakan kebenaran untuk mencapai kebenaran yang dihasilkan akal fikiran yang tidak benar.
            Mengapakah manusia tidak terus pergi kepada kebenaran? Kerana kebenaran itu berdiri sendiri tanpa perlu dinyatakan kebenarannya. Mengapa manusia mencipta pelbagai sistem untuk menegakkan kebenaran sedangkan kebenaran itu sudah memiliki sistemnya sendiri.
            Kebenaran itu satu walaupun ia milik semua orang. Jika tiada satu orang pun mempercayai kebenaran, kebenaran adalah tetap kebenaran, kerana kebenaran itu bukan pada kuantiti atau individu.
            Kebenaran itu kekal. Ia tidak berubah seperti kebenaran akal manusia. Jika kebenaran itu berubah-ubah sifatnya, ia tidak stabil. Alangkah hinanya kebenaran jika ia bergoncang  oleh perubahan masa dan tempat.
Mengapakah manusia yang menemui kebenaran ini masih tidak menyakini kebenaran? Mereka masih menggunakan akal fikiran  yang tidak benar itu tadi untuk melawan ketidakbenaran dan keengkaran pada kebenaran. Mereka ingin menegakkan kebenaran tetapi mereka memilih jalan yang tidak benar dari akal fikiran manusia yang tidak benar. Seolah-olah mereka tidak yakin kebenaran akan memenangkan mereka sama ada mereka kalah atau menang di mata dunia.
            Apakah kebenaran itu perlu menang? Kebenaran itu sebenarnya adalah kemenangan. Jika kebenaran itu diukur pada menang atau kalah, ia adalah hina dan lemah. Kelemahan bukanlah kebenaran yang sebenar. Kebenaran adalah kemenangan.
            Marilah menuju kebenaran. Marilah menuju kemenangan. Hayya ‘alash solah hayya ‘alal falah.

Friday, 22 July 2011

PERIHAL KEBAHAGIAAN DALAM TAMADUN MODEN




BAHAGIAKAH kita hidup dalam peradaban zaman teknologi dan moden ini?
Bolehkah kita mendakwa kita lebih maju, maka kehidupan kita lebih berbahagia berbanding orang-orang asli di hulu pedalaman dan pergunungan sana? Sebaliknya, apakah manusia tidak bertamadun di dalam hutan-hutan itu tidak berbahagia kerana mereka hidup secara primitif dan tidak bertamadun?
            Inilah juga persoalan yang pernah diungkapkan oleh Albert Einstein, saintis tersohor berbangsa Yahudi.
 Apakah ukuran kebahagiaan?
            Mari kita renung dan bandingkan. Tamadun moden yang kita jalani dan hidupkan hari ini jelas berpaksikan kepada pencapaian lahiriah, fizikal atau jasadiah. Tamadun yang sentiasa berusaha dan bermotivasikan pemuasan nafsu dan kehendak duniawi manusia. Jika dahulu kita berbangga kelajuan maksima sesebuah kereta adalah sekitar 300km sejam, sekarang teknologi pembuatan enjin dan casis kereta telah mencipta Buggati veyron, Mercedes McLarren atau Lamborghini, misalnya, dengan kelajuan melebihi 400km sejam. Tetapi ini tidak berakhir di situ. Usaha-usaha untuk meningkatkan kelajuan ini terus berjalan tanpa henti. Malangnya, nafsu dan keinginan manusia ini tiada hadnya.
            Tamadun yang dibanjiri pelbagai produk moden untuk kemudahan dan keselesaan manusia seperti telefon, televisyen, komputer, kenderaan, makanan, pakaian, peralatan rumah dan sebagainya. Sesuatu yang tidak kedapatan dalam masyarakat primitif. Dan dalam masyarakat moden hari ini, setiap masa produk-produk itu dikemaskini menjadi lebih baik, maka manusia terpaksa mengejarnya untuk tidak dilihat ketinggalan.
            Benar, manusia moden kini tidak lagi mengalami kebuluran. Tiada lagi kedengaran kes-kes kematian kerana kelaparan atau tidak mendapat gizi makanan seimbang. Tetapi malangnya, manusia mati menderita berpunca dari terlebih makan kerana menurut nafsu. Darah tinggi, obesiti, diabetis dan serangan jantung kerana kegelojohan nafsu makan dan sumber bahan makanan itu sendiri. Sepatutnya semakin tinggi kemajuan peradaban manusia, maka semakin manusia lebih sejahtera dari segi fizikal dan mental.
            Jika tamadun kita hari ini semata-mata mengejar material, kehidupan orang asli di dalam hutan adalah lebih baik dari segi fizikal dan mental. Musuh orang asli di dalam hutan adalah harimau, gajah, kala jengking dan binatang buas lain. Dalam masyarakat moden, ramai manusia mati dalam kemalangan jalanraya dan penyakit aneh-aneh hasil akibat gaya hidup moden. 
            Suasana kerja manusia zaman moden dalam pejabat berhawa dingin dan tidak mengeluarkan peluh. Malangnya, untuk mengeluarkan peluh, mereka terpaksa ke gim melakukan aktiviti  dan senaman. Dan, sinisnya, caj atau yuran dikenakan untuk aktiviti mengeluarkan peluh itu. Sedangkan orang asli bekerja secara semulajadi dengan tulang empat keras dan dalam masa yang sama mengeluarkan peluh.
            Teknologi moden hari ini ternyata tidak lagi membuat manusia gembira. Tamadun yang meletakkan kepercayaan agama ke dalam tong sampah sejarah. Agama hanya menjadi suatu upacara tradisi yang semata-mata dihormati, tidak lagi dihayati dan diamalkan sepenuhnya. Apa yang ada hanyalah siapa kuat dan siapa lemah. Tidak wujud lagi tali persaudaraan dan tolong-menolong, melainkan syak-wasangka, persaingan yang tidak sihat dan saling dengki. Tamadun moden juga melahirkan pelbagai jenis penyakit fizikal dan mental. Serangan virus selesema burung, misalnya. Sementara jiwa manusia pula diserang pelbagai jiwa tekanan yang kronik seperti kemurungan, skizofrenia dan sebagainya.
            Manusia kini tidak lagi memikirkan pencapaian kerohanian, tetapi pencapaian material. Televisyen, telefon, kenderaan atau kediaman yang selesa tidak akan dapat membantu pencapaian kerohanian. Tamadun yang membuat manusia semakin takut menghadapi hari-hari esok dan lebih percayakan wang daripada Tuhan. Kerana ketakutan itu mereka mengumpul wang untuk masa depan mereka. Secara psikologi, tiada lagi pergantungan kepada tuhan. Manusia tanpa sedar telah meletakkan wang adalah segala-galanya. Apabila manusia mempercayai wang, akan makin teguh sistem tamadun moden ini berputar membentuk lingkaran yang lebih luas dari semasa ke semasa, sehingga nilai duit semakin kecil walaupun pendapatan makin bertambah.
            Katakanlah bagi golongan miskin, mereka hidup kesempitan untuk membayar bil-bil dan keperluan-keperluan lain yang sebenarnya berasal dari kehendak-kehendak untuk menyelesakan kehidupan, adakah golongan kaya dalam masyarakat moden hari ini berbahagia, jika dikatakan wang itu sumber kebahagiaan? Mereka yang kaya juga terus bekerja keras seperti golongan miskin dan sentiasa mengejar kekayaan seperti mereka ini tiada wang sebagaimana golongan miskin. Seolah-olah tiada bezanya miskin dan kaya dalam dunia hari ini.
            Apakah manusia moden ini menikmati kehidupan? Bangun pagi, pergi kerja, balik dan tidur. Suatu ulangan seperti Sisyphus dalam dongeng Greek yang dihukum oleh Dewa Zeus menolak sebongkah batu ke atas bukit, kemudian digolekkannya kembali ke bawah, dan ia berulang-ulang. Kerja tidak lagi menggembirakan, sebagaimana orang asli dalam hutan bergembira sewaktu keluar berburu babi hutan diiringi nyanyian dan bunyi-bunyian. Lalu manusia moden memerlukan pakej percutian untuk menikmati kehidupan. Jika kemajuan teknologi itu membuat manusia lebih baik, tentulah semakin turun indeks-indeks kes jenayah atau masalah kejiwaan manusia. Kita bukan ingin mengajak kembali ke zaman primitif. Tetapi, apakah kos kemajuan yang terpaksa kita bayar ini berbaloi untuk ketenteraman kerohanian dan fizikal kita?
            Sama ada teknologi itu lebih baik atau tidak berbanding budaya primitif, yang nyata teknologi yang kita agungkan ini perlahan-lahan telah merosakkan bumi ini. Bukit-bukit diratakan, sungai dan lautan tercemar, udara dikotori karbon dioksida, telinga dengan bingit jentera dan sampah-sarap industri yang bertoksik. Itulah korbannya.
            Seperti kata hukama, dunia ini umpama bayang-bayang; kita tak mungkin dapat mengejarnya. Atau, dalam pengetahuan sains, seperti fatamorgana (ilusi atau maya) wadi air di tengah padang pasir yang luas. Setiap kali kita cuba hampiri, ia hilang.  Atau juga seperti kata-kata ilustrasi moden seseorang yang saya sudah lupa siapa, bahawa kemajuan hari ini adalah seperti sebuah signboard baikpulih jalanraya yang tertulis: kerja-kerja sedang dijalankan untuk kemudahan anda di masa hadapan.
            Apa atau bilakah masa depan itu?

MANUSIA, TEKNOLOGI & U-TOPIA



KETIKA ditanya Mohd Dahri Zakaria, seorang penuntut IPT, untuk bahan kajian tesisnya, ke atas antologi cerpen saya, Dongeng pascamerdeka (Pustaka Pemikir , 1999), perihal pemikiran, falsafah, tema, u-topia dan segalanya dalam dunia penulisan saya, langsung saya teringatkan ucapan seorang ahli fizik.
            Saintis tersohor itu, Albert Einstein (1879-1955) pemenang Hadiah Nobel 1921, dalam satu ucapan meraikan mahasiswa-mahasiswa California Institute of Technology, sinis mempersoalkan hakikat dan nilai ilmu dikuasai oleh manusia.
            Nada ucapannya separa pesimisitik. Ucapan pendek beliau pada tahun 1938 itu terkumpul dalam buku A treasure of Science, 1946.
            Penting diketahui, ucapan itu dilafaz sekitar usianya menjelang 60 tahun, sesudah banyak penemuan sains, terutamanya fizik dan teknologi dirintisnya.
            Keluhnya, “mengapa ilmu yang indah itu, yang menghemat tenaga dan membuat hidup kelihatan lebih selesa, hanya menyumbang sedikit kebahagiaan dalam tamadun kehidupan manusia?”
            Soalnya lagi, “ketika manusia diancam peperangan, ilmu dan teknologi membuat manusia saling membunuh lebih cepat, lebih ramai, dan lebih kejam; sebaliknya di bawah bendera perdamaian, ilmu dan teknologi juga membuat jiwa manusia dikongkong dan merana gelisah.” Ini barangkali keluh kekesalan Einstein mengenang apa dihabiskannya ketika zaman emasnya, mencipta dan mencari kebenaran material, dan menyelesaikan masalah bagaimana untuk hidup sehingga terlupa tujuan hakiki hidup.
            Apa dirungutkannya itu wajar difikirkan. Sebenarnya lagi, secara kebetulan, persoalan ini kerap dibahas dalam hampir majoriti tulisan saya. Mencari, menyoal, dan menyelidik persoalan falsafah dan manusia. Apa kebahagiaan? Apa kebenaran? Apa makna hidup?
            Mengulangi kemusykilan Einstein, “apa mukjizat ilmu bagi kita semua?”
            Dan anologi dikemukakan Einstein seterusnya: perbandingan manusia India tidak bertamadun dengan umat manusia beradab lain.  “Adakah warga India tidak bahagia, atau kurang kayakah pengalaman mereka?”
            Yang nyata, terdapat suatu ironi – warga dunia bertamadun tinggi juga diketahui meniru permainan bangsa India yang ditakwil tidak beradab itu.
            Natijahnya juga, teknologi dalam bentuk terkini memufliskan moral manusia. Suatu cerita menarik perihal kecelakaan teknologi ini, terkandung dalam mitos Greek: seorang penguasa tamak, Raja Midas memohon pada Dewa Dionysus, agar setiap yang disentuhnya menjadi emas. Impiannya ditunaikan, segala benda yang disentuhnya menjadi emas, emas dan emas, sehingga permaisuri dan makanannya turut menjadi emas.
            Itulah kecelakaan teknologi, kata Ziauddin Sardar.
            Dan apapun mahu dicapai manusia,, tujuan asas pencarian hidup manusia adalah untuk menikmati kebahagiaan. Seorang penyanyi yang lincah menghibur masyarakat di atas pentas, sebenarnya belum tentu dapat menghibur hatinya sendiri. Seorang seniman, tidak dapat tidak, memburu kebahagiaannya sendiri. Apatah lagi seorang penagih candu yang juga mahukan kebahagiaan.
            Oleh kerana itu, saintis unggul tokoh abad ke 20 ini, ketika mengenang kemajuan ilmu yang gagal mengubah tamadun kehidupan lebih u-topia atau lebih baik, berkata, “ilmu sepatutnya membuat kehidupan manusia lebih selamat, lebih bahagia, lebih selesa.” Apa yang terjadi adalah sebaliknya.
            “Teknologi dalam peperangan memungkinkan kerosakan,” diulangi lagi katanya, “sekiranya negara aman, manusia diperhambakan teknologi.”
            Einstein langsung mengemukakan lagi contoh: “umat manusia menjalani hari panjang dan monoton, pulang dan mengecapi buah kerja tidak semanis mana dengan rasa gemuruh, kemudian mati.” Ini saya kemukakan dalam cerpen Bukan, Bukan, Bukan, Soliloquy dan Mencari Godot.
            Jadi sekali lagi, “apa mukjizat ilmu?”
            Yang jelas, moral dan akhlak manusia semakin bobrok ditelan kemajuan material dan teknologi.
            Ini juga dapat disaksikan dalam kehidupan seharian sesiapa dan di mana-mana pojok dunia manapun. Manusia gelisah, gila kuasa, sakit jiwa, gila pujian, fobia, paranoid, eskapisme, devian, dan gila segalanya.
            Kerana itu terdapat ragam watak dan personality manusia merana, ragu, pesimis, tamak, inferiority/superioty complex, fobia, devian, tidak tentu hala dan sebagainya seperti tadi, dalam karya kreatif saya. Sememangnya realiti dunia yang dihadapi mutakhir ini, imejnya langsung terpancar dalam kerja kreatif seseorang seniman. Seniman, selaku pemikir masyarakat, akan ditanya batinnya: mengapa hidup manusia tidak berbahagia? Apa penawar segala kompleks kejiwaan ini? Apakah jalan mencapai kebenaran dan kebahagiaan hakiki?
            “Adakah benar kita belum lagi belajar bagaimana mempratikkan ilmu secara wajar,” lanjut Einstein lagi.
            Fasal kebahagiaan, beliau mengungkap lagi satu anologi yang bijaksana: “seorang anak muda mengahwini seorang wanita yang agak buruk watak zahirnya, dan dia ditanya sama ada dirinya berbahagia atau tidak.”
            Anak muda itu menjawab, jika saya mahu mengakui perasaan sebenar, saya harus berbohong.
            Semua ini membuat fikiran seseorang penulis seperti saya kritikal terhadap dogma politik, sosial atau ekonomi. Dalam ekonomi, suatu masa dahulu Karl Marx menjadi idola – sama rasa sama rata. Ternyata kemudian mana mungkin seorang lelaki yang berpoligami membahagikan kain sama elanya kepada dua orang isterinya yang berlainan saiz badan. Syurgapun bertingkat. Bahkan, dalam komunisme, sekalipun dibuang unsur atheisme, manusia akan sesinonim haiwan merebut bangkai (atau dunia, kias Syaidina Ali). Rujuk cerpen Surat kepada Rausyanfikr, Khayali, Korban dan Dunia oh Dunia.
            Dalam politik, untuk menang, manusia menghalalkan segala kaedah kerana politik adalah dunia tipu muslihat. Demi menjaga survival parti, para ulama parti menghalalkan cara kotor untuk menang, dan secara tidak langsung, menolak kaedah luhur agama, iaitu dakwah. Untuk menang, segala kebajikan dan jasa parti didedahkan kepada umum. Tidak ada keikhlasan lagi. Untuk menang, segala keburukan lawan didedahkan (rujuk cerpen Pergi Jahanam dengan Politikus).
            Sinisnya, Einstein pernah menolak jawatan penguasa tertinggi negara haram Israel yang ditawarkan kepadanya.
            Akhirnya, semakin banyak menulis, semakin kita sedari betapa bodohnya kita, dan sekiranya langsung tidak menulis, saya kira saya tidak tahu apa kebodohan saya. Apa yang ditulis kelmarin, hari ini kelihatan begitu bodoh. Apa yang difikirkan betul hari ini, esoknya diketahui palsu. Banyak juga tulisan langsung menelanjangi kecetekan akal. Menulis karya kreatif seperti membogelkan diri untuk diteliti khalayak cacat-celanya, kerana dalam pencarian hidup, manusia melakukan pelbagai kebodohan.
            Inilah juga jawapan saya kepada penuntut tersebut, menjawab sekitar sikap, idea dan pegangan saya sebagai penulis.
            Dan Albert Einstein akhirnya menyimpulkan: “ilmu tanpa agama itu buta, dan agama tanpa ilmu akan lumpuh”.
                                   
Artikel ini tersiar dalam Berita Harian 27 Mac 2001, lebih 10 tahun dahulu.*

Thursday, 14 July 2011

PERIHAL KERETA, DUNIA & MANUSIA


Dan janganlah engkau berjalan di mukabumi dengan angkuh, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (surah Luqman 31-18).
Kereta, seperti kenderaan lain, adalah mesin jentera untuk manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mencapai tujuannya. Seperti juga kehidupan ini, dunia adalah tempat untuk menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Kereta dan dunia adalah cuma alat, bukannya tujuan manusia yang hakiki.
Henry Ford adalah pencipta atau pereka asas kereta zaman moden ini dengan model T. (Sekadar catatan, Henry Ford juga penentang Yahudi setelah menyedari ancaman bahaya bangsa Yahudi dan fahaman Zionis bangsa tersebut ke atas dunia. Beliau pernah menerbit dan mendedahkan perancangan jahat Yahudi ini melalui buku 24 Protokol Zionis sedunia).
Untuk makluman lagi, kota yang padat seperti Kuala Lumpur setiap hari sesak dengan kenderaan dan menimbulkan tekanan dan stress kepada warganya, sementara sistem pengangkutan awam pula tidak sempurna dan menyeluruh capaiannya.
            Mari kita renungkan di sebalik ikon jentera bernama kereta ini. Dengan kereta, kita boleh mengagak siapa dan apa kecenderungan pemiliknya. Kereta boleh menjelaskan psikologi pemiliknya bagaimana.
            Golongan yang kaya-raya dan duit melimpah-ruah adalah sinonim dengan jenama supercars seperti Ferrari, Bentley, Roll Royce, Porsche, Lamborghini, BMW, Mercedes benz, Audi  lain-lain. Jenama-jenama ini menjadi suatu simbol status mereka yang super elit dan mega.
            Malaysia juga mengeluarkan jenama kereta sendiri, Proton dan Perodua, dengan kerjasama teknologi Jepun, walaupun dipersoalkan peratusan kerja-kerja tempatannya. Bermula pada tahun 1984, pada era Dr Mahathir, Proton mula beredar di pasaran tempatan. Pernah diejek diperbuat daripada tin milo, jenama ini terus menjalar di jalanraya sebagai pilihan utama rakyat Malaysia. Dari kereta rasmi kerajaan hingga kepada kegunaan politikus pembangkang, ia terus popular. Sama ada ia murah atau mahal, harganya rendah dan mampu dimiliki kebanyakan rakyat biasa.
Bagi golongan muda dan tidak mampu memiliki jenama import yang mahal, mereka memilih kereta buatan tempatan dan mengubahsuainya (modified) menjadi kereta sport impian mereka. Proton Wira diubahsuai menjadi Mitsubishi Evolution, misalnya, dengan kemasukan enjin halfcut berkuasakuda tinggi. Tentunya dengan bunyi ekzos suara baghal yang hodoh didengar golongan tua, tetapi sedap di telinga mereka.  
Modified, suatu manifestasi cita-cita dan angan-angan manusia yang tidak pernah puas dan bersyukur dengan apa yang ada. Seperti seorang perempuan mengubahsuai kejadian wajahnya dengan melakukan pembedahan plastik atau pengubahsuaian dengan mekap melampau. Kelihatan jelita dan anggun, tetapi tidak selesa dan praktikal (nak kerutkan dahi pun, takut tertanggal mekap, nak makan pun takut hilang dan tertelan calitan lipstik).
            Malah jika direnungkan, ada suatu falsafah yang menarik boleh diperhatikan perihal kereta ini. Kereta yang diubahsuai ini tidak praktikal lagi untuk memenuhi tujuan dan kegunaan asalnya. Dengan skirting (kadangkala boleh diejek sebagai gaun), ia tidak selesa lagi dipandu di jalan yang berlubang-lubang di Malaysia ini. Mudah rosak atau pecah jika masuk lubang dan terlanggar bumper jalan. Tujuan asas kereta dicipta sudah dilanggar.
            Misalnya, dengan rims bersaiz besar lebih 18 inci dan tayar yang nipis, ia nampak cantik dan sporty. Tetapi tidak lagi selesa dan sesuai dipandu serta mudah rosak bahagian bawahnya seperti penyerap hentakan (arsober). Kereta sepatutnya memudahkan manusia. Sebaliknya ia telah menyulitkan manusia kerana telah diubahsuai untuk tampak cantik. Seperti juga kehidupan di dunia ini, kita telah menyusahkan perjalanan kita ke akhirat, dengan melupakan tujuan kita berada di dunia ini.
            Kereta, dicipta untuk bergerak dengan selesa, tidak basah jika hujan. Sebaliknya, ada pemiliknya yang sanggup basah menaiki motorsikal kerana sayangkan kereta. Dunia oh dunia. Ternyata kereta tidak lagi kekal sebagai alat pengangkutan, fungsinya telah dipelbagaikan. Ia seolah-olah telah menjadi tujuan sebenar bagi masyarakat moden. Sesuatu yang mungkin tidak terfikir oleh Henry Ford sendiri. Ia kini telah menjadi simbol status dan prestij pemiliknya, malah tujuan.
Seperti juga kehidupan hari ini, dunia ini tidak lagi dianggap sebagai tempat persinggahan sementara. Tetapi manusia telah menghiasi dunia ini seolah-olah dunia adalah tempat tinggal yang abadi. Misalnya, seperti membina kediaman seperti istana seolah-olah mereka tidak akan mati. Manusia sudah terlupa bahawa dunia ini hanyalah alat untuk ke negeri akhirat yang abadi, sebagaimana kita terlupa bahawa kereta hanyalah alat untuk membawa kita dari satu ke satu tempat lain. Kita ingin kereta yang cantik. Tetapi jika ciri kecantikan itu yang lebih diutamakan, ia akan menyusahkan kita.       
Kadang-kadang, dari satu sudut pandangan, orang asli di pedalaman atau kaum Badwi yang hidup berpindah-randah adalah lebih baik dan bertamadun daripada manusia zaman moden ini yang jiwanya sakit dan stress dalam memuaskan kehendak-kehendak duniawi yang pelbagai, yang telah berubah menjadi keperluan hidup. Kaum nomad hanya membawa keperluan asas sahaja setiap kali berpindah, sedangkan manusia moden berhempas-pulas mengejar duniawi sehingga lupa tujuan ia berada di atas mukabumi ini, dan malangnya dunia ini hanyalah fana dan sementara sahaja. Mereka telah menyusahkan diri mereka untuk memenuhi keinginan duniawi mereka, padahal dunia ini hanyalah alat atau tempat tinggal sementara.

Thursday, 7 July 2011

MENGALIH KEZALIMAN DENGAN KEZALIMAN LEBIH BESAR



“ALLAH telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kalian dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh-sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhai-Nya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa tetap kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik,” (an-Nur 55).
Pemimpin sebenarnya adalah cerminan masyarakat yang diperintahnya. Jika masyarakat berakhlak buruk, maka manusia berakhlak buruklah menjadi pemimpin. Begitulah ekosistem masyarakat. Masyarakat melahirkan pemimpin seperti adanya.
            Pemerintah ibarat penggembala. Apabila arahan pemerintah, sekalipun pemerintah yang zalim, tidak dipatuhi, maka tiada lagi undang-undang didaulatkan. Bermulalah bibit-bibit pemberontakan. Akan terlucutlah kambing-kambing gembalaan yang akhirnya akan memudahkan serigala pemangsa memakannya. Itulah perumpamaannya.
Kerosakan dan keburukan dalam masyarakat hari ini adalah menyeluruh. Masyarakat menzalimi diri sendiri, bukan setakat dizalimi pemerintah. Pandanglah sekeliling untuk melihat kehancuran dalam masyarakat jahiliyah moden ini. Nafsu dan cinta dunia menjadi budaya. Masyarakat sedang diglobalisasikan dengan budaya hidup baru. Tamadun Barat yang muflis moral menjadi sumber rujukan. Manusia semakin jauh dari agama. Apabila agama sudah luput dalam masyarakat, jadilah masyarakat itu tanpa panduan, seperti kumpulan haiwan liar yang menurut nafsu. Rasuah, penipuan, judi, arak, syirik, zina, khianat dan pelbagai kemungkaran berleluasa dalam masyarakat.
Dunia ini, seperti yang diumpamakan nabi SAW, adalah bangkai yang tidak cukup sifat di tepi jalan.
Pemerintah zalim telah jelaslah kezalimannya dan harus ditentang. Masyarakat, yang melupakan agama pula, akan memperjuangkan kepentingan diri mereka. Maka yang terjadi hanyalah perebutan bangkai. Mereka mudah terhasut dengan cerita rasuah, salahguna kuasa, kekayaan melampau pemimpin dan bermacam perkara lagi yang dibawa pemberontak. Akhirnya perjuangan ini tidak lagi kerana agama, tetapi kerana iri hati, dendam, benci dan percaturan ekonomi. Dalam demokrasi, ternyata perjuangan hari ini adalah untuk memuaskan kehendak pengundi, bukan perjuangan menyempurnakan akhlak masyarakat seperti yang dilakukan nabi SAW.
Cuba perhatikan. Perjuangan hari ini bukan lagi meminta masjid, misalnya. Masjid telah sedia ada seperti cendawan selepas hujan, malah cantik, moden lagi selesa. Malah, masjid yang hanya meriah pada hari Jumaat dan pagi hari-hari perayaan. Manusia telah lalai memakmurkan masjid tersebut pada waktu-waktunya.
Parti-parti politik tidak lagi menjaga agama, tetapi menjaga pengundi. Tiada lagi kebenaran agama dilaungkan mereka, melainkan suara kehendak-kehendak masyarakat yang ingin mereka pancing undi dalam pilihanraya. Parti-parti ini telah diubah bentuknya oleh pengundi, bukan sebaliknya. Mereka telah menjadi pejuang-pejuang duniawi untuk memuaskan kehendak masyarakat demi mendapatkan negara. Mereka mengkompromikan agama untuk undi.
Parti politik ini pasti akan dikalahkan pemerintah. Demokrasi ada pelbagai kelemahan dan mudah disalahgunakan. Demokrasi pasti lebih memenangkan pemerintah. Kepada yang tewas, akhirnya mereka akan memilih cara demonstrasi yang lambat-laun akan membawa kepada revolusi seperti yang terjadi di seluruh dunia.
Masyarakat menolak kezaliman, tetapi masyarakat juga menzalimi diri sendiri sebagai hamba-Nya. Bagaimana mungkin kita dapat mengalih kezaliman itu, melainkan mengangkat kezaliman lebih besar ke dalam masyarakat. Jika suasana menjadi anarki, akan terbukalah pintu-pintu fitnah yang tidak akan dapat ditutup lagi, dan kita semua akan tenggelam punca dan saling menyalahkan. Kita akhirnya akan bercakaran dalam gelap, dan tidak tahu siapa kawan dan lawan.
Masalah dunia hari ini adalah masalah ketaatan kepada agama, yang tidak boleh didapatkan dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada dan membentuk kerajaan baru. Jika kerajaan baru ditubuhkan, masyarakat tetap masyarakat yang sama, yang tidak dapat dipuaskan kehendaknya. Kita bukan bersetuju dengan pemerintah zalim, cuma bagaimana untuk membetulkan masyarakat selaras dengan fitrah agama. Islam tidak akan bangkit dengan politik demokrasi, apatah lagi dengan revolusi. Islam hanya akan berkembang dengan politik dakwah, tarbiah, tabligh dan pendidikan hati. Membaiki akhlak masyarakat bermula dari individu, kerana masyarakat yang baik secara automatik akan menolak pemimpin dan sistem yang zalim. Tiada usaha-usaha menyeru dan membawa kepada kebenaran agama. Apa yang ada hari ini adalah  perebutan bangkai di kalangan manusia bernaluri binatang yang mengeksploitasi agama dan isu-isu yang dekat dengan rakyat.
Sekiranya kerajaan yang ada dijatuhkan secara ganas oleh rakyat, maka rakyat yang sama juga akan menjatuhkan kerajaan yang baru ditubuhkan itu nanti. Satu siri ulangan tidak berkesudahan.
Malaysia tidak hidup sendirian. Apa yang berlaku di sini adalah penting kepada dunia. Kita kini dalam dunia globalisasi. Kuasa-kuasa besar dunia juga memainkan peranan mereka ke atas seluruh negara di dunia, termasuk Malaysia. Tangan-tangan asing dari luar ini turut mencatur Malaysia. Ini tidak dapat dinafikan. Kuasa-kuasa asing ini diketahui mahu meruntuhkan struktur-struktur masyarakat lama untuk memudahkan kemasukan budaya dan pengaruh dagang mereka yang selama ini dihalang dinding-dinding sekatan ekonomi atau dasar-dasar negara. Ini bukanlah paranoid, tetapi realiti. Kuasa-kuasa asing inilah serigala pemangsa yang menunggu peluang untuk mengambil semuanya.
Apabila pemerintah yang zalim ditentang masyarakat yang juga tidak berakhlak, inilah akhir sebuah masyarakat dan negara.

Thursday, 30 June 2011

KOTA CONSTANTINOPLE & MUHAMMAD AL-FATEH


KOTA Constantinople hanya akan jatuh kepada seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.”
Demonstrasi atau tunjuk perasaan, bagi sebahagian politikus, adalah kaedah terakhir menyampaikan mesej terhadap kerajaan yang zalim. Demonstrasi ini bermula dan popular di Barat untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan bantahan.
            Ada banyak dalil dikemukakan untuk menyokong atau membangkang perlunya demonstrasi. Semuanya menggunakan hujah dan dalil agama, sama ada bersumber dari al-Quran ataupun hadith. Tiada penyelesaian muktamad yang terhasil, malah hanya pertikaian berterusan.
            Mereka yang prodemonstrasi menyampaikan kisah seseorang mengadu pada nabi SAW. “Sesungguhnya jiranku menyakitiku.” Sabda nabi SAW, “keluarkanlah baranganmu dan letakkannya di jalan.” Maka lelaki itu mengambil barangnya dan meletakkannya di jalan. Lalu setiap orang yang melintas bertanya, “apa yang terjadi kepadamu?” Dia menjawab, “jiranku menyakitiku.” Maka mereka berkata, “ya Allah laknatilah dia, ya Allah hinalah dia.” Dengan sebab itu jirannya berkata, “kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan menyakitimu lagi.”  (hadith riwayat al-Bazzar dan al-Hakim)
Bagi penentang, mereka membawa riwayat Muslim ini, “Siapa sahaja yang datang kepada kamu sedangkan urusan kamu telah berada di tangan seorang pemimpin, kemudian dia bertindak menggugat kedudukan pemimpin kamu atau memecah-belahkan perpaduan di antara kamu, maka bunuhlah orang tersebut.”
Soalnya di sini, apakah demonstrasi itu jalan lurus mencapai kebenaran dan kemenangan? Apakah ia akan membuahkan hasil yang lebih baik?
Politikus yang kecewa kerana demokrasi tidak berjaya memenangkan mereka, telah bertindak menganjurkan demonstrasi. Mereka mendakwa pihak kerajaan tidak berlaku adil dan menipu dalam proses perlaksanaan demokrasi.
            Perlu diakui sesebuah kerajaan akan berusaha mempertahankan diri mereka sama ada dengan cara yang betul atau tidak, bergantung kepada bentuk penentangan. Ini adalah tindakbalas semulajadi. Tiada sesiapa yang akan membiarkan dirinya dijatuhkan, lebih-lebih lagi bagi kerajaan yang zalim. Manakala rakyat sebagai penentang akan berusaha menjatuhkan kerajaan melalui apa jua cara. Demonstrasi adalah jalan paling terakhir dan ekstrem bagi rakyat tertindas. Politikus-politikus yang menentang kerajaan akan bekerja keras menghasut rakyat turun ke jalanraya atas nama demontrasi aman.
            Melihat kepada contoh-contoh yang terjadi di seluruh dunia, banyak kerosakan, kerugian, kemusnahan, dan korban nyawa yang telah berlaku kerana demonstrasi walaupun bermula dengan aman. Kita ingin mengalihkan kezaliman, tetapi keadaan yang lebih zalim telah mengambil tempat. Mengapakah ini terjadi?
            Sama ada kerajaan ataupun golongan penentang yang melakukan kekacauan, itu tidaklah penting. Seperti yang kita ketahui, kerajaan yang zalim akan berbuat apa saja untuk mempertahankan diri mereka. Tidak ada gunanya jika kita meminta keadilan dari Firaun yang ternyata zalim itu. Logiknya, jika Firaun itu berlaku adil, tiada gunanya kita melawannya. Umpama seorang perompak, kita meminta perompak itu mencampakkan pistol di tangannya, adakah logik? Bahkan, tentulah perompak itu sanggup melakukan apa saja untuk merompak dan melepaskan diri dari jenayahnya. Begitu juga dengan kerajaan yang zalim. Jika demonstrasi itu diprovokasi oleh kerajaan dan berlaku pertumpahan darah, kitalah, sebagai penentang, yang harus dipersalahkan kerana mencampakkan masyarakat ke dalam fitnah-fitnah kekacauan. Tiada gunanya kita mempersalahkan kerajaan (atau Firaun) yang nyata zalim itu.
            Demonstrasi ternyata boleh menjerumuskan negara ke dalam gejolak api fitnah dan kemusnahan. Semua warganegara, terutama rakyat biasa dan orang kebanyakanlah, yang akan menanggung akibatnya jika demonstrasi ini bertukar menjadi revolusi berdarah. Dan perhatikan maksud surah al-Baqarah ayat 195 ini, “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
            Mereka menyertai demokrasi yang ternyata sekular, dan apabila mereka kalah dalam sistem demokrasi dan pilihanraya yang penuh tipudaya dan yang banyak memberi kelebihan kepada pemerintah itu, mereka menghasut rakyat keluar memberontak di jalanan.
            Suatu kebangkitan rakyat yang bermula dengan kebatilan adalah palsu dan tidak akan kekal. Kita bukan menentang kerajaan yang kuffur seperti firaun. Kita menentang kerajaan yang tidak adil. Kebangkitan rakyat yang sebenar adalah kebangkitan revolusi minda rakyat yang berteraskan agama. Kebangkitan kesedaran agama yang meruntuhkan semua sistem sekular dan kuffar. Bukan perjuangan berdasarkan naluri haiwan yang ganas berebutkan bangkai.
Demonstrasi, seperti demokrasi, bukanlah pilihan orang yang memiliki ilmu dan hikmah. Demonstrasi adalah pilihan mereka yang hilang ikhtiar, hilang kesabaran, putus asa dari pertolongan Allah swt.
            Seperti yang berlaku di Mesir dan negara-negara lain, ternyata kemenangan pemberontakan tersebut hanyalah memberi keuntungan kepada Zionis dan AS dalam menjayakan New World Order mereka. Modus operandi mereka adalah meruntuhkan kerajaan atau monarki lama, lalu membentuk kerajaan baru di bawah tunggangan mereka. Mereka tidak akan mencemari tangan mereka dengan darah, tetapi dengan tangan-tangan rakyat negara itu sendiri melalui pemimpin dan aktivis masyarakat yang dibentuk dan dididik mereka sejak sekian lama.
            Jika cukup syarat-syarat, wujud ketua yang baik, tentera yang baik, dan rakyat yang baik, kapal pun boleh belayar di daratan, seperti terjadi di kota Constantinople suatu masa dahulu, sehingga tumbang kota itu ke tangan Muhammad al-Fateh dan para tentera serta rakyatnya. Apakah kita sebaik itu untuk mengalihkan kezaliman dengan demonstrasi? Atau kezaliman yang lebih besar akan menghempap kita.

Thursday, 23 June 2011

DILEMA MELAYU ERA GLOBALISASI


ADA sebuah sajak pendek yang ditulis oleh Lord Byron perihal bangsa Yahudi. Maksudnya lebih kurang begini: kelinci (arnab) ada sarangnya, iaitu di dalam lubang bawah tanah. Burung merpati pun punya sarangnya yang kecil di atas pokok. Tetapi bangsa Yahudi tidak memiliki tanahair. Sajak ini semestinya dikarang sebelum kewujudan negara haram Israel pada tahun 1948.
            Sajak ini menunjukkan betapa pentingnya tanahair untuk sesebuah bangsa. Yahudilah, sebelum wujud negara Israel, satu-satunya bangsa yang tidak memiliki negara yang sah dalam sejarah moden. Mereka adalah bangsa yang bertebaran di mana-mana ceruk dunia.
            Malaysia, dulunya Semenanjung Tanah Melayu, dalam sejarah zaman moden adalah dihuni oleh kaum Melayu. Bumiputera Melayu adalah tuan kepada negara ini. Sama ada Melayu itu asalnya dari benua manapun, bukan persoalan. Sejarah zaman moden mengesahkan orang-orang Melayu adalah penghuni asal Malaysia selain kaum-kaum orang asli di pedalaman, sebelum disertai imigran Cina dan India yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris untuk bekerja di ladang atau di lombong-lombong. Untuk dikatakan Cina adalah penghuni asal Malaysia, semua mengetahui fakta ini adalah salah. Orang Cina mempunyai susur-galur nenek-moyang mereka di negara China. Orang India pula mempunyai India sebagai negara asal.
            Tulisan ini bukan bermaksud menyuburkan benih perkauman. Tulisan ini diharap rasional untuk menilai masalah Melayu di Malaysia hari ini dan pada masa-masa akan datang, juga masa depan Malaysia.
            Benar, bumi yang luas ini adalah milik Allah swt. Bagi ulama-ulama yang menyertai politik, semua bangsa tidak harus dibezakan. Islam tidak membezakan warna kulit atau bangsa, tetapi ketakwaan. Semua manusia adalah sama, makhluk ciptaan Allah swt. Kenyataan ini kelihatan harmoni dan adil.
            Melayu adalah kaum bumiputera. Orang Melayu mempunyai hak-hak keistimewaan yang termaktub dalam perlembagaan negara.
            Adalah kontradiksi jika Melayu harus mempertahankan hak mereka sebagai tuan rumah. Konsep bertahan begini adalah negatif. Dalam permainan bolasepak, bertahan adalah lemah. Sepatutnya hak tuan rumah sudah terjamin kukuh. Hak tetamulah yang harus dipertahankan.
            Jawapan kepada ulama-ulama politik, bahawa bumi ini adalah milik tuhan untuk semua, adalah sebuah perumpamaan yang akan dikemukakan nanti. Memang apa yang dikatakan ulama ini adalah tepat. Tetapi ini adalah berlawanan dengan konsep hakmilik dalam Islam. Dalam Islam, kita percaya tuhan yang menciptakan pokok. Tetapi jika pokok itu tumbuh dalam kebun orang, kita wajib meminta izin tuan pokok itu untuk mengambil hatta sehelai daun pokok sekalipun.
            Perjuangan orang Melayu mempertahankan hak mereka memanglah perjuangan kebangsaan. Tetapi perjuangan ini bukanlah berlawan dengan nilai-nilai agama. Kecuali jika kita merampas hak bangsa lain atas nama perjuangan kebangsaan, itu dikira assabiyyah yang ditolak agama.
            Sepatutnya hak-hak keistimewaan bumiputera dimansuhkan, dan digantikan dengan hak-hak keistimewaan bukan bumiputera. Perkara yang sama, seperti segelas air yang separuh kosong atau segelas air yang separuh berisi. Misalnya jika selama ini quota bumiputera adalah 70%, maka harus diubah kepada hak keistimewaan bukan bumiputera adalah sebanyak 30%.
             Benar, kaum bukan bumiputera yang banyak memajukan ekonomi negara ini. Ini diakui kerana golongan pendatang memiliki ketahanan dan disiplin yang tinggi. Kuala Lumpur pada asalnya dimajukan oleh kapitan Yap Ah Loy. Mereka berasa terancam dan berusaha gigih untuk survival mereka, sebaliknya kaum Melayu kekal dalam zon selesa. Jika benarpun kaum bukan bumiputera bijak berdagang, kita jangan lupa siapa yang mengayakan mereka. Kaum Melayu yang majoritilah yang menjadi pelanggan mereka. Perdebatan ini akan menjadi panjang dan tidak akan selesai.
            Dalam keadaan politik Malaysia hari ini, keadaan adalah genting dan bahaya. Melayu yang gagal dalam ekonomi, berkemungkinan akan kehilangan kuasa politik atau terpaksa berkongsi kuasa dengan bukan bumiputera. Melayu mungkin mengulangi kisah jenaka Pak Kaduk atau mengulangi sejarah kesultanan Melayu Melaka.
            Sekarang orang Melayu menentang kerajaan yang dominan Melayu yang dituduh korupsi dan sebagainya. Dakwaan ini banyak yang benar. Kerana inilah orang Cina dan India bersama orang Melayu bersatu menentang kerajaan. Jika kerajaan yang ada hari ini tumbang, apakah tidak timbul masalah? Kita harus rasional mengakui bahawa pakatan pembangkang mempunyai dasar parti yang berbeza, bahkan bertentangan. Mereka hanya memiliki musuh yang sama. Tiada kesepakatan yang besar tentang bentuk negara yang bakal ditubuhkan nanti. Kerana Melayu telah berpecah dua, pembangkang Melayu terpaksa mengharapkan sokongan kaum lain untuk menentang kerajaan. Ini akan mengakibatkan Melayu akan terpaksa berkongsi kuasa dengan bukan Melayu.
            Mungkinkah juga akan berlaku perebutan ghanimah (harta rampasan perang)? Jika pembangkang Melayu ini tidak dapat melaksanakan isi-isi dasar yang mereka perjuangkan sejak berpuluh-puluh tahun dulu, di situlah masalah baru akan bermula, yang tiada dinding dapat menahannya. Di situlah akan bermulanya keruntuhan Melayu. Melayu akhirnya akan cuma menjadi kayu hulu kapak untuk menebang pokok kayu.
            Hakikatnya, Melayu yang berkuasa telah menyalahgunakan kuasa. Melayu yang ditindas telah bertindak melawan seperti marahkan nyamuk, kelambu di bakar. Kerana marahkan kerajaan yang zalim, janganlah kita sanggup meruntuhkan negara dan bangsa sendiri. Akan tetapi, Jika dibiarkan kerajaan yang korup ini, maksiat dan kemungkaran terus bermaharajalela. Janganlah nanti yang dikendong berciciran, yang dikejar tidak dapat. Inilah persimpangan dan dilema orang Melayu.

Friday, 17 June 2011

MESIR, BANI ISRAEL, FIRAUN & HOSNI MUBARAK


SURAH Yusuf ayat 99: maka apabila mereka masuk bertemu Yusuf, Yusuf mendakap ibubapanya dan dia berkata, “Masuklah kamu ke Mesir, insya-Allah dalam keadaan aman.”
Mesir, Inggerisnya Egypt, adalah terkenal sebagai bumi Firaun, juga bumi para anbia. Banyak kisah menarik yang tercatat dalam lipatan sejarah mesir dari dulu hingga sekarang. Kisah Nabi Musa memimpin bani Israel yang dizalimi Firaun, berbangsa Qibthi, yang tercatat dalam al-Quran adalah antara yang menarik dan boleh diambil iktibar dan pengajaran.
            Seorang sejarawan Yunani, Herodotus, menyatakan Mesir adalah anugerah Sungai Nil. Mesir, seperti negara timur tengah yang lain, kaya dengan hasil bumi, iaitu petroleum. Ibukotanya Kaherah, al-Qahira, dimaksudkan sebagai berjaya.
Pada masa sekarang Mesir, yang di dalamnya terdapat universiti al-Azhar, dalam keadaan anarki dan tiada tanda-tanda pemulihan. Hosni Mubarak, yang digambarkan sebagai firaun moden, sudah digulingkan dalam satu pemberontakan rakyat, yang mendapat nyali semangat dari Tunisia. Kejatuhan Hosni Mubarak, sebelumnya Ben Ali di Tunisia, bahkan memberi inspirasi kepada gerakan-gerakan rakyat melawan pemerintahan yang didakwa zalim di seluruh dunia.
Tidak terkecuali di Malaysia, dengan adanya perhimpunan yang memberi sokongan kepada rakyat mesir yang menjatuhan Hosni Mubarak. Perhimpunan ini seolah-olah mahu menyampaikan mesej psikologi kepada kerajaan bahawa perkara yang sama mungkin akan terjadi di sini. Kemudian kejatuhan ini terus memberi inspirasi kepada rakyat Libya, Yemen, Oman, Bahrain, Syria, Algeria, Arab Saudi dan negara-negara berdekatan untuk menjatuhkan pemerintah di negara masing-masing. Situasi negara-negara tersebut masih dalam malapetaka. Percikan api ini lambat padam.
Untuk peringatan dan renungan, Revolusi Bunga Melati (Jasmine Revolution) di Tunisia berakar umbi dari peristiwa protes (dengan aksi membunuh diri) oleh seorang penjaja kecil yang ditindas penguasa tempatan. Penjaja itu membakar dirinya di hadapan awam. Sesuatu yang sebenarnya jelas kuffur dan bathil, tanda tidak bersabar dan putus asanya daripada rahmat Allah swt. Sesuatu yang dilaknat Allah swt walau apa alasan sekalipun diberikan untuk menghalalkan tindakan itu.
Ada simbol bertentangan yang menarik yang boleh direnungkan perihal Mesir hari ini dengan Mesir kuno. Perjuangan umat manusia melawan kekejaman adalah suatu kisah klasik yang bersambungan hingga ke akhir zaman. Sama ada Firaun atau Hosni Mubarak, kedua-duanya adalah pemerintah yang zalim dalam bentuk dan zaman berbeza. Bolehlah dianggap Hosni Mubarak sebagai warisan Firaun di zaman moden. Nabi Musa mewakili kaumnya, Yahudi, yang diperhambakan Firaun dan kaumnya, Qibthi. Hosni Mubarak pula sebagai Firaun moden yang memerah rakyatnya.
Akan tetapi, rakyat Mesir moden memilih melawan Hosni Mubarak dengan rusuhan dan pertempuran berdarah. Mereka telah keluar ke jalan-jalanraya dan mensabotaj kerajaan setiap hari di Medan Tahrir. Manakala bani Israel yang dipimpin Nabi Musa memilih cara hikmah dan penuh kesabaran. Nabi Musa, setelah kembali dari Madyan, menemui dan mengajak saudaranya Harun, ke istana Firaun untuk menyampaikan dakwah. Mereka berbahas dan berdialog dengan firaun dan kaumnya.
Perihal dakwah nabi Musa dan Harun ini ada disebutkan dalam surah Thaha, ayat 42-43: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut. Semoga ia beringat dan takut.”
Sama-sama dizalimi pemerintah, tetapi cara perlawanan yang berbeza. Sehingga akhirnya Firaun dan kaumnya tenggelam di Laut Merah, dalam peristiwa laut terbelah, semasa mengejar nabi Musa dan kaumnya yang keluar menuju ke Palestin.
Penentangan rakyat Mesir, juga rakyat negara-negara bergolak ini, seperti yang telah diketahui umum, ternyata telah mencampakkan diri mereka ke dalam lubang biawak. Ramai yang terkorban, berlaku kerosakan, kerugian dan tercedera dalam perhimpunan protes tersebut.
Berkat kesabaran bani Israel pimpinan Nabi Musa, Allah swt telah menganugerahkan kemenangan kepada mereka sebagaimana tersurat dalam surah al-‘Araaf ayat 137 yang berbunyi;  
“..dan kami wariskan kepada kaum yang telah ditindas itu wilayah bumi bahagian timur dan bahagian baratnya yang telah kami berkati dan sempurnalah perkataan rabbmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel disebabkan kesabaran mereka. Dan kami hancurkan apa yang telah dibuat Firaun dan kaumnya dan apa yang telah dibangun mereka.”
Kesabaran bani Israel ini jugalah yang diungkapkan oleh al-Hassan dalam menghadapi zaman-zaman fitnah dan genting semasa pemerintahan Yazid bin al-Muhallab.
Dari ‘Amr bin Yazid, dia berkata: “Ketika al-Hassan didatangi oleh sekelompok orang pada masa pemerintahan Yazid bin al-Muhallab, aku mendengar dia memerintahkan mereka tetap berada di dalam rumah masing-masing, dan mengunci semua pintu. Setelah itu dia berkata, ‘demi Allah swt seandainya manusia diberi cubaan dari penguasa, lalu mereka bersabar, nescaya dalam waktu singkat Allah swt akan mengangkat cubaan tersebut. Namun kerana berlindung kepada pedang, maka mereka pun diserahkan kepadanya. Demi Allah, mereka tak sedikitpun menghasilkan hari yang lebih baik’.  
Kemudian al-Hassan membaca ayat surah al-Araaf ayat 137 tadi.
            Seperti yang dikatakan oleh al-Hassan, pemberontakan mereka tidak sedikitpun menghasilkan hari-hari yang lebih baik.
Saksikanlah di Mesir dan negara-negara bergolak tersebut hari ini.  Adakah keadaan asal lebih baik dari hari-hari semasa pemberontakan dan selepasnya?

#SIASAH 17-23 JUN

Thursday, 9 June 2011

LUQMANUL HAKIM VS PANDANGAN UMUM


PANDANGAN atau pendapat umum (masyarakat awam) dari satu sudut, banyak yang buruk dari baiknya. Banyak yang salah dari yang benar. Masyarakat kadangkala menjadi penghalang kepada tumbuhnya kebenaran, lebih-lebih lagi pada zaman edan dan penuh fitnah ini. Kebenaran, secara tidak sedar, telah diletakkan pada jumlah atau kuantiti orang yang mempercayainya. Jika ramai orang yang menyatakannya betul, maka itulah yang akan dianggap kebenaran. Dan kita yang menyalahi pendapat tersebut akan lemah untuk menzahirkan apa yang kita yakini benar itu.
            Pendapat masyarakat awam juga sebenarnya hanya mengikut kepentingan diri atau nafsu mereka. Pandangaan-pandangan ini bergantung kepada siapa mereka, status ekonomi, usia, jantina, ras, pendidikan, dan pelbagai unsur lagi. Ternyata pandangan masyarakat bukanlah kayu ukur kebenaran. Ini adalah kenyataan.
            Pandangan umum telah menjadi seperti agama dalam kehidupan hari ini. Sesuatu yang dilakukan seolah-olah mesti mendapat restu atau persetujuan pendapat umum. Orang lebih takut kepada pandangan umum, berbanding dari mentaati suruhan agama. Begitu besarnya pendapat umum dalam mempengaruhi manusia dalam tindakan. Ia menjadi budaya, labuk, kebiasaan dan cara hidup tidak bertulis, yang harus dipatuhi. Jika tidak, kita akan dipandang negatif.
            Ada suatu kisah yang mungkin boleh dijadikan iktibar untuk menilai pandangan umum atau pendapat awam ini. Kisah hamba Allah yang bijaksana bernama Luqmanul Hakim. Nama sebenarnya adalah Luqman bin ‘Unqa bin Sidran. Luqman adalah dikatakan orang Nubiyan dari penduduk Ailah. Beliau adalah seorang hamba Allah yang soleh, abid, memiliki ilmu dan hikmah yang luas. Ada pendapat mengatakan bahawa dia adalah seorang hakim pada masa Daud as. Terdapat juga andaian menyatakan Luqman adalah seorang budak Habsyah yang juga bekerja sebagai tukang kayu. Sama ada beliau seorang nabi atau hanya seorang hamba Allah yang soleh, itu tidak penting dan tidak perlu timbul pertikaian berlebihan mengenainya, sehingga menenggelamkan mesej yang dibawanya, dan membuang masa kita.
Yang penting adalah pengajaran yang dibawa olehnya. Apakah pengajaran daripada ceritanya?
            Kisah berkenaan Luqmanul Hakim ini sudah klise dan berhabuk, marilah kita menggilapnya. Ia sebenarnya sudah banyak kali dibicarakan orang sejak zaman-berzaman. Ceritanya telah dimaklumi ramai: pada suatu hari Luqmanul Hakim keluar ke pasar dengan anaknya bersama seekor keldai. Pada mulanya Luqmanul Hakim menunggang keldai tersebut, sementara anaknya dibiarkan berjalan kaki dengan memegang tali kendali keldai.
            Orang ramai di pasar melihat gelagat mereka, lantas menegur perbuatan Luqmanul Hakim. Kata orang ramai, Luqmanul Hakim zalim kerana membiarkan anaknya keletihan berjalan kaki.
            Untuk memuaskan dan mengelakkan pandangan orang ramai, si anak pula dibiarkan menunggang keldai.
            Seperti yang diketahui, tindakan mereka ini masih lagi dipersoalkan. Orang ramai kali ini mencerca dengan berkata, zalimnya si anak membiarkan si ayah yang tua berjalan kaki.
            Kemudian kedua-duanya menunggang keldai tersebut. Selesaikah masalah? Mereka masih dicemuh dengan tuduhan kejam kerana membebani keldai tersebut keterlaluan.
            Mereka lalu turun dan berjalan kaki sambil menarik tali hidung keldai.
            Sekali lagi mereka dicemuh bodoh kerana tidak menunggang keldai.
            Semua tindakan mereka dikritik dan dikatakan tidak betul. Apakah yang silap? Tiada apa-apa yang silap sebenarnya. Yang silap adalah sikap Luqmanul Hakim kerana mempedulikan pandangan orang yang tidak memahami dan duduk pada situasi mereka. Sekiranya keldai itu disembelih dan dagingnya dibahagi-bahagikan sekalipun, mungkinkah orang ramai tidak akan mencemuh mereka berdua lagi? Ya, orang yang mendapat bahagian daging itu mungkin tidak akan mengejek mereka lagi.
            Tetapi kepada orang yang tidak mendapat bahagian daging itu, mungkin akan menyatakan: bodohnya dua beranak itu menyembelih keldai untuk diberikan kepada orang ramai. Hahahaha.
            (Cerita itu hanya berhenti setakat mereka hanya berjalan kaki sambil mengheret tali kendali keldai sahaja).
            Mesejnya: jika kita ingin menuruti dan memuaskan pendapat ramai orang, ia tidak akan selesai sampai bila-bila. Kita tidak akan dapat memuaskan pandangan semua orang. Apa yang harus kita patuhi adalah kebenaran yang kita yakini, tidak kira sama ada ia selaras atau tidak dengan pendapat umum.
            Dalam dunia moden hari ini, nilai-nilai agama sudah dianggap asing dan kolot. Misalnya memakai tudung bagi perempuan, jujur, dan sebagainya telah dianggap mundur dan primitif sehingga ramai yang malu untuk mengamalkannya dalam kehidupan.
Bukanlah bermaksud mengajak kita berlaku bodoh sombong, tidak mendengar dan butakan pendapat orang. Tidak semua pendapat umum itu salah. Tetapi dalam masyarakat jahiliah moden seperti sekarang ini, kebanyakan pendapat umum adalah berciri jahiliah dan tidak benar. Maka pandangan agamalah yang harus ditaati dan didengar. Letaklah kebenaran pada tempatnya, iaitu al-Quran dan sunnah. Apa yang benar, walaupun asing dalam masyarakat hari ini, harus ditegakkan dengan istiqamah. Renungkanlah hadith dibawah ini;
“Islam itu bermula dalam keadaan asing (aneh), kelak ia akan kembali asing (aneh)sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah mereka yang asing (aneh).”
Sebagaimana juga kata-kata pesanan Luqmanul hakim kepada anaknya sewaktu pulang dari pasar sebagai peringatan, (“Sesungguhnya tiada siapa yang terlepas dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah swt saja. Barangsiapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu),” maka belajarlah kita, teguhkanlah pendirian kita dalam kebenaran yang kita yakini.