Tuesday, 22 January 2013

Enggan Sepakat Punca Umat Islam Ditindas Musuh


Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Surah al-Anfaal, ayat 73)
Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.
Pemimpin negara Islam harus bersatu dan memandang ke depan di samping mengatur strategi efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha yang mampu dilakukan ialah memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan supaya segala bentuk penjajahan, penindasan dan menghina umat Islam dapat dihindarkan.
Umat Islam juga perlu berperanan sebagai individu pengguna yang bijak dengan memboikot barang syarikat Barat yang mengaut keuntungan untuk menjatuhkan negara Islam.
Walaupun usaha ini kelihatan remeh, jika seluruh umat Islam bersatu hati natijahnya amat besar ke arah mengurangkan sumber ekonomi Barat yang nyata tujuannya untuk membeli senjata bagi meneruskan serangan terhadap umat Islam. Umat Islam perlu kembali kepada fitrah iaitu menghayati serta mengamalkan al-Quran dan hadis sepenuhnya.
Dalam dunia serba moden hari ini, walaupun ada umat Islam yang kuat imannya, tidak kurang juga yang jauh terpesong daripada landasan Islam.
Ada juga hanya Islam pada nama sedangkan segala kewajipan agama tidak pernah ditunaikan, malah cara hidup mereka juga seperti bukan Islam. Perkara ini perlu diambil perhatian supaya umat Islam dan generasi akan datang menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT serta mantap imannya seperti umat pada zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat Baginda. Firman Allah SWT bermaksud:
“Kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang beriman.” (Surah al-Munafiqun, ayat 8) Jika perkara ini gagal ditangani pada peringkat akar umbinya lagi, maka tidak mustahil suatu masa nanti umat Islam menjadi umat termundur, dihina dan diperlekeh oleh bangsa asing seperti yang terjadi kepada saudara kita di negara disebutkan sebelum ini.
Oleh itu, sebagai manusia yang dimuliakan dengan akal fikiran dan khalifah di muka bumi ini, jawapannya tepuk dada tanya iman dan diri sendiri siapakah kita, apakah tujuan kita dijadikan dan ke manakah kita akan kembali suatu hari nanti.
Apa yang kita miliki hari ini seperti kuasa, pangkat, dan kekayaan harta benda di dunia ini adalah pinjaman dan ujian semata-mata, maka pergunakan dengan sebaiknya ke jalan diredai kerana tanpa bekalan secukupnya kita akan kembali kepada Allah SWT dengan keadaan papa dan hina.

Guan Eng Terus Elak Beri Reaksi Isu Kalimah Allah



Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus mengelak daripada wartawan yang cuba mendapatkan reaksi beliau mengenai keputusan PAS menolak penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
Beliau terus beredar tanpa menghiraukan soalan wartawan selepas sidang media mengenai penafian penglibatan kerajaan negeri dalam penganjuran Penang Run 2013,di sini Isnin.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP tidak melayan soalan-soalan yang diajukan kepada beliau dan terus meninggalkan majlis di pejabatnya itu walaupun dipanggil berkali-kali oleh wartawan.
Isu kalimah Allah dibangkitkan oleh beliau dalam ucapannya sempena Hari Natal yang menggesa kerajaan Persekutuan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.
Kenyataan Lim itu mendapat bantahan pelbagai pihak, tetapi disokong parapemimpin pakatan pembangkang termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz NikMat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, PAS dan pemimpinnya termasuk Nik Abdul Aziz kemudian menukar pendirian kepada tidak bersetuju atas alasan kalimah Allah hanya merujuk kepada Tuhan yang satu malah Nik Abdul Aziz menyifatkan penggunaan kalimah Allah bagi agama lain adalah mengarut.
Kenyataan Lim terus mendapat tentangan pelbagai pihak terutama PAS menyatakan tidak akan menarik balik keputusan Majlis Syura berhubung kalimah Allah walaupun Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh meminta supaya ia dikaji semula.
Sementara itu, Lim juga enggan menjawab apabila seorang wartawan cuba mendapatkan reaksi beliau mengenai demontrasi oleh sekumpulan individu yang mendakwa anggota dan penyokong DAP di Pusat Khidmat Air Putih, di sini Isnin.
"Biar mereka berhimpun....saya akan komen esok," kata Ketua Menteri.
Kira-kira 45 orang yang didakwa penyokong DAP dan Timbalan Ketua Menteri II P.Ramasamy menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan pengundian Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP pada 15 Disember lepas.
Sekumpulan individu yang mendakwa penyokong dan anggota DAP dari beberapa kawasan telah mengadakan demostrasi selama tiga hari sejak Rabu dan Jumaat lepas di Butterworth dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) untuk menggesa DAP mengadakan pemilihan semula CEC.
Sementara itu, Ramasamy ketika ditemui menafikan kumpulan yang berdemonstrasi itu adalah penyokong beliau.
"Penyokong saya tak akan buat macam itu...mereka akan tanya pandangan sayadulu," katanya. - BERNAMA

PM Akan Perkenal 'Model Malaysia' Untuk Pembangunan Mesir



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tiba di Kaherah untuk lawatan selama tiga hari, membawakan satu formula untuk pembangunan yang sering dirujuk oleh rakyat Mesir sebagai "Model Malaysia".
Lawatan ke Mesir itu akan memfokuskan hala tuju masa depan hubungan antara Malaysia dan Mesir, mekanisme kerjasama dan juga isu-isu substantif termasuk pelaburan, kerjasama perdagangan kewangan serta isu ekonomi dan pendidikan.
Najib akan mengadakan kunjungan hormat dengan Presiden Mesir, Mohamed Morsy pada Selasa di mana kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan perjanjian kerjasama ekonomi komprehensif (CECA) antara kedua-dua negara.
Duta Malaysia ke Mesir, Datuk Dr Mohd Fakhruddin Abdul Mukhti berkata, Malaysia begitu dikenali di kalangan rakyat Mesir sebagai sebuah model untuk perkembangan ekonomi.
"Kami juga dikenali kerana kita mempunyai ramai pelajar yang menuntut di Mesir dan malah sewaktu pilihan raya di sini, kami lihat sebahagian mereka dan parti mengadakan kempen dengan berjanji untuk membangunkan Mesir supaya ia menyamai Malaysia.
"Mereka menyatakan ia sebagai model Malaysia bagi pembangunan dan perkembangan ekonomi," kata Fakhruddin.
Pada masa ini, hampir 11,000 rakyat Malaysia di Mesir, kebanyakan mereka adalah pelajar.
Fakhruddin berkata, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM4 bilion setahun, kebanyakannya dalam sektor gas dan minyak kelapa sawit dengan Petronas sebagai pelabur asing utama di Mesir.
Najib akan ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut serta dalam delegasi Perdana Menteri adalah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md Zin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Najib turut akan bertemu dengan Perdana Menteri Mesir, Dr Hesham Qandil semasa berada di Kaherah dan akan berlepas ke Davos, Switzerland pada Rabu bagi menghadiri Forum Ekonomi Dunia. Mstar ..