ASSALAMUALAIKUM
Berdoa sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Doa adalah untuk
membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t. Dengan berdoa
kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain
sifat kehambaan kita di sisi-Nya. Sebagai hamba kita memerlukan Allah
lebih daripada segala-galanya dalam hidup ini. Dan sebagai hamba kita
wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa.
Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku
perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada
menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah
Ghafir 40: 60)
Allah mendidik manusia agar selalu dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Bukan
itu sahaja, malah Allah mengajar manusia tentang doa yang bagaimana
seharusnya diajukan kepada-Nya. Ayat-ayat al-Quran yang berupa doa ialah
bukti betapa Allah begitu menitikberatkan agar manusia berdoa
kepada-Nya. Tidak syak lagi, berdoa adalah satu ciri orang yang
“melalui jalan yang lurus dan diberi nikmat oleh Allah” seperti yang
ditegaskan dalam surah al-Fatihah.
Mengapa begitu sekali kepentingan doa kepada manusia? Ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya termasuk:
1. Mengekalkan Hubungan dengan Allah Setiap Masa
Manusia memerlukan Allah lebih daripada segala keperluan lain. Tanpa
Allah dalam hatinya, manusia umpama ikan yang ketiadaan air. Jiwanya
akan mati. Manusia akan hilang ketenangan, kebahagiaan dan keharmonian
walaupun dia memiliki segala-galanya. Tanpa hubungan dengan Allah yang
berkekalan, manusia umpama layang-layang putus tali yang akan
dihanyutkan oleh gelombang hidup tanpa arah tuju yang pasti.
Doa jua sebenarnya adalah zikir – yakni interaksi dan komunikasi kita
kepada Ilahi dengan cara yang paling harmoni. Allah memerintahkan kita
agar berdoa untuk mengingati-Nya kerana dengan mengingati Allah, hati
akan menjadi tenang. Dan ketenangan itulah hakikatnya sebuah
kebahagiaan.
Demikian yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud:
“Yakni mereka yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan
mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi
tenang.” (Surah al-Ra‘d 13: 28)
2. Keupayaan Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan Secara Berterusan
Hidup orang yang berjaya sentiasa lebih baik daripada sebelumnya.
Sama ada kebaikan itu berkait dengan Allah mahupun yang berkait dengan
manusia. Oleh sebab itu, manusia perlu sentiasa berubah –daripada kurang
baik kepada baik. Daripada baik kepada yang lebih baik (cemerlang).
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dia memperkenankan (doa) orang
yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala)
kepada mereka daripada kurnia-Nya.” (Surah al-Syura 42: 26)
Doa adalah satu kunci menggamit pertolongan Allah untuk melaksanakan
perubahan diri yang dimaksudkan. Doa itu harapan. Manakala usaha adalah
langkah untuk merealisasikan harapan itu. Dengan berdoa kita
mengharapkan sebaik takdir. Dengan berusaha kita melaksanakan sebaik
tadbir. Apabila bergabung tadbir dan takdir yang baik, insya-Allah kita
akan berubah ke arah yang lebih baik.
3. DIDAMPINGI MALAIKAT DAN TERHINDAR DARIPADA SYAITAN
Dalam mengharungi kehidupan ini, sentiasa ada makhluk lain yang
mengiringi dan mendampingi kita. Apabila kita makan tanpa berdoa
misalnya, syaitan akan menumpang makan bersama kita. Akibatnya, makanan
yang kita makan akan hilang keberkatannya. Tenaga yang diperoleh
daripada makanan itu akan terarah kepada kejahatan dan menjadi sebab
kita terjerumus ke neraka.
Syaitan akan menghasut dengan menimbulkan berapa keraguan, ketakutan,
kerakusan dan lain-lain rasa yang negatif dalam hati. Inilah punca
kejahatan, kegelisahan dan kegagalan dalam kehidupan seseorang. Syaitan
umpama virus pada hati manusia. Jadi, hanya dengan mengingati Allah
menerusi doa kita mampu menghalau syaitan yang sentiasa ingin
mendampingi kita.
Sebaliknya jika kita berdoa, malaikat akan mendampingi kita dan akan
memberi sarana atau input yang baik-baik ke dalam hati kita. Malaikat
akan dekat kepada orang yang dekat dengan Allah. Kesannya, manusia yang
sentiasa didampingi malaikat akan lebih terkawal kata-kata,
pertimbangan, keputusan dan tindakan dalam hidupnya. Oleh sebab itu
berdoalah, insya-Allah malaikat akan hampir, syaitan pula akan
meminggir!
4. Membentangkan Masalah dengan Jelas dan Tuntas
Doa secara tidak langsung menyebabkan kita membentangkan masalah kita
untuk diselesaikan. Apa sebenarnya masalah kita? Inilah langkah pertama
untuk menyelesaikan sebarang masalah. Malangnya, ramai orang yang hanya
gelisah tidak tentu arah apabila ditimpa masalah. Sedangkan mereka
tidak tahu pun apa masalah mereka yang sebenar.
Doa telah menolong kita menukarkan masalah ke dalam bentuk perkataan.
Begitu yang ditegaskan oleh pakar-pakar psikologi. Dengan berdoa,
masalah yang asalnya kabur dan samar menjadi jelas dan terang. Doa
adalah seperti menulis masalah kita di atas kertas. Bukankah dengan
berdoa hakikatnya kita “berkata-kata” dengan Allah.
Jadi, semasa kita bermohon, merayu, mengadu dan meluahkan
segala-galanya kepada Allah, kata-kata yang kita gunakan semasa itu
seperti membentangkan masalah kita secara tidak langsung. Ini akan
memberi kelegaan, malah masalah yang dinyatakan dengan terang itu sudah
menjadi separuh selesai!
5. Melahirkan Rasa Berkongsi Menghadapi Sebarang Kebuntuan
Menurut pakar psikologi, tidak ramai manusia yang begitu kuat
sehingga mampu menanggung masalah paling sulit dan perit secara
bersendirian. Ada kalanya kita sangat memerlukan insan lain untuk
berkongsi rasa dengan kita. Malah dalam keadaan itu adalah lebih baik
untuk menceritakan kepada orang lain akan masalah itu.
Selain itu, berdoalah, Allah sentiasa sedia dan
setia untuk mendengarnya.
Firman Allah yang bermaksud: “Jika hamba-Ku
bertanyakan kamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku sentiasa
mendengar permohonan doa tatkala berdoa kepada-Ku. Oleh sebab itu,
wajarlah mereka sahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku, semoga mereka
beroleh petunjuk.” (Surah al-Baqarah 2: 186)
Berdoa memberikan kita rasa “tidak bersendirian” dalam menghadapi
sebarang kebuntuan hidup. Malah kita akan berasa keberadaan Allah
bersama kita untuk berdepan dengan apa jua masalah.
Benarlah kata
pujangga Profesor Dr. Hamka, “Ketika pintu di bumi sudah tertutup
segalanya, pintu ke langit sentiasa terbuka!” Maksudnya, apabila manusia
tidak boleh lagi diharap mendengar pengaduan kita, Allah sentiasa dekat
untuk mendengar segala rintihan dan harapan.
6. Mengaktifkan Diri untuk Berusaha
Doa adalah langkah pertama dan utama ke arah suatu tindakan. Dengan
berdoa, kita sebenarnya telah mengaktifkan minda dan jiwa kita untuk
bertindak. Malah dengan berdoa umpama menyalakan satu jana kuasa dalam
diri yang akan menghasilkan tenaga yang sangat kuat untuk meledakkan
tindakan.
Terdapat saintis menyatakan bahawa doa juga adalah sejenis tenaga.
Iaitu sejenis tenaga yang boleh dihasilkan dari dalam diri seseorang
hasil berhubung dengan yang Maha Kuasa. Inilah hikmah mengapa Allah
menyuruh kita berdoa. Kita bukan sahaja mendapat kekuatan daripada
Allah, malah akan mendapat kekuatan daripada tenaga dalam diri yang
telah dikurniakan oleh Allah secara tabii.
Semasa berdoa seorang manusia akan meningkatkan keupayaan tenaga
mereka yang terhad dengan menyerahkan diri kepada sumber tenaga yang
tidak terhad. Interaksi dan komunikasi kepada sumber tenaga yang Maha
Hebat ini akan meledakkan satu kuasa yang sangat kuat. Inilah sumber
tenaga dan kuasa yang dimiliki oleh para Rasul apabila berdepan dengan
kuasa-kuasa besar yang menghalang kebenaran yang hendak disampaikan
kepada umat mereka.
Hakikat inilah yang ditegaskan oleh
Rasulullah s.a.w menerusi sabdanya yang bermaksud: “Doa itu adalah
senjata orang Mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.” (Riwayat
al-Hakim no. 1218)
Walaupun doa itu satu senjata, tetapi jarang sekali digunakan untuk
memusnahkan musuh. Sebaliknya ketika berdepan dengan kaumnya, seseorang
Rasul sentiasa mendoakan agar kaumnya mendapat hidayah dan taufik
daripada Allah, bukan doa menghancurkan mereka. Di Taif umpamanya,
setelah Nabi Muhammad s.a.w. diusir dan dilukai, Baginda telah berdoa
untuk mendapat hasil jangka panjang (yakni taufik dan hidayah kepada
zuriat penduduk Taif pada masa akan datang). Baginda menolak tawaran
malaikat memberikan hasil yang “instant” iaitu dihempap gunung ke atas
penduduk Taif.
7. Menghindar daripada Penyakit Fizikal
Doa bukan sahaja mampu menyihatkan hati tetapi juga menyihatkan
fizikal kita. Sains perubatan berjaya memusnahkan penyakit yang
disebabkan oleh bakteria dan virus yang telah membunuh berjuta-juta
manusia. Tetapi sains perubatan tidak berjaya melawan kemusnahan minda
dan fizikal yang bukan disebabkan oleh virus atau bakteria. Sains tidak
mampu menyekat emosi kerisauan, ketakutan, kebencian, kemurungan yang
semakin menular dalam kehidupan manusia masa kini dengan pantasnya.
Semua emosi yang negatif itu memberi impak langsung kepada fizikal
manusia. Apa kata Wiliam James (pakar perubatan dan psikologi) tentang
risau? Beliau berkata, “Tuhan boleh mengampuni segala dosa kita, tetapi
sistem urat saraf kita tidak.” Penyakit jantung, darah tinggi, kencing
manis, sakit kerongkong malah lumpuh juga boleh disebabkan oleh
kerisauan, ketakutan dan penyakit-penyakit hati (mazmumah) yang lain.
Tetapi dengan berdoa kita boleh mengubat hati dan fikiran daripada
serangan sifat-sifat mazmumah yang juga menjadi punca kepada
penyakit-penyakit fizikal. Plato pernah berkata, “Kesalahan ahli
perubatan adalah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran.
Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat
berasingan.” Dan kesalahan ini akhirnya diakui oleh pakar perubatan
moden dengan mewujudkan satu “ubat” baru yang dikenali sebagai
psikosomatik (gangguan fizikal manusia yang timbul akibat masalah
psikologi, seperti rasa bimbang, takut dan lain-lain) – ubat yang
merawat fikiran dan tubuh badan.
Ingatlah bahawa perbezaan antara orang yang berdoa dengan orang yang
tidak berdoa umpama orang hidup dengan orang yang mati. Dengan berdoa
kita mengaktifkan tenaga dalaman kita yang mampu menghadapi apa jua
masalah dan cabaran hidup. Jangan cuba hidup bersendirian kerana hidup
ini perlukan teman. Dan sebaik-baik “teman” ialah “Teman daerah tinggi”
(al-rafiq al-a‘la) yang disebut berulang kali oleh Rasulullah s.a.w.
menjelang wafatnya.
Jadi, berdoalah… nescaya kita tidak akan bersendirian dalam
menghadapi apa jua masalah dan kebuntuan. Ada “Teman daerah tinggi” yang
setia dan sentiasa mendengarnya!
Renungkan ungkapan berikut: “Doa diperkenankan bukan semasa kita meminta tetapi semasa kita berusaha!”
Diharapkan info dan ilmu yang Dyla share berguna buat kalian :)
TENKIU ! SUKE? LIKE AND COMMENT :)