Assalamulaikum..
Alhamdulillah.. dapat kembali mengomel di sini. Walaupun baru sebaris tapi aku tetap bersyukur kerana sudah dapat memulakannya kembali. Tak tahu kenapa, sekarang ini aku rasa penat untuk menulis. Ya PENAT. Bukan malas, tapi memang lebih kepada penat. Bukan kata nak menulis blog saja yang penat. Nak menulis manuskrip novel keempat pun terasa lebih penat. Rasa lelah. Entah apalah yang telah berlaku dengan minat menulisku sehinggakan rasa penat tidak dapat aku lawan. ALLAH.. semoga aku diberikan kekuatan untuk kembali dapat menulis lagi.
Kehidupan masih seperti biasa. Namun banyak juga perkara-perkara indah yang mengisi hati. Alhamdulillah.. keluarga kecil kami telah bertambah seorang lagi ahlinya. Pada 8.9.2017 adikku telah selamat melahirkan zuriat pertamanya setelah menanti selama 7 tahun. Sejak pandangan pertama aku dah jatuh sayang pada anak buah terbaharuku. Allahuakbar.. betapa comelnya anakku itu. Zair Luna Carissa namanya. Setiap hari aku dilamun rindu padanya. Luna dah jampi mama ke apa ni, sayang? Hahaha..
Alhamdulillah.. Musim haji untuk tahun ini sudah berakhir. Kakak ipar dan suaminya telah selamat menunaikan fardu haji. Telah selamat pergi dan selamat pulang. Telah selamat kenduri pun lagi. Mendapat panggilan istimewa dalam masa beberapa hari sebelum berangkat dan mendapat banyak keistimewaan di sana membuatkan kami sekeluarga menumpang rasa gembira. Alhamdulillah.. rasa cukup bersyukur dengan setiap rezeki yang kakakku dan suaminya perolehi. Semoga kami juga memperolehi rezeki seperti itu sebagai tetamu ALLAH nanti.. in shaa ALLAH.
Seminggu yang lepas agak sibuk dengan urusan keluarga dan kerja. Seminggu anak-anak cuti sekolah sempena diwali. Seminggu jugalah mama kena masak pagi-pagi untuk breakfast dan lunch. Hahaha.. selalunya bangun pagi terus pergi kerja. Bila anak-anak ada di rumah, kenalah mama merajinkan diri. Balik kerja pun kena masak lagi sebab apa yang ditinggalkan tak pernah bersisa. Padahal waktu masak rasa macam cukup sampai ke malam. Tapi rupanya, sampai tengah hari dah selamat semuanya. Anak-anak dah semakin membesar. Jadi selera makan pun jadi besar. Alhamdulillah.. anak-anak semuanya sihat dan ada selera makan. Syukur.
Seminggu ini juga ada program besar kementerian. KUD 2017 di PWTC. Kami juga turut terlibat untuk memenuhi acaranya. Jabatan kami terlibat menganjurkan Simfoni Desa Tercinta. Pertama kali untuk aku terlibat secara langsung untuk sebuah konsert okestra. Okestra dari Istana Budaya. Artisnya Dato' Jamal Abdillah, Siti Nordiana dan Khai Bahar. Jadi beberapa minggu ni kena berurusanlah dengan pengurus artis. Hari khamis dan jumaat berkampung di PWTC. Menguruskan tempat duduk dan tiket masuk pula. Sebelum majlis bermula sibuk di pintu masuk. Penat. Tapi rasa cukup seronok dengan pengalaman baru ini.
Pertama kali sebenarnya untuk aku menonton okestra. Dah tentu aku rasa teruja. Lebih-lebih lagi bila terlibat secara langsung untuk menjayakan program tersebut. Ajak anak-anak untuk menonton sama. Tapi tak dapat sambutan. Hanya Han yang berminat. Jadi pada malam kejadian (hari jumaat tu) Han datang dengan kawan baiknya dengan komuter. En.asben terus ke PWTC dari tempat kerjanya. Alhamdulillah.. kami sama-sama seronok. Persembahan kesemuanya WOW. Dato' Jamal best. Siti Nordiana best. Khai Bahar best. Dah settle semua kami balik Bangi naik grab. Okeylah RM37 sahaja.
Bila dah penat memang rasa nak tidur aje. Tapi sebelum tu kena ambil kereta di pejabat dulu. Kena ambil kereta en.asben di stesen MRT pulak. Nak hantar kawan Han balik juga. En. asben dan anak-anak pun sibuk nak makan dulu walaupun dah tengah malam. Jadi sebelum hantar kawan Han balik dan ambil kereta en.asben di stesen MRT kami singgah makan dulu. Dah pukul 1 pagi memang aku makan penuh mengantuklah jawabnya. Alhamdulillah.. habislah juga makanan tu hehehe. Hari khamis papa anak-anak buahku datang ambil anak-anak yang berempat sebab cuti sekolah. Jadi cuma anak-anakku yang bertiga itu ajelah yang ada.
Dah beberapa minggu aku rindukan bau laut, angin pantai dan pasir pantai. Tapi asyik tak sempat nak pergi. En.asben pulak dah beberapa minggu teringin nak makan kat restoran cina muslim. Tapi tak sempat juga nak pergi. Bukan tak sempat tapi setiap kali keluar termakan kat kedai lain hehehe. Macam hari cuti diwali tu, konon nak bawak anak-anak makan kat zawara. Sekali termakan kat Paramount cafe ke apa restoran Ustaz Ebit Liew tu. Selalu tersasar ke restoran lain sudahnya. Hari sabtu tu ada plan yang tak menjadi. Jadi kami pun usahalah untuk buat apa yang tertangguh dalam minda. Nak makan di restoran cina muslim dan nak pergi pantai yang paling dekat dengan rumah.
Pagi sabtu lepas dah settle kemas-kemas rumah baru buat breakfast. Anak-anak memang sambung tidur lepas subuh. Jadi dekat pukul 11.00 baru breakfast. Dah makan lepas penat kemas rumah rasa mengantuklah pulak. Jadi tidurlah dulu. Dah tidur nak keluar pun malas. Bangun solat zuhur masing-masing dah lapar. Kemas baju spare masuk beg kut-kut nak mandi pantai. Bersiap nak keluar dah pukul 3. Lepas hantar baju ke dobi teruslah kami ke Restoran Mohd. Chan. Alhamdulillah.. tertunailah hajat en.asben nak makan kat restoran cina muslim. Eh.. sedaplah makan kat situ. Elok sudah makan waktu asar pun dah nak masuk. Jadi kami singgah solat kat Masjid Hijau Bangi dulu. Sebab memang berhajat nak berjemaah di masjid.
Lepas solat isi minyak semua, pukul 5 baru keluar ke Bagan Lalang. Kami ikut jalan lama. Jalan clear. Tapi dah nak sampai area Sepang jalan sedikit slow. Hmm.. rasa nak terbang aje biar cepat-cepat sampai pantai hehehe. Akhirnya dekat pukul 6.30 petang kami selamat sampai di pantai Bagan Lalang. Ombak nampak kuat. Dalam kereta lagi hati dah rasa happy sangat dapat tengok laut. Dapat tengok ombak. Sementara en.asben nak park kereta hati dah tak tentu arah hehehe. Jadinya akulah yang dulu keluar dari kereta dan menyerbu ke pantai. Waktu kami sampai tu matahari dah nak terbenam dah. Jadi pemandangannya Masya ALLAH sangat indah. Sempatlah kami bermain di gigi pantai. ALLAH.. seronoknya rasa hati. Tercapai impian untuk penuhi apa yang dihajati. Terima kasih ALLAH.
Pukul 7 kami gerak untuk solat maghrib berjemaah di surau. Konon lepas solat nak patah balik ke pantai Bagan Lalang. Tapi takde maknanya. Sebab surau tu area jalan nak balik jadi kami pun terus balik ajelah. Perut pulak masih kenyang nak makan seafood kat Bagan Lalang. Lagi malaslah nak patah balik. Dah sampai kat Sg. Pelek kami singgah minum. Sebab rasa dahaga sangat sebab sekarang kan panasnya lain macam. Bila dah singgah minum anak-anak nak makan sekali. Kami pun sudahnya berkongsi order makan berdua sebab takut malam nanti lapar. Dalam perjalanan nak balik dengar azan isyak. Teruslah singgah berjemaah kat Masjid Sungai Pelek. Alhamdulillah.. tercapai lagi apa yang dihajati. Syukur.
Perkara-perkara besar memang selalu memberikan kebahagiaan. Tapi perkara yang kecil-kecil juga selalu dapat memberikan kegembiraan pada hati. Terima kasih ALLAH. Tiada apa yang boleh berlaku tanpa izin dariMU. Syukur.. Alhamdulillah. Semoga aku sentiasa menjadi hambaMU yang sentiasa bersyukur.
Salam hormat untuk semua. Semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah.