Thursday, November 19, 2015

Resepi Kek Kukus Coklat Moist yang mudah..

Assalamualaikum..

Kelmarin Az request nak bawa kek pergi sekolah untuk jamuan akhir tahun. Dalam kepala dah terfikir dah nak order aje dengan kawan-kawan. Paling tak pun belikan kek  pisang kat kedai. Tapi dia dah awal-awal cakap dia nak yang mama buat sendiri punya. Aku tanyalah, kenapa pulak. Dia kata sebab dia dah cakap kat cikgu yang mama dia pandai buat kek. Pandai buat kek???? Memang macam nak tercekik aku dibuatnya. Aku tanyalah, bila masanya mama pandai buat kek. Dia cakap, dulu tu mama pernah buat kek. Dulu okey.. D.U.L.U. Maknanya memang dah lama aku  tak buat kek. Lagi satu pernah dengan pandai dah tentu-tentulah ada bezanya kan huhu.. Tapi bagi budak-budak ianya adalah sama. 

Demi untuk memenuhi permintaan anak, mamanya pun semalam pergilah beli barang nak buat kek semua.  Siap beli bekas kek yang kecik-kecik tu lagi sebab ingat nak bagi dia bawak 2,3 bekas ke sekolah. Gigihlah bukak balik buku resepi yang dah lama tak bersentuh. Tapi.. elok aje dia nampak bekas kecil tu muka dia dah macam nak menangis. Aduhai.. Dah kenapa pulak? Takkanlah kek tak siap lagi dia dah terharu sampai sebak he.. he.. Rupa-rupanya dia bukan nak kek dalam bekas. Tapi dia nak kek sebiji bulat. Aduhaiiiiiiiiiiiiii.. memang lagi panjanglah aku punya aduhai! Aku pun cari dalam almari. Kut-kutlah ada lapik kek. Yang ada pun cuma lapik kek SR aje. Hmmm.. jadilah anak daripada takde. Kotak pun takde. Aku cakap letak dalam bekas kek yang plastik ada kat rumah tu boleh? Dah takde pilihan dia cakap okey ajelah.

Waktu berpeluh-peluh  aku buat kek (sebab risau kek tak jadi), dia pun tolong-tolong jugak. Basuhkan telurlah. Sapukan butter kat dalam loyang. Waktu nak kukus pun dia yang beria set masa kat jam dia. Lepas dah siap tu dia suruh aku hias guna aising. Hamboiiiiii.. melampau sungguh ni.. Kek tu menjadi pun dah seribu rahmat. Nak suruh aku hias pulak. Memang taklah. Aku memang tak reti. Dia dah buat muka nak nangis lagi sebab cikgu nak ada tulisan nama kelas kat atas kek katanya. (Iyalah dah katanya mama pandai buat kek kan. Bolehlah cikgu tu nak request apa-apa he..he..). Dah tak boleh nak hias guna aising aku cakaplah mama buat tulisan guna coklat rice aje boleh? Dia cakap okey aje. Takde rotan, akar pun berguna juga konsepnya. Tapi bukan senang aku nak buat tulisan guna coklat rice tu. Baru nak buat nombor 5 dan rupa macam S. Acaner tu? Aku sendiri pun dah rasa tulisan tu tak cantik. Hmmmm.. 

Bila tulisan dah tak rupa tulisan, dan Az pun confirmkan ianya tak lawa he..he..  Aku pun taburkan ajelah coklat rice tu. (Yang lorek tu main tarik aje guna garfu. Tiru style mak mertua aku hias kek). Dah siap semua Az buat lagi muka nak nangis tu. Siap dok tanya, habis tu takde tulis nama kelas? Adooiiii.. dia nak juga nama kelas kat atas kek. Aku pergilah mengadu kat en.asben. En. asben kata, alah you tulis aje nama kelas kat kertas. Hmm.. Okey jugak tu. Tulis nama kelas kat kertas dan pacakkan atas kek.  Jadinya menulis pulaklah mama dia.



Tulis nama atas batu.. Eh.. Tulis nama kelas kat atas kertas.
Inilah rupa akhir  kek kukus coklat moist  yang dah selamat di bawa ke sekolah oleh Az pagi tadi. Siap request suruh ayah hantar dia ke sekolah sebab susah nak bawak kek naik van he..he.. Aku tanya kelas tingkat berapa? Dia kata tingkat tiga. Hmmm.. Kalau dah tingkat tiga, memang ayahnya kena hantarkan terus ke kelaslah nampaknya. Sebab kalau dia yang bawak sendiri sampai kelas memang ada kat kaki tangga aje kek tu sampai he..he..
  

Kek untuk orang lain kat rumah. Orang kat dalam rumah pun nak makan kek juga. Dah alang-alang beli kotaknya kan, jadi kita pakai ajelah untuk orang dalam rumah. 

Eh.. tajuk entry macam nak bagi resepi kan. Mana resepinya? Iyalah.. Nak bagilah ni. Aku guna resepi yang mudah ni aje. Mudah sebab sukatannya guna cawan aje. Tak perlu nak timbang-timbang. Sebab resepi inilah aku 'pernah' buat kek 'dulu' he..he.. Resepi kek dari Mak Mertua teman ofis lamaku Kak Suzaini. Terima kasih Kak Su!

Resepi Kek Kukus Coklat Moist.

1 cawan serbuk coklat
1 cawan susu pekat
1 cawan susu cair
1 cawan gula castor
1 cawan minyak

Satukan dan pukul sehingga semua bahan sebati.

1 3/4 cawan tepung
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh sodium bikarbonat

Ayakkan dan satukan dalam adunan pertama yang dah dipukul rata. Pukul hingga sebati.

3 biji telur
1 sudu esen vanila

Pukul sampai kembang dan satukan dalam adunan. Pukul lagi hingga sebati.

Loyang disapu dengan sedikit butter di sekeliling permukaan loyang. Lapikkan dengan kertas minyak. (Bawah dan tepi loyang). Masukkan adunan dan kukus selama 45 minit hingga 1 jam.


Untuk coklat topping atas kek.
3 sudu serbuk coklat
3 sudu susu pekat
3 sudu susu cair
1 sudu minyak

(Kalau nak pekat atau cair boleh adjust sendiri sukatannya ya). Gaul rata semuanya dan masak guna double boiler.  

Selamat mencuba ya! Ceh.. kata-kata perangsang dari orang yang pernah buat kek. Bukan orang yang pandai buat kek! he..he. adios.

Salam hormat untuk semua. In Sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Friday, November 13, 2015

Bukan Teman Pengganti..

Assalamualaikum..

Salam Jumaat yang mulia buat teman-teman semua. Dah baca surah Al-Kahfi hari ni? Dah tunaikan solat dhuha? Berpesan-pesan ni bukanlah nak tunjukkan yang kita ni lebih baik dari yang lain. Tapi berpesan-pesan ni sebenarnya lebih untuk mengingatkan diri sendiri. Sebab berpesan-pesan adalah tugas setiap orang. Semoga kita sama-sama dapat berpesan-pesan dan saling ingat mengingatkan tentang amalam-amalan baik yang perlu kita sama-sama  amalkan untuk bekalan di kehidupan yang kekal nanti. Semoga kita semua mendapat kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.. In sya ALLAH.

Bukan Teman Pengganti. Itulah tajuk manuskrip ketigaku. Alhamdulillah.. manuskripnya telah pun aku hantar ke pihak penerbitan bulan lepas. Semoga ada rezeki untuk manuskrip ketigaku ini untuk dapat diterbitkan nanti.. In sya ALLAH.. Bila mula menulis, apa yang selalu diharapkan ialah supaya tulisan ini dapat dihabiskan ke titik tamat. Bila tulisan sudah menemui penamat, yang selalu diharapkan tentulah agar tulisan itu ada rezeki untuk dapat diterbitkan. Mohon teman-teman untuk mendoakan sama ya. Terima kasih.

Seperti manuskrip pertama dan kedua, yang ketiga ini juga telah aku siapkan dengan bersungguh dan sehabis baik. Aku menulis dengan sepenuh jiwa. Bagiku, manuskrip juga seperti anak sendiri. Kelahirannya berlainan tahun. Setiap satunya punya kisah tersendiri. Berbeza dari pelbagai sudut dan sisi. Namun setiap satunya cukup istimewa. Bak  anak sendiri. Mana ada yang lebih atau kurang dari yang lain di mata ibunya. Semuanya setara dan punya kelebihan masing-masing. Begitulah manuskrip-manuskripku di mataku.

Bagus ke ceritanya? Kalau ditanya pada aku, tentu saja aku akan cakap ianya bagus. Puji diri sendiri nampak? Eh.. taklah. Aku jenis orang yang tak punya keyakinan diri yang tinggi. Dalam banyak hal aku selalu berasa tak yakin dan rendah diri. Tapi untuk penulisanku, aku punya keyakinan yang lebih sedikit dari hal yang lain. Sebabnya aku juga adalah pembaca novel yang tegar sebelum terlibat dalam dunia penulisan. Aku sendiri sangat memilih novel yang mahu aku baca. Jadi bila ada rezeki untuk menulis novel sendiri, tentulah aku ada tanda aras yang perlu aku lepasi. Bukan setakat menulis untuk punya novel sendiri. Tapi menulis untuk kepuasan diri juga pembaca yang akan membacanya nanti.

Selera setiap orang tak sama. Takdir Fitrah Terindah ada peminatnya tersendiri. Dia Sayang Aku juga begitu. Kedua-duanya ada diberikan 10 bintang dari pembaca. Tapi bintang yang diberi bukanlah ukurannya. Perkara yang berkaitan minat dan selera  ni adalah perkara yang subjektif. Jadi bila ada orang yang suka tentu ada juga yang tidak suka. Adatlah, ada orang suka cencalok, ada orang suka budu. Aku suka tempoyak he..he.. Kita tak boleh paksa orang untuk suka apa yang kita rasakan sedap untuk kita. Tapi kita boleh pastikan kita dah usaha yang terbaik untuk buatkan  sesuatu yang kita suka itu sedap juga untuk orang lain. Bagiku, Bukan Teman Pengganti juga begitu. Kalau suruh bandingkan, aku sendiri tak dapat nak buat perbandingan. Yang boleh aku katakan, ianya setanding.

Aku ada upload beberapa permulaan bab dalam Bukan Teman Pengganti di Ilham Karangkraf. Pada yang berminat jemputlah membacanya ya. Nak tunggu novelnya tak tahulah ada rezeki ataupun tidak. Jika sudi boleh tinggalkan komen. Yang baik semestinya dari ALLAH. Yang kurang tentunya dari kekurangan diriku sendiri. Bagiku, setiap komen dari pembaca sangat berharga. Yang baik dapat aku jadikan semangat. Yang buruk dapat aku jadikan sempadan. Doaku semoga segalanya baik-baik saja dan semoga ada rezeki untuk Bukan Teman Pengganti.. In Sya ALLAH. 

Salam hormat untuk semua. In sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Thursday, November 12, 2015

Jam tangan Dunhill..

Assalamualaikum..

Sejak dulu aku memang pakai jam tangan kiri. Sejak dulu sejak bila he..he..? Aku tak ingat waktu kecil-kecil dulu aku pakai jam ke tidak. Yang aku ingat jam yang aku ada waktu berumur 10 tahun. Seingatku itulah  jam pertamaku. Lama juga aku pakai jam tu dan aku sayang sangat pada jam tu. Aku ingat lagi, betapa seronoknya rasa hati bila makcik aku suruh pilih jam untuk dibelikan. Waktu tu arwah ayah dah meninggal. Jadi memang jarang-jarang dapat keluar. Bila dapat keluar dan dapat tawaran untuk dibelikan jam tentulah aku berasa seronok sangat.

Sampai sekarang aku teringat lagi macam mana rambangnya mata aku untuk membuat pilihan. Beli pun bukanlah beli kat kedai jam. Tapi beli di gerai jam kat Petaling Street aje. Memang berlambak-lambaklah orang jual jam. Lagi rambanglah mata aku dibuatnya. Apa yang lebih menyukarkan aku untuk membuat pilihan ialah, aku tahu peluang seperti itu tak akan selalu dapat aku perolehi. Jadi aku perlu memilih jam yang aku betul-betul suka. Sebab aku tahu yang jam itu akan aku pakai lama. Walaupun jam itu cuma jam yang berharga sepuluh ringgit dan kualitinya tidaklah sebaik mana.

Seingatku memang lama benar dan susah sangat untuk aku buat pilihan. Dah ada yang berkenan di hati, tapi masih berharapkan untuk berjumpa dengan pilihan yang lebih baik. Jadi aku pun terus memilih dan memilih lagi. Kat Petaling Street  waktu tu, kau jalanlah ke sepuluh gerai jam pun. Jam yang dijual memang jam yang sama. Patern dan jenama yang sama akan dapat dijumpai di setiap gerai. Tapi untuk sedapkan hati bagi mendapatkan pilihan yang terbaik, aku tetap berjalan ke gerai-gerai yang lain juga sebelum dapat menetapkan pilihan dan membuat pembelian dengan ehsan makcikku. 

Akhirnya jam berjenama Dunhill menjadi pilihanku. Jam itu mukanya berwarna hitam. Separuh dari muka hitam itu berbintik merah seperti warna kotak dunhill. Nampak cantik sangat jam itu di mataku. Kenapa aku pilih jam yang bernama rokok sedangkan ada aje jam tiruan lain yang berjenama jam sebenar ialah kerana arwah ayah aku dulu hisap rokok dunhill. Jadi, kononnya jam itu akan mengingatkan aku pada arwah ayahku. Gitulah sebabnya mengapa jam tersebut menjadi pilihanku. Jam yang menjadi pilihanku sejak di gerai pertama tapi aku membelinya di gerai yang entah ke berapa. 

Berbeza betul dengan anak-anak aku sekarang yang nasib mereka lebih baik dariku. Kalau kata nak beli jam, ayahnya dah siap-siap tetapkan jenama jam untuk anak-anaknya. Pastinya ayah mahukan jam yang berkualiti untuk anaknya. Bila dah berkualiti, harganya dah tentu-tentu cecah ratus. Tapi untuk jam yang harganya beratus pun,  tak sampai lima minit memilih anak-anak dah dapat pilih jam yang berkenan di hati tanpa perlu fikirkan walau berapa pun harganya. Mungkin tak terfikir pun untuk pakai jam itu untuk tempoh yang lama. Usia mereka sama sepertiku waktu memiliki jam pertama. Bezanya, jam mereka berjenama dan harganya bukanlah sepuluh ringgit.

Nasib setiap orang tak sama, kan?  Peluang yang diterima mungkin sama, tapi dalam cara yang berbeza. Tak perlu bezakan nasib kita dengan nasib orang lain. Nasib orang mungkin menurut kita nampak lebih baik dari kita. Tapi nilainya hanya orang yang menerimanya saja yang tahu. Kita mungkin dapat sesuatu yang di mata orang lain hanyalah sesuatu yang biasa-biasa saja. Tapi buat kita yang menerimanya, ianya sebenarnya sesuatu yang cukup berharga. Begitulah halnya dengan jam tangan pertamaku. Ianya hanya jam murah yang tidak langsung punya jenama. Tapi ianya pernah menjadi jam kesayanganku dan pernah menjadi hal yang sangat berharga untukku.. Alhamdulillah..

Salam hormat untuk semua. Insya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi amanillah. 

Monday, November 9, 2015

Tercalon kerana tiada calon lain..

Assalamualaikum..

Dalam kepala ni ada macam-macam benda nak ditulis. Tapi tak tahu kenapa lagi seronok biar idea tu tersimpan aje dalam kepala. Lagi seronok bila baca entry orang lain aje. Mood menulis blog.. silalah hadir kembali. Bila membaca entry-entry sendiri yang lama-lama, rasa bestnya dapat mengimbau hal-hal yang dah berlaku dari catatan yang pernah aku tulis di sini. Tapi nak dapatkan semangat nak selalu menulis macam dulu terasa susahnya lahai. Ok dah. Sekian luahan perasaan.

Semalam aku ke Kuantan bersama en.asben dan kedua mentua. Anak-anak takde yang nak ikut. Alhamdulillah.. bila hujung minggu memang emak ada di rumahku. Jadi takdelah risau sangat kalau anak-anak tak mahu ikut berjalan  pun. Semalam kami pergi menghantar pengantin (sepupu en.asben) di sebelah lelaki. Minggu lepas kenduri majlis di pihak pengantin perempuan. Alhamdulillah.. perjalanan sangat lancar waktu pergi. Tambahan pula kami bertolak awal pagi. (Ingatkan takut jalan sesak sebab orang balik kampung untuk cuti deepavali. Tapi rupanya tak.. Syukur.. Alhamdulillah).

Pukul 10.30 pagi kami dah selamat tiba di Kuantan. Lepak sekejap kat homestay penginapan makcik pakcik en.asben. Dalam pukul 12.30 bergerak ke rumah pengantin lelaki. Tak jauh pun sebab homestay tu di kawasan perumahan yang sama dengan rumah pengantin lelaki. Tak ramai pun kaum keluarga yang pergi menghantar. Adalah dalam 6 - 7   kereta macam tu. (He..he.. 6-7 biji kereta tu kira standard tak ramai untuk keluarga yang besar macam kami. Kalau kebiasaannya memang lebih dari 10 biji kereta yang ikut rombongan hantar pengantin).

Elok aje kami keluar dari kereta, emak pengantin dah panggil-panggil aku dengan en.asben. Sekali dengan pakej hulur payung dan kipas pengantin he..he.. Kiranya kami tercalon secara automatik sebagai pengapit pengantin sebab takde calon lain sebab seperti yang aku cakap tadi, tak ramai yang ikut rombongan menghantar pengantin kali ini. Jadinya, calon pengapit sendu pun terpilihlah suami isteri jadi bidan terjun ha..ha.. Makanya, jadi tukang payungkan pengantin dan tukang kipas pengantinlah kami suami isteri semalam. 

Aku dengan en.asben sebagai pengapit. 
Walaupun pengantinnya cantik, tapi sila fokus kepada pengapit sebab entry ni adalah mengenai pengapit bukan pengantin ha..ha.. Gila kuasa! (kat blog sendiri bolehlah kan.. ;)) En.asben dengan pengantin perempuan sepupu. Dia orang ni memang keturunan ada lesung pipit yang dalam. Dua-dua belah pipi pulak tu.  Dapat dari arwah embah. So bila senyum nampak manis aje bila ada lekuk dalam kat pipi. Jadi aku yang takde lesung pipit ni kenalah senyum nampak gigi biar manisnya setara ha..ha..

Makan di meja pengantin.. Ehemmm...
Hikmah jadi pengapit ialah dapat makan di meja pengantin. Tapi bila pengantin makan sikit aje, tak ke canggung kalau kita yang duduk di sebelah sibuk nak makan bertambah. Jadi makan pun sikit ajelah juga.
Elok aje dah bangun dari meja makan pengantin siap mengadu kat en.asben, yang.. I lapar lagi ha..ha.. Dasar perempuan makan banyak!

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah. 

Tuesday, November 3, 2015

Kenduri kahwin sepupu..

Assalamualaikum.. 

Family belah aku jenis yang hubungan dia macam susah sikit nak kaitkan hubungan tu macam mana.  Sebab kebanyakkannya bukan kaitan yang direct. Sebab arwah ayah dulu dijaga oleh makciknya. Makciknya juga ada menjaga anak-anak saudaranya yang lain. Juga menjaga anak-anak tirinya dan anak-anak angkatnya juga. Macam kalau en.asben dan anak-anak tanya, mereka tu siapa akan jadi panjang penerangannya. Sampaikan dia orang sendiri susah nak faham he..he.. Tapi Alhamdulillah.. aku masih dapat menerangkan walaupun berbelit-belit sebab aku tahu mereka tu siapa.

Macam en.asben pulak, selalunya dia macam susah sikit nak terangkan kaitan hubungan tu macam mana kalau dalam family dia. Dia tahulah yang sedara tu belah emak atau belah ayahnya. Tapi kalau suruh terangkan dengan lebih lanjut  dia sendiri pun tak berapa pasti. Jadi untuk sesetengah kenduri yang  kami nak hadiri, kalau tanya yang ni kenduri rumah siapa? Jawapannya, sedara. Bila tanya sedara yang kaitannya macam mana dia akan senyum aje dan jawab sedaralah. He..he.. Jadi bila anak-anak pulak tanya pada aku aku akan cakap itu sedara ayah aje.

Sabtu lepas kami balik kampung en.asben di Parit Baru, Sabak Bernam. Sepupu en.asben kahwin. Kalau setakat sepupu-sepupu sendiri tu en.asben tahulah hubungannya. Aku sendiri pun dah tahu. Anak-anak pun tak payah tanya dah tahu sendiri sebab hubungan tu memang rapat. Alhamdulillah.. meriah majlisnya. Tetamunya ramai sampai penuh khemah.  Makanannya sedap. Sedap juga bila dapat join meratah lauk pengantin he..he.. Majlis tambah meriah dengan adanya kugiran secara life. Tapi lagu lama-lama 60-an lah. Walaupun begitu badan terasa nak bergoyang juga sebab kerancakan iramanya. 


Alhamdulillah.. semuanya berjalan dengan cukup lancar. Tahniah dan Barakkallah buat pasangan pengantin Shida dan Hamka. Semoga rumahtangga yang dibina akan berkekalan hingga ke Jannah.. insyaALLAH. Dah alang-alang bercerita aku nak  share gambar sekali di hari kejadian. Gambar proper tak jumpa. Jadi gambar senget pun jadi berharga he..he.. Yang ada cuma gambar 'wefie' aje. Pengantin pun cuma nampak separuh. Nampak kan aku senyum tak nampak mata. Aku kalau senyum gaya macam tu memang confirm happylah tu. Alhamdulillah.. keluarga en.asben sangat-sangat best. Aku selalu rasa seronok berada bersama mereka. Syukur..









  Saja nak letak semua gambar 'wefie' yang ada sebab aku suka dengan semua gambar-gambar yang ceria ni.. 
Okey.. gambar last. 
Saja nak tunjuk baju kami yang sama. Baju dengan kain batik yang sama tu semua emak mentua aku yang jahit sendiri. Hebat kan. Menantunya nak jahit baju koyak pun tak lepas he..he.. Sebab wedding kat kampung jadi kami semua sepakat pakai baju dengan berkain batik. 

Salam hormat untuk semua. In sya ALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Fi Amanillah..

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...