Monday, January 26, 2015

Tak perlu masuk jauh sangat dalam kehidupan orang lain!

Assalamualaikum..

Bunyi tajuk macam panas kan ha..ha.. Memang panas pun walaupun sekarang ni dah sejuk. Tapi bila teringat balik masih ada juga rasa sisa tak puas hati tu. Hurmmm rasa sangat tak best. Jadi kenalah luahkan sikit  agar rasa tu tak terus melekat di hati. Juga agar ianya dapat aku sendiri jadikan pengajaran.

Cerita ni cerita hari sabtu. Aku pun malas nak cerita dengan lengkap. Dipendekkan cerita, seseorang yang hanya tahu 1/10 atau up sikitlah mungkin 2/10 dari cerita dan hal kehidupanku datang padaku. Datang sebab nak cakap yang aku dah buat keputusan yang silap. Siap dengan muka-muka lagi nak confirmkan macam aku memang dah buat silap besar. Aku macam... Okey takpe. Since aku pun tak kenal  dia dan dia mungkin tak tahu cerita yang sebenar aku cuba nak terangkan (dengan baik dan berhemah ya) kenapa aku ambil keputusan itu secara berlapik. Tapi dia masih macam nak cakap yang aku dah buat  salah besar yang akan memusnahkan hidup orang lain. Sebabnya keputusan aku tak sama dengan dia. Macam apa yang dia rasakan baik untuk keluarga dia adalah yang sangat terbaik super duper brilliant untuk keluarga aku juga. 

Sebelum aku sambung cerita aku nak beritahu di sini. Ini bukan soal aku tak boleh dikritik. Nak menegur boleh saja sebab aku tahu kadang-kadang aku sendiri memang buat keputusan yang salah. Itulah kehidupan kan. Kita tak akan tahu sama ada kita dah buat keputusan yang betul atau salah. As long as kita rasa kita tahu apa yang kita buat, itulah keputusan yang perlu kita ambil. Tapi bila keputusan yang aku ambil tu tak ada kena mengena dengan orang itu, aku rasa dia tak seharusnya terlalu menyibuk dalam urusan aku! Tapi dia punya ayat tu memang makan dalam. Macamkan dia boleh tolong handle sebahagian tanggungjawab yang perlu aku pikul sekarang. Eh.. cakap memanglah senang. Lebih-lebih lagi bila dia hanya orang luar yang mungkin tak pernah dengar pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dia macam tak sedar, bukan dia yang akan menguruskan kehidupan keluarga aku. Tapi aku sendiri.

Bila dia terus condemn aku aku masih mempertahankan alasan aku. Sebab aku yang nak tanggung aku tahulah apa yang aku buat. So bila dia macam nak sangat tahu why.. why.. why.. aku pun cerita dengan lebih jelas apa masalah aku. Sebab alasan yang aku pegang memang niatnya untuk kebaikan  aku, keluarga aku dan orang-orang di sekeliling aku. Tapi dia macam nak juga pertikaikan alasan aku sebab dia rasa kalau dia, dia boleh handle hal aku dengan lebih baik lagi. Macam dia boleh tolong uruskan kehidupan aku dan keluarga. Hmmm.. terus rasa macam nak beritahu dia. Jangan nak sibuk boleh tak? Tapi aku tak nak cakap kasar dengan dia. Bila dia terus hentam aku, en.asben pun menyampuk dengan satu ayat yang langsung tak berkias. Memang straight to the point. Kami buat macam tu sebab kami memang nakkan ianya begitu. Sebab kami ada pandangan sendiri. Dia terus diam. 

En.asben cakap pada aku, lain kali tak perlu nak cakap berlapik sangat dengan orang luar yang tak tahu apa-apa pasal kehidupan kita. Bukan dengan semua orang kita perlu terangkan dan ceritakan tentang hidup kita. Kalau perlu, terus  bertegas aje dengan pendirian kita. Okey.. aku ambil perkara itu sebagai pengajaran untuk aku. Pengajaran lain yang aku dapat, tak perlu nak masuk jauh sangat dalam kehidupan orang lain. Selainnya, sekalipun kita rasa keputusan kita adalah yang terbaik dalam dunia, silalah hormati keputusan orang lain juga. Sebab.. bukan kita yang menyibuk ni yang akan menguruskan kehidupan orang lain.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Thursday, January 22, 2015

Taknak meminta-minta...

Assalamualaikum..

Sejak kahwin, emak mentuaku selalu cerita. Katanya, en.asben tak pandai nak minta apa-apa. Bukan jenis nak meminta-minta. Kalau dah bagi duit belanja waktu belajar dulu, duit itu ajelah yang dia guna. Cukup ke, tak cukup ke tak pernah nak minta. Tak pernah beritahu pun cukup ke tidak. Macam apa yang ada tu dah cukup untuk dia.

Malam kelmarin sebelum tidur aku berbual dengan en.asben. Dalam berbual aku terkenangkan percutian kami ke Bali pada Januari tahun lepas. Cepat betul masa berlalu. Rasa macam baru lagi tapi rupanya dah setahun dah percutian tu. (Punyalah isterinya kaki jalan, nak tidur pun ingat pasal jalan lagi he..he..) Teringatkan Bali, aku teringatkan hal yang terjadi waktu percutian kami. Waktu itu kami singgah di kedai pembuatan silver. Pada mulanya aku tak berminat nak singgah berhenti kerana aku bukannya peminat barangan aksesori. Tapi bila dah singgah dan masuk, aku jadi seronok. SUBHANALLAH.. memang kebanyakannya cantik-cantik. Cincin, gelang, rantai dan barangan lain yang dihasilkan dari silver sangat memikat hatiku. Aku jadi teruja melihatnya. Bila melihat ianya cantik di mata, hati pula terasa untuk mencubanya. Pekerja kedai juga bukan main ramah menawarkan untuk aku mencubanya. Ngak beli pun ngak apa.. Bila sudah begitu katanya, aku pun tak segan nak mencubanya. Aku mencuba beberapa darinya yang sudah membuatkan aku jatuh cinta. Bila dah cuba pakai, memang rasa cantik. Hati mula membuat pilihan. Tapi.. bukan pilihan mahu membeli yang mana. Pilihan ni untuk beli atau tidak. Ini kerana aku bukannya orang yang jenis pandai nak bergaya dengan aksesori. Harga barangan itu pun bukanlah murah sangat. (Beratus-ratus dan  cecah juga beribu-ribu harganya). Disebabkan itu aku perlu memikir sama ada praktikal atau pun tidak untuk aku membelinya. 

Sudahnya aku memilih untuk tidak membelinya. En.asben bersungguh suruh aku beli juga apa yang aku dah berkenan. Tapi aku menolaknya, dengan alasan tak mahu membazir. En.asben pujuk juga suruh ambil saja sebab katanya sejak kenal dan sejak kahwin, aku tak pernah minta apa-apa darinya. (Maksudnya meminta-minta barangan yang khas untukku. Kalau barangan rumah dan barangan yang untuk kegunaan bersama tu lainlah). Fikir punya fikir aku tetap tak mahu membelinya. Sebab aku taknak membazir membeli barangan yang aku tidak betul-betul perlukan. Bila aku terus menolak, en.asben memberitahuku, insyaALLAH, ada rezeki yang sudah menantinya. Jadi kalau aku mahukan apa yang aku sudah berkenan tu, insyaALLAH dia tak kisah nak belikan. Memang bulatlah mata aku mendengarnya. Tapi... aku tetap menolaknya. Sebab aku tahu kalau aku beli pun nanti aku lebih banyak menyimpan dari memakainya. Rezeki yang lebih tak bermakna aku boleh membazir dengan perkara yang tak perlu. Jadi hasrat untuk memiliki itu aku abaikan walaupun mendapat sepenuh sokongan dari en.asben. 

Balik dari Bali, bila tiba bulan mac, en.asben bertanya apa yang aku mahukan untuk harijadiku pula. (Waktu tu rezeki yang diberitahu sebelumnya sudah diterima). Sekali lagi aku tak reti nak minta apa. Sebab aku memang bukan orang yang tahu nak meminta-minta dari orang lain. Dah biasa susah agaknya. Selepas arwah ayah meninggal, dengan emak pun aku selalu rasa kesian nak minta apa-apa. Nak minta dengan orang lain lagilah aku tak pandai. Kalau aku benar-benar mahukan sesuatu, aku akan berusaha mendapatnya sendiri. Waktu bercinta pun, en.asben suka nak tawarkan untuk bayarkan barangan yang aku beli. Macam kalau kami keluar beli perfume, mesti dia nak bayarkan kedua-duanya. (Perfume dia dan perfume aku sekali). Gila tak suka. Bestlah... tak luaklah duit aku. Tapi aku selalu rasa tak sampai hati. Sudahnya aku tetap menolak dan membayarnya sendiri. Mungkin sebab tak biasa. Jadi aku rasa bersalah dan rasa macam mengambil kesempatan pulak kalau nak minta orang lain yang perlu bersusah payah nak tolong bayar atau belikan barangan yang aku sendiri mahukan. Rupanya, aku dengan en.asben sama. Tak reti nak meminta-minta.

Back to the story about my birthday gift. Bila dah tak tahu nak minta apa, akhirnya aku beritahu pada en.asben aku tak mahu apa-apa. En.asben dok tanya juga suruh cakap apa-apa. Tapi aku memang tak tahu nak minta apa. Apa yang ada pun rasanya dah cukup untukku. So cerita itu pun berakhir di situ. Takde tanya-tanya lagi dah. Pada pagi harijadiku (Tepatnya dalam pukul 12 lebih tengah malam), sebelum tidur en.asben hulurkan sebuah kotak kecil yang panjang ukurannya kepadaku bersama ucapan happy birthday. Dalam taknak-taknak tu bila orang bagi hadiah hati rasa berbunga-bunga jugak. Thank you, sayang. Eh.. apa ni? Apa ni?  (Mengada-ngada kan, hadiah dah ada kat tangan lagi nak tanya. Bukak ajelah. Lagi nak banyak cerita ha..ha..) Bila dah buka pembalutnya tu terus nampak kotak bertulis Poh Kong. Isinya gelang tangan. En.asben tanya aku suka tak gelang tu? Eh.. gila tak suka ha..ha.. Tapi dalam suka sempat juga cakap.. Kan I dah kata I taknak apa-apa. Serius.. aku rasa macam tak perlu pun en.asben nak hadiahkan aku gelang tu. Tapi en.asben cakap, Takpelah, ma. Sejak kita kahwin, U tak pernah minta apa-apa dari I. Serius sebak masa tu. Macam aku baik sangat padahal selalu jugak melawan cakap suami hu..hu.. 

Dalam pada sebak tu, sempat juga aku tanya. Eh, u beli ni u tawar harga tak? ha..ha.. Sebab en.asben bukannya pernah pergi kedai emas sendiri. Tentulah dia tak tahu beli emas pun boleh tawar-tawar harga. Aku tak tahulah dia minta tawar ke tidak. Sebab en.asben tak mahu aku sibuk-sibuk pasal tu. Walau apa pun aku tetap rasa tersentuh. Pada aku, apa yang en.asben dah berikan pada aku dan anak-anak dah cukup dah. Aku tak perlukan hadiah yang lain darinya. Sekarang ini, aku lihat anak-anak aku pun macam tu. Dia orang ni jarang nak meminta-minta sangat. Macam kalau betul-betul nak tu (maksud aku untuk barangan kemahuan bukan  barangan keperluan ya) adalah dia orang menyebut. Tapi kalau tak dapat pun dia orang macam faham  sebab  takde pun nak push cakap nak.. nak.. nak.. Lebih-lebih lagi bila en.asben dengan aku selalu cakap, kalau kami rasa benda tu perlu dan mesti dapat waktu itu, memang kami akan usahakan untuk terus belikan. Tapi kalau rasa benda tu tak perlu dan belum sampai masanya untuk anak-anak mendapatnya, silalah tunggu dahulu. ALHAMDULILLAH.. anak-anak selalu faham. Sampaikan dia orang macam tahu sendiri untuk tidak meminta-minta. 

Macam lepas dapat result PT3 hari tu, kami tanya Han nak hadiah apa. Tapi dia cakap dia taknak apa-apa sebab pada Han, dia tak score. So, tak payahlah kami nak bagi apa-apa hadiah. Okey.. aku dah sebak. Sebab pada aku, result dia masih baik dan dia patut dapat ganjaran dari kami. Tapi dia tetap cakap dia taknak apa-apa. ALLAHUAKBAR.. Aku tak tahu nak cakap macam mana. Rasa bersyukur juga sebab mungkin anak-anak taknak menyusahkan kami berdua dengan perkara yang bukan keperluan. Lebih bersyukur bila anak-anak juga tak reti nak meminta-minta. Sekurang-kurangnya mereka dah tahu untuk tidak menyusahkan. Mereka juga tahu yang kami bukan orang senang sangat untuk mereka meminta apa-apa dengan sewenang-wenang. Bukanlah nak cakap perkara tu hebat sangat. Tapi aku cuma nak cakap, adakalanya perangai kita sebagai ibu dan ayah menurun pada anak-anak kita. Kalau ada perkara yang baik turun kepada anak-anak ianya  tentulah jadi hal yang perlu disyukuri. Doaku, semoga lebih banyak perkara yang baik-baik akan menjadi ikutan anak-anak. Semoga aku dan en.asben yang serba kekurangan ini juga akan dapat menunjukkan lebih banyak contoh yang baik-baik untuk anak-anak kami.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nica day!

Wednesday, January 14, 2015

Cukup.. cukup sudah..

Assalamualaikum..

Sejak kecil secara formal dan tidak fomal, kita sudah diajar banyak perkara tentang kehidupan. Antaranya perkara yang berlawanan. Macam hidup lawannya mati. Syurga lawannya neraka. Sihat lawannya sakit. Baik lawannya jahat. Bahagia lawannya derita dan sebagainya. Kiranya kalau ada yang bertanya, sejak kecil hingga kini lancar saja untuk kita menjawabnya. Sejak kecil juga kita sudah tahu yang miskin itu lawannya kaya. Maka, berusahalah kita semua untuk menjadi kaya. Atau sekurang-kurangnya berusaha untuk tidak menjadi miskin. Namun rupa-rupanya, miskin itu lawannya bukanlah kaya. Tetapi miskin itu lawannya 'CUKUP'! Ya ALLAH.. betapa aku tak sedar tentang itu. Walaupun tak kaya, cukup itu sudah memadai rupanya. Tak kisahlah walaupun kita miskin. Asalkan kita berasa cukup itu sudah lebih baik.  SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.. ALLAHUAKBAR..

Semua itu membuatkan aku terfikir tentang apa yang sudah aku lalui dalam hidup. Iya.. selama ni aku memang tak kaya. Segalanya memang cukup-cukup. Tapi segalanya masih baik-baik saja untukku. Aku tak perlu jadi kaya untuk makan di restoran yang mahal. Tapi bila ada cukup duit, aku masih mampu untuk makan di restoran yang mahal juga. Aku tak perlu kaya untuk beli rumah dan kereta. Tapi bila ada gaji yang cukup, kami suami isteri mampu juga membeli rumah dan kereta yang bersesuaian dengan kemampuan kami. Aku tak perlu kaya untuk dapat pergi ke tempat-tempat yang aku ingini. Tapi dengan kecukupan rezeki dari ALLAH, semua tempat-tempat itu mampu juga aku kunjungi. Aku tak perlu kaya  untuk dapat kawan-kawan yang baik, untuk kelihatan cantik, untuk bergaya seperti mana orang lain, untuk hantar anak-anak ke kelas tambahan dan macam-macam lagi. Dengan keCUKUPan yang ada, aku masih mampu untuk memperolehi semua itu. Terima kasih ALLAH. Semoga aku dan kita semua akan menjadi orang yang selalu bersyukur.. insyaALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita. Take care and have a nice day!

Tuesday, January 13, 2015

Dengan izin ALLAH..

Assalamualaikum..

***Ini entry semalam. Tapi  tak sempat post sebab nak pergi melawat nenek mertua arwah adikku yang sedang sakit malam tadi.***

Alhamdulillah.. aku baru selesai membalut buku teks Az. Tahun ni pelajar tahun 5 dapat buku teks lambat sikit sebab mereka dapat buku teks baru dengan versi yang baru. Balik sekolah tadi dia dah siap-siap letakkan buku teks atas katil mama siap dengan pembalut buku sekali. Tapi takde pun cakap apa-apa.  Cuma tinggalkan klu aje he..he.. Macam comel pulak bila dia buat macam tu.

Hari ni aku cuti. Anak buah aku Hafiy masuk sekolah darjah 1 dan adiknya Gegirl masuk sekolah tadika 5 tahun. Sejak awal memang aku dah siap-siap apply cuti. Bila buka sekolah ditangguhkan seminggu, aku tukar cuti tu ke tarikh baru. Alhamdulillah..  bila dah cuti hari ni, dapatlah aku menemankan kedua beradik tu ke sekolah untuk memulakan sessi persekolahan mereka. Dah beri tahu awal-awal juga pada papa mereka yang aku akan uruskannya.

Malam sebelumnya, en.asben dah risau dan kesian,  takut  takde siapa yang dapat temankan Hafiy dan Gegirl. Bila aku beritahu en.asben yang aku dah ambil cuti dan memang aku akan temankan anak-anak tu, barulah en.asben rasa lega. Kalau boleh, en.asben nak sangat anak-anak buahku mendapat layanan yang sama seperti mana kami melayani anak-anak kami sendiri. Kalau mungkin tak cukup sempurna, sekurang-kurangnya tidaklah kurang layanannya. 

Alhamdulillah.. hari ini aku dapat menemankan kedua-duanya untuk hari pertama persekolahan mereka. Dari  awal pagi hingga ke pukul 2 petang sampai 8 kali aku berulang ke sekolah anak-anak itu hari ini. Selepas anak-anak aku dah selamat ke sekolah, aku terus  pergi ke rumah arwah adikku. Ahamdulillah.. emak dah uruskan mereka adik beradik. Dah segak berpakaian sekolah yang baru, kasut baru, beg baru  juga dengan keseronokan untuk memulakan sessi persekolahan baru.

Memang terkejar-kejar juga. Tapi, takde pulak aku rasa terlalu penat. Malah tiada langsung rasa membebankan. Lepas uruskan Hafiy di sekolahnya, menjenguk Gegirl pula di tadikanya. Kemudian pergi uruskan pendaftaran di sekolah agama kafa. Kemudian balik ke rumahku semula ambil dokumen anak-anak untuk mengambil wang bantuan persekolahan yang RM100 tu sebab sekolah perlukan dokumen yang original. Berulang sampai dua kali mengikut sessi persekolahan Hafiy dan abangnya. Alhamdulillah.. semuanya sudah aku serahkan pada emak.

Sebelum balik tu, sempat juga  aku menjenguk Hafiy pada waktu rehatnya. Alhamdulillah.. bukan main ceria lagi dia. Pandai dia bawak diri. Dah boleh beli makanan sendiri. Seronok aku tengok dia. Jadi hilang risau. Gegirl pun nampak happy dengan hari persekolahan pertamanya. Nampak sangat confident. Kalau arwah mummy ada, tentu mummy bangga tengok anak-anak dia yang hebat. Waktu balik aku tunggu Hafiy kat pagar sekolah dan naikkan van. Petang tengok-tengokkan dia dulu di sekolah kafa. Lepas dah settle semua baru aku balik ke rumahku.

Sebenarnya, aku takde niat nak mengungkit bila menceritakan hal ini. Aku sekadar nak bercerita bila teringatkan satu perkara yang pernah aku persoalkan. Sebelum ini ada seorang teman yang sudah mempunyai anak sendiri. Tapi kemudian dia mengambil anak angkat pula. Aku ada bertanya padanya, boleh ke dia berikan kasih sayang yang sama antara anak sendiri dengan anak angkat? Sebab kalau aku, aku tak rasa aku boleh berikan kasih sayang dan layanan yang sama. Tapi jawapan yang diberikan kepadaku ialah BOLEH.

Aku jadi terkagum dengan jawapannya. Ini kerana, aku tidak yakin aku boleh melakukannya sama seperti dia. Aku tak yakin aku boleh berbuat begitu serupa dengannya. Aku rasa aku tak mampu nak sayang dan ambil berat hal anak orang lain seperti mana aku sayangkan dan ambil berat hal anak-anakku sendiri. Apa yang aku tahu, aku tak boleh melakukannya. Kalau boleh pun, tentu ada banyak bezanya. Kalau buat pun, mungkin tidak sepenuh hati. Memang aku boleh katakan yang aku tak akan boleh untuk menguruskan hal itu dengan baik.

Tapi.. ALLAH itu Maha Besar. ALLAH itu Maha Agung kuasanya. DIAlah pemilik segalanya. Juga pemilik hati yang kita ada. SUBHANALLAH.. Hari ini aku boleh menguruskan anak-anak arwah adikku sama seperti mana aku uruskan anak-anak aku sendiri. Aku boleh menyayangi mereka seperti aku sayangkan anak-anakku sendiri. ALLAHUAKBAR.. Besar sungguh kuasa ALLAH. ALHAMDULILLAH.. Terima kasih ALLAH kerana mengurniakan rasa ini. MASYA ALLAH.. Ianya satu rasa yang sangat menakjubkan. SUBHANALLAH.. ALHAMDULILLAH.. ALLAHUAKBAR.. Tiada apa yang berlaku tanpa izin dari ALLAH. Tiada apa juga yang mustahil untuk berlaku dengan izin dari ALLAH.

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH sentiada ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Wednesday, January 7, 2015

Azam yang diperbaharui..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. dah 7 hari pun kita berada dalam tahun 2015. Alhamdulillah.. segalanya berjalan dengan baik. Mana yang kurang pastilah dari kekurangan dan kekhilafan diri yang terlalu banyak yang perlu diperbaiki. Bukan sekadar diperbaiki melalui azam yang melangit tinggi. Tapi melalui keinginan dan kesungguhan dalam diri. Semoga segala yang kurang dan silap dapat diperbaiki dengan lebih giat lagi.. insyaALLAH.

Tahun ini aku masih mempunyai azam yang sama.. nak kurus dah tentu salah satu darinya he..he.. Walaupun tak tahu tahun bila boleh capai tapi nak juga jadikan azam tahunan. Nak kaya  pun salah satu darinya. Tapi bukanlah nak kaya dari segi material saja. Tapi nak kaya dari segala segi yang baik-baik yang boleh membawa kebaikan untuk diri sendiri, keluarga dan juga orang-orang yang berada disekelilingku. Dalam erti kata lain, kaya yang bermanfaat.

Kalau boleh, aku nak kaya ilmu, kaya amal, kaya ibadah, kaya pengalaman, kaya sedekah, kaya budi bahasa, kaya ilham dan segala kaya yang boleh membawa kebahagiaan buat aku dan keluarga di dunia dan di akhirat. Paling penting, azam yang sangat mahu aku penuhi untuk tahun ini ialah mahu menjaga solat dan mahu menjaga hati. Semoga aku dan keluarga akan dapat menunaikan solat di awal waktu. Juga semoga aku dapat membersihkan hati agar boleh lebih berbahagia dengan kebahagiaan, kelebihan, kejayaan, kesejahteraan dan kesempurnaan hidup orang lain. Dalam erti kata lain, tak nak busuk-busuk hati. 

Nak berazam memang mudah. Tapi nak menunaikannya tidaklah semudah yang dikata. Tapi.. tiada apa yang mustahil untuk dicapai dengan keazaman yang tinggi dan kesungguhan yang kental. Semakin umur meningkat semakin aku sedar bahawa azam itu sangat penting. Disebabkan itu aku mahu berazam dengan sebaik-baiknya. Capai tak capai itu cerita lain. Yang penting, niat kena ada, hati kena cekal selainnya usaha tangga kejayaan. Nak berjaya mana boleh duduk saja. Kena bersusah-susah dahulu untuk bersenang-senang kemudian. 

Oh ya.. antara azam lain yang mahu aku penuhi ialah menyiapkan manuskrip novel ketigaku di awal tahun 2015 ni. Hmm.. dah berapa hari dah ni tak sempat nak sentuh. Okeylah.. cukup sampai di sini dulu aku berceloteh. Nak layan manuskrip pulak. Azam kena bersungguh, kan? So kena mula dari sekarang. Tak boleh terus bertangguh.

Salam hormat untuk semua. InsyaAllah.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Saturday, January 3, 2015

Orientasi sekolah..

Assalamualaikum..

Hari ini 12 Rabiulawal. Hari Maulidur Rasul. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. 

Tahun baru 2015 sudah pun bermula. Bila tiba tahun baru, semua orang tahu yang persekolahan juga akan bermula. Namun dek bencana banjir yang menimpa negara, sekolah akan dibuka lewat seminggu pada tahun ini. Menjadikan 11 dan 12 Januari 2015 sebagai tarikh persekolahan untuk tahun 2015 bermula. 

Walaupun sekolah akan dibuka seminggu nanti, namun orientasi untuk murid tahun 1 dan tingkatan 1 sudahpun bermula di kebanyakan sekolah. Semalam dan hari ini aku turut terlibat untuk menghadirinya untuk anak buahku FAF dan JH. Alhamdulillah.. semuanya berjalan lancar. Tak kira kemasukan pertama di sekolah rendah mahupun di sekolah menengah, pengisian taklimat masih sama.

Bukan saja taklimat, agendanya juga hampir sama. Murid di bawa ke kelas masing-masing. Ibu bapa perlu mendengar taklimat tentang hal ehwal sekolah serta jadual dan aktiviti sekolah. Diberitahu tentang displin, diterangkan tentang PBS juga diingatkan untuk menjaga buku teks yang diberi dengan sebaiknya.

Kemudian ibu bapa perlu ke kelas anak-anak. Selepas menyerahkan borang yang berhelai-helai perlu diisi bersama dokumen-dokumen penting anak-anak serta menjelaskan bayaran yuran yang perlu kepada guru kelas anak-anak ibu bapa dan anak-anak perlu ke bilik SPBT untuk mengambil buku teks.

Selepas itu berakhirlah sesi orientasi pelajar. Alhamdulillah.. untuk dua hari ini semua urusan kami berjalan dengan lancar. Syukur.. 

Salam hormat untuk semua. InsyaALLAH.. semoga rahmat dan kasih sayang ALLAH akan sentiasa ada untuk kita semua. Take care and have a nice day!

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...