Friday, August 26, 2011

Ucapan untuk semua..

Salam Ramadhan ke-26.

Nak ke tempat kerja tadi, jalanraya walaupun masih banyak kereta namun dah mula nampak lenggang. Ofis dah mula sunyi kerana ramai yang dah ambil cuti. Mood raya memang dah mula terasa. Di radio pun dah berselang seli berkumandang lagu raya lama dan baru. Jadinya di kesempatan ini, sebelum mula bercuti panjang ni, ingin rasanya mengambil kesempatan untuk memberi ucapan selamat buat semua. SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI dari saya dan keluarga untuk semua teman-teman BLOGGER yang di kasihi di alam maya ini. Juga untuk semua tetamu yang sudi berkunjung ke blog HANIS AZLA ini. Tak lupa juga kepada pembaca-pembaca novel TAKDIR FITRAH TERINDAH yang pernah sampai ke blog penulisnya ini. MAAF ZAHIR dan BATIN andai ada salah silap yang telah saya lakukan. Mohon HALALkan apa saja yang terlebih dan terkurang. TERIMA KASIH juga untuk ucapan dari teman-teman semua untuk saya. Kosong-kosong yer kita. BERHATI-HATI di jalan raya. Semoga perjalanan kita untuk pulang ke kampung dan kembali ke destinasi sentiasa selamat dan dilindungi. Doa saya agar segala urusan kita dipermudahkan. Semoga rahmat ALLAH sentiasa ada buat kita. InsyaAllah, panjang umur, ada rezeki dapatlah kita berkongsi cerita lagi di sini. SALAM MESRA untuk semua. TAKE CARE.

Thursday, August 25, 2011

Bangga dan sombong..

Kisah yang amat menarik untuk dikongsikan berkaitan sifat ujub (bangga/sombong) buat renungan diri sendiri dan teman-teman.

Pada suatu masa Nabi daud a.s keluar ke pesisir untuk beribadat dan setelah genap setahun, ia berdoa: "Ya Allah Ya Tuhanku, telah bengkok punggungku dan lemah mataku serta kering air mataku, tetapi aku belum juga mengetahui bagaimana nasibku."

Maka Allah s.w.t menyuruh katak untuk menjawab doa nabi daud a.s itu, lalu katak berkata: "hai Nabi Allah! Apakah kamu mengungkit pada tuhan ibadatmu yang setahun. Demi Allah yang mengutuskanmu menjadi Nabi, saya di hutan ini selama enam puluh tahun bertasbih, bertahmid kepada Allah, sedangkan persediaanku tetap gementar kerana takutkan Allah."
 
Maka menangislah Nabi Daud a.s. Subhanallah....

*Sumber dari e-mail teman pejabat.

Wednesday, August 24, 2011

Mama kan ada..

Semalam waktu En.asben, Han dan Is ke surau tinggallah aku dan Az. Mak ada dalam biliknya, solat dan mengaji. Jadinya bila rumah dah takde orang memang Az mengekor ajelah aku ke mana-mana. Sebenarnya bukan apa, yang pertama sebab dia nak berborak. Yang kedua sebab takut he..he.. Aku dok cuci pinggan pun dia siap temankan sampai ke sudah kat tepi sinki. Sambil tu dia berborak-boraklah cerita pasal sekolah.

Az : Mama, tadi ada orang jual bunga api dengan mercun kat sekolah. Tapi baby tak beli sebab mahal sangat. Kalau seringgit baby belilah. Ini 25 ringgit.
Me : Takpelah tak beli pun kan. Main mercun kan bahaya. Nanti boleh putus jari. Macam kat dalam TV tu. Takut kan.
Az : Baby kalau kena tangan yang ni takpelah (sambil tunjuk tangan kirinya). Tangan yang ni boleh makan lagi (sambil tunjuk tangan kanannya).
Me : Eh, apa pulak macam tu. Kalau kena tangan kiri pun, macam mana nak basuh bila buang air nanti.
Az : Takpelah. Mama kan ada. Mamalah basuhkan.
Me : Okey, itu kalau kat rumah. Kalau kat sekolah macam mana?
Az : Takpelah, baby tahanlah sampai balik rumah.
Me :???? (Tak sampai mesej aku pada Az rupanya)

Aduhai.. itulah dalam fikiran budak-budak. Fikiran tak panjang kan. Tak takut langsung. Memang berani benar nak cuba sesuatu yang boleh membahayakan diri. Tak kisahlah sampai hilang jari pun. Itu yang kes hilang jari tak pernah miss setiap tahun. Sebab pengajaran dan iktibar tu tak sampai pada mereka.

Jadinya ibu bapalah yang perlu memainkan peranan dalam hal ni. Tiada kompromi untuk benarkan anak-anak main mercun. Kalau iktibar dan pengajaran tu tak sampai pada ibu bapa jadi payah jugalah kan. Makin bertambahlah statistik anak-anak yang hilang jari setiap tahun.

Tuesday, August 23, 2011

When he said NO...

Kalau dengan en.asben, No is always No..

Me : Yang, boleh tak kalau I nak bla..bla..bla..
EA : NO..
Patutnya kalau dah gitu aku jawab okey saja. Tapi isteri mithali en.asben ni mesti juga nak cakap lagi.
Me : Ala yang.. I bukannya apa bla..bla..bla..(my reason) takkan tak boleh kot.
EA : NOOO.. (Sometimes with his reason)
Me : I taknak kawan u...
EA : Ma, u dah kahwin dengan I pun. Taknak kawan pun takpe..

He...he.. selalunya aku memang dengar cakap. Tapi sebelum tu suka nak bersoal jawab. Kalau dah keluar No dari mulut en.asben tu memang aku tak buatlah. Waktu bersalin untuk ketiga-tiga orang anak, Alhamdulillah aku tiada masalah. Sakit tu memanglah sakit. Tapi syukur sangat sebab tak lama. Untuk ketiga-tiganya, dalam masa dua jam sampai di klinik memang aku dah bersalin. Bila mengenang balik teringat kata-kata en.asben, isteri kalau dengar cakap suami memanglah senang nak bersalin. (Ini dalam kes aku ye. Tiada kaitan dengan orang lain. Harap tiada yang terasa).

Moral of the story : Dengarlah cakap suami.. InsyaAllah ada hikmahnya. 

(Mesti ramai geng-geng suami yang terangguk-angguk kan.. he..he..)

Monday, August 22, 2011

Insan yang paling berjasa buatku..

Beliau menjadi balu waktu umurnya 34 tahun. Tanpa pencen yang ditinggalkan, tanpa wang simpanan yang mencukupi, tanpa tanah berekar, tanpa harta melimpah, tanpa rumah sendiri apatah lagi pekerjaan yang boleh memberikan pendapatan, beliau terus tabah membesarkan tiga orang anak yang waktu itu masih kecil lagi. Rezeki Allah itu maha luas. Berkat usaha beliau, anak-anaknya mampu dipelihara sendirian dengan penuh sempurna. Walaupun kekurangan tetap juga cukup segalanya. Alhamdulilah segalanya dapat dilalui dengan baik. Anak-anaknya berjaya dididik dan terdidik dengan baik. Terima kasih Mak. Segunung intan dan selautan kasih sayang pun takkan dapat membalas segala pengorbanan dan kasih sayang yang telah mak curahkan kepada kami bertiga. Betapa besarnya pengorbanan mak pada kami. Sayang mak sangat-sangat. Semalam 21 Ogos 2011 merupakan hari jadi mak. Selamat hari jadi Mak. Alhamdulillah, sudah 60 tahun umur emak. Doaku, semoga mak terus diberikan kesihatan yang baik. Semoga dipanjangkan umur mak dan mendapat keberkatan umur. Semoga rahmat Allah sentiasa ada untuk mak di dunia dan akhirat.  YaAllah, kau lindungilah ibuku ini. Amin.. Semoga aku dan adik-adikku dapat menjaga mak dengan baik sebagaimana mak menjaga kami dulu. Semoga kami mampu menjadi anak mak yang dapat membahagiakan hati mak, insan yang paling berjasa padaku ini. InsyaAllah...

Friday, August 19, 2011

Kalau bukan kita siapa lagi...

Cuti nuzul quran baru ni, pagi sampai ke petang memang aku tak ke mana-mana. Sebab en.asben berkerja makanya nak keluar pun terasa tiada mood. Jadinya masa yang ada di isi dengan mengemas rumah untuk raya. Settle habuk dan sawang semua. Sepuluh kali aaaaachuummm sebab aku memang alah dengan habuk. Waktu mengemas di luar terdengar suara budak memberi salam di rumah jiran. Dari rumah depan ke rumah sebelah. Namun memang tiada siapa yang keluar. Memang begitulah kebiasaannya. Kalau di dalam rumah selalu tak dengar orang memberi salam kalau salam itu setakat dari pintu pagar. Rumah aku pun begitu juga selalunya.

Kebetulan aku berada di luar, jadinya memang aku mendengar salam yang di beri. Selepas menjawab salam aku mengamit mereka ke dalam pagar. Sepasang budak lelaki dan perempuan. Adik beradik katanya. Anak orang Myanmar. Yatim piatu yang kini tinggal bersama makciknya. Kakaknya dalam awal belasan tahun. Dan adiknya berumur 7 tahun. Minta derma makcik katanya sambil menghulurkan surat yang ada cop bagai. Aku tengok sekali lalu saja. Masuk ke dalam ambil purse dan hulurkan sedikit sumbangan. Sebelum berlalu si kakak bertanyakan kalau-kalau ada biskut yang boleh di makan oleh adiknya yang katanya sedang lapar. Tak puasa? Si kakak mengatakan yang dia berpuasa. Si adik menjawab soalanku dengan mengeleng. 

Aku nak bersoal jawab. Tapi mujur aku segera sedar walaupun umurnya sebaya dengan anak bongsuku tapi keadaanya tidak sama. Budak itu terpaksa berjalan dari rumah  ke rumah di bawah terik matahari. Sedangkan anak aku duduk santai di dalam rumah dengan kipas dan aircond. Jadinya aku tak boleh samakan dengan anakku yang sudah mampu berpuasa pada umur yang sama. Melihat tangannya memegang botol mineral kosong membuatkan aku terpanggil untuk mengisikan air ke dalam botol kosongnya itu. Mereka pun berlalu pergi dengan ucapan terima kasih selepas aku memulangkan botol air yang sudah di isi dan beberapa peket biskut kepada mereka.  

Ada orang kata jangan percaya sangat dengan orang yang minta derma seperti ini. Mungkin ada sindiket di sebaliknya. Orang kata, sindiket ini menjadi-jadi kerana masih ramai yang tidak kisah untuk terus menghulurkan bantuan untuk mereka. Entahlah, pada aku kita derma seikhlas hati kita. Kalau memang sindiket aku tetap halalkan. Itu antara mereka dengan Allah. Tapi kalau bukan sindiket tentu lebih kasihan. Mereka yang memerlukan bantuan tidak di bantu. Kalau bukan kita sesama islam yang membantu siapa lagi kan. Tentu lebih buruk keadaannya kalau orang luar yang ada agenda membantu mereka. Sumbangan kita mungkin sedikit, namun siapa tahu mungkin sumbangan yang sedikit ini dapat membantu mereka dan menyelamatkan akidah dan pegangan agama mereka. InsyaAllah.

Thursday, August 18, 2011

Poster 54 tahun..

Salam semua..

Hari ni nak share poster sempena 54 tahun Malaysia Merdeka yang di buat oleh Han dan kawan-kawannya di sekolah. Aku yang memang tak reti melukis ni memang kagum sangat tengok lukisan tu. Pada aku poster ni cantik. Orang-orangnya dilukis seperti watak anime. Bila aku menunjukkan rasa kagum tu Han kata Mama tahu tak ma, ramai sangat yang pandai lukis kartun anime macam ni di sekolah. Oh ye ker. Bagusnya kan. Han pun ada belajar melukis kartun anime macam ni. Tapi masih tak mahir lagi. Poster ni kawannya yang lukis. Han dan temannya yang seorang lagi cuma tolong warnakan saja. Dah terasa kemeriahan menyambut Merdeka sekarang ini kan..

Sama-samalah kita menghargai KEMERDEKAAN ini dengan bersatu padu.

Wednesday, August 17, 2011

Peristiwa menakutkan subuh ini..

Ketika aku menaip entry ini, tanganku masih mengigil-gigil lagi...

Dalam bulan ramadhan ini memang menjadi kebiasaanku sementara menunggu azan subuh aku menjemur pakaian di dalam pagar belakang rumah. Subuh ini, rutinku juga sama. Seperti biasa tanpa membuka lampu luar kerana cahaya dari dapur sudah melimpah ke luar, aku melakukan rutin harianku.(Aku tidak membuka lampu kerana walaupun aku memakai tudung tapi t-shirtku selalunya berlengan pendek pada waktu itu).Setelah dua tiga kali berulang antara mesin basuh dan ampaian aku terperasan seseorang yang sedang bersandar rapat di belah luar pintu pagar belakang rumah jiran sebelah. Itupun setelah dia menjenggukkan sedikit kepalanya. Memang hampir tidak perasan. Berderau darahku. Entah berapa lama dia di situ sememangnya aku tidak perasan kerana keadaan masih kelam dan cahaya dapur hanya sedikit terbias ke rumah sebelah. Aku terus masuk ke dapur,menarik pintu grill dan berdiri di situ.

Terperanjat sungguh aku. Nak menjerit (kerana aku tidak cam wajahnya) takut-takut orang itu jiran keliling yang berjalan di luar walaupun memang selalunya tiada jiran yang akan berada di kawasan itu waktu itu. "Awak buat apa di situ?" Soalku cuba melindungi rasa takut. "Saya tak buat apa-apa. Saya hanya berdiri di sini." Suara budak melayu yang kedengaran. Bukan indon mahupun bangla. Dalam 19-20 tahun kot. Waktu itu memang aku perasan tangannya sedang mengosok-gosok @#*nya. Melihat keadaan itu aku segera menjerit memanggil nama en.asben berkali-kali di samping mahu menunjukkan yang ada orang lain di dalam rumah. (Tapi memang mustahil untuk en.asben mendengarnya kerana dia sedang mandi di bilik air di dalam bilik tidur kami di tingkat atas). Jadinya aku menjerit memanggil emak pula dengan mengatakan ada orang di luar. Emak terus membuka lampu luar.

Bila emak keluar, orang itu masih lagi di situ. Dia mengangkat tangannya sambil mengatakan "Saya tak buat apa-apa ye. Saya cuma berdiri di sini." Saat itu dia sudah bergerak  menjauhi pintu pagar rumah sebelah. Dan semakin menjauhi rumahku.  "Awak buat apa di situ tadi?" Soalku lagi. Kali ini memang dengan nada garang. "Saya tak buat apa-apa. Saya cuma buat ini.. Saya tak kacau awak pun." Ulangnya beberapa kali sambil tangannya memegang @#*nya. Sangat kurang ajar. Kenapa dia perlu buat perkara itu di situ. (Mungkin takut disyakki pencuri dia berterus terang saja). Aku terus menjerit memanggil en.asben sekali lagi. Bila en.asben tidak muncul aku minta emak tunggu di situ sementara aku berlari memanggil en.asben yang sedang mandi turun. Ketika kami turun dia sudah berlalu dari situ. Jiran sebelah yang juga perasan tentang perkara itu bila mendengar jeritanku dan melihat kelibat orang itu bertanyakan apa yang terjadi dari dalam rumahnya sebelum dia juga ikut keluar. Waktu itu orang itu memang sudah tiada di situ. Waktu jiran menjengguk dia nampak orang itu sedang mengambil basikalnya di hujung jalan belakang sambil mengangkat-angkat tanggannya tanda dia tidak berbuat apa-apa. (mungkin dia meninggalkan basikalnya di situ sebelum memusing mengambil basikalnya semula).

Sungguh menakutkan. Alhamdulillah, tiada apa yang lebih buruk berlaku. Harap-harap perkara yang sama tidak berulang lagi. Aku terfikir andai orang itu hilang kawalan dan hanya aku seorang saja pada waktu itu entah apalah yang terjadi. Pastinya akan berlaku perkara yang lebih menakutkan lagi. Nauzubillah. Minta dijauhkan dari sebarang musibahMU. Semoga kami semua sentiasa dilindungi olehMU Ya ALLAH. Hanya padaMU kami memohon perlindungan.

Tuesday, August 16, 2011

Melawat teman blogger di Hospital..

Sejak dua menjak ini memang tak berapa dapat melawat ke blog rakan-rakan yang menjadi kunjungan harian. Di samping masa yang tak mengizinkan, faktor mereka yang sudah bertukar ke dot com juga membuatkan aku tidak dapat masuk ke blog mereka. Di rumah pula malam memang lagi laju cari bantal dari cari lappy. Makanya banyak cerita teman-teman yang aku terlepas.

Malam tadi baru dapat buat kunjungan. Barulah aku tahu cerita yang seorang teman blogger yang agak rapat denganku ini demam. Jadinya pagi tadi aku sms bertanyakan tentang kesihatannya. Rupanya dia sudah di masukkan ke Hospital Serdang kerana demam denggi beberapa hari yang lalu.

Memandangkan Hospital Serdang tu cuma 5 minit dari pejabat, makanya memang sungguh tak patut kalau aku tak pergi melawat bila dah dapat tahu. Makanya rehat tengah hari tadi aku ke Hospital Serdang melawat teman blogger yang kena demam denggi tu. Dapatlah kami berbual-bual seketika. Alhamdulillah demamnya sudah beransur sembuh dan InsyaAllah akan dibenarkan pulang pada petang ini.

Untuk Kak Liza - Adzriel AB  saya doakan semoga akak cepat sembuh sepenuhnya. Take care yer.

Monday, August 15, 2011

Alhamdulillah.. dah ada..

Petang semalam kami sekeluarga ke Jusco Taman Equine untuk beli baju raya anak. Lalu depan Popular Bookstore nampak novel saya sudah berada di atas rak buku. Alhamdulillah. Seronok tak terkata sebab bagaikan bermimpi melihatnya. Dengan muka tak malu minta en.asben tolong snapkan gambar-gambar ni buat kenangan. Iyelah, pertama kali. Tentulah teruja kan. (Teruja juga untuk abadikannya di sini). En. asben dan adik-adikku siap beli lagi. Terharunya. Tentulah sebagai tanda sokongan mereka padaku. Terima kasih..



Pastinya saya akan lebih teruja andai ada yang sudi untuk memilikinya juga nanti he..he..  Kepada yang sudah memilikinya, terima kasih banyak yer. Selamat membaca. Nanti bolehlah berikan komen mengenai karya pertama saya ini. (Pada teman-teman yang masih tak dapat cari novel ni, harap-harap dalam minggu ini Novel TFT sudah ada di kedai buku berhampiran anda).

Friday, August 12, 2011

Drama air mata sahur..

Salam Ramadhan ke-12 untuk semua..

Hari ni nak cerita kerenah budak sorang ni waktu sahur. Bila kejut bangun sahur saja mesti menangis. Berlinang-linang airmata. Kalau tak menangis pun dia buat-buat lembik. Kat meja makan buat muka sedih. Sebabnya bukan dia tak mahu bangun sahur. Bukan juga sebab dia tak mahu berpuasa. (Alhamdulillah, setakat ni masih penuh puasanya). Kerenahnya itu cuma kerana dia tak mahu makan nasi. Macam kena siksa kalau suruh makan nasi.

Hari-hari biasa memang dia kurang makan nasi. Dalam seminggu tu adalah 2, 3 kali dia makan nasi. Itu pun secuit saja. Dia lebih suka roti dan oat. Kalau hari biasa tu aku tak kisah sebab dia berulang makan. Bulan puasa ni aku naklah dia makan yang berat sikit biar bertahan sehingga ke waktu berbuka. Tapi memang puas paksa. Sudahlah waktu berbuka memang dia tak heran nasi. Makan roti, karipap, ayam goreng tu memang dah cukup untuk dia. Jadinya bila sahur aku mahulah dia makan nasi pula. Tapi memang selalu dia reject. Itu yang kerap ada drama air mata waktu sahur tu.

Waktu mengandungkan dia, memang aku tak lalu makan nasi. Dekat 3 bulan tak boleh nak sentuh nasi. Ada kena mengena ke perkara tu dengan dia yang tak lalu nasi juga sekarang ni?

Hero drama air mata sahur..

Thursday, August 11, 2011

Sejuk vs Panas

Kat dalam ni sejuk benar..
Mengigil-gigil rasanya..
Kaki dan tangan dah rasa kebas..
Kalaulah dapat duduk kat tempat panas..
Alangkah seronoknya..

Kat luar tu panas betul..
Berkuap rasanya..
Kaki dan tangan dah rasa perit..
Kalaulah dapat duduk kat tempat sejuk..
Alangkah indahnya..

Setiap perkara itu satu anugerah untuk kita..
Apa yang kita dapat mungkin harapan bagi orang lain..
Apa yang kita harapkan mungkin orang lain yang dapat..
Bersyukur adalah yang sebaiknya kan..

ALHAMDULILLAH

Tuesday, August 9, 2011

Aku anak yatim..

InsyaAllah, petang nanti ada majlis berbuka puasa bersama-sama anak-anak yatim di tempat kerja ku. Sejak semalam anak-anak itu sudah berada di sini. Kehadiran mereka mengingatkan aku tentang entry yang aku publishkan setahun yang lalu bertajuk AKU ANAK YATIM.
---------------------------------------------------------------------------------------------

1 sept ni genaplah 25 tahun arwah ayah meninggalkan kami sekeluarga. Maknanya sudah 25 tahun aku kehilangan ayah tersayang. Dan 25 tahun jugalah aku menjadi anak yatim. (walaupun dalam usia begini aku sudah tidak layak menerima bantuan untuk anak2 yatim...) Rindunya aku pada arwah hanya Allah yang tahu.

1985
Arwah ayah meninggal dunia pada usiaku 9 tahun, masa tu aku darjah 3. Adikku Fid 7 tahun dan adikku Rit 3 bulan. Sedih... sedih sangat waktu tu. Iyelah kita orang adik beradik masih kecil lagi waktu tu. Dan adikku Rit langsung tidak dapat mengenali ayah. Lebih sedih bila arwah ayah meninggal di hadapan mataku. Walaupun aku tidak mengadap sewaktu ayah menghembuskan nafas terakhirnya, tapi aku berada di situ saat arwah diserang serangan jantung yang pertama dan terakhir untuknya. Aku dapat lihat arwah memegang dadanya sebelum jatuh. Aku mengigil ketika arwah kancing gigi. Aku berdebar ketika ramai orang mengerumuninya. Dan aku melarikan diri mendapatkan pakcikku bila aku menjadi terlalu takut untuk melihat arwah begitu. Aku tidak sanggup untuk menghadapi keadaan itu. Waktu itu sudah terdetik di hati ini yang mungkin ayah akan meninggalkanku untuk selama-lamanya. Walapun perkara itu ialah perkara yang paling aku tidak mahu ianya terjadi dalam hidupku. Namun Allah lebih menyayanginya. Arwah ayah pergi jua beberapa minit selepas itu...

Dua tiga hari sebelum itu
Aku masih ingat lagi saat itu. Kami berpegangan tangan berjalan menuju ke kedai. (Hubungan kami memang cukup mesra. Dan aku sememangnya anak manjanya). Dalam perjalanan itu ayah bertanya padaku adakah aku sayang padanya? Aku menjawab YA. Dengan bersungguh aku mengangguk sambil memeluk erat pinggangnya. Ayah membalasnya dengan memeluk kemas bahuku. Sungguh, sampai saat ini aku masih dapat merasakan hangatnya pelukannya itu.

Beberapa minit sebelum itu

Arwah ayah masih lagi berbual mesra denganku. Arwah masih perihatin tentang keselesaanku. Arwah masih memegang erat tanganku seperti selalu. Arwah tidak lupa memeluk bahuku dengan penuh kasih sayangnya. Tidak ku sangka itulah kenanganku yang terakhir bersamanya. Dan aku sudah tidak dapat merasakannya lagi selepas itu dan sehingga ke hari ini. (I really miss him so badly)

Beberapa hari selepas itu

Arwah ayah meninggal dunia di rumah saudara kami yang juga merupakan sahabat baiknya di Shah Alam. Jenazah arwah kemudian diuruskan oleh adik arwah ayah yang tinggal di Shah Alam. Selepas selesai urusan pengebumian di tanah perkuburan Seksyen 21, Shah Alam, aku, emak, Fid dan Rit empat beranak pulang ke Batu Pahat (Menghabiskan sesi persekolahan selama beberapa bulan untuk tahun itu sebelum kami berpindah ke Bangi). Waktu itu kesedihanku tidak lama. Aku masih tidak benar-benar memahami rasa kehilangan itu. Yang aku tahu, aku sudah tiada ayah lagi. Dan yang pastinya aku sudah bergelar anak yatim. Itu saja. Terus terang aku katakan, waktu itu aku lebih sedih untuk menerima gelaran itu. Aku malu untuk ke sekolah. Aku takut andai aku diejek dengan gelaran itu. Sebenarnya malu dan takut aku itu bersebab. (Waktu itu di sekolah ada seorang teman sekelas yang memang suka mengejek kawan-kawan yang lain. Biasalah budak-budak. Mungkin telatahnya sekadar untuk mengusik. Tapi orang yang menerimanya merasakan usikkannya itu seperti mengejek.) Jadi tentulah aku jadi takut untuk menghadapinya di sekolah. Namun tidak ku sangka, apa yang aku takutkan tidak berlaku. Ini bukanlah kerana dia bersimpati denganku. Juga bukan kerana dia sudah berubah menjadi budak yang tidak suka mengusik. Tapi ini adalah kerana dia juga ditakdirkan turut menjadi anak yatim sepertiku. (Arwah ayahnya juga meninggal dunia pada hari yang sama ataupun hari sebelum atau selepas hari kematian arwah ayahku. Aku tidak pasti tentang tarikh sebenarnya. Tapi yang aku pasti memang sepanjang waktu aku bercuti itulah). Disebabkan kami senasib, maka tiadalah ejekan yang aku terima di sekolah. Dan gelaran Anak Yatim itu sudah tidak lagi membuatkan aku jadi takut, malu dan rendah diri untuk menyandangnya. Apa yang pasti aku sudah dapat menerima kenyataan yang aku sudah menjadi anak yatim selepas aku kehilangan insan kesayangan yang kasih sayangnya tetap subur di hatiku sehingga ke detik ini. Al-fatihah untuk arwah ayahku. Semoga arwah ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman. Semoga rohnya tenang di sana. I love u so much Ayah...

Monday, August 8, 2011

2 pertama kali...

Hari sabtu lepas pertama kali berpuasa kat rumah untuk ramadhan tahun ini. Barulah terasa macam betul-betul berpuasa. Panasnya, dahaganya, penatnya semua cukup. Kalau kat ofis selalunya memang tak terasa semua tu. Kebetulan pula hari sabtu tu kami ajak mertua, adik beradik aku, adik beradik en.asben, keluarga makcik dan pakcik yang duduk dekat Bangi berbuka di rumah. Jadinya memang terasa lebih sikitlah letihnya. Meriahnya waktu berbuka ramai-ramai diramadhan ke-6 itu. Semua ada kecuali keluarga kakak en.asben yang balik kampung mertuanya.

Lepas kemas rumah, bawak emak pergi beli barang-barang nak masak. Singgah situ, singgah sini sampai tengah hari juga berada kat luar. Balik rumah nak siap-siap masak pula. Walaupun tak sebanyak mana menunya tapi dah nama ajak orang datang makan kat rumah kan, sampai ke petang jugalah duduk kat dapur tu. Kalau selalu tengok-tengok jam dah masuk waktu berbuka. Hari sabtu tu terasa lama pula masa berlalu.

Masuk waktu berbuka memang aku serbu air dulu. Terus minum dua mug air yang berais sejuk untuk menghilangkan dahaga. Disambung dengan bergelas-gelas mug air lagi selepas itu sehingga ke malam. Sudahnya sampai ke hari ini hidung ni sok sek sok sek. Bersin pun agak kerap. Memang mencabar betul bila kena demam selsema waktu berpuasa ni. Badan terasa letih lesu jadinya. Itulah bahanaya bila berlebih-lebihan kan. Lepas ni kena beringat sikit.

Oh ye, nak cerita juga tentang pertama kali yang lagi satu ni. Setelah setahun lebih baru minggu sudah aku dapat BE. Sekali dua pulak tu. Alhamdulillah... Rasa macam tak percaya saja. Seronok sangat rasanya. Selalu bila dengar orang lain bercerita dapat BE pun aku dah tumpang suka. Bila dapat sendiri barulah aku tahu bagaimana rasanya. Memang seronok. Terima kasih Nuffnang.

Friday, August 5, 2011

Jangan... tapi..

Jangan balas BALIK... Tapi balas BAIK..

Itulah yang aku dapat dalam majlis tadarus Al-quran di surau pejabat semalam. Semalam kami membaca surah Al-Fusilat. Seronok bertadarus bila di pimpin oleh ustaz ni. Ada ayat-ayat tertentu yang diterjemahkan maknanya dan diberikan penerangan. Semalam ustaz ada menerangkan tentang ayat 34 dalam surah tersebut.

Memang kita dituntut untuk tidak membalas kejahatan orang kepada kita. Malah kita dituntut untuk membalas kejahatan dengan kebaikan. Bukannya membalas balik kejahatan itu. Bila kita membalas dengan kebaikan, seterusnya orang yang membuat kejahatan kepada kita itu akan menjadi seolah-olah sahabat yang karib kepada kita. Dan perkara itu hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang sabar.

Harap-harap kita dapat menjadi orang-orang yang sabar itu. Yang dapat menolak kejahatan dengan cara membalasnya dengan kebaikan, InsyaAllah. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk kita bersama.

Thursday, August 4, 2011

Silent treatment..

Salam semua..

Kita layan tajuk omputih hari ni he..he.. Bila bulan puasa ni nak cakap banyak-banyak rasa macam tak best pula. Kalau bercakap benda yang baik-baik tu takpe juga. Tapi kalau bercakap benda yang tak elok, bukan setakat kita jadi tak seronok. Orang yang mendengar juga turut rasa tak seronok. Jadinya, sesekali berdiam ada kebaikannya juga kan.

Kelmarin waktu kelentung kelentang menyediakan juadah berbuka, mulutku sama riuh juga mengagih-agihkan tugas untuk anak-anak. Iyelah, lepas berbuka dan solat maghrib nanti nak ke surau pula. Jadinya bila semuanya dapat disiapkan awal tentulah lebih bagus. Untuk buat segalanya sendiri memang aku tak berkesempatan. Jadinya aku perlukan bantuan dari anak-anak. En.asben memang terkecuali sebab balik dari ofis pun selalunya lambat.

Han aku minta tolong simpankan kain yang dah berlipat ke dalam almari. Is pula aku minta tolong bawa turun bakul kain kotor ke bawah untuk masukkan ke dalam mesin basuh. Okey, tugasan terlaksana. Selalunya bila aku minta tolong Is bawa turun bakul kain kotor memang dia akan tahu sendiri untuk terus masukkan ke dalam mesin basuh. Tapi mungkin sebab penat berpuasa, dia hanya letakkan bakul itu di tepi dapur. Melihat bakul itu di situ maka aku panggil namanya sekali lagi untuk tolong terus masukkan ke dalam mesin basuh seperti biasa.

Bila namanya lebih banyak dipanggil dari orang lain membuatkan dia jadi tidak puas hati. Macam dia kena buat tugas lebih. Sedangkan bukan buat kerja lebih pun. Sekadar menghabiskan kerja yang dibuat separuh jalan. Dia melakukan juga tugasannya. Tapi mulutnya mengomel. Muka pun masam mencuka.Aku pun cakaplah elok-elok. Mama kan tengah masak ni. Jadi mestilah mama nak minta abang tolong mama. Kalau abang penat mama pun penat juga. So kita buatlah kerja sama-sama. Is terus muncung.

Asyik abang aje kena buat semua. Balasnya. Apa pulak abang aje kena buat semua. Kakak pun mama minta tolong susunkan baju. Sebab Han di atas jadinya dia ingat Han tak buat apa-apa kerja. Dia pun terus diam. Mungkin baru sedar kesilapannya. Bila dia dah diam aku pula masih mahu terus bercakap. Kalau abang tak mahu tolong mama takpelah. Biarlah mama buat semuanya sendiri. Abang duduk aje. Mama tak payah suruh dah. Is terus diam dan berlalu ke depan.

Sepuluh minit sebelum waktu berbuka, masa aku mengemas dapur Is datang padaku. Cakap pun elok-elok. Mama, lagi sepuluh minit lagi nak buka. Tentulah dia mahu memujuk mamanya ini. Aku diam saja. Silent treatment dah berlangsung. Nak dekat masuk waktu berbuka aku minta Az panggilkan en.asben di atas. Tapi biasalah Az ni liat sikit. So Is pun ambil kesempatan tu untuk lebih dulu pangilkan ayahnya. Bila Is dah panggilkan ayahnya aku minta Az kutip mainan yang ditinggalkan oleh anak-anak buahku. Sekali lagi Is yang lebih dulu melakukannya.

Di meja makan Is tak berani nak minta apa-apa dariku. Tapi aku tetap sendukkan lauk untuknya seperti biasa. Layan macam biasa. Cumanya aku diam saja. Lepas makan memang selalunya aku agih-agihkan tugas juga. Anak-anak tengah naik kan. Semuanya perlu di ulang-ulang cakap. Angkat pinggan kotor, kemaskan meja, lap meja dan sebagainya. Aku memang buat tugas rasmi iaitu mencuci pinggan. Kali ini nama Is tidak tersenarai dalam pengagihan tugas itu. Tapi dia pun turut sama menghulurkan bantuan.

Aku tersenyum dalam hati. Alhamdulillah. Berjaya juga silent treatment aku tu mendidik dia. (Emak juga pernah didik aku dengan cara yang sebegitu dulu-dulu. Sekarang aku gunakan untuk anak-anakku pula.) Semalam aku tiada masalah nak buat agihan tugas seperti biasa. Walau pun penat dia buat juga tugasan tanpa runggutan. Tapi tak tahulah berapa lama bertahan. Harap-harap berterusan. Bukan senang tugas nak mendidik anak-anak ini kan.

Tuesday, August 2, 2011

Waktu berbuka dan imsak...

Alhamdulillah.. Hari ini sudah 2 ramadhan. Rutin harian mula berubah. Namun ianya sangat menyeronokan. Acara bertadarus Al-quran bersama teman-teman sepejabat yang di pimpin oleh ustaz-ustaz tempat kami mula berlangsung pada waktu tengah hari sehingga ke waktu zohor. Walau tidak ramai yang menyertainya, namun acara tadarus tetap berjalan lancar.
 
Berbuka puasa sekeluarga rasa sangat meriah walaupun makanan tidak sepenuh meja. Bagusnya bila surau menjadi penuh dan padat untuk solat isyak dan tarawikh berjemaah. Harap-harap suasana sebegitu berterusan sehingga ramadhan terakhir. Indahnya perasaan bila dapat bangun pagi-pagi untuk menyediakan juadah sahur yang ringkas dan panas untuk suami, emak dan anak-anak.

Seronok rasanya dapat berkongsi cerita berpuasa zaman sekolah dulu semalam. Ramai juga yang mengalami kisah yang sama. Bestkan zaman tu. (Sekarang pun best juga cuma keadaanya lain sikitlah). Hari ini nak tambah satu lagi yang aku tertinggal nak bercerita semalam. Kalau dulu, memang suka sangat menunggu dan mengadap siaran waktu berbuka dan imsak untuk setiap tempat mengikut negeri di Malaysia.

Bukan saja waktu untuk tempat kediaman kita yang menjadi perhatian. Waktu di kawasan lain juga aku dan adik-adikku suka nak ambil tahu. Sibuk juga nak tahu jadual berbuka dan imsak untuk Tok di Taiping, untuk makcik di Melaka dan saudara-saudara lain di tempat lain. Bila jadual untuk Negeri Sabah dan Sarawak dipaparkan, terus rasa macam nak berpindah ke sana sebab waktu berbukanya lebih cepat dari tempat kita he..he..

Sekarang ini jarang benar nak tengok siaran waktu berbuka dan waktu imsak itu di tv. Ini kerana sejak awal-awal lagi teman-teman sudah e-mailkan jadual untuk waktu-waktu tersebut bagi sepanjang bulan ramadhan. Masuk ramadhan tinggal print dan tampalkan di pintu peti ais saja. Bolehlah buat rujukan untuk sepanjang bulan.

Tapi satu yang masih bertahan ialah aku masih juga nak ambil tahu jadual berbuka untuk tok, makcik dan saudara-saudarku yang lain. Jadual untuk Sabah dan Sarawak pun aku nak ambil tahu jugak. (Itupun kalau dapat jadual dengan versi lengkap untuk seluruh Malaysialah. Kalau tidak tu tak dapatlah nak menyibuk nampaknya he..he..).

Monday, August 1, 2011

Puasa zaman sekolah..

Hari yang indah. Alhamdulillah, dapat lagi kita bertemu dengan ramadhan tahun ini. Kemeriahan ramadhan mula terisi dengan solat tarawikh berjemaah di surau malam tadi. Kemudian disambung dengan bersahur pagi tadi. Harap-harap kita akan terus kekal bertenaga sehingga ke waktu berbuka nanti. Kita ni selalunya tiada masalah. Anak-anak yang kita risau sikit. Maklumlah hari pertama. Mujur hari ni sekolah cuti. Jadinya cabaran berpuasa untuk anak-anak tu mungkin kurang sikit kalau di rumah.

Teringat waktu puasa zaman anak-anak sekolah dulu. Selalunya bila waktu tengah hari tu memang melepek betul. Asyik nak berkumur saja. Berkumur pula dengan air dari peti sejuk. Kalau di sekolah pula sibuk dok beli ais dalam plastik buat tuam muka dan leher. Macamlah buat macam tu boleh hilangkan dahaga. He..he.. tapi sebab ramai yang buat, aku pun ikut sama buat.

Bila tengok teman-teman cina yang bawak botol air besar tapi tak minum air tu, selalu rasa ruginya mereka tak minum. Bila nampak mereka buang air dari dalam botol tu ke tanah terus rasa tertelan-telan air liur ni. Macam air kosong tu sedap benar rasanya. Bila dah dahaga tu kan, air kosong pun nampak macam air sirap.

Balik sekolah mesti kena tidur. Macam kalau tak tidur tu tak berdaya sangat nak tunggu waktu berbuka. Bangun tidur kena tengok cerita rumah kedai. Lepas tu tengok cerita wardah pula. Cerita yang sinonim dengan bulan ramadhan zaman aku sekolah-sekolah dulu. Tujuannya untuk menghilangkan rasa lama lagi nak tunggu waktu berbuka.

Sebenarnya memang banyak lagi nostalgia waktu ramadhan dulu-dulu. Tapi sebab hari ni baru hari pertama, makanya cukuplah sikit-sikit dulu bercerita di sini. Yang lain tu kita simpan dulu. Selamat berpuasa yer. 

Positif juga akhirnya..

Bismillahirahmanirrahim. Assalamualaikum.. 23/2/2022 - Az sakit kepala. Sakit kepala sangat agaknya sampaikan dia turun bawah terus baringka...