Drama mengejutkan pembunuhan wanita seorang wanita Muslim akibat prejudis kini semakin menarik perhatian dunia Islam selepas pembunuhnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol pada Rabu, 11 November di Jerman.
Di Mesir hari ini, Marwa al-Sherbini, yang dibunuh kejam di Dresden, Jerman kini dikenali ramai sebagai tokoh yang syahid kerana pemakaian hijabnya.
Berita hukuman penjara seumur hidup ke atas pembunuhnya selepas perbicaraan dua minggu mendapat tempat istimewa di saluran televisyen nasional Mesir.
Di Berlin, duta mesir ke Jerman, Ramzi Izzudin memberitahu media pembunuh Marwa, Alexander Wiens telah menerima "hukuman paling keras."
Jurucakap kementerian luar Mesir, Hossam Zaki menerima berita hukuman itu senang, menegaskan bahawa "keadilan telah terlaksana" dan hukuman itu merupakan "satu amaran kepada mereka yang terdorong oleh kebencian."
Wiens, warga Jerman berketurunan Rusia menikam Marwa sekurang-kurangnya 16 kali di sebuah mahkamah di Dresden Julai lalu, ketika wanita itu memberi keterangan terhadap beliau dalam satu kes fitnah.
Wiens memanggil Marwa "teroris" dan "Islamis" - istilah popular yang membawa konotasi negatif walaupun masih didebatkan penggunaannya oleh komuniti akademik - di sebuah taman permainan kanak-kanak hanya kerana wanita Muslim itu memakai tudung.
Marwa ketika itu meminta Wiens memberi ruang untuk anak lelakinya, Mustafa yang berusia tiga tahun untuk bermain di buaian.
Marwa, ahli farmasi berusia 31 tahun sedang hamil tiga bulan ketika dia dibunuh. Anaknya ada bersama di mahkamah tersebut ketika itu, dan suaminya ditikam dan secara tidak sengaja ditembak oleh seorang pengawal Jerman ketika cuba membantu.
Mustafa hanya mampu melihat ibunya ditikam dengan kejam oleh Weins.
Suami Marwa, Alwi Akaz, kini tempang akibat kecederaan dialami dalam insiden itu.
Perincian kejadian itu mengejutkan warga Mesir dan tercetus kemarahan terhadap tindak balas perlahan pihak berkuasa Jerman menghulurkan simpati dan menangani dakwaan Islamofobia.
Hakikat bahawa suami Marwa ditembak kerana disangka penyerang mendedahkan prejudis yang wujud di negara Eropah itu.
Seminggu selepas kejadian, pemimpin Jerman, Canselor Angela Merkel mengucapkan simpati kepada Presiden Mesir, Hosni Mubarak, tetapi Merkel tidak membuat komen secara terbuka.
Pada masa sama, ribuan menghadiri pengkebumian Marwa di kampung halamannya di Iskandariah. Ramai membawa kain rentang dengan slogan menuntut pembalasan.
Ada juga yang berdemonstrasi di luar kedutaan Jerman dan di Masjdi al-Azhar di Kaherah, dengan sebilangan mencela Jerman sebagai "peradaban zalim" dan menjeritkan tuntutan hak asasi dan keadilan.
Perbicaraan Wiens mendapat liputan luas media Mesir, dan sekumpulan peguam Mesir hadir di Dresden dan dibenarkan mengemukakan hujah perundangan.
Beberapa orang tokoh perundangan Mesir memuji keputusan mahkamah Jerman menjatuhkan hukuman ke atas Wiens, tetapi ramai warga Mesir melahirkan perasaan alangkah baiknya sekiranya Jerman melaksanakan hukuman mati.
Suami Marwa memberikan keterangan yang meruntun jiwa, menceritakan bagaimana anaknya, yang kini tinggal di Mesir bersama keluarganya, merindui ibunya.
Alwi sekeluarga berpindah ke Jerman untuk dia meneruskan kajian doktoral biologi melekul tetapi kini melahirkan kemungkinan akan meninggalkan Dresden.
Tarek Sherbini, abang Marwa, berkata "imej rakyat Jerman sangat buruk" ekoran kejadian serangan itu dan mendakwa kejadian itu menunjukkan kebencian terhadap Muslim.
Hubungan Jerman dengan Mesir dan dunia Islam mampu terjejas akibat kejadian ini, terutama sekiranya reaksi lanjutan tercetus dan membakar sentimen.
Jerman didiami oleh 4 juta Muslim, komuniti Muslim kedua terbesar di Eropah Barat selepas Perancis.
Sebagai memperingati wanita digelar "Syahidah jilbab" ini, nama Marwa kini dirancang untuk dijadikan nama jalan di Iskandariah, Mesir. (BBC, Agensi)