Selasa, 26 Mei 2015

Korek Si Diri


Bila koreksi diri, banyaknya kutemui kekurangan & kekhilafan diri, lantas aku merasakan tidak pantas untuk aku bersedih dengan segala hadiah ujian dariMu kerana aku yakin , aku pasti itulah tanda aku masih diberi peluang untuk kembali padaMu sebelum tiba satu saat aku pergi tak akan kembali.
Solat . Sabar . Senyum . Syukur .
Redha . Qanaah . Ikhlas .


Subhanallah, lama sangat tidak menulis. 

Ya, aku sengaja tidak menulis kerana rohaniku tidak bersedia. 

:)

Bila seseorang tenggelam dalam sebuah dosa, lidahnya tidak akan sanggup melarang orang lain daripada melakukan dosa yang sama, apatah lagi untuk bersikap tegas.
Kalau ingin bicara tanpa beban, bebaskan dulu diri sendiri dari dosa yang membelenggu supaya diri tidak merasa hipokrit !

Dosa atau maksiat itu menghambat urusan dunia, agama, dan akhirat. Dalam urusan dunia, rezeki menjadi terhalang. Dalam urusan agama, ilmu dan al-Qur'an yang sudah dihafal menjadi lupa. Dalam urusan akhirat, jelas sekali celaka menanti. Tidak ada untungnya berbuat dosa, baik dari segi dunia, agama dan akhirat. Kecuali hanya pemuasan nafsu semata-mata !


Allahurabbi. Aku tahu, aku banyak khilaf.
Aku tahu, aku bukanlah orang yang baik tetapi aku berusaha mendidik jiwaku untuk menjadi baik biarpun aku sering tewas.

ya, aku tahu aku memang banyak khilaf dan aku mohon seinfiniti kemaafan .

:)

Khamis, 17 Julai 2014

Sepi Menemani Diri

( Cetusan rasa , sebab aku tidak tahu mahu menulis apa )

Pahlawan Gaza , mujahideen fi sabilillah .
Izzuddin Al-Qassam & Saraya Al-Quds
Setiap hari, lagu mujahidin Al-Qassam menjadi halwa telinga saya.
Ya, dengar untuk menaikkan semangat dan untuk mengetuk diri bahawa
saudara kau di sana lebih dahsyat ujiannya.



Seringkali kita lihat, anak sulung dan anak kedua, karakternya berbeza.
Sepanjang pemerhatian saya dan adik-beradik saya, kami tidak pernah jumpa anak sulung dan anak kedua yang sama karakter.
Satu perkara yang saya perasan, walau berbeza karakter, tapi  tetap mesra.
Tapi, ada juga yang macam anjing dengan kucing.
Saya dan kakak.
Kakak saya , dari luaran nampak ketegasannya, tapi hati sangat lembut. Mudah menangis, walaupun di hadapan manusia lain.
Saya, orang nampak lembut, tapi hati keras. Ego. Menangis? Saya sedaya upaya cuba menahan air mata daripada mengalir dihadapan manusia lain walau saat itu hati remuk redam.
Cuma dia yang saya berani mengalirkan air mata dihadapannya, kerana saya tenang bersamanya.

Rasanya, kali ini saya mahu membisu. Bukan menyepikan diri selamanya.
Tapi, mahu membawa diri, mengubat hati .
Pusat Tahfiz – Suluk – Pondok .
Antara tiga target tempat utama yang saya mahu jejakkan kaki.
Pusat Tahfiz – Mengajar sambil belajar Ilmu Quran
Suluk – Tazkiyatun Nafsi
Pondok – Menadah kitab-kitab : Aqidah, Feqh dan Akhlak

Kerana saya tahu, Allah menghilangkan ilmu-ilmu atas muka bumi ini dengan asbab kehilangan ulama’. Saya , sering punya persoalan-persoalan agama yang  bermain di benak fikiran. Ya, selain merujuk alim ulama’ lebih baik saya juga terjun dalam bidang pengajian.
Diajar sambil belajar.
Di pusat tahfiz, saya mahu mendalami ilmu Al-Quran.
Ya, ilmu Al-Quran sangat luas . Tajwid, Tarannum, Tafsir dan banyak lagi.
Untuk kesemua tempat ini, saya mesti memohon restu daripada mak abah dan orang-orang yang dekat dengan saya.

Satu harapan, moga-moga dengan asbab semua ini, saya lebih mengenali Allah, redha dengan aturannNYA, hati lebih tenang, tahu tipu daya syaitan dan jauh dari dosa-dosa baik yang kecil / besar, zahir / batin.
Pengakhirannya, kembali padaNYA dalam keadaan husnul khatimah.


Nota hamba :
Sebenarnya, ini entry lama. Saya terjumpa dalam draf blog. Saya nak mencari sesuatu buat diri.
Saya nak mengubati hati. Saya nak cari tempat yang menenangkan diri . Saya nak cari tempat yang boleh menjernihkan hati nurani. Saya nak pergi jauh dari hiruk pikuk manusia . Saya mahu ditemani alam dan pencipta saya sendirian. Sebab saat ini, terlalu banyak perkara yang bermain dalam fikiran saya.

Oh, ya! Nukilan di bawah ini, nukilan lama. Tiada kena mengena dengan situasi sekarang.

 Buatmu teman, aku mohon maaf jika ada khilaf aku padamu. 
Saat ini, biarlah doa menjadi penghubung. 
Tapi aku yakin, Allah sentiasa ada untuk kalian.
Yusuf : 86 , Allah kuatkan aku. Tangisan ini,sarat dengan kerinduan. Biar aku susah mempamer perasaan, tapi lubuk hatiku, memendam kepiluan.


If u know how i miss u too, u will ask me to miss you less.

Sahabat, aku harus terima kenyataan bahawa kita tidak selamanya bersama.
Kau akan punya kehidupan sendiri, begitu juga aku.

Jika engkau mahu menyepi, apa dayaku.
Aku harus menerima, aku harus mengikut rentakmu.

Tapi aku tahu antara kita, ada yang mengikat.

Doa dalam ingatan.

Aku khuatir, dalam engkau cuba menyepi , aku juga makin menjauhkan diri
Bukan mengharapkan balasan, tetapi aku manusia.
Kita manusia, ada yang memberi, dan ada yang menerima.

Aku cuba berlapang dada
Aku cuba bersyukur kerna kau pernah hadir dalam hidup seorang insan hina.

Aku khuatir, dalam kita masing-masing membawa haluan,
Datang sang iblis membisikkan kata-kata jahat
Datang sang iblis meniup hasad dengki, sangka buruk
Yang kesannya, pada hati dan diri kita,

Kalimah ukhuwah kerna Allah sudah tidak dijunjung.

Aku berharap, sangat-sangat berharap,
kita saling terus terikat dengan cinta kepadaNYA.

Moga jumpa di Jannah . Allahumma ameen,

Sabtu, 12 Julai 2014

Wahai Kamu!

Salam alaikum ya abdullah .


Tembak doa untuk mereka!
Tembak doa untuk mujahidin yang sedang berjuang!
Tembak doa buat Palestinian yang mewakili kita menjaga bumi para Anbiya'

Wahai anakku,
Hargailah persahabatan yang ikhlas kerana Allah, kerana ia kekal dalam redha Allah. Bilamana Allah utus kepadamu seorang sahabat yang baik akhlaknya, tekun menjalankan perintah Allah, tenang menghadapi ujian Allah, sesungguhnya DIA telah mengutuskan kepadamu seorang guru yang baik untuk kamu mempelajari kebaikan darinya.

Untuk itu wahai anakku, pelajarilah dari sahabatmu itu kecintaan kepada Allah, merasai kasih sayangnya agar engkau akan takut kepada kemurkaanNya dan sangat mengharap redhaNya.

Wahai anakku,
Syaitan berusaha merosakkan persahabatan baik itu dengan memasukan nilai kejahatannya. Ia akan berusaha memisahkan kamu dari sahabat yang baik itu. Kasihsayang mu kerana Allah akan bertukar kepada kecintaan melampau kepadanya; sehingga kamu nampak diri sahabatmu lebih besar dari Allah. Lalu kamu akan menghargainya lebih dari Allah yang mengutuskan ia kepadamu. Kamu bangga dengannya sehingga kamu terlalai dari bangga dengan Allah yang sentiasa memeliharamu. Engkau akan rasa rindu kepadanya, sehingga kamu tidak lagi merindui Tuhanmu. Engkau akan menangis kerananya, tetapi kamu tidak menangisi dosamu terhadap Allah.

Wahai anakku,
Betapa gembiranya kamu menerima surat yang disampaikan oleh seorang posmen, janganlah sampai kamu lupa kepada yang menulis surat kepadamu. Engkau menunggu- nunggu kedatangan posmen ke rumahmu setiap hari, tetapi kamu tidak menanti redha Tuhanmu. Engkau akan membaca catatan sahabatmu yang kamu cintai itu berkali kali, tetapi kamu tidak membaca lagi peringatan Allah ( Quran) yang dikirim kepadamu.

Wahai anakku,
Syaitan sangat licik menipu manusia, kini kamu kasih kepada sahabatmu kerana kamu rasa hebatnya sahabatmu, baiknya dia, penyanyangnya dia dan pelbagai alasan, sehingga bayangannya lebih besar dari Allah. Untuk itu wahai anakku, besarkanlah kasih sayangmu kepada Tuhanmu, nescaya akan datang kasih sayang makhluk Allah kepadamu. Jagalah segala perintah Allah, nescaya Allah akan memelihara persahabatanmu, dan jangan sesekali kamu lakukan sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah dalam persahabatanmu, kerana hakikatnya setiap manusia akan berpisah juga akhirnya, namun kamu tidak akan berpisah dengan Allah.

_Kalam TITM_




Nota hamba : Dulu, selalu spent time dengan sahabat-sahabat di pantai-pantai berdekatan dengan UniSZA.
Dan, antara lagu kegemaran yang dialunkan adalah lagu kumpulan FeelHoney (salah seorang ahlinya adalah Mr.Bie).
Lagu Kisah Cinta.

First saya dengar lagu tu, saya terus jatuh cinta.
Jatuh cinta ? Erk, bukan dengan munsyidnya, tapi dengan liriknya.

Pernah saya mengalunkan lagu itu seorang diri dalam bilik sehingga mengalir air mata.
Wajah-wajah yang saya sayang terbayang di tubir mata.

Dan, dengan asbab lagu itu, saya ingat janji-janji yang terpatri antara saya dan sahabat-sahabat.
Kini, saya mencuba untuk lapangkan dada selapang-lapangnya.
Demi Dia.


Dulu kau berdiri bersamaku
dan saling mengukir janji
bahwa kau kan selalu ada disini
susah senangku bersama kau tempuhi 
ku hargai

kini kau dimana
meninggalkan ku sendiri tak berdaya
pesanmu padaku janganlah bduka 
jangan menangisimu bila kau tiada
ku mencuba..

air mata pun jatuh ke pipi
mengingkari janji yang ku beri
kisah cinta sahabat sejati 
tak berakhir bila engkau pergi
sahabatku kau kan kurindui
kerna kau takkan kembali

walau kau disana
namun doaku kan selalu bersama
maaf kernaku tak pernah tuk berkata 
bahwa kaulah teman yang paling sempurna
yang ku ada..



Mahu tersenyum dengan apa jua yang Allah beri, Rasa malu untuk menangis dengan ujian yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan saudara-saudara seIslamku yang ditindas. 

*Eh, aku pun rakyat yang tertindas !

Ahad, 6 Julai 2014

Istimewa Buat S .

Sahabat yang soleh
Laksana penjual kasturi
Sedikit kesannya
Keharuman melata

Sahabat yang soleh
Kebaikannya menjadi tumpuan
Keimanannya terus digilapkan
Ketaqwaannya dapat ditingkatkan
Mengalahkan syaitan yang siang
Malam berjuang untuk kerosakan

Sahabat yang soleh
Rupa paras bukan jadi bandingan
Darjat & pangkat bukan soal pilihan
Kejayaan yang dimiliki di atas dunia bukan jadi ukuran
Yang mulia di hati budi
Asasnya Iman
Neracanya Taqwa



Sahabat yang soleh
Ialah yang menegur kesilapanmu
Bukan niat untuk menunjuk pandai darimu
Bukan kerana untuk mencari silapmu
Bukan disebabkan membenci dirimu
Bukan gara-gara iri hati padamu

Ketahuilah
Sahabat yang soleh sangat menyayangi akan sahabatnya
Tidak tegar melihat sahabat yang dicintainya terus tersasar &tersasar
Dari cinta & redha Ilahi

Sahabat yang soleh
Akan berusaha menegur kesilapanmu dengan penuh berhikmah
Agar ia tidak berulang
Melarangmu dari melakukan kemungkaran
Yang membetulkan kesalahan
Yang mengingatkan dari kealpaan
Yang menasihatkan dari kelalaian
Yang berusaha sedayanya membawamu jauh dari lembah kemaksiatan
Yang berusaha seupayanya membawamu jauh dari lembah kebinasaan
Yang berusaha segigihnya agar dirimu jauh dari lembah kehancuran

Tidak setakat menganggukkan kepala
Mengiyakan apa yang kau kata
Setuju apa yang kau bicara



Sahabat yang soleh
Ialah disimu pada setiap keadaan
Yang meraikanmu pada saat kegembiraan
Yang mendampingimu pada saat kesedihan
Yang sanggup berkongsi kepentingan
Yang tidak pernah mengungkit pemberian
Yang senantiasa mendoakan kebahagiaan buat sahabatnya tanda ingatan
Yang tidak pernah berundur dari medan perjuangan
Untuk merealisasikan sebuah pengorbanan



Sahabat yang soleh
Malunya mengatasi perawan

Beraninya mengatasi pahlawan
Cintanya bukan pada gambaran
Rindunya bukan pada pertemuan

Sahabat yang soleh
Hatinya sarat dengan Iman
Rantingnya Ikhlas
Dan puncak keredhaannya menjadi tumpuan

Sessungguhnya
Ajal & maut bukan penyebab putusnya ikatan sebuah persahabatan yang telah kau bina dengan penuh kasih & sayang
Jadikan doa yang tulus & ikhlas serta Al-Fatihah yang tidak putus-putus sebagai hadiah yang tiada tandingan sebagai tanda ingatan dalam persahabatan



Sahabat yang soleh
Yakinilah bahawa ajal & maut sebagai satu permulaan kebahagian & berdoalah bahawa akan kau dipertemukan semula dengan sahabat solehmu oleh Allah di Jannatul Firdaus yang abadi
InsyaAllah

Sahabat yang soleh
Cintailah sahabatmu hanya kerana Allah
Kelak
Halawatul Iman dapat kau nikmati 

Ketahuilah bahawa,
Memiliki Seorang Sahabat Sejati Adalah Lebih Berharga Dari Seribu Teman Yang Mementingkan Diri Sendiri

Dari Abu Darda' ra,
Bahawasanya Rasulullah saw bersabda :
"Doa seorang Muslim kepada saudaranya dengan tanpa pengetahuan saudaranya itu mustajab;
pada kepala seorang Muslim itu ada malaikat yang diberi tugas itu mengucapkan :
"Semoga Allah mengabulkan & untukmu juga seperti itu."

(Riwayat Muslim)




.The Beauty of Islam. 





Nota hamba : Redhakan aku ya Allah dalam menjalani taqdir kehidupan yang Engkau telah tetapkan untukku. Maafkan aku atas tangisan yang tiada nilainya. Semoga Ramadhan ini , aku berjaya peroleh ijazah taqwa , redha dan mahmudah dari Mu.

Pimpin aku untuk melalui jalan mujahadah ini, ya Allah.
Jangan biar aku terkapa keseorangan.

Khamis, 26 Jun 2014

Aku & Abah


Abah , semoga dalam peliharaan Allah


Bercerita tentang Abah, aku jadi teringat-ingat waktu kecil dahulu.

Abah kini dah berusia 52 tahun. Sudah semakin berusia.

Dulu, waktu kami kecil, Abah sangat garang. Tak berani nak bantah kalau Abah bagi arahan.

Nak banding kaklong dengan aku, waktu kecil dulu, akulah yang paling nakal.

Sikap seperti budak lelaki, ala-ala tomboy.

Aku masih ingat, waktu itu , sudah hampir maghrib. Abah menyuruh aku masuk ke dalam rumah, tapi sebab aku masih seronok bermain basikal, aku buat tidak endah dengan arahan abah. Akhirnya, abah mengejar aku dari belakang sambil bawa rotan. Dan aku, semakin laju mengayuh.

Teringat juga waktu aku tidak dapat mengaji dengan baik, akhirnya abah mendenda aku dengan mengurung aku di luar rumah . Padahal, jarum jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Menangislah aku dibuatnya. Mungkin dengan asbab itu, akhirnya aku bisa mengaji dengan baik.

Teringat juga sewaktu aku menanggung kesakitan kerana kelenguhan kaki yang melampau, gara-gara gangguan yang dialami. Peristiwa semasa Tingkatan 3 yang berlaku pada pukul 3 pagi, aku menangis keseorangan di ruang tamu kerana tidak dapat tidur, mujur Abah bangun hendak ke tandas dan ternampak aku menangis kesakitan. Abahlah yang mengurut kaki aku walaupun aku tahu waktu tu abah sangat mengantuk.

Teringat juga, pada awal persekolahan di Tingkatan 3, Abah tidak punya wang yang cukup untuk membayar yuran sekolah aku. Aku dan kaklong hampir menitiskan air mata ketika melihat Abah menadah tangan daripada seorang guru yang anak-anaknya diasuh emak aku , untuk meminjam wang bagi melunaskan pembayaran yuran sekolah. Dan tahun itu jugalah, jika aku tidak silap, duit raya yang aku dapat, digunakan untuk membayar yuran adik-adik di sekolah agama.

Dan, aku ingat sewaktu melangkahkan kaki ke alam kampus bersama kaklong , duit bonus yang Abah dapat untuk tahun itu, langsung tidak Abah sentuh demi melunaskan yuran pengajian anak-anak di universiti.

Pengorbanan Abah dan Emak terlalu besar buat aku dan adik- beradikku. Kami bukan orang senang dan bukan juga orang susah. Cuma, aku boleh katakan , waktu aku kecil sebelum kehadiran dua orang adikku, kami boleh dikatakan agak susah.

Biarlah kalau orang kata aku jakun apabila menjejakkan kaki ke restoran-restoran mewah atau mengajak aku makan di tempat -tempat yang sering aku lihat di TV.

Seingat aku, aku mula merasa KFC ketika aku berada di Tingkatan 2. Pizza Hut ? Boleh bilang dengan jari.
MCD ? Alhamdulillah, tidak pernah jejak kaki . Baskin Robin (Ejaan pun aku tak tau macam mana), langsung tak pernah rasa. Dunkin Donut, Secret Recipe, Big Apple , semuanya aku rasa saat kaki sudah menjejak ke universiti. Burger King ? Alhamdulillah, aku tidak pernah juga merasa.

Biarlah , aku tidak kisah jika tidak dapat merasa semua itu. Cuma, kadang-kadang terbit juga rasa rendah diri saat berhadapan dengan orang-orang yang hidupnya mewah , yang sering berkunjung ke tempat -tempat sebegitu.

Aku berasal dari keluarga yang sangat biasa, tapi aku sangat bahagia dan aku suka dengan kehidupanku. Emak , Abah , Kaklong dan Adik-adik adalah insan yang paling aku sayang . Mereka sudi terima aku apa adanya.



Kini , abah sudah tua. Semakin sensitif. Adikku sering berpesan, sesekali telefonlah abah, jangan asyik telefon emak sahaja. Ya, aku boleh telefon abah, tapi setiap kali aku telefon abah, air mataku sering bergenang. Ah, adakah aku yang terlalu sensitif?


Angah sayang abah. Angah suka bila Angah call Abah akan cakap "Hello, sayang !"

Ah,aku tidak mampu menuturkan lafaz sayang di hadapan kalian, abah dan emak, kerana pasti air mataku akan mengalir.

Biar ia menjadi lafaz yang tersimpan. Kerna sayangku itu kuterjemah melalui tindakan.
 

احفظ الله يحفظك Copyright © 2011 -- Template created by O Pregador -- Powered by Blogger