Isnin, 28 Disember 2009

BAGAIMANA BEKERJA KETIKA REHAT

Foto: Saya di perkarangan Masjid Jamek Ho Chi Minh City, Vietnam pada Hari Raya Haji 1430H yang lepas. Nampak macam berehat tapi saya pergi melaksanakan 2 kerja: 1. Menyempurnakan ibadah korban. 2. Mengumpul gambar untuk buku "WAJAH MASJID DI ASIA TENGGARA"


Orang selalu mengaitkan bekerja dengan letih. Maksudnya orang yang bekerja akan berasa letih. Orang yang berehat tidak letih. Orang juga mengaitkan bekerja dengan wang. Maksudnya orang yang bekerja dapat wang. Atau orang yang tidak bekerja tidak dapat wang. Ada juga orang yang mengaitkan bekerja dengan:

  • Terpaksa memakai pakaian seragam atau pakaian kerja.
  • Terpaksa pergi ke pejabat.
  • Ada waktu yang ditetapkan.
  • Ada majikan.
  • Dapat gaji hujung bulan.
  • Kalau tak nak bekerja mesti ambil cuti atau MC.


Foto: Di kampung pedalaman di Vietnam saya menaiki motosikal untuk menziarahi rumah umat Islam yang terpencil. Ini bersama adik Zainab, 11 tahun. Kami berkomunikasi cuma menggunakan bahasa isyarat.

Ada orang yang mengiktiraf bekerja sendiri itu bukan bekerja. "Makan gaji baru bekerja, "kata mereka.

Kita boleh berehat, tapi jangan kaitkan rehat dengan duduk bersandar di kerusi malas atau bergolek-golek di atas katil. Kalau anda lakukan dua pekerjaan di atas namun minda anda runsing, kesihatan anda tidak baik, banyak kerja yang belum diselesaikan, bilik di tempat tersebut panas atau tepu dengan wap - hakikatnya anda tidak berehat. Jasad anda menderita dan tersiksa. Minda anda bercelaru. Anda akan bertambah letih dan lesu.

Sebaliknya jika anda bekerja tetapi anda dapat mengendalikan diri anda dengan baik, fikiran anda tenang, semua kerja tersusun dengan baik dan mampu anda selesaikan dengan jayanya - pada hakikatnya anda sedang berehat. Kalau di pejabat anda bekerja dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, anda boleh keluar dari pintu pejabat dengan senyum. Anda bersedia untuk masuk ke "pejabat kedua" dalam masa setengah jam.


Foto: Setelah setahun bekerja keras kami di syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. mengadakan Hari Keluarga ini di pantai Batu Hitam, Kuantan. Anda kata ini rehat? Ya, memang rehat tapi saya dan Ustaz Pahrol Mohd Juoi (duduk kanan sekali) memberi 2 slot kuliah "Kepemimpinan" dan "Psikologi."


Pejabat kedua ini tidak semestinya sebuah syarikat lain. Mungkin anda mula mengarang di rumah. Atau mula berkebun, mengecat pagar, memotong rumput, ke bengkel kereta, ke perpustakaan, ke kedai buku, bertemu janji dengan kawan di warung mamak atas sesuatu hal atau projek, ber-MLM, melayari Internet dan seribu satu macam aktiviti lagi.

Kalau kaum wanita mungkin mereka akan menjahit, menyulam, mengarang, shopping, mesyuarat NGO, parti MLM, usrah dengan anak-anak, menghantar sesuatu yang dipesan kepada pelanggan, mengurus rumah tangga dan seribu satu macam aktiviti lagi.

Bukankah semua aktiviti yang saya senaraikan di atas menjana kewangan. Sekurang-kurangnya menjadi sumber pendapatan kedua atau ketiga bagi anda. Atau menjimatkan perbelanjaan dengan tidak payah mengupah orang lain membuatnya. Dan semua itu anda lakukan di luar waktu pejabat, lokasinya di luar pejabat. Tiada mandor atau majikan yang mengarahkan. Anda lakukan dalam rehat, tidak tertekan. Itulah yang dimaksudkan anda bekerja dalam rehat.

Ada satu lagi situasi anda bekerja dalam rehat:

Anda bekerja mengikut waktu yang telah ditetapkan kepada anda misalnya daripada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Rahsianya, hendaklah anda elakkan daripada berasa penat. Hanya orang yang berasa penat sahaja yang perlu rehat seperti pekerja binaan, pekerja buruh dan pekerja ladang. Kalau anda tidak penat anda tidak perlu berehat.

Bagaimana mengelakkan rasa penat:

  • Sukai pekerjaan anda sepenuh hati.
  • Bangunkan kerjaya anda kepada skop yang lebih luas atau lebih tinggi.
  • Bersedia dengan bekalan tenaga fizikal yang mencukupi seperti makanan yang berzat terutama jika anda terlibat dengan kerja kasar dan berat.
  • Seimbangkan masa berkomunikasi dengan mesin dan berkomunikasi dengan manusia. Berkomunikasi dengan mesin meletihkan tetapi berkomunikasi dengan manusia menyegarkan.
  • Kalau anda rasa sebaliknya (lemah berkomunikasi dengan manusia dan segar berkomunikasi dengan mesin) bermakna anda telah menjadi terlalu robotik. Anda bukanlah seorang yang produktif tetapi seorang yang robotik yang memerlukan seorang tuan atau majikan.
  • Ruang kerja anda mesti mempunyai bekalan oksigen yang segar.
  • Bekerja dalam ruang yang luas.
  • Sedia dua kerja yang berasingan: Kerja utama dan kerja sokongan. Apabila anda letih dengan kerja utama, berpindahkan kepada kerja sokongan. Anda akan segar semula.
  • Kerja yang menggunakan kekuatan minda memerlukan bekalan oksigen segar dan makanan yang berzat.
Bagaimana mengelakkan tekanan dalam kerja:

  • Rancang kerja dengan teratur.
  • Beritahu bos apa skop kerja anda. Yang penting sentiasa berkomunikasi dengan bos.
  • Beritahu superior anda jika berlaku tambahan kerja yang mendadak. Kalau ini berlaku susun semula penjadualan dan pelaksanaan kerja baru.
  • Jangan rasa bersalah atau kecewa jika tidak sampai target. Bawa kepada keesokan harinya.
  • Ketepikan perasaan negatif hati seperti cemburu, dengki, khianat, pemarah, berdendam dan sebagainya.
  • Jangan dengar kabar angin kecuali datang betul dari sumber yang sah dan disampaikan sendiri kepada anda. Imam Ghazali berkata, "Jika anda hendak menyepak orang yang menyebabkan anda susah, nescaya anda tidak dapat duduk seumur hidup."
  • Suarakan masalah, jangan dipendam.
  • Banyak berserah kepada Allah SWT setelah berusaha dengan gigih.
  • Ingat: Usaha anda tidak memberi bekas.
"Bekerja ketika rehat" ini sinonim dengan "Berehat ketika kerja." Ia juga dipanggil "work smart" - bekerja dengan bijak. Orang yang berjaya di dunia semuanya bekerja dengan bijak. Jangan tersilap tafsir, sudah tentu mereka bekerja keras. Lebih elok jika frasa ini berbunyi, "Bekerja keras dengan bijak."

Seorang menulis kepada seorang sahabat, yang juga bekas CEO kolej swasta saya dan bekas fasilitator program latihan saya, "Bila lagi anda mahu mengejutkan saya dengan sesuatu pencapaian yang luar biasa?"

Dia menjawab sambil mengeluh,"Tuan Haji, saya sudah bekerja keras. Apa lagi? Sampaikan isteri saya nak pergi ke pasar pun mesti buat appointment dengan saya!"

Saya memberi jaminan dengan menjawab, "Anda mempunyai potensi tinggi yang luar biasa. Cuma masa sahaja yang akan menyerlahkan anda. Anda masih muda."

Rabu, 23 Disember 2009

BAGAIMANA MEMBERI YANG TERBAIK

Foto: Ini senario hutan dan sungai ikan Kelah di Lubok Lesong berhampiran Lata Berkoh di Sungai Tahan, Taman Negara. (Bahan untuk kolum KEMBARA saya dalam majalah Solusi). Allah SWT selalu memberi yang terbaik kepada umatnya. Apa alasan kita untuk tidak memberi yahg terbaik kepada orang lain?


Foto: Kehijauan juga. Ini Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah Musleh termasuk peserta dari Indonesia dan Thailand di Kem Wood, Ulu Yam Baru, Selangor baru-baru ini. Didiklah anak anda untuk memberi yang terbaik sejak kecil. (Ihsan: Muhammad Salman al-Farisi, berdiri 3 dari kiri)


Kita akan dapat berasa sangat berpuas hati jika dapat memuaskan hati orang lain. Orang yang dimaksudkan ialah orang yang terhampir dengan diri kita seperti ibu bapa kita, isteri, suami, anak-anak, anak didik, jiran, sahabat rapat dan guru kita.

Bagaimana kita memuaskan hati orang lain?

Bila memberi, berilah yang terbaik. Beri dengan ikhlas. Jangan ungkit atau tuntut perkara yang telah kita beri kepada orang lain. Allah SWT akan menggantinya dengan perkara yang sama berlipat kali ganda banyaknya.

Jangan fikir apa yang tinggal untuk diri kita, fikir apa yang mereka perlukan. Jadilah seperti Sayidina Abu Bakar al-Siddiq yang mengorbankan seluruh hartanya untuk perjuangan Islam.

Apabila Rasulullah SAW bertanya, "Apa lagi yang engkau ada wahai Abu Bakar?"

Beliau menjawab, " Saya masih ada lagi Allah dan Rasul."

Untuk orang yang rapat dengan kita atau yang kita kasihi yang kita beri sesuatu:
  • Bila bercakap, cakaplah dengan jelas dan pandang mukanya. Jangan bercakap sambil lewa. Jangan sekali-kali berbohong atau menyembunyikan sesuatu yang mereka harus tahu.
  • Sentiasalah mendampingi suami, isteri, anak-anak dan ibu bapa kita.
  • Cuba penuhi permintaan mereka walaupun kita tidak mempunyai cukup. Allah akan memberi rezeki yang lebih banyak jika kita gunakan rezeki yang Allah bagi ini ke jalan yang betul.
  • Jangan sakitkan hati mereka.
  • Jangan sindir mereka dengan perkataan.
  • Jangan bandingkan mereka dengan orang lain terutama orang yang menjadi saingan mereka.
  • Jangan mengungkit kebajikan yang telah kita berikan kepada mereka.


Foto: Apabila anda memberi nasihat, mengajar atau mengendalikan progran latihan seperti ini, berilah yang terbaik untuk peserta. Pastikan kalau anda bercakap selama 30 minit, anda telah menyampaikan paling kurang 6 perkara (points) yang mereka boleh ingat. Dan 6 perkara ini dicatat dalam buku nota dalam bentuk peta minda. Kalau anda memberi latihan selama 1 1/2 jam pastikan anda melaksanakan paling kurang 3 aktiviti yang berlainan.

Jika sahabat atau jiran anda minta nasihat:
  • Beri nasihat yang terbaik.
  • Beri lebih daripada yang mereka minta.
  • Jangan sembunyikan rahsia kejayaan kita, biar mereka juga berjaya atau biar mereka lebih berjaya daripada diri kita sendiri.
  • Ikhlas.
  • Jangan mengecilkan kebolehan mereka.
  • Jangan menghina mereka.
Saya ada seorang staf yang setiap pagi akan masuk ke bilik saya, bersalaman dengan saya dan meminta nasihat.

Saya bukanlah mempunyai kata-kata hikmah yang begitu ajaib dan magik untuk saya jampikan atau hembuskan ke mukanya, namun riak mukanya, senyumannya, eratnya genggaman salamnya dan "body language" perasaan puas hatinya apabila keluar daripada bilik saya membuat dia menjadi seorang staf yang paling cepat menapak naik tangga kecemerlangan dalam syarikat!

Khamis, 17 Disember 2009

TELITI DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH






Foto: Ketika saya memberi training, saya menerapkan konsep ketelitian dan kesungguhan. Saya ajar peserta supaya duduk betul-betul, lengkapkan alat belajar, dengar bersungguh-sungguh, buat catatan (peta minda) dan timbukan persoalan (kritik) apa sahaja bahan yang saya sampaikan supaya sikap sambil lewa itu lama kelamanan hilang daripada dalam diri kita.

Saya rasa pelik kenapa ramai orang tidak melakukan sesuatu kerja dengan teliti dan bersungguh-sungguh. Selalu ambil ringan dan sambil lewa. Tidakkah anda bertanya hati kecil sendiri sama ada anda berpuas hati atau tidak dengan kerja yang sedang anda lakukan?

Bila saya menulis saya akan lalui 4 tahap:


Tahap pertama: Taip semua idea kasar, lepas sahaja apa yang terlintas dalam fikiran.
Tahap kedua: Susun ikut kronologi A hingga Z. Tambah di tempat yang perlu. Buang yang tidak perlu (proses ini dipanggil "kill your darling"). Buat rujukan daripada sumber lain jika perlu.
Tahap ketiga: Edit dari awal supaya flow nampak rasional, cantik dan licin.
Tahap keempat: Betulkan ejaan, tanda baca, pola ayat, fakta, paragraf, dll.


Kalau anda hendak menghantar karya rencana atau skrip kepada akhbar, majalah atau syarikat penerbitan anda mesti melalui 4 tahap ini. Sudah pasti karya anda lebih mudah untuk dipertimbangkan.


Jadi jangan hantar kepada saya rencana atau skrip yang setengah masak. Kalau saya terpaksa juga mengedit skrip setengah masak ini, saya jadi letih. Saya berkata pada diri, "Daripada mengedit lebih baik saya mengendalikan sebuah kelas editing. Semua yang tak pandai tulis skrip ini datang menghadiri kelas saya."


Semua editor saya tahu yang saya tidak mahu satu titik pun salah dalam buku yang saya terbitkan. Itu yang kadang-kadang membuat saya menjerit. Ramai orang yang ambil hati kata saya pemarah. Saya tidak marah, cuma tidak faham kenapa ramai orang tak mahu bekerja susah sikit untuk melakukan kerja dengan sempurna.






Foto: Majlis ANUGERAH MEDIA ISLAM NEGARA (AMIN) di Putrajaya International Convention Centre (PICC) baru-baru bersama Ustaz Rohidzir Rais, penulis siri Harun Yahya dan kolumnis Sains Islam dalam majalah Solusi. Saya sedang mengedit karya terbaru beliau ENSIKLOPEDIA SOLAT terbitan Telaga Biru. Tanpa ketelitian dan kesungguhan tak mungkin karya besar seperti itu akan terbit.



Dulu masa kecil arwah bapa ajar saya bagaimana mengasah pensil. Mengasah pensel pun mesti melalui 4 tahap:


Tahap pertama: Pisau pengasah mesti tajam walaupun pisau siang sayur (zaman itu).
Tahap kedua: Asahnya mesti panjang, bukan kontot sahaja seperti kemaluan kera (maaf) - istilah bapa.
Tahap ketiga: Mata penselnya mesti tajam.
Tahap keempat: Selepas diasah mesti diserasikan pada kertas conteng sebelum digunakan.


Anda lihat pensel atau pensel warna anak atau adik anda hari ini. Ya, mungkin mereka tidak pakai pengasah lagi. Beli dan buang sahaja pensel tekan atau pensel mekanikal. Sebab itu anak zaman sekarang tidak teliti.


Masa kecil juga emak ajar saya bagimana menjemur kain selepas dibasuh. Pun melalui 4 tahap:


Tahap pertama: Perah dulu setiap pakaian hingga kering.
Tahap kedua: Dikebas untuk meringankan atau membebaskan pakaian itu daripada saki baki air. Lagi besar dan berat pakaian itu, lagi susah untuk mengebasnya.
Tahap ketiga: Diampai pada ampaian ikut susunan jenis dan sais pakaian. Kalau kain sama kain, baju sama baju, seluar sama seluar. Selindungi pakaian dalam yang memalukan.
Tahap keempat: Jangan ampai belapis-lapis menyebabkan pakaian yang di sebelah bawah tidak kering. Pastikan pakaian itu terkena cahaya matahari.






Foto: Ini foto terbaru, 2 hari lepas di perkarangan Masjid Jamek Jerantut, Pahang. Saya melatih anak-anak (Muhammad Ammar Yassar, 15 - kiri dan Muhammad Salman al-Farisi, 18 - kanan) buat assignment fotografi, mengatur perjalanan sambil membaca peta untuk mudik hulu Sungai Tembeling di Taman Negara. Jadi siapa yang snap foto ini? - si Bongsu, Ummu Jannah.

Seingat saya, emak tak ajar semua. Saya yang fikir sendiri.


Anda lihat bagaimana anak atau adik anda menjemur pakaian. Kadang-kadang bergumpal-gumpal sahaja. Apabila kering pakaian jadi keras! Kadang-kadang bertindih-tindih. Bila diangkat masih lembab! Sebab apa? Sebab malas nak pasang tali ampaian baru. Ambil senang, tindih-tindihkan sahaja!


Bukan itu sahaja. Antara ketelitian lain yang saya belajar ketika kecil ialah:


  • Apabila menggali ubi kayu menggunakan cangkul, jangan pakai hentam sahaja, nanti terkena isinya atau isi ubi tertinggal dalam tanah.
  • Apabila membubuh kapur kasut putih, sapu dengan teliti seperti sedang melukis di atas kertas kerana kapur kasut ketika itu berketul seperti pensel warna.
  • Apabila menolong emak menumbuk padi di dalam lesung mesti berhati-hati supaya padi tidak tumpah dan kulit padi cepat tanggal.
  • Apabila mencangkul tanah membuang lalang untuk tanam sayur, pastikan tiada ubi lalang yang tertinggal di dalam tanah. Kutip dan buang habis-habis. Kalau tidak nanti lalang tumbuh semula.
  • Anda jangan terkejut, saya juga belajar memotong sayur, memotong daging dan menyiang ikan daripada emak.
  • Anda jangan terperanjat saya boleh menganyam ketupat hingga hari ini.
Jadi hingga sekarang apabila melakukan sesuatu pekerjaan saya sudah terbiasa untuk melakukan yang terbaik, teliti dan bersungguh-sungguh. Biarlah lambat sedikit asalkan sempurna. Biarlah susah sedikit kerana hasilnya manis.

Tujuh benda ajaib di dunia kekal hingga hari ini kerana dibina dengan sungguh-sungguh, teliti dan susah payah seperti Tembok Besar Negeri China, piramid dan Taman Tergantung Babylon.

Ah! Sedangkan ibadah yang diterima oleh Allah SWT hanya ibadah yang ikhlas, khusyuk dan dilakukan bersungguh-sungguh.

Khamis, 3 Disember 2009

THE POWER OF MIND



Foto: Buku saya yang ke-22 ini boleh didapati di MPH, Popular Bookstore atau pesan terus daripada Telaga Biru Sdn. Bhd. Buku ini sesuai untuk dibaca oleh orang yang mahu cemerlang tetapi tidak tahu bagaimana mahu bermula.


Malam tadi saya memberi latihan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Petaling Jaya bertajuk THE POWER OF MIND kepada ahli Medical Sciences Student Society (MEDCY) bertempat di Dewan Kuliah B bermula jam 9.00 hingga 11.30 malam.

Beberapa orang pensyarah turut hadir. Juga diadakan jualan buku termasuk dua buah buku terbaru saya RAHSIA MINDA HEBAT dan KELUARKAN SINGA DARIPADA DIRI ANDA yang berkaitan dengan teme program. Kira-kira 200 orang peserta hadir.

Dengan presentation power point gambar-gambar slide daripada 4 aspek musibah iaitu KEMISKINAN, KEMUNDURAN, BENCANA ALAM dan TSUNAMI yang pernah dan sedang saya tangani di seantero Nusantara, saya cuba membaca perspektif para peserta bagaimana mereka bertindak balas dari segi pemikiran dengan input yang agak mengetuk hati masing-masing.

Kemudian saya meminta sebahagian mereka meluahkan rasa hati kepada peserta. Nampaknya sasaran saya sampai dan para peseta dapat menggunakan minda mereka secara optimum untuk membuat rumusan terhadap input visual yang saya sediakan.



Foto: Ini bukan di UIAM tetapi di Sek. Men. Chenor, Maran, Pahang ketika memberi latihan kepada pelajar SPM beberapa buah sekolah daerah Maran bersama pelajar pintar 20A SPM 2008, Nik Nur Madihah Nik Kamal. Saya turut melancarkan buku PERMATA GENERASI RABBANI - NIK NUR MADIHAH karya anakanda UMMU SAKINAH HAJI MUHAMMAD terbitan YAMANI ANGLE SDN BHD.

Saya turut mengijazahkan 6 Teknik Membangunkan Kuasa Minda termasuk menjaga kesihatan sebagai langkah awal membangunkan minda yang cemerlang:

  1. Mengamal Terapi Air Kosong di mana peserta diminta minum 5 gelas air ketika bangun daripada tidur waktu pagi.
  2. Mengamalkan makan menu semulajadi yang berzat.
  3. Istiqamah dengan latihan fizikal.
  4. Mengendalikan tekanan stres dengan baik. Sedikit stres baik kerana akan meningkatkan sistem imunasi tetapi stres berlebihan membunuh sel otak.
  5. Solat, yoga, tai chi dan meditasi menjadikan minda lebih produktif dan boleh mengelakkan serangan sakit jantung dan strok.
  6. Berlatihan memanipulasi gelombang otak supaya dapat mengurangkan stres, kusyuk, fokus dalam kerja, dapat tidur lena, mudah belajar, meningkatkan daya ingatan dan cekap bertindak.
Anda berminat untuk mendapat latihan ini?

Program yang sama boleh dikendalikan di tempat anda: Di sekolah, pejabat, masjid, surau, NGO, kelas pengajian dan di rumah persendirian dalam 3 pakej:

Pakej A: Sesi 2 1/2 jam
Pakej B: 1 hari
Pakej C: 2 hari

Peserta: Pelajar sekolah rendah, menengah, remaja dan dewasa.

Sila hubungi atau SMS 016-4028344 atau 013-3596574.


Foto: Saya memberi latihan "Leadership and Teamwork" kepada eksekutif dan kakitangan syarikat TELAGA BIRU SDN. BHD. di Duta Village Beach Resort, Kuantan baru-baru ini.

JIHAD PENDIDIKAN ASIA (JPA)





Foto: Saya melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidil Adha 1430H baru-baru ini di perkampungan di Ho Chi Minh City, Vietnam. Umat minoriti Islam di Vietnam hidup dalam kemiskinan dan kemudahan yang serba daif. Jihad Pendidikan Asia (JPA) akan dilaksanakan di Vietnam untuk menjamin kesinambungan survival umat Islam di sana.


Ekoran daripada kunjungan saya 3 hari ke Vietnam (kali pertama) dan 2 hari ke Kemboja (buat kali keempat) pada hari raya Haji baru-baru ini, di samping mengerjakan ibadah korban di kedua-dua negara tersebut, kami mengambil keputusan menubuhan sebuah NGO atas entiti JIHAD PENDIDIKAN ASIA (JPA).

Matlamat JPA ialah:
  • Memberi kesedaran kepada umat serantau tentang nasib umat Islam yang merupakan kaum minoriti di Asia.
  • Memberi kesedaran kepada umat Islam kaum minoriti di Asia tentang kepentingan pendidikan, kemajuan, hidup beragama, ekonomi dan mengamalkan budaya Islam.
  • Memberi motivasi kepada guru, ibu bapa dan pelajar di negara tersebut tentang tanggungjawab masing-masing dalam membangunkan masyarakat setempat.
  • Mendedahkan peluang belajar, kerjaya. berekomoni dan hidup bermasyarakat kepada mereka.

Foto: Masjid al-Muttaqin Kampung Xa Minh Hoa, mukim Huyen Dau Tieng, daerah Binh Duong, Vietnam ini dibina oleh Sheikh Abdulla al-Noury dari Kuwait dengan harga USD44,4000. Beliau juga membina sebuah sekolah agama bernama Madrasah al-Noury berharga USD 24,000 dan 25 buah rumah penduduk kampung.


Lokasi sasaran JPA buat tahap primer ini ialah:

  • Umat Islam di Kemboja, Vietnam, Myanmar, Selatan Thailand dan Selatan Filipina..
  • Anak-anak yatim dan miskin di Aceh.
  • Anak-anak miskin di Pulau Jawa khususnya di Jakarta.
  • Kaum peribumi di Malaysia.
  • Mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat.

Program bermodul yang akan dijalankan:

  • Kursus Intensif Perguruan untuk guru-guru.
  • Kursus Intensif Keibubapaan.
  • Kem Pengurusan Diri dan Motivasi Pelajar.
  • Sumbangan pakaian harian, pakaian seragam sekolah, alatulis, buku dan perubatan.
  • Menubuhkan sekolah agama.
  • Menghantar pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Projek perintis akan diadakan di Phnom Penh, Kemboja penghujung bulan Februari 2010 selama 3 hari meliputi memberi kursus perguruan Asas kepada guru-guru di seluruh Kemboja, kursus keibubapaan dan kem pengurusan diri dan motivasi pelajar.


Foto: Pelajar Sekolah Rendah Kampung Chrey Andet, Phnom Penh, Kemboja, tempat yang kami akan melancarkan JIHAD PENDIDIKAN ASIA (JPA) akhir Februari nanti.


Apa Peranan Anda?

  • Mendaftar untuk menjadi sukarelawan termasuk yang mempunyai kemahiran mengajar, mengasuh, merawat, membimbing, memberi kaunseling dan khidmat psikologi, pemakanan dan mengajar mengaji.
  • Mencari sponsor pakaian harian, pakaian seragam sekolah, kasut, alatulis, buku, beg sekolah dan alat suci diri.
  • Mencari sumbangan kewangan.
  • Mencari sumbangan tikit penerbangan.

Segala pertanyaan sila hubungi atau SMS Pengerusi JPA, Haji Muhammad Zakaria (016-4028344) atau Pengurus JPA, Puan Rusnah Abu Samah (013-3596574).