Blur. Kosong. Tiada arah. Begitu sikap otaknya kebelakangan in. Dia tidak tahu
mengapa tiba-tiba dia merasakan dirinya hilang arah tujuan. Sedangkan sebagai
orang mukmin dia tidak seharusnya begitu.
'Orang mukmin itu hidupnya
adalah untuk sembah Allah,menjadi khalifah di muka bumi ini… ', begitu kata ibu saban hari sewaktu masa
remajanya, jika dia berasa malas untuk bersolat jemaah di surau mahupun untuk
menyertai aktiviti kebajikan di kawasan kampung.Ustaznya turut mengatakan
kepadanya di dalam kelas agama mereka. Berulang kali ustaz menyebut, menjadi
rutin yang janggal ditinggalkan.
'Allah
berfirman : Wa maa Khalaqtul Jinna Walins Illaa Liya'buduun.. Tidak aku
ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk menyembah aku , surah Az-Zariyat ayat
56...' Begitulah ayat yang ustaz selalu baca sebelum memulakan kelas,
ditambah dengan huraian yang pelbagai. Dia mendengar tanpa jemu. Berfikir tanpa
rasa.Apabila hijrah termaktub dalam kanvas sejarahnya, dia bertemu dengan
sekumpulan pemuda yang sangat soleh. Lebih soleh dari sahabat-sahabatnya di
sekolah agama dahulu. Detik kakinya menjejakkan tanah di kepulaun British ini,
dia disambut meriah oleh mereka, seolah-olah mereka ibarat rakan lama. Mereka
membawanya ke rumah untuk bertamu nasi dan lauk malaysia. Tidak kempunan dia akan
gulai asam pedas ibu di kampung. Ibu kata rajin-rajin masak di negara orang.
Masih tersemat resepi ibu di dalam poket sewaktu permergian dia ke negera baru.
Bukan orang Johor jika nasi tidak bergulaikan asam pedas!
Dari
kenalan biasa, mereka menjadi sangat intim sehingga ke mana-mana sahaja mereka
pasti bersama.Walau mereka bukan sebaya namun dia berasa sangat selesa bersama
mereka. Apatah lagi duduk di
negara orang tanpa keluarga yang boleh berkongsi rasa suka dan payah di situ.
Pada dia, merekalah abang dan sahabat. Rakan barunya itu sering
membawanya ke 'study circle' bersama
orang-orang muslim di situ. Bukan
sahaja dia dapat kenal dan bertutur dengan masyarakat Muslim British, malah dia
dapat tahu betapa terbukanya pemikiran mereka. Cara masyarakat Muslim British
berfikir lain dari masyarakat Melayu. Muslim di sini belajar untuk beramal, dan
mereka faham akan asas-asas Islam sehingga mampu menghuraikan tentang Islam
kepada yang bukan Muslim. Berbeza dengan masyarakat Melayu yang tidak tahu
bagaimana untuk berdakwah kepada masyarakat Cina dan India di Malaysia sendiri.
Kagum dia melihat teman-teman Muslim tempatan membidas hujah-hujah masyarakat
Kristian tentang isu poligami, hijab dan terrorisme dalam bahasa Inggeris yang
fasih dan jelas. Dia sendiri berasa malu dengan dirinya sendiri kerana masih
tidak mampu memahami Islam sejelas mereka apatah lagi menerangkan kepada
manusia lain sehingga mereka tertarik dan menganut Islam.
Dia
merasakan ketenangan berada di dalam kelompok mereka. Dia berasa dia lebih
beriman dengan apa yang dia tahu dengan Islam apabila bergaul dengan masyarakat
yang dambakan Islam di tengah kelompok masyarakat jahiliyyah dan kuffar. Dia
sendiri berasa pelik bagaimana mungkin dia boleh jadi sebaik ini tatkala datang
ke negera penjajah tanah Melayu ini. Mungkin lagi susah kita mahu dapatkan
sesuatu, lagi kita hargainya, begitu dia berfikir. Lagi sukar untuk mendapatkan
ilmu Islam, lagi kita menghargai Islam itu sendiri.
‘Tugas kita adalah
menjadi hamba Allah dan khalifah Allah’, begitu kata khatib berbangsa German seusai
solat Jumaat di surau kecil di universiti.
Khalifah Allah? Apakah itu
sebenarnya? Sering benaknya berfikir, namun Shish, rakan Pakistanya menyebut
dalam bahasa Inggeris berloghatkan Urdu, ‘Itu adalah tugasan kita untuk mentadbir
alam ini,memastikan segala yang hidup di dunia ini berputar pada paksi yang
satu iaitu pada Allah Taala semata-mata’.
Dia blur, tetapi mengangguk tanpa faham. Bagaimana sebenarnya untuk melaksanakan
perkara itu? Kenapa kita perlu lakukan semua itu? Otaknya masih nakal untuk
bertanya, sanubarinya terlonjak-lonjak mahukan jawapan. Namun mulutnya sering
berkunci kerana dia tidak mahu memalukan dirinya sendiri.
Dia tahu Allah ciptakan manusia untuk menyembahNya semata-mata, tidak yang
lain. Dia arif akan
perkara itu, tetapi mengapa tidak dapat dia rasai benda itu? Mengapa ia tidak
merasakan apa sahaja yang dibuat adalah merupakan manifestasi ibadahnya kepada
Allah? Tidak berimankah dia?
Tidak ikhlaskah dia? Apakah makna iman? Apakah makna ikhlas?
Cukup! Cukup! Bentaknya sendiri. Dia perlu hentikan soalan-soalan itu. Dia
tidak mahu pening sendiri. Apa yang dia mahu adalah untuk merasakan apa sahaja
yang dipelajari. Dia tidak mahu banyak ilmu namun langsung tak rasa apa-apa.
Main ikut sahaja apa yang dia tahu. Perasaan itu penting!
Dia masih termangu-mangu di atas meja belajarnya. Haba elektrik yang sudah
dipasang penuh tidak mampu melawan kedinginan cuaca di hari itu. Hawa dingin
itu masih mampu menyelit ke dalam biliknya melalui celahan pintu dan tingkap.
Dia melihat keluar jendela dan memerhatikan rintik-rintik salju turun memutihi
seluruh daerah tempat dia bermukim. Indahnya melihat salju namun perit apabila
memegangnya. Memegang salji adalah seperti memegang ais yang diambil dari peti
ais. Sejuk yang mencengkam.
Apa ada pada salji? Tentu banyak yang Allah mahu manusia belajar dari salji.
Dia sangat seronok bertemu dengan salji. Bermain-main dengan kepulan ais.
Mengambilnya dan membalingnya ke tanah. Dia selalu melihat di dalam filem orang
barat, mereka bermain-main dengan salji, membuat orang salji dan berdamparan di
atas salji terutama sewaktu perayaan hari Krismas. Sudah lama dia berkeinginan
untuk memegang salji. Bermain dengan salji walaupun dia tahu perasaan itu wujud
kerana salji tidak pernah ada di negaranya sendiri.
Hari ini dia tidak berniat untuk keluar bermain salji. Seronoknya cuma
sementara. Dia perlu memakai pakaian tebal dan sarung tangan yang kalis air
jika mahu bermain. Jika tidak tangannya akan bengkak kesejukan. Lagipun salji
turun agak lebat, dia lebih rela duduk di dalam bilik dan belajar untuk
persediaan peperiksaan akhir tahunnya.
Salji mengingatkan dia akan dosa dan pahala. Tentang hati manusia. Salji itu
putih,bersih dan sempurna, sedangkan hati manusia yang bergolak sering
bercampur aduk antara kekotoran dan kebersihan. Jika manusia dapat gambarkan
ketulan hati mereka seperti seketul ais, tentu mereka mahu hati mereka seputih
ketulan ais itu. Kerana putih itu indah. Jika diambil ketulan ais yang telah
bercampur tanah, tentu mereka tidak akan bermain dengan ais tersebut, kerana
pada sudut pandangan cetek manusia, ais sebegitu adalah kotor dan tidak
sempurna. Namun ramai manusia tidak mampu mengambil perumpamaan dan pelajaran
dari sejumlah besar ciptaan Allah.
‘Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menjadikan awan
bergerak perlahan, kemudian mengumpulkannya, lalu Dia menjadikannya
bertumpuk-tumpuk, lalu engkau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan Dia
menurunkan ais dari langit, dari gunung-gunung, makan ditimpakannya ais itu
kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan dihindarkanNya dari siapa yang Dia
kehendakinya. ( An-Nur: 43)’
Buku ‘pathology’
terkuak luas di hadapannya namun dia masih memikirkan persoalan yang besar di
benaknya. Dilihat jam di tangan. Dhuha masih ada. Dia mengambil wudu’ dan
membentangkan sejadah. Bersiap sedia untuk menyempurnakan dua rakat sunat buat
Rabb. Berikanlah aku hidayah untuk merasai imanMu Ya Allah! Bisiknya dalam
hati. Dia ingin bertemu dengan jawapan kepada setiap persoalannya.
Setelah munajat yang panjang pada Allah, dia duduk berteleku dan berfikir. ‘Berfikir
itu lebih baik daripada ibadah selama 1000 tahun’, ungkap salah seorang
sahabatnya di satu ketika. Dia berasa sangat tenang apabila bercakap dengan
Allah. Mencurahkan segala keresahan dalam hatinya. Dia rasa lapang. Dan dia
rasa Allah berada bersamanya ketika itu.
Akhirnya dia bertemu jawapan kepada semua persoalan-persoalannya. Dia tahu
banyak perkara tentang Islam tetapi dia tidak merasakan kepentingannya. Dia
laksanakan apa yang dia tahu namun dia masih berasa belum puas. Seperti seorang
ilmuwan kristian yang belajar tentang al-Quran namun tidak pernah beriman
kepada Allah.
Akhirnya ilham itu muncul. Ya, dia tahu sekarang bagaimana untuk merasai apa
yang dia tahu. Dia tahu bagaimana untuk merasai kemanisan iman itu.
Diambilnya buku ‘Kumar and Clark’ yang
berada di sisi katilnya. Dibukanya halaman tengah secara rawak. Dibacanya
beberapa perenggan.
Serum
calcium levels are mainly controlled by parathyroid hormone (PTH) and vitamin
D. Hypercalcaemia is much more common than hypocalcaemia and is frequently
detected incidentally with multichannel biochemical analysers.
Dia cuba
memahami dengan hati,namun gagal. Dia memahami dengan akal. Walaupun terpaksa
membaca berulang kali namun dia faham juga akhirnya. Tutup. Diambilnya novel
pemberian kakaknya pula, ‘Life of Pi’. Dia membaca untuk
beberapa ketika. Dia terleka. Menghayati setiap bait ayat dengan penuh
perasaan. Patutlah ramai orang mengantuk bila membaca buku akademik tetapi
mampu berjaga malam untuk menghabiskan novel. Ditutupnya novel tersebut dan
diambilnya al-Quran yang berada di sisi.
Dibacanya beberapa ayat dalam surah Az-Zariyat termasuk ayat ke 56 itu. Dia
membaca maknanya sekali. Kali ini,buat pertama kalinya, dia membaca dengan
hati. Sukar pada mulanya, namun dia terus mencuba. Membayangkan bahawa Allah
menurunkan Al-Quran itu pada dia. Merasakan Allah berkomunikasi dengannya.
Dia terus membaca dan menghayati makna dari Al-Quran tersebut sehingga
benar-benar meresap ke dalam hatinya. Perlahan-lahan, air matanya turut
bergenang, perasaannya turut basah dengan keinsafan. Kenapa tidak dia rasakan
sebelum ini? Membaca tanpa memahami,mendengar tanpa menghayati. Sedangkan ini
kalam Allah! Jika dia dapat menghayati novel sampai menangis-nangis,mengapa
tidak untuk kitab Allah? Dia kaget akan dirinya. Mahu salahkan siapa jika dia
sendiri tidak menyedarinya? Begitu benar apa yang dikatakan dalam Al-Quran,
‘ Maka tidakkah mereka mentadabburi(
menghayati) Al-Quran ataukah hati mereka terkunci?’ (Muhammad: 24)
“Dan sungguh akan Kami isikan neraka Jahanam
dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati,tetapi tidak
mempergunakannya untuk memahami dan memiliki mata tetapi tidak melihat dan
memiliki telinga tetapi tidak mendengar. Mereka seperti haiwan ternak, bahkan
lebih sesat lagi’ ( Al-A’raf: 7)
Sedihnya hatinya memikirkan keadaan dirinya yang tidak peka dan menyedari
kerugian yang dia hadapi kerana tidak membaca Al-Quran dengan hatinya. Al-Quran
disamakan ketika membaca buku-buku perubatannya. Kosong dari makna, jauh dari ruh!
Kini sudah dia mula memahami apa yang sering dialunkan di telinganya, ‘Tidak
Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku.’ Dan dia
benar-benar merasakan itu dengan hati. Bukannya dengan beribadah secara rutin
pada Allah tetapi turut memenuhi hak-hakNya. Akan dia jadikan seluruh
kehidupannya, dari bangun tidur sehinggalah dia tidur kembali, sebagai ibadah
kepada Allah, dengan melakukan sesuatu hanya kerana Dia.
Dia turut faham akan makna khalifah di atas muka bumi ini. Diselaknya halaman
al-Quran dan didapatinya ayat yang dikehendaki. Dia membaca dengan kuat. Mahu
ayat itu turut bergema dalam hatinya dan meresap ke dalam pembuluh darahnya.
Dia mahu hidup berpaksikan ayat ini.
‘Dan
(ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak
menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan
Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di
bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan
mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu
tidak mengetahuinya.’( Al-Baqarah:30)
Ya, khalifah! Tugas yang membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lain.
Tugasan yang hanya sanggup dipikul manusia, bukan umat yang lain. Tanggungjawab
yang meninggikan martabat dan nilai manusia di alam semesta ini. Namun cuma
secubit manusia memahami dan melaksanakan amanah ini.
Khalid rakannya dari Syria
pernah berkata padanya, mengapa Allah menyuruh kita menjadi khalifah adalah
untuk kita menyeru seluruh manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah. Manusia
wajib memastikan seluruh makhluk yang melata di atas dunia ini untuk tunduk
kepada Allah. Dengan cara itulah manusia dapat menjadi pentadbir alam ini. Dia
teringat sebuah kisah yang pernah terjadi kepada Abu Dzar, sorang sahabat Nabi.
Beliau hanya menemui Rasulullah selama tiga hari untuk mendalami Islam.
Kemudian dia pulang menemui kaumnya dan berhasil mengislamkan mereka
keseluruhannya. Tidak perlu tahu terlalu banyak untuk menyampaikan Islam, malah
perlu berkongsi apa sahaja yang kita tahu tentang Islam.
Dia menutup
Al-Quran yang dibacanya serta memerhati di luar jendela bilik kecilnya. Salji
masih mesra dengan alam, turun dengan rintik yang perlahan-lahan. Dia menyedut nafas panjang dengan
lega. Alhamdulillah, kini dia sudah faham dan mengerti maksud kehidupanya.
Fikirannya sudah tidak kosong lagi.
- Muharikah -