Monday, April 30, 2012
Catatan BERSIH 3.0: Demi sebuah perjuangan...
oleh: Mohd Aizat Bin Mohd Salleh
'Perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata', 'Andai takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan'.. Dahulu, kata-kata azimat ini selalu saya ucapkan apabila berbincang mengenai perjuangan bersama rakan-rakan. Ungkapannya sungguh indah dan memberi semangat serta kekuatan apabila ditiupkan kepada saya.
BERSIH 3.0, telah membawa saya menghayati ungkapan ini. Betapa gambar-gambar serta video pejuang-pejuang keadilan dan penentang kezaliman dipukul, dipijak, dihenyak, ditendang dan dibelasah yang suatu ketika dahulu hanya saya lihatnya di internet, lalu saya memaki-hamun polis yang melakukan perkara itu. Hari ini saya melaluinya.
Ia bukan soal ingin mengangkat diri. Tidak. Saya hanya rakyat biasa, tidak punya apa-apa. Sama-sama terbelenggu bersama ribuan rakyat Malaysia lain yang menginginkan sebuah negara yang aman, dilimpahi kekayaannya kepada rakyat, dan sebuah pilihan raya adil yang dapat menentukan siapa pemimpin kita masa hadapan.
Permulaan
Sejak jam 12:00 tengahari saya lihat orang ramai sudah mula berkumpul di sekitar stesen LRT Masjid Jamek. Saya, abang dan adik serta beberapa rakan mengambil keputusan berkumpul dahulu di kawasan ini. Suasana agak meriah dengan kehadiran peserta-peserta BERSIH, menguningkan jalan-jalan menuju Dataran Merdeka. Buat awalnya, saya merasakan demonstrasi kali ini sangat berbeza, berjalan lancar, polis-polis yang berada disekeliling jalan hanya memerhatikan peserta BERSIH tanpa bertindak.
Saya juga sempat menyapa sekelompok polis yang berkumpul sambil tersenyum. Mereka menyapa senyuman saya. Saya berseorangan diri, menuju ke kawasan Sogo, kerana ingin bertemu dengan beberapa rakan-rakan yang lain yang sudah menunggu di situ.
Jam 12:30 tengahari, demonstrasi sudah bermula. Kali ini lebih awal kerana tiada sekatan pihak polis. Masing-masing bergembira kerana laluan yang lancar. Saya dan rakan-rakan bermula dari kompleks beli-belah Sogo, berjalan bersama-sama peserta-peserta lain menuju ke Dataran Merdeka. Saya melihat di kiri dan kanan, wajah-wajah rakyat Malaysia yang berbilang kaum, wajah yang suci dan bersih menginginkan sebuah negara yang terpelihara, aman dan penuh demokrasi.
Laungan 'hidup rakyat', 'bersihkan pilihan raya' bergema bersama sorakan. Diiringi juga tepukan tangan. Sesekali terdengar laungan 'Kami mahukan Dataran Merdeka kami', serta 'Dataran Merdeka milik rakyat' turut sama bergema. Luahan rasa dari rakyat yang tertindas.
Sekatan ke Dataran Merdeka
Kami para peserta demonstrasi tiba di simpang menuju Dataran Merdeka. Seperti diduga, pintu masuk dataran telah dikawal rapi oleh ratusan anggota polis, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang lengkap dan kemas dengan belantan. Dengan tertib kami berhenti. Laungan masih bergema. Kelihatan juga lori-lori water canon berdiri megah bersedia untuk memuntahkan air asid kepada peserta demonstrasi sekiranya berlaku kekacauan.
Seorang demi seorang pemimpin Pakatan Rakyat berucap. Saya tidak berapa pasti dan kurang mendengar ucapan mereka kerana saya berada jauh dari lokasi pintu masuk Dataran Merdeka. Tetapi saya mengetahuinya apabila peserta-peserta lain memaklumkan kepada saya.
Sehingga jam 2:45 petang, kami masih di sini. Kami mengambil keputusan untuk berpindah ke kawasan lain iaitu berdekatan dengan bangunan DBKL untuk lebih rapat dengan Dataran Merdeka. Saya menyusuri orang ramai, sehinggalah hampir ke pintu masuk sebelah kiri Dataran Merdeka. Saya melihat dengan lebih jelas orang ramai serta pemimpin disitu.
Sekatan dirempuh
Lebih kurang jam 3 petang lebih, tiba-tiba saya melihat dari kawasan ini, di pintu masuk Dataran Merdeka telah dirempuh oleh peserta-peserta demonstrasi. Sekatan polis juga pecah. Orang ramai masuk ke Dataran Merdeka. Agak menggelikan hati juga apabila melihat anggota-anggota polis yang tadi lagaknya megah, lari terkontang-kanting berselindung di belakang water canon milik FRU apabila melihat peserta demonstrasi masuk beramai-ramai ke Dataran Merdeka.
Tidak sampai 5 minit, lori FRU mula menyemburkan air berasid ke arah peserta demonstrasi. Himpunan orang ramai juga pecah. Peserta yang tidak tahan dengan air, lari ke belakang. Selang beberapa minit kemudian kedengaran tembakan gas pemedih mata. Peluru-peluru gas mula jatuh ke arah peserta demonstrasi. Asap berkepul-kepul. Ketika ini saya melarikan diri ke arah bangunan DBKL.
Mata saya mula pedih, dada juga terasa sesak. Sepanjang beberapa kali saya menyertai demonstrasi, saya rasa gas pemedih mata kali ini agak kuat tekanannya. Saya hampir pengsan kerana tidak dapat bernafas. Alhamdulillah, berbekal air mineral, dan deruan angin yang tiba-tiba bertiup, mengurangkan sakit dada dan nafas saya yang tersekat. Saya terjelepok di deretan kereta-kereta DBKL, mengambil dan memperbetulkan nafas.
Tembakan gas bertubi-tubi
Tidak lama kemudian, kedengaran lagi tembakan gas bertubi-tubi ke arah peserta demonstrasi. Kali ini jumlahnya lebih banyak daripada tadi. Ketika ini saya tidak tahu mahu lari ke mana. Peluru gas jatuh di sana-sini, seakan berada di sebuah medan pertempuran perang. Saya berserah kepada Allah kalau-kalau peluru gas itu mengenai tubuh saya. Tanpa menoleh ke belakang, saya terus lari meninggalkan Dataran Merdeka, berpatah semula ke kompleks Sogo. Rupanya di sana juga 'diserang' oleh gas pemedih mata.
Saya tidak tahu apa yang berlaku di kawasan lain. Tetapi saya kira mereka juga mengalami nasib yang serupa; ditembak oleh gas pemedih mata. Orang ramai mula terpecah, berpatah semula ke belakang, kembali ke tempat awal mereka berkumpul.
Sehinggalah jam 4 petang. Saya berpatah ke Dang Wangi ingin menuju ke Kampung Baru, berhasrat untuk meninggalkan demonstrasi ini dan bertemu kembali adik, abang dan kawan-kawan saya. Namun, saya mendapat makluman yang adik saya masih lagi tersekat di Masjid Jamek, tidak dapat keluar kerana stesen LRT telah ditutup.
Berpatah-balik dan ditangkap
Saya berpatah semula berhasrat mencari adik saya. Disini bermula episod saya dibelasah dan ditangkap. Saya menemui adik saya dan seorang rakannya hampir jam 6 petang, lalu kami meninggalkan Masjid Jamek menuju ke stesen Bandaraya. Setibanya di sana, kelihatan sekelompok polis, berjalan menghalau orang ramai daripada berkumpul di kawasan Sogo. Kami melihat dari atas. Saya mula membeli tiket untuk ke stesen lain kerana stesen Masjid Jamek sudah ditutup.
Selang beberapa ketika, keadaan disini kecoh. Orang ramai memberitahu bahawa pihak polis menyerbu stesen LRT kerana orang masih berkumpul. Saya terdengar suara pihak polis: "Baju kuning mana! Baju kuning mana!".. Ketika itu saya cuba bergerak melarikan diri dari situ. Beberapa pemuda mengelilingi saya, berusaha melindungi saya dari dilihat anggota polis. Namun, seorang anggota polis sempat melihat saya, lalu menarik saya. satu tendangan hinggap dibelakang saya.
Diheret dan dibelasah
Saya diheret dari atas stesen LRT oleh seorang anggota polis. Beberapa anggota polis datang menghampiri saya, menumbuk kepala dan perut. Datang lagi seorang menendang rusuk kiri saya hingga saya terjatuh dan tersembam. Ketika itu saya tidak ingat berapa jumlah tendangan dan penumbuk mengenai saya. Ketika saya terjatuh juga ada anggota polis yang memijak tubuh saya.
Saya 'lembik' seketika. Anggota polis yang mengheret saya menyuruh saya bangun. Mulut saya hanya mengucapkan ayat-ayat Al-Quran yang saya hafaz di samping ayatul Kursi pelindung diri daripada tindakan jahat dan bengis syaitan menyerupai manusia ini. Kedengaran seorang anggota polis berkata: "Kau punya pasallah dua orang kawan aku mati.." Buk! satu penumbuk menerjah lagi ke muka saya..
Saya diheret lagi, melalui jalan depan bangunan DBKL. Saya sempat melihat ada lagi dua peserta demonstrasi yang ditahan turut mengalami nasib yang sama seperti saya. Dalam hati saya berkata: "Di saat ini hanya kepada-Mu aku berharap, tiada kuasa yang Maha Besar melainkan kekuasaan-Mu. Manusia tidak boleh berbuat apa-apa kepadaku.."
Saya diheret sehingga ke Dataran Merdeka. Di situ saya melihat puluhan anggota polis berkumpul. Di sini saya dibelasah lagi. Mana-mana jalan yang saya diheret yang ada anggota polis, pasti ada yang menumbuk, menendang dan membelasah saya. Saya terkulai, tidak dapat berbuat apa-apa dan mengelak kerana jumlah mereka terlalu ramai.
Sehinggalah saya tiba di trak polis. Ketika itu saya tidak bermaya. Tidak tahu berapa kali pukulan yang saya terima. Semoga Allah membalas perbuatan mereka anggota polis yang memukul saya dengan balasan yang setimpal, Amin.
Di dalam trak, ada hampir sepuluh peserta BERSIH yang ditahan. Masing-masing cedera. Hampir setiap orang lebam mata, pecah bibir dan berdarah di kepala. Saya sempat tersenyum dengan mereka. Seorang lelaki menghulurkan air mineral kepada saya untuk diminum. Moga Allah merahmatinya. Seorang pak cik dari Perak, mententeramkan saya. Katanya: "Sabar dik, orang muda kena kuat. Nabi dan Rasul lagi teruk kena daripada kita..", Alhamdulillah, saya sedikit tenang.
Ke PULAPOL
Kami dibawa ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak. Kami kumpulan kedua terakhir dibawa ke sini. Sampai di sini, hampir 300 peserta yang ditahan sedang menunggu diambil pengenalan diri dan rekod. Mereka ini kumpulan yang ditahan sekitar jam 3:00 petang hingga 5:00 petang. Ketika ini, jam tangan saya menunjukkan 7:30 petang.
Kami turun dari trak, seterusnya menyerahkan kad pengenalan. Kami diminta tunggu untuk laporan polis dibuat. Hampir lebih setengah jam berlalu, saya meminta izin daripada anggota polis untuk bersolat.
Di dalam solat saya berdoa. Menginsafi ujian dan cabaran yang diberi Allah. Saya mengingati kembali betapa masih ramai pejuang-pejuang terdahulu yang menerima ujian dan keperitan perjuangan Islam yang lebih teruk. Tahap yang terakhir mereka dibunuh. Ya Allah, cabaran yang saya lalui masih kecil, terlalu sedikit bandingnya..
Di sisi Prof Aziz Bari
Tatkala menunggu nama dipanggil untuk dibebaskan, saya terlihat susuk tubuh yang saya agak kenali. Rupanya Prof Aziz Bari. Saya melihatnya tersenyum. Saya menghampirinya dan berkata: "Wah..Prof pun kena tangkap juga?" Dia menjawab: "Biasalah.." Kami tersenyum. Saya berbual-bual sedikit dengannya dan bertanya khabar karier politiknya.
Sehinggalah namanya dipanggil. Ketika namanya dipanggil, orang ramai peserta BERSIH yang ditahan memberi tepukan tangan. Ada yang menjerit: "Cayalah Prof... Jangan serik masuk lagi.." Kami semua tergelak dan tersenyum.
Sekitar jam 4:00 pagi, kami semua selesai dibebaskan. Saya bersalaman dengan rakan-rakan yang ditangkap sekali. Ketika berjalan keluar menaiki bas untuk dibebaskan, kepala saya masih berpusing dan berdenyut sakit akibat pukulan siang tadi. Namun, terubat dengan pertemuan kami di dalam pusat tahanan. Saya bertemu ramai orang yang istimewa. Seorang muallaf India yang baru masuk Islam juga ditahan bersama-sama dengan saya, semangat berbincang soal perjuangan Islam seakan Saidina Umar yang baru masuk Islam.
Dipukul, dibelasah dan ditangkap, menyemarakkan lagi semangat juang saya. Saya pasti, setiap kezaliman dan kejahatan pasti akan berakhir, seperti mana bumi dan kehidupan ada penghujungnya. Berjuanglah hingga ke jalan yang terakhir, setiap manusia diuji mengikut ketahanan dan keimanan masing-masing.. Wallahu a'lam..
Sri Gombak,
(Isnin) 9:45 a.m
Subscribe to:
Posts (Atom)