Thursday, December 18, 2008

Perkasakan Tarbiyah, Lebarkan Siasah : Kemenangan Semakin Hampir!

Pesan Allah s.w.t buat yang berjuang:

”Jika Allah menolong kamu maka tidak akan ada orang dapat mengalahkan kamu..”
(Ali-Imran,160)

Kira-kira hanya kurang 30 lagi menjelang Pilihan Raya Kampus (PRK), buat kampus-kampus yang masih belum menyempurnakan sesi peralihan kepimpinan melalui kaedah demokrasi ini. Di beberapa buah kampus tertentu, tampuk MPP sudah diisytiharkan dan saya kira sudah menjalankan amanah dan tanggungjawabnya sebagai wakil mahasiswa yang dipilih. Walau apa jua gagasan mereka, keperluan dan kehendak mahasiswa wajib didahulukan merentasi batas pemahaman ideologi serta politik.

Beberapa tempoh yang berlalu ini, corak landskap politik kemahasiswaan mula menampakkan arus perubahan serta harapan baru. Tiupan angin perubahan dari luar kampus sudah mula meresap menerobos kolej-kolej serta fakulti-fakulti, memaparkan kebobrokan sistem-sistem lama yang tidak lagi releven untuk dipertahankan. Mahasiswa mula mendekati gerakan yang diyakini mampu melaksanakan perubahan.

Gerakan Mahasiswa Islam Kampus (GMI) turut tidak terlepas daripada tempias angin ini. Dari suatu sudut, program-program kerohanian yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di kampus-kampus mula mendapat sambutan yang menggalakkan. Kuliah-kuliah ilmu, yang suatu masa dahulu hanya dihadiri golongan mahasiswa agamawan, kini diminati segenap lapisan luar berjurusan agama.

Lebih dari tu lagi, program tamrin (workshop) iaitu program pembinaan sahsiah dan penerapan kefahaman Islam yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya baru-baru ini, telah menarik hampir dua ratus mahasiswa pelbagai jurusan antaranya dari fakulti Akademi Pengajian Islam, Ekonomi, Alam Bina, Sains serta tidak terkecuali mahasiswa dari fakulti Perubatan serta Kejururawatan. Mereka ini menunjukkan minat yang sangat mendalam kepada program-program yang bercorak ilmiah dan bermanfaat ini.

Dalam masa yang sama, GMI seluruh kampus perlu mengambil peluang ini dengan baik. Program-program kerohanian yang menjadi asas tarbiyah kepada mahasiswa kampus harus dirancakkan. Usrah, bukan lagi aktiviti yang perlu diselindung dan ’takut-takut’ untuk dibicarakan. Kuliah-kuliah ilmu perlu dibanyakkan lagi dengan menumpukan di fakulti-fakulti serta di surau-surau kolej kediaman. Sesi penerangan kefahaman Islam yang merangkumi Aqidah Islam, akhlak, ibadah dan Islam sebagai kehidupan, perlu hebat dipublisitikan secara meluas melalui risalah-risalah serta program-program yang dianjurkan.

Dalam melebar-luaskan jaringan kefahaman ini, persatuan-persatuan berdaftar yang aktif di kampus menjadi sebagai salah satu medan penerapan tarbiyah dan kefahaman Islam. Antaranya persatuan-persatuan fakulti serta persatuan anak-anak negeri. Bukan sekadar mengadakan program bercorak interaksi serta motivasi, malah yang berbentuk islamik serta pembangunan insan juga direncanakan. Disamping itu, pembudayaan tradisi menuntut ilmu serta keintelektualan sudah pasti tidak terkecuali dalam mencambah idea-idea baru serta mewujudkan suasana cabar-mencabar dan kritikal dalam pembelajaran.

Maka ahli-ahli GMI sewajibnya memulakan dahulu angin perubahan ini. Persiapan kejiwaan serta rohani dimantapkan dan dikuatkan bagi mendepani massa dan cabaran. Program kerohanian seperti qiamullail, usrah, amalan-amalan sunat diiltizamkan sentiasa untuk membina kekuatan dalaman di samping perencanaan strategi dan politik dengan baik dan tersusun. Selain itu, satu pasukan yang kuat perlu dibentuk (bagi penulis sudah sedia dibentuk) oleh GMI bagi mengambil-alih tampuk kepimpinan yang selama beberapa tahun ini diduduki oleh golongan yang tidak mampu menjalankan kerja.

Kita yakin, GMI sudah bersedia untuk memimpin kampus melalui Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) dan membawa kampus kepada arus perubahan ke arah yang lebih baik dan sejahtera.

Janji Allah s.w.t:

”..Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman (berjuang) di antara kamu dan yang mengerjakan amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka (ini) berkuasa (memimpin) bumi..” (An-Nur,55)

Mohd Aizat Bin Mohd Saleh
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Malaya (PMIUM)