Friday, November 22, 2013

Ahmad Ammar,Abu Ayub Al Ansari & Empayar Usmaniah

AHMAD AMMAR


Dilaman Sosial, video kenangan Ahmad Ammar menjadi perkongsian sehinggakan individu boleh sebak dan mengalirkan air mata jika menonton kisah perjalanan pemuda yang berusia 20 tahun itu. Untuk info, Ahmad Ammar telah pun meninggal dunia pada 2 November 2013 jam 1.30 petang akibat dilanggar ambulan ketika melintas jalan di Istanbul, Turki. 

Jenazah Ahmad Ammar dimuliakan di Turki kerana beliau merupakan pemuda yang banyak berjasa kepada masyarakat dan juga dalam ilmu agama dan aktif dalam berdakwah. Selain itu, pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia seperti di Syria dan sebagainya. 

Ahmad Ammar juga pernah berhasrat untuk mati Syahid dalam kehidupannya. Namun, kematiannya akibat kemalangan jalan raya pada 2 November lalu telah menyebabkan beliau digelar sebagai  “Syahid yang tertangguh” oleh para sahabatnya.

Ini adalah sebahagian coretan yang saya ambil daripada beberapa blog menceritakan tentang seorang pemuda yang berasal dari Malaysia yang sedang menuntut dalam jurusan Sejarah Usmaniah di Turki. Beliau dipanggil Allah ketika usianya masih muda,ibarat bunga yang baru hendak berputik tetapi telah pun dipetik orang. 

Ramai antara kita yang sudah pun mengikuti malah menonton video mengenai beliau. Dan saya rasa tak perlulah saya nak perpanjangkan lagi di blog ini. Cuma apa yang ingin saya kongsikan disini ialah beberapa perkara yang tersirat disebalik cerita mengenai kematian beliau begitu juga tentang tanah perkuburan yang menjadi tempat bersemadi beliau.

ABU AYUB AL ANSARI



Jenazah Ammar telah pun disemadikan disalah satu perkuburan yang mulia di Turki. Yang mana disitu terdapat ramai makam para sahabat Rasulullah S.A.W termasuklah Abu Ayub Al Ansari sendiri.

Siapakah Abu Ayub Al Ansari ini? Beliau adalah merupakan sahabat Nabi yang merupakan golongan Ansar yang menetap di Madinah. Rumah beliau telah dijadikan tempat transit oleh baginda nabi sementara menunggu masjid Nabawi dibina ketika itu.

Ketika Abu Ayub sampai ke Konstantinopel beliau telah pun berusia 81 tahun. Persoalannya mengapa begitu sekali sahabat-sahabat nabi bersemangat untuk datang ketempat itu. Ini tidak lain tidak bukan kerana mereka pernah mendengar nabi bersabda "Nanti Konstantinopel bakal akan jatuh ketangan umat Islam. Mereka dipimpin oleh sebaik-baik pemimpin dan tentera mereka adalah sebaik-baik tentera dan rakyat mereka adalah sebaik-baik rakyat". Maka atas dasar inilah sahabat bertungkus lumus datang demi semata-mata mahu menjadi mereka yang disebut oleh Nabi tadi.

Ketika Abu Ayub sedang nazak dan sakitnya semakin memberat, Jeneral tentera Islam ketika itu Yazid bin Muawiyah bertanya kepada beliau; Adakah apa-apa hajat dalam hati tuan?"

"Ada,wahai Yazid,"  jawab Abu Ayub. Seandainya ajalku sampai disini sahaja, ku minta kalian masukkan jenazahku ke bumi musuh ini. kuburkanlah aku di bawah tapak kaki kalian,di tanah tempat kalian sedang menghadapi musuh ini."

Hasrat beliau telah dipenuhi oleh panglima Yazid, Beliau telah dimakamkan di pinggir benteng Konstantinopel sempena pesan terakhir beliau. Beratus-ratus tahun berlalu . Hinggalah Sultan Muhamad al Fateh berjaya membebaskan kota Konstantinopel  pada tahun 1463. Baginda seorang yang sangat mengambil berat tentang sejarah dan berusaha mencari semula makam Abu Ayub tetapi tidak berjumpa.

Hingglah berita itu sampai kepada guru beliau iaitu Syeikh Shamsuddin Al Wali. Dia menyuruh Muhamad Al Fateh solat hajat dua rakaat waktu dinihari. Dia bermimpi,dalam mimpinya dia ditunjukkan tempat makam Abu Ayub berada. Setelah dikenal pasti dan diperbaiki,maka dibinalah Masjid yg dikenali sebagai Masjid Ayub Sultan.



Ada kisah menarik ketika makam itu digali untuk memastikan adakah benar ia jasad Abu Ayub Al Ansari,ketika itu terlihat jelas terjulur kaki beliau yang masih utuh, walaupun sudah ratusan tahun di dalam tanah. Para askar dan penduduk tempatan bergilir-gilir menciumnya untuk mendapat barakah.

Bila tiba giliran Sultan Muhamad Al Fateh,tiba-tiba kaki itu bergerak untuk mengelak. Maka seharian Muhamad Al Fateh berasa sedih. Apakah agaknya dosa yang dia lakukan sehinggakan dia tidak layak. Kepada gurunya beliau merujuk.

Maka berkatalah gurunya, "Sesungguhnya Abu Ayub malu kepadamu wahai Muhamad. Dia berharap benar bahwa dialah orang yang disebut oleh Rasulullah,tapi pilihan Allah jatuh kepadamu..justeru itu dia malu kepadamu."

Itulah secebis kisah yang menarik mengenai keunikan makam dan juga keperibadian sahabat2 nabi dan juga peribadi Sultan Muhamad Al Fateh.

EMPAYAR USMANIAH



Mengikut sejarahnya, bani usmaniah bukanlah dari satu bangsa yang besar. Mereka hanyalah terdiri daripada satu kabilah kecil diantara puak yang berasal dari suku Hun di Asia Tengah. Mereka pernah menjadi pelarian yang merempat ke sana kemari akibat daripada serangan tentera Monggol. Namun dikalangan mereka telah lahir seorang pemimpin yang berjiwa dan cita-cita besar. Dia ialah Usman ibn Sauji ibn Artugrul ibn Sulaiman Shah ibn Kia Alp,pengasas empayar Turki Usmaniah.

Dari zuriat beliau inilah yang melahirkan pemimpin yang bertaqwa. Yang sangat dikenali dengan kewarakan,kebijaksanan serta kepandaiannya dalam berperang sehingga berjaya menawan kota Konstantinopel . Beliau itulah Sultan Muhamad Al Fateh.


Kisah kejayaan beliau telah pun disebut oleh Rasullah S.A.W sebelum itu. Dengan semangat ingin membuktikan hadis,maka mereka berjuang bersungguh-sungguh sehinggalah mereka berjaya. Inilah yang mesti kita pelajari daripada Bani Usmaniah ini. terutama bagi kita pejuang-pejuang agama yang datang daripada sebelah Timur ini.

Timur yang kian rancak dengan perkembangan dan semangat Islam yang luar biasa.Sebuah empayar Islam abad ke 21, kalau dapat ditegakkan mungkin akan berpusat di timur. Masih ada isyarat-isyarat hadis yang giliran kita pula harus membuktikannya. Tetapi mungkin semua itu masih belum terserlah kerana kita masih belum serius untuk memikirkannya.Masih belum ada pemimpin-pemimpin Islam yang menyebutnya. 

Sesungguhnya dapat kita rasai bahwa pada diri bangsa Melayu yang belum pernah menjadi Empayar ini,banyak aset besar yang mungkin boleh dimanfaatkan untuk cita-cita besar seperti kabilah Bani Usmaniah.

Setiap individu yang cintakan Islam dan mahu melihat Islam berdaulat kembali dimuka bumi ini mesti mula memikirkan hal ini. Kita perlu belajar daripada sejarah. Sebahagian dari sejarah keagungan Turki Usmaniah inilah yang sedang dipelajari oleh anak muda kita yang bernama Ahmad Ammar ini.

Beliau telah membuktikan kepada kita bahwa bangsa Melayu bukanlah bangsa yang terpencil. Kita lihat sendiri betapa jenazah beliau dimuliakan oleh orang Turki yang satu ketika dahulu adalah penakluk dunia. Kematian beliau telah menyedarkan bangsa Turki bahwa selama ini mereka telah tertipu dengan permainan yahudi yang ingin mematikan semangat perjuangan Islam dalam diri mereka melalui fahaman sekular yang dibawa oleh Mustafa Kamal At tartuk. 

Anak muda ini sanggup meninggalkan tanahair sendiri hanya semata-mata ingin mendalami dan mempelajari tentang kehebatan sebuah kerajaan Islam yang terakhir. Walaupun cita-cita beliau tidak kesampaian tetapi Ahmad Ammar ini juga telah menjadi orang melayu pertama yang syahid dan dimuliakan oleh Allah untuk bersama-sama insan yang mulia itulah sahabat-sahabat Rasullulah di Negara Turki. Semoga dengan peristiwa ini bakal menyedarkan anak-anak muda di Malaysia khasnya juga diseluruh Nusantara,gugusan kepulauan Melayu amnya. Sudah sampai masanya kita gembeleng tenaga untuk sama-sama membela agama Islam yang mulia ini. 

Kita gunakan tenaga muda yang ada demi membangunkan dan memuliakan Islam. Berhentilah daripada membuang masa dan contohilah semangat kental rakan sebayamu yang bernama Ahmad Ammar ini. Moga apa yang beliau pernah pelajari dan apa jua yang dicita-citakan oleh beliau akan ada orang yang menyambungnya,sekaligus bakal mencetuskan fenomena baru untuk bangsa melayu yang belum pernah menjadi empayar lagi ini.

Al Fatihah buatmu Ahmad Ammar...damailah dikau disana wahai adikku...