• Home
  • Posts RSS
  • Comments RSS
  • Edit
  • Pengalaman Gempa Bumi di Sapporo

    Tuesday, September 11, 2018
    Assalamualaikum,

    Minggu lepas aku ditakdirkan untuk merasai gempa bumi berskala ritcher 6.7 di Sapporo. 
    Pada mulanya aku ke Sapporo untuk menghadiri persidangan (PBAST8) dari 3 - 6 September.  

    Pada hari ke 2 persidangan, semua peserta dimaklumkan taifu akan melanda Sapporo. Maka kami telah bersedia dengan perkara tersebut. Ternyata taifu di Sapporo tidaklah sehebat di bahagian bawah seperti di Osaka, Kyoto dan lain-lain. 

    Tepat jam 3.07 pagi, gempa bumi menimpa kawasan Sapporo. Ketika itu, aku berada di tingkat 14 di hotel berdekatan stesen Sapporo. Kejadian berlaku 30-40 saat menyebabkan bangunan bergoyang dengan sangat jelas, kedudukan bilik hotel di tingkat 14 memberi impak yang lebih terhadap gegaran yang dirasai. Aku cuba tidur semula, tetapi gegaran susulan tetap dapat dirasai. Bekalan elektrik dan air terputus serta merta menunjukkan betapa seriusnya gempa bumi kali ini. Keadaan agak cemas. Lantas, aku menukar pakaian yang lebih sesuai dan membawa semua barang2 berharga ke lobi.  

    Setelah usai solat subuh di lobi hotel, aku menjadi lebih risau bila memikirkan bateri telefon bimbit aku hanya ada 30%. Sesungguhnya aku lupa untuk caj telefon sebelum tidur hari sebelumnya. 

    Aku menghubungi rakan dari Malaysia yang belajar di Universiti Hokkaido dan berjalan ke rumahnya dari hotel aku. Rumahnya bernasib baik kerana bekalan air masih boleh digunakan. Walaupun kami berdua, kami masih berasa tidak selamat untuk tidur di rumahnya. Kami membuat keputusan untuk bergerak ke rumah keluarga rakyat malaysia yang tinggal berdekatan. 
    Lebih kurang 5 orang berkumpul di rumah tersebut untuk berada bersama-sama supaya berasa lebih selamat. Pada saat ini, semua pengangkutan awam dihentikan termasuk kapal terbang. Aku membuat keputusan untuk menukar tarikh penerbangan daripada Jumaat ke Ahad.

    Alhamdulillah hari sabtu, bekalan elektrik kembali seperti biasa walaupun tidak kepada semua kawasan. Tren ke lapangan terbang juga mula beroperasi. Aku berterima kasih kepada rakan-rakan yang membantu ketika aku cemas. Walaupun setelah 3 hari gempa bumi besar berlalu, kami masih boleh merasakan gempa bumi berskala ritcher kurang lebih 4.2. 

    Aku berharap keadaan akan pulih seperti sedia kala.

    Semua ini adalah pengalaman sendiri.