Mutmainnah terdiam seketika. Ini soal cinta! Melihat Mutmainnah gelisah, Ammaarah pun memulakan bicara dengan pemilik mereka.
"Hmm. Nampaknya dia ni suka kau. Dia solat... orangnya pun baik. Apa kata kau cakaplah kat dia yang kau pun suka dia, sayang dia. Nanti kalau orang lain dah ambil dulu, terlepaslah peluang..."
"Jangan! Kalau Allah dah tentukan dia untuk awak, mesti akan bertemu satu hari nanti. Yakin, percaya dengan Allah! Cinta terlalu suci! Jangan dicemarkan!"
Amarah bisikkan pujukan.
"Ish... bukan kau tak tahu. Inilah cinta kerana Allah. Pagi-pagi, kau telefon dia lah. Bangunkan dia untuk solat tahajjud ke... kan bagus, saling ingat mengingatkan. Orang Islam kena selalu berpesan-pesan kepada kebaikan..."
Mutmainnah terasa semacam dicabar.
"Kalau dia betul bersungguh-sungguh, kenapa perlu awak untuk kejutkan, ingatkan untuk buat kebaikan? Pilih! Nak redha Allah atau nak kebahagiaan sementara? Kalau permulaan jalan percintaan awak sebegini, bimbang akan datang akan timbul pelbagai masalah!"
Ammaarah langsung tidak peduli kata-kata Mutmainnah. Tenang sahaja memilih kata-kata.
"Mutmainnah ni alim sangat. Ni namanya terlalu ekstrim. Kan orang kata, cinta tu fitrah. Kau tengok, ramai orang yang berpasangan, lepas perkahwinan tetap bahagia. Anak-anak pun baik-baik, bijak bestari lagi. Berkat kan tu... mana ada porak-peranda. Mutmainnah sengaja ada-adakan cerita."
Si pemilik seakan melihat kebenaran pada kata-kata Ammaarah. Mutmainnah hampir menangis.
"Bahagia di dunia, sama dengan bahagia di akhirat? Macam mana nanti dengan akhirat kita? Mohon, janganlah lupa..... yang kita ingin, redha Allah. Yang kita ingin, syurga di akhirat. Akhirat. Akhirat. Akhirat! Itu yang lebih kekal..."
Ammaarah tersenyum. Dia terasa apa yang dia ungkapkan lebih meninggalkan kesan. Namun dia tidak tahu hati si pemilik mula merasa tenang dengan Mutmainnah. Mutmainnah menyambung lagi kata-katanya...
"Bila hati sabar menanti, ketenangan akan terasa, pahala akan berterusan... seperti mengalirnya air sungai yang jernih, dinginnya mendamaikan. Dan terdapat tasik yang indah di penghujung sungai itu. Itulah tempat yang istimewa; itulah tempat pertemuan. Andai sahaja dua sungai yang airnya dicemari berjumpa, ia menjadi satu dan airnya yang mengalir boleh memudharatkan. Indahnya kehidupan di bawah rahmat Allah akan hilang.."
Seperti ada sesuatu yang membuatkan si pemilik merasakan ini yang benar...
Dia tekad. Kenapa perlu menjadi seperti yang lain, bila ada sesuatu yang lebih baik menanti? Kenapa perlu tergesa-gesa, Allah ada untuk aturkan segalanya? Biar sahaja dia bersabar. InsyaAllah, penantian ini akan berakhir; ia akan berakhir dengan kebaikan nanti.....