Umar Abdul Aziz dan Bumi Cinta, dua buah buku yang sempat dimiliki semalam selepas lebih kurang 1 jam berlegar-legar dalam Popular Delta Mall, Sibu.
Alhamdulillah.
Moga-moga aku dapat manfaat daripada buku ini. InsyaAllah.
Hari ini sewaktu membaca buku Umar Abdul Aziz, karangan Abdul Latip Talib selepas subuh tadi, ada satu ayat yang amat terkesan dalam diri. Pastinya ada ayat lain, tetapi ada satu ayat yang mengetuk pintu minda supaya sedar.
Sewaktu Khalifah Umar Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah selepas pemergian Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik, beliau naik ke atas mimbar lalu mengucapkan puji-pujian Allah serta mengucapkan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad, seterusnya berkata,
Kena ketuk, baru sedar.
Saya berpesan kepada kamu, bertakwalah kepada Allah kerana ketakwaan itu lebih penting daripada segalanya. Beramallah kamu untuk akhiratmu nescaya Allah menyelesaikan urusan duniamu. Perbaikilah tinkah lakumu dihadapan umum. Banyakkan mengingati mati dan buatlah persiapan menghadapinya, nescaya mencegah kamu hidup berfoya-foya mengikut nafsumu. Sesiapa yang tidak mengingati saat kematiaannya, nescaya dia mati dalam kehinaan.
Rempah ketaqwaan perlukan iman dan ikhlas, juga istiqamah. Ya, ketaqwaan itu kunci segala tindakan. Percaya atau tidak, percayalah. Ketaqwaan itu akan memandu kita dalam setiap urusan, di mana ianya akan lebih teratur, sistematik dan yang paling penting redha Allah diraih bersama.
Apa itu Taqwa?
Sahabat Omar bin Khattab pernah bertanya kepada sahabat Ubai bin Kaab berkenaan maksud Takwa.
Ubai berkata, “Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi onak dan duri?” Jawab Omar, “Ya pernah.” Ubai bertanya lagi, “Apakah yang kamu lakukan ketika itu?” Omar berkata, “Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh (syammartu wajtahadtu).” Berkata Ubai, “Itulah taqwa.”
Daripada jawapan ini dapat disimpulkan, takwa bermaksud berhati-hati dalam hidup supaya tidak terjebak dengan perkara yang haram serta bersungguh-sungguh semasa beramal berlandaskan Quran dan sunah.
Beramallah untuk akhiratmu. Dengan itu urusan dunia akan turut lancar. Bagaimana untuk kita selalu beringat untuk beramal untuk akhirat? Adalah dengan mengingati mati, demikian akan membuat kita berkejar-kejar membuat amal soleh. Menyiapkan bekalan untuk dipersembahkan di akhirat nanti.
Sentiasa mengingati mati yang dituruti dengan amalan soleh untuk ke akhirat itu akan mencegah kita daripada terjebak dengan dorongan berfoya-foya oleh nafsu. Sangat berkait, jika salah satu tertinggal atau ditinggalkan, maka disitulah terdapat kekurangan.
[Peringatan tegas buat diri]
Bermujahadah bagi melaksanakannya tidak semestinya dengan turun ke medan perang. Sedarkah? Sedangkan jihad kubra itu adalah dengan menangani hawa nafsu sendiri.
Maka, di situ ada kelemahan.
Maka, di situ juga perlu dibetul-betulkan.
Cuma dikala berusaha untuk memperbaiki. Hadir pula rasa lesu.
Maka lemah kembali jasad yang dahulunya kuat dengan azam dan iltizam.
Terkulai lesu, longlai tidak bermaya.
Adakah hambaNya dicipta untuk berlemah-lemah?
Sedangkan bilangan tentera yang sedikit mampu menumpaskan musuh yang ramai?
Usah lemah, apatah lagi menyerah.
Jika jatuh, bangunlah kerana ini bukan masa untuk mengeluh.
Jika runtuh, binalah semula benteng iman yang utuh.
Waallahua'lam.
30/12/2010 Banyak membaca jadikan kita banyak berfikir. Namun jangan ditinggal Al-Quran kerana itulah sumber ilmu, sumber akal untuk berfikir dalam iman.
Get ready for next posting..get ready for our journey in Miri :)