KUALA LUMPUR – Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Muhd. Kamal, 18, memilih Jordan untuk melanjutkan pelajaran di bawah biasiswa Bank Negara Malaysia.
MADIHAH (tengah) melihat buku Catatan Hati Nik Nur Madihah yang dilancarkan di Kuala Lumpur semalam.
Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah melakukan solat Istikharah dengan memilih bidang Fizik Islam.
“Saya akan berlepas ke sana pada bulan Ogos atau September ini.
“Buat masa ini saya sedang membuat penyelidikan bersama pihak Bank Negara untuk memilih universiti terbaik dalam bidang Fizik Islam,” katanya.
Nik Nur Madihah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku kisah hidupnya bertajuk Catatan Hati Nik Nur Madihah terbitan Hijjaz Records Publishing (HRP) di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah ibu dan bapanya, Mariyani Omar dan Nik Muhd. Kamal Husin.
Nik Nur Madihah yang fasih berbahasa Arab memberitahu, dia masih tidak percaya kisah hidupnya dibukukan dan berharap pembaca akan mengambil ilmu dalam buku itu sebagai pengajaran dalam hidup.
Buku berharga RM25.90 itu akan mula dijual hari ini dan ia diterbitkan oleh Pengurus HRP, Faizal Osman dengan dibantu oleh Ummu Hani Abu Hassan.