Followers

Monday, February 10, 2014

Bangsaku... (episod I)

Sudah menjadi sunnah ilahiyyah, para Nabi dan Rasul itu tidak diutus, melainkan daripada kalangan kaum dan umat itu sendiri. Adalah tidak “kena” seandainya Rasul yang diutus kepada kaum Quraisy, merupakan Rasul berketurunan, berbangsa dan bercakap dalam Bahasa orang Melayu misalannya. Maka Rasul akhir zaman, saydina kita Muhammad ibni Abdullah SAW itu, adalah daripada bangsa Quraisy itu sendiri, malah di kalangan yang terbaik di antara mereka. Sabda Nabi SAW:

“Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk, lalu menjadikanku dari sebaik-baik golongan mereka dan sebaik-baik dua golongan. Kemudian memilik beberapa kabilah, lalu menjadikanku dari sebaik-baik kabilah, kemudian memilih beberapa rumah lalu menjadikanku  dari sebaik-baik rumah, maka aku adalah sebaik-baik diri dan sebaik-baik-baik rumah di antara mereka.”
(HR Tirmidzi)

“Sesungguhnya Allah telah memilih Ismail dari anak Ibrahim, memilih Kinanah dari anak Ismail, memilih Quraisy dari Bani Kinanah, memilih Bani Hasyim dari Quraisy, dan memilihku dari Bani Hasyim.”
(HR Muslim)

Bukan junjungan kita sahaja, malahan nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain-lainnya pun, turut diangkat daripada kalangan kaum mereka juga.

Kaum Nuh telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka (Nuh) berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?”
(Surah Asy-Syu’ara’[26]:105-106)

Kaum Ad telah mendustakan para rasul. Ketika saudara mereka Hud berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?”
(Surah Asy-Syu’ara’[26]:123-124)

Kaum Tsamud telah mendustakan rasul-rasul. Ketika saudara mereka, Saleh, berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?”
(Surah Asy-Syu’ara’[26]:141-142)

Kaum Lut telah mendustakan rasul-rasul, ketika saudara mereka, Lut, berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?"
(Surah Asy-Syu’ara’[26]:141-142)

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, mengapa kamu menyakitiku?”
(Surah As-Shaf [61]:5)

Begitulah halnya dengan Nabi Allah Syu’aib Alaihissalam. Beliau juga diutus daripada kaumnya juga, untuk mendakwahi kaumnya itu. Tahukah kamu bangsa apa Nabi Allah Syu’aib Alaihissalam itu? Beliau adalah daripada kaum Madyan. Madyan itu nama tempat. Kerana itulah, Allah menyebutkan betapa Nabi Allah Syu’aib Alaihissalam itu pun, adalah saudaranya penduduk Madyan juga.

“Dan (Kami telah mengutus) kepada penduduk Madyan saudara mereka, Syuaib. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata dari Tuhanmu. Maka sempurnakanlah takaran dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang takaran dan timbangannya, dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika betul-betul kamu orang-orang yang beriman"
(Surah Al-A’raf [7]:85)

Namun, pada masa yang sama, penduduk Madyan kaumnya Nabi Allah Syu’aib Alaihissalam itu  juga mempunyai gelaran yang lain, iaitu Ashabul Aikah.

Saya tidak mahu membahaskan asal kata Ashabul Aikah di sini. Cuma saya ingin menerangkan secara umum perbezaan di antara penduduk Madyan, dengan Ashabul Aikah. Bagaimana saya ingin terangkan ya?

Mungkin begini: Fizo lahir dan membesar di Kelantan. Malah ia masih punya rumah di Kelantan, dan setiap Hari Raya, ia akan pulang ke Kelantan. Maka Fizo adalah orang Kelantan. Kebanyakan orang Kelantan adalah orang “The Red Warriors”, namun Fizo, sungguh pun mengaku ia orang Kelantan, ia tidak mengaku bahawa ia orang Red Warrior. Boleh jadi kerana ia tidak minat bola, atau kebetulan ia sekolah di sekolah sukan Bukit Jalil lalu mewakili pasukan Kuala Lumpur ketika zaman sekolahnya hingga dalam hal bola sepak, ia tidak pernah menyokong pasukan Red Warrior, atau lain-lain alasan lagi. Ini semua contoh sahaja. Maaf Fizo. Maka sebegitu jugalah dengan penduduk Madyan dan Ashabul Aikah tadi. Sekarang, mari kita perhatikan apa kata Quran.


Allah SWT sememangnya mengakui Nabi Syu’aib Alaihissalam sebagai sebahagian daripada kalangan penduduk Madyan. Itulah sebabnya, orang-orang Madyan turut memanggil Nabi Allah Syu’aib Alaihissalam sebagai “saudara” mereka. Hal ini disebut oleh Quran dalam beberapa ayat, iaitu surah Al-A’raf ayat 85 tadi, surah Hud ayat 84, serta surah Al-Ankabut ayat 36. Namun, ketika Allah mengaddress kaumnya Nabi Allah Syu’aib Alaihissalam sebagai Ashabul Aikah, Allah tidak pernah menyebutkan Nabi Allah Syu’aib Alaihissalam sebagai “saudara” mereka. Kenapa? Kerana Ashabul Aikah adalah geng-geng kufur yang memilih untuk menentang dan tidak beriman dengan dakwah Nabi Syu’aib Alaihissalam. Firman Allah:

“Dan sesungguhnya adalah Ashabul Aikah itu benar-benar kaum yang zalim”
(Surah Al-Hijr [15]: 78)

Contohnya adalah dalam Surah Asy-Syu’ara yang diceritakan di atas. Ketika Allah SWT bercerita tentang 5 orang Nabi dan persama-persamaan dalam dakwah yang dibawakan oleh mereka, Allah SWT menyebutkan “ketika saudara mereka Nuh,” “ketika saudara mereka Hud,” “ketika saudara mereka Lut,” “ketika saudara mereka Shaleh,” namun, apabila sampai ke ayat yang ke-176 & 177, Allah SWT menyebut;

Äshabul Aikah telah mendustakan rasul-rasul; ketika Syuaib berkata kepada mereka: "Mengapa kamu tidak bertakwa?”

Tonenya tiba-tiba berubah. Untuk Nabi Syu’aib, tidak ada lagi sebutan “saudara mereka”. Kenapa? Kerana Quran mengiktiraf Nabi Allah Syu’aib Alaihissalam sebagai sebahagian daripada bangsa Madyan itu, tetapi dalam hal kederhakaan dan kezaliman geng-geng Ashabul Aikah, Nabi Allah Syu’aib Alaihissalam bukanlah sebahagian daripada mereka. Can you understand the difference?

Kerana itulah, kita tidak harus menafikan identity kita, betapa kita adalah daripada bangsa Melayu. Namun, untuk mempertahankan Melayu tatkala mereka membuat kesalahan dan kerosakan, kita tidak harus menyokong hal sedemikian. Ketika Melayu menjadi “Ashabul Aikah”, maka kita harus jelas betapa kita bukanlah sebahagian daripada mereka. “Tiada ketaatan kepada makhluk dalam hal berbuat kemaksiatan kepada Khaliq,” begitu sabda baginda Nabi SAW di dalam as-sahihain.

Ketika bangsaku membuat tarian punggung, atau membuat offer reward penampar, atau mempertahankan pembaziran pembelian nombor plet oleh golongan bangsawan, apakah rasa bangga atau malu, yang harus hadir dengan “tindakan Melayu” pada waktu dan ketika itu? Benar, tindakan itu tidak harus dinisbatkan kepada bangsa Melayu, namun pada pandangan bangsa lain, jika kita yang mempunyai kesedaran dan ghirah Islam tidak menentangnya, maka pantas ia akan dicop “tindakan Melayu.”


Aku Melayu, tetapi bukan sebahagian daripada “Ashabul Malayu”…




Sunday, February 2, 2014

Rahsia Bulan Kelahiran

Saya sudah terbiasa mendengar “rahsia bulan kelahiran” yang dikemukakan oleh seorang pakar motivasi terkenal tanahair. Cuma yang saya sangat terkejutnya adalah, tatkala sebuah rancangan berbentuk keagamaan, yang diacarakan oleh sepasang suami isteri yang kedua-duanya belajar bidang agama secara formal, tidak sekadar memaparkan “rahsia” ini malahan menyokong kajian mengarut sang pakar motivasi tadi.

 

 

Amat menyedihkan tatkala ada ustaz dan ustazah yang turut mempromosikan kepercayaan khurafat sebegini: konon jika orang ini lahir pada bulan sekian-sekian, maka sifatnya adalah sebegini dan sebegini. Aduh….. bagaimana orang yang mengaji hingga ke Mesir boleh percaya dengan perkara sebegini? Jika benarlah keperibadian dan sifat seseorang adalah terikat dengan bulan kelahirannya, maka bagaimana bisa seseorang manusia itu berubah sesuai dengan apa yang telah diperingatkan oleh Al-Quran? Firman Allah:

 

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…”(Surah Ar-Raád [13]:11)

 

Jika benar bulan itu yang menentukan keperibadian seseorang, maka firmanullahi ta’ala di dalam ayat berikut, yang menyatakan hanya Allah yang mengetahui kelakuan dan keperibadian seseorang sebelum kelahiran, adalah terbatal;

 

“Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu…”(Surah Ar-Raád [13]:8)

 

Kata Dr. Zakir Naik di dalam debatenya berkenaan Quran and Bible in the light of Science dengan Dr. William Campble di U.S awal abad ke-21 dulu, yang dimaksudkan oleh ayat di atas bukanlah hanya Allah mengetahui jantina sang anak sebelum kelahiran, kerana ternyata sains moden telah berjaya membantu para doctor untuk mengetahui jantina anak di dalam kandungan, tetapi yang dimaksudkan oleh ayat di atas adalah hanya Allah yang mengetahui kelakuan dan peribadi anak. Tidak ada sesiapa pun, hatta dengan bantuan sains dan teknologi yang paling canggih pun, dapat meramal bagaimana sang anak yang lahir itu akan berkelakuan, akan bertingkah laku, akan bersikap dan berakhlak. Inilah pemahaman para pakar Barat, malangnya para “pakar” tanahair pula, dengan dokongan dan sokongan para ustaz dan ustazahnya pula, mengatakan mereka tahu anak yang lahir bulan sekian-sekian perangainya begini, hanya dengan berpandukan bulan di mana sang anak itu lahir. Mengarut!

 

Dan lagi, jika benar yang menentukan keperibadian seseorang itu adalah bulan kelahirannya, saya ingin bertanya, bulan Masihi atau bulan Hijri?

 

 

Saudaraku,

 

Orang Islam murtad bukanlah kerana Bible diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Atau kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian. Tetapi orang Islam murtad kerana lemahnya aqidah mereka, dan di antara puncanya adalah tatkala sebahagian masyarakat mempromosikan tahyul mahyul seperti rahsia bulan kelahiran ini dengan men”kosmetik”kannya dengan label keagamaan. Menurut saya, pandangan sebegini jauh lebih bahaya dan jauh lebih menyesatkan berbanding Bible yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.

 

Oleh yang demikian, marilah kita kembali memperbaiki kelemahan internal umat Islam ini, berbanding hanya menyalahkan pihak external sebagai punca mundurnya dan murtadnya umat ini.