HUKUM GERAKAN NEWTON KEDUA
Barangkali, di antara punca orang-orang Barat memandang rendah kepada orang-orang Melayu, adalah kerana mereka (Barat) sudah melahirkan terlalu ramai tokoh-tokoh yang telah memberikan sumbangan yang kononnya maha besar terhadap kehidupan manusia sejagat. Salah seorang daripada tokoh tersebut -yang, oleh Michael H. Heart, diletakkan pada ranking kedua dalam senarai manusia paling berpengaruh sepanjang zaman, lebih atas daripada Jesus, tetapi lebih rendah berbanding Nabi Muhammad SAW- adalah tokoh yang menjumpai teori Graviti, orang English paling berpengaruh, iaitu David Beckham. Ooppss.. maaf, Isaac Newton sebenarnya.
Antara lain sumbangan besar Sir Isaac Newton, adalah hukum-hukum yang diketengahkan oleh dirinya. Bukan lagi sekadar hukum halal-haram atau sunat-makruh, tetapi, beliau telah mengemukakan hukumnya yang tersendiri, iaitu Hukum Gerakan Newton Pertama, Hukum Gerakan Newton Kedua, serta Hukum Gerakan Newton Ketiga.
Melalui Hukum Gerakan Newton Kedua, Isaac Newton mendeklarasikan bahawa kadar perubahan momentum adalah berkadar terus dengan daya paduan yang bertindak ke atas objek itu, dan adalah pada arah yang sama dengan arah tindakannya. Ianya lebih terkenal dengan formula , di mana semua objek berjisim tetap di bawah pengaruh daya paduan F bukan sifar, akan mengalami pecutan.
Fuh, terlalu skema untuk difaham? Begini, semakin kuat daya yang dikenakan, maka semakin lajulah pergerakan yang terhasil. Maka wajar, Hukum Gerakan Newton #2 ini, lebih dikenali sebagai “Hukum Pecutan”
Saudaraku,
Barangkali kerana inilah ulama’ salaf terkemuka, al-imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah bertindak menjadi “daya momentum” itu. Agar manusia-manusia yang sedang “pegun” berpangku tubuh di zamannya, bangkit berjuang demi Islam. Agar umat yang terlalu perlahan prestasi perjuangannya, mendapat “penangan” momentum yang bisa melajukannya. Dan agar mereka yang sedang berharakah demi Islam, tidak sampai menjadikan “daya luar” bernama kemewahan dan keindahan dunia, sampai-sampai mempengaruhi perjuangan suci mereka.
Kata Ibnu Qayyim; “bergeraklah, kerana diam bisa mematikan. Sebesar-besar keuntungan di dunia, adalah menyibukkan dirimu setiap saat pada aktiviti yang memberikan manfaat paling banyak di Akhirat. Menyia-nyiakan waktu, lebih bahaya daripada kematian. Kerana ia memutuskan mu daripada ALLAH dan Akhirat, sedangkan kematian hanya memutuskanmu dari dunia dan penghuninya.”
Lalu, para aktivis dakwah, akan setia pada slogan hidup mereka. Bukan, bukan slogan-slogan kosong lagi poyo yang sering disiulkan oleh mereka yang hidupnya jauh daripada sebuah perjuangan, sebaliknya slogan indah para pejuang, betapa “ar-rahah lirrijal ghaflah” “rehat bagi da’i (pendakwah) Islam itu adalah bukti kelalainnya!”
Lalu, mana mungkin para pejuang Islam, merugikan diri mereka dan perjuangan mereka dengan membiasakan diri mereka dengan rehat yang berpanjangan!
Begitulah sumbangan seorang Newton, yang membuatkan Barat begitu kagum padanya. Tapi, masih ada segelintih Melayu, yang begitu dikagumi oleh orang-orang Barat. Itulah orang-orang Grik Perak, yang tetap menjadi pujaan hati mereka. Err... Greek tu kat Perak kan?