Followers

Wednesday, July 27, 2011

[Berita]: Padah Zalimi Tiga Kucing

PETALING JAYA: Padah menzalimi tiga kucing dengan memukul menggunakan payung, menendang serta menyakiti haiwan malang itu Februari lalu, seorang wanita berusia 21 tahun didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Chow Xiao Wei dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan. Nik Mohd Fadli juga memerintahkannya dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda itu. Bagaimanapun, Chow menjelaskan dendanya.

Mengikut tuduhan pertama, dia didakwa secara zalim menyakiti dua kucing antara jam 4.25 petang hingga 5 petang pada 19 Februari lalu di depan sebuah gerai di Pasar Seri Kembangan di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Chow juga didakwa melakukan perbuatan tidak wajar menyebabkan kesakitan serta penderitaan seekor kucing pada masa, tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Jabatan Veterinar, Jamadi Badri, manakala Chow tidak diwakili peguam bela. Penganiayaan Chow terhadap tiga kucing itu sebelum ini tersebar luas di laman sosial, facebook dan blog selepas dimuat naik ke Internet hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Rakaman lima minit itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, khususnya pencinta haiwan sehingga mendorong mereka menggerakkan usaha 'mencari seorang pembunuh kucing'.

Rakaman video itu menunjukkan perbuatan tertuduh yang melakukan penyeksaan terhadap tiga kucing termasuk melibas dengan payung, menolak ke longkang, malah memijak hingga menyebabkan seekor kucing mati.

Selepas pelbagai usaha dijalankan, Chow yang dikenal pasti melakukan perbuatan itu akhirnya dikesan di facebook melalui pakaiannya dalam video yang disebarkan.

Chow yang menyedari identiti dirinya terbongkar meminta maaf secara terbuka dengan memaklumkan dia sedang menjalani rawatan psikologi kerana tekanan yang dikatakan dihadapinya akibat perceraian ibu bapanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/Padahzalimitigakucing/Article

 

Di dalam hadith, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Umar R.A dari Nabi SAW, "Seorang wanita masuk neraka karena seekor kucing yang dia kurung sampai mati. Dia masuk neraka karenanya. Dia tidak memberinya makan, dan minum sewaktu mengurungnya. Dia tidak pula membiarkannya dia makan serangga bumi."

Manakala dalam Shahih Bukhari dari Asma' binti Abu Bakar R.A bahwa Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda, "Lalu neraka mendekat kepadaku sehingga aku berkata, 'Ya, Rabbi, aku bersama mereka?' Aku melihat seorang wanita. Aku menyangka wanita itu diserang oleh seekor kucing. Aku bertanya, 'Bagaimana ceritanya?' Mereka berkata, 'Dia menahannya sampai mati kelaparan. Dia tidak memberinya makan dan tidak pula membiarkannya mencari makan.'" Nafi' berkata, "'Menurutku dia berkata, 'Mencari makan dari serangga bumi.'"

Saudaraku,

Sewajarnya kita merasa sedih melihatkan perbuatan wanita di atas, yang turut ditayangkan oleh berita arus perdana, serta memuji dan bersyukur di atas keprihatinan undang-undang yang membela hak 3 ekor kucing tersebut. Alhamdulillah, membela hak binatang, menurut saya, adalah selari dengan kehendak Islam, seperti yang diindikasikan di dalam hadith-hadith di atas. Namun yang demikian, setelah kita semua sepakat betapa kekejaman dan kekerasan kepada binatang tidak wajar dibiarkan, apakah mungkin kita membenarkan pula kekejaman dan kekerasan dikenakan ke atas manusia, atas apa juga sebab? Apakah hak binatang lebih kita bela berbanding hak seorang manusia? Kerana itu, janganlah melampau wahai saudaraku terhadap saudara manusia mu yang lain. Moga Allah menyelamatkan dan merahmati kita semua.

 

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampau batas; kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau batas.(Surah Al-Baqarah: 190)

 

 

 

 

SORAKAN

Pasukan bola sepak Malaysia akan bertemu Singapura kurang lebih 24 jam daripada sekarang, di dalam sebuah perlawanan yang dianggap “hidup dan mati” pasukan Negara kita. Para penyokong diseru agar datang beramai-ramai ke Stadium Nasional malam esok untuk memberikan sokongan paling padu kepada skuad Harimau Malaya, demi menebus kekalahan 5-3 kepada jiran tetangga kita Sabtu lalu. Konon, dengan sokongan dan sorokan para penonton, skuad kebangsaan bakal beroleh inspirasi untuk mengatasi defisit 2 gol yang dihasilkan Negara bekas “warga” kita itu.

 

Ketika di bangku sekolah, para pelajar junior sekolah saya (termasuk saat saya juga bergelar junior) sentiasa diwajibkan untuk turun padang dan “bikin bising” setiap kali ada perlawanan melibatkan pasukan daripada sekolah saya. Sorakan atau cheer dalam pelbagai lagu dan irama, menjadi lebih wajib daripada meyaksikan perlawanan itu sendiri. Kami akan dimarahi jika sorakan kami tidak cukup kuat, bahkan terkadang dipersalahkan tatkala pasukan kami tewas, seakan-akan kekalahan di padang permainan, justeru disebabkan kurangnya sorakan yang diberikan oleh penonton di tepian padang.

 

Ertinya, bagi kebanyakan orang, sorakan yang kuat bisa memperkuatkan semangat pemain-pemain di atas padang, member inspirasi kepada mereka, dan meniupkan semangat juang yang tidak kunjung malap. Sorakan itulah, oleh kebanyakan orang –termasuk oleh mantan kapten Manchester United Roy Keane- yang bisa mempengaruhi corak permainan sesebuah pasukan. Maka wajar, para peminat bola sepak tempatan diseur untuk turun beramai-ramai demi menggamatkan stadium dengan sorakan, agar Harimau Malaya boleh kembali “mengaum” dan membuktikan kehebatan mereka yang sebenar.

 

Maka, begitulah juga kita dalam mendekatkan diri kepada Allah. Terkadang semangat juang kita akan berkurangan. Hingga wajar, Ahmad bin Abi Al-Hawari Ad-Damsyiqi, salah seorang tokoh di kalangan generasi tabi’in mengingatkan; “jika engkau merasakan kekesatan di dalam hatimu, maka duduklah dengan orang-orang yang berzikir dan orang-orang zuhud.” Berkunjunglah ke rumah mereka, seperti yang dilakukan oleh Maimun bin Mahran, yang mengunjungi tok guru besar para tabi’in, Hasan Al-Basri. Seraya mengetuk pintu rumahnya, Mainmun berteriak; “Wahai Abu Said (panggilan Hasan Al-Basri)! Aku mulai merasakan kekasaran dalam hatiku. Bantulah aku untuk melembutkannya.”

 

Sabda Nabi SAW;

 

“Seseorang mengikuti agama teman akrabnya. Kerana itu, hendaklah seorang daripada kalian menimbang-nimbang/ memerhatikan dengan siapa ia berteman”

(Sahih Jami’us Shogir, hadith no. 3539)

 

Dan lagi, sahabat Nabi yang mulia, Saydina Ali Abi Talib R.A meningatkan;

 

“Anda jangan bersahabat dengan orang jahat, sebab ia akan mempercantikkan perbuatan jahatnya kepada anda, dan menginginkan anda seperti dia”

(Faidhu Al-Qadir, jilid V, hal. 507)

 

Kerana itu, izinkanlah “sorokan” orang-orang yang “obsess” kepada Akhirat, mendorongmu untuk memilih kemuliaan yang sebenarnya, lalu mampu kuat untuk menolak tipu daya kelazatan dunia yang melalaikan. Terima kasih Khattab (yakni Samir bin Shalih bin Abdullah As-Suwailim), mujahid unggul jihad Afghanistan dan Tajikistan dan juga Chehnya, di atas “sorakan” padunya kepada kita semua; “ketika aku melihat sekelompok pasukan Chehnya yang berikat kepala “LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADAR RASULULLAH”, dan berteriak “ALLAHU AKBAR”, aku jadi mengetahui kalau di Chehnya ada jihad. Dan aku memutuskan wajib bagiku untuk pergi ke tempat mereka.” Dan lagi “sorakan”nya; “jangan mimpi untuk hidup senang, lezat, dan damai-damai saja. Kerana dunia kafir akan mengejar di belakangmu. Pilihlah untuk dirimu kehidupan izzah (harga diri) dan kemuliaan, sebelum engkau dijeblos ke penjara kafir.”

 

 

-penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab berharap dalam berkumpul lagi dengan “penyokong” yang sama-sama dapat “bersorak” alunan-alunan zikir, amal-amal perjuangan, dan suara-suara pengorbanan-

 

 

 

 

Wednesday, July 13, 2011

Amal Unggulan 3

Saudaraku,

 

Kita mungkin tidak perform dalam semua bidang. Mungkin tidak mantop dalam semua ibadah. Mungkin dari segi ibadah kita "kencang", tapi sisi dakwah kita pula lembap. Mungkin tilawah kita kurang, tetapi mudah-mudahan qiamulalil kita bisa cover sisi lemah itu. Mungkin kita kurang dari sisi ini, mudah-mudahan kita gagah dari sisi yang itu. Bukankah "innal hasanat, yuzhibnas sayyiat" "sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu, menghapuskan kesalahan-kesalahan"?

 

Maka, di sebalik kelemahan-kelemahan kita, kekurangan-kekurangan kita, ketidak berdayaan diri kita, sekurang-kurangnya, marilah kita perform dari satu segi, agar kita tetap akan dijemput masuk ke Syurga daripada pintu amal yang kita perform itu kelak. Kerana Nabi SAW sahaja sudah menggambarkan, betapa Syurga itu mempunyai beberapa pintu. Maka setiap pintu akan memanggil para "pengamalnya" untuk masuk melaluinya di Akhirat kelak.

 

Dari Sahal bin Saad ra berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Di surga ada 8 pintu. salah satunya pintu yang disebut Ar-Rayyan yang tidak dimasuki kecuali oleh orang-orang yang berpuasa" (HR Bukhari)

 

لِكُلِّ عَامِل بَاب مِنْ أَبْوَاب الْجَنَّة يُدْعَى مِنْهُ بِذَلِكَ الْعَمَل

"Bagi setiap orang yang beramal terdapat sebuah pintu khusus di surga yang dia akan dipanggil melalui pintu tersebut karena amal yang telah dilakukannya." (HR. Ahmad dan Ibnu Abi Syaibah dengan sanad sahih, demikian kata Al-Hafizh dalam Fath Al-Bari, 7/30).

 

مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ كُلِّهَا قَالَ نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُم

"Barangsiapa yang berinfak dengan sepasang hartanya di jalan Allah maka ia akan dipanggil dari pintu-pintu surga, 'Hai hamba Allah, inilah kebaikan.' Maka orang yang termasuk golongan ahli shalat maka ia akan dipanggil dari pintu shalat. Orang yang termasuk golongan ahli jihad akan dipanggil dari pintu jihad. Orang yang termasuk golongan ahli puasa akan dipanggil dari pintu Ar-Royyan. Dan orang yang termasuk golongan ahli sedekah akan dipanggil dari pintu sedekah."

Ketika mendengar hadits ini Abu Bakar pun bertanya, "Ayah dan ibuku sebagai penebus anda wahai Rasulullah, kesulitan apa lagi yang perlu dikhawatirkan oleh orang yang dipanggil dari pintu-pintu itu. Mungkinkah ada orang yang dipanggil dari semua pintu tersebut?".

Maka beliau pun menjawab, "Iya ada. Dan aku berharap kamu termasuk golongan mereka." (HR. Bukhari [1897 dan 3666] dari sahabat Abu Hurairah radhiyallahu'anhu).

 

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bertanya (kepada para sahabat), "Siapakah di antara kalian yang pada hari ini berpuasa?". Abu Bakar berkata, "Saya." Beliau bertanya lagi, "Siapakah di antara kalian yang hari ini sudah mengiringi jenazah?". Maka Abu Bakar berkata, "Saya." Beliau kembali bertanya, "Siapakah di antara kalian yang hari ini memberi makan orang miskin?". Maka Abu Bakar mengatakan, "Saya." Lalu beliau bertanya lagi, "Siapakah di antara kalian yang hari ini sudah mengunjungi orang sakit." Abu Bakar kembali mengatakan, "Saya." Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam pun bersabda, "Tidaklah ciri-ciri itu terkumpul pada diri seseorang melainkan dia pasti akan masuk surga." (HR. Muslim [1027 dan 1028] dari sahabat Abu Hurairah radhiyallahu'anhu).

Juga boleh rujuk artikel-artikel yang berkaitan:-

1.       http://faridul.wordpress.com/2007/09/28/amal-unggulan/

2.       http://faridul.wordpress.com/2010/06/08/amal-unggulan-2/

 

 

 

-Penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab  merasakan bahawa kekuatan ibadah adalah rahsia kejayaan sesebuah gerakan dakwah-

 

Menangani fenomena literalis agama - Dr Mohd Asri Zainul Abidin

13 JULAI — Rentetan dari isu demonstrasi aman di seluruh dunia Islam, telah terbit pelbagai fatwa yang kadang-kala bersifat partial ataupun berpihak. Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga berlaku di negara-negara Arab pasca kebangkitan rakyat. Dalam mempertahankan kuasa para pemerintah Arab semasa — yang sebahagian besar pemerintah itu korupsi dan zalim- muncullah kelompok agamawan yang membela mereka.

Malangnya, pembelaan itu datang dari mereka yang kelihatan ‘kuat beragama’. Dalam kalangan mereka itu ramai pula dari aliran salafi zahiri atau kelompok salafis literalist. Mereka ini memahami nas-nas al-Quran dan hadis secara literal dan menganggap urusan muamalat dan siyasah sama macam ibadah khusus yang tidak boleh dilakukan sebarang pembaharuan dan tokok tambah.

Lantaran dari pemikiran ini, mereka membidaahkan perkara-perkara yang membabit urusan harian yang dilakukan atas kemaslahahan manusia. Maka, mereka membidaah kewujudan persatuan, parti politik, demonstrasi, nasyid, seni rekaan dan pelbagai lagi. Jika fatwa-fatwa mereka ini diterima, maka dunia Islam pasti akan jumud dan kehidupan manusia menjadi sempit di bawah lembayung Islam.

DIPUKUL DAN DIRAMPAS

Lebih dahsyat lagi, apabila aliran ini dimanfaatkan oleh para pemerintah yang korupsi dalam dunia Islam. Ini apabila kelompok ini menafsirkan hadis-hadis politik secara literal yang seakan-akan Islam memberikan ‘lesen’ besar kepada pemerintah untuk melanyak rakyat dan rakyat pula diikat kaki, tangan dan mulut dengan nas-nas agama dari bertindak atau membantah. Lebih hodoh lagi, hanya nas-nas yang ‘kelihatan’ pro-pemerintah sahaja yang dibaca, diforumkan, diwar-war dalam pelbagai saluran, sedangkan nas-nas yang memberikan amaran terhadap kezaliman pemerintah tidak pula dicanangkan.

Di Malaysia, kita dapat melihat fonomena ini semasa isu demonstrasi panas baru-baru ini dalam masyarakat. Di sini bukan bertujuan menyokong atau menentang demonstrasi aman, tetapi sekadar ingin membincangkan kefahaman sesetengah pihak mengenai hadis-hadis berkaitan.

Antara yang dibaca dan disebarkan dalam mempertahankan para pemerintah dan menghalang rakyat melakukan kritikan –sekalipun aman- ialah hadis Huzaifah r.a: “Akan ada selepasku para pemimpin yang berpetunjuk bukan dengan petunjukku, bersunnah bukan dengan sunnahku, dan akan bangkit dalam kalangan mereka lelaki-lelaki yang jantung hati mereka seperti jantung hati syaitan dalam tubuh insan”. Kata Huzaifah: “Apa yang patut aku lakukan wahai Rasulullah, jika aku mendapati keadaan itu?”. Jawab baginda: “Dengar dan taat kepada ketua, sekalipun belakangmu dipukul, hartamu diambil, dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).

Hadis ini dijadikan hujah, sehingga ada yang berkata ‘jika pemerintah membunuh kaum-keluarga saya pun, saya tidak akan mendakwa pemerintah di mahkamah dunia’. Saya tidak dapat bayangkan jika semua orang Islam faham seperti itu, maka bermaharaja lelalah para pemerintah dunia Islam, menindas mereka. Tidak boleh dibantah bahkan tetap taat. Ketika dunia berusaha mempertahankan hak asasi manusia agar tidak dicemar, tiba-tiba kita pula menarik umat ke belakang dengan tafsiran yang literal seperti itu. Bayangkan jika seorang yang baru hendak mengenali Islam dihidangkan dengan kefahaman seperti itu, bagaimanakah mungkin beliau ingin melihat keindahan Islam dan keadilannya?

Di manakah sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih). Satu hadis tidak boleh dibaca secara berasingan tapi hendaklah melihat keseluruhan secara perbandingan dengan nas-nas yang lain. Jika tidak, penafsirannya akan cacat. Di situ adanya ilmu yang dinamakan Mushkil al-Hadith yang membincangkan hadis-hadis yang zahirnya kelihatan bercanggahan.

Hina dunia Islam hari ini, sekalipun Allah melimpahkan mereka dengan pelbagai kelebihan, adalah disebabkan salahguna harta rakyat dan ketidakadilan. Dalam beberapa sudut, pemimpin dunia Barat lebih amanah dan jujur kepada rakyat mereka dibandingkan apa yang ada di dunia Islam hari ini. Di mana pergi kekayaan minyak Arab? Bahkan, dari segi keadilan, kadang-kala haiwan di negara Barat lebih dibela dari seorang muslim yang hidup di dunia Islam; dipukul, dihina, dipenjara, bahkan dibunuh tanpa berani bersuara.

Sedangkan Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya binasa mereka yang sebelum kamu kerana mereka itu apabila seorang yang dianggap ‘mulia’ dalam kalangan mereka mencuri dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah mencuri, mereka laksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya” (Riwayat al-Bukhari).

Jadi, sejak bila pula, Islam menyatakan jika pemerintah melakukan kezaliman kita hanya diam dan bersabar! Malang sekali jika manusia di Barat dan Timur yang tidak muslim menentang pelanggaran hak asasi rakyat, tiba-tiba ada kelompok agama dalam Islam yang menyatakan kezaliman pemerintah dihadapi dengan diam, sabar dan taat!

HURAIAN

Hadis tentang taat dan patut sekalipun dirampas harta dan dipukul itu, ia merujuk kepada keadaan di mana jika penentangan dilakukan akan menyebabkan kerosakkan yang lebih besar seperti pemerintah akan membunuh atau memusnah orang lain yang tidak bersalah sedang kita tidak mampu memberikan sebarang kesan kepada mereka. Ini terutama di zaman dahulu yang terkenal dengan penumpahan darah.

Begitu juga di bawah regim-regim yang zalim yang hanya merugikan para penentang dan negara secara umumnya. Namun, apabila dunia berubah. Negara-negara terikat dengan peraturan antarabangsa mengenai hak asasi rakyat. Juga, apabila negara-negara itu meletakkan dalam perlembagaan mereka tentang hak-hak rakyat, dalam ertikata lain membantah pemerintah dalam negara demokrasi aman itu adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap menentang negara kerana diiktiraf dan dijamin oleh perlembagaan negara dan persetujuan antarabangsa.

Maka, konteks hadis sudah berbeza.  Islam bukanlah agama yang memberikan lesen kepada pemerintah untuk berbuat apa sahaja dan rakyat wajib mendiamkan diri. Jangan bawa tafsiran zaman Abbasiyyah ke zaman yang sudah berubah.

Bagaimana mungkin rakyat tidak boleh membalaskan tindakan pemerintah melalui saluran keadilan dan tuntutan yang wajar, sedangkan dalam hadis, Nabi s.a.w sendiri sebagai pemerintah mengizinkan diri baginda dibalas. Ini seperti hadis yang diriwayatkan Ibn Ishak dalam sirahnya, ia disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah bahawa ketika Rasulullah membetulkan saf perang Badr dengan anak panah baginda, lalu baginda mencucuk perut Sawad bin Ghaziyyah, maka Sawad berkata: “Wahai Rasulullah! Engkau telah menyakitiku dan demi Allah yang mengutuskanmu dengan kebenaran dan keadilan, beriku untuk membalasnya”. Maka Rasulullah s.a.w pun menyingkap perut baginda dan bersabda: “Balaslah”. Lalu Sawad memeluk dan mencium perut Nabi s.a.w. Baginda bertanya: “Mengapa engkau buat begini wahai Sawad?” Beliau menjawab: “Seperti yang engkau lihat, aku ingin agar saat akhir aku denganmu, kulitku menyentuh kulitmu”. Lalu Rasulullah s.a.w pun mendoakan kebaikan untuknya”.

Rasulullah s.a.w yang merupakan seorang nabi dan pemerintah, jauh lebih mulia dari semua pemerintah mengizinkan diri dibalas atas tindakannya, bagaimana mungkin ada pihak boleh menyatakan tindakan pemerintah tidak boleh dipertikai atau dibawa ke mahkamah, atau dibicarakan atau dituntut kesalahannya oleh rakyat! Alangkah dangkalnya penghujahan seperti itu. Ini boleh membawa kepada menolong kezaliman penguasa.

Sedangkan Nabi s.a.w “Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolongan kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmii. Dinilai oleh al-Albani. (lihat: Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah, tahqiq: Al-Albani, hlm 337-339).

ERTI PEMERINTAH

Jika pemerintah itu diberikan wewenang untuk memukul dan mengambil tanpa dipersoalkan, apakah ertinya sesuatu pemerintahan itu? Apakah mereka seperti penzalim dan perompak berlesen yang dilindungi oleh nas-nas agama? Maha Suci Allah dari menurunkan agama yang seperti itu! Sebaliknya dalam agama ini kemuliaan muslim seperti yang disebut oleh Nabi s.a.w: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebab itu, sehingga dalam bab bughah iaitu mereka yang keluar memerangi pemerintah dengan senjata, al-Imam Abu Ishaq al-Shirazi menyebut: “ ... jangan dimulakan peperangan sehinggalah ditanya mereka apa sebab mereka bertindak balas demikian. Jika mereka menyebut tentang sesuatu kezaliman, maka hendaklah diatasinya, jika mereka menyebut sesuatu sebab yang boleh diselesaikan, hendaklah diselesaikan. Jika mereka menyebut sesuatu kekeliruan, dihilangkan kekeliruan itu. Ini disebabkan firman Allah: “Hendakhlah kamu damaikan keduanya ... ” (Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 19/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Bahkan kitab-kitab fiqh menyebut bahawa harta bugha itu tidak boleh dirampas, yang cedera tidak boleh ditangkap dan yang lari tidak boleh diburu. Ini disebut dalam pelbagai kitab fekah seperti al-Majmu’ dalam Mazhab al-Syafii, al-Mughni dalam Mazhab Hanbali dan lain-lain. Demikian, bughah yang bersenjata, diberikan hak dalam politik islami, bagaimana mungkin rakyat yang tidak bersenjata dibiarkan dipukul dan dirampas harta mereka tanpa boleh membantah?! Fenomena literalis boleh mengelirukan!

* Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah ahli akademik dan bekas Mufti Perlis.

 

Dipetik dari: http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/menangani-fenomena-literalis-agama-dr-mohd-asri-zainul-abidin/

Sunday, July 10, 2011

"Manusia yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi"

"Ucu, ibu rasa, Ucu tak payah ambiklah tawaran belajar ke U.K tu. Sambung belajar dalam negeri aje lah," kata seorang ibu kepada anak bongsunya.

"Ala ibu, dah alang-alang dapat sambung medic ke U.K, tak kan lah tak nak gi?" jawab sang anak, separuh membantah kepada ibunya.

Pada akhirnya, sang ibu terpaksa melepaskan juga sang anak untuk belajar ke U.K, biarpun tanpa kerelaannya. Namun, di sebalik sebak dan sesak di dada menahan kesedihan pemergian sang anak tanpa relanya, sang ibu tetap berdoa memohon kepada Allah agar DIA memelihara sang anaknya, sepanjang 5 tahun perantauan Ucu ke bumi U.K itu.

Babak di atas sangat banyak kita jumpai dalam kehidupan sehari-hari, biar pun berbeza watak dan dialognya. Kisah ibu dan ayah yang keberatan memberikan kebenaran kepada sang anak untuk sambung belajar di luar negeri, atau tidak membenarkan anaknya bermusafir ke sesuatu tempat, atau tidak mengizinkan sang anak berbuat itu dan ini, namun sang anak tetap pergi jua akhirnya. Ada yang pergi dengan penuh slumberland, ada pula yang pergi dengan penuh keangkuhan dan kekurang ajaran. Namun, dalam setiap babak episode itu, yang lebih sering kita jumpa ialah doa keselematan yang mengiringi sang anak daripada sang ibu dan ayah, berbanding doa kemalapetakaan seperti yang ditonjolkan dalam kisah Si Tanggang yang sudah sering diceritakan. Begitulah kehidupan, Sikap kurang ajar sang anak, tetap dibalas kasih sayang oleh sang ibu.

Sebelum berlangsungnya demonstrasi BERSIH 2.0, masyarakat serta para ulama'nya terpecah menjadi 3 pandangan/ golongan. Satu yang menyokong demonstrasi ini habis-habisan. Satu lagi yang mengharamkan demonstrasi aman, dengan dalil kita harus taat pada pemerintah biar pun zalim, selagi ia masih solat. Sedang yang satu lagi lebih neutral dan non partisan dengan mengatakan hukum demonstrasi aman itu harus, tetapi untuk BERSIH 2.0, ada sedikit perbahasan.

Namun, pasca berlalunya 9 Julai, seperti episod ibu dan anak yang dipaparkan di atas tadi, semua kita seharusnya sepakat, baik yang menyokong mahupun yang mengharamkan, baik yang neutral mahu pun yang non partisan, bahawa pihak berkuasa tidak seharusnya melayan rakyat dengan penuh kekerasan dan kekejaman. Sabda Nabi SAW:

الرَّاحمُونَ يَرحمُهُم الرّحمنُ ارْحَموا مَنْ في الأرض يرحمْكُم من في السَّماءِ

Orang-orang yang yang penuh kasih-sayang akan dikasih-sayangi oleh Allah. Hendaklah kalian semua menyayangi semua yang ada di bumi, agar kalian disayangi oleh para penghuni langit. (riwayat Tirmidzi)

Jika ada yang berdalih bahawa kekerasan terpaksa digunakan demi menghalang kemudharatan yang lebih besar, maka kita katakana, sedang kepada tawanan perang yang tewas di dalam peperangannya menentang Islam, Islam tetap mengajar untuk tidak mezalimi dan mengasarinya, maka atas dasar apa rakyat yang telah berjaya ditangkap/ ditahan kemudiannya disambut dengan sepak dan terajang? Sudah mati rasakah kita tatkala melihat rakyat diperlakukan dengan kasar dan kejam, simpati tidak kunjung tiba, sebaliknya sibuk mengatakan orang itu la'natullah, acara ini haram, dan sebagainya? Di mana fiqh awlawiyyat kita dalam mengambil sikap?

Kalau pun kita tetap dengan pendirian bahawa demonstrasi aman itu haram, seperti sang ibu yang tidak membenarkan anaknya bermusafir, namun begitu diengkari oleh sang anak, sang ibu tetap mendoakan moga Allah pelihara keselamatan anaknya sepanjang permusafirannya, tidakkah timbul biar secubit simpati tatkala melihatkan rakyat ditumbuk, diterajang, ada yang mati, ada yang patah kaki, ada yang direntap, dan sebagainya?

Kita mungkin berbeza pandangan tentang demonstrasi ini, tetapi tidakkah kita bisa sepakat bahawa manusia, hatta tawanan perang sekalipun, tidak sewajarnya dilayan umpama binatang? Hatta dengan binatang pun kita dituntut untuk berlaku lunak, apatah lagi manusia?

Dari Abu Ya'la Syaddad bin Aus radhiallahuanhu dari Rasulullah shollallohu 'alaihi wa sallam bersabda : Sesungguhnya Allah telah menetapkan perbuatan baik (ihsan) atas segala sesuatu . Jika kalian membunuh maka berlakulah baik dalam hal tersebut. Jika kalian menyembelih berlakulah baik dalam hal itu, hendaklah kalian mengasah pisaunya dan menyenangkan hewan sembelihannya.

(Hadith riwayat Muslim)

Dalam keghairahan kita menghafal taks hadith, jangan sampai kita lupa dengan "konteks" hadith. Dalam keghairahan kita menentang apa yang kita faham sebagai bid'ah, jangan sampai lupa ada yang namanya hikmah. Dalam keghairahan kita membodek seseorang, jangan sampai kita mati rasa hingga hilang rasa belas kasih dan kasihan. Ingatlah, orang yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi (Riyadhus Sholihin, bab Sabar).

Penuhilah dadamu dengan sifat rahmah, jauhilah ia dari disesakkan oleh kesombongan, keangkuhan dan kemegahan. Moga denga rasa kasih ini, jiwamu akan sentiasa BERSIH.

-penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab berpendapat simpati kepada kecederaan yang dialami seseorang seharusnya melangkaui sebarang ideologi politik-

Saturday, July 9, 2011

Apabila mula BERSIH 2.0 menyatakan hasrat untuk mengadakan demonstrasi aman pada hari ini (9 Julai 2011), ramai pihak berbelah bahagi. Ada yang hardcore dan sangat fanatik menyetujuinya, hingga ke tahap menyamakannya dengan demontrasi yang menggulingkan regim Mubarak di Mesir (walau pun tidak sama tujuan BERSIH 2.0 sebenarnya). Ada pula yang keras menentang, termasuk sebahagian ulama' kita atas alasan demonstrasi atau lebih tepatnya menentang pemerintah itu hukumnya haram. Tidak kurang yang bersikap neutral, seperti UZAR yang menyatakan hukum asal untuk demonstrasi ini harus, tetapi kadar keharusannya akan semakin tipis dan tipis dan tipis tatkala ada banyak provokasi dan isu yang timbul (rujuk ceramah UZAR di Masjid Meru), atau Dr. MAZA yang memberikan nasihat dan panduan yang sewajarnya dipatuhi, baik di pihak demonstran mahu pun di pihak pemerintah dan kepolisian. Moga perbezaan pandangan pada masa ini berjalan dalam suasana sihat dan matang.

Namun, begitu Yang Di Pertuan Agong memperkenankan BERSIH 2.0 untuk berlangsung dengan beberapa syarat seperti ianya dijalankan di stadium misalnya, dan ini dipersetujui pula oleh pihak BERSIH, maka sewajarnya kita semua dapat mencapai titik temu biar pun asalnya kita berbeza pandangan.

Malangnya, tindakan pihak polis dan kerajaan yang memilih untuk "tidak taat" pada titah dan kebenaran Duli Tuanku, menzahirkan apa yang sebelum ini tidak jelas. Jika sebelum ini, mungkin kurang kukuh atau hujah kurang jelas untuk menyatakan pihak polislah yang mebuat provokasi dan dalang di sebalik munculnya suasana tidak aman menjelang 9 Julai, namun kini semakin jelaslah betapa pihak kerajaan dan kepolisianlah yang "berdemonstrasi" mengengkari titah perkenan Duli Tuanku.

Setiap orang ada definisi maksud "pemerintah" yang seharusnya ditaati mereka. Jemaah Islam akan menganggap pemimpin mereka sebagai pemimpin yang padanya terletak hak ketaatan. Begitu juga dengan parti, NGO dan sebagainya. Namun, semua kita harus bersetuju pada siapakah pemimpin sebenar negara kita. Dan dalam konteks Malaysia, rasanya semua kita sepakat bahawa pemimpin itu adalah YDP Agong Malaysia.

Maka, sebarang keengkaran atau "demontrasi" di jalanan, seperti melakukan road block dan sebagainya, itulah yang seharusnya dikategorikan sebagai "menentang pemerintah" secara jelas dan nyata. Maka golongan yang sebelum ini mengharamkan BERSIH lantaran hujah ianya gerakan menentang pemerintah yang dilarang oleh baginda Nabi SAW, maka kini mereka sewajarnya bersuara dan menyelar polis dan pihak kerajaan kerana secara terang-terang telah "menentang pemerintah" Malaysia iaitu YDP Agong kita.

Benar kata Dr. MAZA (dalam facebooknya):
.dari diam diri kita mula simpati..dari memerhati kita mula membenci..kita bukan bodoh sehingga tidak boleh menilai..layan rakyat bagaikan melayan penjenayah..ramai 'atas pagar' mula timbul keyakinan bahawa BN patut berundur dari kerusi kuasa kerana sudah hilang budi dan cara sebagai pemerintah yang terhormat..
Berlaku ADILlah, baik kepada teman mahupun lawan. Baik kepada yang kita sayangi, mahu pun kita benci. Bersikap RAHMAHlah kepada rakyat, seperti mana ALLAH telah bersikap RAHMAH kepada kita.

Indahnya puisi ustaz Saiful Islam.com:

Tidakkah engkau membacanya?
Massa di Medan Tahrir siapa penggeraknya?
Bukan Ketua Google, bukan Ketua Ikhwan, bukan Ketua Pembangkang.
Hanya naluri seorang insan, setiap insan,
Yang menuntut hak kelahirannya bernama insan merdeka
(Yang sekian lama kauragut kebebasannya)

Hendak disabitkan Ikhwan, banyak sisi yang tidak kena.
Hendak disabitkan Google, rakyat massa masih luar talian.
Hendak disabitkan pembangkang, rakyat dan tentera saling berpelukan.
Kerana yang menggerakkannya bukan tokoh, bukan parti dan bukan kepentingan
Hanya naluri seorang insan, setiap insan,
Yang menuntut hak kelahirannya bernama insan merdeka
(Yang sejak sekian lama kaucabul pancainderanya)

Ini bukan era mobilisasi berpaksikan tokoh
Ini bukan era mengikut telunjuk parti
Ini bukan era manusia bangkit dibiayai Soros dan Amerika
Ini era manusia bangkit kerana mereka manusia
Hanya naluri seorang insan, setiap insan,
Yang menuntut hak kelahirannya bernama insan merdeka
(Yang sejak sekian lama kaucabul pemikirannya)

Jika tidak kaurasa dirimu sebahagian mereka
Antara iblis dan haiwan, pilih sahaja kelompokmu yang mana

ABU SAIF @ www.saifulislam.com


-penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab senantiasa mendoakan saudara-saudaranya di sana, mahupun para demonstran, mahu pun kepolisian-

Friday, July 8, 2011

Kita boleh berbeza pandangan dalam banyak hal, tetapi biarlah perbezaan pendapat dan pandangan kita berlaku dalam suasana terjaganya adabul ikhtilaf, yakni dalam suasana penuh sopan,berakhlaq,  berlapang dada dan penuh harmoni. Inilah yang telah dipamerkan oleh sahabat Nabi SAW, bahkan para pewarisnya di kalangan para ulamak dan ilmuan. Adalah satu musibah yang sangat besar, tatkala umat ini suka mengisytiharkan permusuhan dan peperangan dengan pihak lain, hanya kerana berbeza pandangan.

 

Dalam hal BERSIH 2.0, sungguh pun saya mempunyai pandangan yang tersendiri seperti yang pernah saya nukilkan beberapa hari lalu, tetapi itu tidak sedikit pun menghalang saya untuk sentiasa mendoakan keselamatan dan keistiqamahan buat saudara-saudara seperjuangan saya yang memilih turut serta dalam perhimpunan esok hari. Apatah lagi dengan keizinan daripada ulul amr kita, Duli Yang Teramat Mulia Yang Di Pertuan Agong, sewajarnya semua kita bersatu dalam ketaatan kepada baginda.

 

Saya menyeru semua pihak, terutamanya kerajaan dan pihak polis, agar berlunak dan mengalah, memberi peluang dan ruang kepada rakyat, sesuai dengan keizinan dan kebesaran jiwa yang telah dipertontonkan oleh Yang Di Pertuan Agong kita. Apatah lagi tatkala pihak BERSIH 2.0 sendiri telah mengalah dengan memilih untuk taat pada titah baginda dengan hanya berhimpun di stadium, maka sewajarnya kerajaan dan pihak polis mengalah dengan mula melayani mereka sebagai “rakyat jelata” instead of seakan “penjenayah”, untuk menjamin keharmonian kita semua. Janganlah hanya kerana perbezaan pendapat selama ini, kita memilih untuk menjahanamkan kehidupan seseorang. Ingatlah, ada pengadilan di Akhirat sana, bahkan telah bermula di alam kubur lagi.

 

-Pesanan daripada Ir. Faridul Farhan Abd Wahab, rakyat biasa yang sentiasa menghargai adabul ikhtilaf dalam perbezaan pendapat-

 

Sunday, July 3, 2011

The Human Torch

Dari Suhaib bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita:

Di zaman sebelum kamu dahulu ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir. Bila tukang sihir merasa dirinya telah tua, dia berkata kepada raja tersebut: “aku telah tua. Carilah seorang budak (yang paling cerdik) yang boleh aku ajarkan kepadanya sihirku. Lalu dicari seorang budak dan tukang sihir tersebut mengajarkan kepadanya ilmu sihirnya.

Di pertengahan jalan menuju ke tempat belajarnya, terdapat seorang rahib. Budak tersebut telah duduk sebentar mendengar ajaran rahib tersebut dan merasa seronok dengannya. Selepas kali tersebut, setiap kali melalui tempat rahib, budak tersebut akan berhenti dan mendengar ajarannya. Ahirnya bila tiba kepada tukang sihir, ia dipukul (kerana terlambat). Lalu ia mengadu kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: “Jika kamu takutkan tukang sihir, katakana kepadanya bahawa ububapaku menahanku (di rumah). Jika kamu takutkan ibubapamu (kerana lewat pulang), katakana kepada mereka berdua tukang sihir telah menahanku.

Waktu berlalu dan pada suatu hari budak tersebut telah bertemu dengan seekor binatang besar yang menghalang laluan orang ramai. Budak tersebut berkata di dalam hatinya, “Pada hari ini, aku akan tahu siapakah yang lebih hebat, tukang sihir atau rahib. Lalu diambilnya seketul batu dan dibaca: Ya Tuhan, jika sekiranya rahib lebih Engkau cintai dari tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini dan berilah laluan kepada orang ramai.”

Lalu dilontar batu tersebut dan binatang tersebut pun mati (orang ramai sangat kagum dengan budak tersebut dan mengatakan dia mempunyai ilmu yang kita semua tidak mengetahuinya).
Perkara tersebut diceritakan kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: “Engkau pada hari ini telah menjadi lebih hebat dariku. Engkau telah sampai ke peringkat yang aku dapat lihat sekarang. Tapi ingat, engkau akan diuji nanti. Apabila engkau diuji oleh Allah, maka jangan sekali-kali engkau memberitahu tentang ku.

Budak tersebut berjaya mengubati penyakit kusta dan sopak. Dan juga dapat mengubat semua penyakit yang dihadapi oleh orang ramai. Suatu ketika seorang yang dekat dengan raja telah terkena satu penyakit hingga buta matanya. Apabila mendengar tentang kehebatan budak tersebut, dia telah membawa hadiah yang banyak. Dia berkata kepada budak tersebut: “semua ini untukmu jika engkau dapat menyembuhkan mataku.”

Budak berkata kepadanya: “Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa. Hanya Allah yang dapat menyembuhkan. Jika engkau beriman dan percaya kepada Allah, aku akan berdoa dan Allah akan menyembuhkan penyakitmu.” Lalu si pembesar buta tersebut percaya dan beriman kepada Allah. Budak tersebut mendoakan untuknya dan matanya pun sembuh seperti sedia kala.

Pembesar tersebut datang seperti biasa kepada raja. Raja terkejut dan bertanya kepadanya: “Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?” Kata pembesar tersebut: “Tuhanku.” Raja sangat marah dan mengatakan: “Ada ke tuhan lain selain dariku?”

Lalu pembesar tersebut ditangkap dan diseksa hingga dia pun membonngkarkan ajaran budak tersebut. Budak tersebut dibawa kepada raja lalu raja bertanya: “Aku telah mengetahui kehebatanmu, sekarang kamu dapat menyembuhkan penyakit itu dan ini dan dapat melakukan itu dan ini.”
Lalu budak itu menjawab: “Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Hanya yang dapat menyembuhkan ialah Allah.” Lalu iapun ditangkap dan terus diseksa sehinggalah ia pun membongkarkan rahsia rahib (kerana tidak tahan dengan seksaan).

Lalu rahib pun ditangkap. Ia diserahkan supaya meninggalkan agamanya tetapi rahib menolak. Lalu dibawa gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan digergaji. Tubuhnya terbelah dua dan keduanya melerai jatuh ke bumi.

Budak tersebut lalu dibawa lagi kepada raja. Raja berkata: “Balik semula kepada agama asalmu.” Budak menolak lalu raja memanggil sebahagian dari kumpulannya dan dikatakan kepada mereka: “Bawa budak ini ke bukit sekian-sekian dan jika sekiranya ia tetap enggan, campakkan dari atas bukit. Tiba di sana, budak berdoa kepada Allah: “Ya Allah, tolonglah aku dengan cara yang Engkau kehendaki.”

Tiba-tiba bukit bergegar dab jatuh kesemua orang-orang raja tersebut. Budak balik berjalan kepada raja. Raja bertanya: “Mana dia kawan-kawanku?” Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.” Lalu raja memanggil sebahagian lagi kumpulannya dan berkata: “Bawa budak ini ke tengah laut. Jika ia enggan, campakkan ia ke dalam laut.”

Bila tiba di tengah laut, budak tersebut berdoa dengan doa yang sama. Tiba-tiba perahu tenggelam dan semua kumpulan raja mati lemas. Budak balik semula kepada raja. Raja terkejut dan bertanya: “Mana kawan-kawanku?” Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.”

Lalu budak tersebut berkata kepada raja: “Kamu tidak mungkin akan dapat membunuhku sehinggalah kamu menurut apa yang aku minta.” Tanya raja: “Apa dia?” Kata budak: “Engkau kumpulkan semua orang ramai di satu padang, kamu ikatkan aku di pohon kurma. Kemudian engkau ambil satu dari panahku dan letakkan panah tersebut pada busurnya. Kemudian engkau baca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini. Kemudian engkau panahlah aku. Kalau engkau melakukan begitu, kamu akan dapat membunuhku.

Lalu raja pun mengumpulkan orang ramai di satu padang. Budak itupun diikat pada sebatang pohon kurma. Kemudian diambil satu panah dan diletakkan pada busurnya. Lalu raja membaca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini dan terus dipanahnya. Panah tersebut mengenai bawah telinganya. Perlahan-lahan budak meletakkan tangannya pada tempat panah tersebut dan terus meninggal dunia. (Tiba-tiba orang ramai berkata: “Budak ini mengetahui perkara yang kita tidak ketahui)* “Kami percaya kepada Tuhan budak ini.”
Raja menjadi kelam kabut dan mengatakan: “Telah berlaku apa yang aku tidak mahu ianya berlaku.” Lalu raja menyuruh digali parit-parit di laluan-laluan orang ramai dan dinyalakan api di dalamnya. Sesiapa yang lalu akan diarahkan supaya kembali semula kepada agama asal. Jika tidak, akan dicampakkan ke dalam parit tersebut.

Lalulah seorang wanita dengan seorang anak kecilnya (bayi). Wanita tersebut gementar takut dicampakkan ke dalam api tersebut. Tiba-tiba bayinya bercakap dan berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, sabarlah. Engkau berada di atas kebenaran!”

Hadis riwayat Muslim (No.5327 Kitab Zuhud dan Raqa’iq), Tarmizi (No.3263 Kitab Tafseer al-Quran) dan Imam Ahmad. Hadis disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab Riyadhus Solihin di bawah bab Sabar.
*di dalam kurungan ialah beberapa tambahan yang ada dalam riwayat Tarmizi

Di akhir riwayat, Imam Tarmizi menyatakan bahawa:
Budak tersebut kemudiannya dikebumikan. Pada zaman Sayyidina Omar r.a telah ditemui mayatnya dalam keadaan tangannya masih diletakkan di bawah telinganya yang masih luka.

Fantastic Four adalah antara kisah adiwira yang telah difilemkan ke alam nyata. Menurut Wikipedia (memandangkan saya tidak menonton filemnya), Fantastic Four mengisahkan tentang seorang ahli sains dan beberapa orang kawannya yang melakukan sebuah kajian saintifik di angkasa. Semasa di angkasa, kesemua mereka telah terkena sinaran radiasi daripada cosmic energy clouds yang natijahnya, tatkala pulang ke bumi, kesemua mereka mengalami perubahan dengan kehadiran super power yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Jika Dr. Reed mampu menengang bak getah dan teman wanitanya Susan Storm mampun menjadi halimunan, angkasawan Ben Grimm pula bertukar menjadi manusia batu ala Si Tanggang (erm..sebenar tak sama dengan Tanggang. Mungkin ciplak idea je kot) yang menggerunkan. Gagah, tapi menakutkan. Kuat, tapi kehodohan yang teramat. Tidak ketinggalan adalah seorang lagi ahli konvoi Freedom Flotilla…erm…sorry,sorry… sorang lagi ahli konvoi ke angkasa lepas iaitu si belagak Johnny Storm, yang juga merupakan adik kepada si cantik Susan Storm aka Invisible Woman. Johnny, beroleh kuasa atau kemampuan untuk bertukar kepada makhluk berapi sambil mampu terbang tinggi-tinggi sampai cucur atap. Dengan kebolehan ini, Johhny menggelarkan dirinya The Human Torch!

 

Biar pun di kalangan kita, sering kali memandang sinis akan kisah adiwira-adiwira ini, tapi jangan terkejut jika bayang mereka benar-benar kelihatan di alam nyata. Saya sendiri pernah melihatkan The Human Torch secara realitinya. Di Tunisia, seorang pemuda Mohamed Bouazizi, 26, seorang peniaga sayur, telah bertindak menjadikan dirinya The Human Torch dengan membakar dirinya sebagai tanda protes terhadap kekejaman rejim Ben Ali yang mengakibatkan kemiskinan tegar di kalangan rakyat selain penindasan yang dialami oleh rakyat kebanyakan. Tanpa membincangkan sama ada halal atau haram tindakan pemuda malang ini, kehadiran The Human Torch inilah yang kemudiannya menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat untuk seterusnya menggerakkan revolusi Arab yang pertama, hingga akhirnya jatuhlah sang dictator bernama Ben Ali itu. Dan seperti domino, kebangkitan rakyat berterusan, dan masih berterusan hingga ke hari ini. 

 

Saudaraku,

Perjuangan memang tidak pernah lepas daripada menuntut pengorbanan. Bukan sedikit harga dan nyawa yang harus dibayar oleh setiap bangsa yang menuntut keadilan, kemerdekaan dan seabaginya. Cuma, dalam pada kita mahu berjuang dan menuntut pengorbanan, biarlah planning yang kita buat sudah sehabis baik, agar effect daripada pengorbanan yang telah dicurahkan itu berbaloi, dan lebih banyak kebaikan diperoleh oleh umat berbanding kemudaratan. Bak kata keramatnya Saydina Ali; “kebatilan yang ter-organize akan dapat mengalah kebaikan/kebenaran yang tidak di organize.”

 

Seperti budak di dalam hadith Bab Sabar Kitab Riyadhus Shalihin di atas. Dengan ia mengajarkan sang Raja akan cara dan kaedah untuk membunuh dirinya (sang budak) –iaitu dengan melepaskan busur dari panah dengan menyebut nama Allah- membuatkan effect yang cuba dicegah oleh Sang Raja bahkan lebih besar. Rakyat tersedar, bangkit dan beriman. Sehingga Sang Raja terpaksa mengugut dan mencampakkan rakyatnya yang beriman ke dalam sungai berapi, hingga diabadikan di dalam Surah Al-Buruj kisah Ashabul Ukhdud (penghuni parit berapi) ini. Pengorbanan sang budak berbaloi, kerana kesedaran dan keimanan rakyat, hingga sanggup terjun ke dalam parit berapi demi mempertahankan aqidahnya, sungguh suatu kejayaan yang luar biasa besar.

 

Begitu juga dengan kisah Revolusi Tunisa tadi. Pengorbanan sang pemuda Mohamed Bouazizi yang bertindak membakar dirinya, telah meng-initiate kebangkitan rayat di seluruh jazirah Arab. Begitulah, pengorbanan itu perlu, demi mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

 

Oleh kerana itulah, dalam menganalisia demonstrasi Bersih, saya mempunyai pandangan tersendiri, yang mungkin berbeza dengan anda para pencinta Islam yang lain. Memang, untuk melaksanakan suatu perubahan, pengorbanan merupakan suatu keperluan. Bukankah Allah tidak akan pernah mengubah nasih sesebuah kaum, tanpa kaum itu strive untuk merubah nasib mereka sendiri terlebih dahulu? Namun, biarlah pengorbanan kita BERBALOI dengan KESAN pengorbanan kita itu sebesar impian yang kita semua harapkan. Untuk Bersih 2.0, saya tidak nampak hal itu akan berlaku. Dengan kemungkinan tangkapan, dakwaan dan sebagainya untuk berlaku kepada para demonstran, ditambah kemungkinan ISA dan Akta Darurat digunakan, effect di kalangan masyarakat, terutamanya yang berkecuali, atau menentang, atau yang langsung tidak ambil peduli, pada pandangan saya tidak seperti yang kita semua impikan. Ianya tidak seperti kesedaran yang tercetus tatkala kapal Mavi MArvara diserang tentera Zionis: tidak semena-mena, rakyat yang tidak ambil peduli selama ini pun tersedar, dan bersama-sama dalam “kebangkitan” ini.  Kenapa? Antaranya, kerana peranan media!

 

Oleh kerana itulah, seperti yang telah dibahaskan panjang lebar oleh Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di dalam kitabnya Fiqh Al-Awlawiyyat, saya berpendapat kita harus prioritizekan tindakan kita. Maka planning harus dibuat dengan matang dan sedetail-detailnya. Memandangkan kebebasan media memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk opini umum (biar pun pada era cyber ini), maka yang sepatutnya didahulukan pada saya adalah menuntut kebebasan media TERLEBIH DAHULU. Kerana tanpa kebebasan media, tuntutan supaya pilihanraya dilaksanakan secara telus dan adil, dapat dimanupulasikan oleh media, seterusnya disalah gunakan oleh pihak berkuasa untuk membuat pelbagai macam tangkapan, pelbagai macam peraturan, dan pelbagai macam tindakan tanpa justifikasi yang jelas. Kesedaran rakyat yang diharapkan, tetapi kebencian masyarakat pula yang diperoleh.

 

Kita boleh mulakan dengan membuat risalah-risalah tentang kebebasan media, untuk dipromosikan di blog-blog dan facebook. Next step, kita buat perhimpunan besar-besaran di stadium, dengan menjemput Yang Dipertuan Agong, Wakil Kerajaan dan Wakil Pembangkang, para tokoh-tokoh dan ulamak-ulamak, serta seluruh wakil media untuk hadir ke Perhimpunan Menuntut Kebebasan Media di stadium itu. Sambil memberikan selang masa untuk media berubah dengan menampilkan sikap yang lebih terbuka dan matang, begitu sampai ke tarikh lupusnya, barulah kita anjurkan demosntrasi aman besar-besaran untuk menuntut kebebasan media. Ini kerana hanya ketika wujudnya kebebasan media, barulah usaha-usaha murni yang lain seperti tuntutan pilihanraya yang bersih dan adil, persoalan tentang penyelewengan dan salah guna kuasa polis, menolak politik fitnah dan lucah, dan sebagainya, jika pun digagalkan, tetapi mampu menghasilkan kesan dan effect yang besar seperti yang kita semua harapkan.

 

BIarlah pengorbanan The Human Torch berbaloi, dengan tertewaskan Dr. Doom akhirnya!

 

 

 

-Penulis, Ir. Faridul Farhan Abd Wahab adalah seorang yang merasakan mendengar tidak kurang pentingnya daripada berbicara