Followers

Sunday, November 28, 2010

PARACHUTE

Kata orang, minda itu umpama parachute (payung terjun); ia hanya akan berfungsi, ketika ianya dibuka.

Begitulah, Allah SWT bahkan mengancam orang-orang yang tidak mahu mempergunakan akalnya, dengan ancaman penginaan. Dengan ancaman kekejian. Dengan ancaman “kekotoran”, tatkala menyebutkan “ar-rijs” (keji, kotor, najis) terhadap orang-orang yang tidak mahu mempergunakan akal.

“dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.”

(Surah Yunus [10:100])

Sungguh, bila saja minda tidak terbuka, bagaimana bisa kita berlapang dada? Dan begitu dada tidak bisa merasakan sejahtera (salamatus sadr) maka ketika itulah bibit-bibit awal berlakunya perpecahan.

Bukankah yang senantiasa dibanggakan oleh orang-orang beriman –seperti mana difirmankan ALLAH di dalam kalam-Nya- adalah deklarasi penuh kebanggaan betapa “wa qola innani minal muslimin“dan berkatalah: sesungguhnya aku ini dari kalangan oarng-orang muslimin!” Ternyata, yang dibanggakan oleh seorang duat –seperti yang diajar indah di dalam al-Quran- bukanlah deklarasi kita ini jemaah mana. Harakah mana. Kumpulan apa. Tidak! Tetapi, yang harus kau banggakan, adalah keIslaman kalian. Keimanan kalian. Ketaqwaan kalian. Ukhuwwah Islamiyah yang dituntut sesama saudara seagama mu. Bukan ungkapan sempit sebatas lima, enam ribu orang ahli gerakan Islam kalian sahaja.

Tatkala ketemu saudara seiman yang berbeza pandangan dan gerakan dengan kalian, bukankah lebih wajar kita bicara masalah keimanan? Bicara hal-hal yang mampu menimbulkan kesekepakatan. Bicara perkara-perkara yang mampu menghangatkan ukhuwah sesama kalian? Tapi, apabila dada telah sempit, yang pertama dan terutama yang harus dikau tanyakan begitu bertemu saudara seiman yang lain “gerakan”, setelah sekian lama tidak ketemu, adalah soal-soal kejamaahan yang tidak lain melainkan menjauhkan ia daripadamu. Bukankah pada non-muslim sahaja kita dituntut bergaul dengan baik? Bukankah dengan ahli kitab sahaja kita dituntut berbicara kalimah-kalimah “sawa’” yakni kesamaan? Nah, sejak bila ajaran Quran dan Sunnah mengajarkan kepada kita untuk senantiasa mencari titik seteru dan perbezaan kepada sesama saudara seperjuangan, hanya kerana ia berlainan harakah, jemaah, kumpulan dan gerakan?

“Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang Muslim

(Surah Ali Imran [3]:64)

Dada jadi sempit tatkala minda tidak dibuka. Dan minda jadi tidak berguna tatkala ia tidak dibuka. Lalu hiduplah ia dalam “kandang pemikiran”, “penjara pemikiran” yang telah disempadankan oleh musuh-musuh kita. Kandang inilah, yang dinamakan ghazwul fikri.

Seperti parachute, bukalah cepat minda mu, agar kau tidak jatuh terhempap menyembah bumi, lalu yang timbul tidak lain melainkan Kesakitan, kepedihan, dan keperitan. Sedang dengan parachute, kau bisa “menari” indah di langit nan tinggi, menikmati keluasan dan keindahan langit Ilahi. Untuk kemudian mendarat selamat di permukaan bumi. Dan menyuburkan ia dengan pandangan-pandangan indah di atas sana. Dan menyedarkan penghuninya akan keindahan hidup “di atas”, apa lagi tok nenek kita pun asalnya dari “sana.”

Bukalah parachute mu, dan moga selamat “pendaratan” mu. Bukalah mindamu, dan moga membumi segala ideamu.

Sunday, November 21, 2010

"The REDS"

Dalam Liga Perdana Inggeris, ada sekurang-kurangnya dua pasukan yang teramat sinonim dengan warna merah. Satu adalah Manchester United, yang satu lagi adalah Liverpool F.C. Man U –begitulah mereka lebih sering dipanggil- terkenal dengan gelaran “The Red Devils” manakala Liverpool pula dijoloki dengan panggilan “The Reds”. Ertinya, MERAH adalah sebahagian daripada wujudnya pasukan-pasukan tersebut.

 

Namun, Man U, untuk sekurang-kurangnya sekali dalam setahun, pasti akan hadir dengan jersi PUTIH, atau HITAM, atau BIRU –bergantung kepada jersi kedua mereka untuk musim itu- setidak-tidaknya ketika mereka bertandang ke Anfield untuk bertembung dengan pasukan Liverpool. Sebegitu jugalah dengan “The Reds”, setidak-tidaknya mereka tidak lagi menjadi RED tatkala bertemu “buku dengan ruas” dengan tuan rumah, Man U, ketika perlawanan diadakan di Staidum Old Trafford.

 

Hal yang sama turut dialami oleh Naib Juara Piala Dunia, pasukan Belanda, yang sinonim dengan panggilan “Orange”. Biarpun jersi warna oren sudah sebati dengan mereka sekian lama, ada ketikanya mereka hadir dengan jersi warna lain –biasanya biru atau putih- dalam sebahagian perlawanan Piala Dunia, biarpun pasukan lawan tidak memakai jersi warna Oren kebanggaan mereka. Ertinya, biar pun warna jersi yang menjadi “sebahagian” pasukan-pasukan ini, itu tidak menghalang mereka daripada bermain dengan jersi warna lain. Tidak ada tahyul-mahyul betapa kaler jersi yang berbeza akan membawa nasib malang kepada mereka, lantaran mereka semua sedar bahawa yang namanya pasukan Man U, Liverpool atau Belanda, bukan terletak pada warna jersi yang dipakai, tetapi “siapa di balik jersi” yang berada di atas padang.

 

Begitu jugalah dengan gerakan Islam contoh bernama Ikhwanul Muslimin. Ketika terjadinya perselisihan di antara sesama aktivis gerakan Ikhwan cawangan Iraq berhubung nama rasmi yang ingin diguna pakai oleh mereka –ada yang mahu memberi nama yang sesuai dengan keadaan setempat, sementara yang lain berkeras mengekalkan nama “Ikhwanul Muslimin”- Syeikh Muhammad Mahmud Ash-Shawaf mengadukan perselisihan ini kepada pengasas sekaligus Mursyidul Am gerakan Ikhwan, iaitu Imam Hasan Al-Banna. Apa kata Al-Banna?

 

“Kita tidak terlalu mementingkan sebuah nama, kerana yang terpenting pada kita adalah dakwah Islam, apa pun nama dan bajunya.”

 

Saudaraku,

Mungkin inilah rahsia pada perkataan Al-Banna tatkala ia menyebut ‘berapa ramai di kalangan kami, tetapi dia bukannya daripada kami. Dan berapa ramai yang bukan berada di kalangan kami, tetapi justeru ia adalah sebahagian daripada kami.” Kerana mungkin Al-Banna sudah menjangkakan episode hitam yang kelak bakal terjadi di kemudian hari: yang “Ikhwan”nya meninggalkan perkara asas yang sepatutnya mereka perjuangkan, iaitu tarbiyah, sedang yang bukan “Ikhwan”nya pula hadir dengan akhlak dan etika seorang Muslim.

 

Mereka bergaduh dan bertengkar di relung-relung masjid, seakan-akan berbeza jemaah dan gerakan Islam, seakan pemutus hubungan persaudaraan. Sedang dengan non-Muslim sahaja kita diseru untuk bergaul dan muayasyah dalam keadaan yang baik, apa-apaan anda senantiasa mencari ruang perbezaan tatkala bertemu dan bertembung dengan saudaramu yang berasal dari lain gerakan?

 

Ingatlah, anda bukanlah pemain Man U walaupun anda memakai jersi berwarna merah yang tertera nombor 10 dan nama Wayne Rooney, tetapi manusia bernama Wayne Rooney tetap seorang pemain Man U biar pun ia memakai jeans, sandal dan baju ranggi. Maka insaflah; “yang penting Islamnya, walau apa pun “baju” yang ia pakai!”

Tuesday, November 16, 2010

TAYAR

Disiarkan di faridul.blogspot.com pada 23 Jun 2006 sempena pelancaran Perodua Myvi dan Proton Savvy

Pelancaran hampir serentak dua model kereta terbaru daripada dua syarikat otomobil tempatan telah mencetuskan perbualan yang hangat di kalangan masyarakat. Rata-rata kedengaran cerita mengenai keduanya, bak goreng pisang panas yang sedang hangat di pasaran. Mulalah orang melakukan perbandingan di antara Myvi sebagai karya terbaru daripada Perodua, dengan Savvy yang merupakan ‘mutiara’ terbaru karangan Proton (yang entah kenapa, mendapat publisiti yang lebih meluas berbanding Myvi. Itu pun, masih mahu menyalahkan ‘adik bonsu’ mereka, Naza).

Sebetulnya, membandingkan antara kedua ‘bayi’ baru ini adalah suatu hal yang tidak wajar; umpama membandingkan antara epal dengan oren. Ini kerana, dilihat daripada dimensinya sahaja, Myvi ternyata lebih besar berbanding Savvy dalam segenap aspek; ia 10mm lebih panjang, 22mm lebih luas serta 70mm lebih tinggi berbanding Savvy. Dari segi enjin, model Savvy 1.2 sudah barang tentu dapat mengungguli Myvi 1.0, tetapi mudah pula dipintas oleh Myvi versi 1.3.[1]

Tetapi di sebalik segala keributan dan kesibukan membandingkan antara keduanya, ada satu –barangkali- persamaan di antara kedua keluaran ini, yang bahkan satu-satunya persamaan ini (barangkali) adalah antara faktor yang bisa juga menyebabkan sang kereta mewah seperti Mercedes mahupun BMW hilang keegoan mereka, dek kerana mereka tidak lebih ‘canggih’ dan tidak lebih ‘mewah’ jika dilihat dari faktor yang satu ini. Faktor yang satu itu, ialah tayar.

Ini tekaan saya sahaja. Bahawa sehebat dan semahal manapun Perodua Myvi mahupun Proton savvy, bila kita bahaskan berkenaan tayar, ia tak lebih hebat dan lebih mewah (kalau mahal pun, lebih sedikit) daripada tayar kereta buruk Toyota Corolla 1978 –yang dalam istilah akhuna Lokman, digelar “Bat Mobile”- kepunyaan saya. Nah, dari sudut yang satu ini –barangkali- kereta buruk ala “Bat Mobile” ini bisa saja menandingi kehebatan sang Myvi dan Savvy, atau juga keangkuhan sang Mercedes. Atau, setidak-tidaknya, bentuk rupanya tidak jauh bezanya dari tayar milik si Ferrari. Sehingga dengan persamaan pada faktor yang satu ini, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan dan melegakan kegusaran dan kesedihan pemilik kereta-kereta buruk (lama), bila aura sang kereta mewah cuba sedaya upaya menodainya.

Sehebat dan secanggih manapun tayarmu itu, lambat laun, ia tetap harus diganti, lantaran bunga-bunga yang mewarnai “taman permukaannya” haus dek kerana geserannya pada permukaan jalan. Mungkin kita akan mula bertanya, bagaimana caranya untuk kita mengelakkan bunga tayar ini daripada menjadi haus? Sehingga, dengan pemikiran sebegitu, berbagai-bagai idea dan bermacam-macam taktik yang muncul di benak pemikiran kita.

Satu caranya, yang ada terdetik di kerangka pemikiran kartun kita (termasuk saya juga), ialah dengan membungkus sang tayar itu dengan plastik ataupun kain; biar ia tidak haus tatkala sang kereta menghadapi geseran perjalanan.

Tapi, dengan hal demikian, justeru menatijahkan lebih banyak keburukan. Ini kerana, dalam kegusaran dan kesungguhan kita mengelak daripada bunga-bunga tayar menjadi haus, justeru dengan membungkusnya, akan menyebabkan sang tayar menjadi licin, lalu kalian hilang kawalan tatkala memandu kereta kalian, sehingga mempotensikan kemalangan. Kerana demi sesungguhnya, kehadiran bunga-bunga pada urat tubuh tayarmu itu, justeru memang berfungsi untuk haus. Memang bermatlamatkan menentang dan menghadapi segala macam geseran. Sudah ditakdirkan untuk sabar menempuh halangan.

Lalu, begitu jugalah dengan diri kita. Sememangnya setiap ujian dan dugaan yang kita hadapi, sememangnya harus diserap oleh “bunga tayar” kehidupan kita, barulah kisah kehidupan kita akan menjadi sempurna.

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah al-Ankabut [29]:2-3)

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
(Surah al-Mulk [67}:2)

Saudaraku,

Bagaimana mungkin diri kita mahu mengelak daripada ujian dan dugaan, walhal hal demikian merupakan suatu keperluan dalam kehidupan. Umpama mengelak bunga tayar haus tadi, pasti menatijahkan kemalangan, lantaran bunga tayar itu memang dicipta untuk membelah badai geseran pada jalanan, sehingga memastikan keseimbangan pada pemanduan. Samalah juga kisahnya pada ujian dan dugaan kehidupan. Mengelak dari keduanya, bererti kalian menolak untuk menyempurnakan dan mematangkan kehidupan.

Maka, yang seharusnya kita lakukan, bukanlah dengan membungkus bunga tayar itu, bahkan mengoptimakan penggunaannya, dengan penuh ketelitian dan kehati-hatian (seperti tak langgar lubang, tak bawak ke jalan yang tak rata, lain sebagainya) agar setiap detik yang kalian harungi bersama-samanya, penuh dengan manfaat yang cukup bermakna. Begitulah juga dengan ujian kehidupan. Bukannya pantas kita mengeluh kesedihan, sebaliknya hadapilah dugaan itu dengan kesabaranserta kesedaran untuk kembali kepada pengharapan pada Tuhan Sang Pencipta alam.

“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
(Surah al-baqarah [2]:153)

Kerana ujian dan dugaan itu sememangnya suatu ketetapan dan “silibus wajib” yang pasti dihadapi oleh setiap insan di alam fana ini.

“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,
(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun"”
(Surah al-Baqarah [2]:155-156)

Dengan kesabaran inilah, seorang Muslim merasa mulia dan bersih hatinya, seakan ia terbang ke langit bersama para malaikat ALLAH yang mulia, sedang para pengengkar sentiasa kegelisahan, dek kerana tidak menemukan penawar mujarab dalam menghadapi segala macam geseran. Benarlah kata Qatadah r.a; “ALLAH SWT telah menciptakan para malaikat itu akal dan tidak ada padanya syahwat, menciptakan pada binatang syahwat tanpa menyertakan akal, dan menciptakan pada manusia akal sekaligus syahwat. Barangsiapa yang akalnya bisa mengalahkan syahwatnya, ia bersama malaikat. Barangsiapa yang syahwatnya mengalahkan akalnya, tidak ada bezanya dengan binatang.”[2]

Ketika dikau tewas kepada ujian kehidupan, kebahagiaan dan ketenangan yang dikau impikan, pasti akan menemui jalan buntu, tidak seperti yang diharapkan. Lihatlah saja di sekelilingmu, masih saja ada orang yang diuji lebih hebat dari dirimu. Ada yang yatim piatu tidak seperti kalian, ada yang sekadar makan berlaukkan siput babi[3] sedang kehidupan kalian dikelilingi berlian. Ada pula yang sentiasa dianiaya sedang kalian diberikan keluasan. Namun, mereka tetap sahaja tegar bahkan raut wajah mereka berseri dengan ketenangan, tanda segala macam kepayahan berjaya diungguli dengan keredhaan. Kesabaranlah kuncinya. Redha adalah rahsianya.

Sesungguhnya jiwa manusia selalu cenderung kepada kesenangan dan kemudahan, dan benci kepada hal yang tidak disukai dan yang berat-berat. Oleh kerana itu bawalah jiwamu kepada hal yang bermanfaat sekalipun berat, sebatas kemampuanmu. Dan jinakkanlah dirimu sera pujuklah ia terhadap hal-hal yang tidak disukai tetapi baik, agar jiwamu terbiasa dengan perkara-perkara yang besar dan bersemangat untuk meraih hal-hal yang tinggi, sehingga muncul rasa antipati terhadap hal-hal yang rendah dan enggan terhadap hal-hal yang kecil.[4]

Ajarilah jiwamu untuk terbang tinggi, nescaya ia tidak akan suka dengan kerendahan. Kenalkanlah ia kepada kemuliaan, nescaya ia akan membenci kehinaan. Rasakanlah kepadanya kesenangan rohani yang besar, nescaya ia akan meremehkan kesenangan jasmani yang kecil.[5]

Sebait catatan taujih Allahyarham Ustadz Rahmat Abdullah:[6] “Setiap kita akan senantiasa diuji oleh Allah SWT pada titik-titik kelemahan kita. Orang yang lemah dalam urusan uang namun kuat terhadap fitnah jabatan dan wanita tidak akan pernah diuji dengan wanita atau jabatan. Tetapi orang yang lemah dalam urusan wanita namun kuat dalam urusan uang tidak akan pernah diuji dengan masalah keuangan. Orang yang mudah tersinggung dan mudah marah akan senantiasa dipertemukan oleh Allah dengan orang yang akan membuatnya tersinggung dan marah sampai ia bisa memperbaiki titik kelemahannya itu sehingga menjadi tidak mudah tersinggung dan tidak pemarah. "
"Orang yang selalau berlambat-lambat menghadiri liqoat (pertemuan) dakwah karena alasan 'istri, anak, mertua, tamu' akan senantiasa dipertemukan dengan perkara 'mertua datang, tamu datang silig berganti' di saat ia akan berangkat .. terus begitu sampai ia memilih prioritas bagi aktifitinya apakah kepada dakwah atau kepada perkara-perkara lain."
"Kita semua harus memahami dan mengatasi segala kelemahan diri di jalan dakwah ini. Ingatlah, mushaf Al-Quran tidak akan pernah terbang sendiri kemudian datang dan memukuli orang-orang yang bermaksiat. Tetapi kita para duat (dengan segala kelemahan sebagai manusia) yang telah mendapatkan amanah amar ma'ruf nahyi munkar."

Semoga nasehat dan arahan beliau ini terus hidup dan menjadi motivator bagi para duat untuk berjuang membela agama Allah. Memetakan kelemahan diri, berhati-hati dan memperbaikinya di jalan ALLAH ini agar mengukuhkannya dan tidak melemahkannya.

…tempiaskan kesedihanmu di dalam tahajud dan pengaduanmu pada ALLAH
gembirakanlah dirimu dengan membaca buku-buku fikrah dan harakah
agar dirimu sebati dengan perjuangan dakwah
biar keadaan menjadi payah
biar luka hatimu semakin parah
janji semangatmu tetap tidak menyerah kalah
selagi mata di tahajudmu tidak membasah
selagi tidak menempuh pengorbanan darah
selagi jasadmu tidak sepenuhnya lelah
membaja semangat membantai aroma lemah
kerana dihatimu ada satu kalimah
yang berdiri menjana hatimu dengan penuh gah

sampai ketenangan dan kedamaian menjemputmu
atau maqam sang syahid menjadi tempat tuju
kerana itulah semurni-murni habuan kurnia
“Mati itu penghapus derita dunia”[7]

 

Usahlah dirimu risau, kerana bunga pada tayarmu itu, bukanlah riba’.

 


RUJUKAN

1 New Straits Times, Wednesday June 29 2005, ruangan “Cars, bikes and trucks Quarterly Review, pg 4)
2 Jum’ah Amin Abdul Aziz, “Fiqih Dakwah”(ad-da’wah, qawa’id wa ushul), Era Intermedia (Cetakan keempat 2003), ms 98
3 Seperti kisah keluarga miskin yang disiarkan oleh TV3 dalam rancangan “Bersamamu”. Maaf, penulis tidak ingat episode mana yang menceritakan kisah keluarga miskin ini.
4 Muhammad Ahmad ar-rasyid, “Pelembut Hati” (ar-raqaiq), Robbani Press (2003), ms 76-77
5 Majalah al-Muslimun, 1/595
6 Ucapan Ustaz Rahmat Abdullah ini disampaikan pada Daurah Du'at di Sukabumi pada tahun 1990-an, seperti yang dinukilkan oleh Abu Fikar ketika mengenang pemergian Ustaz Rahmat ke rahmatullah dalam eramuslim.com
7 Puisi ini ada disiarkan di blogspot musafir fana (http://musafirfana.blogspot.com/). Terima kasih kepada moderatornya kerana sudi menyiarkan puisi ini.

 

Tuesday, November 9, 2010

TOY STORY

Filem animasi Toy Story, filem animasi-komputer pertama terbitan Disney/ Pixar, mengisahkan tentang sekumpulan mainan milik seorang kanak-kanak bernama Andy. Mainan-mainan ini, dikepalai oleh sebuah patung koboi bernama Woody, akan menjadi “hidup” tiap kali tiada manusia di sekitarnya. Animasi yang terpilih sebagai “penting dari sudut kebudayaan, sejarah and nilai-nilai estetika” oleh National Film Registry, America ini, pada tahun 2005  -menurut laporan Rotton Tomatoes- telah menerima 100% kritikan bersifat positif daripada para pengkritik filem seantero dunia. Bahkan dalam episod terkini dan terakhir serial Toy Story, iaitu episodnya yang ketiga, nilai-nilai murni tentang persahabatan, kesetiaan serta pengorbanan semakin terserlah, seakan-akan mainan-mainan ini benar-benar makhluk “hidup” yang mempuyai perasaan dan menyedari tanggungjawab yang harus mereka semua tunaikan.

 

Saudaraku,

Kalau pun benar mainan-mainan ini memang “hidup” pada hakikatnya, satu perkara yang harus kita semua ketahui adalah, semua mainan itu tentunya beragama Islam, lantaran semuanya tentunya tunduk patuh pada perintah Allah S.W.T. Bahkan, semua makhluk hidup di muka bumi ini, seperti mana semua yang berada di alam maya ini pun, tidak akan bisa survive tanpa bantuan, tanpa lindungan, tanpa pengharapan kepada Allah Yang Maha Kuasa. Bukankah itu yang kita semua deklarasikan dalam setiap solat kita, tatkala kita menyebut ulang ungkapan “Segala puji bagi Allah Rabb (Pencipta, pemberi rezeki, pemilik pengatur) sekalian alam” ? (surah al-Fatihah [1]:2)

 

Nah, dengan pengharapan dan pergantungan yang hanya kepada Allah Azza Wa Jalla ini, seluruh makhluk pun merasakan ke-Besaran-Nya. Menikmati Ke-Agungan-Nya. Menyedari ke-Hebatan-Nya. Wajar, seluruh makhluk di alam maya ini hidup dalam keadaan patuh, tunduk dan taat kepada Allah, sambil bertasbih menyebut dan mengingati-Nya. Sama ada manusia menyedari atau pun tidak hal ini, tetapi itulah hakikatnya: semuanya mengalunkan irama tasbih dalam frekuensinya masing-masing.

 

“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.”

(Surah al-Isra’ [17]:44)

 

Andy tidak pernah sedar “kehidupan” mainan-mainannya. Tetapi itu tidak menghalang Woody, Buzz dan rakan-rakan untuk menyayanginya. Seperti juga mereka kemudiannya menyayangi pemilik baru mereka, konsep sayang-menyayang dan tahu menghargai orang terserlah jelas pada patung-patung “tidak bernyawa” ini.

 

Woody mungkin telah “terjamin” kelangsungan hidupnya, tetapi itu tidak membuatkannya lalai dan mengabaikan rakan-rakan dan teman-temannya yang lain. Sedang manusia saja, begitu menjadi engineer, begitu menjadi doctor, begitu menjadi cikgu dan sebagainya, semuanya menjadikan “sibuk” sebagai alasan melupakan tanggung jawab dan kewajipan membawa ummah yang lain ke jalan kebenaran, tetapi Woody dan rakan-rakan sanggup bergadai nyawa demi keselamatan dan kebahagiaan teman-temannya, seakan ia hidup dengan menyaksikan peristiwa isar (mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri) antara para Ansar dan saudara baru mereka daripada kelompok Muhajirin.

 

“Dan orang-orang yang telah menempati Kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

(Surah al-Hasyr [59]:9)

 

Subhanallah, semuanya mengalunkan irama zikir perkataan dan perbuatan terhadap nikmat yang telah Allah kurniakan kepada mereka. Tiada nikmat Allah yang terdustakan dalam kisah ini. Hanya kisah cinta, cinta dan cinta sesama mereka. Di antara mereka. Di kalangan mereka. Maka jika mainan itu adalah cinta di kaca mata kanak-kanak, ketahuilah, hidup untuk memberi inilah, saatnya ketika cinta bertasbih. Subhanallah!

 

“You’ve got a friend in me....  you’ve got a friend in me...”

 

Thursday, November 4, 2010

[copy&paste]: Ziwaj Da'awi... tanda wafa' seorang rijal

Ketika anda ketemu seorang lelaki yang begitu bersemangat, anda mungkin menganggapnya mantap dalam fikrah, cekal dalam azam dan akan mengorbankan segala-galanya untuk dakwah yang diyakininya.

Tapi bila berdepan dengan masa menentukan pilihan zaujah, anda tiba-tiba kecewa dengannya. Bukan kerana masalah atau paksaan keluarga, bukan kerana tekanan janji lama atau lain-lain uzur yang mungkin boleh diterima, tetapi ia kalah kerana sebab yang anda ragui kesanggupan pengorbanannya untuk dakwah.

Dia mungkin bersungguh-sungguh mencari seorang mad’u dan menDF, tapi dengan mudah ia membiarkan seorang ukhti yang telah lama berkorban dan bersedia untuk berkorban lagi, tetapi terpaksa terkorban kerana menjadi ahli baitul muslim yang tak ketentuan masa depannya.

Apakah hanya kerana umur yang hanya lebih banyak beberapa hari (ya… beberapa tahun lebih tua juga adalah beberapa hari), maka ia sanggup membiarkan seorang ukhti dilarikan arus keperluan kehidupan biasa dan kembali menjadi manusia biasa kategori MB atau MC?? Adakah hanya kerana wajah yang tidak secantik artis hiasan media massa maka ia sanggup korbankan manusia yang telah ditarbiyyah begitu lama oleh sang murabbiyah? Adakah kerana hanya untuk mengikuti kehendak mata dan ‘kononnya melaksanakan hadis dinikahi wanita kerana kecantikannya…..’ maka ia sanggup hanya melihat seorang ukhti dibawa kembali secara paksa atas kuasa seorang suami ke cara ‘hidup selesa’ dan ‘harmoni’?

Tidak…

tidak mungkin seorang rijal yang wafa’ (setia) dengan dakwahnya untuk membiarkan dirinya hanya melihat dakwah surut kerana kehilangan tenaga-tenaga yang telah di asuh dan di bina dengan susah payah tangan murabbiyah. Tidak mungkin juga seorang rijal sanggup gembira dengan rumahtangga barunya dari zaujah yang entah dari mana dan dia hidup heppi sedangkan akhawat di sana-sini menangis di heret ke alam hidup lama mereka kembali, bukan kerana kerelaan hati mereka.

Sampai bila kita hanya akan menjadi orang yang hanya berkorban harta dan tenaga tetapi tidak sanggup untuk mengorbankan keinginan mendirikan rumah tangga dengan pilihan ala ‘artis’nya.

Sungguh terharu mendengar ungkapan seorang sahabat:

“…. jika tidak kerana halangan keluarga, tidak kerana memelihara imej dakwah dan tidak kerana kekangan tohmahan masyarakat, nescaya ku lengkapkan bilangan 4 mengikut sunnah para sahabat demi menyelamatkan dakwah kita…. tetapi………………………….”

 

 

Sumber asal:         http://muntalaq.wordpress.com/2010/06/

 

Monday, November 1, 2010

[berita]:Kehilangan Aidil punca Negeri Sembilan kecundang?

Akhirnya, Negeri Che Siti Wan Kembang melalui Skuad Kijangnya a.k.a. Red Warrior, berhasil mencipta sejarah, menjadi juara baru Piala Malaysia untuk tahun 2010. Ini adalah Piala Malaysia pertama skuad bimbingan B. Sathianatahn selepas kalah 3 perlawanan akhir sebelum ini, masing-masing pada tahun 1955, 1970 serta tahun lepas (2009). Tambah menarik adalah, kemenangan ini ibarat melengkapkan misi “balas dendam” terhadap skuad yang menewaskan mereka di final tahun lalu, iaitu pasukan Negeri Sembilan.

 

Bagi jurulatih Negeri Sembilan, kekalahan pasukannya tidak akan berlaku, andainya mereka tidak kehilangan Aidil. Ini diulang beberapa kali oleh Wan Jamak, baik ketika masih di padang, baik ketika berlangsungnya sidang akhbar, serta lain-lain kesempatan,betapa kehilangan Aidil Zafuan Radzaklah punca kekalahan Negeri Sembilan.

 

Lebih lucu, menurut seorang pemain Kelantan ketika sidang akhbar yang disiarkan oleh berita televisyen, ketiadaan beliau ketika final 2009 adalah punca Kelantan tewas kepada Negeri Sembilan tahun lepas (lebih kurang begitu maksudnya).

 

Haha... beginilah pandangan manusia. Konon, kegagalan dan kejayaan sesebuah pasukan, bergantung harap pada bahu seseorang. Hal ini berbeza dengan pasukan dakwah bergelar Ikhwanul Muslimin. Pengasas sekaligus “bintang”nya, Hassan al-Banna tidak melatih “pasukan”nya itu untuk sepenuhnya bergantung harap kepadanya, biarpun diakui betapa beliau memang “phenomenon”. Lantas, begitu musuh menembak mati dirinya, “pasukan” Ikhwan tetap exist sampai ke sekarang. Kerana justeru kekuatan Ikhwan, terletak kepada kekuatan berpasukan, bukan kekuatan dan potensi individu seorang.

 

Masakan tidak, beginilah ar-Rasul mendidik sahabatnya sekaligus umatnya, bahawa selagi manhaj menjadi panutan, selagi itu dakwah tetap terus berjalan, biar nyawa tidak lagi dikandung badan. Lalu Umar pun kembali sedar, mendengar teguran dan peringatan daripada sahabatnya, Abu Bakar;

 

“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.”

(Surah Ali Imran [3]:144)

 

Apakah Man Utd. Berputus asa begitu kehilangan Cristiano Ronaldo? Atau German menangisi kecederaan Michael Ballack? Mari kita kembali membina sebuah pasukan, berbanding sekadar bergantung harap kepada pemain bintang. Kerana kejayaan itu, adalah dengan semangat berpasukan. Persis ungkapan sang kenit Wonder Pets; “apa yang penting?” “Kerjasama!”