TAJUK: PENYELESAIAN KONFLIK DALAM PERSELISIHAN PENDAPAT PARA
SAHABAT: PERBINCANGAN TENTANG ADAB DAN MANUAL
YANG DIAJAR OLEH RASULULLAH S.A.W. KEPADA PARA SAHABAT[1].
Oleh: Rasyidah binti Mat Zin[2]
Pendahuluan
Perbezaan pendapat merupakan sesuatu perkara yang biasa dalam
kehidupan manusia. Malah perbezaan pendapat merupakan sebahagian daripada
fenomena tabi’i yang boleh melahirkan perkara-perkara yang positif sekiranya
dipelihara oleh batas-batas dan adabnya. Perkara yang menjadi perbahasan kini
adalah banyak perpecahan yang berlaku dalam dunia hari ini adalah berpunca
daripada perbezaan pendapat. Tanpa menafikan, perbezaan dalam berpendapat turut
berlaku keatas sesiapa sahaja bahkan telah berlaku perbezaan pendapat dalam
kalangan sahabat, tabi’in, dan para imam mujtahidin daripada kalangan ulama’
Salafus Solehin. Namun, mengapa ia tidak menimbulkan perkara yang negatif
seperti yang berlaku keatas ummat pada hari ini? Oleh itu tulisan ini menyoroti
sirah Baginda s.a.w dalam menangani perbezaan pendapat yang berlaku dalam
kalangan sahabat Baginda sendiri serta bagaimana sikap para sahabat apabila
berhadapan dengan sebarang perselisihan pendapat.
Dr. Taha Jabir Fayyadh al-Alwani menyebutkan dalam kitabnya
“Perbezaan Pendapat dalam Islam” menyebut bahawa diantara penyakit yang paling
bahaya menimpa ummat Islam di masa-masa akhir ini adalah penyakit “perselisihan
pendapat” iaitu perselisihan pada segala sesuatu dan atas segala sesuatu,
sehingga meliputi aqidah, pemikiran, wawasan dan pendapat, disamping perasaan,
tindakan, sikap dan perangai bahkan sampai kepada uslub-uslub feqah dan
persoalan-persoalan ibadat[3].
Salah satu faktor kemunculan perbezaan pendapat ini di negara kita khususnya,
adalah kesedaran rakyat terhadap kepentingan ilmu pengetahuan khususnya ilmu
agama, dan perkembangan institusi tinggi awam dan swasta. Hasilnya masyarakat
Islam sudah boleh membaca sendiri buku-buku agama malah dengan berkembang
biaknya kumpulan-kumpulan kecil khususnya dalam kalangan anak muda yang
berdiskusi mengenai topik-topik tertentu, tambahan pula ledakan maklumat dan
juga bahan di media sosial menggesa masyarakat awam terdedah dengan wacana yang
rencam dan pelbagai.
Islam membenarkan seseorang yang mempunyai kemampuan di dalam
lapangan keilmuan untuk membuat kajian dan penyelidikan dalam sesuatu isu yang
melanda masyarakat, bahkan Islam menggesa ummatnya mengoptimumkan penggunaan
akal fikiran dalam menggarap sesuatu perkara. Oleh yang demikian, Islam
mengharapkan agar segala perselisihan pendapat itu tidak sampai mengancam
perpaduan ummat, dan supaya diusahakan permuafakatan dan kesatuan pendirian
dalam menghadapi persoalan-persoalan besar dan kaedah-kaedah yang asas. Namun
apa yang berlaku ialah masyarakat Islam berusaha mendapatkan pengetahuan tetapi
kehilangan akhlaknya. Perpecahan berlaku disebabkan pertikaian sesama sendiri
dan pertengkaran yang menyebabkan kegagalan dan hilangnya kekuatan. Firman
Allah:
Dan taatlah kamu kepada
Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya
kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi
segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang
yang sabar. –al-Anfal:46
Pengertian Ikhtilaf
Ikhtilaf dari segi bahasa membawa maksud tidak ada persepakatan dan
persetujuan ke atas sesuatu perkara atau perbezaan pendapat atas sesuatu
perkara[4].
Manakala dari segi istilah pula bermaksud seseorang menempuh satu cara yang
berbeza daripada orang lain mengenai perilaku atau pendapatnya[5].
Refleksi daripada al-Quran turut menggambarkan perbuatan ikhtilaf yang berlaku
seperti:
Kemudian,
golongan-golongan (dari kaumnya) itu berselisihan sesama sendiri. Maka
kecelakaanlah bagi orang-orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang
disaksikan pada hari yang besar huru-haranya.–Maryam: 37
Dan
kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat
manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian)
dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.– Hud: 118
Sesungguhnya kamu
berada dalam keadaan berlainan pendapat (mengenai agama yang dibawa oleh Nabi
Muhammad, s.a.w). –Adzariaat: 8
Manakala perkataan khilaf yang didefinasikan oleh al-Jurjani dalam
kitab al-Ta’rifat[6],
tertumpu pada perbahasan yang berlaku diantara pihak yang bertentangan bagi
mencari sesuatu kebenaran atau membatalkan sesuatu kebatilan. Terdapat
kekeliruan yang berlaku dalam membezakan antara perkataan khilaf dan ikhtilaf.
Ikhtilaf berdasarkan dalil dan bukti manakala khilaf tidak berdasarkan dalil
dan bukti, sebaliknya melibatkan perbahasan untuk semata-mata keluar daripada
berpegang kepada sesuatu pendapat[7].
Kesimpulannya, ikhtilaf berlaku keatas perkara yang diketahui tidak ada kata
sepakat keatasnya manakala khilaf adalah melibatkan perbahasan untuk keluar
daripada sesuatu pendapat kepada sesuatu pendapat yang lain.
Rasulullah s.a.w merupakan “role model” bagi setiap insan
di muka bumi ini. Sifat universal nabi Muhammad s.a.w yang diutuskan dalam
kalangan manusia biasa, menyebabkan sifat dan sikap nabi mampu diteladani
menjangkaui rentas agama. Malah, Allah s.w.t turut memperjelaskan bahawa
pengutusan nabi ini adalah sebagai rahmat kepada seluruh alam.
Dan
tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi
rahmat bagi sekalian alam. –al-Anbiya’:106
Sesuatu perkara yang semulajadi dalam diri manusia yang dikurniakan
akal dan fikiran yang berbeza disamping perbezaan warna kulit, bangsa,
kebudayaan dan citarasa. Malah dinamika penciptaan manusia sebegini merupakan
satu rahmat daripada Allah supaya manusia saling melengkapi, tumpang menumpang,
bahu membahu agar mewujudkan suatu komuniti yang rencam. Kesatuan bagi sesuatu
komuniti atau ummah yang serba kompleks inilah perlu dibentengi dengan sikap
melampaui batas, terutama dalam konteks tulisan ini iaitu berbeza dalam
berpendapat. Malah masyarakat perlu sentiasa beradab dan berakhlak dengan akhlak
islamiyah supaya perbezaan ini melahirkan suatu yang positif dan merupakan
rahmat dalam kehidupan ini. Salah seorang ulama feqah di Madinah pernah
mengungkapkan, “Saya merasa taajub dengan kata-kata Umar bin Abd al-Aziz. Saya
tidak suka para sahabat yang tidak berikhtilaf. Kerana jika mereka sepakat di
atas satu-satu pendapat, sudah tentu orang ramai akan berada dalam kesempitan.
Mereka adalah imam-imam yang akan diikuti umat. Sekiranya seseorang berpegang
dengan pendapat salah seorang daripada mereka, sudah tentu ia akan berada di
dalam keluasan,”[8].
Disebabkan perselisihan merupakan suatu perkara yang tabi’i, maka
sudah pastinya perselisihan pendapat ini tidak terlepas daripada turut berlaku
pada zaman Rasulullah s.a.w dalam kalangan sahabat. Namun, apabila para sahabat
berselisih pendapat terhadap sesuatu perkara, maka mereka segera merujuk
Baginda untuk mendapat penjelasan. Bagi sahabat yang berada jauh dari Madinah,
mereka berijtihad dan hasil ijtihad mereka menimbulkan perselisihan pendapat.
Para sahabat kembali ke Madinah untuk merujuk Baginda s.a.w dan mengemukakan
permasalahan-permasalahan hasil ijtihad yang telah dilakukan oleh mereka. Di
sini, kita dapat lihat bagaimana reaksi Rasulullah s.a.w, samada menerima dan
memperakuinya sehingga menjadi sebahagian daripada sunnah, ataupun Rasulullah
menerangkan kepada mereka jawapan yang benar dan tepat sehingga para sahabat
berpuas hati dengan penjelasan Baginda.
Di antara contohnya ialah peristiwa berikut:
Diriwayatkan
oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda dalam peperangan
Ahzab:
“Jangan
sembahyang Asar seorangpun melainkan di Bani Quraizah”.
Namun
sebahagian daripada mereka telah
mendapati waktu Asar ketika mereka masih dalam perjalanan, lalu berkatalah
sebahagian daripada mereka: “Kami tidak akan mengerjakan sembahyang Asar
sehingga kami tiba di kampung Bani Quraizah”. Tetapi sebahagian yang lain pula
berkata, “Bahkan kami akan mengerjakan sembahyang Asar, dan tidak ada apa-apa
salahnya”. Lalu hal yang demikian diberitahu Rasulullah s.a.w. tetapi Baginda
tidak mencela sesiapapun di antara mereka.”
Menerusi
hadis tersebut, para sahabat Radhiallahu ‘anhum terbahagi kepada dua kelompok
berhubung dengan pendirian mereka mengenai pelaksanaan sembahyang Asar: Satu
golongan berpegang kepada zahir lafaz manakala satu golongan lagi telah
mengeluarkan makna istimbath daripada yang terkandung dalam nas tersebut. Sikap
Rasulullah yang membenarkan kedua-dua golongan itu adalah menjadi bukti bahawa
pendapat kedua-dua golongan tersebut adalah disyariatkan. Bermaksud, seseorang
itu boleh berpegang pada zahir nas dan boleh pula mengistimbathkan makna-makna
yang terkandung disebalik periwayatan hadis tersebut. Sehubungan itu, tiada
halangan dan celaan keatas kedua-dua pihak yang telah melakukan kesungguhan
dalam berijtihad, sekiranya mereka mempunyai keahlian yang diperlukan dalam
perkara tersebut.
Berdasarkan
ijtihad kedua-dua golongan sahabat Radhiallahu ‘anhum tadi, golongan pertama
memahami bahawa pesanan Rasulullah s.a.w itu bermaksud Baginda menyarankan
mereka untuk mempercepatkan perjalanan mereka ke kampung Bani Quraizah. Maka
mereka menganggap bahawa sembahyang sebelum tiba di Bani Quraizah bukanlah
suatu yang menafikan perintah Rasulullah supaya sembahyang di Bani Quraizah,
selagi sembahyang itu tidak melambatkan mereka sampai ke sana. Malah, perbuatan
tersebut adalah lebih afdal kerana mengerjakan sembahyang ditengah perjalanan
kerana keutamaan yang paling dahulu ialah mengerjakan sembahyang di awal waktu
dan menyahut perintah Rasulullah s.a.w.[9]
dan sesetengah ulama lain turut berpendapat bahawa afdal untuk menta’khirkan
sembahyang di Bani Quraizah.
Rasulullah
menyedari hakikat bahawa kelangsungan sebuah kehidupan adalah bergantung kepada
kesatuan hati yang berpadu dalam mencintai Allah dan kehancurannya adalah
berpunca dari hati mereka yang saling berantakan. Malah fokus utama Rijal
al-Dakwah adalah menyeru kepada kesatuan, kebersamaan, dan kekukuhan
barisan. Perselisihan akan menimbulkan kerosakan pada hubungan baik sesama saudara
dan akan melemahkan agama, umat dan dunia[10].
Dalam surah Ali Imran, ayat ke 105 menunjukkan larangan supaya berlaku
perpecahan:
“Dan janganlah kamu
menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan
berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan
mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.”- Ali
Imran:105
Oleh yang demikian,
Rasulullah seringkali memperingatkan sahabat agar menjauhi perselisihan
pendapat yang boleh merosakkan umat. Sabda Baginda,
“Jangan kamu berselisih, nanti berselisih hati kamu.”
Para sahabat yang mulia berusaha untuk tidak berselisih pendapat antara
satu sama lain. Oleh itu mereka menghindarkan diri daripada memperbanyakkan
soalan dan perincian. Malah mereka menyelesaikan sebarang peristiwa yang
berlaku di bawah petunjuk Rasulullah s.a.w. Mereka juga berpendapat bahawa
perselisihan pendapat itu tidak membawa kebaikan, sebagaimana ucapan Ibnu
Mas’ud Radhiallahu ‘anhum:
“Perselisihan pendapat itu tidak baik.”
Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w merungkai benih-benih perselisihan
pendapat itu sebelum ianya menjadi barah bagi umat Islam. Antara manual adab
ikhtilaf yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan diajarkan kepada para sahabat
apabila berlaku perselisihan pendapat adalah:
1. Rasulullah menyeru supaya segera mengembalikan perkara yang diperselisihkan
itu kepada kitab Allah dan merujuk Baginda sendiri. Rasulullah menjelaskan
supaya wajib bagi mereka yang dalam keadaan yang jahil dan bingung adalah bertanya, bukan
cepat-cepat berfatwa walaupun tidak ada ilmu.
Dan
tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari
kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu
bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang
berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.-Al-nahl: 43
Telah diriwayatkan Abu
Dauddan Ad Daruqutni dari hadis Jabir, :kami telah berpergian dalam satu
perjalanan, lalu salah seorang diantara kami telah luka kepalanya kerana
ditimpa batu, kemudian ia bermimpi keluar mani, lalu ia bertanya kepada
sahabat, “Adakah kamu mendapati rukhsah bagiku untuk bertayammun?” mereka
menjawab, “Kami tidak mendapati rikhsah bagimu kerana engkau berkuasa
mendapatkan air.” Maka lelaki tersebut mandi, lalu meninggal dunia. Tatkala
kami mendatangi Rasulullah s.a.w dan mengkhabarkan yang demikian, Rasulullah
berkata:
“Mereka telah membunuhnya, Allah membunuh mereka. Hendaknya mereka bertanya
sekiranya mereka tidak tahuy, kerana ubat bagi yang tidak tahu itu adalah
bertanya. Sebenarnya memadailah ia bertayammun dan membalut lukanya, dan
menyapunya serta membasuh sekalian tubuhnya...”[11].
Rasulullah tidak memaafkan mereka yang menberi fatwa tanpa ilmubahkan
mengecam dengan keras tindakan tersebut. Bahkan firman Allah dalam surah
an-Nisa’ ayat 58 dan 59:
Sesungguhnya Allah
menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang
berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia,
(Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan
(suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
Wahai orang-orang yang
beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan
kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka
hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah)
RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian
adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Rasulullah mendidik
para sahabat supaya berfatwa dengan ilmu dan mengembalikan sebarang
perselisihan kepada al-Quran dan sal-Sunah iaitu dengan merujuk Baginda
sendiri. Kadang-kadang berlaku perselisihan pendapat antara sahabat, sehingga
terjadi perbincangan untuk mencari kebenaran, namun tidak sampai kepada
pertengkaran, perbalahan, tuduh menuduh, caci-mencaci, kerana mereka segera
kembali kepada kitab Allah dan Rasulnya s.a.w yang memutuskan sebarang
perselisihan pendapat tanpa meninggalkan sebarang kesan yang tidak baik kepada
saudaranya.
2. Rasulullah menetapi sifat taqwa serta menjauhi hawa nafsu dengan menjadikan
tujuan perselisihan tersebut adalah untuk mencari kebenaran[12].
Perbezaan pendapat itu merupakan suatu perkara yang tidak boleh dihindari. Penciptaan
manusia yang pelbagai keperibadian dan pemikiran yang variasi ini cenderung
kepada perselisihan pendapat. Oleh yang demikian Rasulullah memperingati para
sahabat supaya menjauhi perselisihan yang tercela iaitu perselisihan yang
didorong oleh hawa nafsu. Kemungkinan besar perselisihan pendapat ini lahir
daipada keinginan untuk mencapai kepentingan peribadi, atau didorong oleh
keinginan untuk menunjuk-nunjuk kelebihan ilmu atau kefahaman masing-masing.
Firman Allah:
Dan
sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami
iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan
kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya
dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu
seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu
kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari
Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
Al-Baqarah: 87.
Perselisihan seperti
ini jauh tersasar daripada punca perbezaan pendapat iaitu lahir dari sumber
kebenaran, dorongan ilmu, kehendak akal dan desakan iman. Dorongan hawa nafsu
didalam perselisihan inilah yang menjadi racun bagi umat Islam dan merupakan
satu penyakit hati yang perlu dihindari oleh seseorang Muslim. Sehubungan itu,
wajib keatas Muslim berusaha untuk menghindari daripada menuruti hawa nafsu yang
boleh mendorong kepada berlakunya perpecahan umat. Bukankah Allah telah
menyebutnya di dalam al-Quran bahawa manusia sememangnya diciptakan
berpasang-pasangan, daripada pelbagai bangsa dan kaum, supaya manusia saling
berkenal-kenalan. Bahkan Allah menyebut lagi bahawa tiada perbezaan antara hambaNya
melainkan taqwa kepadaNya. Malah di dalam surah al-Nahl ayat ke 128, Allah
berfirman:
“Sesungguhnya Allah
beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki
amalannya.”
3. Menetapi dengan setia adab Islam dengan memilih kata-kata yang baik serta
menghindari kata-kata yang tajam diantara mereka yang berselisih beserta dengan
sikap yang baik mendengar pendapat masing-masing. Rasulullah s.a.w mengajar
para sahabat tentang adab yang penting diantara adab perselisihan seperti adab
dalam membaca al-Quran. Baginda bersabda,
“Bacalah al-Quran selagi hatimu bersatu-padu, bila kamu telah berselisih
mengenainya, maka bangunlah kamu.”
Rasulullah s.a.w
menyarankan para sahabat untuk memberhentikan bacaan al-Quran ketika mereka
berselisih pendapat tentang sesetengah huruf bacaan, atau tentang makna yang
dimaksudkan dalam ayat tersebut, sehinggalah hati mereka kembali tenang dan
hilang perasaan yang membawa kepada perdebatan dan perbalahan. Apabila hati
mereka kembali ikhlas untuk mendalami ilmu, maka mereka boleh meneruskan bacaan
tersebut dan memikirkan setta merenung makna-makna ayat al-Quran tersebut
dengan suci hati. Begitulah cara Rasulullah mendidik para sahabat untuk sedaya
upaya menjaga adab dan akhlak ketika berselisih serta mengutamakan sikap
toleransi dan saling menerima pandangan orang lain. Akar kepada perselisihan
yang tolerir adalah apabila seseorang melakukan amal perbuatan didasarkan
kepada hujjah atau pengetahuan orang sebagai dasar untuk melakukannya tanpa
disertai permusuhan dan celaan terhadap orang yang berbeza dengannya[13].
Muhammad al-Ghazali,
seorang tradisionalis Islam menyatakan bahawa salah satu cara yang dapat membantu
mewujudkan sikap toleransi dan saling menerima pandangan orang lain dalam
sebarang persoalan dan perselisihan berkaitan masalah feqah contohnya adalah
dengan mengetahui dasar-dasar serta sumber pengambilannya dan memahami bahawa
setiap mujtahid dan ulama’ mempunyai
pandangan dan perbahasannya yang masing-masing dan semuanya menyelam dalam
lautan syariah yang luas. Perbezaan mereka adalah rahmat manakala persepakatan
mereka adalah hujjah[14].
Penutup
Demikianlah panduan yang paling penting dalam menguruskan perselisihan
dalam pendapat yang dapat disimpulkan melalui sirah nabi yang menjadi petunjuk
dan pedoman bagi umat Islam dalam mengekalkan keharmonian hidup. Lihat sahaja
sikap para sahabat radhiallhu ‘anhum seperti Khalifah Abu Bakar yang pernah
meminta rakyatnya supaya memperbetulkan tidakannya jika berlaku kesalahan
walaupun beliau seorang khalifah ketika itu. Dengan akhlak-akhlak yang pandu
oleh nabi Muhammad s.a.w dan kecintaan para sahabat Radhiallahu ‘anhum kepada
Baginda telah menjadikan mereka diangkat sebagai “bintang” oleh Baginda. Malang
sekali lewat hari ini, ada yang tanpa segan silu menyatakan bahawa pendapatnya
sajalah yang paling benar dan paling menepati kehendak syara’. Satu perkara
yang umat Islam perlu menyedari bahawa kefahaman seorang insan biasa bukanlah
merupakan satu wahyu dan jauh sekali merupakan pendapat yang maksum. Boleh jadi
cara seseorang melihat nas itu adakalanya melihat secara literal, ada juga
melihat secara maqasid nas seperti yang berlaku keatas sahabat Rasulullah s.a.w
dalam peristiwa menentukan bila perlu untuk mereka mengerjakan solat Asar
sebagaimana yang telah ditulis pada awal tulisan ini. Banyak dalam kalangan
sahabat yang pandangannya berbeza daripada pandangan para sahabat yang lain
namun hal ini tidak membatalkan pendapat sahabat yang berbeza itu. Suatu yang
penting untuk kita insafi adalah menghapuskan ikhtilaf itu adalah mustahil
kerana ikhtilaf itu merupakan suatu keluasan dalam beragama, dan rahmat bagi
seluruh umat. Guru kami sentiasa berpesan ketika dalam pembelajaran subjek Ilmu
Kalam, selaku penuntut ilmu dan semestinya hanya orang kebiasaan, agar tidak
sesekali menolak sesuatu pandangan ulama’ yang dikatakan menyalahi ijma’
sekalipun dengan penolakan secara habis-habisan namun kemudian masa kita yang
menegak kembali pandangan-pandangannya. Wallahu’alam.
Bibliografi
al-Alwani, Dr. Taha Jabir Fayyadh. Adab Perbezaan
Pendapat Dalam Islam (terj. Haji Muhammad Rivai Batubara). Kuala Lumpur:
Dewan Pustaka Islam, 1989.
al-Azhari, Dr. Basri bin Ibrahim al-Hasani. Adab
Ikhtilaf: Formula Mengekalkan Perpaduan Ummah. Kuala Lumpur: al-Hidayah
Publication, 2009.
al-Ghazali, Muhammad. Warisan Pemikiran Islam,
Menurut Syara' dan Akal(terj.Nur Hadi Ihsan). Kuala Lumpur: Crescent News
(K.L) Sdn. Bhd., 2009.
al-Jurjani, Ali bin Muhammad al-Syarif. al-Ta'rifaat.
Beirut: Maktabah Lubnan, 1985.
Jarisyah, Dr. Ali. Adab al-Hiwar wa al-Munazarah.
Mansoura: Dar al-Wafa', 1989.
Qardhawi, Dr. Yusuf. Fiqh Perbedaan Pendapat
Antar Sesama Muslim : Memahami Perbedaan yang dibolehkan dan Perpecahan yang
dilarang . Indonesia: Robbani Press, 2008.