20 April 2008

GILA BABI

Faizal Riduan

Di dalam Bahasa Melayu, perkataan babi merupakan kata kesat bagi tujuan maki hamun, caci cerca, herdik hina dan gelaran babi kepada seseorang adalah satu gelaran terburuk (peringatan kepada orang yang mengelarkannya jauh lebih buruk!). Malah dalam sejarah Perang Larut Ketiga, Lee Ah Khun pemimpin kumpulan Ghee Hin dan pasangan mukahnya isteri orang dari kumpulan Han San dihukum dengan disumbat dalam raga bekas isi babi dan dihumban ke dalam lombong tinggal – begitulah sinonimnya babi bagi menunjukan penghinaan yang teramat sangat.

Sedari kecil ibu saya (kacukan Malayu dan Cina) melarang menyebut gelar ‘babi’ kerana akan dianggap bermulut lancap, celupar dan carut – hukuman mandatori mulut akan dikuti atau diciliapikan. Paling tidak saya akan memanggil babi sebagai khinzir yang dikira lebih sopan – begitu halusnya budi bahasa menjadi seorang Melayu. Semasa di universiti saya dan rakan Cina (terutama Chow Wah Hon & Loh Lun San) biasa bergurau-senda dengan menyebut babi sebagai bab1 (bab-satu). Tabo malu itu masih kekal sehingga kini.

Babi yang satu masa dahulu menjadi perkataan yang fobia tiba-tiba menjadi begitu obsesi bagi orang Melayu. Baik di peti TV, laman sesawang (internet), helaian akhbar sampai ke sembang kedai kopi malah di parlimen, Yang Berhormat lulusan Oxford dan lulusan Haji Baitullah menggunakan bahasa berlabel seperti Projek Khinzir Raksaksa (PKR) dan Babi Negara (BN) – babi, babi, babi!

Tiba-tiba orang Melayu mempunyai kegilaan semacam terhadap babi yang jika dianalogikan menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) edisi keempat sebagai gila babi atau sawan babi atau ayan atau epilepsi dalam bahasa perubatan moden iaitu sejenis penyakit saraf (neurologikal) yang menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri dengan anggotanya bergerak menyentak-nyentak.

Tidak semena-mena pula ramai tokoh muncul entah dari mana datangnya sang juara membuat kenyataan tentang babi tanpa hujung pangkal, usul periksa dan letak duduk perkara yang sebenarnya. Ia lebih parah dan kritikal apabila ditanggapi oleh orang awam yang kurang ilmu dan maklumat menjadikannya lebih sensasi dengan emosi, lebih sandis dengan prejudis. Isu yang sebenar tenggelam lemas dek asakan sempit perkauman yang bertubi-tubi tetapi tidak seperti ‘berisinya ubi’ – kosong.

Sejurus diumumkan projek penternakan babi moden di Tumbuk, Selangor oleh kerajaan negeri Selangor yang baru mendapat mandat dalam Pilihanraya Umum Ke-12, Datuk Dr. Karim Mansor ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Sepat memulakan tugas pertama sebagai wakil rakyat dengan menghidupkan tradisi UMNO pada tahun 1946 berdemontrasi membantah projek tersebut bersama Ketua Kampung Tumbuk atas kepentingan umat Melayu semata-mata tiada yang lain! Hampir saban hari esoknya isu ini diperbesarkan sehingga ditokok-tambah-darab melibatkan pelaburan wang kerajaan negeri sebanyak RM100 juta dan bertujuan menjadikan Malaysia negara pengeksport babi sehingga ke negara China yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia dengan jumlah populasi mencecah lebih 1.3 billion!

Ketua Biro Pertanian Tradisi MCA, Datuk Dr Lee Chong Meng mendedahkan kontroversi pada tahun 2007 (tahun babi dalam kalendar Cina) Datuk Dr. Karim Mansor bersama Ketua Kampung Tumbuk telah menyertai ‘rombongan sambil belajar’ ke luar negara di Jerman untuk mengkaji teknologi moden penternakan babi selain turut melawat Amstersdam dan Paris di atas pembiayaan kerajaan negeri yang kemudian dilaporkan dalam akhbar The Sun yang mengutip laporan The Oriental Daily.

Jika ditafsir dari sekeping gambar Datuk Dr. Karim Mansor yang meleret senyum ikhlas berlatarbelakangkan kandang babi moden itu melalui isyarat tangan kiri dengan kesemua jari digengam kecuali ibu jari tegak berdiri – tanda bagus, beliau berpuashati! Dr. Lee yang lebih tahu segalanya tentang projek tersebut yang diluluskan semasa Menteri Besar waktu itu Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo sebelum pembuburan parlimen kemudian berkias ibarat seperti melihat tapak tangannya sendiri – analogi puitis yang penuh sinis! Projek pemindahan 132 ladang babi yang dipersetujui secara bersama itu turut melibatkan dua ahli exco kerajaan negeri iaitu Datuk Ch'ng Toh Eng dan Datuk Tang See Hang yang memenuhi prasyarat kesaksian kerana tidak hipokrit dan munafik.

Yang merobek hati ialah penglibatan syarikat usahasama bumiputera Melayu Islam yang menggunakan kos RM100 juta daripada sumber dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini memalukan Malaysia sebagai sebuah negara hab halal dunia yang kini giat mempromosikan Halal Development Corporation (HDC) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS). Barangkali usahasama ini mencontohi perkongsian bijak penternak babi Said Sarmouk seorang Islam dan rakan kongsinya seorang lelaki Perancis di sebuah negara Islam Maghribi yang 98.7 peratus daripada 30 juta orang penduduknya adalah Muslim Sunni.

Syarikat yang hanya memindahkan teknologi itu akan mengenakan caj RM50 bagi seekor babi sebagai kos effluent treatment kepada penternak babi. Satu langkah komersil seperti strategi Abdul Latif seorang Ketua Daerah Pasir Putih pada tahun 1914 yang menyaksikan penentangan bersejarah Tok Janggut dan rakan-rakan terhadap penguatkuasaan undang-undang cukai kerajaan Kelantan yang antara lain mengenakan cukai 50 sen bagi seekor babi.

Jika merujuk kepada pepatah Melayu bagi mengambarkan isu mempolitikan babi ini hanya ada tiga yang signifikan seperti "anjing galak, babi berani" iaitu bertemu lawan yang sepadan, "babi merasa gulai" iaitu menyimpan rahsia yang telah diketahui umum dan "kepala tersangkut kulit babi" iaitu mendapat malu besar. Saya ingin mencipta pepatah baru yang paling tepat iaitu "makan babi sembunyi tangan"! Kebetulan semua pepatah ada kata babi - relevan.

Melihat isu babi dari sudut sempit perkauman sebenarnya sangat tidak adil bahkan jatuh kepada kategori zalim bagi orang Islam. Kita sewajarnya melihat isu ini mengatasi sempadan agama dan bangsa menjadikan lebih rasional dan profesional. Mengaitkan babi dengan orang Cina adalah contoh mentaliti kelas bawah sebawah tempurung kelapa, tidak glokal (istilah catchy ciptaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak) kerana babi juga adalah makanan kegemaran orang Jerman.

Sebenarnya masyarakat Cina bukan melihat babi dari aspek makanan semata-mata tetapi meliputi aspek kepercayaan, budaya dan pandangan hidup mereka. Contohnya di dalam astrologi Cina, babi (dalam versi Jepun hanya terdapat zodiak babi hutan) adalah salah satu daripada 12 zodiak haiwan iaitu kaedah penilikan nasib pada masa depan berasaskan kalendar Cina dengan sumber astronomi dan falsafah Cina kuno berdasarkan kitaran enam pulun tahun yang bermula semenjak zaman Dinasti Shang.

Dalam kebudayaan mereka pula, babi dikaitkan dengan kesuburan dan kejantanan (sekarang baru saya tahu mengapa orang Cina sungguh berani) malah anak yang lahir pada tahun tersebut dianggap amat bertuah kerana menjadi seorang yang periang dan jujur. Epik cina yang terkenal, Journey to the West juga mengandungi watak hero babi yang dikenali sebagai Zhū Wùnéng.

Satu perkara yang ramai orang Islam tidak tahu bahawa mendiang Tan Sri Loh Boon Siew (lebih dikenali sebagai 'Mr Honda') yang merupakan pengasas Boon Siew Honda yang juga jutawan dari Pulau Pinang menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Fujian, China dengan mengutip najis babi untuk dijual sebagai bahan bakar. Ironinya, jika anda tidak boleh memandang kepada seekor babi sebagai makhluk tuhan, berilah orang lain (tentunya orang bukan Islam) memandangnya dari sudut positif walau hanya dengan hanya najisnya!

Pengharaman babi sebagaimana jelas dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 3 dan Surah Al-An'am ayat 145 sebenarnya bukan hanya sensitiviti mutlak kepada umat Islam sahaja. Bahkan agama Kristian dan Yahudi juga menjauhinya sebagaimana dalam larangan Book of Leviticus, Chapter 11, Verse 7& 8, Book of Deuteronomy, Chapter 14, Verses 7 & 8, Book of Isaiah, Chapter 65, Verses 2 to 4, dan Chapter 66, Verse 17.

Adapun kefobiaan terhadap babi lebih kepada amalan spiritual seperti balasan dosa yang dilakukan di dunia. Dalam kepercayaan animisme seperti amalan suku Nias di kepulauan barat Sumatera, roh si mati boleh memasuki tubuh babi dan dipercayai akan menuntut bela ke atas orang yang menjadi musuh simati pada masa hidupnya. Ianya meyerupai kepercayaan kelahiran semula dalam agama Hindu dan Buddha. Bagi orang Islam pula terdapat kepercayaan tentang balasan Allah yang ditunjukan ketika mati apabila mayatnya berkepalakan babi (awas kepada mereka yang mempolitikan isu babi!).

Ramai di kalangan kita yang beragama Islam berbangsa Melayu yang pastinya melebihi majoriti dua pertiga melihat babi sekadar binatang bermuncung panjang dan berhidung leper – jijik, loya dan mual! Inilah antara warisan larangan Rasullullah yang paling berjaya diharamkan sedangkan larangan lain yang sekutuk atau lebih teruk hukumnya seperti minum arak, main nombor ekor, zina, sumbang mahram, menfitnah, mengumpat dan mengadu-domba menjadi amalan terang-terangan bagi mereka yang Islam pada nama dan Mykad sahaja. Lebih malang, ada orang Islam yang makan rasuah, makan riba, makan komisen (dengan cara yang tidak sah), makan judi (termasuk main nombor), makan dadah (penagih), makan skim cepat kaya, makan hak orang lain atau makan sebarang hasil haram yang setaraf dengan memakan babi!

Barangkali kerana babi dari sudut sainstifik mempunyai persamaan genetik (DNA) yang hampir serupa dengan manusia (tidak hairan mengapa ada yang berperangai seperti b*b* – maaf!). Malah jantung babi pernah digunakan sebagai ganti jantung manusia yang sakit tenat sementara menanti penderma yang sesuai. Persamaan genetik ini memungkinkan berlaku penularan penyakit antara spesies (cross spesies) yang kesannya kehilangan ketahanan badan bagi melawan penyakit baru.

Dalam kes virus Nipah, penyelesaiannya hanya dua pilihan sama ada menghapuskan manusia berhampiran babi atau menghapuskan babi berhampiran manusia. Hasilnya, kesemua babi dalam kawasan tersebut dihapuskan sama sekali dari muka bumi bukan kerana azalinya berspesiskan babi sebaliknya demi kemashalatan dan keselamatan manusia sekeliling.

Rasanya semua orang Islam sekalipun tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam subjek Pendidikan Islam, sedia maklum hukum haram babi (bukan sekadar memakannya tetapi juga melibatkan diri dari sebarang hasil daripadanya seperti bekerja, mengambil upah atau berniaga termasuk atas nama membawa masuk teknologi dari Jerman!). Tetapi jangan lupa sebenarnya ia terpakai hanya pada umat manusia Islam sahaja dengan dua keadaan iaitu haram bagi umat Islam dan haram juga bagi umat Islam mengharamkan sesuatu yang halal bagi kaum lain (pengecualian dalam hal darurat).

Kita lebih tahu babi adalah sejenis najis berat mughallazah yang boleh disucikan. Tetapi yang sebenarnya dituntut dalam Islam ialah samak dan thaharah kerana terkena najis dan bukan kerana dosa. Bagaimana pula dengan penyakit seketul hati yang penuh prasangka dan prejudis hingga hilang timbang rasa ihsan dan adil, kemudian mengotorkan hubungan perpaduan antara kaum yang menjadi asas terpenting dalam Islam dengan matlamat yang lebih besar demi pembinaan sebuah negara bangsa yang harmoni, rukun dan aman damai?

Jika penyakit gila babi didiagnosis melalui ujian sama ada EEG, rakaman video EEG, skan CT dan MRI yang kemudiannya disyorkan ubatan anti konvulsi (AEDs) seperti levetiracetam, topiramate dan lamotrigine, bagaimana pula dengan penyakit seketul hati ini? Tidak begitu Dr. Karim Mansor dan Dr Mohamad Khir Toyo? Merekakan doktor.

18 April 2008

AHLI POLITIK URUS GLC: SATU PENYELESAIAN?!

Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) mengesyorkan kepada kerajaan untuk membenarkan ahli politik menduduki jawatan tertinggi dalam pasukan pengurusan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Dalam kenyataan media, Pengerusinya Tan Sri Rahim Thamby Chik berpendapat ahli politik memahami keseluruhan agenda pembangunan sosiekonomi bumiputera.

Menyorot dari sisi lain, kelihatan penglibatan ahli politik secara langsung dalam GLC mempunyai lebih banyak kontradiksi yang bercanggah dengan dasar-dasar kerajaan sebelumnya, menimbulkan polemik profesionalisme dan persepsi tidak sihat di kalangan masyarakat awam. Berikut adalah beberapa pendapat yang perlu difikirkan kesan akibatnya:


1. Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) secara rasmi menyatakan komitmennnya bagi membangunan aspek sosioekonomi orang Melayu. Sejak tahun 1970-an kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar dan strategi ke arah itu dan setelah 50 tahun kemerdekaan jika objektif murninya masih tidak tercapai maka aspek terpenting untuk dibedah siasat adalah segmen penyampaian dan fokus kepada kumpulan sasaran. Adakah dengan pengambilalihan kepimpinan dan pengurusan GLC yang hanya faktor mikro boleh menyelesaikan semua masalah?

2. Syor tersebut agak ketinggalan dan terkebelakang dari Dasar Pensyarikatan dan Dasar Penswastaan serta pembentukan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputra (MPPB) yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed untuk meningkatkan daya saing, produktiviti, kecekapan dan efisyen. Jika dibedahsiasat kembali kegagalan Dasar Penswastaan seperti Tajudin Ramli dengan MAS-nya dan Halim Saad dengan Renong-nya yang menyaksikan kerajaan terpaksa membeli balik kerana unsur strategiknya kepada kepentingan negara dan kegagalan Dasar Pensyarikatan seperti Eric Chia dengan Perwaja-nya dan Tim Pek Khing dengan Bakun-nya yang menyebabkan kerajaan kerugian berpuluh bilion berpunca dari aktornya atau pemain utama yang naik di atas kapasiti politik bukan melalui merit dan kredit dari ketokohan korporat mereka.


3. Ahli politik yang sebahagian dari kumpulan legislatif mempunyai ruang lingkup yang jauh lebih luas dan bermakna serta boleh berpatisipasi dalam dasar kerajaan melalui kementerian dan agensinya yang berkaitan. Mereka juga telah diberikan tanggungjawab untuk mengapalai institusi-institusi amanah seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pebadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS). Malah ahli politik kini cenderung mengetuai beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti pertubuhan yang berasaskan kepentingan sosioekonomi bumiputera, pertubuhan jaringan perniagaan dan industri, pertubuhan belia, pertubuhan pelajar dan banyak lagi. Soalnya adakah mereka telah berperanan secara maksima di atas kapasiti yang sedia ada?

4. Kerajaan perlu mendefinasikan apakah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk standard GLC dalam usahanya membangunkan sosioekonomi bumiputera. Ini kerana walaupun GLC seperti PETRONAS dikecam hebat dalam isu ini (seperti dalam kes perniagaan Melayu iaitu Kedai Levi’s dan Kelantan Deligh di Suria KLCC) tetapi faktanya mereka telah menyumbang sejumlah RM2.6 bilion untuk membantu baik pulih Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang mengalami masalah kewangan kritikal akibat pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan gaya hidup mewah ahli Lembaga Pengarahnya dan RM2 bilion untuk menyelamatkan Konsortium Perkapalan semasa krisis kewangan 1998. Ini tidak termasuk Khazanah yang terpaksa membuat pelaburan besar berbilion ringgit untuk menyelamat hanya beberapa kerat syarikat dan menanggung kerugian dari syarikat yang tidak boleh diselamatkan lagi.

5. Kegagalan konglomerat melayu yang naik di atas tajaan politik seperti Tajudin Ramli pemilik Malaysia Airline System dan Halim Saad pemilik Renong yang hampir muflis kerana salah urus tadbir korporat. Ahli politik perlu menunjukan contoh dinamisme ketokohan korporat yang berjaya seperti Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim dan Tan Sri Syed Mokthar Al-Bukhary. Jika orang seperti mereka mengetuai GLC dipercayai ianya akan menjadi antara syarikat gergasi dari Malaysia.

6. Penglibatan ahli politik akan lebih terdedah pada konflik kepentingan, manipulasi kuasa dan salah guna kedudukan. Masalah politik wang yang begitu subjektif sebagaimana penekanan oleh Perdana Menteri akan menjadi lebih mencabar apabila melibatkan GLC. Tan Sri Rahim Thamby Chik tentunya masih ingat bagaimana ADUN Palong, Kamaruddin Mohd Din dan empat AJK UMNO Jempol, Harudin Tamby, Mahmud Roslan, Salim Sharif dan Sapie Jasban digantung keahlian kerana mengamalkan kempen politik wang dalam pemilihan 1996 yang turut menyaksikan beliau gagal menduduki jawatan Ketua Pemuda UMNO. Jika selama ini, dunia korporat melabur untuk ahli politik bagi kemandiran perniagaan mereka, kini kita khuatir GLC akan digunakan untuk survival hayat kepentingan aktor-aktor politik. Mereka mungkin menjadi oportunis menggunakan kuasa yang ada untuk mengembangkan pengaruh politik secara tidak sah. Bayangkan bila berlaku pertembungan yang dashyat dalam pemilihan melibatkan ahli politik yang berkepentingan dalam Petronas, Maybank, TNB, Pos Malaysia, CIMB, TM, UEM dan banyak lagi. Ini tentunya bercangah dengan prinsip profesionalisme dan amalan tadbir urus korporat.

Akhirnya, kita perlu kembali kepada realiti dengan memahami epistemologi setiap kelas elit sebagaimana yang dipersetujui oleh kebanyakan sarjana. Kita mengiktiraf elit politik daripada kumpulan legislatif yang banyak menyumbang dalam pembuatan dasar dan pelaksanaan bagi pihak kerajaan. Kita juga perlu mengakui sumbangan elit profesional daripada kumpulan pengurusan dan pentadbiran sama ada korporat, teknokrat mahupun birokrat. Yang kini perlu kita berikan perhatian ialah elit pemikir daripada kumpulan intelek dan cendekia. Sejarah telah membuktikan elit pemikir ini seperti Profesor Di Raja Ungku Aziz telah diiktiraf sumbangan peringkat dunia melalui penubuhan Tabung Haji, Angkasa dan banyak lagi bahkan anaknya sebagai Gabenor Bank Negara diiktiraf antara yang terbaik di dunia!

Kini Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) perlu mencontohi semangat Kongres Ekonomi Bumiputra I (1965) dan II (1968). Paling tidak, Tan Sri Rahim Thamby Chik perlu banyak belajar daripada pengalaman Tengku Razaleigh Hamzah yang terbukti profesional dalam membangunkan konglomerat, industri dan perniagaan kepada Bumiputera dan Negara. Rekod beliau sebagai pengasas, pengerusi dan aktor utama terbukti dalam penubuhan dan pembangunan Bank Bumiputera Malaysia Berhad, PERNAS, PETRONAS, Bank Islam dan Takaful (juga mengambil alih Malaysia Mining Corporation, Sime Darby, Malayan banking, CIMB Bank, Guthrie dan Highlands & Lowlands).

Melihat senarai panjang tersebut, tidak hairan mengapa beliau walaupun sebagai ahli politik tetap dilantik menjadi Presiden; Dewan Perniagaan dan Industri Melayu Malaysia(1970-1976), Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia (1973-1976), ASEAN Chambers of Commerce (1975-1976) dan Pengerusi; Bank Pembangunan Islam (1978-1979), Asian Development Bank (1976-1977), Board of Governors, World Bank dan International Monetary Fund (1977-1978). Ini sudah tentu bukan sekadar kerana jawatan politiknya sebagai Naib Presiden UMNO (1973-1981) atau jawatan dalam kerajaan sebagai Menteri Kewangan (1976-1984) dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1984-1987).

Sudah tentu beliau tidak sekadar bercakap dengan nada separuh merayu “Berilah peluang kepada ahli politik”. Beliau membuktikan dengan tangan dan tindakan! Malangnya setelah 50 tahun kemerdekaan, kita (bukan ahli potilik sahaja) sekadar melihat GLC sebagai ‘lombong emas’!

17 April 2008

JENAYAH KEDOKTORAN PALSU



Pendedahan tentang kewujudan doktor-doktor palsu hanya memberikan limitasi kuasa untuk Kementerian Kesihatan bertindak kepada pemegang gelaran doktor perubatan palsu sahaja di bawah peruntukan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM 300,000 atau penjara enam tahun dan kedua-duanya. Pemegang gelaran doktor atau professor palsu dalam perubatan alternatif, Doktor Falsafah (PhD) dan Doktor Kehormat (Honoris Causa) ternyata masih bebas dengan 'jenayah kedoktoran' mereka.

Masyarakat Malaysia yang dalam sebuah negara membangun ternyata mudah disogok dan gagal membezakan kelayakan setiap jenis ijazah kedoktoran. Jika di Belanda dan di Indonesia, doktor perubatan dan doktor falsafah untuk PhD dibezakan dengan gelaran 'dokter' (dieja Dr.) dan 'doktor' (dieja DR.). Yang lebih pelik, ramai di antara kita yang tidak tahu gelaran 'Master' adalah anak tangga sebelum sampai ke peringkat PhD. Lebih melucukan ada juga yang tidak tahu bahawa PhD itulah yang diperlukan untuk untuk mendapat gelaran 'Dr'. Gelaran Doktor Kehormat pula dianugerahkan bagi mengiktiraf sumbangan profesionalisme dalam bidang masing-masing yang telah dapat dibuktikan melalui piawaian dan standard kualiti yang tinggi.

Dalam catatan sejarah Indonesia semasa pemerintahan Gur Dur berlaku kontroversi skandal 'kedoktoran' menterinya melibatkan Menko Kesra dan Taskin Hamzah Haz. 'Harapkan pagar, pagar makan padi,' kemudiannya Menteri Pendidikan, Yahya Muhaimin pula dipertikaikan kedoktorannya kerana menciplak karya orang lain (plagiat). Tetapi cuba bandingkan dengan bekas Perdana Menteri Britain, John Major. Sungguhpun beliau tidak pernah menjejakan kakinya ke universiti, tetapi beliau tidak pernah berdusta tentang latar belakang akademiknya. Disebabkan beliau mempunyai bakat kepimpinan dan integriti moral yang tinggi, rakyat Britain tetap memilih beliau menjadi perdana menteri!

Bukan sahaja ahli politik bahkan artis cantik Indonesia , Maya Rumantir mencetuskan polemik apabila mendapat dua gelaran doktor sekaligus. Dua artis dangdut, Rama Aiphama dan Cici Paramida pula diiktiraf sebagai Doktor Kehormatan (honoris causa) oleh International Management Indonesia (IMI) yang mewakili American World University (AWU) di Amerika Syarikat. Malangnya gelaran tersebut tidak sah kerana universiti berkenaan tidak berkelayakan setelah diakreditasi dan ini melanggar Undang-Undang Sistem Pendidikan Nasional Indonesia.

Larisnya gelaran kesarjanaan bukan petunjuk masyarakat telah mencapai obsesi terhadap ilmu pengetahuan dalam kemuncak tamadun dan peradaban bangsa menjelang tahun 2020. Mereka yang membayar harga satu gelaran kedoktoran adalah orang yang tahu tentang nilai ekonomi sebuah komoditi dalam pasaran masyarakat industri. Pemegang gelaran Prof. dan Dr. palsu ini melihat gelaran sebagai satu lambang status sosial. Justeru yang dikejar bukan gelaran atau kehormatan itu sendiri, tetapi lebih kepada keuntungan ekonomi dan populariti. Dari sudut pandang demikian, ijazah kedoktoran palsu tidak ubah seperti wang palsu, kad kredit palsu atau cek kosong.

Tanpa Canselor dan Senat yang sah, penerima anugerah gelaran dan ijazah akan diraikan secara 'syok sendiri'. Mereka ini tanpa rasa segan, silu dan malu mengenakan Jubah dan 'Hunter's Hat' dalam protokol Majlis Konvokesyen yang diadakan di hotel berbintang-bintang bahkan sanggup diterbangkan sehingga ke luar negara untuk mendapat 'feel' graduasi. Pastinya sekeping ijazah dan beberapa keping gambar akan dijadikan bukti 'seumur hidup' tentang pengiktirafan akademik dan penganugerahan gelaran terhadap jasa dan sumbangan mereka yang 'dibuat-buat'.

Ijazah ekspres ini boleh diperolehi dalam tempoh beberapa hari sahaja tanpa perlu membayar yuran pengajian beribu-ribu ringgit, mengikuti pengajian bertahun-tahun, menduduki peperiksaan bersemester-semester atau menyiapkan tesis berhelai-helai. Tanpa pembiayaan geran, biasiswa dan pinjaman pendidikan, pembayaran seminimum ratusan ringgit sahaja melalui kad kredit di talian internet atau pemindahan wang ke bank secara on-line membolehkan mereka untuk membeli ijazah melalui pihak ketiga.

Mereka kemudiannya boleh memilih gelaran yang diingini sama ada Prof., Dr., Ir., Sir dengan kelayakan MM, MSc, MBA, BBA, PhD serta boleh terus mencantumkan dua atau lebih gelaran tersebut di depan atau dibelakang nama mereka. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila kebanyakan nama-nama universiti yang memberikan gelaran tersebut yang dieja dalam bahasa inggeris itu tidak wujud apabila di-google-kan atau di-yahoo-kan dalam enjin carian internet. Bahkan berselindung di balik universiti maya dan pendidikan jarak jauh, universiti tanpa kampus ini alamatnya pun menggunakan Post Box!

Di Malaysia belum ada undang-undang yang boleh mengheret pengguna kelayakan akademik samara seperti pangkat Prof. Ir. Dr. Sir. (PhD) tanpa kelayakan yang sah atau mereka yang memberikan gambaran palsu tentang kelayakan akademik mereka. Gelaran kedoktoran sewajarnya diberikan tempat tertinggi seperti gelaran anugerah diraja bahkan dilidungi dari penipuan dan penyalahgunaan. Jika tidak jangan terperanjat jika Prof. Ir. Dr. Sir. (PhD) didaftarkan sebagai nama identiti dalam kad pengenalan bermutu tinggi, MyKad!

Fenomena jenayah akademik dengan menggunakan gelaran kedoktoran palsu lebih ketara dalam bidang perubatan alternatif, produk kecantikan dan kesihatan berasaskan kaedah spiritual dan holistik, Multi Level Marketing (MLM), bidang pemasaran dan jualan, kewangan dan pelaburan, kekayaan dan kejutawanan malah bidang kaunselor, motivasi dan runding cara juga turut menyaksikan penglibatan aktif pakar-pakar kedoktoran palsu .

Kebanyakan penemuan dan hasil idea dari kajian dan penyelidikan pula tidak mengikut disiplin ilmu yang tulen, diformulasi oleh mereka yang mendakwa 'pakar' yang sebenarnya tiada latar belakang dan asas akademik yang konsensus, hanya berbekalkan sokongan pengiktirafan dari institusi dan pertubuhan yang diragui modus operandi dan kemujudannya di alam maya. Tanpa merit mereka mengunakan kredit kedoktoran untuk memasarkan kepercayaan karut yang belum terbukti kesahihannya.

Oleh itu tidaklah menghairankan apabila banyak pengamal perubatan alternatif mendakwa mereka berjaya menghasilkan produk yang ajaib lagi mujarab yang diperakui seluruh dunia sedangkan Kementerian Kesihatan sendiri tidak dimaklumkan tentang kewujudan 'formula rahsia' tersebut. Dalam bidang pemasaran pula, ada yang menggunakan gelaran doktor dengan tujuan melobi diri mereka sebagai pakar kewangan, pakar ekonomi, pakar internet, pakar MLM dan pakar kejutawanan sedangkan mereka 'makan gaji' dengan bahan sokongan dan yuran kursus yang dikenakan kepada peserta yang teruja dengan kedoktoran palsu mereka. Oleh yang demikian wajar mereka ini mendedahkan pernyata cukai pendapatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam membuktikan kesahihan kekayaan mereka dari hasil kegeniusan otak geliga mereka itu.

Lebih parah lagi terdapat beberapa pakar yang menggunakan 'kedoktoran segera' mereka untuk memberikan perkhidmatan motivasi, kaunseling dan runding cara. Ini sangat berbahaya kerana isi kandungannya tidak berdasarkan ilmu pengetahuan yang sahih dan kaedah yang belum terbukti keafdalannya. Dikhuatiri teori ilmu yang belum diuji dalam lapangan praktikaliti dunia prosefional akan memberikan gambaran dan maklumat salah tentang realiti penyelesaian sesuatu masalah.

Sebagai contoh teori 'Yakin Boleh' di Malaysia yang dimulakan oleh Allahyarham Megat Ismail, seorang penulis yang juga menulis lirik popular, 'Fikirkan Boleh'. Semangat tersebut telah diselewengkan menjadi satu mazhab pemikiran yang taksub dan fanatik sehingga beranggapan mereka akan benar-benar 'boleh' mencapai apa sahaja yang mereka mahu idamkan dengan hanya berangan-angan. Ia semacam magis lampu ajaib Aladdin dalam cerita ‘Seribu Satu Malam’!

Justeru, para pakar motivasi ini mengatakan dengan menukarkan keyakinan barulah kita dapat mengubah prestasi secara total. Mazhab kepercayaan ini juga menafikan faktor-faktor kritikal di sebalik setiap kejayaan iaitu peranan ilmu pengetahuan, maklumat, latar pendidikan, kemahiran, modal dan sumber teknikal sokongan yang lain. Mazhab yang dipelopori oleh Napolean Hill dan seorang paderi bernama Norman Vincent Peale ini asalnya sangat popular pada tahun 60an hinggalah 80an ini terus dicedok bulat-bulat dan disupkan ke mulut rakyat Malaysia yang dahagakan ilmu motivasi, psikologi, komunikasi intim, perhubungan interpersonal dan ilmu kejiwaan yang lain.

Malangnya kemunculan pakar pemasaran bernama Alries dan Jack Trout telah berjaya membuktikan doktrin berfikir positif sahaja sudah mati bersama pengasasnya. Dalam bukunya ‘Horse Sense’, mereka memberikan contoh bagaimana 'berfikir negatif' ― fikir sebaliknya jauh lebih baik dan berjaya. Terapi aplikasi teori ini, Levi Strauss yang mulanya kerugian apabila menjual kain kanvas untuk kegunaan khemah pendulang emas di West. Levi telah menukar pola berfikir negatif iaitu berfikir sebaliknya ― apa yang pendulang sangat perlukan ialah seluar dari kain kanvas yang tahan lasak dan poket yang dipaku (rivet) supaya tahan untuk menampung emas yang berat. Hasilnya Levis kini menjadi jenama jeans terkenal dan antara produk tiruan kesukaan ramai. Ia lebih laris dari buku-buku motivasi yang ideanya dicetak rompak dari luar negara.

Ini hanya sekadar beberapa contoh bagaimana formulasi pakar yang memanipulasikan kesarjanaan dan kedoktoran palsu yang sebenarnya memberikan gambaran dan harapan dengan menipu tentang realiti sebenar dunia hari ini. Jika doktor perubatan palsu mengancam nyawa pesakit secara lahiriah maka Doktor Falsafah dan Doktor Kehormat palsu ini lebih dari itu kerana akan meracun fikiran modal insan dari dalam. Memberikaan ilmu kejiwaan yang menimbulkan krisis kecelaruan antara amalan dan praktikaliti, sebab musabab dan kesan akibat. Kesannya seluruh kehidupan dan pandangan dunianya dilihat dari kaca mata sempit seorang profesor atau doktor yang membayar harga yang rendah untuk gelaran kedoktorannya.

Dengan fakta tersebut, jangan terkejut bahawa laporan MVD International Sdn Bhd (MVD International), sebuah syarikat yang menjalankan perkhidmatan penyiasatan dan risikan mengenai Gejala pemalsuan sijil akademik dan kokurikulum institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan serta luar negara mendapati daripada 20,000 kes pemalsuan dokumen dan kelayakan diri yang disiasat di seluruh negara sejak tahun 2000, kira-kira 10 peratus membabitkan kes pemalsuan sijil akademik.

Fungsi Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996, kini wajar dikaji semula untuk memperkasakan LAN melalui penguatkuasaan terhadap 'jenayah kedoktoran'. Bidang kuasa LAN harus diperluaskan bukan hanya dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penilaian jaminan kualiti dan pengakreditan ke atas IPTS tempatan dan kursus-kursus pengajian institusi pengajian tinggi luar negara yang dijalankan secara kerjasama dengan IPTS tempatan yang berdaftar di bawah Akta IPTS 1996 (Akta 555) sahaja. Malah mampu mengakreditasikan pengiktirafan anugerah dan gelaran ijazah kedoktoran warganegara Malaysia yang sekarang banyak berkeliaran dalam pasaran pelbagai produk.

UNIVERSITI PERLU KEMBALI PADA FUNGSI ASASI

Maaf rencana masih dalam proses pembetulan.

RELEVENSI DI SEBALIK CUTI UMUM

Pengumuman perayaan Thaipusam sebagai cuti umum bagi Wilayah Persekutuan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadikannya negeri keenam menjadikan perayaan itu sebagai cuti umum selepas Selangor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor. Ianya sangat signifikan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai Ibu Negara dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menempatkan penjawat awam bagi majikan terbesar di Malaysia. Kedua-duanya berada di pertengahan Pantai Barat Semenanjung Malaysia melengkapkan jajaran populasi geografi dan demografi dari Selatan, Pantai Barat membawa ke sebahagian Utara.

Meluaskan cuti umum Thaipusam ke seluruh negara mungkin tidak signifikan dan memerlukan penilaian lebih teliti memandangkan Sabah dan Sarawak yang terpisah dari semenanjung sementara sebahagian Utara dan Pantai Timur mempunyai populasi masyarakat India yang rawak dan kecil. Malah masih terdapat banyak hari perayaan keagamaan yang tidak kurang pentingnya namun tidak ‘dicutiumumkan’ seperti Hari Cap Goh Mei dan Hari Kuih Bulan bagi penganut Buddha; Hari Thaiponggol dan Hari Durga Puja bagi penganut Hindu; Hari Ahad Easter bagi penganut Kristian; Hari Vaisaki bagi penganut Sikh; Hari San Padro bagi penganut berketurunan Portugis; dan pelbagai hari keagamaan entik lain bagi Sabah dan Sarawak.

Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai' bulan kesepuluh dalam kalender Tamil bagi masyarakat India di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramania. Di Malaysia sambutan secara besar-besaran yang diraikan oleh lebih 1.86 juta penganut agama Hindu yang membentuk populasi 7.5 peratus dari keseluruhan rakyat Malaysia dengan tumpuan utama di Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves. Ia bermula dengan perarakan arca Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli serta Devi Theivanai di atas pedati perak setinggi 7 meter dari Kuil Mahamariaman di Jalan Tun Hs Lee, Kuala Lumpur ke Kuil Sri Subramaniyar di Batu Caves.

Isu Cuti Umum

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu peruntukan cuti umum yang berlebihan dikhuatiri boleh menjejaskan daya pengeluaran dan produktiviti negara hangat diperdebatkan. Pembahas utamanya ialah Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF). Tahun lepas sahaja, Cuepacs memulakan usul paradok untuk mengkaji semula peruntukan cuti umum yang didakwa semakin banyak sedangkan enam bulan sebelumnya iaitu pada bulan Oktober 2006 menyokong usul menambah satu hari cuti umum bagi selang masa satu hari antara cuti umum Deepavali dan Aidilfitri. Dengan hujah retorik bagi mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap kakitangan awam bukanlah satu jawapan bernas bagi menjawab isu-isu kualiti dalam perkhidmatan awam selama ini.

Namun sehinga kini, belum ada bukti-bukti saintifik bagi mengesahkan jumlah peruntukan cuti umum mempunyai kaitan dengan kualiti dan produktiviti kerja apatahlagi dengan pendapatan perkapita dan Keluaran Dalam Negara Kasar sesebuah negara. Adalah tidak adil bagi membuat perbandingan dengan jiran terdekat Singapura yang mempunyai 11 hari cuti umum iaitu kurang 3 hari dari Malaysia tetapi mempunyai pendapatan perkapita rakyatnya pada tahun 2005 iaitu kira-kira AS$28,000 setahun berbanding rakyat Malaysia yang hanya kira-kira AS$5,000.

Adakah dengan mengurangkan 3 hari dari cuti umum maka pendapatan perkapita rakyat Malaysia akan menjadi sama dengan Singapura? Sudah tentu tidak bahkan dengan mengurangkan cuti umum menjadi 2 hari sahaja iaitu kurang 6 kali ganda juga tidak mampu meningkatkan 6 kali ganda pendapatan perkapita rakyat Malaysia untuk menjadi sama apatahlagi lebih tinggi daripada Singapura.

Lambakan Cuti

Di kalangan negara-negara Asia, Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan Taiwan masing-masing mempunyai 15, 17, 19 dan 22 hari cuti umum setahun namun masih mampu menjadi kuasa ekonomi dan industri. Manakala negara-negara maju seperti Perancis dan Jerman memberikan 14 dan 16 hari cuti umum setahun namun status kemajuan mereka tidak terjejas langsung.

Masalah sebenar cuti umum di Malaysia bukanlah berpunca daripada kadar peruntukan cuti umum tetapi adalah kerana tarikh-tarikh cuti umum yang berubah dan cuti tambahan yang diperlukan bagi selang masa satu hari antara dua hari cuti umum atau antara satu hari cuti umum dan satu hari cuti am. Bagi cuti-cuti umum bersifat keagamaan masing-masing menggunakan takwim kalendar agama sendiri sama ada kalendar Islam, Cina atau Hindu kecuali Krismas yang menggunakan takwim kalendar Gregorian sama seperti cuti umum bagi Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja, Hari Tahun Baru, Hari Pekerja, Hari Kebangsaan dan Hari Wilayah Persekutuan.

Oleh yang demikian pada tahun-tahun tertentu akan berlaku pertindihan tarikh-tarikh cuti umum tersebut apabila dialihkan ke kalender Gregorian. Bila berlaku pertindihan maka hari berikutnya juga dikira sebagai cuti umum. Soal untuk menghadkan cuti tersebut menjadi satu hari tentunya tidak wajar untuk ditimbulkan. Setelah cuti umum diberikan sebagai satu tanda penghormatan dan pengiktirafan kepada sesuatu peristiwa penting dalam sejarah tamadun bangsa, agama dan negara, menghadkannya pula seolah-olah menarik balik pemberian tersebut dan boleh menimbulkan polemik tentang hari cuti umum mana yang lebih penting?.

Contohnya pertindihan cuti Hari Pekerja dan Hari Wesak pada tahun lalu tentunya tidak seserius menghadkan satu hari cuti umum jika berlaku pertindihan antara dua hari cuti perayaan terbesar. Maka cadangan menghadkannya dua hari cuti umum yang bertindih menjadi satu hari adalah satu tindakan paling tidak konsisten yang akan menjejaskan matlamat Kerajaan untuk membina satu bangsa Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang berkongsi perayaan melalui konsep 'Rumah Terbuka'.

Hari Penganti Tarikh

Cadangan untuk menganjak tarikh cuti umum pada sehari sebelum atau selepas cuti am untuk mengelak kebanyakan pekerja mengambil cuti tahunan pada tarikh yang sama juga menarik untuk diperhalusi. Terlalu banyak anjakan yang berubah-ubah pula pada setiap tahun mungkin kelihatan tidak 'catchy'. Adalah lebih sinonim menjadikan hari tertentu sebagai cuti umum bukan pada tarikh tertentu.

Antara negara contoh yang menggunakan hari tertentu sebagai cuti umum ialah Amerika Syarikat dengan hari Isnin ketiga dalam bulan Januari adalah Hari Memperingati Dr. Martin Lurther King, hari Isnin ketiga dalam bulan Februari adalah Hari Presiden, hari Isnin terakhir dalam bulan Mei adalah Hari Pahlawan, hari Isnin pertama di bulan September adalah Hari Pekerja (juga cuti umum di Kanada) dan hari Isnin kedua di bulan Oktober adalah Hari Columbus.

Negara Jepun juga menjadikan hari Isnin kedua dalam bulan Januari sebagai Hari Dewasa, hari Isnin ketiga dalam bulan Julai sebagai hari Laut, hari Isnin ketiga dalam bulan September sebagai Hari Warga Tua dan hari Isnin kedua dalam bulan Oktober sebagai Hari Kesihatan. Jamaika pula yang menyambut Hari Kebangsaan pada Isnin pertama bulan Ogos bagi memperingati kemerdekaan daripada Britain pada 6 Ogos 1962 iaitu Isnin pertama bulan Ogos tahun tersebut.

Dalam konteks Malaysia contohnya Hari Pekerja sesuai untuk diharikan dan bukan ditarikhkan dengan melihat latar belakang sejarah pergerakan kaum buruh dalam negara dan tidak semestinya tertakluk dengan sejarah buruh dunia pada tarikh 1 Mei, sama seperti di Kanada, Amerika Syarikat, Australia, dan New Zealand yang meraikan Hari Buruh pada tarikh lain.

Cuti Bank

Konsep Cuti Bank pula adalah tambahan satu hari cuti umum pada hari di pertengahan antara dua hari cuti umum atau di antara satu hari cuti umum (terutamanya cuti perayaan terbesar) dan satu hari cuti am juga perlu dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial. Ianya sebagai peneguhan kepada institusi kekeluargaan bagi meraikan cuti tersebut bersama keluarga, saudara mara dan kaum kerabat di kampung halaman ataupun bercuti bersama keluarga yang sekaligus menyahut seruan Kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’, “Bercutilah dalam negara, semuanya ada di Malaysia”.

Negara Jepun sebenarnya adalah contoh terbaik apabila memberikan cuti umum hampir seminggu berterusan yang dinamakan 'Golden Week' dengan 29 April sebagai Hari Peringatan Maharaja Showa, 3 Mei sebagai Hari Warganegara, 4 Mei sebagai Hari Kehijauan (Cuti Bank sejak 1985) dan 5 Mei sebagai Hari Kanak-kanak. Cuti umum berterusan turut dikenali sebagai 'Spring Week' (Republik Rakyat Cina), 'Picnic Week' (Poland) dan 'Holy Week' (Ireland).

Pada masa itu industri pelancongan dalam negara akan menjadi lebih agresif dengan tempahan penggangkutan dan penginapan meningkat walaupun harga lebih tinggi pada minggu tersebut. Dari sudut produktiviti pada jangkamasa panjang, cuti umum yang berterusan mampu meningkatkan motivasi, menguatkan stamina, mengurangkan tekanan, membahagiakan emosi dan memperkukuhkan institusi kekeluargaan iaitu bahan asas dalam kerangka sesebuah negara.

Contohnya cuti umum Thaipusam memberikan sentimen pelancongan antarabangsa lebih kurang seperti penganjuran Formula One, Le Tour De Langkawi dan Monsun Cup walaupun tanpa melibatkan kos penganjuran yang besar.

Kajian Semula

Sekiranya masih terdapat usaha untuk mengkaji semula peruntukan cuti tahunan maka Hari Wilayah Persekutuan, Hari Pekerja dan Hari Tahun Baru mungkin wajar dipertimbangkan. Hari Wilayah Persekutuan adalah hari cuti umum yang baru diwartakan pada tahun lalu namun sebagai mewakili imej Ibu Negara dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta sebagai pusat bandar, pusat perdagangan dan perindustrian maka cuti rehat tersebut sedikit mencalarkan dari sudut produktiviti malah hanya Malaysia sahaja yang mempunyai Hari Wilayahnya di dunia.

Hari Pekerja pada 1 Mei pula sebenarnya tidak memberikan gambaran tepat tentang pergerakan susur galur perjuangan kaum buruh di Malaysia. Kerajaan Malaysia yang toleran dan prihatin sehingga kemuncaknya kakitangan perkhidmatan awam hanya bekerja 5 hari seminggu tentunya tidak sesukar perjuangan kaum buruh di luar negara untuk menganjurkan mogok, piket, demonstrasi dan rusuhan kesan pertentangan kelas sosial dan krisis industri antara pekerja dan majikan. Mungkin Hari Pekerja boleh diraikan seperti di Jepun hanya sebagai hari penghargaan istimewa tanpa bercuti umum sebagaimana halnya dengan Hari Guru, Hari Wanita, Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Seniman iaitu hari peringatan terbaru yang diumumkan kerajaan.

Sementara Cuti Tahun Baru yang lebih kebaratan dan menyumbang kepada masalah sosial tentunya menjejaskan kualiti modal insan sebagai entiti asas dalam pembentukan masyarakat dan sumber manusia dalam industri. Cukup sekadar Cuti Tahun Baru Cina dan Awal Muharam yang bersifat keagamaan tentunya hari cuti umum tersebut lebih bermanfaat dan bermakna untuk diraikan.

Realiti di Sebalik Cuti Umum

Isu yang lebih penting sebenarnya bukanlah kuantiti tetapi kualiti cuti umum itu sendiri. Ini kerana setiap cuti umum yang diisytiharkan mempunyai singnifikan yang tersendiri kepada latarbelakang bangsa, agama dan negara itu sendiri.

Malaysia sebagai semua negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang berkongsi identiti sebagai bangsa Malaysia tentunya mempunyai jawapan sendiri bagi cuti-cuti umum yang diwartakan. Sebenarnya di sinilah keunikan Malaysia dari segi kuantiti dan kualiti cuti umum yang banyak mewakili kesatuan dalam kepelbagaian latar belakang bangsa, agama dan kepercayaan.

Sementara negara-negara lain mewartakan cuti-cuti umum pada hari 'biasa' (yang sebenarnya tiada latar belakang sejarah bangsa, agama dan negara) seperti Hari Belia, Hari Wanita, Hari Pendamaian, Hari Muhibbah dan Hari Hak Asasi Manusia di Argentina dan Hari Dewasa, Hari Kanak-Kanak, Hari Warga Tua, Hari Musim Luruh, Hari Kesihatan, Hari Budaya dan Hari Laut di Jepun. Malah Rusia antara negara yang mempunyai cuti umum paling sedikit sebanyak 7 hari yang salah satunya adalah Hari Wanita.

Di Malaysia kebanyakan hari cuti umum mempunyai sejarah latar belakang yang terbukti membangunkan tamadun bangsa, agama dan negara. Sungguhpun Kerajaan tidak mengisytiharkan hari-hari istimewa seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Alam Sekitar, Hari Media, Hari Seniman dan Hari Guru tersebut sebagai hari cuti umum tetapi ianya tetap diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang lebih bermakna melalui budaya dan pendekatan yang lebih praktikal.

Jika difikirkan secara logik, kita lebih berhak meraikan pendaratan Parameswara yang kemudiannya mengasaskan Kerajaan Melayu Melaka berbanding Hari Colombus yang memperingati pendaratan pertama pelayar dari Itali, Christopher Colombus di dunia barat yang menindas kaum peribumi asli yang dinafikan hak menjadi etnik minoriti.

Kita juga lebih berhak bagi meraikan Hari Pahlawan bagi memperingati Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Gajah, Dato Maharaja Lela, Dol Said dan Rentap berbanding Britain dan Amerika yang meraikan Hari Patriotik bagi memperingati askar yang terkorban dalam misi menjajah dan melanggar kedaulatan negara-negara kecil. Kita juga tidak kurang tokoh kemerdekaan dan nasionalisme seperti Dato' Onn Jaafar, Abdul Rahim Kajai, Pendeta Za'ba dan Pak Sako untuk diharikan seperti Hari Jose Rizal di Filipina, Hari Jeneral Jose de San Martin di Argentina dan Hari Dr. Martin Lurther King di Amerika.

Kita juga lebih berhak meraikan 8 Februari sebagai Hari Perdana Menteri untuk memperingati Bapa Malaysia dan Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman seperti Hari Presiden di kebanyakan buah negara walaupun tidak sehebat memperingati Presiden Kim II-Sung di Korea Utara yang memberikan cuti umum selama dua hari bagi tarikh kelahiran dan kematiannya.

Kita bahkan lebih berhak meraikan banyak peristiwa kemerdekaan selain 31 Ogos 1957 sebagai Tarikh Kemerdekaan iaitu tanggal 16 September 1963 sebagai hari penubuhan Malaysia (Sebelumnya dikenali sebagai Tanah Melayu) dengan kemasukan Sabah dan Sarawak seperti Pakistan yang mempunyai lebih dari 1 Hari Kebangsaan dan Hari Bendera di Argentina.

Tetapi kita perlu menjadi lebih relevan dengan memperingati dan mengiktiraf tokoh, peristiwa atau golongan tertentu bukan sekadar melalui hari-hari tertentu iaitu hanya satu hari dari 365 hari yang lainnya. Apa yang lebih penting adalah menginsafi dan muhasabah diri adakah kita telah mencapai kualiti yang diinspirasikan dari tokoh dan peristiwa bersejarah tersebut. Jika tidak, sungguhpun telah diberikan cuti umum ia hanya sekadar cuti seperti cuti am, cuti tahunan dan cuti sakit. Tiada perubahan paradigma, kualiti dan produktiviti.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.