Mentari pagi itu
bersinar indah, cahayanya segar-bugar, cukup untuk menghangatkan bumi yang
kehujanan pada malam sebelumnya. Radiasi dari matahari yang sama itulah yang
sedikit sebanyak menghangatkan tubuh kecil seorang lelaki kurus dan sederhana
tinggi. Dia sedang duduk di atas bangku di sebuah perhentian bas yang terpacak di
tepian jalan. Jafri namanya.
“Betapa besar
kasih dan sayang Allah. Saat dunia kedinginan, Dia hadiahkan matahari..”
“Dan terhadap
nikmat Tuhanmu, sebutkanlah.”
(Ad-Dhuha, 11)
“Alhamdulillah…”
getus hati kecilnya.
Di seberang
jalan pula, kelihatan seekor anjing hitam sedang berlari-lari anak. Lidahnya terjelir
keluar, sifat semulajadi yang Allah jadikan buat sang anjing yang pastinya
bukan suatu kebetulan. Terkulat-kulat anjing itu dibayangi kereta dan motorsikal
yang berpusu-pusu di atas jalan raya. Terkadang seperti ingin maju, namun tidak
semena-mena berpatah balik ke belakang. Ah, sungguh melucukan.
Lantas, terukir
segaris senyuman dibibir Jafri memerhatikan gelagat anjing hitam itu.
Anjing…
Seekor binatang
yang sering dipandang jijik oleh kebanyakan orang. Ya, tidak dapat dinafikan
bahawa anjing juga memiliki peranan besar dalam kehidupan manusia sejagat.
Namun, terkadang, kejelekan sifatnya yang gemar mengejar orang tanpa sebab,
selain menyalak dan menjerkah manusia yang tidak biasa pada pandangannya, sebab-musabab itulah yang menyebabkan
sesetengah manusia membenci makhluk ciptaan Tuhan ini.
Jafri
menanggalkan beg yang sedang disandangnya lalu dikeluarkan senaskah Al Quran
dari dalam beg Adidas berwarna hitam itu. Di kala fikirannya menerawang untuk
menjiwai penciptaan makhluk Tuhan yang digelar anjing itu, kantung memorinya
merembeskan momen-momen indah bersama murabbi tercinta dalam sebuah halaqah
tidak lama dahulu.
Dahulu, halaqah
mereka juga pernah mentadabburi anjing.
Lalu diselaknya
helaian-helaian Al Quran itu satu per satu sambil otaknya ligat membongkar peti
memori yang menyimpan data tentang ayat-ayat Al Quran yang pernah dibentang
oleh murabbinya. Ayat yang memperihalkan tentang anjing.
“Alhamdulillah…jumpa..”
hatinya berbunga riang.
Lantas dia cuba
membaca dan menghayati kembali ayat-ayat agung itu…
“Dan bacakanlah
kepada mereka, berita orang yang telah Kami berikan ayat-ayat Kami kepadanya, kemudian
dia melepaskan diri dari ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh setan, maka
jadilah dia termasuk orang yang sesat.”
(Al A’raf, 175)
“Dan sekiranya
Kami kehendaki, nescaya Kami tinggikannya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung
kepada dunia dan mengikuti keinginannya, maka perumpamaannya seperti ANJING,
jika kamu menghalaunya, dijulurkan lidahnya, jika kamu membiarkannya, ia
menjulurkan lidahnya. Demikianlah perumpamaan orang yang mendustakan ayat-ayat
Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir.”
(Al A’raf, 176)
Hati kecil Jafri
tersentap seketika. Dia cuba membawa dirinya untuk bermeditasi sebentar jauh ke
dalam daerah muhasabah. Sejauh dan sedalam yang mungkin. Sehingga tiada lagi suara-suara yang kedengaran melainkan suara hatinya sendiri. Sedalam itulah....
Entah berapa
kali dalam hidupnya, keinginan ditinggikan di atas kebenaran..
Entah berapa
kali dalam hidupnya, kepentingan dunia
diletakkan mendahului dakwah dan tarbiyah..
Dan entah berapa
kali, hatinya diselaputi asap jerebu dunia yang mendesaknya untuk melepaskan
diri daripada mata-mata rantai dakwah dan tarbiyah..
Entah berapa
kali…Allahu…
Betapa hinanya
manusia yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian (ahsani taqwim) diumpamakan
dengan binatang seperti anjing. Ahh. Sungguh hina sekali. Tetapi itulah
perumpamaan keras yang Allah gunakan untuk menggambarkan manusia-manusia yang
melarikan diri daripada hidayah.
“Adakah aku
manusia itu??” hatinya bermonolog sendiri.
Bunyi pancutan
asap daripada corong ekzos bas shuttle yang sedang menjalankan rutin hariannya mengembalikan
semula Jafri ke alam realiti. Daerah muhasabah yang diciptanya tadi beransur-ansur
mengewap lalu tersejat ke langit. Namun kesan meditasi itu tetap berbekas di
hati.
Perlahan-lahan
Jafri mengatur langkah menuju ke pintu masuk bas. Sebelum kakinya memijak anak
tangga yang pertama, pandangannya dialihkan ke arah anjing hitam yang masih di
situ.
“Terima kasih
anjing..” hatinya berbisik sendirian.
Lalu dia melangkah masuk
ke dalam bas dengan senyuman berseri. Seseri kuntuman bunga mekar di pertengahan musim bunga. Senyuman yang disangka oleh pemandu bas
itu ditujukan kepadanya. Ahh..biarkanlah…
…………………….
“So Jafri,
what’s your answer for the question number one?”
“Ohh..errr..passivity
is…is…when…chemical species become inert…”
“What chemical
species?”
“Errr..I’m not
sure miss…”
“The answer is active
metal. You have to read more, Jafri. Don’t rely only on the lecture notes. Have
you answered all the questions?”
“Emm..only half
miss..”
“What about the
rest? Have you answered all the questions?”
Senyap dan
sunyi. Masing-masing menumpukan pandangan kepada kertas soalan.
“Next time, if
you don’t answer ALL the questions, don’t come to my tutorial class!”
Miss Joanne bersuara
mendatar tetapi tegas sebelum dia menyambung semula sesi perbincangan untuk
soalan-soalan yang seterusnya.
“Akhi..dakwah
kalau mudah, bukan dakwah namanya..”
“Ya akhi, memang
seperti itulah dakwah…”
Kalimah-kalimah
ini terngiang-ngiang di corong telinga Jafri. Entah mengapa. Namun dia cuba
mengumpulkan semula konsentrasinya untuk terus fokus kepada sesi perbincangan.
~Bersambung~