Sunday, 27 April 2014

Apa Yang Kamu Tahu Tentang Dakwah?


Hidup di bawah bayangan Al Quran adalah suatu kenikmatan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah kenikmatan yang meluhur, memberkati, dan membersihkan usia seseorang.

Aku telah hidup di bawah bayangan Al Quran dan di sana aku melihat jahiliah berkecamuk di muka bumi dan aku melihat cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kerdil dan kecil.
                    
Aku melihat pemuja-pemuja jahiliah itu berbangga-bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak, sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak, dan keteloran lidah kanak-kanak.

Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah yang Maha Tinggi, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

-Fi Zilal Al Quran, Sayyid Qutb-

Ayat-ayat di atas saya petik daripada mukaddimah Fi Zilal Al Quran (Di Bawah Bayangan Al Quran) yang ditulis oleh Sayyid Qutb, sebuah tafsir haraki yang bisa menggugah jiwa sekiranya dibaca dengan penuh penghayatan.

Epik dan legend.

Begitulah yang dapat saya simpulkan tatkala membaca bait-bait kalimah ini.

……..

Murabbi saya pernah menceritakan bahawa beliau pernah ditanya oleh seorang akh…

“Akhi…bagaimana mahu jatuh cinta dengan dakwah dan tarbiyah?”

Ya. Soalan yang dah ada skema jawapannya. Saya fikir, sekiranya soalan yang sama ditanya kepada saya, dah seronok sakan saya menggorengnya. Bahkan jika soalan ini keluar dalam subjek pendidikan Islam yang menawarkan 10 markah, ramai pelajar yang boleh skor fullmark. Even pelajar tu tak pernah join dakwah dan tarbiyah pun.

Namun murabbi saya tersentak dengan statement akh tersebut sejurus soalan tadi ditanyakan.

“Ana dah tanya ramai ikhwah, tapi ana belum jumpa lagi jawapan yang boleh puaskan hati ana..”

Bermakna, segala apa yang telah digoreng telahpun hangit. Hmm..

Alhamdulillah, dengan izin Allah, murabbi saya telah memberikan jawapan yang saya rasa telah menyentak kembali hati akh tersebut, bahkan telah menyentak hati saya, dan hati usrahmates yang lain.

A simple, yet powerful statement.

“Akhi…”

“Kalau nta nak jatuh cinta dengan dakwah….”

“Nta kena tukar mindset nta terhadap dakwah dulu….”

Mindset. Apa yang ada pada mindset? Ceh!

………………

Tafsir Fi Zilalil Quran merupakan sebuah tafsir Al Quran yang begitu dekat di hati para mujahid dan para du’at ilallah zaman-berzaman. Bahkan, dalam sistem usrah sekalipun, boleh dikatakan tafsir inilah yang selalu digunakan oleh para murabbi untuk menaikkan hamasah dan himmah para mutarabbinya.

Saya rasa satu sebab untuk menjustifikasi mengapa tafsir ini menjadi pilihan para mujahid adalah kerana tafsir ini juga ditulis oleh seorang mujahid dengan tinta derita dan sengsara. Sayyid Qutb menulis Fi Zilalil Quran di era pemerintahan kuku besi Jamal Abdul Nasir, presiden Mesir ketika itu, di mana pada zamannya, begitu ramai para mujahid Ikhwan ditangkap dan dipenjarakan termasuklah Sayyid Qutb sendiri.

Yang menariknya tentang  tafsir ini adalah ianya ditulis sebanyak dua kali. Kali pertama adalah dengan tinta seorang ‘alim, kali kedua pula adalah dengan tinta seorang syuhada’. Allahu..

“Aku telah hidup di bawah bayangan Al Quran…”

Saya yakin lagi percaya, sesungguhnya kenikmatan yang benar-benar hakiki itu adalah bila mana seorang insan itu hidup dibawah lembayung Al Quran. Yakni mengikut prinsip-prinsip Al Quran dalam kehidupannya, berakhlak dengan akhlak-akhlak Al Quran, dan beriltizam dengan kebenarannya. Bahkan ianya lebih nikmat daripada nikmat memandu kereta McLaren MP4-12C, lebih nikmat daripada nikmat beristerikan Puan Cinderella yang ayu dan jelita itu. Lebih nikmat daripada segala-galanya.

“..di sana aku melihat jahiliah berkecamuk di muka bumi..”

“..dan aku melihat cita-cita penduduk dunia ini amat kerdil dan kecil..”

Nah! Lihat di sini bagaimana mindset beliau terhadap dunia ini telah berubah setelah hidup di bawah bayangan Al Quran. Di situlah letaknya peranan Al Quran. Ini bukanlah seperti proses indoktrinisasi yang sering diperkatakan itu. Bahkan ini adalah sebuah pencerahan yang tidak tertanding gemilangnya. Kerana Al Quran itu diturunkan bukan sekadar untuk ditilawahkan, apatah lagi untuk ditarannumkan, Tetapi Al Quran diturunkan untuk suatu yang bernama kehidupan.      

Saudaraku, dakwah adalah kehidupan.

Dan Al Quran diturunkan kepada Muhammad bin Abdullah.

Yang tugasnya menyampaikan dakwah keseluruh pelosok buana.

Lantas, jika mahu cinta sama dakwah ini, cintalah pada Al Quran itu dahulu..

Iqra!

Monday, 21 April 2014

IRKAM MA'ANA!!

Hampir-hampir bersawang blog ini. Hembusan udaranya pun sudah tidak sekerap dahulu. Andainya hembusan itu datang sekali sekala, saya sendiri tidak pasti apakah udaranya benar-benar nyaman dan melegakan buat yang sudi bertandang. Cewah.

Haih..  

Tidak mampu untuk saya ceritakan di sini mengapakah laman ini sudah berubah menjadi sebuah lembah yang sunyi. Umpama gurun pasir yang tandus. Hanya sekali sekala hembusan udara datang menyinggah. Namun mungkin inilah momen terbaik untuk saya berpindah ke daerah muhasabah. Mencuba dengan segenap daya dan upaya untuk mengintrospeksi diri, apakah pengisian-pengisian lampau sudah diterjemahkan kepada amal?

Begitulah….


Saya cuba mengimbau kembali penulisan-penulisan yang pernah digarap di hari yang sudah, satu kesimpulan yang dapat saya buat. Betapa penulisan yang berintikan dakwah dan tarbiah amat kurang benar sambutannya. Baik dari segi yang menge’like’, mahupun dari segi jumlah kiraan ‘page viewed’.  

Justeru, ia memberikan suatu indikasi bahawa, majoriti daripada kalian yang selalu bertandang ke laman ini adalah dalam kalangan mereka-mereka yang belum lagi berpeluang untuk merasai nikmat dan manisnya jalan dakwah dan tarbiah. Betapa indahnya kehidupan apabila telah jelas matlamat dan tujuan hidup.

Rugi! Rugi! Rugi!

Saudara-saudaraku…

Saya tidak akan pernah berasa jemu dan bosan untuk mengajak anda bergabung dengan dakwah dan tarbiah yang saya imani sekarang. Bahkan, ianya merupakan satu kewajipan buat diri saya untuk memperomosi dakwah dan tarbiah ini kepada kalian. Kerana dakwah dan tarbiah inilah yang memberi makna kepada kehidupan seorang insan.

Sekiranya mahu disenaraikan satu persatu, tidak cukup dengan satu post sahaja untuk menceritakan betapa besarnya jasa dakwah dan tarbiah dalam kehidupan seorang saya…

Namun yang paling besar dan paling signifikan adalah…

Dakwah dan Tarbiah telah mengajar saya bagaimana untuk menjadi seorang manusia.

Kerana menjadi seorang manusia itu tidak mudah. Dengan keterbatasannya, dengan kelemahannya, dan dengan segala kebongkakan dan keangkuhannya, disuruh menjadi khalifah yang memakmurkan bumi. Duhai ujian apakah itu?

Namun Tuhan Maha Tahu.

Tuhan tak pernah tersilap.

“Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”
(Al Baqarah, 30)

Itulah dia jawapan yang menuntut sebuah ketaatan yang jitu. Yang menuntut manusia untuk bermujahadah mencari erti dan makna bagi kehidupannya.

Dan dakwah dan tarbiah telah menawarkan makna kehidupan yang indah kepada saya.

Iaitu kehidupan menuntut kita menjadi seorang manusia yang ihsan. Iaitu yang merasakan dirinya senantiasa diperhatikan oleh sang Rabbul ‘Alamin. Dengan kesedaran itulah, manusia berjalan di atas garis masa yang telah disetkan untuk dirinya dengan penuh rasa taqwa, yakni berhati-hati sehinggalah bertemu dengan pengakhirannya yang mulia.

Begitulah dakwah dan tarbiah telah mengajar saya.

Iaitu bagaimana untuk menjadi seorang manusia.


Duhai saudaraku,

Seperkara lagi yang cukup penting untuk saya ceritakan disini, betapa besarnya jasa dakwah dan tarbiyah kepada saya adalah ianya mengajarkan saya untuk mengenali jahiliah, untuk mengenali Al Bathil.

Kerana Islam dan jahiliah selamanya tidak akan bersatu.

Kerana Al Haq dan Al Bathil selamanya tidak akan bertemu jodoh.

Sesuai dengan firman-Nya yang agung.

“Dan janganlah kamu campuradukkan Al Haq (kebenaran) dengan Al Bathil (kebatilan)…”
(Al Baqarah, 42)

Saya tidak bermaksud untuk menghuraikan persoalan tentang Al Haq vs Al Bathil ataupun Islam vs Jahiliah di dalam post ini. Kerana jika saya menghuraikannya, post ini akan mencatat rekod blogpost paling panjang seantero nusantara. Bahkan jika saya menggarapnya dengan sebaik-baik tulisan sekalipun, nescaya ianya tidak akan mencukupi.

Kerana saya hanya mengenali apa itu Al Haq dan apa itu Al Bathil setelah saya menjerumuskan diri ke dalam dakapan dakwah dan tarbiyah. Justeru, saya percaya perkara yang serupa perlu kalian lakukan untuk membedakan antara keduanya. Kerana percayalah, malapetaka yang besar akan berlaku sekiranya kita gagal untuk mengenalpasti jahiliah dan konco-konconya.  

“Sesungguhnya,  ikatan Islam itu akan terurai satu persatu, sekiranya seseorang yang lahirnya dalam keluarga Islam, namun ia tidak mengenal jahiliah”
(Umar Al Khattab)

Justeru saudaraku….

Irkam ma’ana! 

Layarilah bahtera dakwah dan tarbiyah ini bersama kami!

Saya sudahi post ini dengan sambungan ayat ke 42, surah Al Baqarah di atas. Kerana bagi saya, ayat ini cukup untuk menyimpulkan kenapa saya perlu bersungguh-sungguh untuk mempromosikan dakwah ini sehingga khusnul khatimah.

“…dan (janganlah) kamu sembunyikan kebenaran, sedangkan kamu mengetahuinya.”
(Al Baqarah, 42)

Sunday, 6 April 2014

Oh Payah Gila


Duhai Tuhan..
Sedarkan aku yang dunia ini sementara saja
Segala keseronokan, hiburan, habuan
Semua itu hanya permainan dan senda gurau semata
Sedarkan aku, Tuhan
Pukul hati aku, bukak mata aku, terangkan hati aku
Agar aku dapat lihat terus ke sana, ke syurga, Tuhan

Duhai Murabbi..
Terus ingatkan aku, terus sayangi aku
Meski aku tidak seberapa membanggakanmu
Ya, terkadang candu dunia mengkhayalkanku
Dengan perempuannya, hartanya, dan segala macam khazanahnya
Bantu aku, palingkan wajahku dari semua itu, dengan jari-jemari tulusmu
Sungguh, aku rindu pada sentuhan-sentuhan itu

Duhai Ikhwah..
Walau di mana kalian sekalipun
Di Ireland, Australia, New Zealand
Bahkan di Kerajaan Bersatu sekalipun
Tidak dilupakan jua di benua amerika sana
Mari kita, mari saling mendoakan
Jangan puji-memuji wahai saudaraku
Kerana itu tidak membantu diriku, juga tidak membantu dirimu
Apa yang bernilai, hanyalah untaian-untaian doa
Ikhlas dari saudaranya untuk saudaranya yang lain
Di malam yang sunyi, tika dia sedang bersendiri

Setapak demi setapak
Selangkah demi selangkah
Sedikit demi sedikit
Kita terus maju dalam dakwah ini
Dari kosong kepada satu
Dari nothing kepada something
Dari bodoh kepada tahu
Dari tahu kepada faham

Moga ketemu keikhlasan, dalam perjalanan ini

Moga tak tewas lagi…  

Wednesday, 2 April 2014

Belum Lagi


Kemanisan dakwah adalah ketika gigih dalam tarbiyah…

Walhal untuk merasakan kemanisan tarbiyah, perlu gigih dalam tarbiyah dzatiah..

Inilah formula yang diimani oleh generasi terdahulu yang menyaksikan mereka kekal terpacak bahkan terus melaju di atas jalan dakwah dan tarbiyah. Dan in sha Allah, saya meyakini, formula yang sama juga mesti digunapakai oleh generasi yang baru nak up macam saya dan anda, jika kita benar-benar serius mahu mati di atas jalan ini.

Itulah dia Tarbiyah Dzatiah..

Mungkin pandangan saya tidak berapa holistik, namun berdasarkan apa yang terpapar daripada radar penglihatan saya, kebanyakan daripada generasi baru para da’ie di bumi Malaysia ini dikutip dari kalangan mereka yang telah tercemar pada awalnya. Ini bukan penghinaan ye, bahkan saya juga dalam kalangan itu sebenarnya. Dulu..

Maksud tercemar di sini adalah, kita bukanlah mereka-mereka yang lahir di pesantren, sekolah pondok, maahad tahfiz dan sebagainya. Yang hidupnya cukup terjaga, tak pernah tengok perempuan seksi-seksi, tak pernah tengok movie di panggung, tak pernah main game. Tak pernah melihat dunia kata orang. Hidup di bawah lembayung Al Quran gitu. Kemudian setelah beberapa ketika, dikejutkan dengan kesedaran dakwah lalu ditranformasi untuk menjadi seorang da’ie.

Ada yang perjalanan hidupnya seperti itu. Sungguh beruntung kalian..     

Tetapi bukan saya. Bukan juga kebanyakan para ikhwah yang saya kenali..

Kebanyakan dari kita dikutip entah dari mana. Ada yang dahulunya perokok tegar, ada juga yang pernah menjadi Romeo dalam kisah percintaan Romeo dan Juliet, bahkan ramai di antara ikhwah yang merupakan peminat fanatik yang tersangat fanatik sukan bola sepak, selain tidak lupa juga kepada bekas-bekas gamer tegar sesuai dengan status generasi Y yang disandang.

Pokok-pangkalnya, kebanyakan dari kita adalah golongan yang masuk air sebelum disapa makcik hidayah dan sebelum masuk ke dalam gerabak dakwah dan tarbiah.

Maka proses pembersihan hati dan penyucian jiwa perlu dilakukan setelah itu..

Namun ia bukan sesuatu yang mudah. Bahkan tersangat sukar..

Ada masa-masa, kita akan tergelincir dan terpelosok kembali ke dalam lubang tahi yang dahulunya dengan susah payah kita keluar daripadanya. Dan lebih menyedihkan lagi interval masa-masa itu terlalu dekat antara satu sama lain. Seolah-olah iman yang disemai dan dibina melalui proses tarbiah itu terlalu rapuh, hingga runtuh hanya dek tiupan angin jahiliah yang sepoi-sepoi bahasa.  

Justeru memang benarlah..

Tidak mudah untuk membina diri..

Namun dari sisi pandang yang lain, di situlah lubuk mujahadah kita. Di situlah pahala-generator kita. Dari situlah titik mula untuk kita sujud mengadu kepada Tuhan. Dan itulah point untuk kita lebih selalu “berborak” dengan Tuhan.



Haih. Terlalu sukar untuk menggarap kata. Entah mengapa…

Maka izinkan saya untuk mempersembahkan sedikit catitan peribadi..

Jika dikenang waktu-waktu yang lepas, sehingga ke hari ini sudah hampir dua tahun saya menyertai gerabak dakwah dan tarbiah. Dan sepanjang momen itu, telah berlaku siri pertempuran iman dan nafsu yang tiada hentinya. Terkadang menang. Dan selalunya tewas. Begitulah..

Dan ketewasan ini bertambah kronik apabila saya menghabisi pengajian di kolej lalu mempelajari “seni bergoyang kaki” di rumah. Pada waktu itu, lumut-lumut jahiliah mulai tumbuh melata di permukaan dinding iman yang penat dibina sepanjang keberadaan di kolej. Agak teruk jugalah keadaan saya waktu itu. Sehingga ada masanya saya merasakan saya bukan lagi seorang akh. Sobs..

Bagaimanapun, Alhamdulillah, pada minggu-minggu terakhir saya di rumah sebelum saya berangkat menyambung pelajaran, saya berhasil mendapatkan diri saya semula. Meskipun tidak sepenuhnya. Semuanya dengan izin Allah, berkat pertemuan dengan para ikhwah tercinta.

Justeru ambillah pelajaran ini wahai ikhwah. Pada saat kalian melemah, carilah insan-insan yang tatkala kalian tatap wajah mereka, teringat kalian pada Allah, pada saat kalian berborak dengan mereka, terasa menguat gelombang iman dalam hati.

Kerana percayalah, pada diri setiap sahabat yang baik itu, ada madu yang boleh dihirup.

Ahh,,semakin lama semakin sukar untuk menulis.

Maka, saya akhiri dengan kata-kata ini:

Selalu ada jahiliah dalam diri kita. Meski sebintik cuma. Harus dipadamkan segala yang bersisa. Walau hati memberontak tidak mahu. Walau halangannya tinggi menggunung. Justeru kerap kali tubuh mengeluh. Bahkan selalu juga berpeluh.

Pernah difikirkan mengapa?

Kerana Al Quran itu masih ditangan, masih lagi di bacaan, masih lagi didengaran. Masih dalam pelukan. Dan banyak yang telah dihafazkan.

Cuma belum lagi disudut hati untuk dipedomankan.

*menangis