“Akhi..sepanjang bergelumang dengan Dakwah dan Tarbiyah ni, berapa banyak buku-buku ilmiah yang nta dah khatam?”
Soalan yang straightforward.
Tanpa kiasan apatah lagi nak berpantun bagai.
“Ana tak cakap buku-buku fikrah eh. Sebab sepatutnya sebagai da’ie yang nak beramal dengan cara yang muntij, buku-buku fikrah tu sepatutnya dah jadi makanan nta...”
“Yang ana tanya ni pasal buku-buku ilmiah. Buku yang menambahkan ilmu pengetahuan nta secara umum..”
Phew. Krik krik
krik.
“Macam mana nta ni akhi..”
“Akhi…akhi…”…………………...
Saya masih ingat lagi, sewaktu berada di tingkatan satu hinggalah ke tingkatan tiga, saya pernah digelar Raja Sejarah oleh rakan-rakan yang lain. Sebabnya hanyalah kerana saya selalu score markah tiptop dalam subjek sejarah. Bahkan ada beberapa ketika, sayalah yang paling top dalam keseluruhan batch. Fuh. Perasaan bangga tu tak payah nak diceritakan kot. Siapa je yang tak bangga bila dijadikan tempat rujukan dalam satu-satu subjek. Terasa macam jadi cikgu pulak. Heh.
Namun bila
difikirkan semula, apalah yang boleh dibanggakan sangat dengan pencapaian zaman kanak-kanak itu. Soalan subjek sejarah PMR pada zaman saya pun setakat enam puluh
soalan objektif sahaja. Dan pada kebiasaannya saya hanya membaca sekali lalu
dan menghafal nota-nota yang dah dibuat sejak awal lagi. Maklumlah, saya memang
kurang gemar membaca sejak zaman baby lagi. Muahaha.
Dan sikap kurang
gemar membaca ini terbukti memakan diri saya ketika menginjak zaman menengah
atas. Pada waktu itu, soalan sejarah lebih menjurus kepada soalan subjektif dan
esei. Agak memeritkan jugaklah tatkala melihat gelaran Raja Sejarah itu bertukar
tangan. Dan seperti biasalah, student-student yang memang terkenal dengan
perangai ulat buku inilah yang selalunya menduduki tangga-tangga teratas untuk subjek
sejarah.
Dan saya?
Entah bagaimana,
waktu itu saya mula membangunkan minat dalam subjek fizik dan matematik. Bahkan
saya antara individu yang paling rapat dengan guru-guru kedua-dua subjek tersebut.
Bergelumang dengan angka dan formula bererti semakin menjauhlah saya dari dunia
huruf dan abjad.
Begitulah
sedikit sebanyak ceritera yang digali semula dari zaman persekolahan dahulu.
Namun hari ini
saya menyedari bahawa sayalah insan yang paling rugi sekali. Rugi kerana tidak
memupuk minat untuk membaca sedari awal lagi. Rugi kerana tidak melatih diri
bergelumang dengan dunia pembacaan semenjak dibangku sekolah lagi.
Kerana membaca ini
pekerjaan yang murni sebenarnya.
Bahkan wahyu
pertama yang diturunkan kepada baginda Rasulullah S.A.W sendiri adalah perintah
membaca.
“Iqra’!”
“Bacalah!”
Hari ini ramai
orang yang gemar membaca. Dari buku-buku falsafah, ekonomi, ketamadunan,
sehinggalah ke buku-buku roman picisan. Namun sayang. Semua bahan-bahan bacaan
mereka itu sedikitpun tidak menjadikan diri mereka dekat kepada Sang Pencipta.
Bahkan lagi teruk, makin menjauh pula. Entah di mana silapnya.
Mungkin kerana tiadanya ‘tasawwur imani’ dalam proses membaca itu. Lihatlah pada wahyu
pertama yang diturunkan ke bumi, di situ sudah jelas kelihatan tuntutan kepada ‘tasawwur
imani’ dalam setiap apa yang kita kerjakan. Pemaknaan yang benar terhadap ‘tasawwur
imani’ inilah yang akan membawa kita semakin dekat kepada Allah walaupun kita bukan dalam keadaan melakukan ibadah khusus kepada-Nya.
Tasawwur imani bererti
pandangan dan pola fikir yang berasaskan iman yang besar dan luas. Ini bererti,
semua gerak, urusan, dan langkah adalah dengan menyebut nama Al-Kholiq dan atas
nama Al-Kholiq. Dengan nama Allah,
segala sesuatu dimulai dan berjalan. Dan kepada Allah jualah segala sesuatu
menuju dan kembali.
Konsep tasawwur imani
ini terpancar dengan jelas daripada ayat yang menjadi seruan pertama langit
kepada bumi.
“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!”
(Al ‘Alaq , 1)
Di sini Allah
S.W.T ingin menekankan kepada seluruh umat manusia bahawa Dia-lah yang telah
menciptakan dan mengajarkan. Dari-Nya segala sesuatu dimulai dan diciptakan,
dan dari-Nya jualah timbul pengajaran dan ilmu pengetahuan. Manusia-manusia
seperti kita ini hanya mempelajari apa yang dipelajari, dan mengetahui apa yang
diketahui. Sedangkan hakikatnya, sumber kepada semua ini adalah Allah yang
telah menciptakan dan mengajarkan.
“Dia mengajarkan
manusia apa yang tidak diketahuinya”
(Al ‘Alaq, 5)
Ma sha Allah
Inilah hakikat
Qur’aniah yang pertama yang diterima oleh Rasulullah pada saat-saat pertama.
Inilah yang
mengubah perasaan dan bicaranya setelah itu.
Inilah yang
mengubah pengetahuan dan hala tujunya sesudah itu.
Inilah tasawwur imani.
Begitulah.
Tuntutan Iqra’ itu bukanlah bererti tuntutan Iqra’ semata-mata. Al Quran
menuntut kita untuk membaca, namun disertai dengan perasaan berTuhan. Yakni meyakini
bahawa semua ilmu yang kita sedut sepanjang proses pembacaan itu semuanya dari
Tuhan. Tujuannya untuk menanam benih-benih kehambaan jauh dalam sudut hati
kita. Justeru menjadikan kita semakin kehausan dan akan terus menggali dan
menggali lagi daratan ilmu Tuhan yang maha luas ini.
Dengan itu,
barulah kita akan dapat memaknai dengan sebenar-benarnya bahawa kita semua
sebenarnya miskin di sisi-Nya.
Bagi para du’at, sudah semestinya tuntutan Iqra’ beserta tasawwur imani ini perlu kita ambil berat. Logiknya sudah
sedia terbentang. Ayat pertama suratul ‘Alaq itu merupakan arahan pertama
kepada Rasulullah S.A.W yang seperti kita semua sedia maklumi, akan menggalas
tugas kekhalifahan yang berat.
Inilah ayat
pertama yang diterima oleh Rasulullah S.A.W pada kali pertama berhubungan
dengan langit. Pada saat yang paling pertama dirinya menapaki jalan dakwah yang
telah dipilih untuknya. Baginda diarahkan untuk membaca dengan menyebut nama
Allah yang menciptakan.
Maka sewajarnya
itulah yang sepatutnya dilakukan oleh kita yang mengaku mewarisi perjuangan
Ar-Rasul yang mulia. Kita yang menggelar diri para du’at, maka layakkah
kita mewarisi perjuangan ini kiranya kita culas dalam bacaan kita. Kita yang buat
–buat pening lalat untuk menghadap bahan bacaan untuk meningkatkan kapasiti
kita sebagai seorang da’ie. Kita yang malas-malas dalam men-topup diri
kita dengan ilmu pengetahuan yang sepatutnya dimiliki oleh seorang da’ie
melalui bacaan.
Maka layakkah
kita?
Saudaraku..
Tidak rugi untuk
rajin membaca. Bahkan tidak rugi untuk berusaha menjadi rajin membaca. Kerana
dakwah dan tarbiyah ini memang berhajat kepada seorang jundi yang rajin
membaca. Kerana betapa banyak makalah-makalah dakwah yang perlu difahami oleh
seorang da’i untuk meningkatkan kapasiti dirinya dari semasa ke
semasa. Begitu juga dengan segala ilmu pengetahuan am yang pastinya berguna kepada
seorang da’ie itu.
Sesetengah orang
menjadikan membaca sebagai tips yang terpenting sekali sebelum menulis. Sebagai
seorang penulis yang masih lagi bertatih, hal ini tidak saya nafikan. Bahkan
sayalah manusia yang terpaling menyetujuinya.
Namun membaca
ini lebih besar maknanya dari sekadar ingin menjadi penulis.
Kerana sebagai
seorang da’ie yang mahu berkontribusi di medan, berapa banyaklah masa yang kita habiskan dengan
penulisan?
Hakikat seorang
da’ie yang benar itu adalah ketika dia berkonfrontasi dengan manusia di
alam realiti. Bukan ketika bertiraikan huruf dan perkataan. Saat dirinya
berbicara secara langsung dengan para mad’unya. Saat dirinya menyantuni para
mutarabbinya. Maka ketika itulah tabiat rajin membaca akan membuahkan hasilnya.
Orang yang luas
bacaannya, bicaranya solid, padu dan mapan. Setiap butir kata-kata yang keluar
dari getaran lidahnya umpama mutiara-mutiara berharga yang boleh menguntungkan orang yang menerimanya. Sejam
bersama mereka umpama setahun lamanya. Bukan bermaksud bosan ataupun apa, tetapi untuk menunjukkan betapa baaaaanyaakkknya hikmah yang boleh kita sedut daripada mereka.
Jujur, saya
sering mencemburui manusia-manusia seperti ini.
Formulanya sudah
tersedia.
“Bacalah dengan
nama Tuhanmu yang menciptakan!”
Tetapi itulah.
Antara mahu dan tidak mahu sahaja.
Akhir kata, marilah membaca dengan tasawwur imani yang sebenar-benarnya. Moga di suatu masa, butir-butir bicara kita menjadi air terjun hikmah yang nikmat ditadah dan dihirup oleh generasi seterusnya, seperti mana kita menikmatinya daripada generasi sebelum kita.
Wallahua'lam