Kelam
sungguh langit malam itu. Bulan seolah menyembunyikan diri seakan merajuk sama
si awan. Angin bertiup kasar. Memukul titis-titis air yang dimuntahkan awan.
Kala itu, manusia sedang dilanda mimpi indah. Kepenatan di siang hari ditebus
sebelum kembali menyerabutkan kepala keesokkan harinya. Di sebuah rumah di
hujung kampung, dingin malam itu tak mampu menyembuh rawan di hati penghuninya.
Seorang wanita duduk memeluk lutut dengan kepala tertunduk. Badannya
terketar-ketar bersama esak tangis. Mujur hujan di luar sangat lebat. Maka
tangisannya tenggelam dengan keriuhan rintik air yang dihempas ke tanah.
Dengan
perlahan wanita itu mengangkat mukanya. Padangan mata hibanya terpanah kepada
seseorang disebelah. Terbaring kaku penuh hina. Dengan pisau masih terpaku di
kepala. Darah mengalir dari kepala ke mata langsung menuruni ke dagu. Masih
mengalir keluar dengan rakus. Mata yang terbuka petanda si mati menanggung azab
ketika nyawa dipaksa keluar dari tubuh oleh Izrail.
Dia
tak berniat mahu buat begitu sungguhpun dendam dalam hatinya sudah lebih tinggi
dari menara KLCC. Entah dari mana datang
tekadnya mahu membenamkan senjata yang digunakan ketika memotong daging tadi ke
kapala lelaki itu, suaminya. Selama ini dia bersabar. Dicaci maki, disepak
terajang dia tanggung tanpa rela. Sikap lelaki itu yang panas baran masih mampu
ditahan. Tapi kecurangan lelaki itu sebagai balasan kesetiannya tak lagi mampu
ditolak ansur. Walaupun sebagai wanita dia lemah, tapi dia tak bodoh. Dia tak
mahu sampai ke akhir hayatnya dihina lelaki celaka itu. Suami yang dikahwini
tanpa rela kerana dipaksa orang tua.
Dia
sedang memotong daging ketika suaminya baru pulang. Mahu menyiapkan makan
malam. Daging dipotong kasar sambil membayangkan muka lelaki keparat itu. Baru
sahaja dia terserempak dengan suaminya yang bercumbu penuh nafsu dengan seorang
gadis di bawah pokok besar tepi sungai yang dia lalu ketika balik dari kedai
tadi. Sudahlah balik lewat malam, baliknya memekik-mekik bukan memberi salam.
Terus terang dia bertanya apa yang dilihat sepasang matanya. Lelaki itu
mendengus dan memaki hamun. Lagi dia lawan lagi dia dikasari. Setelah hinggap
penampar di pipi, dia tak tunggu lagi. Pisau ditangan terus diangkat setinggi
kepala dan dibenam hingga cuma nampak pemegangnya sahaja. Berapa dalam dia tak
anggar.
Penyesalan
langsung tak menyinggahi hatinya tetapi dia tak dapat lari dari memikirkan
nasib malang yang menimpa. Di usia muda dia menjadi pembunuh. Membunuh suaminya
sendiri pula. Pasti dia dihina masyarakat dan diadili manusia yang ingin
menjadi Tuhan. Malam kian pekat. Entah apa nasib yang menantinya esok hari. Dia
berkira untuk lari jauh dari sini. Pastinya ini bukan penamat. Dendamya baru
bermula.