Monday, July 13, 2015

Low Yat: Kelewatan Penguasa Bertindak Undang Padah, SAMM Minta Semua Bertenang

Kenyataan Media
13 Julai 2015

Low Yat: Kelewatan Penguasa Bertindak Undang Padah, SAMM Minta Semua Bertenang

1. Seperti dijangka, pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat malam semalam kini sudah berlarutan dan melibatkan lebih banyak kasualti. Tidak mustahil rusuhan kaum akan berlaku jika isu ini sengaja dibiarkan dan tidak ditangani dengan serius oleh pihak berwajib.

2. Seharusnya pihak polis mengambil langkah awal mengelak kejadian lebih besar berlaku. Adalah mustahil pihak polis tidak dapat memintas sebaran SMS dan media sosial yang bertebaran mengajak orang ramai serbu ke lokasi terbabit. Jika anggota ditempatkan lebih awal dalam jumlah yang sesuai, kekecohan mampu dikawal.

3. Malah jika maklumat pasukan risikan tepat, sepatutnya pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di lokasi panas sejak dari awal petang. Di sini gunanya FRU, bukan hanya menggunakan FRU di medan himpunan rakyat di jalanraya semata-mata. Malangnya FRU lewat tiba.

4. Dari pemerhatian Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendapati di sebalik pelbagai ungkapan perkauman yang dilagukan sebelum ini, antaranya ketika perhimpunan agong parti berasaskan kaum, telah menjadi resepi yang melonjakkan kebencian antara kaum. Ia sebenarnya sebuah bom jangka yang mampu meletuskan rusuhan bila-bila masa.

5. Media sosial pula menjadi medan simbahan minyak tanah yang menyemarakkan lagi api kemarahan. Ini dapat dilihat dari blog pro-umno dan juga forum pro-Mahathir yang cukup terkenal dengan jolokan ultra-melayu.

6. Tanpa ketegasan penguatkuasa undang-undang terhadap mereka yang membuat kenyataan rasis, termasuklah pendakwaan 'terpilih' yang diamalkan selama ini, akhirnya menjadi lesen untuk pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kekerasan hingga mengakibatkan rusuhan. SAMM melihat tiada satu pun dakwaan dikenakan terhadap mereka yang mencucuh api perkauman hanya kerana mereka berada di pihak pemerintah.

7. Selain itu, sikap sambil lewa Kementerian Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melayani aduan-aduan terdahulu turut menjadi punca yang mengundang tindakkan persendirian oleh pengguna yang teraniaya.

8. Justeru, SAMM mengajak orang ramai bertenang dan tidak termakan sebarang khabar angin yang bertujuan melihat rusuhan antara kaum berlaku. Tunjukkan kepada pemerintah bahawa kita rakyat yang matang.

9. Amarah rakyat juga tidak harus dibazirkan demi pergaduhan sesama kaum yang jelas merugikan. Amarah itu lebih tepat dilepaskan kepada pemerintah zalim yang menindas rakyat.

10. Bagi SAMM, kita sebagai rakyat sebenarnya harus bersatu hati dan menerap kasih sayang merentasi kaum, kerana kita sudah lama ditindas oleh pemerintah yang merembat khazanah rakyat khususnya dalam kemelut 1MDB. Pergaduhan ini bukan sahaja berkesudahan dengan kerugian dari pelbagai sudut, malah menjadikan kita lupa segala skandal pengkhianatan sebuah kerajaan terhadap rakyatnya.

11. Jika pemerintah tidak mampu menghentikan pergaduhan ini dengan apa alasan sekalipun, adalah menjadi tanggungjawab dan peranan setiap diri kita untuk hentikan segera pergolakan ini bermula dengan diri sendiri.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Thursday, July 9, 2015

"Caretaker Government" Adalah Bukan Kerajaan Perpaduan

Kenyataan Media
9 Julai 2015

"Caretaker Government" Adalah Bukan Kerajaan Perpaduan

1. Isu Najib dan WSJ telah mendedahkan BN menggunakan dana melampau yang mengatasi jumlah perbelanjaan yang dibenarkan dalam pilihanraya. Maka pilihanraya umum 13 (PRU-13) adalah tidak sah. Justeru kerajaan pemerintah yang ada hari ini adalah kerajaan haram.

2. Krisis hari ini bukan persoalan individu semata-mata tapi keabsahan sebuah kerajaan. Bukan saja Najib tetapi Muhyiddin, Zahid Hamidi, Shafie Apdal, Tengku Razaleigh dan semua pihak BN menang secara haram kerana guna dana awam dengan jumlah berlebihan dari yang dibenarkan. Kerana itulah, satu pilihanraya umum perlu dibuat segera bagi membolehkan mandat dipulangkan kepada rakyat untuk memilih tampuk pemerintahan negara.

3. Di atas sebab ini juga, SAMM semasa pertemuan NGO dah Ahli Parlimen di Parlimen tempoh hari mencadangkan satu "caretaker government" atau kerajaan peralihan yang merangkumi semua wakil daripada parti politik dibentuk untuk tujuan ini. 

4. Kerajaan Peralihan (Caretaker Government) ini bukanlah seperti Kerajaan Perpaduan sebaliknya kerajaan untuk memastikan urusan pentadbiran negara terus berjalan sambil memastikan pilihanraya yang bersih dan adil dapat dilakukan dan memastikan tidak ada mana-mana pihak cuba menghapuskan bukti penyelewengan sekiranya berlakunya perubahan rejim pemerintah.

5. Caretaker Government (Kerajaan Peralihan) adalah bersifat sementara sehingga satu kerajaan baru dibentuk. Ini juga adalah bertujuan untuk mengeluarkan negara daripada krisis pentadbiran dan politik yang tenat sekarang ini. Manakala Kerajaan Perpaduang pula adalah gabungan politik yang melibatkan gabungan parti untuk terus memerintah (menjarah?) negara ini. 

6. Justeru itu, SAMM merakamkan tahniah buat Naib Presiden PKR Nurul Izzah kerana telah menyambut baik cadangan SAMM dengan memfailkan saman sivil bagi membatalkan keputusan PRU-13.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Sunday, March 22, 2015

Hudud dan Perspektif Kepercayaan

Tulisan Umum
22 Mac 2015

Hudud dan Perspektif Kepercayaan

Isu hudud kembali bergema dengan rentak yang lebih serius. Kali ini bukan sekadar mengundang retak menanti belah buat gugusan Pakatan Rakyat, tetapi turut mendapat perspektif umum - wajarkah sebuah negara Islam Malaysia mengamalkan hukum hudud, dan wajarkah ia bermula di Kelantan?

Secara peribadi saya sokong hukum Hudud dilaksanakan, ini hukum tuhan dan tak wajar kita pertikai, malah kita harus percaya inilah hukum terbaik untuk manusia sejagat khususnya orang Islam. Namun kewajarannya hudud dilaksanakan hari ini di Malaysia atau di Kelantan, masih harus bergantung kepada banyak perkiraan.

Perlaksanaan hudud mendapat tentangan hebat dari orang bukan islam, ini tidak pelik. Hanya pelik jika mendapat tentangan hebat dari orang Islam. Mari kita lihat mengapa penolakkan dari non-muslim berlaku.

Hukuman hudud adalah hanya untuk orang Islam. Siapa yang membandingkan orang bukan islam terlepas hukuman hudud berbanding orang islam, maknanya dia tak faham maksud ADIL dalam erti kata sebenar, meletakkan sesuatu yang kena pada tempatnya. Apakah jika mahu adil, anak lelaki dan perempuan harus memakai telekong untuk bersolat?

Dari satu sudut logika, seharusnya orang bukan islam terima Hudud ini dengan hati dan jiwa terbuka. Mereka harus berasa harta dan kepentingan mereka lebih selamat. Malah mereka juga tidak tertakluk kepada hukum hudud.

Jadi mengapa mereka menolak hukum ini?

Mereka (non-muslim) menolak bukan kerana mereka tidak faham, mereka menolak bukan kerana mereka buat-buat tak faham. Saya yakin tahap intelektual yang ada pada pemimpin-pemimpin parti dan NGO ini sudah layak untuk memahami soal Hudud, dan mereka sepatutnya mampu memberi pemahaman hudud kepada majoriti pengikutnya.

Justeru, jika mereka faham, mengapa masih tolak hukum hudud?

Jawapannya - soal kepercayaan. Bukan soal kepercayaan kepada agama Islam, kerana jika mereka percaya kepada Islam tentu mereka sudah memeluk Islam. Tetapi ia adalah soal kepercayaan terhadap pihak yang ingin melaksanakan hudud.

Saya yakin, mereka tahu islam itu agama yang suci. Namun mereka melihat dan mengalami sendiri tentang bagaimana masyarakat Islam di negara ini mengamalkan Islam tidak seperti yang digambarkan betapa sucinya Islam itu.

Mereka lihat, majoriti rakyat yang beragama Islam, hanya mengambil jalan berdiam diri apabila penindasan terhadap rakyat berlaku sewenangnya, apabila rasuah berlaku secara besar-besaran, apabila ketidak-adilan menyelubungi kehakiman negara, apabila harta khazanah negara dijarah, apabila rakyat miskin dicukai, apabila berlaku penipuan pilihanraya, apabila penegak demokrasi dihumban dalam penjara, orang islam diam membisu. 

Sedangkan majoriti dari mereka secara solid dan konsisten melawan. 
Mereka yang bukan islam ini bersungguh-sungguh secara hampir sebulat suara menolak pemerintah. Ini dibuktikan dengan jelas di peti undi semasa PRU-13, majoriti besar dari mereka menolak kerajaan zalim.

Padahal kita yang bernama islam ini, yang ada bin dan binti, sanggup ketepikan matlamat kemenangan apabila sanggup berbunuhan sesama sendiri di medan perang, sanggup tanding 3 penjuru kemudian tuduh itu dan ini tanpa bukti. Kita yang bernama muslim, bernama Mustafa dan bernama Hardi, sanggup sabotaj pimpinan tertentu dari gapai kemenangan hanya kerana pimpinan tersebut 'deck' lain walaupun dalam satu kapal.

Dengan sifat angkuh dan bongkak yang tidak melambangkan ciri islam sebenar (rendah diri dan tawadduk), dengan kesamsingan tersembunyi, dengan kekayaan terserlah (nombor plat mahal, mini cooper dan vellfire), dengan 'body language' yang seolah ingin bersekongkol dengan pemerintah zalim, bagaimana agaknya mereka yang bukan islam ini mahu percaya?

Ya benar tulisan ini agak spesifik, apalah yang mahu disorokkan lagi. Cuba jawab, bagaimana orang nak percaya kita jika kita sendiri khianat demi kepentingan tertentu? Bagaimana mereka nak percaya kita, jika kita sendiri dilihat kaya raya dengan sumber yang meragukan?

Untuk melaksanakan hudud harus ada majoriti yang menyokong. Kelantan punya majoriti untuk laksana hudud, tetapi tidak mendapat kepercayaan umum. Malah jika hudud ini diteruskan, usaha menumbangkan kerajaan zalim nampak sayup dan perpecahan Pakatan Rakyat akhirnya menjadi realiti. Akhirnya hudud ini tidak terlaksana juga, hanya hasilkan perpecahan semata. 

Jika benar nak laksanakan hudud, dapatkan kepercayaan terlebih dahulu. Dengan kepercayaan juga pemerintah zalim mampu ditumbangkan. Jika
 bukan islam tak percaya, malah orang islam di kampung, di felda dan pinggir bandar juga tidak percaya, bagaimana nak dapatkan majoriti untuk tumbangkan rejim?

Sedarlah, perkara pokok yang cuba saya sampaikan di sini ialah kepercayaan dan kebertanggungjawaban (akauntabiliti).

Hari ini, alasan mereka yang bukan islam menolak hudud hanya kerana perlembagaan persekutuan yang diangkat sebagai kedaulatan undang-undang (rule of law) tidak membenarkan hukum hudud dilaksana. Hudud ditentang di atas alasan ini, walaupun hakikat sebenar ialah tiada kepercayaan terhadap pelaksana hudud.

Percayalah, jika ada kepercayaan dan akauntabiliti terhadap pihak pelaksana hudud, mereka yang bukan islam ini sendiri akan menuntut supaya perlembagaan persekutuan disemak dan dipinda supaya hudud menjadi sebahagiaan dari hukum takzir yang termaktub dalam perlembagaan. 

Hari ini, penerimaan mereka amatlah jauh sekali. Mungkin mereka masih tertanya-tanya, tangan siapakah yang harus dipotong dari setiap gondolan-gondolan hutan yang menyebabkan kebinasaan luar biasa meranapkan ribuan tempat tinggal.

Mungkin ada yang akan bertanya kepada saya, apakah nak tunggu orang bukan islam percaya kepada pelaksana terlebih dahulu barulah boleh kita laksanakan Hudud? Ya. Kerana negara ini hanya nama sahaja negara Islam.

Sekian

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


Wednesday, March 18, 2015

Hukuman Penjara Untuk Penunjuk Perasaan Adalah Zalim!

Kenyataan Media
18 Mac 2015

Hukuman Penjara Untuk Penunjuk Perasaan Adalah Zalim!

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perak menyifatkan hukuman denda RM5000 dan penjara 10 bulan yang dijatuhkan terhadap 13 penunjuk perasaan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini adalah satu kezaliman. 

Seramai 13 orang telah ditahan dalam satu tunjuk perasaan membantah pelantikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir selepas kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dijatuhkan pada 2009, adalah menifestasi rakyat dari satu rampasan kuasa yang jelas oleh regim pemerintah.

SAMM Perak menggesa keputusan ini disemak dan kes ini dimajukan ke Mahkamah Persekutuan, mengambil kira hak rakyat berhimpun adalah terpelihara dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

SAMM Perak juga meminta semua pihak khususnya parti dalam Pakatan Rakyat memberi perhatian yang besar terhadap kes ini, dan menjaga kebajikan mereka-mereka yang telah berjuang mempertahankan demokrasi tulin ketika krisis kuasa di Perak pada Februari 2009.

Sekian

Zulfadhli A'dil
Penyelaras Bersama SAMM Perak
Solidariti Anak Muda Malaysia

Sumbangan Simpatisan Anwar dalam Kerajaan Muncul Akhirnya, Terima Kasih Zahid Hamidi

Tulisan Umum SAMM
17 Mac 2015

Sumbangan Simpatisan Anwar dalam Kerajaan Muncul Akhirnya, Terima Kasih Zahid Hamidi

Krisis kepercayaan dan usaha menukar Perdana Menteri berlaku kini dan tahap usahanya sama seperti usaha menyingkirkan Abdullah badawi satu ketika dahulu.

Mahathir tetap watak utama yang berusaha menukar PM tetapi kali ini untuk melihat siapa orang Mahathir di dalam kekuasaan amat sukar sekali. Ini kerana Najib Razak tidak selemah Abdullah Badawi. Walaupun termasuk kritikan adik beradik sendiri nampaknya Najib belum cukup goyah lagi.

Sebagaimana susah untuk mencari orang Mahathir, sebegitu susah malah lebih sukar lagi untuk mencari siapa orang Anwar Ibrahim di dalam kekuasaan. Dengan sentuhan peribadi Anwar selama berada dalam kekuasaan, maka mustahil tiada simpatisan Anwar Ibrahim khususnya di saat beliau begitu memerlukan.

Akhirnya di saat usaha protes pembebasan Anwar begitu longlai khususnya apabila parti Anwar itu sendiri mengambil sikap membisu. Rujuk ucapan Timbalan Presiden parti Anwar, seorang yang dilihat jelas mendapat payung emas Anwar sebelum ini dalam konvensyen PKR baru baru ini dengan tegas menyatakan desakan dan protes mendesak pembebasan Anwar diserahkan pada sayap parti iaitu AMK sahaja dan yang lain perkukuh parti.

Di saat gerakan pembebasan Anwar kelihatan agak hambar pada awalnya sehinggakan candle light vigil di hadapan Penjara Sungai Buloh pun terpaksa diadakan dua minggu sekali, tiba-tiba para simpatisan Anwar dari blok BN mula memberikan talian hayat kepada gerakan ini.

Semalam Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar ditangkap di bawah Akta Hasutan kerana ucapan mewakili Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Ini adalah merupakan satu usaha intimidasi terhadap Ahli Dewan Legislatif. Nurul Izzah hadir ke Balai Polis sendiri dan akhirnya beliau dilokap hanya kerana membaca ucapan Ketua Pembangkang yang dihalang hadir sendiri siding parlimen.

Ramai pelik bagaimana PDRM yang di bawah KDN kelolaan Menteri Dalam Negeri boleh memberi ruang simpati yang tinggi yang akhirnya memberikan nafas baru kepada gerakan pembebasan Anwar Ibrahim. Kezaliman terhadap Izzah pasti memberi impak.

Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Zahid Hamidi, Kementerian Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia kerana bukan sahaja telah membantu menyemarakkan lagi semangat kebangkitan di kalangan rakyat, malah memberi satu nafas baru untuk perlawanan akan datang. Sekurang-kurangnya ada juga simpatisan Anwar Ibrahim yang mampu berbuat sesuatu dengan cara tersendiri.

Dalam perkembangan yang sama penasihat-penasihat Perdana Menteri wajar memberi lebih perhatian.  Laporan polis yang menyebabkan Nurul Izzah diberkas telah dibuat oleh sekumpulan watak yang selama ini bergerak diatas label TIBAI - Sebuah NGO yang ditubuhkan oleh sekumpulan khususnya bekas anggota PKR untuk buktikan mereka setia Umno dengan menyerang Anwar Ibrahim.

Diyakini beginilah caranya mereka mampu meneruskan survival mereka. Sehinggalah Mursyidul Am TIBAI ini sendiri mendapat tempat sebagai Pegawai Khas kepada 'bos' Felda. Kini TIBAI telah dibubarkan setelah Anwar dipenjarakan. Maka sudah tentu kawan-kawan ini mencari cara baru untuk meneruskan survival mereka.

'Bos' Felda sedang dalam tekanan, kegagalan dia menguruskan Felda diperhatikan oleh Perdana Menteri. Anaknya baru sahaja menjalani soal siasat SPRM baru ini. Dia mungkin sahaja kecewa dan mula panik dengan prestasinya yang mula dipertikai dan mungkin kerusi empuk mewah bakal bertukar tangan.

Untuk itu pembacaan politik biasa mudah sahaja membaca kemungkinan besar dia akan berpindah kem menyokong pertukaran PM. Apa pun prestasinya tidak menjadi ukuran lagi asalkan tempatnya terjamin di bawah PM yang baru di atas skim 'balas budi'.

Maka bekas mursyidul am Tibai yang juga merupakan pegawai kepada 'bos' Felda ini tampil membuat laporan polis meminta polis menangkap anak Anwar Ibrahim adalah perlu dibaca hanya untuk mengingatkan masyarakat Umno bahawa mereka ini anti Anwar dan pro Umno 'lebih Umno' dari ahli Umno asal yang setia. Namun ini hanya persepsi awal yang hendak dibentuk tetapi sasaran mereka ialah diyakini akan menubuhkan satu gerakan baru yang menyerang Perdana Menteri bagi mengisi kekosongan siapa orang Mahathir dalam lingkungan kekuasaan.

Apa pun harus diingat bahawa Najib bukan Pak Lah…. Apa pun sampai bila perkara ini tak sudah hanya berkisar nafsu politik Mahathir semata semenjak zaman Tunku Abdul Rahman.

Begitulah pusing – pusing seni politik kekuasaan dalam negara, yang pasti apa nasib rakyat biasa bukanlah satu agenda.

#23MacLembahKelang

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Tuesday, March 10, 2015

Income 10k sebulan pada bulan ketiga!

Income 10 ribu sebulan pada bulan ketiga?

Pernahkah anda terfikir untuk menerima elaun kenderaan dan perumahan dengan hanya menjalankan perniagaan secara part time?

Jika ada yang bertanya bagaimana elaun tabung kereta bernilai rm800 sebulan selama 3 tahun dan tabung rumah rm1500 sebulan selama 5 tahun. Jawapannya, anda perlu dapat income komisyen dalam bisnes telco BestMobile mencecah rm5k sebulan (untuk tabung kereta) & cecah rm7k sebulan (untuk tabung rumah).

Inilah antara tawaran hebat dari BestMobile dalam perniagaan telekomunikasi - bisnes masa depan.

Di atas konsep perkongsian keuntungan syarikat, pelbagai bonus akan dibayar berdasarkan pencapaian anda. Ia sebagai tanda anda dihargai dari setiap usaha yang dilakukan demi menguntungkan syarikat.

Soalannya, macamana nak dapat? Logik ke boleh dapat?

Saya jawab, kita boleh dapat SEMUA ini dalam masa 3 bulan kalau kita betul-betul fokus dan berusaha secara bijak.

Caranya;

PERTAMA anda perlu mendaftar 30 orang level 1 anda dalam masa 30 hari. Di sini anda akan dapat bonus FAB (kerana daftar 30 orang) dan jumlah bonus anda termasuk komisyen dan insentif ialah rm1700+. Gaji part time anda bulan pertama!!

KEDUA, anda pastikan 4 orang dari 30 orang di level 1 anda mencapai 30 pendaftaran di level 1 mereka, sepertimana yang anda buat untuk dapat 1700+ gaji part time bulan pertama.

Maknanya ketika ini, anda sudah ada seramai lebih kurang 150 orang di level 2 anda (termasuk dari level 1 yang lain).

KETIGA, pada bulan kedua, anda pastikan dari jumlah 150 orang level 2 anda, 16 org dari mereka berjaya mencapai 30 pendaftaran (juga seperti yabg anda lakukan untuk dapat gaji rm1700 tadi).

JIKA tiga langkah ini berjaya dilakukan, gaji kerja part time anda pada bulan KETIGA kita mencecah RM SEPULUH RIBU SEBULAN!!! Ketika ini tabung kereta dan rumah seperti yang saya katakan awal tadi sudah layak anda miliki!!!

Kalau anda tidak percaya, cubalah... Modalnya rm49 sahaja. Ia bermula April 2015. Hubungi saya sekarang 011-1868 5019 (whatsapp).

Ketika ini simkad BestMobile untuk pendaftaran masih belum dilancarkan, namun jumlah level 1 saya sudah cukup 30 orang. Juga dalam 30 orang level 1 saya, lebih 5 orang yang mampu capai 30 pendaftaran.

Jadi saya berada dalam track terbaik untuk pulang ke kampung berhari raya tahun ini dengan pendapatan lebih 10k. InshaAllah doakan saya berjaya, dan saya juga doakan anda juga berjaya, kerana kejayaan anda juga kejayaan saya.

Semua orang boleh berjaya dalam BestMobile. Sabar dan istiqomah kunci kejayaan! Usaha hak kita, rezeki hak tuhan...

Edy Noor Reduan (01118685019)
#BMWbestmobileworld
#BMWbestmanwin
#BMW


Monday, February 23, 2015

Kisah Najib Sailang Tarikh Kahwin Anak Muhyiddin


Tulisan Santai
23 Februari 2015

Kisah Najib Sailang Tarikh Kahwin Anak Muhyiddin

Di sebuah kampung yang banyak masaalah, telah berlaku satu pertembungan yang tidak disangka-sangka. Akhirnya satu keputusan diambil, iaitu pengunduran yang sementara.

Muhyiddin berang, persiapan untuk melangsungkan perkahwinan gilang gemilang anaknya yang vogie the vogue itu kini tergendala.

"Anak aku ini bukan orang sembarangan, anak aku tersohor di seluruh kampong, juara karaoke daerah" getus hati Muhyiddin yang masih tidak berpuas hati.

Muhyiddin bagaimanapun terpaksa akur menangguhkan majlis perkahwinan anaknya yang vogie the vogue itu. Ini semua adalah angkara Najib yang sengaja memilih bukan sahaja tarikh yang sama iaitu 28 Mac 2015, malah lokasi yang hampir sama iaitu di sebuah hotel mahsyur sekitar KLCC untuk majlis perkahwinan 'tiba-tiba' anak Najib.

Mentang-mentanglah Najib itu ketua kampong, apakah tidak ada tarikh lain untuk majlis perkahwinan anaknya itu? Sedangkan Muhyiddin telah menempah segala macam onde-onde, tempahan tarian zapin, juga menempah kehadiran artis seperti Akim and the magic street, Stacy mewangi dan Jep sepahtah. Tempahan kad jemputan juga telah siap yang hanya menunggu masa untuk dihantar kepada dif kehormat seluruh negara.

Maka, terpaksalah dibatalkan semua tempahan yang mengakibatkan banyak ringgit deposit telah hangus. Kad jemputan berbentuk 3D itu juga terpaksa dibuang, apa kelas timbalan ketua kampong nak hantar kad yang ada pembetulan. Persiapan berbulan-bulan lamanya, menjadi sia-sia.

Sebagai timbalan ketua kampong, pastinya Muhyiddin terkesan dengan sikap Najib yang seolah-olah ingin berseteru dan cuba mengeruhkan lagi hubungan yang sememangnya retak menanti belah. Walaupun tauke besar kampong iaitu mamak bendahara teguh di belakang Muhyiddin, namun dalam soal majlis perkahwinan ini Muhyiddin mengambil jalan berundur setapak dan sedia untuk membalasnya jika berpeluang.

Masih terngiang-ngiang di fikiran Muhyiddin lantas tidak mampu melelapkan matanya apabila memikirkan apakah yang akan diperkata kepadanya kerana sanggup mengalah?

"Muhyiddin nak buat majlis kahwin anaknya hujung Mac… Najib mat monggol sailang tarikh sama hahahahaha…"

Barangkali begitulah ayat-ayat yang mungkin kedengaran di kalangan orang kebanyakkan. Muhyiddin tidak dapat membayangkan malu besar bakal dilalui oleh mereka sekeluarga. Orang kampong dah tau, majlis kawin tak jadi. Mereka bukan faham antara maksud tangguh dengan maksud tak jadi.

"Ada ubi ada batas, ada hari boleh ku balas" mengetap-ngetap bibir Muhyiddin dengan muka yang sembab itu mengekspressikan kemarahan terhadap mat monggol. 

"Siaplah kau, sampai masa, silap-silap sebelum 28 Mac, aku sailang pulak jawatan yang kau sandang!" Kata Muhyiddin sebelum menyambung tidur petangnya.

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
SAMM

(gambar sebagai hiasan)
 

Monday, February 16, 2015

Hambar di Sogo Bukan Satu Pengakhiran, Tetapi Satu Permulaan Yang Baik

Tulisan Umum
16 Feb 2015

Hambar di Sogo Bukan Satu Pengakhiran, Tetapi Satu Permulaan Yang Baik

Beberapa laporan media mengatakan himpunan melawan kezaliman Sabtu lalu di perkarangan pusat membeli belah Sogo agak hambar. Dengan penyertaan yang tidak sampai angka ribu, pastinya ia diluar dugaan pengamal media tempatan mahupun media antarabangsa.

Himpunan yang hanya dimobilisasi selama dua hari oleh sekumpulan anak muda akhirnya mampu juga berpesta di jalanan dengan satu jumlah yang cukup. Jika jumlah tidak cukup, mana mungkin mereka berarak menari zumba di jalanraya. Bukan satu kejayaan yang besar, namun ia satu permulaan yang baik dan mampu menarik lebih banyak pihak untuk aksi akan datang, termasuklah pihak polis.

Kehadiran beberapa sosok politik termasuk Nurul Izzah dan Nik Nazmi tidak banyak memberi impak. Hadir untuk menunjuk muka semata-mata kemudian hilang, adalah lebih baik tidak muncul langsung. Tidaklah saya halang untuk mana-mana sosok politik hadir ke demonstrasi kecil ataupun besar, tetapi mengapa tidak ikut anak muda turun ke jalanraya dari Sogo hingga ke Puduraya? Apa beza kamu dengan Azmin?

Kehadiran sosok parti ini juga sedikit sebanyak menukar tajuk berita, samada di portal online atau TV3, himpunan anak muda menentang kezaliman dan ketidak-adilan sudah menjadi himpunan pihak pembangkang menuntut pembebasan Anwar. Ada bezanya, gerakan anak-anak muda dan aktivis untuk menumbangkan regim tidak boleh disamakan dengan usaha memenangkan Pakatan Rakyat. Hanya secara tidak langsung ia selari. 

Begitu juga perbezaan antara himpunan melawan kezaliman dan himpunan bebaskan Anwar, tetap ada perbezaan walaupun sedikit. Kita lawan sistem dan keputusan penghakiman yang berat sebelah selain polisi kerajaan yang menindas rakyat, manakala pula Anwar menjadi salah satu subjeknya iaitu dizalimi. Harus diingat, bukan Anwar seorang sahaja yang dizalimi. Anda semua turut dizalimi, hanya sedar atau tidak sedar yang membezakan fikrah. Atau mungkin saja sedar dalam kepasrahan.

Berbalik kepada soal kehadiran, ya benar tidak dinafikan jumlah yang hadir itu agak hambar. Ia sedikit pun tidak mengecewakan anak muda yang memilih untuk muncul pada hari tersebut, mungkin hanya yang dikecewa ialah himpunan tidak diserikan dengan kehadiran pihak polis berseragam. 

Pihak polis juga telah berevolusi. Mereka langsung tidak respon kerana sedar setiap respon akan menggandakan kehadiran. Jika dulu pihak polis akan membuat benteng manusia bagi menghalang anak muda masuk ke Dataran Merdeka contohnya, kini ia tidak berlaku lagi. Mereka sedar setiap halangan akan menyebabkan perlawanan menjadi sensasi.

Keadaan ini bukanlah satu pengakhiran bagi anak muda, ia membuka ruang untuk anak muda mengatur perlawanan baru dengan lebih tersusun. Barangkali anak muda akan memberi isyarat kepada orang ramai supaya turunlah ramai-ramai selepas ini kerana polis takkan kacau kita lagi. Tiada lagi gas pemedih mata, hanya yang dijanjikan ialah pesta lebih besar di atas jalanraya.

Saya faham, ramai aktivis dan anak muda membangkitkan hujah-hujah yang membantut hasrat mereka hadir dalam himpunan kali ini dan mungkin juga akan datang. Antara hujahnya, hadir demonstrasi tidak akan membuahkan hasil bermakna, datang himpunan hanya beberapa jam dan berakhir di kedai kopi, hanya akan turun ke jalanraya jika ia mampu menumbangkan regim dan lain-lain lagi yang semaksud.

Mari saya jawabkan, jika turun demonstrasi dengan harapan tidak mahu berakhir di kedai kopi, boleh sahaja berakhir di lokap jika kamu mahu. Contenglah dinding bas polis, jika bernasib baik kamu akan diberkas. Katakan kepada polis bahawa insiden tersebut adalah satu ekpresi spontan di atas 'jenayah pembunuhan integriti dan kebebasan kehakiman' dan ia satu mesej kepada regim bahawa anak muda sedia bangkit dan lawan.

Hadir demonstarsi kecilan juga umpama menghadiri perlawanan bolasepak di stadium. Perlawanan pertama liga super edisi 2015 umpamanya, kita turun ke stadium untuk memberi sokongan. Kita tahu jika menang perlawanan pertama ini, belum tentu akan menjadikan pasukan tersebut juara musim tersebut. 

Begitu juga dengan demonstrasi, Sabtu lalu adalah perlawanan pertama, kita tahu tanahair ini dizalimi, kita sebagai anak muda turunlah ke jalanraya. Ini soal masa depan kamu, janganlah kata hanya ingin menonton perlawanan ini dari kaca smartfon di rumah melalui facebook dan twitter.

Dalam masa sama, adalah tidak adil untuk membandingkan antara dua era 1998 dan 2015. Kejutan budaya berlaku pada 1998, dalam keadaan rakyat ketika itu penuh energetik. Namun hari ini anak muda sedang bergelut menyalakan api perlawanan ketika rakyat letih diharuk pelbagai hala oleh regim. Masing-masing memikirkan survival, sedangkan kunci kebahagiaan terletak di tangan regim.

Jika ditanya kepada saya apakah semuanya sudah berakhir, saya katakan ia baru sahaja bermula dan ini adalah satu perlawanan yang panjang. Jika era 1998 bermula dengan gelombang pertama yang dasyat, di manakah gelombang tersebut selepas beberapa tahun? 

Saya optimis gerakan anak muda era kali ini mempunyai harapan yang tersendiri. Biarlah ia bermula dengan satu cetusan yang kecil, momentum disusun dan dibina mampu bercambah secara organik. Masih banyak lagi frontline dan penggerak anak muda belum campur tangan. 

Jika mahu diharapkan parti politik, tunggulah mereka hilang negeri maka ketika itu barulah mereka benar-benar muncul dari mula hingga akhir demonstrasi. Saya tidaklah kata mereka-mereka ini lupa diri, tidak juga saya kata mereka umpama kacang lupakan kulit walaupun mereka sedar kedudukan mereka ini asalnya dari perjuangan jalanraya.

Sekurang-kurangnya mereka tidak menabur janji untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak merengkok dalam penjara walaupun sehari, kecuali Azmin Ali. Janji Azmin itu dilafazkan dengan penuh dramatik pada hari Anwar dijatuhkan bersalah sebelum penamaan calon pilihanraya kecil Kajang. Mungkin ketika itu kerana Azmin belum lagi menjadi Menteri Besar maka berjanjilah dulu, agar akhirnya mendapat restu.

Hari ini, sudah masuk hari ke enam Anwar Ibrahim merengkok dalam penjara. Belum ada isyarat dari Azmin untuk merempuh mana-mana penjara, merempuh yang kena dengan maksudnya. Apakah takut terlucut kerusi empuk? 

Janji tetaplah sebuah janji, ia dilafazkan dengan saksi dan rakaman. Manusia berpegang kepada janji, Azmin berpegang pada kerusi. Jika ditanya mengapa harapkan Azmin semata-mata, di mana yang lain? Jawapannya juga berbentuk persoalan - Apakah Azmin yang menabur janji dan mendapat habuan, che'GuBard pula yang harus ke depan?

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
SAMM

Wednesday, February 11, 2015

Anwar Bayar Kegagalan Kita, 5 Tahun Ansuran di Penjara

Tulisan Terbuka
10 Februari 2015

Anwar Bayar Kegagalan Kita, 5 Tahun Ansuran di Penjara

Hari ini 10 Februari, hari yang sebak. Perasaan ini tidak mampu disembunyikan, ia dapat dilihat di mana-mana. Saya tidak hairan jika sehari ini keadaan tenang seribu bahasa, kerana esok masih ada dan masih mampu berbisa, kerana lusa masih utuh untuk perlawanan seterusnya.

Ketika tulisan ini digarap, kartunis zunar sedang berada di lokap. Beliau diberkas sebelum sempat melahirkan kartun-kartun sinikal yang baru. Dalam kepala saya terbayang 5 ekor kanggaroo menjadi teras lukisan beliau barangkali. Saya klasifikasi penangkapan kartunis Zunar ini satu tindakan 'prevention' sebelum satu serangan bom berlaku di PWTC contohnya. Jangan serius sangat, saya hanya menyindir.

Sungguh cekap dan efisyen sekali pihak polis raja di Malaysia, walaupun Zunar ditangkap bukan kerana kartunnya, tapi hanya kerana secebis tulisan di twitter. Malah twitter menjadi ruangan paling selamat ketika ini kerana IGP sendiri yang buat rondaan berkala. Tidakkah IGP mahu meronda di ruangan facebook pula? Rasanya ramai lagi 'penjenayah' media sosial masih bebas melampias konklusi yang merentap institusi kehakiman.

Siapa lagi bakal direman selepas ini hanya kerana bersimpati terhadap institusi kehakiman negara? Sila ambil giliran masing-masing, tunggu di rumah nanti 'tiga paku' datang angkut semua. Apakah kalian percaya bahawa penangkapan demi penangkapan akan meredakan perlawanan?

Bercakap soal perlawanan, tidak salah jika saya katakan gerakan menumbangkan regim bermula dengan jelas pada era 1998. Di sini gerakan bermula dengan menempuhi pelbagai episod. Antara siri episod yang paling menjadi perhatian ialah liwat 1 dan 2, yang menjadikan negara ini bergelumang dengan berita kelucahan selama belasan tahun khususnya 5 tahun kebelakangan ini.

Episod lucah ini hadir ketika kedudukan regim berada dalam keadaan sangat bahaya. Pertama ialah ketika Anwar gagal diperguna semasa beliau memegang tampuk nombor dua negara lantas mencetus saga perlawanan. Kedua ialah ketika 5 negeri tumbang dalam tsunami pilihanraya umum ke-12 yang juga di atas faktor Anwar dalam momentum yang sangat gamat. Jangan dilupa fakta ini, apatah lagi menafikannya.

Saya percaya kalian semua ada bersama dalam perlawanan ini samada dalam episod pertama atau kedua, atau kedua-duanya. Walaupun Anwar adalah faktornya, tetapi harus diingat bahawa perlawanan ini bukan soal Anwar, bukan soal menyelamatkan maruah keluarganya. Perlawanan ini adalah perlawanan kita, perlawanan ini adalah soal rakyat, soal perjuangan menyelamatkan tanahair.

Bicara soal perjuangan, ketika datangnya harapan membentuk sebuah negara rakyat, kita memilih perjuangan ini dengan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai kereta kebal yang akhirnya menjadi sasaran utama. Segala kekuatan persenjataan regim dihalakan terhadap sosok ini, senjata berat, senjata ringan, senjata halus, senjata boleh laras, senjata dalam sekam. Semuanya fokus menjatuhkan kredibiliti, membunuh karektor dan karisma, diulang dan diulang hingga membuahkan hasil tersendiri - iaitu ke'redho'an kita membenarkan Anwar ke penjara.

Apalah nak dipeduli, kamu sudah punya kerajaan beberapa negeri, ramai antara kamu sudah menjadi Adun, berjawatan dalam kerajaan negeri, dalam GLC, ada juga yang bakal menerima insentif pencen sebagai bekas ahli parlimen dan sebagainya. Sedarkah kamu kemewahan yang sementara ini, bagaimana ia bermula? Apakah kamu tergamak menikmati ghanimah manakala Anwar dibunuh dan maruah keluarganya tercela?

Kepada kalian yang terus berjuang tanpa mengharap balasan, mungkin saja terdapat seribu kekecewaan di dalam perjalanan. Tapi sebagai pejuang hatinya waja, bukan tisu dan kertas. Apalah nak dikira bila peluang dan cetusan untuk perlawanan seterusnya kini di depan mata. Ya benar ini bukan soal Anwar, tetapi soal prinsip bilamana seseorang itu ditindas dan dizalimi hingga ke liang penjara. 

Kepada 'pahlawan papan kekunci', samada kalian dituduh sedemikian ataupun memilih untuk menjadi demikian, saya percaya kalian adalah watak penting dalam perlawanan ini. Teruslah jadi pahlawan walau di mana sekalipun, cuma saya nak bagitau bau canister itu cukup menghairahkan. Sila guna sarung tangan, canister itu panas demi meruapkan asap pedih. Garam adalah penawar penting, tetapi meletakkan canister itu ke dalam sebaldi air adalah pencegah yang lebih baik. Sila lari jika semua orang lari, tetapi sila jangan lari jika semua yang di depan itu steady.

Berbalik kepada cerita hari ini, Anwar dijatuhkan hukuman penjara sampai mati. Tiada hujah teknikal dari para hakim, hanya bergantung kepada kredibiliti seorang Saiful, sampel dan plantif tercemar menjadi bukti. 

Saya mengikuti perbicaraan, saya juga bersama che'GuBard menulis sebuah buku 'FITNAH' terhadap Anwar, mendapati segala keraguan munasabah terhadap pertuduhan tidak terjawab. Saya penuh yakin Anwar tidak bersalah.

Dari pengamatan saya, walau mati hidup semula, kalian semua tidak percaya kepada Saiful. Kalian akui bahawa ia adalah sebuah konspirasi ulang cerita sepertimana episod terdahulu. Ya, kalian juga pasti Anwar tidak bersalah. Tetapi gamaknya seolah kalian membiarkan Anwar diheret ke penjara.

Situasi pada hari ini menunjukkan Anwar tidak punya kekuatan seperti waktu gemilangnya iaitu waktu kita bersama menghambat regim. Sudah teruk dibedil dari serata sudut, namun kereta kebal yang terputus rantai ini masih melawan dengan laras yang masih bisa meledak dan tidak akan menyerah kalah. Dalam status begini pun, Anwar dihumban ke penjara di atas sikap dan karektor perjuangannya selama belasan tahun. 

Telah saya katakan tadi, perjuangan ini adalah perjuangan kita bersama. Jujurnya, pemenjaraan Anwar tanpa kebangkitan adalah kemenangan besar buat gerombolan. Apakah kegagalan kita menumbangkan regim zalim ini harus dibayar oleh Anwar dengan sebuah harga - sisa sisa terakhir kehidupannya? 

Berikut saya petik kata-kata akhir Anwar kepada para hakim; 

"Dalam menunduk kepada tuan politik, mereka memalukan diri sendiri dan menjadi rakan jenayah dalam pembunuhan sistem kehakiman. Anda mempunyai peluang untuk membetulkan kesilapan tetapi anda pilih untuk terus berada di pihak yang gelap"

Ia seraya menyebabkan para hakim panas punggung dan beredar dari tempat duduknya.

Ya benar, tidak ada jalan yang jelas ketika ini untuk Anwar dinobatkan sebagai Perdana Menteri seperti mana yang pernah diidamkan. Anwar juga manusia, tidak lari dari silap dan salah kira. Tetapi di atas sekelumit jasanya terhadap diri kita (jika ada), ayuh kita atur sebuah gerakan ampuh bebaskan Anwar dari penjara, dengan prinsip. 

Jelas, perlawanan kita dari dulu dan selepas ini bukan demi menobatkan seseorang, bukan demi sosok pemimpin tertentu, tapi demi rakyat dan menyelamatkan tanahair dari genggaman regim zalim.

Ayuh! Genggam tangan, hayunkan ke atas. Suara Rakyat Masih Keramat!!

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia

Thursday, February 5, 2015

SAMM Pertimbang Bertemu Menteri KPDNKK Desak Penurunan Harga Barang

Kenyataan Umum
5 Februari 2015

SAMM Pertimbang Bertemu Menteri KPDNKK Desak Penurunan Harga Barang

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan sekutu telah lama mendesak agar harga barang dan perkhidmatan di pelbagai peringkat diturunkan memandangkan situasi harga minyak dunia yang rendah kebelakangan ini.

Isu peniaga meraih kesempatan mengaut lebihan keuntungan dari situasi ini menjadi hangat apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani terkhilaf apabila memasukkan sedikit hujah yang menyentuh satu etnik di dalam komentar beliau mendesak penurunan harga barang.

SAMM cuba melihat ruang yang ada untuk menggunakan sepenuh peluang ini bagi memulakan kempen dalam fasa kali ini dengan cetusan kemarahan rakyat di setiap peringkat. 

SAMM berpandangan dalam isu penurunan harga barang ini, isu kenyataan perkauman itu bolehlah diketepikan sebaliknya masyarakat dan semua lapisan pemimpin politik perlu kembali kepada persoalan pokok iaitu harga barang dan perkhidmatan yang masih lagi tinggi.

Walaupun ramai yang berkata dengan turunnya harga bahan bakar, rakyat akan mempunyai lebihan pendapatan untuk dibelanjakan namun, dengan harga barang yang masih kekal tinggi ia tidak banyak membantu meringankan beban rakyat dan tidak melebarkan pendapatan boleh guna rakyat ketika ini.

Dalam masa yang sama, SAMM menyambut baik saranan dan desakan daripada Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kulai, YB Teo Nie Ching agar Tenaga Nasional Berhad menurunkan tarif mereka. Walaupun TNB menyatakan penurunan harga bahan bakar mentah dunia tidak memberikan kesan kepada mereka, tetapi sebagai sebuah pemain monopoli industri tenaga ini, TNB wajar menurunkan sedikit tarif mereka.

Sewaktu kenaikan harga bahan bakar mentah dunia, TNB telah mendesak Kerajaan untuk menaikkan tarif dengan alasan input kos bahan bakar telah naik maka seharusnya TNB juga mempunyai sikap setiakawan dengan rakyat dan menurunkan sedikit tarif mereka. 

SAMM amat teruja sekiranya pengurusan TNB bersedia untuk mengurangkan sedikit margin keuntungan mereka demi memastikan rakyat dapat bernafas semula di kala keadaan ekonomi yang semakin tidak tentu ini.

Oleh itu, SAMM sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengatur pertemuan dengan Menteri dan Pegawai Kementerian terbabit bagi menyatakan desakan agar tindakan segera diambil oleh Kementerian dan menandakan permulaan kempen ini.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia