Monday, May 31, 2010

KENA LAGI

Tiada lapisan
Tiada benteng
Tiada tembok
Mampu tegak
Menerima serangan ini
Serangan bertubi
Kena lagi

Tiada jawapan
Tiada kekuatan
Menangkis
Serangan bertalu
Pedih pilu
Amat malu

Apakah tiada orang
Yang ada akal
Yang ada kesungguhan
Yang penuh muslihat
Bijak membantu
Bukan membatu
Menyusun langkah
Penuh terserlah
Gerak strategi
Pelbagai segi
Hebat terbukti
Tiada kena lagi

LAGU AJAI BAWA TUAH


BANDAR SUNWAY: Lagu Tak Mungkin Kerna Sayang ciptaan Ajai lirik oleh Habsah Hassan yang disampaikan Alyah muncul sebagai juara pada malam kemuncak Gah 1 Akhir musim ke-7 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Surf Beach, Sunway Lagoon, di sini, malam tadi.
Alyah juga meraih kemenangan berganda apabila persembahannya dinobatkan sebagai persembahan terbaik sekali gus menerima ganjaran RM10,000.
Kemenangan sebagai Lagu Terbaik itu melayakkan mereka bertiga membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta trofi dan sijil sekali gus mengetepikan impian lapan calon lain untuk menggenggam gelaran sama.

Tempat kedua yang menawarkan wang tunai RM30,000 berserta trofi dan sijil diraih lagu Cinta Adam dan Hawa hasil ciptaan Azmeer dan lirik Allahyarham Loloq dendangan Juara Bintang RTM 2009, Erni yang menggantikan Misha Omar.

Sementara itu, Sixth Sense yang mempertaruhkan Khatimah Cinta ciptaan mereka sendiri menewaskan finalis lain bagi kategori Lagu Paling Popular Gah 1. Mereka membawa pulang wang tunai RM20,000.

Hadiah disampaikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.
Berkonsepkan fiesta, rancangan hiburan berbentuk carta lagu popular itu diadaptasi daripada carta Muzik FM. Program ini disiarkan secara langsung menerusi TV2 dan Muzik FM, yang juga bertindak sebagai radio rasmi.

Finalis lain yang turut beraksi ialah Azharina Azhar (Rawan), Stacy (Pakai Buang), Tomok (Rindu Terhenti), Faizal Tahir (Bencinta), Stacy & Adam (Menggegar Dunia) dan Grey Sky Morning (Cinta Gila).

E'One atau Mohd Syazwan Roslan dan bekas peserta Bintang RTM 2004, Eyeja Arshad bertindak sebagai pengacara. - BERITA HARIAN.

ALYAH YANG PALING GAH


KUALA LUMPUR 30 Mei – Menepati jangkaan ramai, lagu Tak Mungkin Kerana Sayang nyanyian Alyah mengungguli Anugerah Lagu Terbaik pada pertandingan Malam Kemuncak Gah 1 Akhir malam ini.

Pertandingan akhir yang diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya dan disiarkan secara langsung menerusi TV2 itu menyaksikan Alyah membawa pulang wang tunai RM40,000.

Alyah yang memberikan persembahan yang sungguh menarik menerusi lagunya turut melayakkannya mendapat anugerah Persembahan Terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000.

Lagu Tak Mungkin Kerana Sayang merupakan ciptaan Ajai dan liriknya ditulis oleh Habsah Hassan.

Pertandingan yang sebelum ini dikenali sebagai Hits 1 ini turut menyaksikan lagu Cinta Adam dan Hawa ciptaan Azmir dan Lolok dendangan Erni yang menggantikan Misha Omar meraih Lagu Tempat Kedua lalu membawa pulang wang tunai RM30,000.

Pertandingan yang menyerahkan penonton untuk mengadili menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu anugerah Lagu Paling Popular Pilihan SMS diungguli oleh 6ixth Sense yang membawakan lagu Khatimah Cinta dan menerima wang tunai RM20,000.

Lagu-lagu lain yang dipertandingkan pada pertandingan Malam Kemuncak Gah 1 Akhir ialah Rawan (Azharina Azhar), Pakai Buang (Stacy), Rindu Terhenti (Tomok), Bencinta (Faizal Tahir), Menggegar Dunia (Stacy dan Adam) dan Cinta Gila (Grey Sky Morning).

Barisan juri terdiri daripada Datuk Johari Salleh, Datuk David Arumugam, Prof. Madya Khairil Johari Johar, Adnan Abu Hassan dan Razlan Razak.

Pertandingan yang diacarakan oleh E’one dan Eyeja Arshad turut diserikan dengan persembahan beberapa artis popular.

Antaranya ialah Sarah Raisuddin, Nubhan, One Nation Emcees, Kumpulan Kristal dan Kumpulan Aisunam menggegarkan pentas Malam Kemuncak Gah 1 Akhir itu. - UTUSAN.

MENTERI GAY LETAK JAWATAN


LONDON 30 Mei - Menteri Perbendaharaan Britain, David Laws yang merupakan arkitek utama dalam rancangan untuk mengurangkan defisit bajet meletakkan jawatan semalam, selepas akhbar mendedahkan beliau membuat tuntutan perbelanjaan yang menyalahi peraturan Parlimen.

Anggota parti Liberal Demokrat itu mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan serta-merta sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, peranan yang dipegangnya tidak sampai sebulan.

Beliau akan digantikan oleh Danny Alexander, juga daripada Liberal Demokrat.

Peletakan jawatan itu memberi tamparan besar pertama kepada kerajaan campuran baru Perdana Menteri, David Cameron yang telah berjanji untuk bertindak tegas terhadap ahli Parlimen yang menyalahgunakan hak menuntut perbelanjaan.

Ratusan anggota Parlimen terdahulu telah menuntut perbelanjaan bagi rumah mewah, membeli baja najis kuda dan pelbagai tuntutan lain yang tidak sepatutnya .

Laws berjanji untuk membayar balik wang tersebut yang dilaporkan berjumlah 40,000 pound (RM185,030).

Menurut akhbar Daily Telegraph, Laws menuntut balik perbelanjaan sehingga 950 pound (RM4,394) sebulan antara 2004 hingga 2007 untuk menyewa bilik di dua kediaman milik pasangannya, James Lundie.

Peraturan Parlimen melarang ahli dewan daripada menyewa penginapan daripada suami atau isteri, ahli keluarga atau 'pasangan' sejak 2006.

Kelmarin, Laws menjelaskan beliau tidak berniat untuk mengaut untung daripada tuntutan itu, sebaliknya motif beliau adalah untuk melindungi kehidupan peribadi beliau bersama Lundie di samping merahsiakan keseksualan beliau sebagai seorang homoseks.

Laws berkata, beliau tidak dapat lagi meneruskan tugasnya berikutan pendedahan yang 'menyusahkan hati' itu. - AP/UTUSAN.

(Renungan Rimau : Dua perkara. Jangan buat perkara yang luar biasa. Umpama sepatutnya di hadapan tetapi buat kerja di belakang. Kedua ialah jangan menipu kerana satu hari orang pun tahu. Jika sudah mati, anak cucu pula yang pening kepala.)

Saturday, May 29, 2010

WUJUD PELUANG, BN MENANG

Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, berpendapat peluang untuk BN memenangi hati orang Cina masih ada tetapi pemimpin BN perlu rajin 'cari jalan'.

Antaranya ialah mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk membolehkan mereka membuat keuntungan. TDM berkata demikian dalam satu majlis hari imi.

Betul juga tu.

BN kena cepatlah wujudkan peluang perniagaan. Peluang sini, peluang sana macam doulu-doulu,

Tentu orang Cina akan menyokong BN.

Jangan beri bantuan je. Nanti macam orang Sibu cakap, 'ingat kita ni pengemis ka'.

Thursday, May 27, 2010

KENYATAAN SERIUS, KATA KHAIRY

KUALA LUMPUR 26 Mei - Pemuda UMNO memandang serius kenyataan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan bahawa parti itu tidak akan teragak-agak mengkaji semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya UMNO terlibat dengan penganjuran Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah menghubungi Mohan bagi meminta MIC menghentikan tuduhan-tuduhan liar kononnya UMNO menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu melalui GAS.

"Saya juga menegaskan kepada beliau (Mohan) bahawa kenyataannya yang berbaur ugutan untuk keluar daripada BN adalah tidak wajar sama sekali.

"Sebaliknya, parti-parti komponen sepatutnya mengukuhkan lagi hubungan sesama sendiri menjelang Pilihan Raya Umum ke-13," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mohan itu yang dibuat selepas bekas Timbalan Ketua Pemudanya, V. Mugilan dilaporkan akan membawa 7,000 ahli GAS pada majlis perhimpunan dan pelancaran pertubuhan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad ini.

Khairy dalam pada itu turut menegaskan, UMNO tidak terbabit sama sekali dalam kemelut MIC seperti yang dituduh oleh beberapa pemimpin parti tersebut.

Anak Samy Vellu, S. Vell Paari sebelum ini menuduh UMNO menjadi dalang kepada masalah yang wujud dalam MIC dan melakukan 'pembunuhan politik' terhadap parti itu bagi memecah- belahkan BN.

"Sekiranya MIC mempunyai sebarang krisis dalaman, maka, ia merupakan masalah yang perlu cepat diselesaikan sendiri oleh MIC, supaya kita dapat bersama-sama mengukuhkan BN," katanya. - UTUSAN

Wednesday, May 26, 2010

JANGAN BUAT KENYATAAN KURANG CERDIK

KUALA LUMPUR 25 Mei – Ketua Pemuda MIC, T. Mohan hari ini menegaskan, parti itu tidak akan teragak-agak mengkaji semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terlibat dalam penganjuran dan pembentukan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) pada Ahad ini.

Sambil menyifatkan tindakan penganjuran berkenaan tidak wajar memandangkan Datuk Seri S. Samy Vellu adalah Presiden MIC yang dipilih secara sah oleh perwakilan, beliau menggesa UMNO menjelaskan tujuan penyewaan sebuah dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari berkenaan.

Menurut Mohan, beliau curiga tempahan oleh UMNO itu dibuat bagi menganjurkan perhimpunan dan pelancaran GAS bagi mendesak pemimpin tersebut meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC lebih awal daripada perancangannya.

‘‘Apabila saya telefon PWTC pagi tadi, memang ada tempahan dewan dibuat oleh UMNO tanpa menyatakan siapa yang membuat tempahan serta untuk apa tempahan itu dilakukan.

‘‘Kami (Pemuda MIC) memang kecewa dengan perkembangan ini sekiranya ia dilakukan bagi menyokong sebuah pertubuhan haram, GAS,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum mempengerusikan mesyuarat tergempar Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan di sini hari ini.

Mohan mengulas kenyataan bekas timbalannya, V. Mugilan yang dilaporkan akan membawa 7,000 ahli GAS pada majlis perhimpunan dan pelancaran pertubuhan itu di PWTC Ahad ini.

Selain Mugilan, dua ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan KP Samy turut dipecat daripada parti itu semalam kerana turut mendesak Samy Vellu berundur.

Berikutan desakan-desakan berkenaan, anak Samy Vellu, S. Vell Paari yang juga ahli CWC MIC dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today semalam mendakwa UMNO kini melakukan ‘pembunuhan politik’ terhadap ayahnya dengan turut terlibat dalam penubuhan GAS.

Dalam perkembangan sama, Mohan turut meminta polis supaya tidak mengeluarkan permit bagi membenarkan perhimpunan dan pelancaran GAS.

Katanya, perhimpunan pertubuhan tidak berdaftar itu berupaya memberi implikasi keselamatan kepada orang awam di sekeliling kawasan tersebut.

‘‘Jika mereka kata ada 7,000 ahli serta bekas ahli parti mendesak Datuk Seri (Samy) meletakkan jawatan, saya akan bawa 14,000 ahli Pemuda MIC yang menyokong beliau (Samy Vellu) tetapi mampukah polis jamin soal keselamatan di sekeliling?

‘‘Lagipun polis pernah membatalkan perhimpunan Hindraf pada 2008 lalu yang memperjuangkan nasib komuniti India sedangkan GAS hanya bercakap mengenai seorang individu (Samy Vellu) jadi saya harap tidak ada double standard dalam hal ini,” katanya. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Saya menunggu reaksi daripada pemimpin Pemuda UMNO atau anak jantan daripada Pemuda UMNO. Dulu Kumpulan Halia....kini kumpulan apa?)

Tuesday, May 25, 2010

BAPA BOREK ANAK RINTIK

Posting Kedua - 8.30 malam

Tuduhan anak Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu, S.Vell Paari, yang mendakwa Umno menjadi punca kepada masalah dalam MIC, sebagai sesuatu yang biadab.

Timbalan Presiden Umno , Tan Seri Muhyiddin Yasin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu, meminta Vell Paari supaya tidak membuat tuduhan melulu terutamanya terhadap kepimpinan Umno.

Tan Sri Muhyiddin meminta Datuk Seri Samy menasihatkan anaknya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan sensitiviti parti-parti komponen BN yang lain.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN menghadiri majlis ramah mesra dengan guru-guru daerah Muar dan Ledang di Kompleks Sukan Pagoh, Johor .

Menurut Tan Sri Muhyiddin, beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan kenyataan yang mahu melihat kemelut dalaman MIC itu diselesaikan dengan secepat mungkin.

Bagaimanapun, katanya, sebarang penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku dalam parti itu mestilah berdasarkan kepada dasar keadilan dan ketelusan. - Berita Nasional jam 8 RTM.

Posting Asal - 10.58 pagi

(Gambar/grafik AgendaDaily)

KUALA LUMPUR 24 Mei - S. Vell Paari yang merupakan anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menuduh UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' (political assassin) untuk memecahbelahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Sambil merujuk kepada desas-desus mengenai kewujudan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) mendapat restu daripada pemimpin tertinggi UMNO, Vell Paari yang juga Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC menyelar UMNO kerana memulakan satu tindakan yang berbahaya.

''Adalah sesuatu yang berbahaya jika 'orang luar' terlibat (dalam urusan parti komponen). Lupakan dahulu bahawa bapa saya adalah Presiden MIC dan lihat isu ini dari perspektif demokrasi. Beliau dipilih oleh ketua-ketua bahagian.

''Jadi, apabila ada pemimpin yang tidak setuju dengan kuasa yang diberikan itu, adakah mereka menggunakan 'pembunuh politik' untuk menjatuhkan beliau?

''Apabila anda tidak gembira (dengan keadaan itu) anda gunakan orang dalam parti untuk melakukan perkara itu. Ia melemahkan asas demokrasi dan semangat BN serta keputusan ahli-ahli parti berhubung pemimpin yang mereka pilih,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today di sini hari ini.

Pada minggu lepas, bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan menubuhkan GAS yang akan dilancarkan pada 30 Mei ini selepas dipecat daripada parti berikutan desakannya supaya Samy Vellu segera berundur.

Pelancaran GAS dijangka dihadiri kira-kira 7,000 orang yang mempunyai hasrat sama mendesak Presiden MIC itu segera meletak jawatan.

Vell Paari turut mempersoalkan adakah benar tindakan masyarakat Cina dan India tidak memilih BN dalam pilihan raya umum lalu disebabkan kepimpinan MIC dan MCA.

''Ia tiada kena-mengena dengan soal kepimpinan dua parti ini (MIC dan MCA). Ketidaksamarataan yang berlaku hari ini merupakan penyebab kepada perkara itu,'' katanya.

Dengan menggunakan metafora BN sebagai sebuah bas, Vell Paari berkata, parti-parti komponen hanya penumpang dalam bas yang dipandu oleh UMNO itu.

''Parti-parti komponen hanya penumpang. Bas itu dipandu oleh UMNO,'' katanya yang membayangkan tindak-tanduk dan polisi UMNO menjadi punca masalah berkenaan.

Beliau turut mendakwa antara sebab utama BN kehilangan undi kaum India pada pilihan raya umum lepas adalah berikutan tindakan meruntuh kuil, isu menarik kembali lesen pengedar besi buruk dan penahanan pemimpin Hindraf.

Menurutnya, semua perkara itu bukan dilakukan oleh bapanya, namun Presiden MIC tersebut dipersalahkan atas kehilangan sokongan kaum India untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar.

Beliau menyeru semua ahli MIC dan masyarakat India supaya 'membuka mata' mereka terhadap perkara berkenaan kerana jika dibiarkan pada masa hadapan pemimpin parti-parti komponen akan menjadi 'kad menu' UMNO yang akan menentukan siapa yang patut menjadi presiden, timbalan presiden dan sebagainya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Timbalan Presiden, G. Palanivel akan mengambil alih jawatan presiden daripada Samy Vellu apabila bapanya meletak jawatan nanti. - UTUSAN.

(Renungan Rimau : Jangan salah faham dengan tajuk. Apa yang saya maksudkan bahawa jika bapa seorang ahli politik, kini anaknya pun hendak menjadi ahli politik sehebat bapanya. Tetapi hendak menjadi ahli politik kenalah berhati-hati dan jangan cakap sembarangan. Jangan tuduh menuduh. Tidak baik. Takut-takut ada orang kecil hati. Ada pula yang tersinggung nanti. Hati mau baik beb.)

Monday, May 24, 2010

MELAYU SOKONG PARTI PERKAUMAN DAP?

DIY membaca tulisan terbaru Big Dog dengan hati yang terbuka.

Bagi Big Dog, artikel dalam akhbar Sunday Star semalam bahawa bilangan pengundi Melayu yang menyokong BN kini berkurangan berbeza dengan pandangan sesetengah pihak sebelum ini. Betul ke? Bagi Big Dog tulisan Joceline Tan itu mempunyai agenda menidakkan peralihan besar pengundi Melayu kepada BN.

Bagi DIY, pada hari pengundi di mana akhbar The Star menggunakan gambar gadis Melayu bertudung memegang poster roket, ketika itu tertanya dalam hati apakah tujuan akhbar milik MCA itu yang sepatutnya membantu BN dalam memenangi Parlimen Sibu.

Apakah tujuan menyiarkan gambar gadis bertudung memegang poster DAP? Apakah The Star ingin menunjukkan bahawa DAP yang selama ini gemar memainkan sentimen perkauman sudah mendapat sokongan orang Melayu? Setidak-tidaknya gadis bertudung dalam gambar itu sudah berhijrah menyokong DAP. Hantam sajalah labu...

Umum tahu, The Star yang dimiliki oleh MCA sepatutnya membantu BN termasuk menyiarkan berita segala jenis bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada penduduk di Sibu terutama golongan peniaga yang kebanyakan kaum Cina.

Namun, apabila The Star membuat keputusan untuk menyiarkan gambar gadis bertudung memegang poster roket, sudah tentu akan menimbulkan rasa kurang senang pihak tertentu. Mungkin The Star ingin menunjukkan mereka bersikap 'neutral' atau berkecuali sedangkan orang kampung sudah tahu mereka dimiliki oleh MCA, salah satu komponen utama BN. Atau akhbar itu dimiliki oleh MCA tetapi yang mengendalikannya mempunyai fahaman lain. Mahu dilihat 'neutral' dan berkecuali. Hantam sajalah labu....

Sunday, May 23, 2010

CALON TERBAIK TERAJUI SIME DARY?

Baru-baru ini, DIY turut dijemput bersama beberapa blogawan terkemuka mendengar penerangan daripada Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam mengenai kemelut yang dihadapi konglomerat itu. Pelbagai 'cerita dalam' dipaparkan termasuklah peranan Lembaga Pengarah untuk memastikan SB tidak terus kecundang, terlentang dan merugikan pelabur.

Kini, SB diterajui sementara oleh Datuk Azhar yang turut bertanggungjawab untuk memantau perjalanan operasi perladangan syarikat besar itu. TMH turut mengumumkan SB sedang mencari mereka yang layak untuk menerajui SB menggantikan DS Zubir yang diminta untuk bercuti. Cuti rehat?. Proses itu akan berjalan dan kemungkinan akan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Persoalannya, siapa dan apakah ciri-ciri terbaik calon untuk menerajui SB?

1. Warga tempatan yang bijak, jujur dan budiman.
2. Warga tempatan yang bijak, berwibawa dan tidak takut dengan sebarang tekanan.
3. Warga tempatan yang mengamalkan prinsip 'berani kerana benar'.
4. Warga tempatan yang sentiasa bercakap benar walaupun beliau terpaksa melepaskan jawatan. Gaji sudah tentu banyak dan mungkin lebih banyak daripada Menteri Kabinet.
5. Warga tempatan yang tidak takut sesiapa kecuali tuhan.
6. Warga tempatan yang mempunyai 'wisdom' dan selalu memikirkan kepentingan negara.
7. Warga asing yang bijak mengendalikan syarikat antarabangsa.
8. Warga asing yang memahami perjalanan politik dan perniagaan di negara ini.
9. Warga asing yang mempunyai perniagaan di negara ini.
10. Warga asing yang tidak akan mendengar pandangan ahli politik di negara ini semata-mata hanya memikirkan keuntungan syarikat.
11. Warga asing yang mahu gajinya besar tetapi berjanji akan memastikan SB tidak akan mengalami masalah dan menjadi muflis.
12. Warga asing yang rapat dengan kerajaan sekarang.
13. Calon yang anda fikir?

Saturday, May 22, 2010

HARI KELUARGA PEMASARAN RTM

DIY kini berada di Sunway Lagoon bersama dengan ahli keluarga Bahagian Pemasaran RTM daripada pelbagai bangsa yang mengadakan Hari Keluarga mereka.

Suasana gamat di mana setiap anggota keluarga mengambil bahagian dalam Sukan Air yang diadakan bagi merebut pelbagai hadiah yang disediakan. Mereka mengambil bahagian secara sporting dengan saling bantu membantu antara satu sama lain.

Ini mengingatkan DIY ketika menganjurkan Hari Keluarga Berita Harian pertama di Subang yang mendapat sambutan di luar dugaan. DIY, Mahfar Ali dan Nazar Abdul bekerja kuat untuk merealisasikan hasrat murni itu. Apatah lagi ia mendapat restu dan sokongan Datuk AKJ. Walaupun pada mulanya, usaha itu ditentang terutama dengan kutipan RM5 tetapi akhirnya semuanya pulang dengan senyuman kerana mendapat pelbagai hadiah melebihi RM300. Lebih banyak pulangan daripada pelaburan mereka.

Sebenarnya hari keluarga organisasi ini perlu diadakan setiap tahun bagi merapatkan hubungan antara petugas dan keluarga mereka. Suasana muram dan masam tidak akan mewujudkan produktiviti dan kreativiti. Mereka perlu menggalakkan sikap proaktif dan hubungan mesra antara petugas menerusi suasana mesra ini.

OLeh itu, semua organisasi terutama yang mempunyai petugas berbilang kaum perlu mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan merapatkan hubungan petugas setidak-tidaknya dua kali setahun bagi 'meredakan keadaan' yang tegang. Mendekatkan yang jauh dan merapatkan lagi yang renggang.

Ketika majlis Hari Keluargalah kita akan dapat melihat 'keadaan sebenar' seseorang individu sama ada seorang yang suka bekerja sebagai 'satu pasukan' atau mereka yang hanya memikirkan diri mereka sendiri. Ini secara langsung mendidik mereka untuk menjadi 'ahli pasukan' yang mantap dan sedia bekerjasama dalam apa keadaan sekalipun.

Dalam pada itu, DIY berdoa agar Hari Keluarga Pemasaran ini akan membawa banyak rahmat dan berkat. Semoga usaha Sdr Roffee dan barisan pengurusannya akan mendapat pelbagai pengalaman. Bolehlah anjurkan Hari Keluarga RTM pada masa akan datang.

Monday, May 17, 2010

TAHNIAH DRH, 2 Z DAN KU KAMAL

Hari ini, tiga rakan DIY termasuk yang dikenali sejak 1980an menerima anugerah DIMP yang membawa gelaran Dato' daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairong Seri, Pekan, Pahang.

Mereka ialah Zulkifli Mahmud dari Maltrade, Zaini Hassan (Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia) dan Ku Kamal yang kini menyandang Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pertahanan. Tahniah dan nampak hebat dengan tanjak Pahang.

DIY yang mengiringi DRH menerima DIMP, berpeluang bertegur sapa dengan Pengarah Urusan London Biscuit, Puan Liew yang bergelar Dato' mulai hari ini. Sempat juga meminta beliau yang menikmati jamuan semeja dengan DIY mengiklankan produk di RTM.

Dalam pada itu, ada juga Dato' baru yang berperangai macam budak-budak kerana memotong barisan untuk mengambil gambar di hadapan singgahsana. Mengapa berperangai begitu? Tidak elok kerana kita perlu berperangai dengan baik apatah lagi sudah menjadi 'orang bergelar'.

Beliau yang berdiri di belakang DIY dan DRH terus meluru ke hadapan untuk mengambil gambar dahulu. Potong 'Q'. Jurugambar yang berada di situ pun terkejut dan tersenyum. Memalukan dan perlu pergi kelas protokol, 'sopan santun' atau kelas sivik sebelum menerima anugerah.

Sunday, May 16, 2010

BUATLAH PILIHAN BIJAK DAN TERBAIK

Tiada yang lebih menggembirakan bagi Perdana Menteri selain kemenangan calon BN. Robert Lau malam ini. Apakan tidaknya keputusan itu secara tidak langsung menguji sokongan masyarakat Cina kepada kepemimpinannya. Walaupun ia bukan gambaran sebenar tetapi keputusan berkenaan sedikit sebanyak 'memperlihatkan' sesuatu nada. Jika dulu di Hulu Selangor, kini di Sibu, Sarawak yang menyaksikan pengundi Cina melebihi 60 peratus. Selebihnya pengundi Bumiputera/Iban dan Melayu/Melanau.

Sejak penamaan calon pada 8 Mei, BN dan DAP memberi tumpuan ke kawasan Cina dengan mengadakan pertemuan kecil dan ceramah besar yang menarik bakal pengundi dan golongan atas pagar. BN menumpukan topik pembangunan yang berterusan dan 'track record' cemerlang manakala DAP mengajak pengundi membuat perubahan. Berubah untuk apa dan siapa? Untuk clan tertentu?

Tidak hairanlah Taman Rejang sering menerima kunjungan pemimpin kedua-dua parti bertanding termasuk perhimpunan besar-besaran yang turut dihadiri oleh PM dan isteri serta calon BN malam tadi. DAP juga mengadakan perhimpunan besar untuk memberitahu pengundi mereka seharusnya diberikan peluang. Untuk siapa dan mengapa? Sesetengah peniaga Sibu tahu akan jawapannya. Bukan rahsia lagi.

Dalam pada itu, kedua-dua pihak juga memberikan tumpuan ke kawasan rumah panjang untuk 'memikat' hati pengundi masyarakat iban. Ada yang menjadi dan tidak kurangnya menjadi satu tragedi. BN mempunyai kelebihan kerana mereka membantu bukan saja ketika PRK P212 tetapi berterusan sejak sekian lama. Bagi pembangkang pula ada kejadian mereka dilayan sambil lewa kerana tersalah 'masuk lubuk' dan membawa isu yang tidak relevan. Tidak sesuai dan merepek, bagi sesetengah pihak.

Bagi pengundi Melayu/Melanau sokongan mereka amat jelas daripada pemasangan poster dan pemidang BN di rumah-rumah dan kedai runcit. Ini pemerhatian di lokasi. Ada juga usaha PAS menerusi kegiatan ahlinya untuk 'berdampingan' dengan tuan rumah termasuk tinggal dengan mereka kerana tidak berjaya menempah hotel. Dah penuh..uhh..uhhh...uuuh....sedih. Hantam sajalah labu.....

Apapun, bagi yang datang bertandang termasuk penyangak dan tukang karut, sudah pasti banyak peristiwa dan kejadian menarik dilalui. Pemilik Rafie Cafe, Nur Islamic Centre, Restoran Kasturi dan Sri Meranti, mereka ketawa menuju ke bank dan berharap lebih PRK akan membawa rezeki. Begitu juga pemilik hotel dan peniaga di pasar.

Pagi ini, maka keluarlah beramai-ramai pengundi Sibu untuk memilih Ahli Parlimen mereka. Selamat mengundi. Perlu menjadi bukan satu tragedi.

Saturday, May 15, 2010

CERITA JUJUR TAPI SEDIH

Anak tok aseh beli bubur
Ambil keladi rumah borhan
Cerita sedih tetapi jujur
Akan jadi bahan belasahan

Campur keladi sama ubi
Potong kasar biar berlada
Apa dah jadi dengan Sime Darby
Berniaga besar duit tiada

Ayam merah potong berketul
Nasi ditanak bawa ke Bertam
Siapa salah siapa betul
Tanyalah anak pak hitam

Daun kunyit kecil disisih
Dalam balang ambil ragi
Kali ini biarlah bersih
Agar pemegang saham tidak rugi

Selepas makan rihat badan
Penah lelah akan terlerai
Bagi peluang baiki keadaan
Lebih baik daripada terburai

Wednesday, May 12, 2010

DR RAIS KERJA KUAT DI SIBU

Dr Rais menemui pengundi di Taman Rejang, Sibu, semalam.

Jika ada orang menuduh kerajaan BN banyak memberi bantuan terutama ketika PRK, DSU Dr Rais Yatim ada jawapannya. "Mengapa tidak?" katanya. Bagi beliau, kerajaan sejak dari dulu lagi memberi bantuan kepada rakyat dan ketika PRK ia adalah proses bantuan berterusan. Apa yang pelik?

Tidak hairanlah bantuan yang diberikan dalam bentuk program naik taraf jalan raya, pemberian komputer untuk sekolah, pembentongan bagi mengelakkan banjir, klinik 1Malaysia dan banyak lagi yang selama ini dapat membantu rakyat jelata. Persoalan Dr Rais pula ialah apa yang diberikan oleh pembangkang. Janji kosong dan kata nista?

Bagi orang yang ada ilmu pengetahuan dalam perundangan ini yakin bahawa perundangan negara membenarkan kerajaan membantu rakyat pada bila-bila masa tidak kira masa PRK. Yang penting bantuan itu benar-benar ikhlas dan berterusan bukannya sekadar ketika pilihan raya yang 'dijanji' oleh sesetengah pihak. Janji bulan dan bintang.

Oleh itu, pengundi Sibu sudah pasti akan mengetahui siapakah calon yang terbaik untuk mewakili mereka terutama memastikan semua yang dirancang oleh Kerajaan Pusat dan Negeri dapat diteruskan. Tidak guna bantuan itu terberhenti di tengah jalan kerana tindakan 'menghalang' pihak tertentu kerana mereka memenangi PRK kali ini.

Minta dijauhkan kerana tindakan mereka yang gemar menimbulkan perasaan sakit hati masyarakat tertentu. Umpamanya tulisan di pemidang DAP "No to Taib" yang memaparkan bahawa mereka mengambil kesempatan PRK ini untuk meminta masyarakat Cina menolak TS Taib yang telah banyak berjasa kepada rakyat di Negeri Kenyalang itu.

Dalam pada itu, DSU Dr Rais mempunyai banyak program di Sibu termasuk menghadiri Majlis Pelancaran RTM Menerusi Satelit di pedalaman Sabah dan Sarawak pada malam ini.

Pelancaran RMS adalah satu lagi detik permulaan baru bagi perkembangan telekomunikasi dan saluran maklumat di negara ini. Sesungguhnya RTM MENERUSI SATELIT (RMS) ke pedalaman adalah titik sentuhan sebenar pelaksanaan gagasan 1Malaysia.

Rakyat tidak kira golongan mendapat manfaat secara keseluruhan daripada kemakmuran negara terutama memperolehi maklumat terkini.

Menerusi Satelit ini, RTM akan menjadi pemangkin kepada pengembangan pemikiran masyarakat yang kreatif dan inovatif. Secara tidak langsung akan mengubah cara hidup rakyat dengan penyebaran maklumat dan pengetahuan yang lebih meluas kepada masyarakat.

Pemancaran menerusi satelit lebih praktikal berbanding penambahan menara transmisi baru dimana hampir 90 juta ringgit dapat dijimatkan. Ini bagi memastikan isyarat yang jelas dapat diterima dikaca televisyen penduduk Sarawak.

Dalam pada itu, Perkhidmatan dan liputan satelit serta jalur lebar yang disediakan tidak akan bermakna jika tiada peralatan dan kemudahan untuk menggunakannya.

Justeru usaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) ini akan disokong oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk membekalkan dekoder ke seluruh kawasan pedalaman Sarawak.

Seribu unit bakal diagihkan kepada pelajar, pertubuhan bukan kerajaan NGO, pemimpin dan penduduk rumah panjang menerusi Program Komputer 1 Malaysia bagi merealisasikan insiatif tersebut.

Ini sejajar hasrat KPKK meluaskan kemudahan jalur lebar, khusus kepada masyarakat luar bandar. Dimensi baru dunia teknologi maklumat negara bermula Mac lalu dengan pelancaran perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi HSBB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan matlamat merubah Malaysia daripada negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi.

Enam inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan N-B-I dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi - HSBB diperkenalkan.

Antara yang menjadi kenyataan, mewujudkan pusat jalur lebar komuniti PJK yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar ke rumah kepada 614 ribu orang di 246 lokasi melibatkan kos RM60 juta.

Kedua, penubuhan pusat internet rakyat di 138 premis Jabatan Penerangan yang memberi liputan jalur lebar kepada 400 ribu pengguna.

Ketiga, e kiosk di pusat kemasyarakatan dan pejabat di seribu 105 mukim bernilai RM40 juta.

Keempat liputan selular awam di mana 873 menara telekomunikasi baru akan dibina termasuk 278 menara di Sabah dan Sarawak.

Kelima RM1 billion daripada dana khidmat sejagat atau UPS, dengan persetujuan penyedia perkhidmatan untuk mengagihkan komputer riba kepada pelajar yang kurang mampu di seluruh negara.

Keenam, memperkenalkan pakej jalur lebar berserta netbook oleh Telekom Malaysia dengan bayaran dikurangkan daripada RM50 kepada RM38. Bagi kawasan USP, bayarannya ialah hanya RM20.

Monday, May 10, 2010

JOM JANGAN DENGAR CAKAP PENYANGAK

(Malaysia Bagus, 1Malaysia dan 1Malaysia)

SIBU : Masih belum panas. Malam tadi merayau-rayau di Pekan Sibu dan beberapa kawasan Melayu/Melanau di DUN Nangka yang memperlihatkan ceramah kecil-kecilan. DAP di Rajang Park, Pekan Sibu manakala PBB di beberapa tempat termasuk di Kampung Datuk. Mengikut kawan begitulah caranya di sini. Tidak kecoh dan tiada penyangak.

Poster pun masih kurang. Kain pemidang di pekan banyak 'dikuasai' oleh DAP. Parti itu mengajak orang Sibu untuk berubah. Mereka kata 'Jom Ubah' dan 'Change'. Ho Leng mahu minta orang Sibu berubah dan tukar. Nak tukar apa? Nak tukar daripada ada pembangunan kepada 'omong-omong kosong'. Janji kosong yang melambung-lambung. Jatuh terduduk. Hantam sajalah labu.

Mungkin PRK di sini tidak perlu banyak poster. Tidak perlu banyak pemidang. Terutama yang mengarut dan caci mencaci. Pemidang yang ikut perasaan tetapi tidak mendatangkan apa-apa faedah dan manfaat. Kata-kata hebat tetapi tiada makna.

Ini pertarungan antara calon BN, DAP dan Bebas. Orang lain tidak payah masuk campur. Tidak payah hantar penyangak untuk membuat kacau. Tidak perlu import penceramah yang suka membelasah pemimpin kerajaan. Adakalanya membuat tuduhan yang tidak berasas dan membawa cerita-cerita mengarut. Ramai tukang karut. Tukang karut politik.

Tetapi ejen kenit memberitahu DT, PAS turut menghantar lebih kurang 300 orang yang kini berkampung di Hotel Paramount. Wah, banyak duit bawa orang duduk di hotel. Mungkin lebih baik daripada berkampung di masjid seperti yang dilakukan di PRK Hulu Selangor. Berkampung itu termasuk tidur, guna tandas dan bersepah-sepah. Tidak elok untuk imej Islam yang seharusnya memartabatkan masjid. Bukan untuk tidur apatah lagi menggunakannya untuk 'membelasah' orang lain. Sultan pun sudah bertitah. Ikut perintah sajalah. Bukan menderhaka dan perangai macam si Kitol.

Pagi pusing-pusing di pasar. Keadaan aman dengan penjual sibuk memanggil pembeli. Jika semalam hari Ahad ramai orang, pagi ini kurang sikit. Hari minggu biasanya ramai orang dari kawasan pedalaman datang ke Pekan Sibu.

Mereka datang pagi dengan pelbagai cara termasuk bot dan van. Mereka pulang selepas makan tengahari atau pekena kopi atau minuman lain yang menyegarkan. Bagi yang letih, adalah tempat urut kaki. Urut untuk membolehkan urat kaki berjalan lancar. Urat kaki saja tauu.

(Renungan Rimau : Dapat SMS dari kawan lama yang berbunyi : "Nak tahu kenapa Sultan Selangor betul dan titah baginda wajib dituruti? Mudah saja...Tak payah belajar agama tinggi pun boleh faham...Rasulullah SAW berpolitik demi Islam tetapi PAS menggunakan Islam demi politik. PAS berlawanan dengan ajaran Rasulullah..Tu pasal tak boleh berceramah di masjid......)

Sunday, May 9, 2010

TIDAK PAYAH MENYIBUK DI SIBU


SIBU : Sampai semalam, sejurus selepas habis penamaan calon yang menyaksikan tiga orang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil P212 Sibu. Cuaca panas, tidak sepanas bahang PRK yang dilihat di sini masih lagi berjalan perlahan. Mungkin ada orang belum sampai.

Apapun, bandar Sibu aman dan masyarakat menjalankan tugas serta kerja masing-masing tanpa menghiraukan adanya PRK. Tidak heboh-heboh untuk menghadiri ceramah dan sibuk memasang poster atau kain pemidang. Mungkin ada orang belum sampai.

Pagi ini, berjalan kaki sepanjang Sungai Rejang daripada hotel menyelusuri jalan-jalan kecil yang dipenuhi dengan orang ramai. Singgah di pasar dan bersarapan dengan kuih gulung dan peneram. Sedap apatah kena dengan milo panas. Masyarakat di sini menikmati sarapan pagi dan berbual-bual mengenai kehidupan harian. Ketawa kecil dan besar. Gembira. Tiada kecoh. Mungkin ada orang belum sampai.

Selepas minum pagi, pusing-pusing di tepi pasar dan melihat pelbagai barangan dijual. Macam pasar di Padang Besar sebelah Malaysia dengan pelbagai barangan sedia dijual. Ada pelbagai jenis buah-buahan termasuk dari luar negara termasuk anggur dan epal. Manusia pun, pelbagai jenis termasuk mereka yang bertatoo. Keadaan aman dan harmoni. Mungkin, penyangak belum sampai.

Hakikatnya, jika ada orang sampai dan membuat kecoh atau memberi ceramah yang bersifat perkauman, keamanan di Sibu tidak kekal seperti sediakala. Jika ada penyangak datang membawa satu semangat memaki hamun dan mencerca kerajaan, maka keadaan akan menjadi kecoh. Yang terpengaruh dengan ceramah akan melenting atau mula membenci kerajaan. Yang tidak, pasti akan merasakan bahawa golongan penyanggak mahu menghancurkan keharmonian di sini.

Oleh itu, tidak payahlah membawa ramai penceramah yang hanya tahu untuk membelasah orang lain tanpa mempedulikan kehidupan aman sentosa masyarakat Sibu. Mereka hendak berniaga dengan aman. Biarlah calon BN melawan calon DAP dan calon bebas. Tiada kena mengena dengan PR yang diketahui mempunyai ramai penceramah yang hanya tahu untuk membawa tajuk ceramah yang entah apa-apa termasuk menghina pemimpin tertentu.

Ketika petugas calon BN sedang membantu masyarakat Sibu untuk mengetahui kedudukan kawasan mengundi pada PRK di pasar Sibu, ada 'tiga mamat' yang memakai baju oren dan ada lambang parti-parti PR sibuk mengambil gambar dan mengelilingi tempat itu. Nampak resah dan tidak tentu arah. Entah apa yang ingin dibuat tidak tahu. Kemudian mereka hilang dan datang semula dengan risalah berwarna hitam. Terus ambil gambar dan memerhati sepertilah mereka mahu mencari kesalahan.

Tidak payahlah datang, mereka yang tidak berkenaan. Orang Sibu tahu siapakah calon yang mereka mahu pilih. Orang lain tidak perlu menyibuk dengan ceramah dan lontaran fitnah yang tidak akan menguntungkan negara ini. Jimatlah duit tambang dan habiskan masa dengan keluarga termasuk berkebun untuk mengeluarkan peluh. Penyangak tidak perlu sampai.

(Renungan Rimau : Ada cerita kelakar ketika pengumuman calon. Mula-mula jurugambar minta tiga calon angkat tangan. Calon Bebas angkat tangan tunjuk tanda 'bagus'. Calon BN dan DAP pula tunjuk angka satu melambangkan '1Malaysia'. Kemudian calon DAP yang mula-mula sokong 1Malaysia tukar fikiran, gosok hidung dan kemudian angkat tiga jari. Calon DAP minta wartawan jangan pakai gambar dia angkat jari satu angka. Hantam sajalah labu....)

Sunday, May 2, 2010

MESYUARAT DENGAN RAKAN INDONESIA

ANGKASAPURI : Hari ini, berlangsungnya mesyuarat dengan rakan-rakan dari Indonesia termasuk TVRI dan ANTARA di Wisma TV sebagai persediaan Mesyuarat JCICM antara Indonesia dan Malaysia di peringkat pegawai kanan (esok) dan peringkat Menteri pada Selasa.

Turut hadir di mesyuarat persediaan ini Ketua-ketua Pengarah agensi di bawah KPKK termasuklah Datuk Abdullah Morad (Jabatan Penerangan), Raja Rozaimie (Filem Negara) dan Hasnol (Bernama) serta pegawai kanan RTM.

Sudah pasti RTM akan mengemukakan pelbagai pandangan dan cadangan mengenai hubungan antara kedua-dua organisasi terutama dalam meningkatkan industri penyiaran di rantau ini. Antaranya ialah penerbitan dokumentari yang membabitkan seni budaya selain pertukaran berita serta rencana. Program Warta Serumpun boleh disiarkan semula dengan konsep yang lebih menyeluruh dan memperbanyakkan bahan berita kedua-dua negara.

Harap mendapat pelbagai kebaikan daripada mesyuarat pada hari ini.