Perutusan Hari Ibu 2013 : Warkah seorang Ummi
>> Sunday, May 12, 2013
Khusus buat Puan Acha Kusain, bonda kepada Allahyarham anakanda Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor / Cinang (mangsa rogol di Bukit Tinggi Klang)
Yang benar,
Ummi
Dr. Har
Read more...
Assalamualaikum wr wb
Dengan penuh rasa sayu dan hiba, saya dan keluarga merakamkan ucapan takziah kepada Puan Acha, Encik Mohd Noor Mustafa dan keluarga di atas pemergian anakanda tercinta Nur Amyliana Shuhada atau Cinang baru-baru ini.
Pemergian yang tidak disangka-sangka itu tentunya meninggalkan kesan yang amat mendalam dan pedih, yang sukar diubati. Hanya Allah SWT sahaja tempat kita semua mengadu dan bersandar, memohon kekuatan agar luka di hati dapat ditampung oleh keimanan yang mantap dan jitu.
Puan Acha,
Tidak ada apa yang mampu saya sumbangkan untuk mengubat pilu kehilangan anakanda tercinta, Cinang selain doa kudus seorang ibu yang dipanjatkan kepada Allah SWT, agar roh Cinang damai dan tenteram di sisi Allah SWT, sebaik-baik Penjaga dan Pelindungnya.
Sebagai seorang ibu yang mempunyai seorang puteri manja yang sama usia dengan Cinang dan juga pernah diuji Allah SWT dengan kehilangan cahaya mata yang pulang dahulu ke rahmatullah, saya benar-benar terkesan dengan berita menyayatkan hati ini.
Semoga tragedi yang menimpa Cinang tidak akan berulang lagi.
Jenayah keganasan seksual adalah petanda sebuah masyarakat yang semakin luntur nilai kemanusiaannya. Apatah lagi, mangsa yang terbabit adalah golongan kanak-kanak yang masih dalam tanggungan jagaan dan amanah kita semua.
Siapakah pemangsa jenayah seksual yang tidak berperikemanusiaan ini? Mengapa dan kenapakah mereka tergamak berkelakuan sedemikian kejam? Hilangkah kewarasan dan pertimbangan, ke manakah belas kasihan dan keprihatinan?
Siapakah pula ibu yang melahirkan mereka?
Saya berdoa kepada Allah SWT, semoga setiap ibu di Malaysia berusaha segigih-gigihnya mendidik setiap anak yang dilahirkannya untuk menjadi insan berguna yang bermanfaat kepada dirinya sendiri juga masyarakat, negara dan agama.
Doa saya juga agar tiada lagi ibu yang perlu melalui kepedihan yang sedang dilalui oleh Puan Acha sekeluarga. Juga tiada lagi ibu yang perlu menitiskan air mata ketika anaknya didapati bersalah oleh mahkamah sebagai pelaku jenayah seksual yang kejam.
Kepada semua kerajaan baru yang dibentuk selepas PRU13,
Saya merayu agar mereka memberikan keutamaan yang tinggi kepada aspek sosial masyarakat khususnya wanita dan kanak-kanak - agar kami merasa selamat dan sentosa berada di rumah, di tempat kerja dan di khalayak umum.
Kotakan segala akujanji dan manifesto yang telah ditaburkan semasa menagih undi kami. Kerana sesungguhnya, kami memerhati.....
Yang benar,
Ummi
Kemahiran Menangani Kepelbagaian : BERSETUJU UNTUK TIDAK BERSETUJU
>> Thursday, May 9, 2013
Pergeseran dan perselisihan pendapat sering berlaku dalam interaksi seharian manusia.Dengan akal fikiran kritis yang dikurniakan Allah SWT, manusia tidak mungkin mahu jadi Pak Turut sepanjang masa. Sudah menjadi adat dan fitrah, manusia mahu pandangannya didengari dan dihormati, pendapat dan cadangan mereka mendapat pertimbangan sewajarnya oleh orang lain.Perasaan mudah merasa kecewa sekiranya idea ditolak. Hati menjadi pedih luka terhiris bila ada bantahan dan bangkangan kepada apa yang di cadangkan.
Dek kerana tidak mahu terluka dan rasa dihina, ramai antara kita memilih untuk menurut sahaja, senang cerita! Sekalipun tidak bersetuju di dalam hati, wajah pura-pura menyimpulkan senyuman, kepala diangguk-angguk mengiyakan tanda setuju. Namun dihati, terpendam dendam kesumat yang membusuk. Kononnya mahu menjaga keharmonian dan tidak mahu menimbulkan kekusutan, tetapi akhirnya, perasaan negatif yang dipendamkan hanya akan mencetuskan tindakan negatif pula pada satu ketikakelak. Memilih untuk mendiamkan diri dari meluahkan ketidakpuasan hati ,bimbang nanti pihak yang satu lagi akan berkecil hati dengan tindakan kitamenzahirkan rasa, menandakan hubungan silaturrahim yang belum mantap tahap ukhuwwahnya. Menghindari konflik secara inidikatakan manifestasi sebuah hubungan komunikasi yang kurang sejahtera atau dysfunctional.
Alangkahbaiknya sekiranya kita berani menyuarakan pandangan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Sekiranya ada tentangan dari pihak yang kurang bersetuju, berikanlah laluan sepenuhnya untuk mereka menyatakan pandangan, kerisauan dan kekaburan yang mencetuskan pilihan mereka untuk tidak bersetuju dengan cadangan kita itu.Kemudian, dengan penuh keikhlasan, perjelaskan mana yang masih belum berapa jelas. Sekiranya masih tidak bersetuju, inilah saatnya kita perlu mengambilsikap berlapang dada dan bersetuju untuk tidak bersetuju. Tiada gunanya kita memaksa orang lain menerima pakai segala cadangan dan kehendak kita,seolah-olah pandangan kita sahajalah yang benar dan patut dilaksanakan. Masakan mungkin seorang manusia biasa yang penuh kelemahan ini mendabik dada,mengatakan hanya dia seorang yang serba arif, paling tahu dan mampu dalam segala urusan. Apa yang menyedihkan, perpecahan dan keretakan semakin ketara,sehingga wujud beberapa kumpulan yang saling bercakaran. Komuniti terbahagi kepada beberapa kem – berlaku tarik-menarik antara ahli masyarakat untuk mendapatkan pengaruh dan kedudukan. Setiap ahli mesti mengisytiharkan pihak mana yang dianggotainya – jika tidak, maka terasinglah kehidupan sekeluarga.Slogan yang didokong - `Kalau anda tidak bersama kami, anda tentunya bersama mereka (pihak lawan)!’
Meraikan pandangan dan menghargai cadangan orang lain, adalah satu ciri penting yangmesti ada dalam diri pemimpin yang inovatif dan berdaya saing. Sifat merendah diri ini sebenarnya tercetus dari ketinggian akhlak yang kudus dan keikhlasanhati yang jernih. Hati yang bersih tidak mudah dihinggapi penyakit hasad dengki, riya dan takabbur. Jiwa yang besar tidak mudah disempitkan oleh rasa takut kehilangan pengaruh. Malahan untuk mendidik hati supaya mampu , kita haruslah mempunyai sikap yang betul terhadap segala teguran dan kritikan yang ditujukan kepada kita. Anggaplah itu sebagai satu dan tarbiah yang datangnya dari Allah SWT, yang sentiasa memimpin dan membimbing insan terpilih dengan hidayah dan taufik-Nya.
Kembali kepada fitrah Islam yang menitikberatkan kesederhanaan, kesejahteraan, keamanandan keharmonian ini, sememangnya akan menimbulkan perasaan lapang dada dantenang fikiran. Dalam konteks yang sama, rasa sempit dada, resah dan gelisahberpunca dari keengkaran manusia untuk mengikuti jalan yang telah digariskanoleh Allah SWT. Sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah Al An’aam, ayat ke 125 yang mafhumnya :
"Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikankepadanya hidayah (petunjuk), nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (menerima)Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allahmenjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit.Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman."
Melatih diriuntuk sentiasa berlapang dada adalah mujahadah yang perlu diutamakan, demi sebuah kehidupan bermasyarakat yang aman damai dan tenteram. Mendidik diri untuk meraikan pandangan orang lain dan dalam masa yang sama perlu berani pula untuk menegakkan pendapat sendiri , bukanlah sesuatu kemahiran yang boleh diraih sewenang-wenangnya. Setelah puas berbincang dan lawas mengutarakan hujah serta pandangan, sekiranya masih belum ada titik pertemuan, setuju untuk tidak bersetuju dan menghormati pandangan pihak lain adalah langkah paling wajar yang perlu diambil. Selepas sesi perdebatan itu, kedua pihak seharusnya meneruskan persahabatan seperti biasa, bukannya beredar dengan dendam kesumat permusuhan.Tindakan ini menunjukkan tahap kematangan dan profesionalisme yang tinggi.
Tidak juga dinafikan,ada kalanya individu yang mempunyai buah fikiran yang berbeza itu gagal menyampaikan pandangannya dengan cara berhikmah dan bersopan-santun, khususnyajika yang dibangkang itu pandangan seseorang yang jauh lebih berumur da nberpengalaman. Suasana menjadi tegang, apabila perbincangan menjadi hangat dan si anak muda tidak berhenti-henti menggasak dengan idea baru dan inovatif,memandang rendah kepada gaya dan pendekatan yang diambil selama ini. Lebih parah, sekiranya si anak muda mengambil tindakan mendedahkan kelemahan dan kesilapan di tengah khalayak umum, sehingga jatuh air muka pihak yang lebihveteran dan senior. Masih perlukah berlapang dada dalam situasi ini? Masih adakah yang mampu untuk mengambil sikap berlapang bila berhadapan dengan kerenah ini?
Dalam apa jua suasana, akhlak pendakwah tidak boleh lari dari apa yang diperintahkan olehAllah SWT di dalam Al-Quran dan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.Perhatikan mafhum surah An-Nahl : ayat 125 :
"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mudengan hikmah dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yangbaik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yangtersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yangmendapat petunjuk."
Perlulah ada bimbingan dan tunjuk ajar dari golongan yang lebih senior untuk memperbetulkan pendekatan si anak muda yang bersemangat dan pantang dicabar ini. Dengan kebijaksanaan yang dikongsi, bersama pengalaman yang menggunung, hubungan sejahtera mampu dijalin dan dipereratkan. Untuk mewujudkan suasana harmoni, kedua belah pihak – sama ada yang dianggap senior atau òtai' yang lebih berpengalaman atau `otai’dan juga golongan mudayang lebih bersemangat – perlulah mempunyai sifat berlapang dada. Sifat terpuji ini terhasil dari keyakinan bahawa kepelbagaian pandangan dan pendekatan perlu dicanai dan digabungkan untuk menghasilkan idea yang jauh lebih menyerlah dan inovatif. Kebijaksaan orang tua digabungkan dengan kecergasan orang muda - hasilnya tentu menjadi!
Semoga kita diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk mendidik diri agar mampu berlapang dada sepanjang masa dan ketika. Amin
Loves,
Dr. Har
Menangani Kepelbagaian Anutan Agama
>> Wednesday, May 8, 2013
( Artikel ini diterbitkan dalam ruangan Fitrah, Majalah SOLUSI)
Dalam isu yang lalu, penulis menyentuh
perihal kepentingan mempunyai kemahiran menangani kepelbagaian dalam sebuah
komuniti yang heterogenous dan
majmuk. Pegangan agama dan anutan kepercayaan adalah satu aspek kepelbagaian
yang mesti ditangani dengan sebaik mungkin, agar tidak tercetus persengketaan
dan permusuhan yang boleh meragut nyawa dan memusnahkan kehidupan
bermasyarakat.
Namun, sejarah dunia menunjukkan
betapa banyak peperangan dan rusuhan yang tercetus atas nama agama dan
perjuangan mempertahankan kesuciannya. Sekalipun sama warna kulit dan
pertuturan bicara dalam kelompok manusia yang tinggal berjiran dalam lokasi
geografi yang sama, namun atas dasar kelainan kepercayaan dan anutan agama,
telah banyak nyawa yang melayang dan darah yang tumpah – meninggalkan kesan
parut luka yang berpanjangan. Tidak hairan sekiranya ramai pencinta kedamaian
yang menuntut agar agama tidak dijadikan pemisah dan pencetus konflik. Timbullah
aliran pemikiran yang menuntut agar agama diketepikan dari kehidupan manusia.
Dalam lirik lagu Imagine dendangan
kugiran terkenal tahun 60an,`The Beatles’ – menyeru manusia berimaginasi
alangkah damainya kehidupan di dunia ini sekiranya tiada factor-faktor pemisah
seperti sempadan geografi negara dan juga agama :
Imagine there's no countries
It isn't hard to do
Nothing to kill or die for
And no religion too
Imagine all the people
Living life in peace...
It isn't hard to do
Nothing to kill or die for
And no religion too
Imagine all the people
Living life in peace...
Kepelbagaian agama ditangani dengan
tiga pendekatan yang sama, sebagaimana yang diterangkan dalam artikel yang
lalu. Pendekatan tersebut berdasarkan tanggapan sama ada kepelbagaian tersebut
adalah sesuatu liabiliti yang mesti ditolak dan diperangi, keadaan yang
diterima demi keharmonian bersama atau kekuatan yang mesti diraikan.
Ketaksuban menonjolkan identiti dan
citra beragama membawa sesuatu kelompok agama yang merasakan dan menganggap
diri mereka lebih suci, mulia dan terpuji di sisi Tuhan, jika dibandingkan dengan
kelompok agama yang lain. Sikap `exclusivism’
ini menebal dan menjadi penghalang untuk sebarang usaha integrasi dengan
penganut agama yang lain. Malahan kelompok ini tidak teragak-agak untuk
bertindak `menghalalkan’ darah dan nyawa golongan lain untuk dibunuh demi
menjaga kepentingan dan kesucian agama
mereka. Peristiwa tragedi berdarah Kosovo dan Ambon-Maluku menjadi contoh yang
masih segar di ingatan generasi manusia – bagaimana kepelbagaian agama menjadi
pencetus perang saudara yang kejam, ganas dan bermaharajalela. Regim kejam
Zionis Israel sekian lamanya, menganggap mereka manusia suci, sedangkan
golongan bukan Yahudi yang lain hanyalah sekadar `goyim’atau manusia lembu (
human cattle)!
Terdapat satu lagi kelompok agama yang
bersifat lebih sederhana, yang dianggap inklusivis (inclusivism). Sikap toleransi dan mesra, tiada kekok ataupun
canggung, disemai dan dipraktikkan di antara penganut agama berbeza, yang
tinggal bersama dalam satu komuniti. Demi untuk menjaga keharmonian, setiap
kelompok agama berhati-hati menjaga batasan serta sensitiviti. Namun
kebiasaannya, setiap kelompok agama akan tetap merasakan agama merekalah yang paling
tinggi dan berada di atas landasan kebenaran. Tidak mustahil keharmonian ini
akan tergugat sekiranya ada individu atau kelompok yang bertindak mencemuh,
menghina atau memperkecilkan kelompok yang lain. Tindakan tersebut akan
menghasilkan tindakbalas negative dari pihak yang diperkecilkan, dan akhirnya
boleh juga membawa kepada ketegangan, permusuhan dan persengketaan.
Pendekatan kelompok ketiga lebih menjurus
kepada `meraikan’ kepelbagaian agama. Muncullah pendekatan `pluralistic’ yang boleh diringkaskan begini : wujudnya satu Tuhan,
namun pelbagai jalan menuju kepada-Nya. Kelompok in menganggap beberapa jalan yang
dikenali sebagai agama lebih memperjelaskan sistem kepercayaan yang mempunyai ciri-ciri
khusus yang perlu diamalkan oleh penganut agama tersebut untuk sampai kepada
kebenaran ketuhanan. Pendekatan ini dijulang sebagai satu-satunya cara untuk
menggapai keamanan dan kedamaian di dunia yang sentiasa bergolak ini. Setiap
kelompok agama dilarang menonjolkan kehebatan dan kelebihan agama serta menzahirkan
syiar agama masing-masing sebaliknya harus turut sama meraikan hari kebesaran
dan perayaan agama kelompok lain untuk menunjukkan semangat setiakawan dan
muhibbah. Akibatnya, berlaku satu proses `neutralisasi’ terhadap nilai
beragama, sehingga mendorong manusia tidak lagi berusaha mengekalkan identiti
agamanya, bimbang dia dianggap seorang fanatik dan ektremis oleh
rakan-rakannya.
Pemikiran pluralitik ini semakin
menular di kalangan generasi muda hari ini, demi satu misi perkongsian hidup
tanpa sengketa dan perbalahan. Kepercayaan agama dianggap satu pilihan yang
menjadi hak asasi individu, yang tidak boleh dipaksakan ke atas orang lain. Ianya
juga menjadi slogan popular yang dicanangkan oleh pemimpin dunia sebagai satu
kaedah penyatuan dan perpaduan masyarakat majmuk. Perkahwinan campur antara agama menjadi manifestasi kepada
pegangan pluralistik ini. Akibatnya, terhakislah keyakinan dan keimanan,
kecintaan dan keprihatinan serta identiti agama seseorang itu.
Bagaimana Islam mengajar umatnya berhadapan
dengan kepelbagaian agama ini? Islam sebagai cara hidup yang syumul
menggariskan dengan terperinci pendekatan yang mesti diambil oleh umat Islam,
agar tidak tergadai iman dan citra beragama yang menjadi identiti selama ini.
Dalam masa yang sama, Islam tidak mendorong perpecahan dan perbalahan atas nama
agama, melainkan terjadinya ugutan dan usaha jelas bermusuhan yang menggugat
keselamatan nyawa dan hartabenda.
Islam menggariskan pendekatan ekslusif
tanpa kompromi dalam aspek aqidah dan kepercayaan. Al –Quranul karim menekankan
perlunya ketegasan menzahirkan keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap
keesaan Allah SWT. Perhatikan mafhum Surah Al-Kafirun menjadi asas kepada
ketegasan ini :
Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang
kamu sembah.
Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula)
menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku".
Ketegasan menzahirkan aqidah yang
sohih inilah yang mesti dipegang oleh
umat Islam apabila berhadapan dengan kelompok agama yang lain. Umat Islam tidak
harus takut dan ragu-ragu untuk menyatakan ketegasan ini semata-mata untuk
menjaga hati kelompok agama yang lain. Dengan akhlak yang baik dan pendekatan
yang berhikmah, umat Islam mesti menyatakan pendirian tegas mereka bila
berhadapan dengan persoalan mengenai kepelbagaian agama. Kejelasan fikrah
terhadap aqidah yang satu ini akan menghasilkan individu dan keluarga Muslim
yang mantap jati diri dan citranya, tidak kabur dan terumbang-ambing.
Namun dalam aspek yang lain, khususnya
dalam hubungan sesama manusia, Islam mengambil pendekatan yang amat inklusif
dan meraikan kepelbagaian yang wujud, demi untuk menghasilkan suasana perpaduan
yang aman damai. Islam menggalakkan sikap hormat menghormati dan rasa kasih
sayang untuk disemai dengan subur di kalangan kelompok yang berlainan agama.
Rasulullah SAW telah banyak menunjukkan contoh teladan yang memberi pedoman
bagaimana umat Islam harus berhadapan dengan kelompok agama yang lain. Umat
Islam dilarang mencemuh dan menghina sembahan serta ritual agama yang lain,
kerana dibimbangi tindakan sebegitu akan mencetuskan reaksi balas yang negatif,
seterusnya membawa kepada persengketaan dan permusuhan yang berpanjangan.
Perhatikan mafhum ayat 108, Surah Al- Anáam :
Dan janganlah kamu memaki sembahan yang
mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan
melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat
menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali
mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.
Betapa dunia hari ini perlu kepada
kaedah pendekatan yang ditonjolkan oleh Islam ini, demi menjamin kesejahteraan
dan perpaduan bersama.
Loves,
Dr. Har
Subscribe to:
Posts (Atom)