Rabu, 30 April 2008

Nasihat kami kepada pejuang-pejuang kecil Daulah Islam di luar sana

PARA SAHABAT MEMPELAJARI IMAN SEBELUM AL-QURAN

Al-Tabarani meriwayatkan dalam al-Mukjam al-Awsat dari Ibn Umar r.a bahawa beliau berkata : Aku pernah hidup pada zaman sebelum ini bahawa seseorang di kalangan kami dikurniakan keimanan sebelum al-Quran.Turunnya al-Quran kepada Nabi Muhammad saw lalu dipelajari halal dan haramnya dan apa yang perlu diberhenti mengkajinya dari hukum-hukum sebagaimana kamu belajar tentang al-Quran itu.Kemudian selepas itu aku memerhatikan lahir di kalangan umat ini golongan yang dikurniakan al-Quran sebelum iman lantas dia membacanya dari al-Fatihah hingga ke penutupnya dia tidak mengetahui suruhannya dan larangannya dan apa yang perlu diperhatikan olehnya dalam ayat-ayat itu, menaburkannya sebagaimana menabur buah kurma yang sudah rosak .

PENGAJARAN :
1. Kita sepatutnya mencontohi generasi sahabat yang begitu mengambil berat tentang keimanan mereka kepada Allah.
2. Manusia yang hidup pada zaman ini kebanyakannya membaca al-Quran tanpa kefahaman .
3. Peranan muslim adalah mengkaji al-Quran dengan berpandukan sumber-sumber yang sahih menerusi pelajaran yang disampaikan oleh orang berilmu yang benar .

rujukan : http://www.zahazanmohamed.blogspot.com/

Selasa, 29 April 2008

Tanggungjawab Tanpa Cinta - Siri I....Apa kata Abu Saif?sekadar renungan buat pemuda di luar sana yang sedang mencari pasangan hidup

Oleh: Abu saif




“Kenapa mesti bercouple sebelum berkahwin?”, soal seorang ustaz dengan tegas.

“Mana mungkin sebuah rumahtangga mendapat keredhaan Allah jika permulaannya sudah tidak tentu hala!”, ujar seorang pendakwah dengan penuh yakin.

Segala nasihat tertuju kepada menyeru agar maksiat dihindarkan oleh mereka yang di usia muda. Jangan mulakan alam rumahtangga dengan dosa dan noda. Kelak binasa.

Tidak susah untuk memahami seruan ini. Itulah kehendak agama. Dosa tidak menjanjikan bahagia. Kebahagiaan letaknya pada ketaatan kepada Allah. Semua itu telah banyak saya ungkapkan di dalam artikel yang lalu. Sebahagian besarnya sudah termuat di dalam buku AKU TERIMA NIKAHNYA.

Dosa tidak menjanjikan bahagia.

Tetapi pastikah bahagia hanya kerana sudah terhindar dari dosa?

Sama sahaja maksud soalan ini pada persoalan zikir dan ketenangan hati. Janji Allah SWT bahawa dengan mengingati-Nya hati menjadi tenang, sudah tenangkah hati kita dengan zikrullah yang dilafazkan itu? Jika dosa itu derita, taat itu nikmat kebahagiaan, maka bahagiakah rumahtangga yang jauh dari dosa?

Soalan ini tidak boleh dijawab dengan bahasa praktikal oleh anak-anak muda yang baru menceburkan diri ke alam mencari dan memilih pasangan hidup. Ia adalah persoalan untuk mereka yang sudah separuh atau suku jalan menempuh kehidupan berumahtangga.

Persoalan ini banyak mengganggu fikiran saya. Sedikit demi sedikit saya didatangi dengan kes-kes yang luar biasa. Mula-mula ia hanya sekali dua, tetapi lama kelamaan segalanya menjadi seperti timbunan tanah membentuk busut. Hingga tercetus suatu kebimbangan.

Satu demi satu rumahtangga retak dan ribut.

Bukan rumahtangga yang kotor dengan dosa. Bukan suami isteri yang lupa Tuhan. Rumahtangga ini adalah rumahtangga yang dibentuk menurut lunas-lunas Islam. Permulaannya bersih dari masalah pergaulan bebas, malah kedua pasangan ini ‘disatukan’ atas cita-cita Islam, dakwah dan perjuangan yang menemukan mereka.

Seorang ‘akhi’ dan seorang ‘ukhti’, dalam suasana taat kepada Allah… bersatu dalam sebuah Bait Muslim yang berslogankan Baiti Jannati (rumahku syurgaku). Perkahwinan mereka adalah apa yang diimpikan oleh setiap mereka yang mahu mencari separuh kesempurnaan beragama melalui jalan perkahwinan, yang terbina di atas asas taqwa.

Tetapi perkahwinan yang ideal ini sedang diuji. Sangka saya satu atau dua. Ia mungkin kes terpencil. Tetapi sedikit demi sedikit kes ini bertambah dan bercantum, hingga menghasilkan suatu kerisauan yang mendalam. Di manakah silapnya?

Terlalu sulit untuk saya lakarkan kes-kes yang membabitkan rumahtangga ini kerana ia amat sensitif. Rumahtangga seorang lelaki yang berfikrah Islam dan seorang perempuan yang berfikrah Islam, kecundang selepas perkahwinan menjangkau usia matang. Ada di antaranya yang membabitkan perbuatan-perbuatan suami, ada juga yang membabitkan masalah yang ditimbulkan oleh pihak isteri.

Ada suami yang berfikrah Islam, sama ada seorang ustaz mahu pun seorang profesional, mencemarkan rumahtangganya dengan perbuatan-perbuatan curang, bermain kayu tiga, malah ada yang menjadi abusive terhadap isteri dan anak-anak. Ada juga isteri yang berfikrah Islam, merosakkan rumahtangganya dengan perbuatan yang sama… hingga menjadi beban kepada fikiran saya untuk menanggung rahsia mereka.

Saya terpaksa beristighfar, menenangkan diri sendiri dan isteri, sebelum mampu untuk menyelami masalah seperti ini. Gerun dan kesah memikirkan rumahtangga sendiri. Segala yang diperlukan untuk membina rumahtangga dalam sebuah ketaatan telah dilakukan, tetapi saya sedang berdepan dengan insiden kehancuran rumahtangga seperti ini. Jika bukan silap berkaitan dosa dan taat kepada Allah, apa lagi yang tidak kena.

“Rumahtangga ini hanyalah sebuah tanggungjawab. Saya gagal menemui cinta. Saya tidak cintakan suami saya!”, salah satu kes yang saya tangani, tiba kepada jawapan yang dicari.

Saya kebingungan.

Biar pun kali ini jawapannya sungguh jelas dan terus kepada lubuk masalah, ia bukan satu atau dua kes, tetapi saya sedang menanggung beban kes yang berbilang.

TIDAK BERTEMU CINTA

Jika mereka yang asyik berkasih sayang hingga lupa kepada batas-batas agama dalam sebuah pergaulan, nasihat lazim yang disampaikan kepada mereka adalah pada menyedarkan diri mereka tentang soal tanggungjawab. Perkahwinan bukan hanya soal cinta. Tanggungjawab harus dipikul bersama. Soal peranan masing-masing sebagai suami dan isteri, serta bakal ayah dan ibu mesti dilihat dari sudut agama.

“Kalau merancang perkahwinan, jangan rancang hanya ke pelamin, tetapi rancanglah hingga ke lampin!”, itu nasihat komprehensif saya kepada perkahwinan sepasang kekasih yang sebegini.

Tetapi bagi seorang Muslim dan Muslimah, yang mempunyai semangat agama yang tinggi, yang merelakan sebuah perkahwinan dibentuk tanpa pendahuluan yang lazimnya popular dalam masyarakat kebanyakan, terlalu berat untuk saya nukilkan, bahawa nampaknya mereka harus sedar bahawa perkahwinan bukan sekadar tanggungjawab. Ia harus diisi dengan cinta.

Cinta!

Bukan cinta ala Hollywood atau Bollywood, tetapi cinta yang itu. Perasaan yang mendatangkan bahagia.

Seperti kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi di dalam bukunya, Satu Rasa Dua Hati, tanda bahagia ialah apabila adanya tenang. Itulah cara mengukur bahagia. Bahawa di dalam sebuah rumahtangga, kebahagiaan itu boleh diukur dengan tahap ketenangan yang dikecapi oleh suami dan isteri. Jika suami beroleh tenang tatkala pulang ke pangkuan isteri, juga isteri hilang tekanan dan kerunsingan hidup tatkala pulang ke pangkuan suami, maka adalah tenang di situ. Adalah bahagia.

Sukar untuk saya ungkapkan bagaimanakah yang dikatakan sebuah rumahtangga tanpa cinta. Ini bukan kahwin paksa. Ia kahwin rela. Cumanya, demi menjaga agama, mereka tidak bercinta sebelum berumahtangga. Rumahtangga ini adalah rumahtangga orang sekarang yang mencuba resepi bercinta selepas berkahwin, tetapi malangnya mereka gagal bertemu cinta.

collide.jpg

Izinkan saya meminjam kata-kata John Gray di dalam buku terbaru beliau yang mesti dibaca oleh mereka yang sudah menghadam buku awal Men Are From Mars, Women Are From Venus, iaitu buku Why Mars and Venus Collide:

As I travel the world, teaching the Mars and Venus insights, I have witnessed a new trend in relationships linked to increasing stress. Both couples and singles believe they are too busy or too exhausted to resolve their relationship issues, and often think their partners are either too demanding or just too different to understand. Attempting to cope with the increasing stress of working for a living, both men and women feel neglected at home. While some couples experience increasing tension, others have just given up, sweeping their emotional needs under the carpet. They may get along, but the passion is gone.” (muka surat xiv)

Mereka bertahan, tetapi emosi, keinginan dan cinta itu hilang. Segalanya adalah soal tanggungjawab, tentang peranan… tiada perasaan, cinta dan belaian.

Entahlah…

Apakah kerana pengaruh filem, pengaruh persekitaran, pengaruh tempat kerja, atau silap tarbiyah oleh gerakan-gerakan Islam yang mengacukan mereka ini semasa duduk dalam gelanggang tarbiyah, persoalan tanggungjawab tanpa cinta menjadi punca keruntuhan rumahtangga.

Ada yang tidak percaya… menempelak saya kerana menimbulkan isu ini tanpa hujung pangkal. Sangkanya, saya mahu lelaki multazim dan perempuan multazimah ini bercinta dengan cinta mazhab Bollywood dan Hollywood. Tidak sama sekali.

Tetapi saya mahu menyampaikan amaran bahawa satu demi satu rumahtangga tanpa dosa ini runtuh… kerana gagal bertemu cinta!

Saya sedang meratapinya…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Isnin, 28 April 2008

KITA PERLUKAN RAMAI PEMUZIK YANG BERDAKWAH

Oleh: Ustaz Adlan Abd Aziz

Jangan salah faham...bukan maksudnya seorang pemuzik atau artis itu perlu mengubah bentuk pakaiannya kepada memakai jubah atau songkok, menyanyikan lagu-lagu nasyid....bukan itu maksudnya. Bukan sesempit itu.

Maksud saya ialah golongan artis yang
-kemas,
-berkemahiran dalam muzik,
-lengkap asas agamanya (menutup aurat, solat dll),
-menyanyikan lagu-lagu bermesej baik (tanpa mengira irama rock, r&b, rap dll),
-lagu-lagu yang berkualiti,
-rakaman yang mempunyai standard antarabangsa,
-menyanyi dalam keadaan sopan,
-menjadi contoh ikutan kepada masyarakat dalam segenap segi.

Jangan kita sempitkan dakwah hanya kepada artis-artis nasyid. Kadangkala lagu-lagu nasyid sendiri tidak membawa satu maklumat yang benar-benar bermanfaat. kadangkala penasyid atau bekas penasyid sendiri tidak boleh dijadikan contoh ikutan pada akhlaknya.

Artis yang bukan penasyid juga mesti berfikir....
adakah dengan kemahiran yang aku miliki, aku tidak boleh berdakwah?

Sampai bila aku ingin melagukan lagu tanpa tujuan dan tanpa mesej?

Adakah aku akan menyesal menjadi artis di akhirat nanti?

Atau adakah bidang nyanyian ini mampu aku jadikan bekalan di akhirat?

rujukan: http://www.alitantawi.blogspot.com/

Khamis, 24 April 2008

Antara sebab belia tidak dapat menikah awal

Oleh ustaz Maszlee Malik

Sabda Rasulullah SAW: "Wahai orang-orang muda, sesiapa yang mempunyai kemampuan di kalangan kamu, hendaklah mereka berkahwin. Sesungguhnya ia lebih menjaga pandangan. Barangsiapa yang tidak mampu, hendaklah mereka berpuasa, sesungguhnya ia adalah perisai" (H.R. al-Bukhari)

Antara keluhan yang sering diluahkan oleh para siswa-siswi di IPT ialah tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin. Tuntutan naluri muda mereka menyeru mereka untuk berkahwin. Persekitaran yang diwarnai oleh kefasadan dan maksiat juga menuntut mereka untuk menghalalkan perhubungan berlainan jenis yang merupakan sifat tabi'i manusia. Kajian-kajian oleh sesetengah pihak dan juga laporan-laporan media membuktikannya. Samada hasil kajian yang pernah didedahkan oleh akhbar kosmo pada awal tahun 2006, mahupun apa yang telah dilaporkan oleh NST pada 18 Ogos 2006. Kesemuanya membuktikan kemelut yang sedang dihadapi oleh para siswa dan siswi di IPT-IPT. Sayang sekali, kemampuan material mereka tidak membenarkan pernikahan dilangsungkan di alam pengajian. Ibubapa moden yang berfikiran materialistik dan kolot juga menjadi penghalang utama. Bagi para ibubapa, anak-anak mestilah menghabiskan pengajian, mestilah mempunyai kerja yang tetap dan kukuh, membeli kereta, barulah anak-anak tersebut boleh berkahwin. Akhirnya, anak-anak di IPT bergelumang dengan dosa berpacaran dan berkhalwat yang dilarang oleh Allah SWT.

Adakah kemampuan untuk bernikah terletak pada kerjaya, segulung ijazah, kereta, ataupun gaji yang lumayan?

Menurut jumhur ulama, kemampuan yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah kemampuan untuk membayar mahar (mas kahwin dan bukan hantaran). Mahar boleh di dalam pelbagai rupa. Ada sahabat yang memberikan mahar hanya dengan sebentuk cincin besi sahaja. Malah ada yang memberikan mahar di dalam bentuk surah al-Quran yang mereka hafal. Apa yang menjadi persoalan utamanya, institusi kekeluargaan itu mesti dipopularkan. Usaha untuk memudahkan pembentukan sebuah institusi kekeluargaan itu adalah satu kewajipan di dalam mana-mana komuniti. Perhubungan secara halal akan dapat mengelakkan banyak masalah sosial yang dihadapi masyarakat. Sayang sekali jika usaha pembentukan mahligai yang suci ini sentiasa dihalangi oleh batas-batas material yang kita sendiri ciptakan.

Ibn al-Qayyim pula mempunyai pentafsiran yang lebih ekstrim berhubung "kemampuan" yang disebutkan oleh hadis tersebut. Bagi beliau, kemampuan yang dimaksudkan ialah "kemampuan fizikal". Oleh yang demikian, barangsiapa yang tidak mempunyai kemampuan "fizikal" untuk menjalankan tanggung jawab sebagai suami, hendaklah mereka berpuasa untuk menjana kekuatan "dalaman". Walau bagaimanapun, ini bukanlah pendapat yang popular. Pendapat jumhur ulama mengenai kemampuan yang ditafsirkan sebagai kemampuan untuk membayar mahar merupakan pendapat yang kuat.

Penentuan mahar

Antara persoalan yang mungkin timbul lewat perbincangan mengenai mahar ialah, milik siapakah "penentuan mahar" tersebut. Adakah ianya milik si dara, ataupun bapanya. Di dalam pengamalan masyarakat Melayu dari dahulu lagi, si bapalah yang menentukan kadar mahar si gadis. Jika mereka letakkan terlalu murah, nanti ada yang megatakan, anak gadisnya terlalu murah. Jika mereka letakkan terlalu mahal, nanti ada pula yang mengatakan, mereka menjual anak. Maka adat dan harga pasaran tempatanlah yang menjadi ukuran. Apa yang penting, mahar adalah hak mutlak si bapa untuk menentukannya. Lazimnya di Malaysia, orang utara terkenal dengan mahalnya mahar, orang Pantai Timur terkenal dengan mahar yang rendah, manakala orang di tengah dan selatan mengukurnya mengikut keadaan keluarga dan juga kebiasaan saudara mara. Adakah ini bertepatan dengan Islam?

Di dalam Islam, si gadislah yang mempunyai kuasa mutlak ke atas maharnya. Si gadis mempunyai kuasa penuh untuk menentukan jumlah mahar yang beliau kehendaki. Walaupun al-Quran dan al-Sunnah tidak menghadkan harga siling untuk mahar, namun Rasululah SAW menasihatkan anak-anak gadis agar tidak meletakkan mahar yang terlampau tinggi. Gadis-gadis yang menuntut mahar yang rendah dipuji oleh Rasulullah SAW. Perkara seumpama ini tidak berlaku di Malaysia kita, malah ianya juga tidak berlaku di kebanyakan negara-negara Islam. Uruf atau adat yang banyak memainkan peranan. Si bapa yang mempunyai kuasa dominan sering berperanan untuk menentukan jumlah mahar anak-anak gadis mereka. Kebiasaannya, ianya diukur menurut jumlah kos perbelanjaan perkahwinan yang terpaksa mereka tanggung.

Isu yang cuba diketengahkan di sini ialah, adakah perletakan mahar yang tinggi sesuai untuk warga IPT?, ataupun kita terus akur dengan adat lantas menghalang anak-anak di IPT daripada berkahwin, semata-mata kerana halangan mahar yang tidak mampu untuk mereka bayar?

Berterusanlah anak-anak di IPT di dalam gelombang maksiat di atas nama coupling dan kebebasan individu. Fikir-fikir dab renung-renungkanlah perkara ini...hehehe

rujukan:

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=15208

Sabtu, 19 April 2008

Ibu bapa bijak galakkan anak-anak bernikah awal!

Oleh Abong

Teringat akan slogan, “ Remaja bijak jauihi zina!”. Ya, memang remaja adalah bijak jika mereka menjauhi zina. Apakah jalan kepada menjauhi zina? Salah satu jalan yang paling dianjurkan oleh Islam ialah bernikah.

Maka kempen “Remaja bijak jauhi zina!”, takkan berjaya jika ia tidak diikuti oleh kempen “Ibu bapa bijak galakkan anak-anak bernikah awal!”.



Alasan-alasan seperti tumpu kepada pelajaran, anak-anak masih mentah, kewangan masih belum mantap, dan dugaan pernikahan adalah lebih besar perlu ditolak ke tepi.

Kenapa? Kerna jika anak-anak bercinta, mereka akan lebih terganggu. Terganggu dari segi emosi dan perasaan, dan rasa bersalah kerna bibit hubungan yang mencapai darjat zina kecil. Maka adakah mereka dapat tumpu kepada pelajaran? Bukankah pernikahan itu dapat mendamaikan hati?

Anak-anak masih mentah dalam soal pernikahan? Didalam hal ni siapa yang dah melalui pernikahan? Ibubapa kan? Kenapa ibubapa tidak mahu mempersiapkan anak-anak dengan ilmu pernikahan, agar anak-anak lebih bersedia menghadapinya.

Mengenai kewangan pula, bukankah rezeki semua ditentukan oleh Allah? Bukankah pernikahan akan membuka pintu kepada rezeki? Malah pasangan-pasangan muda mengakui mereka lebih berjimat setelah bernikah berbanding sebelum bernikah. Belanja pun kena berhati-hati, duit “top-up” telefon pun makin berkurang dan sebagainya.

Ada ustaz berkata, “remaja jangan asyik sibuk nak bernikah awal untuk mngelak zina (dengan menjadikan zina sebagai alasan untuk nikah), kerna cabaran hidup selepas kahwin adalah lagi mencabar”. Ia, kami akui. Sama juga halnya SPM. SPM adalah tiket untuk menyambung pelajaran ke menara gading. SPM itu senang sahaja. Belajar di menara gading lagi susah, maka kita tak payah sibuk-sibuk nak cemerlang SPM ke?

Adakah kita perlu biarkan sahaja remaja dibelenggu dengan dosa-dosa zina kecil. Bila mereka dah tamat belajar, dah ada ijazah, dah bekerja, dah ada duit RM 10 ribu, maka baru kita benarkan mereka berkahwin?

Selain daripada ibubapa, golongan ustaz-ustaz di jabatan agama perlu memainkan peranan yang lebih aktif. Jangan asyik aktif nak tangkap basah orang dan ambil video pesalah je. Aktif dari segi membantu remaja mendalami ilmu-ilmu pernikahan. Janganlah caj bayaran untuk semua program agama. Berkorban lah sedikit untuk umat.

Maka kempen “Remaja bijak jauhi zina!” perlu dijalankan bersama-sama kempen “Ibubapa bijak galakkan anak-anak bernikah awal!”.

Tak gitu?

rujukan: http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=82581

Jumaat, 18 April 2008

Ada sesiapa yang mahu bagi beras secara percuma???hehe




Naik lagi! naik lagi! naik lagi!..............haha
kata kawan ibu yang tinggal di Kelantan "Harga beras sekarang ni naik sangat mendadak!"
saya dapat agak bahawa ramai di luar sana yang sangat mengeluh tentang isu ini,"kita ini kan negara pengeluar beras,kenapa pulak mesti naik harga?"kata seorang pengguna ketika di soal oleh pemberita.



Dan yang pasti, ramai yang menyalahkan kerajaan..haha,kasihan juga tengok Datuk Sharir Abdul Samad itu. Kalau diperhalusi secara halus kenaikkan harga beras ini adalah di sebabkan kekurangan simpanan beras dalam negara kita di samping permintaan beras yang semakin meningkat secar tidak langsung menyebabkan harga beras naik. Negara kita bukan lagi negara pengeluar beras yang besar yang mana mampu menampung simpanan beras jika berlaku isu seperti ini,kalau dahulu memang benar kita mampu menjadi pengeluar beras,tapi hari ini beras tidak cukup sehinggakan terpaksa mengimport beras ke negara luar seperti Thailand dan lain-lain negara asia. Bagi saya apa yang boleh di lakukan oleh kita semua adalah:

1) Mungkin boleh cuba beli secara pukal di pasar raya- pasar raya besar,bandingkan harga beras di antara pasar raya tersebut,kemudian beli yang mana menawarkan harga yang kita paling suka...hehehe

2) Kerajaan mestilah menilai semula tentang isu ini secara bijak,saya lihat BERNAS kurang memainkan peranan dalam isu ini,dan sebelum-sebelum ini pun,BERNAS seperti hanya pada nama sahaja.

3)Kerajaan juga perlu bertindak tegas dan dapat memberi jaminan kepada orang ramai dalam isu ini supaya dapat mengurangkan kegusaran orang ramai dalam menghadapi isu ini.

4)Sebagai pengguna,kita seharusnya lebih bertanggungjawab. Jika dilihat,berapa ramai yang membazir bila nasi yang tidak habis di buang begitu sahaja? sukat lah dengan sebaiknya kuantiti beras yang hendak di masak itu,supaya dapat mengurangkan pembaziran yang tidak sepatutnya.

5)makan sebelum kenyang,ini pun cadangan yang baik dalam kita menghadapi isu kenaikkan harga beras ini yang mana di sebabkan oleh kekurangan simpanan beras dalam negara...hahaha(Nabi pernah ajar ni,makan ketika lapar dan berhenti makan sebelum kenyang,ramai yang kantoi tak boleh buat..hehehe)

tergelak pula saya membaca cadangan ini...hahaha

Ahad, 13 April 2008

Sufiah...kembalilah kepada cara hidup ISLAM


Islam agama yang mementingkan silaturrahim,Islam juga mempunyai peraturan-peraturan hidup yang temaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Kisah malang gadis genius matematik, Sufiah Yusof yang terkini ternyata mengejutkan banyak pihak,ramai yang memberi pandangan,tidak kurang jua yang melontarkan kata-kata sinis. pada hemat saya penyebaran berita mengenai Sufiah oleh media Barat nyata cuba mengaitkan status agamanya untuk memberikan perspektif buruk mengenai Islam selain dijadikan bahan melariskan akhbar atau laman web media masing-masing. Sepatutnya mereka tidak menyatakan namanya dalam penulisan itu, cukup sekadar menyatakan secara bayangan sahaja dan pengakuan Sufiah yang tidak menyesal dengan ‘pekerjaan’ yang dilakukannya itu kemungkinan dibuat setelah gadis itu berasa sangat kecewa sejak berita mengenainya tersebar. Kata seorang tokoh agama yang di minta mengulas isu ini menyebutkan, "Lazimnya, orang yang cerdik atau genius mempunyai tahap keberanian yang tinggi dan mungkin momokan keterlaluan mengenainya menyebabkan dia membuat pengakuan berani itu". Apa pula peranan kita? Terbaru kerajaan memutuskan untuk menghantar Dr. Masitah bagi memujuk Sufiah agar bertaubat dan kembali kepada cara hidup Islam yang benar,antara emosi dan realiti...pada saya,kalau kerajaan sudah memutuskan mahu hantar Dr. Masitah,biarla...sbb sufiah tu pn MASIH lagi ISLAM walaupn apa yang dia buat itu kurang di senangi,kita umat ISLAM masih bertanggung jawab,media barat memang punya agenda tersendiri,adapun remaja di Malaysia sendiri seakan2 di candukan dgn hedonisme sehinggakan remaja pada hari ini tidak memiliki matlamat yang jelas tentang hala tuju kehidupan. Itu juga kerajaan perlu tangani,isu Sufiah andai ada yang berkata "biarla......buang masa sahaja" saya tidak bersetuju,dia berhak untuk didakwah,HIDAYAH ALLAH tidak kenal pada sesiapa,dalam masa yang sama jua,dakwah kepada para remaja tempatan juga perlu di tingkatkan "kualitinya",kalau kerajaan nak hantar org dakwah sufiah,saya menyokong kerana ia kerja untuk agama,jangan kerana ideologi politik,maka yang baik juga kita anggap sebaliknya,jangan sebabkan kebencian kita terhadap sesuatu golongan menyebabkan kita tidak berlaku adil,yang perlu kita kritik habis ialah peranan kerajaan dalam pembentukan remaja pada hari ini sehingga remaja pada hari ini hilang arah tujuan!

Jumaat, 11 April 2008

Kelemahan Umat Masa Kini Punca "Fitna" terjadi


Islam agama yang tidak sukakan keganasan,saya amat menyokong kempen memboikot barangan Belanda ini. Namun kalau di lihat dengan cara umat Islam pada hari ini Apabila Islam dituduh sebagai pengganas, mundur, tidak berdisiplin, jumud, tidak toleran dan seumpamanya oleh Barat, ramai yang percaya. Sebab, bukan ramai manusia dalam dunia ini yang ingin menyelidik sendiri hakikat sesuatu perkara. Kebanyakannya bergantung kepada cakap orang. Dalam zaman ini, bergantung kepada media. Di tambah pula contoh teladan yang buruk yang ditunjukkan oleh umat Islam.

Membaca laporan media tentang pergolakan di negara-negara umat Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Somalia dan beberapa negara yang lain mematah semangat sesiapa yang ingin mendampingi agama ini. Melihat kemiskinan di Dunia Islam menjauhkan manusia daripada Islam. Di manakah hendak diceritakan keindahan Islam dan kerahmatannya, jika dibanding kemiskinan, kekotoran, sampah sarap, kelam kabut pengurusan dan segala unsur negatif yang terserlah di bandar-bandar Kaherah, Karachi, Islamabad, Jakarta dan selainnya dibandingkan bandar-bandar utama di Barat?

Di manakah hendak diceritakan kemurnian akhlak Islam dibandingkan rasuah yang bermaharaja lela, penyalahgunaan kuasa, kuku besi, tidak bertanggungjawab terhadap rakyat yang berlaku dalam politik Dunia Islam, dibandingkan dengan ahli-ahli politik Barat yang lebih mampu mempamerkan identiti yang lebih baik untuk rakyat mereka?

Di mana hendak diceritakan tentang kehebatan sistem ekonomi Islam jika Dunia Islam seperti Mesir yang mempunyai al-Azhar pun meminta belas ehsan bantuan kewangan dari Barat dan rakyatnya ramai yang merempat dan melarat? Sementara kebanyakan negara umat Islam kelam-kabut pengurusan ekonomi mereka. Bahkan menagih nasihat Barat dalam memulihkan kekuatan ekonomi sendiri.

Di manakah hendak diceritakan persaudaraan Islam, jika setiap kali bencana seperti tsunami yang menimpa Dunia Islam, bantuan Barat terlebih dahulu sampai sebelum bantuan negara-negara umat Islam? Banyak dan banyak jika hendak diungkit. Maka jangan hairan, jika manusia keliru dan mentohmah Islam. Islam yang indah itu telah dicemarkan oleh penganutnya sendiri.

Seperti seorang ayah yang teramat mulia dan baik, tetapi mempunyai anak-anak yang buruk kelakuannya, lalu ayahnya ditohmah. Di manakah kita dari firman Allah yang menyebut: (maksudnya) Dan demikianlah (seperti mana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat wasata (pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi saksi kepada umat manusia (tentang benar dan salah) dan Rasul itu (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke atas kamu. (Surah al-Baqarah: 143).

Dalam negara kita sendiri, lihatlah umat Islam dari sudut politik, pendidikan, ekonomi, sosial dan berbagai lagi. Kes-kes penyalahgunaan kuasa politik dan rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin yang beragama Islam lebih banyak dari yang beragama lain. Politik orang melayu muslim lebih banyak memikirkan kepentingan diri, sedang ‘orang lain’ mencongaknya untuk kepentingan kaumnya. Kemajuan pendidikan anak-anak bukan muslim lebih diberi perhatian oleh ibubapa mereka dibandingkan anak ‘orang kita’.

Dari sudut ekonomi, kita jauh ketinggalan masih di belakang dibandingkan ‘orang lain’. Kes-kes jenayah, dadah dan keruntuhan moral yang membabitkan mereka yang mengakui muslim, jauh ‘memenangi persaingan’ dibandingkan bangsa lain yang tidak menganut Islam. Ternyata, kita telah benar-benar menghalang cahaya Islam ini dari sampai ke penglihatan ‘orang lain’. Sampah sarap dan bau busuk yang kita longgok di hadapan manusia, telah benar-benar menghalang cahaya Islam yang kudus untuk sampai kepada mereka.

Saya teringat tulisan Muhammad al-Ghazali, seorang tokoh pemikir Mesir yang menyebut: “Aku seakan terbayang bagaimana orang Australia dan Amerika apabila berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat, lalu Allah bertanya mereka: “Mengapakah kamu tidak mengenaliKu dengan cara yang betul dan beramal dengan amalan yang soleh dan bersiap menghadapi hari pertemuan ini?”. Mereka akan menjawab: “Sesungguhnya arab yang mewarisi agamaMu telah menghalang cahaya agamanya, atau memadamkan lampu-lampunya, mereka biarkan kami dan diri mereka dalam kegelapan”. ( Muhammad al-Ghazali, Turathuna al-Fikri, m.s 32, Amerika: Al-Ma’had al-’Alami li al-Fikri al-Islami).

Dalam keadaan yang seperti ini, maka janganlah hairan jika kita sering dituduh. Kita bukan sahaja telah meninggalkan Islam yang diamanahkan kepada kita, tetapi kita juga telah mencemarkannya, maka orang lain pun tidak hairan lagi untuk menghinanya. Selagi kita tidak membetulkan keadaan umat ini terlebih dahulu, selagi itulah penghinaan seperti ini akan berterusan.

Sabda RasululLah s.a.w.: “Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan yang besar (menjamah hidangan makanan) . Seorang sahabat bertanya “apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab “bahkan bilangan kamu diwaktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha` (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabt bertanya pulak ” Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?” Jawab Rasulullah “cinta dunia dan takut mati” (Riwayat Abu Daud. Al-Albani menilainya sebagai sahih).

Saya menyokong usaha memboikot barangan Belanda sebagai satu mesej kepada masyarakat dunia bahawa umat ini membantah untuk dikaitkan al-Quran dengan keganasan. Namun kita semua mempunyai tugas yang jauh lebih berat dari membantah dan memboikot, iaitu memulihkan semula maruah dan harga diri umat ini.

Seperti kata-kata al-Nadwi yang pernah saya petik: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, Lacknow: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi).

Kembalikah membina maruah dan identiti Islam seperti yang diajar dalam al-Quran dan al-Sunnah. Kita sepatutnya menjadi contoh mulia untuk semua umat di dunia ini, bukan ditindas dan dipandang rendah.

Justeru, jika tidak mahu dihina orang lain, kita jangan menghina diri sendiri.

Rujukan: www.drmaza.com