Selasa, 21 Disember 2010

hentian bukit jalil

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Hari ni first time aku sampai kat hentian bas sementara Bukit Jalil, untuk beli tiket ke Sik.
Pagi-pagi lepas subuh aku tumpang abah pergi kerja, turun kat LRT Asia Jaya = FOC.
Kat Asia Jaya ambil LRT Putra (Kelana Jaya line) ke Masjid Jamek = RM2.00.
Kat Masjid Jamek ambil LRT Star (Sri Petaling line) ke Bukit Jalil = RM1.50.
Dari stesen LRT Bukit Jalil, jalan kaki ke hentian bas = FOC.

Sebenarnya dari stesen LRT Bukit Jalil tu, aku tak tau nak ambil jalan mana untuk ke hentian bas. Tapi ada seorang makcik tu pun nak ke hentias bas tu, aku pun jalan dengan beliau. Alhamdulillah. Lepas beli tiket, aku ambil bas RapidKL bernombor U71 ke KL Sentral dan turun kat bus stand bertentangan dengan Monorail. Dari situ kena jalan kaki agak jauh untuk masuk ke dalam bangunan KL Sentral sebab ada construction untuk menaik taraf KL Sentral menjadi Nu Sentral. Dari situ aku ambil komuter terus ke Shah Alam dan dari stesen komuter Shah Alam, Alqamah ambil aku balik ke rumah.



Yang aku perasan masa kat komuter tadi, logo untuk ladies coach dah ditukar dan lebih jelas kewanitaannya. Mungkin salah satu inisiatif baru untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaannya. Dengan logo lama sebelum ni, masih ramai lagi lelaki yang tak perasan (atau buat-buat tak perasan) yang diorang duduk dalam koc wanita. Cuba tengok logo lama ni (gambar dari Google):


Yang bawah ni pulak logo baru, aku snap sendiri guna handset cikai aku:


Kalau ada yang tak perasan / tak faham jugak tu tak tahulah.

:: wallahu a'lam ::

kembali ke sekolah

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Cuti sekolah dah nak habis. Tinggal 2 minggu je lagi sekolah akan mula balik. Maka bertungkus-lumuslah para ibu bapa menyediakan keperluan sekolah. Aku yang belum ada anak ni pun turut terasa kehangatan musim kembali ke sekolah ni. Mana taknya, aku la yang kena belikan buku-buku sekolah, pakaian sekolah, dan tolong carikan sekolah (Amru) untuk adik-adik yang masih kecil. Inipun salah satu hikmah aku menganggur, insyaAllah boleh dijadikan pengalaman untuk masa depan.

:: wallahu a'lam ::

Jumaat, 17 Disember 2010

badminton

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Semalam 17/12/2010, aku main badminton kat Dewan Alamanda Seksyen 20 dengan budak-budak grup Daurah hari tu (Ular).

Yang datang:
- Firdaus: dia yang cadangkan sebab rumah dia betul-betul belakang dewan.
- Adli Aiman: dia pun tinggal kat Seksyen 20 jugak
- Akma: aku yang ambil dan hantar dia kat Bukit Naga
- Zaidatur: dia datang dengan driver, balik dengan aku
- Afiq: dialah yang main paling lama semalam, tak padan dengan kecik
- Azam: datang dengan mak, balik aku hantar kat masjid negeri
- Syahmi: abang Azam, Daurah grup Kucing. Pemain paling hebat semalam.

Lepas main, kitorang berkongsi cerita. Lepas ni aku dah kerja (insya-Allah), besar kemungkinan tak dapat lagi nak buat aktiviti dengan budak-budak ni. Apapun aku harap mereka akan menjadi insan-insan yang bermanfaat pada agama dan masyarakat suatu masa nanti.

:: wallahu a'lam ::

Rabu, 15 Disember 2010

shopping

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Rasanya baru semalam aku cakap dengan Ms Grace yang aku bukan kaki shopping. Tapi hari ni apa yang dah berlaku?

Lepas zohor tadi aku pergi Mydin dan bershopping sebanyak Rm243++.
Lepas Asar pulak aku saja je singgah Carrefour yang baru je bukak kat Seksyen 23, tak sangka aku bershopping lagi sebanyak RM300++.
Maka, keseluruhan jumlah perbelanjaan aku hari ni ialah lebih dari RM500!!!
Tu belum campur aku shopping kat PKNS semalam, tapi semalam dalam RM100 je. Ok lagi.

Aku pernah je berbelanja RM2000 sekaligus kat satu kedai, tapi masa tu aku shopping perabot, takpe la jugak. Yang hari ni aku beli apa je... Reket & bola tennis, reket badminton & shuttlecocks, makanan etc. Aku harap perbelanjaan yang aku buat tu mendatangkan faedah, dan bukan pemborosan semata-mata.

Bershopping sampai RM500 sehari tu mungkin tak banyak bagi orang yang bekerja, lagi-lagi bagi kaki shopping. Tapi bagi aku yang tak bekerja dan baru semalam mengaku bukan kaki shopping? Oh tidak... Harap-harap ini adalah kali terakhir aku berbelanja sebegini boros.

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhannya"
(Surah al- Isra’, ayat 27)

:: wallahu a'lam ::

Isnin, 13 Disember 2010

hon

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Sepanjang aku bawak kereta, rasanya tak sampai lima kali kot aku guna hon. Kalau hon kereta tu rosak pun, mesti aku tak perasan. Tapi kalau aku yang kena hon tu tak payah cakap la, memang tak terkira pasal aku memang suka memandu sesuka hati sampai orang lain yang risau. Yang penting aku tau tindakan aku tu tak membahayakan aku mahupun orang lain walaupun nampak bahaya. Dan sebab perangai aku tu jugak la, aku tak suka hon sesuka hati bila nampak pemandu lain buat perangai. I believe that life is about "we get back what we give" as in "what goes around comes around".

Hari tu aku keluar dengan Alqamah. Ada orang berhentikan kereta tengah-tengah jalan yang sempit, sampai aku kena ambil jalan sebelah yang bertentangan arah.
Alqamah kata: "Hon je".
Aku kata: "Biarlah dia, bukannya kita tak dapat jalan langsung".

Lepas tu ada pulak kereta belok masuk simpang tanpa signal sampai aku terpaksa brek dengan agak mengejut.
Alqamah kata: "Hon la".
Aku kata: "Biarlah dia, dia baru teringat nak masuk kiri kot".

Aku cakap kat Alqamah, aku memang tak suka hon orang sebab aku tak suka dihon oleh orang lain. Selagi ada jalan penyelesaian yang lain, biarlah hon tu jadi pilihan terakhir. Yang penting kita masih selamat. Alqamah kata, walaupun kita dah selamat, hon tu penting jugak supaya dia tahu tidakan dia salah.

Emm, betul jugak kata Alqamah tu, kali ni memang kita selamat. Tapi kalau dia tak dapat amaran berbentuk hon, kemungkinan besar dia akan mengulangi perbuatan yang sama. Kesimpulannya, hon juga berfungsi untuk mengingatkan pemandu bahawa tidakan mereka itu salah, bukan sekadar melepaskan perasaan semata-mata. Hon tu tak salah, tapi gunakan hon dengan bijak dan di tempat yang betul, bukan dengan sesuka hati.

:: wallahu a'lam ::

serak

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Suara aku mula serak seminggu sebelum Daurah akibat berjangkit dalam keluarga. Aku bajet paling lama pun suara aku akan pulih dalam masa seminggu sebab aku tengok Ummi dan adik-adik aku yang terjangkit semua pulih dalam masa lebih kurang seminggu. Bila masuk Daurah, seminggu yang pertama suara aku masih serak. Habis minggu kedua, suara aku masih belum pulih. Sampailah Daurah habis pada minggu ketiga, suara aku masih belum betul-betul pulih. Tapi alhamdulillah, ada jugak perubahan ke arah normal. Beberapa hari lepas habis Daurah, baru aku rasa suara aku OK. Sepanjang Daurah memang takde harapan nak suara sedap sebab asyik kene jerit je kat budak-budak tu. Kalau cakap perlahan, takde siapa la yang nak dengar jawabnya. Apapun biarlah suara tergandai, yang penting ilmu mesti disampaikan.

:: wallahu a'lam ::

Khamis, 9 Disember 2010

daurah

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Tak ingat bila kali terakhir aku menulis kat sini tapi yang pastinya sepanjang aku jadi fasilitator Daurah Penghayatan Remaja Islam Sempena Cuti Sekolah 2010 kat masjid negeri, memang tak sempat langsung nak bukak blog ni. Sekarang ni Daurah pun dah habis setelah 3 minggu aku bertungkus lumus mendidik para peserta. Maksudnya dah lebih 3 minggu la aku tak menjenguk ke sini. Bila dah lama tak berblog, rasa hilang dah mood untuk meneruskan pemblogan. Tapi akan aku kuatkan jugak jari-jari ni untuk terus menaip supaya otak aku terus berjalan, sentiasa berfikir. Kalau boleh taknak la berblog sekadar hangat-hangat tahi ayam. Kat peserta-peserta Daurah pun, aku lebih galakkan mereka berblog berbanding Facebook. Tapi aku sendiri pun sebenarnya takdelah rajin sangat berblog.

Kembali ke topik asal, aku mula jadi fasi masa hari kedua program bermula. Hari ketiga baru dapat kumpulan tetap iaitu kumpulan Ular. Sebenarnya nama binatang tu kitorang letak untuk memudahkan pembahagian kumpulan tapi tak sangka pulak melekat sampai hari terakhir kitorang iaitu semalam (9/12/2010). Daurah ni sebenarnya berlangsung 6 minggu, tapi 3 minggu pertama fasi lain dan 3 minggu seterusnya fasi lain. Rasa 3 minggu tu sekejap sangat - banyak amanat yang tak sempat disampaikan. Tapi aku harap semua peserta terutama dari kumpulan Ular dapat 'sesuatu' dalam tempoh yang singkat tu. Aku pun dapat pengalaman handle budak sekolah menengah dan berkenalan dengan fasi-fasi pelajar menengah yang lain: Yun, Kome, Qilah, Mira, Lisa, Pian, Syahir, Naj, Ammar, Fendi & Fudhail.

Kepada semua ahli-ahli kumpulan Ular: Wirdan (ketua), Maya, Zai, Nadia, Shakira, Wana, Akma, Firdaus, Nabil, Adli, Afiq, Azam, Hafiz, Daniel, Aizzat & Shukri - aku sangat berharap mereka menjadi insan yang bermanfaat pada agama dan masyarakat. I'll miss the moments we had together (T____T).

~ Team fasi untuk pelajar menengah ~
 Belakang dari kiri: Fendi, Naj, Syahir, Fudhail, Ammar, Pian.
Tengah dari kiri: Aku, Yun, Kome, Mira
Depan sekali: Qilah

Dari kiri: Shakira, Zai, Nadia
Tiada dalam gambar: Maya, Akma, Wana 

Firdaus

Wirdan Idtuleh (nama yang unik) 

 Belakang dari kiri: Aizzat, Syukri, Nabil, Wirdan, Afiq
Tiada gambar dalam entri ni: Adli, Hafiz, Daniel

Azam

:: wallahu a'lam ::

Ahad, 14 November 2010

daging masak kurma

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Resepi seterusnya ialah daging masak kurma.

Bahan-bahannya:

1) Bawang merah + bawang putih + halia = ditumbuk
















2) Daging yang telah dibersihkan dan dipotong-potong (daging ni Ummi yang potong).















3) Bahan-bahan untuk dimasukkan di saat-saat akhir iaitu santan (RM4) + bawang besar (ikut suka) + tomato (4 bijik) + cili besar (5 batang) + daun bawang (2 tangkai)






























4) Jangan lupa potong tau bawang + cili besar + tomato + daun bawang tersebut.































Cara-caranya:

1) Tumis bahan-bahan yang dah ditumbuk tadi.
2) Masukkan daging dan tutup periuk tu sampai daging tu mengeluarkan airnya sendiri.
3) Biila daging dah lembut, masukkan santan dan kacau (tembok) setiap masa.
4) Bila dah menggelegak, masukkan bahan-bahan akhir yang telah dipotong tadi.
5) Kacau dan tutup api. Hidangkan bersama nasi putih dan ikan masin serta air basuh tangan.

















 
p/s: Kali ni daripada piring ikan masin sampailah ke bekas air basuh tangan, semua aku guna bekas steel.


:: wallahu a'lam ::

luar negeri

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Baru ni aku temankan Ummi pergi masjid negeri untuk beli al-Quran. Memang setiap hujung minggu, ada gerai jualan kat bawah masjid tu. Lepas beli Quran kat sebuah gerai, aku dan Ummi jalan-jalan tengok gerai-gerai lain pulak. Kat hujung sekali ada satu gerai pakcik yang pernah sama-sama berniaga dengan aku kat Masjid Batu 3 dulu. Ummi tegur dia dan dia kenal Ummi sebagai isteri Abah. Lepas tu dia tanya aku pulak, "Ni anak yang belajar luar negeri tu ke?". Memang aku merancang nak belajar kat overseas tapi tu masih dalam angan-angan je, tak pergi pun lagi. Kalau Allamah tu betul la jugak pergi Mesir. Aku pun jawab: "Bukan, tu adik lelaki saya". Bila balik rumah, terngiang-ngiang lagi soalan pakcik tu tadi. Huhu, bila la aku dapat belajar overseas kan, boleh la jugak jawab "Ya" kalau orang tanya macam tu. Haha. Tapi tadi pakcik tu tanya 'luar negeri' bukan 'luar negara'. Patutnya aku boleh la jawab "Ya" sebab aku belajar kat Pahang tu pun kira luar negeri jugak kan???

:: wallahu a'lam ::

kacang vs jerawat

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Bila cakap pasal kaitan antara makan kacang dengan kemunculan jerawat, aku mesti teringat 'motto' Intan time kat SAMBest dulu "Kacang musuh Intan" sebab bagi Intan, makan kacang akan buat jerawat naik. Tapi aku tak percaya pun yang kacang ni boleh sebabkan jerawat sebab aku suka gila makan kacang tanah tapi takde masalah jerawat pun (dulu). Satu peket Ngan Yin tu aku boleh habiskan sorang-sorang sekali hadap. Masa tahun 2 kat UIA, aku dah mula ada jerawat tapi aku masih tak percaya kaitannya dengan makan kacang. So aku terus je makan kacang banyak-banyak sebab kacang kan bagus untuk kesihatan dan minda (abah yang cakap). Bila ada member datang bilik, aku jamu makan kacang jugak sebab aku suka simpan stok kacang berpeket-peket kat bilik. Tapi kalau aku hukur kat Sab, dia takut nak makan sebab dia kata "Kalau I makan kacang sekarang, esok confirm banyak gila yang naik". Tapi aku yang dah berjerawat ni still jugak tak percaya.


Masa masalah jerawat aku dah semakin serius, aku ada jumpa pakar kulit Dr Noh. Bila aku tanya dia pasal kaitan antara kacang dan jerawat, dia kata tiada penemuan saintifik yang membuktikan hal tersebut. Aku pun makin tak percaya la dengan dakwaan tu. Sampailah aku habis belajar, masalah jerawat aku masih tak selesai walaupun macam-macam ubat aku dah guna. Kalau elok pun sekejap je, lepas tu naik balik. Dalam masa yang sama, aku terus makan kacang tanpa gusar. Masa dah bekerja, masalah tu dah semakin pulih tapi kadang-kadang 'dia' naik jugak tiba-tiba. Setiap kali 'dia' naik, aku cuba recall apa yang aku buat sebelum tu e.g. Aku ada pakai apa-apa ke? Aku ada terdedah kat UV atau udara kotor ke? etc. Lama-lama baru aku perasan bahawa 'dia' akan naik lepas aku makan kacang!

Even makan apam balik dan popia basah pun boleh bagi efek sebab mengandungi kacang walaupun sikit. Patut la selama ni masalah aku tak baik-baik, because the main factor is still there. Sejak tu aku mula percaya kaitan antara kacang dan jerawat walaupun takde lagi bukti saintifik mengenainya. Sejak tu jugalah, aku terpaksa menahan nafsu daripada makan produk-produk yang berasaskan kacang dan sejak tu jugalah baru aku sedar bahawa kacang adalah antara makanan yang tersedap di dunia! Sabar jelah~ Tapi takpelah, itu semua hanya nikmat dunia...

:: wallahu a'lam ::

ikan bakar

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Selepas percubaan pertamaku memasak ayam kicap membuahkan hasil yang memuaskan, esoknya Ummi suruh aku masak ikan bakar pulak, makan dengan aiskrim air asam. Rupanya senang je nak masak ikan bakar, cara-caranya:

Basuh ikan (dah suruh orang kat pasar tu siang sekali masa beli hari tu).

Letak ikan-ikan tersebut dalam periuk yang kita nak guna nanti
(aku guna multipurpose cooker je)
 

Taburkan kunyit + garam sesuka hati ke atas ikan-ikan tersebut.

Gaulkan sampai garam dan kunyit tu menyelaputi ikan-ikan tersebut secara menyeluruh.
 

Hidupkan suis periuk untuk memulakan masakan. 
 

Perhatikan wap dah mula keluar akibat proses pemeluwapan dan kondensasi.

Tutup suis bila ikan-ikan tu dah ada rupa ikan bakar yang layak dimakan.


Cara-cara nak buat air asam pulak:

Sediakan bahan-bahan iaitu:
belimbing besi + bawang merah + bawang putih + bawang besar + cili api

Ummi kata cili api tu letak 5 atau 7 bijik, so aku letak 6 untuk berlaku adil
tapi lepas tu Ummi suruk tambah lagi 3 bijik.
 

Pastikan belimbing besi tu dipotong sedikit kedua-dua hujungnya sebelum dibersihkan.

Masukkan kesemua bahan tadi ke dalam blender.

Hidupkan blender, dan kisar sampai lumat. Kalau rajin, boleh tumbuk je guna lesung batu.

 Hasilnya ialah air asam a.k.a ice-cream-like-stuff yang menggiurkan.

Hidangkan bersama nasi putih dan ikan bakar tadi, jangan lupa air basuh tangan sekali.

Bekas-bekas yang aku guna mostly stainless steel, unik kan?

:: wallahu a'lam ::





Sabtu, 13 November 2010

ayam masak kicap

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Masakan pertama aku sejak menganggur ni ialah ayam masak kicap, kali pertama aku memasak setelah seminggu lebih berehat. Masa bekerja hari tu lagi lah langsung tak sempat nak memasak sampai hilang dah semua skills memasak aku (jap, aku ni pernah ada skill memasak ke?). Lupa pulak, aku memang takde skill memasak pun, nak masak kena tanya Ummi bahan apa yang diperlukan dan langkah-langkahnya dari awal sampai habis. Ni resipi Ummi yang aku dah modify sikit-sikit mengikut tahap kekreatifan dan kemalasanku.

1) Blend bawang merah + bawang putih + halia + jintan manis + jintan putih + lada hitam.
2) Tumis kayu manis + buah pelaga + cengkih + bunga lawang dan masukkan bahan-bahan yang dah diblend tadi.
3) Masukkan ayam sebanyak mana yang diperlukan oleh perut-perut di rumah anda.
4) Tambah sebotol kicap saiz standard.
5) Masukkan air asam jawa.
6) Bila dah menggelegak, masukkan bawang besar yang dipotong besar-besar.

Senang gila kan? Cuma kuantiti setiap bahan tu aku yang agak-agak sendiri sebab malas nak kacau Ummi yang tengah berehat kat atas. Hasilnya memang sedap cuma kuah tu pekat gila sebab aku letak kicap satu botol! Sebenarnya bawang dan halia tu Ummi suruh tumbuk asing-asing dari jintan-jintan tu tapi aku pulak yang terlebih 'rajin' nak blend semua tu sekaligus. Lagipun aku kalau tumbuk, nanti asyik tergigit jintan je masa makan.

Sebut pasal masak kicap aku teringat zaman aku kerja kat nurseri makcik Hafsah, kena masak untuk budak-budak nurseri. Aku pulak tau masak benda-benda basic je. Yang aku paling terror masa tu ialah ayam masak kicap, cuma resipinya lain sikit iaitu: bawang merah + bawang putih + kicap + ayam +sikit air dan taraa... siap! Simple gila kan, sebab aku tak tau jintan-jintun apa yang perlu dimasukkan. Sekarang aku dah tau, alhamdulillah... Inilah salah satu hikmah menganggur dan salah satu sebab kenapa aku MEMILIH untuk menganggur. Ya, menganggur adalah pilihan aku sendiri buat masa ni.

:: wallahu a'lam ::


hikikomori

:: bismillahirrahmanirrahim ::


'Hikikomori' menurut wikipedia "...merupakan istilah Jepun yang merujuk kepada fenomena di kalangan individu-individu menyendiri yang telah memilih untuk menjauhkan diri mereka daripada kehidupan sosial, seringkali menyesuaikan diri dengan tahap pengasingan diri yang ekstrem disebabkan oleh pelbagai faktor peribadi dan sosial dalam dan luar hidup mereka...". Pakar psikologi Dr. Tamaki Saito yang mula-mula memperkenalkan istilah ni menganggarkan terdapat kira-kira sejuta 'penghidap hikikomori' di Jepun, bersamaan 20% daripada jumlah lelaki dewasa di negara tersebut atau 1% daripada seluruh rakyat Jepun. Kiranya fenomena ni dah memang sangat-sangat berleluasa kat Jepun.

 

Istilah 'hikikomori' ni first time aku jumpa kat website saifulislam.com. Sebelum ni memang aku tak pernah dengar. Ustaz Hasrizal menganggap 'hikikomori' sebagai satu fenomena bahaya di kalangan generasi Z kita. Bila baca tulisan beliau aku terfikir "Aku ni termasuk dalam golongan 'hikikomori' ke?". Sebab aku memang susah sangat nak keluar rumah dan tak suka jumpa orang. Sejak menganggur ni, berapa kali je aku keluar rumah dan tak pernah lagi isi minyak kereta sejak tak bekerja ni. Tapi bila aku fikir-fikir semula, rasanya aku bukanlah spesies 'hikikomori' sebab 'hikikomori' ni memang sengaja nak mengasingkan diri dari masyarakat sedangkan aku tak suka keluar sebab:
1) malas nak bersiap
2) 'masalah kesihatan'
... dan yang penting aku ni takdelah se-ekstrem mereka.

  
:: wallahu a'lam ::

hutan lipur lentang

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Jumaat lepas (5/11/2010), pagi-pagi lagi kami sekeluarga dah bertolak ke rumah Mak Andak kat Pahang sebab hari tu Nora bertunang dan esoknya Lina kahwin. Semua ikut sekali kecuali Abidah kat DQ dan Allamah kat Mesir, naik 2 kereta iaitu Unser Abah dan ATOZ Akak. Plan asal malam tu nak tidur rumah Mak Ulung Timah tapi rupanya dia takde kat rumah, so terpaksalah tidur kat rumah Mak Andak - dapat tidur kat bilik pengantin lagi. Mandi dan solat semua kat masjid. Esoknya lepas kenduri Lina, kami pun berangkat pulang.

Dalam perjalanan pulang tu, kami singgah di Hutan Lipur Lentang kat area Bentong (kalau tak silap). Best jugak mandi-manda kat sini. Bila lapar, kami bukak nasi yang sempat dibungkus kat kenduri rumah  Mak Andak tu. Walaupun persinggahan ni tak dirancang dengan baik, semua orang puas dapat mandi (kecuali Ummi je yang tak mandi sekali). Biasanya kalau nak mandi sungai, kami ke Ulu Yam atau Batang Kali je, kali dapat la jugak merasa tempat lain sikit. Cuma tak dapat nak tangkap gambar sebab battery handphone aku ni dah kong, gambar kenduri pun tak dapat nak ambil. Gambar gerbang masuk ke Hutan Lipur Lentang kat bawah ni aku ambil kat Google je~



:: wallahu a'lam ::


Isnin, 1 November 2010

aku setandan pisang


:: bismillahirrahmanirrahim ::


Mula-mula aku masih segar menghijau.



Kemudian berubah menjadi kuning, dan sebahagian dari diriku telah pun dipetik
 




Akhirnya keseluruhan pisang-pisangku pun diambil oleh tangan-tangan manusia.
 
 
:: wallahu a'lam ::

Sabtu, 30 Oktober 2010

ejaan

:: bismillahirahmanirrahim ::

Dalam blog ni, aku memang sengaja guna tulisan penuh dan bukan shortform sebab aku sendiri lagi suka baca tulisan yang guna ejaan penuh. Sebenarnya aku pun takdelah totally guna ejaan ikut format kamus dewan (contoh yang aku suka guna: tiada=takde, ini=ni, itu=tu etc), sebab aku rasa kaku sangat pulak nanti. Untuk buat surat rasmi, boleh la nak ikut sebijik ejaan format sebenar kan. Tapi sekurang-kurangnya aku takdela merosakkan kecantikan bahasa Melayu kot. Sebenarnya dulu aku sendiri pun memang suka guna shortform sebab rasa best dan tak skema, tapi sejak mengaktifkan diri dalam iluvislam.com, aku jadi insaf pulak. Sekarang aku dah berubah kepada manusia skema yang cintakan bahasa (",).

Tapi aku memang sakit mata kalau baca tulisan yang guna ejaan entah apa-apa. Kalau dalam SMS tu takpe jugak nak guna shortform sebab nak jimat huruf untuk muatkan dalam satu SMS. Dalam blog atau status/komen kat FB tak payah jimat aksara, takde extra charge kalau tulis berjela-jela pun. Yang aku lagi tak faham, orang yang suka-suka je ubah ejaan contohnya 'kot' jadi 'kowt', 'ke' jadi 'kerw' etc, bukan ke jadi lebih panjang lagi menyemak kalau ada huruf-huruf tambahan dalam ejaan tu, bagi aku memang buruk gila ejaan-ejaan tersebut, harap maklum. Marilah mencintai bahasa kita, kalau bukan kita yang jaga keaslian bahasa Melayu, siapa lagi yang nak jaga?

:: wallahu a'lam ::

hari akhir

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Hari ni Ahad 31 Oktober 2010 hari terkahir aku kat Utama. Tapi ni first time tau aku berblog masa tengah kerja. Biasanya aku buka emel dan Facebook je ---> Haha, lagi tak patut kan? Kerja aku ni memang rileks gila, tapi terlalu rileks ni la yang buat aku rasa lagi tak sabar nak carik kerja lain, takdelah tercongok je tunggu customer macam sekarang ni. Sekarang aku kat outlet TTDI, sampai sekarang dah pukul 1 lebih, sales masih zero. Takut gak kalau sales hari ni tak bagus, sebab aku ingat biar aku yang report sales kat bos malam ni, boleh la aku berbicara sepatah dua dengan beliau. Tapi kalau sales tak memberangsangkan, tak best la untuk direport. Ya Allah, semoga kami dapat mencapai jualan 50K! Amin.

Malam tadi, final Piala Malaysia 2010 - Kelantan vs Negeri Sembilan - Kelantan menang 2-1. Aku sebenarnya tak minat bola pun, tapi aku tumpang seronok sebab rakyat Kelantan dapat cuti hari ni disebabkan kemenangan tersebut. Yalah, berpuluh-puluh tahun diorang tak pernah-pernah menang Piala Malaysia, malam tadi diorang berjaya jugak cipta sejarah. Tahniah. Maka hari ni, aku mengumumkan cuti di seluruh Malaysia kecuali Kedah dan Terengganu. Yang pastinya, aku kat KL tapi tak cuti jugak. Rasa-rasanya kalau Utama ada outlet kat Kelantan pun, still kena buka jugak hari ni. Itulah nasib kalau kerja retail.

:: wallahu a'lam ::

Selasa, 26 Oktober 2010

sorok buku

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Pagi tadi masa aku tengah menyapu kat bawah, aku sempat menjeling jam. Dah pukul 9 pagi!!! Aku tak bersiap apa-apa lagi nak pergi kerja ni. Huhu, rilekslah... hari ni kan cuti. Cuti lagi? Minggu lepas aku cuti hari Selasa, Khamis dan Ahad. Minggu ni Isnin dan Selasa aku kerja, hari ni Rabu aku cuti lagi. Lagi 4 hari, aku akan cuti selama-lamanya dari Utama... Tak sabar ke? Wallahu a'lam, sebab tak tau lagi masa depan aku nanti macam mana. Aku harap jauh lebih baik dari sekarang.

Aku pun teruskan menyapu sampah, dari dapur ke ruang tamu, kemudian ke bilik umi abah. Masa nak sapu bawah rak abah, aku terjumpa beberapa buah buku sekolah Ataullah. Haha, ni mesti kerja Amilah atau Amru. Kalau aku jumpa buku Amilah, tu mesti kerja Ataullah atau Amru. Adik-adik aku yang kecil-kecil ni (terutamanya Amilah, betul tak Amilah?) kalau bergaduh, lepas geram dengan menyorokkan buku sekolah orang yang dia geram tu. Itu memang perangai adik-beradik aku masa kecil sejak turun -temurun bermula dari adikku yang ke... berapa entah. Rasa-rasanya aku tak macam tu masa kecil dulu. Heh, yeke?

:: wallahu a'lam ::

Ahad, 24 Oktober 2010

baca

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Aku pun tak sedar sejak bila membaca tu dah jadi hobi aku. Rasanya sebelum ni aku memang sangat malas membaca. Yang aku perasan, sejak kat UIA Kuantan baru aku ada koleksi bahan bacaan selain buku-buku pelajaran. Ada seseorang pernah pesan, bawa je buku ke mana-mana kita pergi, sebab mesti akan ada masa terluang yang boleh kita isi dengan membaca. Itulah yang aku amalkan sekarang, dan dengan amalan tersebut dah agak banyak jugak buku-buku yang aku habiskan dari kulit ke kulit.

Cuma satu je, aku tak berapa suka orang tau buku apa yang aku tengah baca. "You are what you read". Aku percaya kita boleh kenal orang daripada apa yang dia baca, jadi aku tak suka orang judge aku berdasarkan buku yang aku tengah baca. Pernah satu hari aku baca buku tulisan Dale Carnegie kat tempat kerja, rakan sekerja aku tanya, "Awak memang suka baca buku motivasi ye?". Hakikatnya bukan buku motivasi je, aku baca semua jenis buku, takdelah terhad pada genre, penulis atau format tertentu. Dari seringan-ringan komik picisan, sampailah ke buku-buku yang membicarakan isu-isu berat, semua aku layan. So, buku yang aku sedang baca tak menggambarkan diri aku secara total. Ok?

:: wallahu a'lam ::

Khamis, 21 Oktober 2010

resignation

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Seperti yang aku tulis dalam post pertama blog ni, aku dah hantar notis berhenti kerja effective on awal Januari tahun depan. Maknanya ada 2 bulan lebih lagi aku kena kerja. Tapi petang semalam, masa aku tengah syok-syok cuti kat rumah, Kak Adah call cakap, "Company 'bermurah hati' nak bagi 'pelepasan' 2 bulan lebih awal. Jadi awal bulan depan awak dah 'bebas'. Akak letak 'surat cinta' ni atas meja, esok awak ambil ye". Aku terkedu tapi masih mampu mengekalkan suara yang tenang di atas talian. Sempat juga aku ucap terima kasih sebelum mematikan perbualan. Hoho... Maknanya aku kerja sampai hujung bulan ni sahaja, juga bermakna tinggal beberapa hari sahaja lagi aku akan mula bergelar penganggur terhormat, dan bakal tiada pendapatan sendiri sekiranya... aku tak carik kerja lain secepat mungkin.

Esoknya, aku buka surat cinta tersebut dengan perasaan yang berbaur. Rasa gembira dan bebas, sebab dapat lepas awal. Sedih dan geram, sebab rasa sangat tidak diperlukan. Staf aku beritahu, bukan aku seorang yang kena, rupanya 2 orang lagi yang bagi notis sama dengan aku pun mengalami nasib yang sama. Bezanya, mereka belum bersedia nak berhenti, yang aku memang dah tak sabar-sabar nak berhenti. Dan mereka merancang untuk menuntut hak mereka sebab diberhentikan awal daripada notis. Seorang dari mereka melepaskan perasaan kat aku, "I respect U (company) all this while, but U don't respect me at all". Memang lagi 2 orang tu sangat berdedikasi terhadap company, bukan macam aku yang memang dah takde hati untuk company ni. Mereka memang tak sangka company sanggup buat macam tu kat mereka. Aku? Redha je... malas nak panjang-panjangkan cerita.

Bila balik rumah malam tu, abah kata aku boleh saman company. Aku buka balik agreement masa aku mula kerja dulu, memang ada kata aku kena buat notis 3 bulan sebelum berhenti, dan company pun kena bagi notis 3 bulan sebelum berhentikan aku. Tapi sekarang mereka dah berhentikan aku tanpa notis 3 bulan, dan surat 'suruh berhenti' black & white dah ada kat aku. Entahlah, aku kena bicang dulu dengan yang lain patut ke nak ambil tindakan dan tindakan apa yang patut diambil.

:: wallahu a'lam ::

...

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Ini cerita pagi semalam, tapi semalam aku kerja tak sempat nak berblog. Selasa cuti, Rabu (semalam) kerja, hari ni cuti... memang tak menentu cuti aku. Dalam pukul 7 pagi semalam aku ambil Ain dari terminal bas Shah Alam bawak duduk rumah aku jap sebab dia ada interview kat MSU pukul 10 a.m. Dalam pukul 9.15 a.m kami pun keluar, kebetulan MSU memang on the way ke NKVE - jalan yang aku guna untuk ke TTDI. Lepas turunkan Ain kat MSU, tiba-tiba aku jadi keliru nak ambil jalan mana untuk meneruskan perjalanan ke NKVE sampai aku terpaksa brek mengejut dan berjaya men'terkejut'kan seorang pemandu teksi di belakangku.

Aku bertafakkur sebentar sebelum memecut ke lorong kanan dan memotong semula teksi tersebut. Aku tak berniat nak cari pasal - aku memang nak cepat sebab jam dah dekat pukul 10 pagi. Tapi aku nampak pemandu teksi tu bukak pintu dan seakan-akan bercakap sesuatu kat aku, tapi aku terus je memecut. Bila nampak Petronas kat belah kiri, aku teringat yang meter minyak tu lagi sikit je nak cecah E . Nak tak nak, aku kena singgah Petronas sebab kat highway nanti lagi leceh nak singgah-singgah. Maka terpaksa la aku membelok masuk ke Petronas di sebelah kiri terus dari lorong kanan. Sebelum tu aku dah pastikan takde kereta di lorong kini dan kanan yang dekat di belakang aku. Teksi tadi pun dah agak jauh aku tinggalkan.

Yang tak sedapnya, teksi tu ikut pulak aku masuk ke Petronas tu dan masuk dari arah depan tempat kereta aku berhenti dan berhenti betul-betul kat sebelah kereta aku. Masalah betul la, nasib baik pemandu tu Melayu, so takdelah aku takut sangat. Kalau India aku takut la jugak. Dia kata, "Awak bawak kereta macam mana ha? Main masuk je mana-mana suka". Haha, macam la Pakcik tak pernah buat salah atas jalan. Tapi aku malas nak menjawab nanti panjang pulak ceritanya, aku dah la terlewat. Aku pun turunkan cermin dan cakap, "Saya tak sengaja, minta maaf", dengan muka tak bersalah dan terus naikkan semula cermin tingkap - kena jugak berhati-hati kan walaupun orang tu tak nampak membahayakan. "Bahaya, tau tak?", aku angguk dan dia pun beredar.

Mesti dia terkedu tengok muka aku yang takde perasaan tu, cakap panjang pun tak guna kot. Sebenarnya aku segan jugak dengan mamat yang jaga pump tu tapi terpaksalah buat muka selamba minta jugak dia tolong bukakan tempat minyak dan isikan minyak kereta aku.

:: wallahu a'lam ::

Selasa, 19 Oktober 2010

kereta

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Malam tadi aku sampai rumah dari TTDI dalam pukul 10 p.m. Aku nampak ada ATOZ parking cantik je kat foyer rumah aku. Aku tau tu akak punya. Dia memang plan nak beli ATOZ terpakai, sebab katanya kalau beli kereta baru kena berhutang dengan bank. Sampai sekarang aku tak merasa lagi bawak ATOZ akak tu sebab akak dah keluar pergi kerja dari pagi tadi sampai sekarang belum balik. Macam mana la rasanya ye bawak ATOZ tu ye~

Aku ni bila pulak nak beli kereta sendiri? Huhu, aku pun dah tak larat nak dengar soalan tu. Tapi pastinya jawapan aku masih sama: Aku taknak beli kereta apa-apa lagi selagi Kancil abah tu masih berfungsi. Sebenarnya 2 minggu lepas aku dah beli motor by cash. Of course 2nd hand jugak Tapi tiba-tiba je aku dah kena transfer kerja ke TTDI, mana la aku berani nak bawak motor sampai ke KL sana. Takpelah, just wait & see...

:: wallahu a'lam ::

mengemas

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Hari ni aku cuti, tu yang boleh buat blog tu. Malam tadi aku SMS Sab, dia pun cuti hari ni, aku ajak dia lepak rumah aku. So pagi tadi aku pun bersungguh-sungguh la mengemas rumah untuk menerima kehadiran tetamu tersebut. Aku memang mengemas habis-habisan terutama bahagian dapur - aku ambil masa 4 jam untuk bersihkan dapur sahaja. Bukan sebab dapur tu sangat kotor, tapi sebab bagi aku dapurlah tempat yang wajib nampak bersih sebab kebersihan dapur yang menentukan impression orang terhadap rumah kita.

Tapi rupanya Sab tak jadi datang, aku tak kisah sebab aku tak masak apa-apa pun. Aku tak rasa pun usaha aku mengemas beria-ia tu sia-sia sebab aku memang suka mengemas. Dulu aku pelik bila ada orang kata "Bila rasa stress, saya akan mengemas untuk release tension". Tapi baru aku sedar rupanya aku pun spesies tu jugak. Lepas mengemas je, fikiran akan jadi lebih tenang dan lapang. Itulah yang aku alami sekarang, sebab tulah semua benda yang aku plan hari ni berjalan lancar, alhamdulillah~

:: wallahu a'lam ::







Isnin, 18 Oktober 2010

konvo

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Baru-baru ni (3/10/10) aku konvo untuk ijazah pertama aku kat UIA. Tapi ni bukan konvo aku yang pertama sebab sebelum ni aku pernah konvo kat DQ tapi itu untuk sijil je. Kali ni aku konvo sekali dengan akak, cuma akak sesi pagi, aku sesi petang, Hood aku warna pink, hood akak warna kelabu (ikut course).

Ummi tak dapat datang sebab Amru ada pertandingan hafazan wakil PASTI al-Quds (Amru dapat no. 2, ok la~). Jadi masa konvo tu, aku dan abah tengok majlis akak waktu pagi, akak dan abah tengok majlis aku waktu petang. Mesti abah bored gila, dari pagi sampai petang tengok benda yang sama. Dah la masa pergi dan balik tu, traffic UIA jammed teruk. Ada hikmahnya jugak ummi tak pergi, kalau tak mesti ummi tak larat.

:: wallahu a'lam ::

1st of 2nd

:: bismillahirrahmanirrahim ::

Alhamdulillah, terhasil jugak akhirnya blog rasmiku yang kedua. Dan ini adalah post ku yang pertama untuk blog keduaku ini. Blog lama aku <dilasour.blogspot.com> telah dihadkan pembacanya kepada seorang pembaca sahaja iaitu diri aku sendiri. Sebenarnya aku pun dah lama gila tak menulis dalam blog tu, tak pasti sejak bila, tapi yang pastinya sejak aku dah start kerja, memang sekalipun aku tak pernah sentuh blog tu. Untuk blog ni, aku masih kekalkan style kat blog lama, cuma bezanya content dalam blog ni lebih terbuka.

Sekarang dah nak masuk 6 bulan aku kerja, dan dah hantar notis pun untuk berhenti hujung tahun ni. Aku belum apply apa-apa kerja lain, tapi aku dah buat notis berhenti sebab agreement aku dengan company memang kena buat notis 3 bulan sebab aku dah dikira permanent sejak mula masuk kerja.

:: wallahu a'lam ::