Monday, March 8, 2010

Rabi'ul Awwal yang Bersejarah




Rabi'ul Awwal, lahirnya seorang kekasih Allah,
Pembawa rahmat ke sekalian alam..


Rabi'ul Awwal juga perginya Rasul junjungan..
Membawa bersama cinta dan kasihnya kepada ummat..

Rabi'ul Awwal, perginya jua kasih seorang ayah,
Membawa bersama kebajikan dan kasihnya kepada perjuangan...


Al-Fatihah..



...................................................................

Tulisan 5 hari selepas arwah ayah pergi pada 13 Rabi'ul Awwal 1429H

Maaf kerana bahasa terlalu 'sempoi'

................................................................

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Sekarang di Muar lagi. Cyber cafe, dok ngantar emel pada lecturer, data Hilal.

Sebenarnya, takde ape yang boleh diceritakan tentang arwah ayah, tapi tak tahu kenapa hati sangat meronta-ronta untuk menulis sesuatu buat penenang hati dan merawat sedih...

Ayah hanyalah orang yang biasa, tapi semangat perjuangannya sangat luar biasa. Tak tahu nak ceritakan dari mana. Ayah pergi setelah sempat melihat kemenangan PAS di 2 DUN di Johor, negeri tanah tumpah darah dan kesayangannya.

Negeri yang sejak hampir 30 tahun ayah menyertai PAS dan bergerak aktif didalamnya. Negeri yang pernah 'mereka tak faham lagi tentang PAS' mengacukan parang bila berkempen, negeri yang orang selalu kata - kalau letak batang pisang atas tiket BN pun sure menang punye - negeri yang kebanyakannya orang Jawa (biasanya memang setia pada yang satu)!

Mungkin kemenangan 2 DUN ini lebih menggembirakan ayah dari melihat anaknya gembira dan mendapat cucu baru dua bulan lepas, kerana itulah perjuangan ayah.

Ayah seorang yang tegas pada prinsip, kalau ayah rasa itu salah, salahlah, ayah pasti akan mempertahankan pandangannya dalam mesyuarat dan dalam jemaah sendiri, demi memperbaiki, ayah tak kisah, ayah akan cakap "jangan".

Berani berkata benar. Ayah pasti akan kata - kene buat juga usrah, walaupun ada yang kata tak perlu sangat - ayah akan kata, banyakkan Ngo - walaupun orang pandang tak perlu - ayah akan kata apa yang difikirkannya benar tanpa perlu mengambil hati siapa2...!

Ayah selalu merasakan diri tak layak...

Pernah waktu Ustaz Omar (Jani), Pesuruhjaya PAS Johor meninggal dunia dahulu, arwah Ustaz Fadzil (Mohd Noor) kata anta jadilah Pesuruhjaya. Ayah kata, "ana takde ilmu, Pak Daeng (Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok) la syeikh..."

Ayah akan mementingkan jemaah lebih dari kepentingan dirinya...

Pernah ayah tanak (tidak mahu) pegang sesuatu jawatan kerana lebih mengutamakan jamaah. Biarlah ape org kata, hanya ayah dan keluarga yang mengetahuinya...

Ayah tak kisah orang copy paste dan bawak ke mana paperwork pengurusan yang dibuatnya dahulu. Asalkan untuk kebaikan semua!

Semasa lepas Maghrib waktu pengiraan undi dan dapat tahu PAS menang di DUN Sg. Abong, tempat kami anak beranak mengundi, masa tu ayah tengah rehat di bilik kerana terlalu penat, lalu bingkas bangun dan sebut Allahu Akbar!!!

Bingkas dia ambil baju kot yang dah lama ditinggalkannya dan terus ke Dewan Jubli Perak tempat mengira undi di sana dan ke markaz sehingga pukul 4 pagi baru balik rumah.

Takpe ayah, semua hasil penat lelah ayah selama ni Allah dah bagi kemenangan dengan bantuan-Nya!

Sabtu malam, lepas ayah nak sangat ke Dewan Jubli Perak ada jamuan rakyat sempena kemenangan, Pak Cik Salahudin Ayub (YB) nak jumpe borak2 dan Pak Ungku (Dr Ungku Mohd Noor - dulu Bendahari PAS Johor) nak jumpe ayah bagi ubat, tapi ayah tak larat sangat nak ke sana.

Mungkin takde jodoh ayah nak jumpe sahabat2 baiknya...

Selepas 2 majlis di rumah hari Sabtu,15 Mac lalu, ayah nampak sangat penat, tapi masih lagi ke sana ke mari.

Selalu sangat tak nak susahkan anak2. Pukul 3 pagi Isnin, mak kejutkan kami, kata ayah sakit dada, nak ke hospital.

Mak kata ayah tak kasi ikut. Ayah yang drive sendiri kereta ke hospital. Begitulah ayah, selalu sangat nak buat kerja sendiri dan tak nak susahkan sesiapa.

Akhirnya ayah masuk CCU di Hospital Muar. Barulah mak suruh datang hospital..

5 hari bersama ayah di hospital. Barulah boleh pegang lama-lama tangan ayah, baru boleh urut2 selalu kaki ayah.

Bila fikir2, bukan ayah yang sibuk juga, tapi kesibukan kami juga yang menyebabkan sangat kurang masa bersama ayah...(moga Allah ampunkan dosa2 anak
ayah ni)!

Mak cerita, rupanya2 ayah dah berjumpa dengan 'lelaki berjubah' lambai dan senyum2 pada ayah masa ayah di CCU.

Terubat juga melihat wajah jenazah ayah yang senyum dan berpeluh-peluh, semacam ayah masih ada lagi bersama kami.

Tersentuh juga bila Kak Muna cerita mimpi arwah Ustaz Fadzil (Mohd Noor) kemas2 bilik. Moga2 ayah dapat bertemu dengan arwah di sana dan jumpe dengan sahabat2 ayah dalam perjuangan.

Arwah Ustaz Fadzil dapat sambut ayah, sahabat kesayangan ayah sehingga ayah buatkan puisi utk arwah Ustaz Fadzil dan selalu sahaja sebut2 namanya.

Esoknya, Ustaz Zakaria (rakan Allahyarham - Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Bakri), mengikut ayah meninggal dunia dalam tidurnye... moga berjumpa juga di taman Firdausi..

Setelah ayah pergi, diri menahan rasa sedih, biar mak tak nampak anaknya menangis.

Sahabat2 ayah datang dari jauh dan dekat, tak putus2 sehingga hari semalam (Ahad - 23 Mac) Sabtu sehari selepas ayah meninggal.

Baru boleh nangis sepuas hati. Lebih sebak lagi bila ambil kereta ayah di Hospital Muar, masih ada lagi bahan2 PRU dalam kereta ayah...

Kepada sahabat2 ayah yang susah senang bersama ayah, memahami ayah, mempercayai ayah, terima kasih diucapkan. Kepada semua kawan2 ayah, maafkan ayah seandainya ayah ada kesalahan dan kekurangan, kepada yang masih berhutang dengan ayah, tolong bagi tahu.

Yang mendoakan ayah, yang menziarahi ayah di kala ayah hidup dan lebih2 lagi setelah ayah meninggal dunia,terima kasih tak terhingga.

Terima kasih kepada sahabat2 rumah, sahabat2 sebatch, sahabat2 seJohor dan sahabat2 Nisa' yang disayangi semua dan semuanya yang tak dapat disebut di sini atas doa, ziarah, ucapan takziah dan kasih sayang sahabat2 semua kepada kami sefamily...

Ayah, tenanglah di sana, seperti kata sahabat ayah di perkuburan, rehatlah Mail!

Pengakhiran talqin yang Ustaz Kasim baca di perkuburan diakhiri dengan 3 kali takbir, melambangkan itulah perjuangan ayah dan pengakhiran hidup ayah juga.

Ayah, kami usaha untuk sambung perjuangan ayah dan kebaikan yang banyak telah ayah buat, sebagaimana pesan sahabat2 ayah, "teruskan perjuangan ayah, contohi kebaikan yang ayah dah buat, ayah mulia kerana mendapat hamparan Jumaat kepadanya!"

Maaf atas coretan dan kata2 yang banyak kekurangan ini...

Doakan kami anak-anak ayah jadi anak soleh solehah dan mak sentiasa tabah dan sabar..

Coretan anak pejuang
dijahis khaDIJAH ISmail

Thursday, February 11, 2010

Rindu Sahabat







Awal coretan ini, teringat kisah sayangnya sahabat Rasulullah kepada Rasulullah SAW dan sayangnya Rasulullah kepada sahabat-sahabat..

Sehingga setelah wafatnya Rasulullah, Sayyidina Bilal bin Rabah tidak dapat mengalunkan azan ketika tibanya 'Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah' lantaran terlalu sebak teringatkan Rasulullah.. Rasulullah juga, tika hidupnya, amat memahami sifat dan kebiasaan sahabat-sahabat. Rasulullah apabila didatangi oleh sahabatnya Abu Bakar dan Umar, masih jua berbaring ketika menjemput mereka masuk ke rumah, namun, ketika Saidina Othman ingin masuk ke rumah, apabila ditanya siapa di luar pintu, dijawabnya 'Othman', Rasulullah bingkas bangkit dari pembaringan. ini menimbulkan cemburu dan pelik di hati ABu Bakar dan Umar lantas bertanya mengapa ketika kami sampai Rasulullah tidak bangkit dari pembaringan tetapi ketika Othman sampai Rasulullah nampak menghormatinya dan bangkit?, Rasulullah menjawab, Othman ini sangat pemalu orangnya, oleh itu aku bangkit dari pembaringan juga kerana malu padanya. Begitulah betapa faham dan hormatnya Rasulullah pada sahabat begitu juga kasihnya Rasulullah pada sahabat sehingga bersama-sama sahabat berlapar dahaga di panas terik menggali parit dalam perang khandaq, bukanlah, tabiat seperti seorang ketua yang berlagak seperti mandor!

Rindu pada sahabat memang fitrahnya insan, lebih-lebih lagi sahabat yang pernah susah senang bersama, bangun bersama dan jatuh bersama. Pada sahabat yang bersama-sama bekerja membantu agamaNya dengan kudrat yang kecil, tentulah merasa kehilangan ketika seorang sahabat tiada di sisi..

" Kita buat slide tentang seorang daie muda!" "Slide bagaimana k mas?" kita perlu gambarkan bukan mudah menjadi seorang daie muda, lebih-lebih lagi yang sedang belajar, yang ada ibu ayah yang telah tua yang perlukan perhatian kita.. dalam slide tu k mas nak kalau boleh gambarkan daie muda ni macam kamu semua, yang ada suami, yang baru ada anak-anak kecil, tapi ingin benar ingin menyumbang untuk Islam" Kalau yang baru kahwin, kita kena jaga hati mak ayah mertua, yang ada anak kecil pula perlu beri perhatian pada anak-anak, bagaimana?" panjang lebar kak mas memahamkan kami..

" You all ada anak-anak kan? Rasa selamat tak anak-anak bila keluar rumah? Kalau you all nak duduk rumah je jaga anak, then tak nak tolong Islam walau sedikit, nanti bila suasana di luar tak berubah kepada lebih baik dan Islam, anak-anak u akan selamat dengan yuo all, tapi bila keluar tak selamat juga kan? semuanya Allah yang jaga.." begitulah k mas, selalu menjentik akal supaya berfikir dan berfikir.. membantu sehabisnya terbaik dan ikut kemampuan kita untuk Islam.


Sebenarnya teramat rindu untuk bersama sahabat-sahabat dalam setiap program, namun kekadang hanya dapat membantu sedikit sahaja, sebelum program ada, semasa program tiada.. buat kerja di pertengahan jalan, sekejap datang, sekejap tidak, memang benar realiti seorang daie muda! rindu pada sahabat-sahabat!

Sunday, January 17, 2010

Gerhana Matahari Penuh Misteri?

















Pelajar, lecturers, ketua jabatan Fiqh dan Usul sedang melihat gerhana :)

Benarkah gerhana matahari penuh misteri? Pasti anda akan pelik apabila melihat telur boleh berdiri sendiri semasa gerhana tetapi tidak pada waktu lain..

Sebenarnya, pelbagai aktiviti menarik dapat dilaksanakan semasa cerapan gerhana matahari. Boleh terjadi pelbagai perkara.. Kajian terhadap matahari masih banyak lagi perlu dilakukan. Kaitan matahari dengan penduduk bumi, struktur matahari seperti korona dan sun spot serta struktur matahari yang lain masih lagi dalam peringkat kajian. Menarik apabila korona matahari dapat dilihat apabila berlakunya gerhana matahari penuh.

Sahabat-sahabat boleh melihat banyak website yang boleh menerangkan perihal matahari seperti RISE (Research Institute for Sustainable Energy) Information portal : http://www.rise.org.au/info/Res/sun/index.html. Maaf kerana tidak dapat berkongsi dengan lebih detail tentang perkara ini.

Saya hanya ingin berkongsi aktiviti yang kami lakukan di Akademi Pengajian Islam UM. Boleh juga lihat dalam website ini, ruangan remaja dalam harakahdaily :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=24289:aktiviti-bersama-remaja-falak-cerap-gerhana&catid=109:remajawanita&Itemid=151

Banyak lagi yang boleh dilakukan kajian selepas ini.. sekiranya sahabat-sahabat ada cadangan kajian apa kita boleh lakukan selain melihat telur berdiri dan melihat bayang serta cerapan gerhana matahari, bolehlah bagi cadangan :)

Thursday, January 14, 2010

Gerhana Matahari Hari Ini


Sukacita dimaklumkan bahawa Program Astronomi Islam Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam dengan kerjasama Makmal Fizik Angkasa, Fakulti Sains Universiti Malaya akan mengadakan aktiviti cerapan gerhana matahari separa dan solat sunat gerhana pada 15 Januari 2010 (Jumaat) ini. Butir –butir mengenai aktiviti ini adalah seperti berikut:


Tarikh: 15 Januari 2010 bersamaan 29 Muharram 1431H

Masa: 2.45 – 5.45pm

Tempat: Surau APIUM


Berikut adalah tentatif program:

2.45 Ketibaan peserta

3.01 Cerapan Fasa Pertama Gerhana Matahari

3.45 Solat dan Khutbah Gerhana

4.26 Cerapan Fasa Maksimum Gerhana

4.47 Solat Asar

5.38 Cerapan Fasa Terakhir Gerhana

5.45 Bersurai/ program berakhir


Semua dijemput hadir. Terima kasih.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Gerhana matahari : Menurut Pandangan Islam dan Astronomi.

Sahabat-sahabat boleh melihat artikel saya dalam kolum remaja di website harakahdaily



http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=24258%3Agerhana-matahari-apa-pandangan-islam&catid=106%3Aremaja&Itemid=28

mari kita hidupkan sunnah dengan melakukan solat gerhana..

kaifiat solat gerhana :

Cara Solat Sunat Gerhana
Gerhana Penuh Matahari

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! (Solat berjemaah)

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”


Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari

أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Boleh dilakukan di mana-mana samada di rumah, musolla, surau atau masjid. Walau bagaimanapun yang afdhal ialah masjid yang didirikan Jumaat.

i. Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari :

أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”


ii. Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”


i. Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ia adalah yang sekurang-kurangnya. Yang akmalnya dilakukan dengan dua kali ruku’ dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

ii. Yang terlebih akmal ialah dengan 2 rakaat, dengan 2 ruku dan qiyam bagi tiap-tiap satu rakaat dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

Kaifiatnya adalah seperti berikut:

Berdasarkan hadis :

عن عائشة نحو حديث ابن عباس وقالت: أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم خَسَفَتِ الشَّمْسُ قَامَ فَكَبَّرَ وَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً ثُمَّ رَفُعَ رَأْسُهُُ فَقَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَقَاَم كَمَا هُوَ نَقَرَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً وَهِىَ أَدْنى مِنَ القِرَاءَةِ الأُولَى ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً وَهِىَ أَدْنَى مِنَ الرَّكْعَةِ الأُولَى ثُمَّ سَجَدَ سُجُودًا طَوِيلاً ثُمَّ فَعَلَ ِفي الرَّكْعَةِ الآخَِرةِ مِثْلَ ذلِكَ ثُمَّ سَلَّمَ وَقَدْ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسِ فَقَالَ ِ في كُسُوفِ الشَّمْسِ وَالقَمَرِ إِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آياَتِ اللهِ َلا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وََلا لحَِيَاتِهَ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ.


Maksud: Dari Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang (seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian beliau mengangkat kepala dan mengucapkan Sami’ Allahhu Liman Hamidah, dan beliau berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan (dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian beliau sujud dengan sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian beliau bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang akhir (kedua), Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bersyukurlah kepada solat gerhana”

(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)


عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بنِ العَاصِ أَنَّهُ قَالَ: لَمَّا انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ نُودِىَ بِ ( الصَّلاَةُ جَامِعَةً ) فَرَكـَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ قَامَ فَرَكـَعَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ جُلِّىَ عَنِ الشَّمْسِ. فَقَالَتْ عَائشَةُ: مَا رَكَعْتُ رُكُوعًا قَطَُّ. وَلاَ سَجَدتُ سُجُودًا قَطَُّ. كَانَ اَطْوَلَ مِنْهُ.

Maksud: Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, beliau berkata: “Tatkala matahari gerhana pada masa Rasulullah SAW, maka diserukan : ‘as solatu jami`ah’. Lalu Rasulullah SAW melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian berdiri lagi dan melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian matahari kembali muncul. Aisyah berkata: “Aku sama sekali tidak pernah melakukan ruku’ ataupun sujud yang lebih lama daripada itu”

(Sahih Muslim 2-hlm: 81) Secara ringkasnya seperti berikut : A Rakaat Pertama
1. Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca Ta`awudz. ( تعاوز )
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca mana-mana surah,yang terlebih afdhal surah ABaqarah.
6. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 ayat.
7. Iktidal (AllahuAkbar)serta membaca surah al-Fatihah dan membaca ali-Imran atau mana-mana surah.
8. Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 ayat.
9. Iktidal.(SamiAllahulimanHamidah)
10.Sujud dan membaca tasbih.
11.Duduk antara 2 sujud.
12.Sujud kembali.
13.Berdiri ke rakaat kedua.

B. Rakaat Kedua
1. Membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.
3. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 ayat semasa ruku’.
4. Iktidal (AllahuAkbar) serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah Al-Maidah atau mana-mana surah. 5. Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.
6. Iktidal.(SamiAllahulimanHamidah)
7. Sujud dan membaca tasbih.
8. Duduk antara 2 sujud.
9. Sujud kembali.
10.Membaca tasyahud akhir.
11.Memberi salam.

* Tiada iqamah tapi cukup sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
* Mana-mana surah hendaklan mengikut susunan surah dari Al-Quran
* Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan dan perlahan ketika solat sunat gerhana matahari.
* Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.

Khutbah Solat Gerhana :

Dalil dari Aisyah r.a. berkata :

ثم سلم وقد تجلت الشمس فخطب الناس فقال في كسوف الشمس والقمر إنهما آيتان من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فافزعوا إلى الصلاة.


Ertinya : Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana”

(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)

i. Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang. ii. Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir. iii. Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya. iv. Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah. ( Khutbah adalah seperti dilampirkan )

Secara umumnya bila pertembungan ini berlaku maka kaedahnya didahulukan yang paling ringan. Sekiranya sama nilainya, maka didahulukan yang paling kuat.

Contoh : i. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat jenazah maka didahulukan solat jenazah. ii. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat fardhu di awal waktu maka didahulukan solat gerhana kerana dibimbangi matahari atau bulan kembali cerah. Tetapi jika berlaku pertembungan itu diakhir waktu solat fardhu maka didahulukan solat fardhu. iii. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan witir didahulukan solat gerhana.


Matla’ Badrain. Abu Ishaq Bin Ali Bin Yusuf al-Fairuzabadi, Al-Muhazzab, Juz 1, terj : Ali Achmad, Muhammad Yasin, Abdullah & Huda, Perniagaan Jahabersa. Perniagaan Jahabersa. Ust Hj. Fadzil Hj. Ahmad. Hidup Ibadat , Pusat Pemasaran Motivasi, K.L Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia Hukum wanita dan keluarga, Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam. Pustaka Dini.

Sumber : wikipedia

Tuesday, December 22, 2009

Berjalan dan Mentafsir























Banyak betul ingin dikongsi, alhamdulillah, dalam 2minggu lepas, kami ke JB, Singapura dan Kuching sarawak. Kalau bukan kerana program-program, tentu tak dapat berjalan begini :)

Simposium Kebangsaan Fiqh Sains dan Teknologi pada 10-11 Disember memang sangat bermanfaat. Dapat jumpa tok guru saya dan mendengar syarahannya, Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi tentunya perkara sangat ditunggu-tunggu. Bermalam di rumah Busu (adik mak) - terima kasih!, ke rumah abang Syakirin dan Farha, jalan-jalan makan mi bandung yang sedap dan solat di Masjid Abu Bakar di JB tentunya merakam kenangan..

Sehari kemudian, ke Singapura. Abang ingin berjumpa sahabatnya, Us Munawwar, bekerja di Islamic Bank of Asia serta berjalan-jalan ke tempat-tempat tinggalan Islam dan Melayu katanya, itulah kegemaran abang, bukan ke Zoo Singapura yang ada macam-macam binatang best dan taman orkid yang cantik.. (tak dapatlah saya ke sana :p) disebabkan hanya sehari sahaja, kami hanya dapat ke 3 buah tempat, Masjid Sultan, Masjid Tertua di Singapura, ke Malay Village (semacam sudah tiada village nya, cuma ada sebagai tontonan) dan ke Maqam Habib Noh. Menariknya diceritakan tentang Habib Noh : maqamnya ingin dirobohkan untuk dibuat jalan, tetapi tak dapat-dapat dirobohkan sehingga ada seorang yang meninggal kerana jengkautnya terbalik.. wallahu a'lam benarkah cerita ini..akhirnya jalan terpaksa dibina bersebelahan dan membelok.

Pada 12 Disember, sempat ke kenduri Mahfuzah, bersama Wani dan Bonda Maryam (terasa seperti masa bujang-bujang dulu) :) abang ada program.. Moga bahagia sehingga akhir hayat dan mendapat zuriat soleh solehah..

16 Disember, kami dikejutkan dengan berita tok wan abang, ayah kepada baba meninggal pada 1 pagi, kami ke yan, kedah. Abang menjadi Imam solat jenazah kerana baba dan mama ke jordan.. Moga ruhnya dicucuri rahmat. Kami pulang semula ke KL dan ke Kuching Sarawak dapa 18 Disember.

Terima kasih kepada Akhi Syamsul kerana membawa kami dari awal sampai airport hingga pulang, berjalan-jalan. Kami berjalan kaki selama 3jam ke bandar kuching area woterfront. Perkara yang saya perhatikan, terdapat persamaan antara kuching dan singapura, jalannya sangat bersih. Singapura bersih, jalan baik dan bangunannya cantik. Jika di Malaysia, selalu sahaja ada lopak-lopak di sana-sini, tetapi di Singapura, jalan yang kami lalui sangat best.

Antara tempat yang kami lalui adalah Woterfront, tepi sungai, nampak nun di seberang adalah Bangunan Dun Sarawak, sangat cantik dan besar bagai istana (rumput karpet di hadapan Bangunan DUN diceritakan bernilai RM200 ribu, wah, boleh beli rumah sebiji), kami berjalan juga di masjid India, Masjid Kuching, Mahkamah Lama dan lain-lain lagi.. Benarlah, berjalan, memerhati dan mentafsir mampu meningkatkan pengalaman hidup, melihat negara dan negeri orang, dapat lebih memahami budaya dan sikap mereka!

Sekadar berkongsi cerita...

Syarat Ke Syurga




" Nak dapat SLAB/I pun ada syarat, nak buat apa-apa pun ada syarat, apatah lagi, nak ke syurga pun tentu ada syarat" ucapan Huda, sahabat baik di Universiti Malaya dulu yang baru sahaja beredar dari bilik di Jabatan Fiqh Usul sebentar tadi terngiang-ngiang di telinga..

Terima kasih huda kerana mengingatkan, tentunya itu juga menjadi muhasabah bersama.

Tak sangka, nak masuk 2 bulan Nur Fatimah meninggalkan kami.. Bukan sedikit air mata yang mengalir kerananya, jantung hati kami.. Hampir setiap hari air mata mengalir dek kerana mengingati Nur Fatimah.. Namun tentu besar hikmah yang Allah ingin bagi (hati sentiasa mengingatkan).. " Benda yang kita tak nampak bang, memang kite manusia kadang-kadang dan selalu rasa kehilangan.. Benda yang kekal abadi dan benda yang tak nampak kite sering terlupa" kata-kata saya pada abang tempoh hari sebenarnya untuk diri sendiri.

" Mana tahu, dengan sabar awak dan ramadhan, yang itulah syarat awak dah penuhi ke syurga" kata-kata Huda memang menusuk jiwa. Terima kasih Huda..

Diri banyak termuhasabah, apabila ada lagi ujian anak yang lebih berat lagi, ada yang anak mereka lemas keempat-empat sekali, ada yang meninggal 2 anak sekaligus.. Alangkah beratnya.. mg2 mereka sabar dan tabah..

Kita semua tak tahu dengan amalan apa yang kita telah lakukan dapat membawa kita ke syurga.. Kadang-kadang amalan banyak, tapi ada sedikit unsur syirik kecil, riya', kurang ikhlas dan sebagainya..

Seorang pelacur, Allah melihat dengan pemberian air kepada anjing yang dahaga menjadi penyebab dirinya mendapat ihsan Allah dan diampunkan dosa..

Seorang pejuang yang mungkin di dunia mendapat gelaran syahid, tetapi Allah menempelak dirinya kerana rupa-rupanya diri tidak ikhlas berjuang dan akhirnya syahid bukan kerana Allah, tapi kerana ingin namanya disebut orang, akhirnya dirinya mendapat murka Allah.. Alangkah malangnya..

Moga diri saya, kita semua sentiasa mendapat redha Allah sepanjang waktu dan ketika, sentiasa diampunkan Allah dosa-dosa dan moga-moga Allah melihat amal kita yang sedikit, sabar kita terhadap ujian dunia dan mendapat syurga-Nya.. Amiin Ya Allah.. Ampunkanlah kami..

Wednesday, November 18, 2009

Esok Raya ke Tidak?




Gambar di teluk Kemang : Prof Dr Mohd Zambri Zainuddin, pensyarah Falak dan Fizik Angkasa.


“ Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditatapkanNya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya kepada orang-orang yang mengetahui” Surah Yunus ayat 5-6

“ Nampak tak anak bulan?” selalu sahaja pertanyaan itu singgah dalam sms atau panggilan telefon bimbit saya setiap kali tibanya hari penentuan awal Ramadhan atau awal Syawal oleh sahabat-sahabat. Saya bukanlah penyimpan Mohor-Mohor Besar, tetapi bagi sahabat yang sentiasa memberikan kepercayaan dan semangat untuk sentiasa menuntut ilmu Falak ini, itulah soalan yang selalu ditanya. Namun, tiada pula SMS seperti itu semasa penentuan awal bulan Zulhijjah bagi menentukan tarikh Hari Raya Korban 10 Zulhijjah, mungkin kerana masyarakat tidak biasa atau tidak prihatin bahawa penentuan 10 Zulhijjah juga memerlukan kepada pencerapan hilal sebagai Fardu Kifayah. Biasanya saya akan ke Teluk Kemang bersama pensyarah dan rakan-rakan dalam makmal Fizik Angkasa Universiti Malaya dan Junior Falak di Akademi Pengajian Islam, UM.

Pada 17 November lepas, buat hampir 8 bulan tak silap, baru saya menjejakkan kaki kembali ke Baitul Hilal Teluk Kemang bagi mencerap Hilal Zulhijjah lantaran mengandung dan cuti bersalin membuatkan saya tak dapat ke sana. Selalu saya ke sana semasa belajar sebagai degree student dan juga master student kerana tajuk kajian projek tahun akhir ijazah sarjana dan kemudian sambung disertasi master juga tentang hilal. Ini juga kali terakhir saya melihat Baitul Hilal kerana akan dirobohkan bagi dibina planetarium dan tempat yang lebih selesa bagi pencerapan hilal dan penyelidikan-penyelidikan astronomi yang lain. Hilang sudah kerinduan pada suasana damai tepi pantai dan berjumpa kembali sahabat-sahabat dari JAKIM, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia). Penyelidikan dari tahun 2000 – 2010 oleh Universiti Malaya, JAKIM, JUPEM dan Jabatan Mufti Negeri Sembilan tentang Kenampakan Hilal telah dilaksanakan bagi tujuan research dan pengambilan data-data rukyah Hilal selama 10 tahun bagi penambahbaikan kriteria Imkanur Rukyah yang digunapakai di Malaysia.

Wujud pelbagai perbalahan dari pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh Malaysia dan negara-negara lain berhubung masalah kenampakan hilal (boleh rujuk dalam blog ustaz zaharudin) dan penentuan tarikh awal Ramadhan, ‘Aidilfitri dan ‘Aidil Adha lantaran pelbagai kefahaman masyarakat terhadap dalil tentang penentuan awal bulan dan juga kepelbagaian metodologi serta sikap masyarakat memandangnya. Dengan pelbagai interpretasi terhadap nas, maka pelbagai jugalah keyakinan bagi menentukan hilal.



Saya mulakan dengan membentangkan kronologi bagi kita lebih memahami kepelbagaian metod diguanapakai di Malaysia sejak tahun 1972 (sumber dari kertas kerja Dr Azhari Mohamed, Kaedah Penentuan Awal Bulan Islam di Malaysia : Antara Mematuhi Hukum Sains dan Memenuhi Tuntutan Syara’ :-

Sejarah Penetapan Awal Bulan

1972 – 1977

Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam menetapkan bahawa permulaan puasa dan hari Raya Puasa berdasarkan Rukyah dan Hisab Falak.
Anak bulan Ramadhan dan Syawal, kiranya tidak kelihatan kerana terlindung oleh keadaan cuaca, padahal mengikut kiraan Falak, bulan itu tetap ada dan boleh nampak, maka kiraan ahli-ahli Falak boleh digunakan.

Menerimapakai keputusan Majlis Raja-raja ke-78 yang telah diadakan dalam tahun 1967 iaitu Hari Raya Aidil Adha adalah sehari selepas wukuf di Padang Arafah.

9bulan selainnya adalah berdasarkan kepada Ijtima’ Wujudul Hilal : Bila Ijtima berlaku sebelum matahari terbenam pada hari ke-29 dan bulan wujud atas ufuk.

Ijtima’ : kedudukan matahari, bulan dan bumi atas longitud yang sama.

1978

Pada 26-29 November 1978, Muktamar Hilal bagi Penentuan Permulaan Bulan Hijriah di Istancul Turki bersetuju :

Bahawa asal hukum rukyah, sama dengan mata kepala atau dengan menggunakan alat-alat moden,
Bahawa bagi menentukan kemungkinan penglihatan anak bulan itu mesti memenuhi 2 syarat utama :

1. Kedudukan matahari dan bulan ketika matahari terbenam tidak kurang 8 darjah.
2. Ketinggian anak bulan pada ketika matahari terbenam tidak kurang 5 darjah.


1978 – 1982
Permulaan puasa dan hari Raya adalah berdasarkan rukyah semata-mata.

1983
Permulaan puasa dan hari raya puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab Falak.
Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bersetuju menerima pakai Deklarasi Istanbul 1978 dengan pengubahsuaian :

Ketika matahari terbenam, ketinggian hilal tidak kurang daripada 5.5darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang 7.5darjah. dan
Umur hilal pada ketika matahari masuk pada hari rukyah kurang dari 8 jam selepas ijtimak.

1991
Pada 4November 1991, Mesyuarat Jawatankuasa Menetapkan Awal Puasa dan Hari Raya mengubahsuai Kriteria Imkanur Rukyah :

Ketika matahari terbenam, ketinggian hilal tidak kurang daripada 2darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang 3darjah atau
Ketika hilal terbenam, umurnya tidak kurang daripada 8jam.

1992
Pada 1 Jun 1992, Pertemuan Tidak Rasmi MABIMS di Labuan sepakat untuk menerima pakai kriteria tersebut di atas

1994
Pada 6 Jun 1994, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-167 bersetuju agar penentuan Hari Raya Aidil Adha (sehari selepas wukuf di Padang Arafah) dipinda kepada penentuan berdasarkan Kriteria Imkanur Rukyah, iaitu 10 Zulhijjah.

1996
Mesyuarat JK Teknikal Kalendar Islam menetapkan penggunaan kaedah Imkanur Rukyah bagi semua bulan.

* Penjelasan Lanjut tentang Kriteria Imkanur Rukyah boleh lihat :

http://www.islam.gov.my/ppi/almanak/falak/psd/flk/KRITERIA%20IMKANUR.pdf

Mengapa Berbeza?

Terlalu banyak isu dan perbezaan pendapat berhubung penentuan awal Bulan Hijrah terutamanya awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Saya juga telah membentangkan panjang lebar perbezaan pendapat dalam disertasi saya terutamanya kepelbagaian kefahaman terhadap hadith ’lihat anak bulan’ :
Perkataan ra’a (melihat) dalam hadis mengundang pelbagai makna oleh ulama’ :
Diriwayatkan oleh Imam Muslim

إذا رأيتم الهلال فصوموا و إذا رأيتموه فأفطروا فإن غم عليكم فا قدروا له
“Bila kamu melihat hilal, maka berpuasalah dan bila kamu melihat hilal, maka berbukalah. Bila hilal itu tertutup awan, maka takdirkanlah ia.”
Sebahagian ulama’ mengatakan “takdirkanlah” bermaksud cukupkan 30hari dan sebahagian yang lain mengatakan perkirakanlah dengan hisab. Panjang perbahasan ulama’ tentang isu ini dan kebanyakan ulama’ masa kini, khususnya ulama’ besar kita Dr Yusof Al-Qardhawi menyokong hisab bagi penentuan anak bulan masa kini. Pandangan beliau banyak dinukilkan dalam buku Fiqh Puasa antaranya, “Ilmu Falak sekarang sudah dipelajari di pelbagai pengajian tinggi, dibantu dengan teleaskop. Sehingga sekarang, menjadi keputusan antarabangsa bahawa kemungkinan keliru dalam menentukan detik yang dilakukan oleh dewan hisab dan rukyah satu berbanding seratus ribu (1:100,000)

Al-Muhaddith Al-Kabir Al-‘Allamah Ahmad muhammad Syakir telah menulis risalah dengan judul : Awallusy Syukur Al-‘Arabiyah; Hal Yajuzu Itsbatuha bil Hisabil Falaki? “ Dalam Risalah tersebut dijelaskan dengan panjang lebar berdasarkan dalil-dalil yang kuat secara ringkasnya :
“ Bangsa yang ummi, tidak kenal membaca dan menulis, harus berpegang teguh pada rukyah. Tapi bila situasi dan keadaan berubah, di mana umat Islam sekarang sudah pandai menulis dan berhitung, tidak lagi memerlukan bantuan bukan Muslim dalam menentukan hilal. Mereka boleh berpegang pada hisab sebagai ganti Rukyah. Sebab hisab (yang dibantu dengan alat hitungan moden) lebih teliti dan lebih mudah mempersatukan pendapat kaum Muslimin demi membanteras khilaf (perbezaan pendapat) yang merata yang kita lihat pada setiap menentukan awal bulan Ramadhan dan awal bulan Syawal, sehingga sebahagian penduduk memulai puasa pada hari Khamis dan sebahagian lagi pada hari Jumaat, sebahagian lagi hari Sabtu mithalnya.

Saya lebih cenderung kepada pandangan Dr Yusuf Al-Qardhawi yang menurutnya, 3 perkara yang perlu disepakati oleh semua tentang penepatan awal Puasa dan Hari Raya di dalam bukunya Fiqh Puasa.
1) Penetapan masuknya bulan Ramadhan, adalah soalan yang sangat rumit yang harus merujuk pada nas-nas syari’e. Sedangkan ikhtilaf ulama’ dalam hal ini adalah satu rahmat bagi umat Islam. Oleh itu, sesiapa yang menetapkan masuknya bulan Ramadhan berdasarkan saksi seorang atau dua orang yang adil ataupun mensyaratkan ramai orang, tidak jauh berbeza dengan apa yang dikemukakan sebahagian fuqaha’ muktabar. Bahkan sesiapa yang menetapkan masuknya bulan Ramadhan berdasarkan hisab, kita dapati qaul ulama’ salaf yang berpendapat demikian, sejak zaman tabi’in apatah lagi sesudah zaman mereka. Begitu juga orang yang merujuk pada mathla’ ataupun tidak, sama-sama ada contoh dari ulama’ salaf dan sama-sama merujuk dalil. Oleh kerana itu, orang yang mengambil satu pendapat dan ijtihad dari banyak pendapat, maka ijtihad itu tidak boleh menafikan salah satu pendapat orang lain. Qa’idah fiqhiyyah mengatakan : “ Sama sekali tidak ada pengingkaran dalam masalah-masalah ijtihadiyyah.”
2) Bahawa khata’ (keliru) dalam menetapkan persoalan yang semacam ini adalah mughtafar (diampuni Allah). Misalnya, andainya seseorang mengaku telah menyaksikan hilal bulan Ramadhan atau Syawal, sehingga orang-orang berpuasa sehari pada bulan Sya’ban atau berbuka sehari pada bulan Ramadhan, maka insya Allah kekeliruan mereka itu akan diampuni oleh Allah.
3) Bahawa usaha untuk mewujudkan wehdatul muslimin dalam berpuasa dan berbuka serta seluruh syiar dan syari’at mereka adalah perkara yang dituntut sepanjang masa. Tidak boleh berputus asa dalam usaha mencapai wehdatul muslimin dan tidak pula dalam mengatasi rintangan. Satu hal yang harus kita perhatikan dan tidak boleh tafrith (lengah), iaitu kita belum mampu mewujudkan al-wehdah al-juz’iyyah al-khassah antara orang-orang Islam dalam satu negara. Sudah menjadi satu persepakatan di kalangan ulama’ bahawa hukmul hakim (keputusan hakim) atau qarara waliyyil amri ( ketetapan pemerintah Islam) dapat menghilangkan khilaf dalam perkara-perkara yang masih diperselisihkan. Oleh kerana itu, apabila pemerintah Islam sudah menetapkan puasa yang diumumkan melalui lembaga fatwa tertinggi maka sebagai konsekuensinya, kaum muslimin yang berada di negara Islam tersebut harus taat dan komitmen kerana tunduk dalam hal yang ma’ruf. Sekalipun ketetapan itu berbeza dengan ketetapan yang berlaku di negara lain, kerana hukmul hakim di sini memperkuat pendapat : “ Bahawa tiap-tiap negara berpuasa dan berbuka berdasarkan ru’yah (masing-masing).”


Saya ingin mencadangkan kepada pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang penentuan awal bulan supaya melayari website ini dan melihat kertas kerja yang pelbagai dan sangat berguna. Begitu juga tentang kriteria-kriteria kenampakan awal anak bulan dalam :

http://www.icoproject.org/

Maaf sekiranya ada istilah yang tidak dapat dijelaskan dengan panjang lebar. Boleh lihat lebih lanjut dalam website ICOP khususnya tentang kriteria imkanur rukyah yang digunakan. Mungkin juga akan saya sambung dalam entri akan datang.