Ahad, 24 Oktober 2010

koleh milo ais

"tengok, aku tuang tapi air tak tumpah," kata rahim. kami pelik. rahim acah simbah air ke muka minah. minah marah. tapi air tak tumpah. minah kagum.

rupa-rupanya. koleh itu koleh milo ais.

masukkan koleh itu ke dalam ruang beku peti sejuk. air di dalam koleh akan keras. selepas itu, bancuh milo dan masukkannya ke dalam koleh.

begitupun, ramai yang berpendapat milo dalam koleh tidaklah sejuk sangat. tidak seperti dengan menggunakan ketul-ketul ais seperti biasa.



Rabu, 22 September 2010

Selasa, 24 Ogos 2010

autograf pak engku




saya panggil beliau pak engku. allahyarham t. alias taib. penulis yang saya kagumi lewat sajak-sajaknya. sewaktu di mmsc (multimedia synergy corporation) beliau pernah bekerja di bawah seliaan saya. bersama-sama dengan pak engku, encik rahim abdullah dan cikgu othman rasul juga di bawah seliaan saya.

mereka menulis modul perisian bahasa melayu untuk projek rintis sekolah bestari. tetapi, pak engku dan encik rahim tidak lama berada di mmsc. ternyata menulis puisi ialah dunia dua penulis mapan itu jauh berbeza dengan menulis bahan untuk murid sekolah.

begitupun, cikgu othman menulis sehingga projek ini tamat.

encik rahim ada menulis surat (baca nota) kepada saya sebelum beliau berhenti daripada menjadi penulis di mmsc. malangnya, surat itu telah hilang. cuma, yang ingin saya paparkan di pasar karat kali ini ialah autograf (catatan) yang ditulis oleh pak engku dalam antologi-antologi sajaknya (yang saya beli).

Rabu, 19 Mei 2010

dari batu 6 jln klang lama ke stesen bas klang


semasa tingkatan 6 saya bersekolah di victoria institution. saya naik bas. bas kl klang. kadang-kadang naik bas mini. tapi untuk lebih jimat saya pakai pas dan naik bas kl klang. tambang sebulan dari batu 6 jalan klang lama ke stesen bas klang tahun 1985 dan 1986 hanya rm12.50.

naik bas. beri kad pada konduktor. konduktor akan ketik pas pada tarikh kita naik bas itu.

naik mesti duduk belakang. barulah rock. tapi, bangku yang ada awek cun akan lebih diberikan keutamaan. tak kiralah di depan atau di belakang.

begitupun, lazimnya saya hanya duduk di sebelah sahaja. tanpa, memulakan apa-apa perbualan. al-maklumlah, walaupun kacak saya amat pemalu dan pendiam orangnya.

hanya mata saya yang rajin berkata-kata.

"awak tengok apa?" tanya awek cun di sebelah yang memakai baju kurung tak berkancing di lehernya.

alamak! mata saya tiba-tiba diam seribu bahasa.

Isnin, 15 Februari 2010

idea

"kita jangan hilang idea, beb!"

- rozana cinta 87

saya tak hilang idea. cuma hilang masa. banyak urusan negara, beb.

Isnin, 7 Disember 2009

rokok gulung kertas surat khabar

masih ingat. zaman dulu-dulu. waktu mula-mula belajar nak merokok. gulung-gulung kertas surat khabar dan cucuh api. terbatuk-batuk pada mulanya kerana tidak biasa.

saya pernah cuba. tapi saya tidak melanjutkan aktiviti itu menjadi perokok tegar. entahlah. saya rasa rokok bukan benda sedap. macam sesetengah orang tidak suka makanan itu. tidak suka makanan ini. tekak saya tak dapat terima rokok.

*

"rokok?" tanya janet.
"saya tak merokok," jawab saya.
"baiknya awak," kata janet.
"habis. awak ingat orang yang hisap rokok jahat?" tanya saya kembali.

janet bungkam.

*
"rokok?" tanya encik tarmizi.
"saya tak merokok," jawab saya.
"merokoklah, baru jantan," kata encik tarmizi.

saya tersengih.

*
namun, saya suka item-item yang ada kaitan dengan rokok. begitupun, pengumpul yang berbajet ciput seperti saya tidaklah mendapat koleksi yang hebat-hebat sangat.

kadang kala saya tebalkan muka minta dari tuan punya kedai tempat saya bersarapan. jika bernasib baik - saya dapat percuma walaupun saya menawarkan harga tertentu mengikut kemampuan saya.

*
bekas habuk rokok ini. saya beli. harganya berpatutan dengan pengumpul berbajet ciput. seperti saya.