Friday, April 10, 2020

Diari Tua




3 Disember 1974 –Difinasi. 

Kuala Lumpur bergelora,  mahasiswa mahasiwi Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan berdemontrasi, mereka menuntut agar harga getah dinaikkan bagi mengatasi inflasi yang menekan rakyat terutama yang tinggal di desa-desa yang  hidupnya menyembah pokok getah setiap hari. Demontrasi akhirnya bertukar menjadi liar, harta benda kerajaan sepanjang jalanraya dirosakkan. Masjid negara dijadikan tempat berlindung bila polis terpaksa bertindak. 

13 Disember 1974 jam 3.00 petang.

Siaran kecemasan berbunyi. Dengan pantas mengenakan unifom, berkejar ke tempat anggota berkumpul untuk menerima arahan. Kami diarah ke Kuala Lumpur petang itu juga. Balik sekejap ke barrek mengambil barang- barang  diperlukan dan bersalam dengan isteri serta cium anak. 
14 Disember 1974

Tiba di Kuala Lumpur agak lewat, sepatutnya perjalanan memakan masa lima jam terus menerus tanpa berhenti. Kelambatan akibat kerosakan berlaku pada kereta yang dinaiki, dan keretaku meneruskan perjalanan  seperti sekor unta tua yang dipaksa membawa muatan berat.
Sampai di Kuala Lumpur, tinggal di Sekolah Menengah Kampung Baru bersama anggota pelatun lain yang tiba lebih awal. ( Panjang.... sedap kisah ini)

19 JANUARI 1976

Selepas balik dari Gua Musang, empat hari sahaja berada di rumah, belum puas berpanas badan dengan isteri serta mendakap mesra anak- anak, tanpa diduga keluar arahan bergerak segera ke Kuala Lumpur, hati kecil dilanda tanya, apa gerangan terjadi di Kuala Lumpur, malapetaka apa berlaku? Komunis bom lagi ke?.  

Kami diberi masa satu hari untuk mengemas barang -barang keperluan  yang akan dibawa dan keperluan isteri serta anak-anak yang bakal ditinggalkan. 




20 JANUARI 1976

Langit Pengkalan Chepa cerah, walaupun ekor tengkujuh masih ada, matahari pagi bersinar indah. Roda terak dan lori 4 tan bergerak meninggalkan kem menuju Kuala Lumpur. Sore tiba di Kuantan dan bermalam di Bukit Galin sepertimana diatur mengikut jadual.
21 JANUARI 1976

Kuala Lumpur menyambut ketibaan kami sekitar jam 12.30 tengahari.  Suasana panas terik, mobil-mobil berderu deram di jalanraya, sibuk sekali bedasarkan  perkiraan  kami orang  Kota Bharu. Mungkin ramai pekerja keluar makan tengahari. 

Lori memasuki markas Jalan Pekeliling ( Jalan Tun Razak), rumah pangsa 16 tingkat dijadikan markas polis Diraja Malaysia (PPH), kami tinggal di tingkat 16. Pertama kali merasai suasana tinggal di seperti diatas pokok kelapa.  Menjengok ke luar jendela, tampak wajah Kuala Lumpur dengan panorama yang indah sekali terutama ketika malam hari dengan lampu nion berkerdipan. 

Menjengok ke bawah, tiada ruang kosong, semua dipenuhi dengan kenderaan terak, lori dan motosikal yang diparkir di kaki lima  komplek Rumah Pangsa Tengku Abdul Rahman yang dijadikan markas, kini sudah dirobohkan. Di kawasan sesak itu, beberapa bulan lalu,  tragedi hitam berlaku. Anasir komunis melempar bom tangan terhadap  sekumpulan polis yang berkumpul di situ menyebabkan dua anggota tewas, dan lebih 40 orang cedera. Pengganas komunis dikatakan melarikan diri melalui Kampung Siam yang bersebelahan dengan kem dan menghilangkan diri.  Dari tingkat 16 boleh nampak dengan jelas Kampung Siam dengan anggota polis berkawal ketat. 

Di tingkat 16, kebetulan sahabat lamaku Wan Mohamad Dagang tinggal di sebuah kamar di situ. Beliau seorang penyair, pelukis yang saya kagumi,  asal Terengganu dan pernah bersekolah bersama. Dengan ribuan pelajar, hanya denganku sahaja beliau boleh berkawan kerana sifatnya bengis- mudah naik darah. Kelemahannya mudah berdarah  hidung.  Beberapkali ketuk kamarnya,  beliau tiada, gagal menemuinya, sebuah nota lalu ditampal di pintu “ Sahabat lama- Rossem, sakit jari -jari ketuk pintu, wan tak ada”.  

Kami dibahagi-bahagi tugas,  mengawal bangunan parlimen dan Angkasapuri. Pelatunku mengawal bangunan parlimen. Pagi itu bergerak ke parlimen mengambilalih pasukan lain yang akan balik ke kem. Tempat tinggal sudah disediakan, iaitu di sebelah penjuru bangunan parlimen berhampiran rumah Tan Sri Sambanthan. Dari parlimen, pandang sebelah timur tampak dengan jelas Taman Bunga, indah nian panoramannya.

19 JANUARI 1976

Bila tiada tugas mengawal, keluar bersiar-siar di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Chow Kit  dengan beberapa orang kawan. Di celah-celah orangramai tak sangka terserempak dengan kawan lama yang ku cari- Wan Mohamad Dagang (Mowanda), beliau bersama dengan pelakon terkenal Omar Abdullah, memang sudah mengatahui, beliau berkawan akrab dengan aktor drama dan pengiat teater itu, di mana ada Omar, di situ ada Wan.  Kami diajak minum kopi bersama di sebuah restoran mamak di Chow Kit. Tertarik dengan bahasa Melayu baku yang yang dituturkan Omar Abdullah walaupaun beliau orang Kedah. 

Setelah sejam lebih mengopi, kami minta diri untuk pulang ke Parlimen. Kami berjalan kaki dari Chow Kit ke bangunan parlimen. Tak rasa penat kerana kami pernah berjalan kaki lebih jauh dari itu meredah hutan mendaki bukit. Di tengah jalan, di hadapan banguan Pustaka Antara berselisih dengan pelakon yang ku minati- Hussain Abu Hassan (Allahyarham) berjalan seorang diri, ekor mataku melirik ke arahnya “ wah bertuah, hari ini jumpa dua pelakon terkenal – Omar Abdullah dan Hussain Abu Hassan” ( he he bersambung...)