Friday, August 2, 2019

Popular Wak Dojer dari pelukisnya Hussain Saad




Oleh: Rossem

Hussain Saad (Allahyarham) kartunis asal Kelantan, seorang yang tekun bekarya sejak 1960an sehingga akhir hayatnya 2005. Pemilik stroke paling original berlandaskan tradisi Melayu yang sangat jelas. Menjadikan bakat anugerah Allah SWT sebagai sumber pendapatan menyara anak isteri. 

Suatu malam, tahun 1970 di Kota Bharu,  kebetulan  mengunjungi medan selera  Tanah Serendah Sekebun Bunga, tiba-tiba terpandang kisok dengan lukisan kartun bergantungan di dinding. Seorang lelaki sedang tekun melukis di meja. Saya hampiri rupanya Hussain Saad. Kenal beliau  kerana sebelum itu sekitar tahun 1966 pernah bertemu, masih ingat  beliau menghadiahkan senaskah buku koleksi katun, malangnya buku sulung beliau  hilang entah ke mana. Itulah buku pertama menjadi panduan saya melukis kartun. Tentang medan selera Tanah Serendah Sekebun Bunga sudah tak ada lagi, atas tapatnya  dibangunkan  Hotel Riverview.

Hussain Saad berpindah pula ke sebuah gerainiaga  di Perhentian Bas Ekspres, Jalan Hamzah. Seluruh  bahagian strategi disewa peniaga dan kaunter  menjual tiket bas, tinggal bahagian dalam  banyak kosong. Hanya Hussain Saad dan seorang lagi pelukis pelan menyewa di situ. Ramai tak berminat kerana bukan tempat laluan utama.  Mengunjungi kisok beliau harus bersabar, tahan  nafas, tutup hidung, bau air kencing tikus dan tahi kelawar menusuk hidung. Hussain Saad banyak membuat lukisan periklanan. Tapak gerainiaga Jalan Hamzah   kini dibangunkan hotel Airasia.com. 

Sekitar tahun  1974 Penerbitan Toko Buku Asia (TBA) ditubuhkan di Kota Bharu dengan pengurusnya orang Johor - Mr Lee. Seluruh pelukis komik dan kartun di Tanah Serendah Sekebun Bunga, samada pelukis lama  atau baru membentuk satu team pelukis komik diketuai Yamin Daud, berteduh dibawah payung TBA. Pengurus TBA menyewa sebuah rumah kedai di Jalan Hospital, Kota Bharu, dijadikan  pejabat dan studio tempat berkarya.   Dari stesen bas Kota Bharu ke studio saya berjalan kaki lebih kurang setengah jam atau  naik beca roda tiga dengan tambang 50sen, berpeluh si tukang kayuh - kesihan. Singgah di gerai nasi air Mak Su Nab, ketika itu gerainya di bawah pohon besar, kumuh dan kecil, sekarang sudah bina restoran besar di Barek 12. Nasi air  Mak Su Nak suatu masa dahulu popular di Kelantan. 

Antara pelukis komik yang bergabung dengan TBA selain Yamin Daud ialah  Hussain Saad, Maarof Awang, Khuzae, Saari A.M, Kamil Ghazali (Allahyarham), D. Yusof (Allahyarham) dan Rossem. Sementara Rudi Mahmood sebagai penulis dan penyelaras. Hussain Saad  dianggap artis  senior dan berpengalaman. Yamin Daud memiliki  kelebihan mewarna kerana beliau sebelum terjun ke dunia komik menjadi pelukis poster wayang gambar di pawagam  Lido milik Shaw Brother (SB) Kota Bharu. Setiap bulan tak kurang lima atau enam judul komik diterbitkan TBA hasil tangan artis komik hebat.

Kemudian berpindah  ke bangunan dua tingkat separuh batu separuh kayu di  Jalan Sultanah Zainab. Kini bangunan usang itu   sudah dirobohkan. Setelah Penerbitan Toko Buku Asia gulung tikar,  Yamin Daud meneruskan kesinambungan penerbitan komik di Kepong,  Kuala Lumpur. Maarof Awang, Rudi Mahmood, Khuzae ikut ke Kuala Lumpur. Kamil Ghazali ( adek ipar Yamin) dapat pekerjaan sebagai pelukis di Utusan Melayu,  Rossem bertukar kerja di Bukit Aman. Hanya  Hussain Saad  tinggal di Kota Bharu meneruskan kerja  melukis kartun  “Wak Dojer” yang sangat popular ketika itu. Beliau   mengirim  terus kepada Yamin Daud  untuk diterbitkan (Pustaka Trijaya). 

Hussain Saad juga boleh melukis komik seram. Antara judul popular “Penunggu Bukit”, “Saksi Dari Kubur”, “Awang Bongsu Di Negeri Raksasa” dan lain-lain. Beliau juga berkebolehan menulis  cerita-cerita rakyat dengan baik.  Banyak buku-buku bertema cerita rakyat dihasilkan dan dijual di sekolah-sekolah sebagai buku bacaan tambahan.   
Lukisan kartun dan komik Allahyarham Hussain Saad begitu dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu, pakaian, bentuk rumah dan suasana perkampungan mengingatkan kita tentang leluhur  yang sangat sinonim dengan cerita- cerita rakyat sinis tetapi humoris.

Senilukis komik Melayu tidak boleh dilepas pandang begitu sahaja. Siri komik “Wak Dojer” misalnya menjadi  naskah penting  sepanjang kegiatan Allahyarham. Bukan itu sahaja, para penyelidik boleh membuat kajian khusus tentang orang Melayu dan sosio - budaya dari sudut pandang seorang kartunis dan pelukis komik seperti Allahyarham, setiap karya selama  penglibatannya puluhan tahun tak pernah terpisah dengan  budaya bangsa. Pengaruh komik Barat, Hong Kong atau Jepun hampir tidak ada dalam setiap karya Allahyarham. 

Orang ramai lebih mengenali   Wak Dojer daripada Hussain Saad. Suatu hari saya mencari rumah  beliau namun tak jumpa,  walhal  pernah ke rumahnya. Bertanya kejiranan di situ tetapi seorang pun tidak mengenali  nama Hussain Saad tetapi bila disebut pelukis kartun mereka lantas menyebut “ Ohoo itu Wak Dojer”. Hussain Saad tinggal di belakang Sekolah Menengah Zainab, Telipot, Kota Bharu sebuah perkampungan yang padat dengan perumahan. 

Dua tahun selepas Balai Kartun Rossem (BKR) di buka di Peringat (2014), isteri dan anak perempuan Allahyarham datang melawat BKR, beliau  menyerahkan  tiga jilid koleksi komik kartun  karya Hussain Saad untuk simpanan BKR. Terima kasih diucapkan,  semoga karya Allahyarham  bermanfaat kepada masyarakat pencinta seni budaya bangsa. Beliau kembali ke Rahmatullah pada tahun 2005. Al fatehah...... 

PELUKIS KOMIK YAMIN DAUD, ASALNYA PELUKIS PAWAGAM.




Sasterawan Nurhisham Mustafa (Allahyarham)  sering menyebut, Negeri Kelantan lubuk penyair kerana ramai penyair lahir  di Negeri Cik Siti Wan Kembang, namun saya lebih suka menyebut; Kelantan  lubuk pelukis komik kerana ramai pelukis komik lahir di negeri itu. Namun tidak semua seniman komik  bermukim di Kelantan, ramai berhijrah dan menetap di luar Kelantan sehingga sukar untuk mencari pelukis komik di Kelantan kini.  

Yamin Daud  nama besar dalam  bidang komik. Tak keterlaluan kalau  disebut sebagai bapak komik moden.  Beliau tidak membina kekuatan dan kepuasan untuk diri sendiri tetapi membantu bakat-bakat baharu terjun dalam bidang komik. 

Tahun  1970an dan 1980an Yamin   mengumpul beberapa pelukis  berbakat dalam bidang senilukis komik yang ada  di negeri Kelantan untuk melukis bersama  beliau. Antara pelukis komik dan kartun yang berpayung bersama  Yamin ketika itu Hussain Saad (Allahyarham), beliau orang lama dalam bidang komik dan kartun, sifu bagi kami.  Maarof Awang, Khuzie,  Saari A.M, Kamil Ghazali (Allahyarham), D. Yusof (Allahyarham) dan Rossem. Sementara Rudi Mahmood sebagai penulis. Saya (Rossem)  bukan pelukis sepenuh masa, kerana ketika itu bertugas sebagai Polis Diraja Malaysia,  datang ke studio Yamin (Toko Buku Asia)  saat kelapangan- melukis di barek (rumah).

 Setiap bulan tak kurang empat atau lima judul majalah komik diterbitkan. Sambutan  luar jangka – meletup!  Jualannya seperti goreng pisang panas atau putu halba di musim tenghujuh. Lumayan! Rupanya peminat komik ini ramai. Mamak pengedar senyum lebar, rezeki berganda  dari bisnis komik.   

Tentang Mamak jual  suratkhabar dan majalah teringat sebuah  gerai Mamak di stesen bas Kota Bharu masih berjualan sehingga  sekarang,  hanya  berubah tempat. Namanya sudah lupa, tetapi sekitar tahun  1970an ia masih kecil, membantu bapanya berniaga. 45 tahun dahulu di gerai itulah tempat saya membeli komik. Dua beranak itu kenal rapat dengan saya, kalau komik baharu sudah sampai, dari jauh mereka memanggil saya. Sudah meninggal, gerainya  kini dikendalikan cucu-cucunya yang semakin  hilang kemamakan.  
Ramai tidak mengetahui, Yamin sebelum terjun ke gelanggang komik (1974) bekerja sebagai pelukis poster wayang gambar di Pawagam Lido, Kota Bharu. Bila ada cerita wayang terbaru  keluaran Syarikat Shaw Brother (SB) Yamin akan melukis poster berukuran besar 15 meter atau lebih di atas kanvas, menggunakan cat warna, kemudian poster itu dipasang di dinding  pawagam untuk tarikan orangramai agar datang menonton filem terbaru. Ketika itu filem Melayu masih hitam putih hanya poster sahaja berwarna, ramai  tersihir juga dengan kecantikan dan kehebatan  poster.

Sifu Yamin  dalam bidang melukis poster wayang ialah abangnya sendiri, Yusof Daud atau D Yusof. Pada awalnya beliau membantu abangnya akhirnya dapat menandingi kehebatan abangnya melukis poster panggung Lido. D Yusof kemudian menjadi pelukis komik bersama Yamin. 

Selain komik, majalah komik bulanan juga diterbitkan, antaranya “Anak Kijang” Komik-komik diterbitkan di Kota Bharu atas nama Toko Buku Asia.